SLIDER

ujian
Showing posts with label ujian. Show all posts

Apakah Maksud Ujian Kehamilan (Urine Pregnancy Test) Negatif Tetapi Tetap Hamil?

8 Apr 2025



Soalan :

Salam, doktor. Saya berusia 30 tahun, bekerja sebagai seorang kerani di salah sebuah firma guaman. Saya sudah berkahwin dan belum mempunyai anak. Saya ingin bertanya berkaitan dengan ujian kehamilan. Selepas 6 minggu saya terlepas haid, badan saya mula bertindak balas dan menunjukkan tanda akan mengalami kehamilan seperti pening-pening, rasa loya pada waktu pagi dan muntah-muntah. Jadi. saya cuba untuk menggunakan upt atau ujian kehamilan melalui air kencing. Tetapi hasil daripada ujian tersebut adalah negatif yang bermaksud saya tidak hamil. Saya merasakan bahawa saya sudah mengguna alat ujian kehamilan ini dengan arahan yang diberi dan tidak sepatutnya memberi keputusan yang salah jika dipatuhi dengan betul.Kemudian, saya cuba lagi untuk kali kedua dan hasilnya tetap negatif. 

Akhirnya, suami mengajak saya untuk pergi ke hospital kerana saya ada mengadu kepadanya yang saya sangat tidak bermaya dan tidak sedap badan dan di situlah saya mengetahui yang saya telah mengandung dengan kandungan berusia 9 minggu.
Jadi, pada pendapat doktor, apakah penyebab kepada ujian kehamilan yang negatif walaupun telah dicuba berkali-kali tetapi masih hamil? Adakah ia sesuatu yang serius atau adakah ia berkaitan dengan penyakit lain?

Jawapan :

Selamat sejahtera, terima kasih atas soalan anda. Untuk makluman anda, ujian kehamilan atau UPT (urine pregnancy test) yang berulang-ulang kali negatif memang kebiasaannya membawa maksud seorang wanita itu tidak hamil. Ujian kehamilan yang negatif setelah seminggu atau lebih haid yang lewat menunjukkan bahawa peluang kehamilan adalah kurang daripada 1 hingga 2%. Sebaliknya, ujian kehamilan yang positif biasanya bermaksud seorang wanita itu mengandung. 

Walau bagaimanapun, untuk makluman anda, kadangkala ujian kehamilan yang negatif setelah haid yang lewat boleh juga membawa maksud anda sedang hamil. Secara umum, kadar hormon hCG akan berganda setiap 48 jam pada awal kehamilan. Maka, ujian kehamilan yang negatif pada hari Isnin kemungkinan akan menjadi positif pada hari Rabu. Selain itu, jika hasil ujian positif terhadap air kencing yang pertama pada waktu pagi, kemudian pada waktu apabila air kencing lebih cair, ia boleh menjadi negatif. 

Hal ini disebabkan oleh faktor kepekatan hormon hCG dalam air kencing. Namun, harus diingat bahawa ujian darah masih dianggap sebagai ujian yang terbaik untuk mengesan awal kehamilan. Tempoh waktu untuk mendapatkan hasil ujian yang positif bergantung kepada proses implantasi kehamilan.

 Justeru, jika anda hamil, keputusan ujian kehamilan mungkin belum menunjukkan hasil positif sehingga 3 atau 4 hari setelah proses implantasi, iaitu kira-kira dalam tempoh 10 hari setelah persenyawaan (antara sperma laki-laki dan sel telur/ovum wanita) dan 4 hari sebelum jangkaan haid yang berikutnya. 51% wanita hamil mendapati hasil ujian kehamilan yang positif 2 hari sebelum jangkaan haid seterusnya. 

Akan tetapi, dalam sesetengah kes,ujian kehamilan yang negatif tapi masih hamil boleh menjadi tanda kepada beberapa kondisi kesihatan tertentu. Perkara tersebut memerlukan pemeriksaan susulan daripada doktor sebelum sebarang kesimpulan boleh dibuat.

APAKAH PENYEBAB UJIAN KEHAMILAN NEGATIF TETAPI MASIH HAMIL?

1) Anda Hamil, Tetapi Anda Mengambil Ujian Kehamilan Terlalu Awal

  • Ujian kehamilan berfungsi dengan mengesan hCG iaitu hormon kehamilan. Jika anda cukup yakin anda hamil kerana anda telah mengalami beberapa gejala awal kehamilan tetapi mempunyai keputusan ujian negatif, salah satu sebab yang paling biasa ialah anda telah mengambil ujian kehamilan terlalu awal, dan tubuh anda belum menghasilkan hormon hCG yang cukup untuk ujian tersebut mengesannya. hCG boleh dikesan dalam air kencing sekurang-kurangnya dua minggu selepas persenyawaan berlaku.

  • Untuk keputusan ujian yang tepat 99%, ujian ini perlu mengesan sekurang-kurangnya 25 mili-unit antarabangsa bagi setiap mililiter (mIU / mL). Dalam dua minggu pertama kehamilan, hanya kira-kira 10 mlU / ml hCG dapat dihasilkan.

  • Oleh itu, untuk mendapatkan keputusan ujian yang boleh dipercayai, tunggu dua minggu selepas tempoh haid terlepas. Pada masa ini, badan anda akan menghasilkan banyak hCG, dan ujian kehamilan anda akan jauh lebih tepat.

2)  Anda Hamil, Tetapi Alat Ujian Kehamilan Telah Rosak

Ujian tersebut mungkin telah tamat tempoh, atau mungkin disimpan di tempat yang tidak sesuai (contohnya dalam kabinet bilik mandi yang basah). Beli UPT atau alat ujian kehamilan yang baru, dan cuba lagi untuk memastikan keputusannya tepat.

3) Anda Hamil, Tetapi Anda Mempunyai Haid Yang Tidak Teratur Dan Ovulasi Lewat

Jika anda mempunyai kitaran haid yang tidak teratur, kemudian anda mendapat ujian negatif tetapi tidak haid di mana ia mungkin bermaksud ovulasi agak lewat bulan ini. Ini akan menangguhkan tarikh implantasi, yang mungkin menyebabkan anda salah mengira jumlah hari yang sepatutnya anda lakukan ujian kehamilan. Inilah sebabnya mengapa anda dinasihatkan untuk membuat ujian kehamilan satu atau dua minggu selepas hari anda jangkakan haid datang.

