SLIDER

tunang
Showing posts with label tunang. Show all posts

Tunang Di Rampas Kawan Baik

12 May 2017


Aku tak tahu macam mana nak mulakan cerita. Tkasih admin kerana siarkan cerita aku ni. Pengalaman putus tunang membuatkan aku sedih dan murung. Malah yang lebih teruk tunang aku dirembat oleh kawan baik aku sendiri. Dah 6 bulan aku putus tunang, tapi pedih terluka akibat perbuatan bekas tunang dan kawan baik aku masih lagi belum sembuh. Putus tunang tu mungkin aku boleh move-on lagi, yang aku tak boleh terima sampai skrg ialah, bila memikirkan kawan baik aku sendiri yang merampas tunang aku. Hubungan baik kami selama bertahun-tahun hancur macam tu je.

Aku tak sangka kawan baik aku sendiri sanggup tikam aku dari belakang. Kami berkawan baik sejak kami sekolah menengah, masuk universiti bersama-sama, grad sama-sama, dan bekerja pun dalam masa yang sama. Cuma kami kerja di syarikat lain-lain. Setiap hujung minggu kami selalu jugak berjumpa utk lepak-lepak, berborak , sembang mcm-mcm topik sehinggalah kepada topik teman wanita. Aku kenalkan teman wanita aku pada kawan baik aku. Tak ada apa pun yang mencurigakan antara merak. Mereka bersahabat seperti biasa je.

Kami bertunang selepas kenal hampir 3 tahun. Betullah kata orang tua-tua, tempoh pertunangan adalah tempoh yang paling mencabar. Terlalu banyak dugaan dan masalah yang perlu kami hadapi. Sebab tu orang tua-tua cakap jangan bertunang lama-lama. Banyak fitnah berleluasa. Bermulah dari sini , episod suka dan duka kami. Aku akui aku seorang yang sibuk bekerja. Kadang-kadang aku oustation. Hujung minggu pun kadang-kadang kena visit luar kawasan. Jadi, kadang-kala aku tak sempat meluangkan masa untuk keluar bersama tunang aku pada hujung minggu. Tapi aku tak pernah miss untuk call tunang aku untuk beri perhatian kepada dia.

Aku ada berbincang dengan tunang tetang kesibukan aku, aku minta dia bersabar sedikit untuk aku cari wang untuk persiapan perkahwinan kami. Bila kahwin nanti, aku rancang utk cari kerja lain yang lebih tersusun waktu kerjanya. Pada mulanya tunang aku faham, tapi lama kelamaan aku perasan akan perubahan tunang aku. Dia dah macam tak kisah kalau aku kerja jee tanpa ada masa untuk dia. Tak kisah bila aku lama tak call. Kalau dapat call pun, macam dah hambar, dah tak ada topik nak borak. Kalau dulu sejam juga bertelefon, tapi skrg baru beberapa minit, je tunang aku cakap die sibuk . Tak boleh cakap lama-lama. 

Aku pelik. Sampailah satu hari, aku terserempak tunang aku dengan kawan baik aku baru keluar dari menonton wayang. Aku ikut je derang dari belakang. Mereka berpegangan tangan ! Aku tersentak! Mereka pergi makan sama-sama, nampak kemesraan diorang lebih daripada seorang kawan. Dah mcm pasangan kekasih!

Seminggu aku tak call tunang aku. Dia pun takde call aku. Aku keliru. Untuk kepastian aku terus ajak tunang aku dan kawan baik aku keluar dan berterus-terang dengan diorang apa yang aku nampak dengan mata aku sendiri. Pada mulanya tunang aku menafikan semua itu dalam keadaan yang serba salah. Tapi kawan baik aku dengan selambanya mengaku yang diorang memang bercinta di belakang aku, sambil pegang tangan tunang aku depan mata aku ! Tahap kesabaran aku masa tu memamg tak boleh di kawal dan aku hampir bertumbuk dengan kawan baik aku betul -betul dihadapan orang ramai.

