Di Paksa Kahwin Dengan Pilihan Hati Ibu
21 Mar 2018
SETIAP kali Cik Kuntum keluarkan cerita mengenai kecurangan,
pelbagai reaksi diterima daripada pembaca. Ada yang memberikan cadangan dan
tidak kurang juga yang marah-marah. Malah, Cik Kuntum pernah dilayangkan
kiriman e-mel daripada pembaca yang berada di luar negara selepas membaca
cerita seorang jejaka sedikit masa dulu yang berpoligami kerana kononnya
bersimpati dengan seorang gadis yang ditinggalkan teman lelakinya.
Begitu pun, dalam banyak e-mel yang dikirimkan selepas kisah
Noor disiarkan minggu lalu, Cik Kuntum tertarik dengan e-mel pengirim yang
hanya menamakan dirinya sebagai Linda. Begini tulisnya.
“Pada pendapat saya, jika Noor sanggup bermadu teruskan saja
(majlis pernikahan), tetapi adalah wajar beliau dan tunangnya bersemuka dengan
isteri tunangannya itu. Kita tidak boleh ketepikan hak isteri dan anak-anaknya,
berbincanglah daripada hati ke hati.
Lelaki memang begitulah sifatnya. Berani buat, tetapi takut
bertanggungjawab. Lelaki sekarang tidak faham erti poligami, mereka kahwin lain
semata-mata kerana nafsu (sebenarnya pantang tengok perempuan dahi licin dan
konon-konon kuat tenaga batinnya) dan duit (sama ada wanita atau keluarga itu
berduit atau ada pangkat, lagi bagus kalau ada dua-duanya sekali).
Tiada lelaki di dunia ini yang dapat berlaku adil selepas
berpoligami seperti dan selepas Rasulullah kita. Noor kena terimalah jika
isteri tunangannya melenting, tetapi itu bukan salah dia sebab dia kena tipu
dan daripada situlah nanti Noor akan tahu sifat sebenar tunang dan isteri
tunangannya.
Timbangkanlah apa yang terbaik demi kebahagiaan diri sendiri.
Minta nasihat ahli keluarga. Bagi saya, tiada maknanya mengahwini suami orang.
Jijik rasanya berkongsi dirinya dengan orang lain, bukannya kita tahu atau nak
tanya sejarah kesihatan (sakit tuan puan) mereka suami isteri. Betul tak?”
Ada benar juga persoalan yang ditimbulkan Linda. Berpoligami
maknanya sanggup berkongsi hidup dengan lelaki yang diketahui mempunyai
hubungan seks yang aktif dengan wanita lain. Apapun seperti kata Linda,
terpulang kepada Noor untuk membuat keputusan sendiri kerana jika dia bimbang
akan maruah keluarga sehingga meneruskan majlis pernikahannya tanpa memikirkan
masalah yang akan timbul pada masa depan, dia mungkin silap. Pada masa ini,
sebaiknya Linda perlu memikirkan dirinya dan bukan orang lain.
Minggu ini, Cik Kuntum siarkan pengakuan seorang lagi pembaca
yang hanya menamakan dirinya Din. Perjalanan hidup Din hampir menyamai drama
bersiri Kutub Utara Kutub Selatan yang pernah disiarkan tidak lama dulu, dan
hingga kini masih menetap di bandar raya D bersama keluarganya.
“Selepas membaca cerita Noor, saya terpanggil untuk menulis
kepada Cik Kuntum. Kisahnya sama seperti yang pernah saya lalui hampir lima
tahun lalu. Cuma bezanya saya dipaksa berkahwin ibu sendiri dengan gadis
sekampung saya, Lina, walaupun ketika itu saya sudah berkahwin dengan wanita
cinta hati saya, Asmah.
Biarlah saya rahsiakan nama sebenar mereka kerana kisah sedih
ini hanya melukakan banyak hati. Saya berkahwin dengan Asmah, rakan sekuliah
ketika di kampus tidak lama selepas kami tamat pengajian. Keluarga saya sendiri
datang bertandang untuk meminang apabila saya menyuarakan mengenai pilihan hati
saya.
Ketika itu tiada bantahan daripada keluarga khususnya ibu.
Tetapi siapa sangka tidak lama selepas kami berkahwin, tiba-tiba satu hari
(hari bekerja) ibu meminta saya pulang segera ke kampung kerana ada kecemasan
dalam keluarga. Memandangkan isteri tidak boleh mengambil cuti kecemasan,
pulanglah saya sendirian menaiki kereta ke kampung.
Tiba di rumah, ibu terus meminta saya mengenakan baju Melayu dan
ketika itu saya melihat adik beradik lain hanya menundukkan pandangan. Tanpa
soal bicara, saya mengenakan baju Melayu yang disediakan ibu dan mengikut
mereka menaiki kereta.
