SLIDER

paksa
Showing posts with label paksa. Show all posts

Sakit Kronik : Jangan Terpengaruh Dengan Ubat Ajaib

27 Jun 2022




Penulis adalah bekas pesakit buah pinggang kronik. Pernah menjalani rawatan cuci darah (C.A.P.D). Sembuh daripada sakit ini selepas menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang pada tahun 2010, menerima buah pinggang ibu saudaranya. 

“Kalau buah pinggang kecut masih boleh diubati! Produk kami ni mampu menghidupkan kembali sel-sel buah pinggang awak. Nanti selepas beberapa ketika buah pinggang awak akan kembang balik.” Itu antara janji seorang penjual produk ajaib kepada saya dahulu. Setahu saya buah pinggang adalah anggota kekal seperti tangan, kaki, telinga dan sebagainya. Adakah tangan yang putus akan tumbuh balik setelah makan produk ajaib itu? Adakah anggota tubuh manusia seperti ekor cicak? Boleh tumbuh semula apabila putus?

Pernah isteri saya bertembung dengan seorang peguam yang turut mempromosi ubat perawat sel yang didakwa sangat ajaib dan mampu mengubati segala penyakit atas “planet bumi.” Isteri saya menolak dengan sopan dan mengatakan tarikh pembedahan buah pinggang sudah ditetapkan pihak Hospital Selayang. 

Si penjual ubat ajaib dengan yakin berkata:
“JANGAN BUAT PEMBEDAHAN ITU DAHULU! Makan produk ini dahulu! Sebabnya apabila dah buat pembedahan maka tiada harapan lagi untuk sembuh!”

Apabila isteri saya berkeras tak mahu mendengar ceramah ubat ajaibnya, si penjual mula menyerang peribadi setelah melihat wajah isteri saya pada waktu ada sedikit jerawat: “Kenapa muka awak tu berjerawat? Jerawat pun boleh diubati dengan produk saya ini!” Pernah seorang kawan Ustaz mencadangkan agar saya mengambil perubatan Sunnah seperti madu dan sebagainya. Saya tolak dan mengatakan fisiologi tubuh pesakit buah pinggang bukan lagi seperti orang normal yang mampu memproses apa sahaja yang masuk ke dalam badan. 

Kawan saya lantas berkata:
“Itulah masalah anta! Percaya sangat dengan perubatan moden.”
Saya hanya senyum sambil berkata dalam hati: “Anda boleh cadangkan apa sahaja, tapi tubuh saya yang menanggung derita atau duka atas cadangan spekulasi anda. Bukan saya tidak percaya dengan perubatan nabawi tapi ia masih terbuka untuk perbincangan oleh para ulama’ hadith.”

Lalu pengalaman tahun 2009 menjengah minda. Pada waktu itu saya baru memulakan rawatan Dialisis Air atau dipanggil C.A.P.D. Dalam bulan Ramadhan tahun itu, saya mengimamkan solat terawih di Masjid Ibn Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. 

Ketika dalam solat, “DADA SAYA BERASA SANGAT TIDAK SELESA. JANTUNG BERDEBAR DENGAN TIDAK TERATUR.” Dalam kalangan Jemaah kami ada seorang murid dewasa saya yang juga seorang Doktor pakar. Beliau adalah Mejar Jeneral (b) Datuk Dr. Zin bin Bidin. Selepas solat beliau memeriksa rentak nadi saya dan menasihatkan saya agar mengurangkan pengambilan kurma. Mengapa kurma? Bukankah kurma bagus untuk orang yang berpuasa? Rasulullah SAW sendiri pun berbuka puasa dengan kurma? 

Lain halnya dengan pesakit buah pinggang. Kurma, pisang dan beberapa buah-buahan yang lain mempunyai kandungan potassium yang sangat tinggi. Bagi tubuh yang normal, buah pinggang bertindak menstabilkan paras potassium dalam darah. Bagi pesakit buah pinggang, kandungan potassium tidak mampu diimbangi tubuh, lalu potassium berlebihan akan menggangu rentak jantung. Pesakit buah pinggang yang tidak mengawal kandungan potassium boleh mendapat “serangan sakit jantung!”