4) Anda Mengandung Anak Kembar Atau Kembar Tiga

Mengandungkan dua atau lebih bayi menyebabkan seseorang wanita menghasilkan tahap hCG yang sangat tinggi dan ujian kehamilan mungkin tidak dapat mengesannya kerana hormon hCG terlalu banyak. Dalam istilah perubatan, ia dikenali sebagai "kesan cangkuk dos tinggi" (high-dose hook effect).

5) Anda Mengalami Kehamilan Ektopik (Ectopic Pregnancy) Yang Menunda Penghasilan hCG

Kehamilan ektopik berlaku apabila telur yang sudah disenyawakan mengimplantasikan diri sendiri di suatu tempat selain daripada rahim (biasanya di dalam tiub fallopian), yang menangguhkan penghasilan hormon hCG dan menyebabkan kesakitan yang teruk di bahagian bawah perut atau sisi kiri atau kanan abdomen. Keadaan ini jarang berlaku dan berlaku hanya dalam 1 daripada 40 kehamilan, tetapi ia sangat berbahaya dan harus mendapat diagnosis lebih awal untuk mencegah akibat yang mengancam nyawa bagi wanita.

6)  Anda Hamil, Tetapi Anda Mempunyai Penyakit Trophoblastik Gestational / ‘Gestational Trophoblastic Disease’(GTD)

Ini sangat jarang berlaku. Penyakit trophoblastik gestational berlaku apabila tumor terbentuk di lapisan sel yang dipanggil trophoblast yang biasanya mengelilingi embrio. Jenis GTD yang paling biasa berlaku adalah ‘hydatidiform mole’ yang juga dikenali sebagai kehamilan molar. Tumor ini jarang membentuk kanser, tetapi kehamilan biasanya berakhir dengan keguguran kerana embrio tidak boleh terbentuk. Sangat jarang bayi yang sihat lahir dari kehamilan GTD.

7) Anda Tidak Mematuhi Arahan dengan betul

Baca arahan di pakej ujian kehamilan anda dengan berhati-hati supaya anda dapat mengendalikan ujian dengan baik. Oleh kerana ujian adalah bersifat mementingkan kualiti, ini menjadikan alat ujian peka terhadap proses ujian. Kebanyakan ujian kehamilan meminta anda memegang jalur ujian dalam air kencing, dan kencing di atasnya semasa di tandas. Sesetengah ujian memerlukan anda untuk mencelupkan jalur ujian ke dalam cawan bersih di mana anda telah mengumpul air kencing (kaedah pilihan saya untuk keputusan ujian kehamilan yang tepat).


APAKAH LANGKAH SETERUSNYA?

  • Jadi apa yang boleh anda lakukan jika anda mempunyai ujian kehamilan yang negatif tetapi masih mengandung? Ia sangat bergantung kepada bilakah anda menjangkakan kitaran haid anda akan datang. Terdapat 50-50 peluang bahawa ujian itu boleh menjadi negatif palsu jika anda tidak mampu menjangkakan tempoh haid anda.

  • Tunggu selama beberapa hari untuk mendapatkan ujian lain seelok-eloknya dua minggu selepas tarikh haid terlepas. Walau bagaimanapun, jika tempoh haid anda datang dan anda merasakan anda mengandung, anda harus menunggu sehingga beberapa hari selepas haid untuk mengambil ujian kehamilan yang lain.

  • Ia mungkin menunjukkan terdapat sebab-sebab yang lain seperti yang dibincangkan di atas jika anda mendapat ujian negatif lagi. Anda boleh mengulangi ujian sekali lagi jika anda mahu. Tetapi jika anda mendapat ujian negatif kali ini, ia hampir-hampir bermaksud bahawa anda tidak hamil. Anda mungkin "terasa mengandung" kerana sebab-sebab lain yang memerlukan anda untuk berjumpa dengan doktor. Juga, mungkin terlalu sukar untuk anda menerima ujian negatif jika anda berusaha keras untuk hamil.

Jika terdapat apa-apa kemusykilan, sila rujuk nasihat doktor yang boleh dijumpai di klinik atau hospital.


Kredit : DoctorOnCall



Sakit Kronik : Jangan Terpengaruh Dengan Ubat Ajaib

27 Jun 2022




Penulis adalah bekas pesakit buah pinggang kronik. Pernah menjalani rawatan cuci darah (C.A.P.D). Sembuh daripada sakit ini selepas menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang pada tahun 2010, menerima buah pinggang ibu saudaranya. 

“Kalau buah pinggang kecut masih boleh diubati! Produk kami ni mampu menghidupkan kembali sel-sel buah pinggang awak. Nanti selepas beberapa ketika buah pinggang awak akan kembang balik.” Itu antara janji seorang penjual produk ajaib kepada saya dahulu. Setahu saya buah pinggang adalah anggota kekal seperti tangan, kaki, telinga dan sebagainya. Adakah tangan yang putus akan tumbuh balik setelah makan produk ajaib itu? Adakah anggota tubuh manusia seperti ekor cicak? Boleh tumbuh semula apabila putus?

Pernah isteri saya bertembung dengan seorang peguam yang turut mempromosi ubat perawat sel yang didakwa sangat ajaib dan mampu mengubati segala penyakit atas “planet bumi.” Isteri saya menolak dengan sopan dan mengatakan tarikh pembedahan buah pinggang sudah ditetapkan pihak Hospital Selayang. 

Si penjual ubat ajaib dengan yakin berkata:
“JANGAN BUAT PEMBEDAHAN ITU DAHULU! Makan produk ini dahulu! Sebabnya apabila dah buat pembedahan maka tiada harapan lagi untuk sembuh!”

