SLIDER

ubat
Showing posts with label ubat. Show all posts

Perlukah Memberi Anak-Anak Ubat Cacing

23 Apr 2024



Penulisan Dr Zubaidi kali ini akan memberitahu kepentingan memberikan ubat cacing pada kanak-kanak. Kadang kala ibu bapa ‘terlepas pandang’ mengenai hal ini. Jangkitan cacing adalah jangkitan parasit yang boleh hidup dalam darah, usus atau organ tubuh. 

Cacing akan masuk ke tubuh kanak-kanak apabila mereka termakan telur cacing yang berada dalam makanan.  Ini dilakukan secara tidak sengaja apabila mereka membeli makanan-makanan yang dimasak secara tidak sempurna di gerai-gerai. 

Telur cacing ini akan menetas di dalam usus kecil. Mereka membesar dengan mendapat zat pemakanan di usus ketika proses penghadaman. Cacing yang dewasa mengawan dan bunting akan bergerak ke usus besar dan rektum. Telur cacing ini akan dikeluarkan melalui najis. 

Kanak-kanak yang mengabaikan kebersihan tangan sebelum makan adalah golongan utama yang menjadi mangsa jangkitan parasit cacing. Selain itu cacing juga boleh memasuki tubuh melalui kulit kaki yang terdedah.

Terdapat pelbagai jenis cacing yang menjadikan tubuh kita sebagai tempat untuk mereka membesar dan membiak. Antaranya cacing cangkuk ,cacing gelang , cacing benang , cacing kerambit dan cacing pita . 

Oleh itu berhati-hatilah ketika memakan makanan yang dikhuatiri tidak dimasak dengan sempurna. Jika menggunakan tandas awam, pastikan kita membersihkan mangkuk tandas sebelum duduk di atasnya. 

Antara simptom-simptom yang disebabkan cacing dalam tubuh ialah pucat akibat (kekurangan darah merah), cepat rasa lemah dan letih, kurang selera makan, dan abdomen yang kembung. Adakalanya terdapat juga tanda-tanda kegatalan di kulit kaki dan lubang dubur. 

Cacing-cacing ini akan mengambil nutrien makanan yang diserap ketika kita makan dan menyebabkan tubuh mengalami kekurangan zat makanan. Inilah yang menyebabkan kanak-kanak akan menjadi cepat penat dan perkembangan fizikal mereka mudah terganggu. 

Selain itu jangkitan cacing yang kronik memberikan kesan yang merbahaya. Ini bermakna cacing telah berada di dalam tubuh bertahun-tahun tanpa disedari. Sebagai contoh, cacing pita boleh menyebabkan kerosakan pada otak, cacing kerambit boleh menyebabkan luka pada usus sementara cacing gelang boleh menyebabkan usus tersumbat, sembelit dan kembung abdomen. 

Soalan yang biasa ditanyakan kepada saya ialah berapa kerap kanak-kanak perlu diberikan ubat cacing. Tidak banyak doktor yang ingin menjawab soalan ini, malah pakar paediatrician juga seolah-olah merahsiakan ‘formula’ ini. Memberikan ubat cacing selalunya diberikan dalam jarak antara enam bulan hingga setahun sekali. 

Jarang sekali kanak-kanak mengalami kesan sampingan yang merbahaya dari ubat yang dimakan. Selalunya cacing mati yang dikeluarkan akan menyebabkan kulit kanak-kanak itu menjadi ruam dan mereka mengadu kegatalan.   

Deworming secara berkala juga akan membantu mengeluarkan cacing serta telurnya dari usus kanak-kanak yang dijangkiti. Saya mengambil satu contoh produk ubat cacing yang boleh dibeli dari farmasi. Vemizol, adalah ubat cacing berbentuk suspension cecair  yang mengandungi 200mg albendazole dalam setiap 5 ml. Dos yang diberikan bergantung kepada umur kanak-kanak itu. 

 Bagi kanak-kanak  antara 1-2 tahun, 5 ml diberikan sebagai dos tunggal. Sementara bagi kanak-kanak yang berumur 2 tahun   ke atas, 10ml diberikan sebagai dos tunggal. Namun jika kita dapati terdapat cacing pada najis di tandas, maka dos ubat cacing ini seelok-eloknya diteruskan selama tiga hari. 

Jika masih lagi terdapat banyak cacing dalam najis pada hari ke-empat atau terdapat bukti bahawa kanak-kanak itu dijangkiti parasit cacing yang kronik, bawalah anak berjumpa dengan pakar paediatrik. Pemeriksaan najis melalui mikroskop akan memberitahu jika kanak-kanak ini telah bebas dijangkiti parasit cacing. 