Pernah seorang penjual ubat ajaib yang lain mengesyorkan saya mengambil produk soya yang dia jual. Apabila saya maklumkan bahawa pesakit buah pinggang kronik tak boleh makan soya kerana ia akan membebankan buah pinggang yang sudah rosak, ini jawapannya dengan penuh yakin mengalahkan para doktor pakar:
“Produk soya kami ni lain! Ia sudah ditapis halus dan tak akan memberi kesan pada buah pinggang awak.”

Alhamdulillah! Allah memberikan saya kesabaran serta kecerdikan untuk mengelak daripada terjerumus ke dalam “fakta auta” si penjual ubat ajaib. Setelah lama menderita sakit buah pinggang sejak tahun 2001, saya mulai menghargai kesihatan dan menghormati profesyen perubatan. 

Pengorbanan mereka selama bertahun mempelajari ilmu perubatan adalah jihad yang sangat hebat. Setelah lama berdamping rapat dengan para doktor sebagai “ahli kelab paksa hospital selayang” dengan rawatan susulan setiap 2 atau 3 bulan, saya semakin memahami firman Allah ini:
وَمَا أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Ertinya: Dan Kami tidak mengutus para Rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); MAKA BERTANYALAH KAMU KEPADA ORANG BERILMU JIKA KAMU TIDAK MENGETAHUI (al-Anbiya’ [21:7]).

Konteks sebenar ayat ini adalah bertanya kepada Ahli kitab tentang “KEMANUSIAAN PARA RASUL.” Ia berpunca daripada sikap penduduk Mekah yang tidak percaya bahawa manusia seperti Rasulullah SAW boleh menjadi utusan Allah. Mereka beranggapan nabi sepatutnya muncul dari spesis malaikat. Ternyata orang Yahudi dan Nasrani mengakui tiada nabi yang pernah diutus dalam kalangan malaikat? Oleh itu mereka sepatutnya menerima Rasulullah SAW sebagai utusan Allah kepada mereka (Tafsir Ibn Kathir).

Perkataan “أهل الذكر” atau orang berilmu dalam ayat ini jika diterjemahkan kepada bahasa moden adalah “PAKAR BIDANG.” Beginilah cara al-Quran mengajar kita untuk hidup selamat di dunia dan di akhirat. Apabila buntu dan perlukan penjelasan, tanya ahlinya dan bukan percaya cakap sebarang orang. Tanyalah orang yang menghabiskan usia mengkaji atau mempelajari sesuatu bidang. 

Jangan ditanya cara membuat bangunan dari seorang nelayan, kelak runtuh bangunan kerana kiraan besi dan simen yang tidak cukup. Jangan juga ditanya hukum hakam berkaitan agama dari seorang pakar Matematik, kerana agama bukan subjek berkaitan nombor. Jangan juga ditanya pak ustaz tentang cara memproses petroleum, kelak rosak enjin dan tangki kereta anda. Kesimpulannya, hormatilah pakar bidang! 

Usahkan para penjual ubat ajaib, para doktor pun memiliki pengkhususan bidang yang berbeza. Setahu saya, tiada doktor yang serba tahu atau pakar semua bidang perubatan. Jika kita jumpa seorang doktor yang pakar semua aliran dan bidang perubatan (nefrologi, urologi, bedah, radiologi, telinga, mata, hidung, otak, saraf, jiwa dan semuanya), sudah pasti doktor itu adalah jelmaan nabi Isa AS atau berasal dari planet lain. 

Malangnya, semua kepakaran para doktor perubatan yang bertahun mengkaji perihal tubuh manusia langsung diatasi oleh para penjual ubat ajaib yang hanya “bermodal air liur, andaian dan spekulasi.” Testimoni mereka pun masih terlalu jauh untuk menyaingi dapatan kajian dalam perubatan moden.

Tambah parah sesetengah penjual ubat ajaib ini berani menunggang agama dengan mendakwa ubat mereka adalah ubat yang disebut oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadith:
لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
Ertinya: Bagi setiap penyakit mempunyai ubatnya. Apabila sesuatu ubat menyentuh sesuatu penyakit, maka ia akan memberikan penyembuhan dengan izin Allah (Sahih Muslim).