Apabila isteri saya berkeras tak mahu mendengar ceramah ubat ajaibnya, si penjual mula menyerang peribadi setelah melihat wajah isteri saya pada waktu ada sedikit jerawat: “Kenapa muka awak tu berjerawat? Jerawat pun boleh diubati dengan produk saya ini!” Pernah seorang kawan Ustaz mencadangkan agar saya mengambil perubatan Sunnah seperti madu dan sebagainya. Saya tolak dan mengatakan fisiologi tubuh pesakit buah pinggang bukan lagi seperti orang normal yang mampu memproses apa sahaja yang masuk ke dalam badan. 

Kawan saya lantas berkata:
“Itulah masalah anta! Percaya sangat dengan perubatan moden.”
Saya hanya senyum sambil berkata dalam hati: “Anda boleh cadangkan apa sahaja, tapi tubuh saya yang menanggung derita atau duka atas cadangan spekulasi anda. Bukan saya tidak percaya dengan perubatan nabawi tapi ia masih terbuka untuk perbincangan oleh para ulama’ hadith.”

Lalu pengalaman tahun 2009 menjengah minda. Pada waktu itu saya baru memulakan rawatan Dialisis Air atau dipanggil C.A.P.D. Dalam bulan Ramadhan tahun itu, saya mengimamkan solat terawih di Masjid Ibn Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. 

Ketika dalam solat, “DADA SAYA BERASA SANGAT TIDAK SELESA. JANTUNG BERDEBAR DENGAN TIDAK TERATUR.” Dalam kalangan Jemaah kami ada seorang murid dewasa saya yang juga seorang Doktor pakar. Beliau adalah Mejar Jeneral (b) Datuk Dr. Zin bin Bidin. Selepas solat beliau memeriksa rentak nadi saya dan menasihatkan saya agar mengurangkan pengambilan kurma. Mengapa kurma? Bukankah kurma bagus untuk orang yang berpuasa? Rasulullah SAW sendiri pun berbuka puasa dengan kurma? 

Lain halnya dengan pesakit buah pinggang. Kurma, pisang dan beberapa buah-buahan yang lain mempunyai kandungan potassium yang sangat tinggi. Bagi tubuh yang normal, buah pinggang bertindak menstabilkan paras potassium dalam darah. Bagi pesakit buah pinggang, kandungan potassium tidak mampu diimbangi tubuh, lalu potassium berlebihan akan menggangu rentak jantung. Pesakit buah pinggang yang tidak mengawal kandungan potassium boleh mendapat “serangan sakit jantung!”

Pernah seorang penjual ubat ajaib yang lain mengesyorkan saya mengambil produk soya yang dia jual. Apabila saya maklumkan bahawa pesakit buah pinggang kronik tak boleh makan soya kerana ia akan membebankan buah pinggang yang sudah rosak, ini jawapannya dengan penuh yakin mengalahkan para doktor pakar:
“Produk soya kami ni lain! Ia sudah ditapis halus dan tak akan memberi kesan pada buah pinggang awak.”

Alhamdulillah! Allah memberikan saya kesabaran serta kecerdikan untuk mengelak daripada terjerumus ke dalam “fakta auta” si penjual ubat ajaib. Setelah lama menderita sakit buah pinggang sejak tahun 2001, saya mulai menghargai kesihatan dan menghormati profesyen perubatan. 

Pengorbanan mereka selama bertahun mempelajari ilmu perubatan adalah jihad yang sangat hebat. Setelah lama berdamping rapat dengan para doktor sebagai “ahli kelab paksa hospital selayang” dengan rawatan susulan setiap 2 atau 3 bulan, saya semakin memahami firman Allah ini:
وَمَا أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Ertinya: Dan Kami tidak mengutus para Rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); MAKA BERTANYALAH KAMU KEPADA ORANG BERILMU JIKA KAMU TIDAK MENGETAHUI (al-Anbiya’ [21:7]).

Konteks sebenar ayat ini adalah bertanya kepada Ahli kitab tentang “KEMANUSIAAN PARA RASUL.” Ia berpunca daripada sikap penduduk Mekah yang tidak percaya bahawa manusia seperti Rasulullah SAW boleh menjadi utusan Allah. Mereka beranggapan nabi sepatutnya muncul dari spesis malaikat. Ternyata orang Yahudi dan Nasrani mengakui tiada nabi yang pernah diutus dalam kalangan malaikat? Oleh itu mereka sepatutnya menerima Rasulullah SAW sebagai utusan Allah kepada mereka (Tafsir Ibn Kathir).

Perkataan “أهل الذكر” atau orang berilmu dalam ayat ini jika diterjemahkan kepada bahasa moden adalah “PAKAR BIDANG.” Beginilah cara al-Quran mengajar kita untuk hidup selamat di dunia dan di akhirat. Apabila buntu dan perlukan penjelasan, tanya ahlinya dan bukan percaya cakap sebarang orang. Tanyalah orang yang menghabiskan usia mengkaji atau mempelajari sesuatu bidang. 

Jangan ditanya cara membuat bangunan dari seorang nelayan, kelak runtuh bangunan kerana kiraan besi dan simen yang tidak cukup. Jangan juga ditanya hukum hakam berkaitan agama dari seorang pakar Matematik, kerana agama bukan subjek berkaitan nombor. Jangan juga ditanya pak ustaz tentang cara memproses petroleum, kelak rosak enjin dan tangki kereta anda. Kesimpulannya, hormatilah pakar bidang! 

Usahkan para penjual ubat ajaib, para doktor pun memiliki pengkhususan bidang yang berbeza. Setahu saya, tiada doktor yang serba tahu atau pakar semua bidang perubatan. Jika kita jumpa seorang doktor yang pakar semua aliran dan bidang perubatan (nefrologi, urologi, bedah, radiologi, telinga, mata, hidung, otak, saraf, jiwa dan semuanya), sudah pasti doktor itu adalah jelmaan nabi Isa AS atau berasal dari planet lain. 

Malangnya, semua kepakaran para doktor perubatan yang bertahun mengkaji perihal tubuh manusia langsung diatasi oleh para penjual ubat ajaib yang hanya “bermodal air liur, andaian dan spekulasi.” Testimoni mereka pun masih terlalu jauh untuk menyaingi dapatan kajian dalam perubatan moden.