 Jika keluarga memelihara haiwan peliharaan seperti kucing, elok setahun sekali binatang ini diperiksa oleh doktor haiwan. Ini kerana dalam kehidupan di bandar, cacing dapat disebarkan dengan mudah melalui haiwan peliharaan. Selain kanak-kanak, haiwan peliharaan ini juga harus diberikan ubat cacing. 

Di negara dunia ketiga, jangkitan parasit cacing memberikan masalah besar pada kanak-kanak. Ia memberikan kesan kepada mereka dari segi kehadiran ke sekolah. Laporan UNICEF membuktikan kanak-kanak yang diberikan ubat cacing mempunyai berat dan perkembangan fizikal yang sempurna berbandingan mereka yang tidak diberikan ubat cacing. 

Secara amnya memberikan kanak-kanak ubat cacing setiap enam bulan sudah memadai, terutama jika anda membela haiwan peliharaan atau mempunyai risiko-risiko yang saya nyatakan tadi. Jika tidak, memberikan anak-anak kita ubat cacing setahun sekali telah memadai. 

Wa allahu ‘alam. 

Susunan: Dr Zubaidi bin Hj Ahmad (200611) 


Kredit : Dr Zubaidi bin Hj Ahmad 


Fobia Ke Klinik Gigi? Pakar Saran Jumpa Doktor Pada Waktu Petang

13 May 2023

 


RAMAI daripada kita yang cukup gerun apabila perlu berjumpa dengan doktor gigi malah ada yang sanggup menahan sakit apabila terbayang perlu baring di kerusi dan lampu mula dinyalakan ke arah wajah.

Apatah lagi apabila doktor mula memegang jarum suntikan bius dan alatan untuk mencabut gigi, memang menyeramkan! Bagaimanapun, mereka yang takut kepada doktor tanpa sebab dikenali sebagai iatrophobia.

Jika semua perkara di atas mula membuatkan tangan anda berpeluh, sebenarnya ada cara untuk mengurangkan rasa takut dan sakit ketika berjumpa doktor gigi.

Doktor gigi, Dr Jochen H. Schmidt menyarankan sesiapa yang takut atau bimbang dengan proses mencabut gigi atau rawatan lain yang menyakitkan supaya datang pada sebelah petang kerana pada waktu ini pesakit akan kurang berasa sakit.

Jelas Dr Jochen, ini disebabkan oleh endorfin dan opiod yang menghalang rasa sakit dihasilkan dalam kuantiti lebih banyak pada sebelah petang.

Ubat bius pula katanya akan berfungsi dengan lebih baik dan bertahan lebih lama.

Sementara itu, menurut kajian, kira-kira 12 peratus daripada populasi manusia takut terhadap doktor manakala 19 peratus daripadanya adalah kanak-kanak.

Pakar menyatakan masalah itu boleh bertukar kepada fobia apabila seseorang menangguhkan perjumpaan dengan doktor gigi dan tidak melawan rasa takut mereka.

Disebabkan itu juga, pengalaman berjumpa doktor gigi jadi lebih tidak menyenangkan apabila seseorang akhirnya menyerah diri kerana ketakutan telah menguasai diri.

Mujur iatrophobia secara umumnya boleh diubati dengan terapi tingkah laku kognitif di mana doktor biasanya akan melakukan gerakan berhati-hati bagi menenangkan pesakit.

Apabila melihat pesakit semakin berasa selesa, doktor gigi akan mempercepatkan kelajuan dan beransur-ansur pesakit dapat mengatasi ketakutan mereka.

Kredit : Mstar


Ketahui Sering Terlelap Ketika Memandu? Ambil Tahu Punca Microsleep, Elak Tidur Yang Bawa Maut

14 Apr 2023

 



KEMALANGAN jalan raya yang berpunca daripada 'microsleep' sering dilaporkan.

Walaupun situasi itu hanya berlaku dalam tempoh kurang 30 saat, namun kesannya adalah sangat besar termasuk mengakibatkan kematian.

Mungkin ramai biasa mendengar perkataan microsleep, namun adakah anda tahu bagaimana ia terjadi dan siapa yang boleh 'menghidapnya'?

Untuk pengetahuan, microsleep merupakan tidur singkat yang tidak dapat dikawal dan sering kali berlaku dalam tempoh masa antara satu hingga 30 saat ketika memandu namun ada juga kes yang terjadi di mana seseorang itu tertidur tanpa sedar ketika melakukan aktiviti lain seperti mengendalikan mesin peralatan yang membahayakan.

Difahamkan, ia terjadi disebabkan pola tidur yang tidak menentu, kepenatan yang keterlaluan mahupun kerana sistem saraf badan yang tidak berfungsi secara normal.