Tunang aku yang menghalang kami drp terus bergaduh di situ. Masa tu juga tunang aku bagi penjelasan yang hati dia kosong bila bersama ngan aku. Selalu dibiarkan tanpa perhatian. jadi die selalu mengadu masalah dia pada kawan baik aku. Aku tak tahulah apa ayat -ayat kawan baik aku tu gunakan dan bagi pada tunang aku sampai die beralih kasih pada kawan baik aku tu. Aku tak pasti sama ada kawan baik aku tu memujuk tunang aku atau dia cuba ambil kesempatan atas tunang aku. Apapun sebabnya aku rasa perbuatan kawan baik aku terlalu kejam. Aku kecewa.

Aku terus bagitahu keluarga aku akan cerita ni dan membuat keputusan memutuskan pertunangan ni. Buat apa lagi aku teruskan hubungan kalau die rasa aku tak boleh membahagiakan hidup die. Selepas putus tunang aku cuba sibukkan diri untuk menghilangkan sakitnya hati akibat perbuatan mereka. Masa ni hati aku memang sangat berdendam pada diorang. Aku tengok diorang happy je bersama, sedangkan aku masih duduk meratapi kehilangan tunang yang dirampas kawan baik aku sendiri. 

Aku kini cuba untuk bermuhasabah diri, cuba membetulkan kesilapan aku. Mungkin ada juga silapnya aku dalam hal ini. Aku cuba melupakan dengan apa yang dah terjadi. Sedikit sebanyak ia dapat tenangkan jiwa aku. Namun yang membuat jiwa aku masih kacau ialah masih berlegar-legar kat kepala aku ni, muka kawan baik aku yang aku percaya dan dulunya aku sayang relationship ni . Aku tak nak berterusan membenci kawan baik aku. Tolong aku mcm mana aku nak redha dengan apa yang terjadi. Mungkin tak de jodoh kami.

-Jiwa Kacau-


Selidik Pasangan Sebelum Bertunang | Putuskan Pertunangan Tanpa Persetujuan Adalah Mungkir Janji

26 Apr 2013


KES putus tunang atau membatalkan perkahwinan yang dirancang kerap berlaku dalam masyarakat. Dalam banyak kes, ia diselesaikan dengan baik, biarpun salah satu pihak pada dasarnya tidak berpuas hati dengan pembatalan itu.
Ikatan pertunangan adalah satu perjanjian yang mana pihak lelaki dan perempuan bersetuju untuk berkahwin pada masa depan dalam tempoh dipersetujui. Dalam masyarakat Melayu, proses meminang diadakan secara beradat yang membabitkan merisik sebelum majlis meminang.