Tambah parah sesetengah penjual ubat ajaib ini berani menunggang agama dengan mendakwa ubat mereka adalah ubat yang disebut oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadith:
لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
Ertinya: Bagi setiap penyakit mempunyai ubatnya. Apabila sesuatu ubat menyentuh sesuatu penyakit, maka ia akan memberikan penyembuhan dengan izin Allah (Sahih Muslim).

Hadith ini bukan semudah itu boleh diambil untuk menjadi “MASKOT ATAU DUTA” ubat ajaib anda. JAUH BEZANYA ANTARA UBAT SEBENAR DENGAN SPEKULASI UBAT TANPA BUKTI YANG CUKUP! Apa yang saya faham dari hadith ini adalah baginda Rasulullah SAW menyarankan kita agar mengkaji dan mencari ubat bagi penyakit yang dihidapi manusia. Tidak cukup hanya dengan mendakwa!

Pesan saya kepada para penjual ubat ajaib. Takutlah Allah! Jangan mencipta fakta palsu serba ajaib untuk ubat anda. Jika ada pesakit yang semakin parah atas auta anda, Allah pasti membalasi dengan setimpal di akhirat kelak. Jangan reka fakta! Ingat amaran Rasulullah SAW ini:
إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ يَنْزِلُ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ
Ertinya: Sesungguhnya seorang hamba (manusia) boleh sahaja bercakap sesuatu perkara yang tidak dapat dipastikan kebenarannya, lalu (perkara itu) AKAN MENJERUMUSKANNYA SEMAKIN DALAM KE DALAM NERAKA SEJAUH ANTARA TIMUR DAN BARAT (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Itulah nasib kami yang menghidap sakit kronik. Sudah jatuh ditimpa tangga. Sakit kami memang meresahkan jiwa. Ketika para doktor berusaha merawat kami, para penjual ubat ajaib pun muncul kerana melihat kami adalah “LUBUK EMAS” bagi mereka. Kasihanilah kami! Apa yang kami fikirkan hanya kesembuhan! Derita yang kami lalui saban hari sangat memeritkan jiwa. Jika dikata “makanlah tahi lembu yang dicampur dengan tongkat ali dan madu hutan Amazon untuk penyembuhan”, jangan terkejut jika ada yang sanggup buat untuk sebuah ni’mat penyembuhan! 

Tidak dinafikan, ada sesetengah penjual ubat ajaib ini ikhlas mahu membantu kami, tapi bantuan yang mahu diberikan biarlah berpada dan ada batasannya. Jika bantuan anda boleh menjadi kapak yang akan membunuh kami, maka simpanlah kapak itu. Fisiologi tubuh kami sudah berbeza daripada orang yang sihat. Biarlah para doktor yang bertauliah merawat kami. Cukuplah kalian sekadar mendoakan kami sahaja. 

Jangan pandang kami sebagai lubuk emas, sebaliknya lihatlah kami sebagai manusia yang perlu dikasihani. Hidup ini bak roda! Ada masa kita berada di atas dan ada masa kita berada di bawah. Ada masa kita sihat dan ada masa kita sakit. Apa agaknya perasaan anda wahai penjual ubat ajaib jika anak anda mati akibat salah makan ubat ajaib yang dijual oleh penjual yang lain? Fikirkan!

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
(5 Februari 2017)

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/…/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-…/
http://pts.com.my/…/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-ji…/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/…/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-…/

Kredit : Fb Abdullah Bukhari Abdul Rahim 




Kalaulah Aku Hargai Dia Dari Dulu... - Kisah Suami Curang Ini Benar-Benar Membuka Mata

8 Apr 2022




Kisah suami curang ini patut dijadikan pengajaran buat suami isteri di luar sana. Hargailah pasangan anda selagi boleh, jangan menyesal di kemudian hari...

Kisah suami curang ini sewajarnya menjadi ikhtibar buat semua suami isteri di luar sana. Komitmen dalam berumah tangga bukan bermaksud menyayangi pasangan dalam masa yang sukar saja.

Malah, perkahwinan juga merupakan satu janji yang anda akan mengingati dan menghargai setiap usaha dan kebaikan pasangan. Perkahwinan bermaksud anda kekal berjuang walaupun ketika saat sukar.

Kisah suami curang dalam perkahwinan tidak sepatutnya terjadi dan ia merupakan kesilapan terbesar dalam hidup seorang lelaki. 

Tak percaya? Mari baca luahan hati seorang lelaki dan bapa kepada 2 orang anak ini. Kata-kata beliau sungguh bernas hingga anda akan faham apa ertinya perkahwinan. 


KISAH SUAMI CURANG : PENGAJARAN BUAT SUAMI ISTERI

Aku telah 15 tahun berkahwin dengan isteriku. Tapi 2 bulan sebelum ulang tahun perkahwinan kami yang ke-10, aku curang. 

Kami ibu bapa kepada 2 anak yang makin membesar. Mereka sekarang sudah remaja. Dulu masa aku curang dan tinggalkan mereka, mereka baru berusia 7 dan 9 tahun.

Aku jumpa Erra semasa aku sibuk ke luar negara atas urusan kerja. Mula-mula kami berkawan. Lama-lama kami kerap bergayut dan perasaan cinta itu makin berputik. 

Ketika berlaku curang. Shamsul *bukan nama sebenar tidak gembira dengan rumah tangganya. Beliau rimas untuk pulang ke rumah. 

Malas betul nak pulang ke rumah. Isteri makin gemuk. Dia nampak sungguh serabut setiap kali aku balik rumah. 

Aku rasa dia sudah tak sayangkan aku. Sebab itu dia tidak kisah pun nak melawa demi aku. Jadi aku cari jalan mudah. Aku curang. 

Shamsul meyakinkan diri sendiri yang isteri tercinta itu tidak mahu lagi melayan kehendak dan keinginanya. Sepanjang si isteri sibuk menguruskan rumah dan anak-anak, Shamsul berfoya-foya di luar.