Justeru apakah langkah terbaik yang harus dilakukan bagi mengelak berlakunya microsleep?

Menurut Pakar Neurologi Dr Lim Poh Hin, punca terjadinya insiden tidur singkat itu adalah kerana seseorang individu itu tidak mendapat tidur yang berkualiti dan mencukupi.

Tidur adalah komponen penting, tetapi malangnya ia sering diabaikan.

Mendapatkan waktu tidur yang mencukupi juga boleh membantu mencegah penambahan berat badan berlebihan, penyakit jantung dan penting untuk kesihatan tubuh secara keseluruhan.

Seseorang individu boleh mengikut panduan jumlah waktu tidur mengikut usia berikut:

Bayi

4 - 12 bulan: 12 hingga 16 jam setiap 24 jam, termasuk tidur siang

Kanak–kanak

1 - 2 tahun: 11 hingga 14 jam setiap 24 jam, termasuk tidur siang

3 - 5 tahun: 10 hingga 13 jam setiap 24 jam, termasuk tidur siang

6 - 12 tahun: 9 hingga 12 jam setiap 24 jam

Remaja

13 - 18 tahun: 8 hingga 10 jam setiap 24 jam

Dewasa

7 jam atau lebih setiap malam

Hutang' tidur punca microsleep terjadi

Jika sering kekurangan waktu tidur, otak akan 'menuntut hutang' tidur pada waktu-waktu yang lain sepanjang hari dan ia puncanya terjadi microsleep.

Bagaimanapun, bukan semua yang mendapatkan waktu tidur mencukupi tidak akan mengalami microsleep.

Ia berikutan, seseorang yang berjaya memenuhi keperluan tidurnya berkemungkinan tidak memperoleh tidur yang berkualiti disebabkan 'sleep apnea' yang dialami.

Sesetengah individu akan merasakan dirinya mendapat tidur yang mencukupi, tetapi sebenarnya dia telahpun terjaga beberapa puluh atau beberapa ratus kali pada waktu malam disebabkan oleh pernafasan yang tidak betul.

Ketika tidur, pangkalan otak akan membantu kita bernafas dengan automatik. Tetapi bagi sesetengah individu, mereka akan mengalami 'obstructive sleep apnea' iaitu ketika lidah terjatuh ke belakang lalu menutup ruang pernafasan menyebabkan kadar oksigen menurun dan karbon dioksida menaik.

Ketika ia berlaku, otak akan memberi isyarat kepada untuk mengejutkan anda daripada tidur supaya boleh bernafas dengan betul.

Komobiditi serius boleh berlaku

Sleep apnea juga boleh mencetuskan komobiditi yang serius seperti strok, kencing manis, penyakit jantung.

Selain itu, antara keadaan lain yang berlaku akibat tidak cukup tidur adalah seseorang individu berkemungkinan menghidap 'absence seizure' iaitu sawan yang singkat dan tiba-tiba. Ia lebih cenderung berlaku kepada kanak-kanak berbanding orang dewasa.

Seseorang yang mengalami absence seizure mungkin kelihatan seperti dia merenung kosong ke angkasa selama beberapa saat dan kembali normal dalam beberapa saat.

Bagi seseorang yang ingin mengetahui sama ada mengalami sleep apnea, dia akan dipasangkan sebuah alat pengesan seperti polysonography pada badan bersama EEG (electroencephalogram), ECG (electrocardiogram) dan oksigen.

Setelah itu, individu tersebut akan diperhatikan di bawah jagaan pakar sepanjang malam kerana tujuan pemasangan alat itu adalah untuk pola tidur termasuklah waktu tidur dan waktu terjaga.

Jika keputusan menunjukkan penurunan paras oksigen, individu tersebut mungkin mengalami sleep apnea. Namun, jika keputusan polysonogram ini menunjukkan tanda-tanda 'absence seizure', ini bermaksud gangguan tidur adalah tidak disebabkan sleep apnea.

Terdapat juga individu yang mengalami keadaan di mana mereka sentiasa ingin tidur, yang dinamakan Narkolepsi iaitu keadaan otak jangka panjang yang jarang berlaku hingga menyebabkan seseorang tiba-tiba tertidur pada waktu yang tidak sesuai.

Mereka ini perlu mendapatkan perskripsi doktor untuk mengambil ubat modafinil.

Kredit : Mstar


Sakit Kronik : Jangan Terpengaruh Dengan Ubat Ajaib

27 Jun 2022




Penulis adalah bekas pesakit buah pinggang kronik. Pernah menjalani rawatan cuci darah (C.A.P.D). Sembuh daripada sakit ini selepas menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang pada tahun 2010, menerima buah pinggang ibu saudaranya. 