Hadith ini bukan semudah itu boleh diambil untuk menjadi “MASKOT ATAU DUTA” ubat ajaib anda. JAUH BEZANYA ANTARA UBAT SEBENAR DENGAN SPEKULASI UBAT TANPA BUKTI YANG CUKUP! Apa yang saya faham dari hadith ini adalah baginda Rasulullah SAW menyarankan kita agar mengkaji dan mencari ubat bagi penyakit yang dihidapi manusia. Tidak cukup hanya dengan mendakwa!

Pesan saya kepada para penjual ubat ajaib. Takutlah Allah! Jangan mencipta fakta palsu serba ajaib untuk ubat anda. Jika ada pesakit yang semakin parah atas auta anda, Allah pasti membalasi dengan setimpal di akhirat kelak. Jangan reka fakta! Ingat amaran Rasulullah SAW ini:
إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ يَنْزِلُ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ
Ertinya: Sesungguhnya seorang hamba (manusia) boleh sahaja bercakap sesuatu perkara yang tidak dapat dipastikan kebenarannya, lalu (perkara itu) AKAN MENJERUMUSKANNYA SEMAKIN DALAM KE DALAM NERAKA SEJAUH ANTARA TIMUR DAN BARAT (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Itulah nasib kami yang menghidap sakit kronik. Sudah jatuh ditimpa tangga. Sakit kami memang meresahkan jiwa. Ketika para doktor berusaha merawat kami, para penjual ubat ajaib pun muncul kerana melihat kami adalah “LUBUK EMAS” bagi mereka. Kasihanilah kami! Apa yang kami fikirkan hanya kesembuhan! Derita yang kami lalui saban hari sangat memeritkan jiwa. Jika dikata “makanlah tahi lembu yang dicampur dengan tongkat ali dan madu hutan Amazon untuk penyembuhan”, jangan terkejut jika ada yang sanggup buat untuk sebuah ni’mat penyembuhan! 

Tidak dinafikan, ada sesetengah penjual ubat ajaib ini ikhlas mahu membantu kami, tapi bantuan yang mahu diberikan biarlah berpada dan ada batasannya. Jika bantuan anda boleh menjadi kapak yang akan membunuh kami, maka simpanlah kapak itu. Fisiologi tubuh kami sudah berbeza daripada orang yang sihat. Biarlah para doktor yang bertauliah merawat kami. Cukuplah kalian sekadar mendoakan kami sahaja. 

Jangan pandang kami sebagai lubuk emas, sebaliknya lihatlah kami sebagai manusia yang perlu dikasihani. Hidup ini bak roda! Ada masa kita berada di atas dan ada masa kita berada di bawah. Ada masa kita sihat dan ada masa kita sakit. Apa agaknya perasaan anda wahai penjual ubat ajaib jika anak anda mati akibat salah makan ubat ajaib yang dijual oleh penjual yang lain? Fikirkan!

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
(5 Februari 2017)

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/…/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-…/
http://pts.com.my/…/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-ji…/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/…/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-…/