Setiap kali aku dengar isteri buka mulut, aku hanya dengar dia membebel saja. Tapi sebenarnya aku tak sedar yang dia sebenarnya hanya mahukan perhatian aku. Kami asyik bergaduh. 


KASIH TIDAK KESAMPAIAN

Jadi aku angkat kaki. Aku tinggalkan isteri dan anak-anak aku. Aku pindah duduk dengan Erra. Mula-mula, memang semuanya indah.

Tapi, setelah beberapa lama, walau serapat mana pun kami, walau sehebat mana pun aksi di ranjang, tiba-tiba fasa “jatuh cinta” itu hilang. 

Aku rindu rumah dan keluargaku. Aku rindu wanita yang membina rumah tangga aku. Aku paling rindu anak-anakku.

Kalaulah dari dulu aku menghargai isteriku, pasti dia juga akan kekal cantik dan berseri seperti Erra. Tapi aku yang salah. Aku tak pernah tunjuk kasih sayang aku padanya. 

Sampai sekarang, isteri Shamsul pasrah dan giat membesarkan anak-anak sebagai ibu tunggal. Walaupun hak penjagaan anak diperoleh oleh isteri, namun dia tidak kekok untuk membenarkan Shamsul berjumpa anak-anak mereka.

Dia tak pernah minta duit lebih pada aku. Aku tinggalkan seorang wanita yang kuat dan tak mudah berputus asa. Hanya aku saja yang berputus asa dengan perkahwinan kami. 


AKHIRNYA AKU MENYESAL TIDAK SUDAH

Selepas 8 tahun bercerai, akhirnya isteri aku menjumpai lelaki yang benar-benar menghargai dirinya, Haikal. Mereka berkahwin dan memulakan hidup baru. 

Ketika ini baru aku rasa apa yang bekas isteri aku itu rasa. Aku rasa macam nak mati. Menyesal? Tak payah cakaplah! Aku sangat sangat sangat menyesal. 

Jadi buat para suami isteri di luar sana. JANGAN JADI SEPERTI AKU. Hargai isteri kalian! Jangan mudah berputus asa dengan hubungan. Cuba sehabis baik!

Kepada para suami, jangan ambil mudah pada wanita yang berkorban segala-galanya pada anda itu. Dialah wanita istimewa yang membawa zuriat anda. Dia juga tulang belakang anda.

Hidup ini singkat saja. Tapi yang membuatkan ia cukup-cukup berharga adalah kerana kasih sayang. Jangan lupa kasih sayang yang pernah mengisi hati anda suami isteri. 

Walaupun ada masalah dalam rumah tangga, berfikiran positif. Cuba sehabis mungkin. 

Manusia ini tidak sempurna, namun perkahwinan bermaksud anda telah berjanji untuk komited bersama, berjuang bersama demi kebahagian keluarga anda. Laksanakan janji anda!


Kredit : theasianparent


Anak Luar Nikah, Bakal Mertua Tak Dapat Terima Kerana Status

21 Mar 2022

 




Salam admin,


Saya berhadap sangat admin publish confession ini. Dah lama saya memendam perkara ini. Sebelum itu, saya nak beritahu yang saya seorang gadis, yang berusaha sebaik mungkin setakat ini untuk menjadi gadis muslimah yang baik walaupun adakalanya tersasar. 

Nak dijadikan cerita, saya membesar dengan nenek di utara tanah air sejak kecil lagi. Ibu bapa pula menetap di ibu kota. Dari kecil saya tengok surat beranak saya, kenapa column bapa kosong tak bernama? Saya tak ada bapa ke? 

Banyak kali saya berfikir, sehinggalah satu hari nenek beritahu yang saya adalah anak luar nikah. Tetapi bapa saya yang sekarang ini memang bapa kandung. Cuma kalau ikut dalam Islam, saya tiada bapa kan? Ibu berkahwin dengan bapa selepas mengandungkan saya. 

Sedih sangat-sangat selepas mengetahui cerita yang sebenar. Dari hari itu, saya memang tiada keyakinan diri dan tidak berani berkawan secara serius dengan mana-mana lelaki kerana tidak yakin ada yang sanggup menerima. 

Sampailah satu masa ketika saya diploma di satu IPTA ini. Saya kenal dengan seorang lelaki ini, dia bekerja di Perodua dan kami selalu berhubung melalui media sosial tetapi tidak pernah berjumpa. Saya selesa berkawan dengannya kerana dia jenis lelaki yang caring dan menghormati saya. 

Satu hari itu, dia nyatakan hasratnya untuk melamar saya. Terkejut, saya terkejut kerana ingatkan dia bergurau sahaja. Rupa-rupanya dia memang serius dan mahu datang ke rumah nenek untuk masuk meminang. Saya menghalang dan menolak hasratnya itu. Puas dia mendesak saya memberitahunya kenapa saya menolak lamarannya. Padahal, saya sebenarnya memang menyimpan perasaan terhadapnya. Cuma saya tidak yakin yang dia boleh menerima status saya sebagai anak luar nikah. 

Akhirnya saya berterus terang yang saya tidak dapat menerimanya kerana saya anak luar nikah. Sejak itu, dia terus mendiamkan diri dan tidak lagi beria-ria seperti sebelum ini. Saya faham, dia susah mahu menerima. 

Satu hari itu, dia beritahu yang ibunya telah mencari calon isteri pilihannya untuk dia. Dia beritahu yang ibunya tidak dapat menerima saya sebagai menantu sebab saya anak luar nikah. 

Lagipun saya tahu yang dia sendiri juga tidak dapat menerima status saya. Saya faham dan tidak rasa sedih sangat, sebab sudah menjangka perkara seperti ini akan berlaku. 

Sekarang, dia sudah berkahwin. Saya teruskan hidup seperti biasa. Tiba-tiba datang pula seorang lelaki mahu mencuri hati saya. Saya enggan memberikan sebarang respon, namun dia pula bersungguh-sungguh mahu mendekati saya. 

Sekali lagi, saya berterus terang yang saya ini anak luar nikah. Agak-agaknya dia boleh menerima saya tak? 