“Kalau buah pinggang kecut masih boleh diubati! Produk kami ni mampu menghidupkan kembali sel-sel buah pinggang awak. Nanti selepas beberapa ketika buah pinggang awak akan kembang balik.” Itu antara janji seorang penjual produk ajaib kepada saya dahulu. Setahu saya buah pinggang adalah anggota kekal seperti tangan, kaki, telinga dan sebagainya. Adakah tangan yang putus akan tumbuh balik setelah makan produk ajaib itu? Adakah anggota tubuh manusia seperti ekor cicak? Boleh tumbuh semula apabila putus?

Pernah isteri saya bertembung dengan seorang peguam yang turut mempromosi ubat perawat sel yang didakwa sangat ajaib dan mampu mengubati segala penyakit atas “planet bumi.” Isteri saya menolak dengan sopan dan mengatakan tarikh pembedahan buah pinggang sudah ditetapkan pihak Hospital Selayang. 

Si penjual ubat ajaib dengan yakin berkata:
“JANGAN BUAT PEMBEDAHAN ITU DAHULU! Makan produk ini dahulu! Sebabnya apabila dah buat pembedahan maka tiada harapan lagi untuk sembuh!”

Apabila isteri saya berkeras tak mahu mendengar ceramah ubat ajaibnya, si penjual mula menyerang peribadi setelah melihat wajah isteri saya pada waktu ada sedikit jerawat: “Kenapa muka awak tu berjerawat? Jerawat pun boleh diubati dengan produk saya ini!” Pernah seorang kawan Ustaz mencadangkan agar saya mengambil perubatan Sunnah seperti madu dan sebagainya. Saya tolak dan mengatakan fisiologi tubuh pesakit buah pinggang bukan lagi seperti orang normal yang mampu memproses apa sahaja yang masuk ke dalam badan. 

Kawan saya lantas berkata:
“Itulah masalah anta! Percaya sangat dengan perubatan moden.”
Saya hanya senyum sambil berkata dalam hati: “Anda boleh cadangkan apa sahaja, tapi tubuh saya yang menanggung derita atau duka atas cadangan spekulasi anda. Bukan saya tidak percaya dengan perubatan nabawi tapi ia masih terbuka untuk perbincangan oleh para ulama’ hadith.”

Lalu pengalaman tahun 2009 menjengah minda. Pada waktu itu saya baru memulakan rawatan Dialisis Air atau dipanggil C.A.P.D. Dalam bulan Ramadhan tahun itu, saya mengimamkan solat terawih di Masjid Ibn Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. 

Ketika dalam solat, “DADA SAYA BERASA SANGAT TIDAK SELESA. JANTUNG BERDEBAR DENGAN TIDAK TERATUR.” Dalam kalangan Jemaah kami ada seorang murid dewasa saya yang juga seorang Doktor pakar. Beliau adalah Mejar Jeneral (b) Datuk Dr. Zin bin Bidin. Selepas solat beliau memeriksa rentak nadi saya dan menasihatkan saya agar mengurangkan pengambilan kurma. Mengapa kurma? Bukankah kurma bagus untuk orang yang berpuasa? Rasulullah SAW sendiri pun berbuka puasa dengan kurma? 

Lain halnya dengan pesakit buah pinggang. Kurma, pisang dan beberapa buah-buahan yang lain mempunyai kandungan potassium yang sangat tinggi. Bagi tubuh yang normal, buah pinggang bertindak menstabilkan paras potassium dalam darah. Bagi pesakit buah pinggang, kandungan potassium tidak mampu diimbangi tubuh, lalu potassium berlebihan akan menggangu rentak jantung. Pesakit buah pinggang yang tidak mengawal kandungan potassium boleh mendapat “serangan sakit jantung!”

Pernah seorang penjual ubat ajaib yang lain mengesyorkan saya mengambil produk soya yang dia jual. Apabila saya maklumkan bahawa pesakit buah pinggang kronik tak boleh makan soya kerana ia akan membebankan buah pinggang yang sudah rosak, ini jawapannya dengan penuh yakin mengalahkan para doktor pakar:
“Produk soya kami ni lain! Ia sudah ditapis halus dan tak akan memberi kesan pada buah pinggang awak.”

Alhamdulillah! Allah memberikan saya kesabaran serta kecerdikan untuk mengelak daripada terjerumus ke dalam “fakta auta” si penjual ubat ajaib. Setelah lama menderita sakit buah pinggang sejak tahun 2001, saya mulai menghargai kesihatan dan menghormati profesyen perubatan. 