Kredit : Fb Abdullah Bukhari Abdul Rahim 




Di Paksa Kahwin Dengan Pilihan Hati Ibu

21 Mar 2018

SETIAP kali Cik Kuntum keluarkan cerita mengenai kecurangan, pelbagai reaksi diterima daripada pembaca. Ada yang memberikan cadangan dan tidak kurang juga yang marah-marah. Malah, Cik Kuntum pernah dilayangkan kiriman e-mel daripada pembaca yang berada di luar negara selepas membaca cerita seorang jejaka sedikit masa dulu yang berpoligami kerana kononnya bersimpati dengan seorang gadis yang ditinggalkan teman lelakinya.
Begitu pun, dalam banyak e-mel yang dikirimkan selepas kisah Noor disiarkan minggu lalu, Cik Kuntum tertarik dengan e-mel pengirim yang hanya menamakan dirinya sebagai Linda. Begini tulisnya.
“Pada pendapat saya, jika Noor sanggup bermadu teruskan saja (majlis pernikahan), tetapi adalah wajar beliau dan tunangnya bersemuka dengan isteri tunangannya itu. Kita tidak boleh ketepikan hak isteri dan anak-anaknya, berbincanglah daripada hati ke hati.
Lelaki memang begitulah sifatnya. Berani buat, tetapi takut bertanggungjawab. Lelaki sekarang tidak faham erti poligami, mereka kahwin lain semata-mata kerana nafsu (sebenarnya pantang tengok perempuan dahi licin dan konon-konon kuat tenaga batinnya) dan duit (sama ada wanita atau keluarga itu berduit atau ada pangkat, lagi bagus kalau ada dua-duanya sekali).
Tiada lelaki di dunia ini yang dapat berlaku adil selepas berpoligami seperti dan selepas Rasulullah kita. Noor kena terimalah jika isteri tunangannya melenting, tetapi itu bukan salah dia sebab dia kena tipu dan daripada situlah nanti Noor akan tahu sifat sebenar tunang dan isteri tunangannya.
Timbangkanlah apa yang terbaik demi kebahagiaan diri sendiri. Minta nasihat ahli keluarga. Bagi saya, tiada maknanya mengahwini suami orang. Jijik rasanya berkongsi dirinya dengan orang lain, bukannya kita tahu atau nak tanya sejarah kesihatan (sakit tuan puan) mereka suami isteri. Betul tak?”
Ada benar juga persoalan yang ditimbulkan Linda. Berpoligami maknanya sanggup berkongsi hidup dengan lelaki yang diketahui mempunyai hubungan seks yang aktif dengan wanita lain. Apapun seperti kata Linda, terpulang kepada Noor untuk membuat keputusan sendiri kerana jika dia bimbang akan maruah keluarga sehingga meneruskan majlis pernikahannya tanpa memikirkan masalah yang akan timbul pada masa depan, dia mungkin silap. Pada masa ini, sebaiknya Linda perlu memikirkan dirinya dan bukan orang lain.
Minggu ini, Cik Kuntum siarkan pengakuan seorang lagi pembaca yang hanya menamakan dirinya Din. Perjalanan hidup Din hampir menyamai drama bersiri Kutub Utara Kutub Selatan yang pernah disiarkan tidak lama dulu, dan hingga kini masih menetap di bandar raya D bersama keluarganya.
“Selepas membaca cerita Noor, saya terpanggil untuk menulis kepada Cik Kuntum. Kisahnya sama seperti yang pernah saya lalui hampir lima tahun lalu. Cuma bezanya saya dipaksa berkahwin ibu sendiri dengan gadis sekampung saya, Lina, walaupun ketika itu saya sudah berkahwin dengan wanita cinta hati saya, Asmah.
Biarlah saya rahsiakan nama sebenar mereka kerana kisah sedih ini hanya melukakan banyak hati. Saya berkahwin dengan Asmah, rakan sekuliah ketika di kampus tidak lama selepas kami tamat pengajian. Keluarga saya sendiri datang bertandang untuk meminang apabila saya menyuarakan mengenai pilihan hati saya.
Ketika itu tiada bantahan daripada keluarga khususnya ibu. Tetapi siapa sangka tidak lama selepas kami berkahwin, tiba-tiba satu hari (hari bekerja) ibu meminta saya pulang segera ke kampung kerana ada kecemasan dalam keluarga. Memandangkan isteri tidak boleh mengambil cuti kecemasan, pulanglah saya sendirian menaiki kereta ke kampung.
Tiba di rumah, ibu terus meminta saya mengenakan baju Melayu dan ketika itu saya melihat adik beradik lain hanya menundukkan pandangan. Tanpa soal bicara, saya mengenakan baju Melayu yang disediakan ibu dan mengikut mereka menaiki kereta.
Puas saya bertanya kepada adik beradik lain apa yang berlaku, semuanya menggelengkan kepala enggan berkata. Perjalanan kami hanya mengambil masa kira-kira 20 minit dan kami berhenti di sebuah rumah yang saya lihat penuh dengan orang ramai.