Dia terus senyap dan berhenti menghubungi saya. 

Sedih kan jadi anak luar nikah ini? Lelaki susah nak menerima gadis berstatus seperti saya. Saya hanya berserah kepada Allah. Saya sudah malas nak mengharapkan perkahwinan. Kalau ada jodoh yang mampu terima, adalah. Jika tiada, tak mengapa, saya teruskan hidup seperti biasa.

Walaupun bukan salah saya jadi anak luar nikah, tetapi mentaliti orang Melayu memang memandang hina pada golongan seperti saya. Jadi, mohon kalian semua doakan yang baik-baik untuk saya agar suatu hari nanti ada yang mampu menerima saya seadanya.

Kredit : superkiram


Bebanan Status ANDARTU

7 Mar 2022


Assalamualaikum , dan salam sejahtera semua,

Terima kasih kepada yang sudi membaca. Nama akak Nurin. Akak bahasakan diri Kak Nurin ye. Tahun ni Kak Nurin berumur 49 tahun dan bekerja di syarikat separa kerajaan. Lagi beberapa tahun je lagi Kak Nurin dah nak pencen. Seperti tajuk yang Kak Nurin tulis di atas ni, YA, Kak Nurin masih belum berkahwin, masih bujang, kata orang dah layak sangat digelar anak dara tua (ANDARTU). Bila dah dapat gelaran ini pun , dah rasa sangat-sangat tragis. Malu ? Sedih ? Kecewa ? Redha ? Semuanya ada dah tersimpan kemas dalam hati. Tapi tak bermakna Kak Nurin tak pernah mempunyai teman istimewa, tak pernah bercinta. Cinta yang tak kesampaianlah yang membawa Kak Nurin sehingga kepada keadaan sekarang.

Kak Nurin mula bekerja seawal umur 24 tahun. Masih muda. Mempunyai teman lelaki sejak dari Universiti. Kami merancang untuk bekerja dan berkahwin untuk membina keluarga. Tapi apakan daya, bila semua keperluan dah cukup untuk membina masjid, cinta kami dihalang dan tak direstui keluarga teman lelaki. Mereka dah ada calon menantu mereka sendiri. Untuk apa Kak Nurin perlu merayu lagi, kalau pihak keluarga sana dah tak suka. Hubungan kami tamat di sini sahaja, selepas bercinta selama hampir 4 tahun. 

Darah masih muda . Untuk memulihkan hati yang terluka , Kak Nurin tak ambil masa yang lama , sehinggalah Kak Nurin berjumpa pengganti yang berjaya mencuri hati Kak Nurin. Orangnya kacak, sangat dikenali. Satu ofis tetapi lain jabatan. Kami berkawan dan bercinta dan menjadi bualan rakan-rakan office kerana kami sentiasa berkepit dah macam belangkas. Mungkin bercinta hanya berlandaskan paras rupa, hubungan kami tak lama. Dia curang di depan mata Kak Nurin sendiri. Cinta dia dijaja kepada wanita-wanita lain pula. Sebelum ni kata-kata nasihat kawan baik mengatakan dia seorang 'playboy', tidak diendahkan Kak Nurin. Pada hemat Kak Nurin, mungkin dia ikhlas apabila bersama Kak Nurin, tetapi hakikatnya dia cuma nak mempermain-mainkan perasaan sahaja. Pada ketika ini, Kak Nurin dah rasa bosan dengan permainan cinta seorang lelaki. Lelaki-lelaki ini telah menghancurkan perasaan Kak Nurin. Semua lelaki adalah sama. Dan pada ketika ini Kak Nurin bencikan lelaki. Tiada siapa pun yang dapat mengubah persepsi ini sehinggalah Kak Nurin dipertemukan dengan seseorang yang karektornya lebih kurang macam ustaz muda, di satu majlis khidmat bakti syarikat Kak Nurin bekerja.

Orangnya biasa je, agak warak . Bekerja sebagai guru, mengajar di sekolah menengah. Kami sempat menjalinkan hubungan hampir selama 2 tahun, sebelum mengambil keputusan untuk ke arah yang lebih serius. Namun Kak Nurin diuji lagi, Allah lebih menyayangi dia . Terlibat dalam satu kemalangan, koma dan meninggal dunia. Sedihnya hanya Allah sahaja yang tahu. Jiwa Kak Nurin tidak tenteram mengenangkan arwah yang sangat baik. Untuk memujuk hati yang lara, Kak Nurin bersangka baik dengan Allah, mungkin arwah seorang yang baik, jadi Allah cepat mengambil dia  untuk berada disisiNya.

Sedih dan pilu untuk melupakan arwah. Tetapi hidup perlu diteruskan. Namun untuk memulakan semula hubungan cinta, memang sangat-sangat memenatkan. Semuanya perlu bermula dari 0, untuk membolehkan hubungan menjadi serasi. Jadi Kak Nurin ambil keputusan ,mahu berehat daripada bermain perasaan cinta. Kak Nurin hanya mahu fokus kepada kerjaya dan menjaga emak yang sudah tua. Kak Nurin anak bongsu dari 3 beradik, satu-satunya yang belum berkahwin. Bapa Kak Nurin dah meninggal dunia, jadi emak diletak dibawah penjagaan Kak Nurin, memandangkan kakak dan abang dah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. 

Sebagai ibu, emak Kak Nurin sentiasa memberi kata-kata positif, kerana dia turut bersedih melihat anak bongsunya dirundung kekecewaan. Kak Nurin hanya terus berdoa. Dan mungkin Allah juga masih menyayangi Kak Nurin , DIA menghantar lagi ujianNya kepada Kak Nurin untuk menguji sejauh mana Kak Nurin mengingatiNya. Kak Nurin dikenalkan dengan anak kawan lama emak . Kami hanya berkawan dahulu, memandangkan Kak Nurin masih tak dapat lupakan arwah. Sikap dia yang sabar, tidak memaksa, dan sanggup beri ruang masa kepada Kak Nurin betul-betul membuatkan Kak Nurin jatuh hati pada dia. Kami tak bercinta lama. Emak minta kami bertunang cepat dan terus berkahwin. Kami OK, dan ikut cakap emak. Kami  dah bertunang hampir 3 bulan, dan bersetuju untuk berkahwin selepas setahun. Namun kebahagiaan yang diharapkan tidak kesampaian. Akibat kata-kata provokasi dan hasutan orang luar kepada bakal suami dan mertua, menyebabkan mereka membuat keputusan untuk memutuskan tali pertunangan kami. Alasannya, mereka tak mahu nasib malang Kak Nurin diwarisi oleh keturunan-keturunan mereka nanti.

