Kerana Mulut Kawan, Suami Tiba-Tiba Bersikap Dingin
25 Jul 2012
APALAH ertinya hidup sebumbung jika tidak
bertegur sapa. Apa gunanya berkongsi hidup kiranya semua yang dibuat tidak
mendapat penghargaan suami. Itulah lumrah berumah tangga, bagaikan lidah
yang sering tergigit. Pun begitu ia bukan penyudah kepada sebuah kehidupan.
Masih ada jalan keluar untuk memulihkan kebahagiaan yang pernah tercipta.
Sabar dan saling berusaha membaiki diri adalah
jalan terbaik mengembalikan hubungan yang retak. Berkongsi pengalaman Sari
(bukan nama sebenar) kisahnya elok dijadikan teladan untuk membina kembali
kebahagiaan rumah tangga yang terjejas. Kepada saya, Sari mencurahkan isi hatinya
ekoran sikap suami Imran (bukan nama sebenar) yang berubah secara tiba-tiba. Kita ikuti kisah Sati:
"Saya berusia 30 tahun seorang eksekutif
di sebuah syarikat pengiklan. Suami berusia 34 tahun pegawai kanan sebuah bank. "Kami sudah 7 tahun bernikah dan
dikurniakan dua orang anak berusia 3 dan 6 tahun. Kehidupan kami bahagia namun
bertukar dingin sejak setahun lalu. "Saya tidak tahu kenapa suami menjadi
dingin terhadap saya sehinggakan untuk memandang wajah saya juga dia tidak
sudi. Malah dia tidak banyak cakap dan susah sangat untuk melemparkan senyuman
kepada saya dan anak-anak.
"Sakit hati saya dengan perubahannya itu.
Mula-mula dia bersikap begitu saya amat sedih dan kecewa. Saya menjadi stres
sehingga urusan kerja dan rumah tangga sedikit terjejas. "Bagaimanapun setelah setahun saya sudah
dapat menerima kenyataan walaupun saya sedih yang amat sangat dengan sikap
suami. "Sesekali bila teringatkan keadaan itu
saya menangis seorang diri. "Saya tidak tahu puncanya tetapi saya
dapat agak semuanya bermula dengan salah faham. Puncanya dia dapat tahu yang
saya kononnya bercerita kepada kawan saya yang dia ada perempuan lain.
"Sebenarnya dia salah sangka. Suami
seorang yang suka berahsia. Hati saya selalu berkata, dia ada sorokkan sesuatu
daripada saya. Tetapi saya tidak tahu apa, hendak ditanya mesti dia tidak
mengaku. "Dia rapat dengan seorang staf perempuan
di tempat kerjanya. Satu hari saya pinjam telefon bimbit dia untuk hantar satu
mesej. Nak dijadikan cerita saya ternampak mesej daripada perempuan itu kepada
dia. "Saya ingatkan mereka ada hubungan
istimewa. Secara kebetulan salah seorang staf di pejabat suami adalah kawan
baik saya. Selepas dia berhenti kerja di syarikat itu dia bekerja di pejabat
yang sama dengan saya.
"Kawan saya ini ada bercerita yang suami
saya amat rapat dengan perempuan itu. Masa mendengar cerita itu memang hati
saya sakit tapi saya sabar. "Katanya mereka mula berkenalan di
Facebook. Ketika itu kawan saya sedang bermain mesej dengan perempuan itu.
Perempuan itu ada bertanya apa hubungan kawan saya itu dengan suami saya. "Dengan niat membantu, kawan saya
bertanya perempuan itu adakah dia tahu sama ada suami saya ada perempuan lain
atau tidak. Seingat selepas kejadian itu suami berubah.
"Dia tidak bercakap dengan saya, tidak
mahu pandang wajah saya malah langsung tidak mahu sentuh saya. Jika bercakap
dia selalu meninggi suara dan menengking. "Saya tidak tahu kenapa dia bersikap
begitu sedangkan saya tidak pernah buat salah. Satu hari sebaik sampai di rumah
dari pejabat saya nampak suami sedang berkemas pakaiannya dimasukkan ke dalam
sebuah beg. "Saya tanya hendak ke mana, jawabnya
balik kampung. Saya sedih sebab dia tak cakap yang dia hendak balik kampung.
Sayu hati saya bila dia hanya cium anak-anak dan terus keluar rumah.
"Saya macam tidak wujud dalam hidup dia.
Saya mesej tak balas, saya telefon dia tidak angkat. Berkali-kali saya telefon
akhirnya dia angkat tetapi marah-marah. "Saya tanya kenapa dia berubah katanya
sebab saya tanya kawan-kawan dia sama ada dia ada perempuan lain. Lalu saya
teringatkan peristiwa itu. "Saya sudah cuba selesaikan masalah ini
dan minta maaf kepadanya tapi nampaknya dia macam tidak boleh terima. Selalu
apabila bergaduh saya akan mengalah walaupun bukan saya yang salah.
"Sekarang apa saya buat semua tidak kena.
Saya sudah tidak tahu hendak buat apa lagi. Suami pula hari-hari kerja, kalau
cuti dia lebih banyak habiskan masa bersama kawan-kawannya pergi melancong ke
pulau. "Dia banyak habiskan masa dengan
kawan-kawan menyebabkan saya selalu berasa terasing. Kalau saya tegur dia
marah. Saya selalu berdoa agar suami berubah. Masakan masalah kecil macam itu
hendak dijadikan besar dan mendera perasaan saya. "Saya sudah minta maaf dan berjanji tidak
akan mengulangi perbuatan itu lagi. Kalau betul dia jujur dan tidak ada
hubungan dengan wanita itu kenapa mesti marah dan bersikap dingin terhadap
saya.
"Saya harap jika suami terbaca ruangan
ini harap maafkan saya. Saya tidak bermaksud untuk menguris hatinya. Saya tidak
mahu masalah ini berlarutan dan mengganggu tumpuan saya di tempat kerja. "Anak-anak perlukan ayahnya. Mereka
selalu bertanya kenapa ayah asyik marah-marah sekarang. Saya harap semua ini
akan berakhir segera. Teman baik saya juga berjanji untuk menolong. Saya harap
semuanya akan selesai dengan cara baik. Doakan saya," pinta Sari penuh
harap sebelum menamatkan perbualan kami.
Perkara begini adalah lumrah dalam rumah
tangga. Nasihat saya, cuba ajak suami berbincang dari hati ke hati. Pujuk dia
secara perlahan-lahan. Saya setuju bahawa masalah ini berpunca dari
salah faham sahaja. Itu yang bahayanya kalau selalu rujuk dan bertanya dengan
kawan-kawan tentang masalah rumah tangga. Kiranya tidak berhasil, minta bantuan saudara
terdekat untuk selesaikan. Bimbang juga jika dibiarkan terlalu lama ia akan
membawa padah. Sari mesti faham, orang lelaki terutama suami
pantang dituduh ada hubungan dengan wanita lain sebab mereka akan merasa
tercabar.
Sebagai isteri kita perlu banyak mengalah,
mulut jangan terlalu lancang dan jangan sesekali meninggikan suara. Layanan
lemah lembut dan bahasa yang sopan boleh mencairkan hati mereka. Mengakhiri catatan pesanan saya, petiklah
sekuntum bunga itu sebelum ia gugur ditiup angin.