Pengorbanan mereka selama bertahun mempelajari ilmu perubatan adalah jihad yang sangat hebat. Setelah lama berdamping rapat dengan para doktor sebagai “ahli kelab paksa hospital selayang” dengan rawatan susulan setiap 2 atau 3 bulan, saya semakin memahami firman Allah ini:
وَمَا أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Ertinya: Dan Kami tidak mengutus para Rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); MAKA BERTANYALAH KAMU KEPADA ORANG BERILMU JIKA KAMU TIDAK MENGETAHUI (al-Anbiya’ [21:7]).

Konteks sebenar ayat ini adalah bertanya kepada Ahli kitab tentang “KEMANUSIAAN PARA RASUL.” Ia berpunca daripada sikap penduduk Mekah yang tidak percaya bahawa manusia seperti Rasulullah SAW boleh menjadi utusan Allah. Mereka beranggapan nabi sepatutnya muncul dari spesis malaikat. Ternyata orang Yahudi dan Nasrani mengakui tiada nabi yang pernah diutus dalam kalangan malaikat? Oleh itu mereka sepatutnya menerima Rasulullah SAW sebagai utusan Allah kepada mereka (Tafsir Ibn Kathir).

Perkataan “أهل الذكر” atau orang berilmu dalam ayat ini jika diterjemahkan kepada bahasa moden adalah “PAKAR BIDANG.” Beginilah cara al-Quran mengajar kita untuk hidup selamat di dunia dan di akhirat. Apabila buntu dan perlukan penjelasan, tanya ahlinya dan bukan percaya cakap sebarang orang. Tanyalah orang yang menghabiskan usia mengkaji atau mempelajari sesuatu bidang. 

Jangan ditanya cara membuat bangunan dari seorang nelayan, kelak runtuh bangunan kerana kiraan besi dan simen yang tidak cukup. Jangan juga ditanya hukum hakam berkaitan agama dari seorang pakar Matematik, kerana agama bukan subjek berkaitan nombor. Jangan juga ditanya pak ustaz tentang cara memproses petroleum, kelak rosak enjin dan tangki kereta anda. Kesimpulannya, hormatilah pakar bidang! 

Usahkan para penjual ubat ajaib, para doktor pun memiliki pengkhususan bidang yang berbeza. Setahu saya, tiada doktor yang serba tahu atau pakar semua bidang perubatan. Jika kita jumpa seorang doktor yang pakar semua aliran dan bidang perubatan (nefrologi, urologi, bedah, radiologi, telinga, mata, hidung, otak, saraf, jiwa dan semuanya), sudah pasti doktor itu adalah jelmaan nabi Isa AS atau berasal dari planet lain. 

Malangnya, semua kepakaran para doktor perubatan yang bertahun mengkaji perihal tubuh manusia langsung diatasi oleh para penjual ubat ajaib yang hanya “bermodal air liur, andaian dan spekulasi.” Testimoni mereka pun masih terlalu jauh untuk menyaingi dapatan kajian dalam perubatan moden.

Tambah parah sesetengah penjual ubat ajaib ini berani menunggang agama dengan mendakwa ubat mereka adalah ubat yang disebut oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadith:
لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
Ertinya: Bagi setiap penyakit mempunyai ubatnya. Apabila sesuatu ubat menyentuh sesuatu penyakit, maka ia akan memberikan penyembuhan dengan izin Allah (Sahih Muslim).

Hadith ini bukan semudah itu boleh diambil untuk menjadi “MASKOT ATAU DUTA” ubat ajaib anda. JAUH BEZANYA ANTARA UBAT SEBENAR DENGAN SPEKULASI UBAT TANPA BUKTI YANG CUKUP! Apa yang saya faham dari hadith ini adalah baginda Rasulullah SAW menyarankan kita agar mengkaji dan mencari ubat bagi penyakit yang dihidapi manusia. Tidak cukup hanya dengan mendakwa!

Pesan saya kepada para penjual ubat ajaib. Takutlah Allah! Jangan mencipta fakta palsu serba ajaib untuk ubat anda. Jika ada pesakit yang semakin parah atas auta anda, Allah pasti membalasi dengan setimpal di akhirat kelak. Jangan reka fakta! Ingat amaran Rasulullah SAW ini:
إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ يَنْزِلُ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ
Ertinya: Sesungguhnya seorang hamba (manusia) boleh sahaja bercakap sesuatu perkara yang tidak dapat dipastikan kebenarannya, lalu (perkara itu) AKAN MENJERUMUSKANNYA SEMAKIN DALAM KE DALAM NERAKA SEJAUH ANTARA TIMUR DAN BARAT (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Itulah nasib kami yang menghidap sakit kronik. Sudah jatuh ditimpa tangga. Sakit kami memang meresahkan jiwa. Ketika para doktor berusaha merawat kami, para penjual ubat ajaib pun muncul kerana melihat kami adalah “LUBUK EMAS” bagi mereka. Kasihanilah kami! Apa yang kami fikirkan hanya kesembuhan! Derita yang kami lalui saban hari sangat memeritkan jiwa. Jika dikata “makanlah tahi lembu yang dicampur dengan tongkat ali dan madu hutan Amazon untuk penyembuhan”, jangan terkejut jika ada yang sanggup buat untuk sebuah ni’mat penyembuhan! 

