Kisah Sedih Peminjam PTPTN
10 Jun 2009
TUJUAN saya bukan untuk
meraih simpati atau memalukan mana-mana pihak tetapi tujuan saya hanya satu,
biarlah pihak PTPTN membuka mata dan memandang serius perkara ini. Saya sedang menuntut di
Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam semester empat jurusan Mikrobiologi. Saya
berasal dari keluarga susah dan telah kehilangan bapa pada 2001. Ibu hanya
pengusaha gerai kecil di kampung. Lantaran itu, saya sangat mengharapkan bantuan
PTPTN untuk meneruskan pengajian saya di ibu kota ini. Dengan harapan
menggunung, saya yakin tidak akan menghadapi masalah ketika pengajian dan tidak
menyusahkan ibu di kampung menanggung pengajian saya.
Namun harapan tinggal
harapan. Sepanjang empat semester saya belajar di universiti ini, masalah
pinjaman saya dengan PTPTN tidak pernah selesai. Semenjak semester satu,
pinjaman mula bermasalah. Pembayaran kepada saya tidak pernah dalam keadaan
sempurna. Pada semester satu:
Mungkin kerana masalah semasa proses pendaftaran, nama saya tercicir. Oleh sebab itu, sepanjang
semester satu saya tiada punca kewangan. Keadaan saya terlalu perit. Lebih
perit apabila kos buku adalah tinggi. Habis cara saya lakukan untuk mendapatkan
wang.
Pada semester kedua:
Setelah seksa saya di semester satu, saya diberi bayaran dua kali ganda. Pada
saya itu tidak memberi makna apa-apa. Dengan bayaran yuran pengajian dan yuran
penginapan yang mencecah RM2,000, bayaran dua kali ganda itu tidak bererti
kerana masih banyak hutang yang perlu saya jelaskan. Semester ketiga: Biarpun
statusnya sama seperti rakan-rakan yang lain, tetapi keadaannya tidak sama.
Pada semester ketiga, dipotong bayaran yuran, juga bayaran pendahuluan pada
awal pengajian dulu sebanyak RM1,500, pinjaman hanya berbaki RM800.
Dan jumlah inilah yang
akan menampung perbelanjaan selama enam bulan ini. Cukupkah? Jika pelajar lain
mempunyai sumber kewangan lain daripada ibu bapa, saya bergantung sepenuhnya
kepada pinjaman PTPTN, bagaimanakah nasib saya? Oleh itu saya mengambil
keputusan untuk bekerja. Saya berulang-alik antara tempat kerja dan universiti.
Pelbagai dugaan yang saya hadapi semata-mata untuk mendapatkan duit tetapi
itulah yang memberi semangat untuk terus gigih belajar. Penat dan lelah, saya
tidak pedulikan. Kawan-kawan melihat saya dengan kekaguman, tetapi derita PTPTN
yang mengheret kepada kekaguman itu saya tanggung sendiri dan hanya saya yang
rasa.
Dengan tekanan di tempat
kerja, dengan tekanan pelajaran, di hujung malam saya pasti menangis menghadap
Ilahi. Sedihnya apabila terpaksa memonteng kelas dan ketinggalan banyak nota
pelajaran. Namun, kerja itu sedikit
sebanyak mampu menjadi sumber kewangan pada waktu itu dan tidak lagi hanya
makan roti di akhir semester. Saya berharap semester
depan, semester keempat, pihak PTPTN membuat bayaran dengan sempurna. Namun malang menimpa lagi.
Semester ini, sejak bulan Januari saya telah berusaha menyelesaikan masalah
PTPTN, tetapi sampai April dan tidak lama lagi semester akan berakhir, masalah
PTPTN tak selesai lagi.
Setiap hari saya terpaksa
memikirkan masalah pinjaman PTPTN. Lebih malang, semester ini saya tidak boleh
bekerja memandangkan semester ini agak pendek dan saya harus tumpukan perhatian
sepenuhnya pada pengajian. Telah beratus-ratus duit
saya pinjam dari kawan-kawan. Berbekalkan kepercayaan mereka terhadap saya,
mereka masih sudi membantu. Bagi saya PTPTN terlalu
kejam terhadap saya. Saya bertanya pihak PTPTN apa masalah saya, kata mereka
surat perjanjian tidak sampai ke rumah. Baiklah saya pasrah, saya buat seperti
yang disuruh. Menunggu dan terus menunggu sehingga saya merasakan terlalu letih
menghadapi PTPTN lagi.
Situasi pada waktu itu
seolah-olah saya tiada kerja lain selain mengemis duit daripada PTPTN. Pada 25
Mac 2009, saya mengambil keputusan pergi sendiri ke pejabat PTPTN di Damansara. Setiba di sana, saya
disuruh menandatangani akuan penerimaan surat perjanjian sedangkan saya masih
belum terima surat perjanjian tersebut. Kata mereka surat perjanjian itu telah
dipos tetapi masih tak sampai kepada saya. Saya bertanya pada orang yang
berurusan dengan saya waktu itu, bilakah pembayaran akan dibuat? Katanya pada 3
April 2009. Namun, pada 3 April 2009,
wang tidak masuk juga. Saya menghubungi dan kata mereka PTPTN hanya akan
membuat bayaran pada hari ke-14 bekerja.
Saya menangis waktu itu,
apa yang terbayang hanyalah mengikat perut untuk tempoh itu. Tetapi sampai
bilakah saya mampu bertahan, tidak lain saya terpaksa meminjam lagi. Malunya
saya rasa hidup asyik menagih duit orang. Pada 10 April sekali lagi
saya menelefon pihak PTPTN, bertanyakan bilakah PTPTN akan membuat pembayaran.
Mereka memberi lagi alasan PTPTN sedang membuat pengesahan daripada pihak
universiti dahulu. Pembayaran tidak pasti bila akan dilakukan. Saya rasa sudah terlalu
penat dipermainkan pihak PTPTN. Saya tidak berniat meraih perhatian mana-mana
pihak, saya cuma ingin meraih perhatian pihak PTPTN sendiri.
Pandanglah sekejap masalah
saya dan tolonglah mengerti derita saya selama ini. Biarlah saya belajar dengan
tenang selepas ini. Dan saya yakin di luar sana masih ramai yang menghadapi
masalah seperti saya.
NAZIATUL AZLIN IBRAHIM
Universiti Putra Malaysia,
Serdang
Kredit : UtusanMalaysia
© Utusan Melayu (M) Bhd