Dalam hati terdetik, siapa yang mati. Tetapi sebaik tiba di muka pintu, kami disambut seorang lelaki berusia yang dengan ramah memeluk saya. Ketika itu darah saya tersirap apabila melihat ada pelamin dan bantal nikah yang disediakan di ruang tamu.
Saya bagaikan terpukau apabila diiringi ke ruang tengah dan apa yang saya sedar, saya sudah duduk berdepan dengan kadi daerah kami. Terkejut saya dan ketika itu saya menyedari bahawa saya menghadiri majlis pernikahan sendiri.
Saya meminta untuk berbincang dengan keluarga dan ketika ke tepi, saya terdengar bisikan tetamu lain, ‘Gemuruh agaknya’. Apabila berada di satu sudut, sebelum sempat saya membuka mulut, ibu terus berkata “Aku benarkan kahwin dengan si Asmah dulu sebab engkau yang hendak sangat. Ini menantu pilihan aku, kalau kau buat malu keluarga hari ini aku tidak mengaku anak sampai bila-bila”.
Terkejut dengan kata-kata ibu, saya terpaksa menurut kerana kami adik beradik tidak pernah membantah kata ibu bapa sejak kecil lagi. Dipendekkan cerita, saya berkahwin kali kedua hanya selepas empat bulan menikahi Asmah. Patutlah ibu bersungguh-sungguh tidak mahu membuat kenduri menyambut tetamu dulu kerana dia sudah mempunyai perancangan.
Sebaik habis majlis itu, saya terus beredar membuatkan tetamu lain terpinga-pinga dan terus memandu pulang petang itu juga menuju ke Kuala Lumpur. Saya merahsiakan apa yang berlaku kerana bimbang Asmah terluka, lebih-lebih lagi ketika itu dia sedang hamil dua bulan.
Tidak saya sangka, ibu dan bapa datang bersama Lina ke rumah saya keesokan harinya. Ketika itu terungkailah cerita sebenar, tetapi saya kagum dengan sikap Asmah yang tenang walaupun dimaki hamun ibu. Ibu memaksa saya mengambil Lina tinggal bersama kami dan bagi memastikan saya melakukan kehendaknya dia turut tinggal bersama kami.
Setiap malam dia memaksa saya masuk ke bilik bersama Lina, walaupun enggan saya terpaksa akur kerana bimbang mengganggu jiran apabila ibu menjerit-jerit seperti histeria. Sumpah, saya tidak pernah menyentuh Lina kerana cinta saya hanya kepada Asmah. Lebih menyedihkan, Asmah meminta saya menceraikan dia, tetapi saya meminta dia bertahan dan berjanji akan melakukan sesuatu.
Apabila ibu pulang ke kampung dengan ugutan penuh bermakna kepada saya, saya dengan segera berkemas meninggalkan Lina yang terpinga-pinga dan membawa Asmah ke tempat lain yang dirahsiakan daripada keluarga.
Semuanya sudah saya rancang. Saya mengambil keputusan untuk mengikut teman baik yang bekerja di luar negara dan tiga bulan selepas itu saya terbang ke bandar raya D bersama Asmah. Atas bantuan rakan peguam, saya membawa kes ke mahkamah dan menceraikan Lina. Saya tahu Lina tidak bersalah, tetapi perkahwinan kami bukan atas kerelaan saya.
Saya mendapat tahu keluarga mencari saya, tetapi biarlah saya membawa hati yang lara kerana tidak sangka ibu sanggup melukakan hati anaknya sendiri. Bukan hendak menjadi anak derhaka, tetapi jika keluarga sendiri sanggup membohongi saya, tiada apa lagi yang boleh membuatkan saya tunggu lagi.
Kini saya masih di D dan bahagia bersama Asmah serta dua cahaya mata kami.”
Panjang sebenarnya kiriman e-mel Din, tetapi terpaksa dipendekkan kerana ruang yang terhad. Cik Kuntum tidak sangka, pada zaman moden ini masih ada lagi kahwin paksa dan kisah menantu pilihan.
Tetapi, Cik Kuntum bangga dengan Din yang melakukan perkara terbaik walaupun mungkin melukakan hati keluarga termasuk ibu. Ada sesetengah lelaki yang mungkin gembira dengan apa yang berlaku jika berada pada tempat Din, tetapi Din sebaliknya.
Kepada ibu bapa hari ini, jadikan kisah Din sebagai pengajaran. Tetapi biarlah pastikan pilihan mereka itu adalah yang terbaik dan paling penting, berbincanglah sebelum melakukan sesuatu. Itu cara terbaik supaya tiada masalah yang timbul kelak. 

Kredit : IntimKu
Sumber: Berita Harian
Oleh : Cik Kuntum / cikkuntum@bharian.com.my
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.