Tidak dinafikan, ada sesetengah penjual ubat ajaib ini ikhlas mahu membantu kami, tapi bantuan yang mahu diberikan biarlah berpada dan ada batasannya. Jika bantuan anda boleh menjadi kapak yang akan membunuh kami, maka simpanlah kapak itu. Fisiologi tubuh kami sudah berbeza daripada orang yang sihat. Biarlah para doktor yang bertauliah merawat kami. Cukuplah kalian sekadar mendoakan kami sahaja. 

Jangan pandang kami sebagai lubuk emas, sebaliknya lihatlah kami sebagai manusia yang perlu dikasihani. Hidup ini bak roda! Ada masa kita berada di atas dan ada masa kita berada di bawah. Ada masa kita sihat dan ada masa kita sakit. Apa agaknya perasaan anda wahai penjual ubat ajaib jika anak anda mati akibat salah makan ubat ajaib yang dijual oleh penjual yang lain? Fikirkan!

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
(5 Februari 2017)

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/…/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-…/
http://pts.com.my/…/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-ji…/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/…/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-…/

Kredit : Fb Abdullah Bukhari Abdul Rahim 




Apakah Penyebab Dan Rawatan Penyakit Kudis (Scabies)?

26 Jun 2022




APAKAH ITU KUDIS ?

Kudis buta atau ‘Scabies’ merupakan sejenis penyakit kulit yang mudah berjangkit di mana ia dijangkiti melalui sentuhan langsung kulit seseorang dengan orang yang mengalami kudis buta. Penyebab utama penyakit ini adalah kerana jangkitan makhluk parasit iaitu“Sarcoptes Scabiei”, suatu organisma yang hidupnya menumpang pada makhluk hidup lain dan merugikan makhluk hidup yang ditumpangi. Kutu kudis ini bersaiz amat kecil dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Secara purata, bilangan kutu kudis yang boleh menyerang seseorang adalah dalam lingkungan 10-12 ekor. Penyakit kudis buta akan menyebabkan rasa kegatalan yang keterlaluan pada permukaan kulit. Kebanyakan simptom atau gejala jangkitan kudis buta ini adalah disebabkan oleh tindak balas sistem imun seseorang individu terhadap kutu kudis ataupun terhadap telur, najis dan bangkai kutu kudis tersebut.

Oleh itu, ruam dan rasa kegatalan yang timbul pada permukaan kulit sebenarnya berpunca daripada reaksi alahan badan terhadap kutu kudis.


APAKAH PENYEBAB KUDIS ?

Seseorang individu boleh dijangkiti dengan penyakit kudis buta apabila terdedah kepada kutu kudis ini walaupon dalam tempoh masa yang singkat, iaitu hanya dalam 15-20 minit. Jika terdapat bilangan kutu kudis yang sangat banyak pada permukaan kulit individu yang terjejas seperti luka, maka transmisi kutu kudis antara kulit boleh berlaku dalam jangka masa yang sangat cepat. Kutu kudis juga boleh merebak melalui perkongsian barangan peribadi seperti tuala, cadar, selimut dan pakaian antara seorang individu yang terjejas dengan yang lain dan kebiasaannya boleh dilihat di asrama. Malah, kutu kudis juga mampu merebak melalui patung-patung permainan kanak-kanak dan sesetengah alatan perabot.

Kumpulan berisiko untuk penyakit kudis buta termasuklah:

  • Kanak-kanak (terutamanya berumur kurang 2 tahun)

  • Orang tua

  • Pesakit yang mempunyai sistem imun yg lemah seperti kencing manis (diabetes mellitus)

  • Pesakit yang tidak boleh bergerak/lumpuh

  • Pesakit yang tinggal di pusat-pusat jagaan tertentu seperti rumah orang tua

  • Di tempat-tempat awam lain seperti asrama, tadika, sekolah dan penjara

Walau bagaimanapun, kutu kudis hanya mampu kekal dan terus hidup selama 24-36 jam setelah berpisah daripada makhluk yang ditumpangi.


APAKAH GEJALA KUDIS ?