*Cukuplah empat kali hati Kak Nurin terluka*

Kawan-kawan rumah sewa silih-berganti , bertukar-tukar yang baru, sebab ada yang dah kahwin dan berpindah. Yang tetap setia tinggal di sini Kak Nurin sorang je, sehinggalah Kak Nurin mampu membeli rumah kos rendah dan Kak Nurin berpindah keluar tinggal sendiri di rumah baru ni. Tiada lagi rakan sebilik, tiada lagi rakan rumah sewa dan tiada lagi perasaan cemburu melihat rakan-rakan silih berganti berkahwin. Kat office pula, Kak Nurin dah jadi pemerhati staff-staff lain berubah daripada status bujang kepada status kahwin. Daripada anak 1 jadi anak 2, 3 , 4 dan seterusnya. Sehingga hari ini ada officemate sebaya Kak Nurin, yang dah menunggu nak dapat menantu! Untungnya kehidupan yang telah ditetapkan kepada officemate Kak Nurin tu. Kalau dulu kami jalan bersama, makan bersama, outing bersama, sekarang masing-masing dah ada kehidupan sendiri. Dah ada tanggungjawab sendiri. Rakan-rakan sebaya dah berlalu meniti usia mereka bersama keluarga. Tinggallah Kak Nurin masih berseorangan , masih menjaga emak yang semakin uzur. Namun Kak Nurin menganggap ini hikmahnya , untuk peluang Kak Nurin mencari pahala kerana menjaga emak sehingga akhir hayatnya.

Memang berat untuk memikul status ANDARTU. Bukan tidak ingin berkahwin, malah perjalanan kisah Kak Nurin amat istimewa. Walaupun keinginan untuk berkahwin dan membina keluarga sendiri sentiasa ada di hati, namun bila sampai waktunya, jodoh Kak Nurin belum diizinkan Allah. Bohonglah kalau nak kata Kak Nurin tak sedih. Kecewa hampir kemurungan memikirkan nasib diri. Sebagai wanita yang normal, perasaan perit mengingati kisah silam sentiasa menghantui fikiran. Lagi-lagi apabila mendengar usikan dan tohmahan orang. Sehinggakan saudara-mara beritahu, nasib Kak Nurin sentiasa membawa malang dan perlu pergi berjumpa bomoh untuk buang sial. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Mudah bagi orang luar untuk berkata-kata, tetapi jawapan Kak Nurin mudah je. Untuk tahap umur dah nak masuk 50 tahun ni, Kak Nurin hanya berserah segala-galanya kepada Allah dan redha, dan dah menganggap ini sebagai satu takdir, mungkin dah tiada jodoh Kak Nurin. Tak perlu fokus dan fikir lagi untuk mencari teman hidup. Teruskan menikmati kehidupan seperti biasa, dan menerima ini sebagai satu ujianNya.

Pinta Kak Nurin dalam luahan ini, untuk mereka yang sama seperti Kak Nurin, janganlah dipandang serong terhadap kami. Walaupun kami dah redha, tetapi sebagai wanita insan yang lemah, tetap akan terguris dan tercalar hatinya apabila menjadi bualan hangat orang luar. Jiwa kami sensitif . Sedangkan title ANDARTU tu sendiri kami dah terbeban untuk memegangnya jadi janganlah dibebankan lagi dengan segala tohmahan dan umpatan yang tidak berasas. Kita tak tahu apa yang mereka dah lalui. Ada sesetengah orang mudah jodohnya, ada orang lain pula sukar untuk mendapat jodohnya. Tapi apalah kuasa kami dan siapa kami untuk menidakkan ketentuanNya. Kita doakan rakan-rakan yang sama title dengan Kak Nurin ni , mudah-mudahan dipermudahkan segala urusan di dunia dan akhirat, kerana KEBAHAGIAAN itu amatlah luas. 

Terima kasih kepada semua kerana sudi membaca luahan Kak Nurin.

=========================================================================


Jangan Menghukum Anak ber-Bin-kan Abdullah

14 Feb 2022



Pernahkah kita terfikir apa perasaannya apabila mendapati nama kita berbin atau berbintikan Abdullah, sedangkan adik-beradik lain berbinkan nama bapa kita? Terfikirkah kita bagaimana individu itu hendak berhadapan dengan masyarakat sepanjang hidupnya dari sekolah sehinggalah berkahwin. 

Bagaimana pula pandangan umum terhadap ibu bapanya pula? Ya, diakui mereka pernah melakukan kesilapan lalu tetapi bagaimana jika pasangan itu sudah bertaubat.

Bayangkan macam mana pula pasangan itu hendak mendidik anak-anaknya untuk menjadi baik, jika kisah lampau mereka terus terdedah? Ikuti kupasan temu bual wartawan, Sharilfuddin Saa ri dengan Mufti Perlis, Prof.

Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zai nul Abi din yang negeri itu mempunyai fatwa berbeza berkaitan soal Anak Tidak Sah Taraf.



MINGGUAN: Bolehkah Datuk jelaskan intipati fatwa yang dikeluarkan Jabatan Mufti Perlis berhubung kedudukan Anak Tidak Sah Taraf pada 2013?

MOHD ASRI: Saya nak jelaskan, Perlis bukan sahaja ada fatwa tentang Anak Tidak Sah Taraf iaitu yang membabitkan individu lahir kurang daripada enam bulan tempoh perkahwinan, bahkan perkara itu telah menjadi warta kerajaan pada 17 Januari 2013.