Puas saya bertanya kepada adik beradik lain apa yang berlaku,
semuanya menggelengkan kepala enggan berkata. Perjalanan kami hanya mengambil
masa kira-kira 20 minit dan kami berhenti di sebuah rumah yang saya lihat penuh
dengan orang ramai.
Dalam hati terdetik, siapa yang mati. Tetapi sebaik tiba di muka
pintu, kami disambut seorang lelaki berusia yang dengan ramah memeluk saya.
Ketika itu darah saya tersirap apabila melihat ada pelamin dan bantal nikah
yang disediakan di ruang tamu.
Saya bagaikan terpukau apabila diiringi ke ruang tengah dan apa
yang saya sedar, saya sudah duduk berdepan dengan kadi daerah kami. Terkejut
saya dan ketika itu saya menyedari bahawa saya menghadiri majlis pernikahan
sendiri.
Saya meminta untuk berbincang dengan keluarga dan ketika ke
tepi, saya terdengar bisikan tetamu lain, ‘Gemuruh agaknya’. Apabila berada di
satu sudut, sebelum sempat saya membuka mulut, ibu terus berkata “Aku benarkan
kahwin dengan si Asmah dulu sebab engkau yang hendak sangat. Ini menantu
pilihan aku, kalau kau buat malu keluarga hari ini aku tidak mengaku anak
sampai bila-bila”.
Terkejut dengan kata-kata ibu, saya terpaksa menurut kerana kami
adik beradik tidak pernah membantah kata ibu bapa sejak kecil lagi. Dipendekkan
cerita, saya berkahwin kali kedua hanya selepas empat bulan menikahi Asmah.
Patutlah ibu bersungguh-sungguh tidak mahu membuat kenduri menyambut tetamu
dulu kerana dia sudah mempunyai perancangan.
Sebaik habis majlis itu, saya terus beredar membuatkan tetamu
lain terpinga-pinga dan terus memandu pulang petang itu juga menuju ke Kuala
Lumpur. Saya merahsiakan apa yang berlaku kerana bimbang Asmah terluka,
lebih-lebih lagi ketika itu dia sedang hamil dua bulan.
Tidak saya sangka, ibu dan bapa datang bersama Lina ke rumah
saya keesokan harinya. Ketika itu terungkailah cerita sebenar, tetapi saya
kagum dengan sikap Asmah yang tenang walaupun dimaki hamun ibu. Ibu memaksa
saya mengambil Lina tinggal bersama kami dan bagi memastikan saya melakukan
kehendaknya dia turut tinggal bersama kami.
Setiap malam dia memaksa saya masuk ke bilik bersama Lina,
walaupun enggan saya terpaksa akur kerana bimbang mengganggu jiran apabila ibu
menjerit-jerit seperti histeria. Sumpah, saya tidak pernah menyentuh Lina
kerana cinta saya hanya kepada Asmah. Lebih menyedihkan, Asmah meminta saya
menceraikan dia, tetapi saya meminta dia bertahan dan berjanji akan melakukan
sesuatu.
Apabila ibu pulang ke kampung dengan ugutan penuh bermakna
kepada saya, saya dengan segera berkemas meninggalkan Lina yang terpinga-pinga
dan membawa Asmah ke tempat lain yang dirahsiakan daripada keluarga.
Semuanya sudah saya rancang. Saya mengambil keputusan untuk
mengikut teman baik yang bekerja di luar negara dan tiga bulan selepas itu saya
terbang ke bandar raya D bersama Asmah. Atas bantuan rakan peguam, saya membawa
kes ke mahkamah dan menceraikan Lina. Saya tahu Lina tidak bersalah, tetapi
perkahwinan kami bukan atas kerelaan saya.
Saya mendapat tahu keluarga mencari saya, tetapi biarlah saya
membawa hati yang lara kerana tidak sangka ibu sanggup melukakan hati anaknya
sendiri. Bukan hendak menjadi anak derhaka, tetapi jika keluarga sendiri
sanggup membohongi saya, tiada apa lagi yang boleh membuatkan saya tunggu lagi.
Kini saya masih di D dan bahagia bersama Asmah serta dua cahaya
mata kami.”
Panjang sebenarnya kiriman e-mel Din, tetapi terpaksa
dipendekkan kerana ruang yang terhad. Cik Kuntum tidak sangka, pada zaman moden
ini masih ada lagi kahwin paksa dan kisah menantu pilihan.
Tetapi, Cik Kuntum bangga dengan Din yang melakukan perkara
terbaik walaupun mungkin melukakan hati keluarga termasuk ibu. Ada sesetengah
lelaki yang mungkin gembira dengan apa yang berlaku jika berada pada tempat
Din, tetapi Din sebaliknya.
Kepada ibu bapa hari ini, jadikan kisah Din sebagai pengajaran.
Tetapi biarlah pastikan pilihan mereka itu adalah yang terbaik dan paling
penting, berbincanglah sebelum melakukan sesuatu. Itu cara terbaik supaya tiada
masalah yang timbul kelak.