Simptom-simptom penyakit ini akan mengambil masa lebih kurang dalam 2-6 minggu untuk timbul dalam badan seseorang yang telah dijangkiti kutu kudis. Berikut adalah senarai gejala-gejala penyakit kudis buta:

 KEGATALAN

- Rasa kegatalan yang amat teruk sehingga menyebabkan keadaan yang tidak selesa yang selalunya berlaku pada waktu malam dan ini akan menganggu tidur orang yang dijangkiti. Pada mulanya, rasa kegatalan hanya wujud pada 1 tempat, khususnya bahagian tapak tangan tetapi akan terus merebak ke bahagian-bahagian badan yang lain. Rasa kegatalan juga boleh menjadi lebih teruk apabila mandi air panas. Individu yang terjejas dengan penyakit kudis buta boleh berasa gatal di seluruh badan walaupon dijangkiti dengan bilangan kutu kudis yang kecil sahaja.

 RUAM

- Ruam akan terbentuk dengan serta merta pada permukaan kulit setelah rasa kegatalan muncul. Ia akan kelihatan berbintik-bintik dan ketul-ketul merah yang boleh muncul di mana-mana bahagian badan setelah dijangkiti kutu kudis. Bahagian badan di mana ruam kelihatan jelas adalah pada kawasan lipatan kulit iaitu:

  • Tangan dan kaki, terutamanya celah-celah jari

  • Bahagian dalam peha

  • Pusat

  • Abdomen

  • Punggung

  • Celah-celah ketiak

Kesemua bahagian tersebut menjadi tumpuan kutu kudis disebabkan suhu yang lebih tinggi berbanding dengan kawasan lain di tubuh badan.

LALUAN/TEROWONG KUTU KUDIS

- Laluan yang dibentuk oleh kutu kudis betina dapat dilihat pada permukaan kulit. Biasanya, ia kelihatan seperti garisan-garisan yang nipis, halus dan berwarna gelap sekurang-kurangnya 2-10 mm panjang. Garisan ini biasanya dapat dilihat pada bahagian kulit yang longgar antara jari, bahagian dalam pergelangan tangan dan tapak tangan. Ia juga boleh muncul pada bahagian lain badan tetapi hanya timbul setelah wujudnya rasa kegatalan dan ruam.

KESAN-KESAN CALAR/GARU

- Ia boleh diperhatikan pada permukaan kulit dan mungkin disebabkan oleh kegiatan menggaru secara agresif. Kawasan ruam yang digaru secara berterusan dengan agresif akan menyebabkan bahagian permukaan kulit tersebut cedera dan seterusnya menyebabkan kerosakan pada kulit. Kerosakan pada kulit ini boleh menjadi parah dan akan terdedah kepada bakteria dan kuman yang lain. Kulit yang dijangkiti bakteria pula akan kelihatan merah, sakit dan boleh membengkak kerana inflamasi.


APAKAH RAWATAN KUDIS ?

Rawatan yang diberi kepada individu yang dijangkiti penyakit kudis buta ialah dengan sapuan krim anti-scabies seperti:

  • Permethrin 5%

  • Benzyl Benzoate (12.5-25%)

  • Sulphur 6%

  • Crotamiton

  • Lindane

Krim-krim ini merupakan sejenis racun yang bertindak untuk membunuh kutu kudis pada permukaan kulit . Ia amat berkesan jika digunakan secara konsisten dan dengan cara yang betul mengikut arahan doktor. Rawatan adalah berbeza bagi bayi, kanak-kanak, ibu yang mengandung, orang dewasa dan warga tua. Mereka yang bergaul rapat dan tinggal bersama individu yang telah dijangkiti penyakit kudis buta haruslah dirawat pada masa yang sama.

Walaupun krim anti-scabies membunuh kutu dengan berkesan, kegatalan boleh berlanjutan untuk beberapa minggu. Kegatalan ini disebabkan oleh tindakbalas imun badan terhadap bangkai-bangkai kutu. Doktor anda boleh merawat kegatalan ini dengan ubat yang berlainan.


TIPS-TIPS PENJAGAAN ?

  • Pesakit perlu mandi dengan air suam, mandi menggunakan sabun dan keringkan badan sebelum menggunakan ubat. Pakai pakaian, cadar dan tuala yang bersih selepas mandi.

  • Cuci pakaian, tuala dan cadar yang telah digunakan oleh individu yang dijangkiti dengan air panas lebih daripada 50 degree Celsius menggunakan mesin basuh untuk membunuh kutu kudis.

  • Masukkan barangan yang tidak boleh dicuci seperti patung permainan ke dalam beg plastic yang diikat ketat dan disimpan selama 7 hari untuk membolehkan kutu kudis dan telurnya mati.

  • Perabut dan tempat tidur haruslah dibersihkan dengan pencuci hampagas (vacuum cleaner).




