Selidik Pasangan Sebelum Bertunang | Putuskan Pertunangan Tanpa Persetujuan Adalah Mungkir Janji
26 Apr 2013
KES putus tunang atau
membatalkan perkahwinan yang dirancang kerap berlaku dalam masyarakat. Dalam
banyak kes, ia diselesaikan dengan baik, biarpun salah satu pihak pada dasarnya
tidak berpuas hati dengan pembatalan itu.
Ikatan pertunangan
adalah satu perjanjian yang mana pihak lelaki dan perempuan bersetuju untuk
berkahwin pada masa depan dalam tempoh dipersetujui. Dalam masyarakat Melayu,
proses meminang diadakan secara beradat yang membabitkan merisik sebelum majlis
meminang.
Merisik sebelum meminang adalah tuntutan agama. Tidak semestinya diadakan acara rasmi seperti biasa diadakan. Apa yang dikehendaki ialah maklumat mengenai perempuan yang bakal dipinang.
Biasanya merisik bertujuan bagi pihak lelaki mengetahui mengenai perempuan hendak dipinang. Pada masa sama juga pihak perempuan boleh bertanya mengenai lelaki yang masuk merisik itu.
Pengumpulan maklumat
kedua-dua pihak amat penting bagi memastikan tidak ada perkara yang sengaja
disembunyikan. Banyak kes putus tunang disebabkan tidak mengetahui identiti
sebenar pasangan masing-masing.
Sikap menyembunyikan
fakta diri atau sengaja menyatakan perkara yang tidak tepat membawa kesan buruk
hingga mendatangkan tidak puas hati yang membawa kepada putus pertunangan.
Kes putus pertunangan
memberi kesan buruk, lebih-lebih lagi jika berlaku ketika waktu perkahwinan
terlalu hampir. Persiapan majlis perkahwinan diadakan dan tetamu sudah
diundang. Pembatalan perkahwinan pada saat-saat akhir bukan saja mengecewakan
bakal pengantin, tetapi seluruh ahli keluarga.
Mereka bukan saja menanggung kerugian kewangan menyediakan persiapan perkahwinan, tetapi juga maruah turut tercalar dan menerima aib pada mata masyarakat.
Mereka bukan saja menanggung kerugian kewangan menyediakan persiapan perkahwinan, tetapi juga maruah turut tercalar dan menerima aib pada mata masyarakat.
Mengikut Seksyen 15 Akta
Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, jika seseorang
mengikat pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara
bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui orang perantaraan dan
kemudian enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi tanpa sebab yang sah,
manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang
mungkir bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan jika ada, atau nilai
dan membayar apa-apa wang yang dibelanjakan untuk membuat persediaan bagi
perkahwinan itu, boleh menuntutnya di mahkamah.
Antara punca putus
pertunangan ialah adanya gangguan pihak ketiga. Sikap mengatakan ‘baru
bertunang, belum kahwin lagi’ sebagai gambaran bahawa ikatan itu mudah
diputuskan amat ditegah oleh agama. Memang ikatan pertunangan tidak sekuat
ikatan perkahwinan, Islam tetap menegah perkara itu dibuat main-main.
Sabda Rasulullah SAW
bermaksud: “Seorang mukmin adalah saudara bagi mukmin yang lain. Oleh itu tidak
halal dia membeli pembelian saudaranya, dan tidak halal pula dia meminang
pinangan saudaranya itu.” (Hadis riwayat Muslim).
Jelas sekali, haram bagi lelaki masih menaruh minat terhadap perempuan yang
sudah bertunang. Begitu juga, perempuan yang menjadi tunangan orang, jangan
sekali-kali terpikat kepada lelaki lain.
Perbuatan meminang atau
menjalin hubungan dengan perempuan sudah bertunang samalah seperti merampas hak
orang lain. Sifat sedemikian boleh menyebabkan perbalahan di antara lelaki yang
saling ingin memiliki perempuan yang sama. Akibatnya boleh menyebabkan
permusuhan berpanjangan yang memutuskan persaudaraan.
Bagaimanapun, perempuan
yang sudah bertunang boleh dipinang selepas ikatan pertunangan dibatalkan oleh
pihak lelaki. Perkara itu mungkin juga berlaku di atas permintaan pihak
perempuan dan dipersetujui pihak lelaki.
Perempuan yang bertunang
juga boleh dipinang jika diizinkan tunangnya. Keadaan ini berlaku jika
tunangnya bersedia memutuskan pertunangan dan mengetahui ada lelaki lain ingin
meminang tunangnya.
Rasulullah SAW bersabda
bermaksud: “Seorang lelaki tidak boleh meminang pinangan lelaki lain, sehinggalah
lelaki pertama yang meminangnya membatalkannya, atau mengizinkannya.” (Hadis
riwayat Bukhari).
Memutuskan pertunangan tanpa
kerelaan satu pihak lagi bermakna tidak menunaikan janji ingin berkahwin. Dalam
Islam menunaikan janji adalah sesuatu amat dituntut. Sesiapa tidak menunaikan
janji termasuk melakukan perbuatan munafik.
Sabda Rasulullah SAW
bermaksud: “Tiga perkara, sesiapa yang berada di dalamnya, maka dia adalah
munafik, walaupun dia berpuasa, sembahyang dan mengaku dirinya seorang Muslim.
(Perkara itu ialah) Apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia memungkiri dan apabila dipercayai dia khianat.” (Hadis riwayat Bukhari dan
Muslim).
Ikatan pertunangan
adalah janji secara dasarnya lahir daripada sikap saling mempercayai dan
menghormati antara kedua-dua pihak yang mengikat janji.
Tetapi dalam keadaan
yang mana ada alasan kukuh dan demi untuk kebaikan, ikatan pertunangan boleh
diputuskan dengan persetujuan kedua-dua pihak. Islam mengharuskan perbuatan itu
atas dasar untuk mengelakkan keburukan jika pertunangan diteruskan dan
lebih-lebih lagi apabila berkahwin.
Dalam keadaan itu,
kedua-dua pihak perlu berlapang dada dan tidak saling menyalahkan.
Sebab itu, dinasihatkan
agar pasangan bercinta atau perempuan dirisik jangan terburu-buru mengikat
pertunangan. Ambillah sedikit masa untuk mengenali dan menyelidiki pasangan
terlebih dulu
Nabi Muhammad memberi
panduan yang terbaik bagaimana mencari pasangan hidup. Sabda Rasulullah SAW
bermaksud: “Dikahwini wanita itu kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya,
keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Maka utamakan wanita yang kuat
beragama, nescaya sejahtera hidupmu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Kredit : BeritaHarian