Merisik sebelum meminang adalah tuntutan agama. Tidak semestinya diadakan acara rasmi seperti biasa diadakan. Apa yang dikehendaki ialah maklumat mengenai perempuan yang bakal dipinang.
Biasanya merisik bertujuan bagi pihak lelaki mengetahui mengenai perempuan hendak dipinang. Pada masa sama juga pihak perempuan boleh bertanya mengenai lelaki yang masuk merisik itu.
Pengumpulan maklumat kedua-dua pihak amat penting bagi memastikan tidak ada perkara yang sengaja disembunyikan. Banyak kes putus tunang disebabkan tidak mengetahui identiti sebenar pasangan masing-masing.
Sikap menyembunyikan fakta diri atau sengaja menyatakan perkara yang tidak tepat membawa kesan buruk hingga mendatangkan tidak puas hati yang membawa kepada putus pertunangan.
Kes putus pertunangan memberi kesan buruk, lebih-lebih lagi jika berlaku ketika waktu perkahwinan terlalu hampir. Persiapan majlis perkahwinan diadakan dan tetamu sudah diundang. Pembatalan perkahwinan pada saat-saat akhir bukan saja mengecewakan bakal pengantin, tetapi seluruh ahli keluarga.
Mereka bukan saja menanggung kerugian kewangan menyediakan persiapan perkahwinan, tetapi juga maruah turut tercalar dan menerima aib pada mata masyarakat.
Mengikut Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, jika seseorang mengikat pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui orang perantaraan dan kemudian enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi tanpa sebab yang sah, manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan jika ada, atau nilai dan membayar apa-apa wang yang dibelanjakan untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, boleh menuntutnya di mahkamah.
Antara punca putus pertunangan ialah adanya gangguan pihak ketiga. Sikap mengatakan ‘baru bertunang, belum kahwin lagi’ sebagai gambaran bahawa ikatan itu mudah diputuskan amat ditegah oleh agama. Memang ikatan pertunangan tidak sekuat ikatan perkahwinan, Islam tetap menegah perkara itu dibuat main-main.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Seorang mukmin adalah saudara bagi mukmin yang lain. Oleh itu tidak halal dia membeli pembelian saudaranya, dan tidak halal pula dia meminang pinangan saudaranya itu.” (Hadis riwayat Muslim). 
Jelas sekali, haram bagi lelaki masih menaruh minat terhadap perempuan yang sudah bertunang. Begitu juga, perempuan yang menjadi tunangan orang, jangan sekali-kali terpikat kepada lelaki lain.
Perbuatan meminang atau menjalin hubungan dengan perempuan sudah bertunang samalah seperti merampas hak orang lain. Sifat sedemikian boleh menyebabkan perbalahan di antara lelaki yang saling ingin memiliki perempuan yang sama. Akibatnya boleh menyebabkan permusuhan berpanjangan yang memutuskan persaudaraan.
Bagaimanapun, perempuan yang sudah bertunang boleh dipinang selepas ikatan pertunangan dibatalkan oleh pihak lelaki. Perkara itu mungkin juga berlaku di atas permintaan pihak perempuan dan dipersetujui pihak lelaki.
Perempuan yang bertunang juga boleh dipinang jika diizinkan tunangnya. Keadaan ini berlaku jika tunangnya bersedia memutuskan pertunangan dan mengetahui ada lelaki lain ingin meminang tunangnya.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Seorang lelaki tidak boleh meminang pinangan lelaki lain, sehinggalah lelaki pertama yang meminangnya membatalkannya, atau mengizinkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).
Memutuskan pertunangan tanpa kerelaan satu pihak lagi bermakna tidak menunaikan janji ingin berkahwin. Dalam Islam menunaikan janji adalah sesuatu amat dituntut. Sesiapa tidak menunaikan janji termasuk melakukan perbuatan munafik.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tiga perkara, sesiapa yang berada di dalamnya, maka dia adalah munafik, walaupun dia berpuasa, sembahyang dan mengaku dirinya seorang Muslim. (Perkara itu ialah) Apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia memungkiri dan apabila dipercayai dia khianat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Ikatan pertunangan adalah janji secara dasarnya lahir daripada sikap saling mempercayai dan menghormati antara kedua-dua pihak yang mengikat janji.
Tetapi dalam keadaan yang mana ada alasan kukuh dan demi untuk kebaikan, ikatan pertunangan boleh diputuskan dengan persetujuan kedua-dua pihak. Islam mengharuskan perbuatan itu atas dasar untuk mengelakkan keburukan jika pertunangan diteruskan dan lebih-lebih lagi apabila berkahwin.
Dalam keadaan itu, kedua-dua pihak perlu berlapang dada dan tidak saling menyalahkan.
Sebab itu, dinasihatkan agar pasangan bercinta atau perempuan dirisik jangan terburu-buru mengikat pertunangan. Ambillah sedikit masa untuk mengenali dan menyelidiki pasangan terlebih dulu
Nabi Muhammad memberi panduan yang terbaik bagaimana mencari pasangan hidup. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Dikahwini wanita itu kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Maka utamakan wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Kredit : BeritaHarian
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.