Tips Anak Demam, Batuk Dan Selesema, Mandikan 3 KALI SEHARI, Buang Haba Panas

18 Apr 2022



Bila anak demam, mak-maklah orang yang paling risau. Mahunya tak tidur malam, nak-nak kalau anak merengek dan ‘menempel’ 24 jam. Biasanya, kalau anak demam, sehari dua hanya bagi makan ubat demam. Tapi kalau dah masuk hari ketiga baru jumpa doktor. Katanya, masa ini baru boleh tahu demam biasa atau sebaliknya.

Walau bagaimanapun, untuk elak anak demam lebih teruk dengan suhu yang tinggi, mak-mak hanya lapkan badan anak untuk turunkan suhu. Ada sesetengahnya tak bagi anak mandi sedangkan bila mandi, haba panas akan keluar.

Begitu juga bila anak selesema atau batuk. Dengan cara mandikan anak 3 kali sehari ini, sekurangnya dapat membantu mengurangkan masalah demam, selesema atau batuk yang anak hadapi.

Ini antara saranan doktor pada mak-mak. Jangan takut nak mandikan anak bila anak demam, selesema atau batuk.

 

Anak Demam, Mandikan Untuk Kurangkan Suhu Panas

 

Jika anak demam, pastikan anak itu dimandikan 3 kali sehari supaya panasnya keluar.  Memang betul pun masa ibu jadi cikgu Sains dulu ada topik kenapa air panas dalam cawan teh akan sejuk dalam beberapa minit?

Ini kerana haba panas akan bergerak keluar mencari kawasan sejuk, samalah dengan suhu badan yang panas tadi.

 

1. Bila selesema tetap mandikan 3 kali sehari supaya bila selepas mandi, lendir itu akan mudah keluar.

Namun sayangnya ramai mak-amk hari ini ingat jika selesema anak sejuk maka jangan mandikan. Apabila ini berlaku, anak mudah berkahak sehingga sesak nafas. Mak-mak cuba praktikkan setiap kali anak ada selesema, alhamdulillah maksimum kene pun 3 hari.

2. Batuk, tetap mandikan 3 kali supaya panasnya keluar dan bila tidur malam, sapukan minyak telon atau minyak yuu yee dibelakang badan anak dalam jam antara 1-3 pagi,

Insya ALLAH kahaknya cepat beransur baik. Jika minyak terlalu panas, campurkan sedikit dengan minyak kelapa atau minyak zaitun sebelum di urut pada badan anak.

 

(Tip dari Doktor: Bila kahak dah longgar tepuk belakang anak everytime dia batuk. Anak muntah tak apa sebab semua lendir-lendir akan keluar.)

 

Waktu mandi yang sesuai untuk anak ialah:

Jam 8 pagi, selepas zohor dan sebelum jam 7 malam. Jika terpaksa mandikan selepas jam 7 malam, mandikan dengan air suam dan sapukan minyak panas selepas mandi supaya chest tidak mudah sejuk dan diserang selsema.

Biasakan selepas mandi, sapukan minyak panas pada ubun-ubun anak, belakang telinga, tapak tanga, dada dan belakang dada serta betis dan tapak kaki. Ini membantu melancarkan peredaran darah anak juga secara tidak langsung.

Kalau orang dulu, demam, batuk dan selesema tak bagi mandi. Jadi panas tu akan terperap dalam badan dan lama-kelamaan boleh menyumbang kepada keadaan yang lebih teruk.

Zaman dah berubah, bidan pun belajar sains dan teknologi..Even doktor turut pesan, jika anak demam, pasangkan aircond di rumah jika ada supaya suhu sejuk dan rumah tidak berkuap

Bagi ibu yang menyusukan anak dengan susu ibu, menjadi satu kelebihan dengan kerap menyusukan anak semasa anak dalam fasa tidak sihat supaya anak menjadi lebih bertenaga dan antibodi yang dibekalkan mampu melawan penyakit dengan cepat. Maka buat ibu baru, jangan panik.

Banyakkan membaca.

 

Info

Cara mandi: Mulakan dari kaki dulu selepas itu, jirus badan dalam 3-4 kali bagi wap panas keluar. Akhir sekali baru siram ke kepala.

Bila keluar bilik mandi lapkan hidung dulu takut air masuk hidung, bimbang selesema pula.

Cara ke 2 mandi guna buah lemon. Hiris dan letak dalam tab mandi atau baldi.

Moga ia memberi manfaat buat mak-mak. Paling penting, mandikan anak. Ikut apa yang disarankan oleh doktor.

 

Kredit : Kiyuka Hamid

Kredit : mingguanwanita


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.