Dalam warta itu menyebut, mengikut Peruntukan Subseksyen 48 (6) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips), setelah diperkenankan oleh Raja Pemerintah dan memaklumkan kerajaan negeri, dengan ini menyebabkan fatwa berikut disiarkan iaitu: “Anak yang lahir kurang enam bulan selepas ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami”.

Ini bermaksud, dalam kes pihak-pihak yang terlanjur lalu mereka berkahwin. Empat atau lima bulan (kemudian), seorang anak dilahirkan dan mereka nak binkan si anak dengan si suami iaitu bapanya (sedangkan persetubuhan berlaku sebelum perkahwinan), maka dalam fatwa kita, si anak boleh dibinkan kepada bapanya itu. Saya akan berikan hujah-hujah dan alasan yang disebutkan nanti.

Untuk pengetahuan, di Malaysia boleh (berbinkan si bapa) tetapi dengan syarat hanya (anak itu lahir) enam bulan dan ke atas. (Contohnya) Kalau pasangan bersetubuh luar nikah tetapi selepas tujuh bulan kemudian lahirkan anak, maka dia dibenar berbinkan si bapa atas pandangan Mazhab Shafie dan seumpamanya. Namun Perlis melihat fatwa ulama yang lebih luas dalam hal ini.

MINGGUAN: Apakah kategori Anak Tidak Sah Taraf, boleh Datuk jelaskan?

MOHD ASRI: Yang pertama ialah Anak Tidak Sah Taraf disebabkan hukum (zina) dan yang kedua, disebabkan teknikal yang melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Bagi melibatkan JPN, iaitu pasangan yang berkahwin di luar negara, tidak termasuk dalam fatwa Perlis.

Saya hendak jelaskan, kadang-kadang sijil (nikah) dan surat konsul telah dapat, tetapi di negara ini, ada negeri cuba menyusahkan dengan cara yang macam-macam, atas alasan kesalahan kahwin luar negara dan lain-lain lagi. Lalu menyebabkan si anak tidak dapat didaftar dan JPN telah mendaftar seolah-olah anak itu tidak sah taraf (berbinkan Abdullah).

Ini merupakan satu bentuk 'kezaliman'. Tidak dibinkan kepada si bapa sehingga menyebabkan orang menganggap si anak itu adalah anak di luar nikah. Pihak pendaftaran secara tidak langsung macam menyebab orang menuduh orang lain berzina. Itu merupakan kesalahan besar dalam agama padahal dia (pasangan) tidak berzina pun.

Saya hendak beritahu, jika orang berkahwin secara sah, kamu tidak memberi (pendaftaran anak) sehingga orang lain menyangka si anak itu tergolong dalam Anak Tidak Sah Taraf, kamu termasuk dalam dosa menyebabkan orang lain menuduh orang (pasangan) berzina.

Konsul kita ada, mereka semak dan beri sijil, maka terima sahajalah. Jabatan agama pun kadang-kadang menyusahkan urusan pendaftaran.

MINGGUAN: Adakah kategori lain Anak Tidak Sah Taraf yang tidak boleh berdaftar dalam fatwa Perlis?

MOHD ASRI: Menurut fatwa kita juga, sekiranya dia (pasangan) tidak berkahwin, maka tidak bolehlah (mendaftar). Misalnya, si ibu melahirkan anak tanpa bapa langsung. Di situ pada pandangan kita, tidak benarkan. Atau si anak lahir dan si bapa kata, anak itu bukan anak saya umpamanya, juga tidak boleh.

MINGGUAN: Apakah sebabnya fatwa ini dikeluarkan?

MOHD ASRI: Ini penting, saya harap wartawan dapat menjelaskannya. Islam adalah satu agama yang rahmat untuk semua. Apa-apa sahaja fatwa yang menyebabkan dan membawa derita kepada manusia atau bencana, ia tidak boleh dianggap sebagai satu rahmat.

Walaupun kadang-kadang kita hormati pandangan ulama, tetapi kita mesti melihat kepada realiti yang ada. Di sana, ada beberapa pandangan ulama tentang hal ini.

Fatwa Perlis bukan bersendirian sebaliknya berasaskan pandangan para ulama, ada pandangan Hasan Al-Basri dalam hal ini, begitu juga Ibnu Khair, Ibnu Taimiyah, Ibnu Utsaimin dan Dr. Yusuf Al-Qaradawi yang sama dengan kita (fatwa Perlis). Kerana kita berusaha untuk menutup aib. Kita kena lihat fenomena bagaimana ia berlaku.

Katakanlah satu pasangan telah terlanjur (berzina), kemudian mereka kahwin dengan pasangan yang sama dan lima bulan kemudian lahirlah seorang anak lalu bila dia nak pergi daftar, tidak boleh dibinkan kepada bapa. Kononnya pihak yang berfatwa menggunakan alasan itu untuk mendenda si ibu dan bapa kerana berzina. Tetapi realitinya apa yang berlaku – mereka (pasangan) ini mungkin telah bertaubat lalu berkahwin.

Kemudian si anak membesar, ibu dan bapa mungkin sudah jadi orang baik dan hendak membesarkan anak dengan cara baik. Dia (si anak) pula mendapat adik-adiknya yang lain dan mendapati dia berbinkan lain iaitu Abdullah manakala adik-adiknya mengikut nama si bapa, sebagai contoh Ridzwan.

Pastinya si anak itu bertanya kenapakah saya bin lain, dan adakah bapanya kena beritahu yang saya (bapa) dan ibu dahulu pernah buat benda jahat, sedangkan agama menyuruh menutup aib.

Dan bagaimana pula dia hendak mendidik anak-anaknya berbuat baik, esok si anak kata bapa, ibu pun buat benda jahat. Kemudian menyebabkan aib itu didedahkan pula di sekolah. Apabila masuk sekolah menengah malu lagi, bapa dia mungkin sudah bertaubat.

Guru turut tahu ni anak luar nikah, (seterusnya) masuk universiti bangkit lagi. 30-40 tahun nak kahwin, bangkit lagi sedang mungkin pula bapa atau ibu sudah meninggal dunia. Bayangkan aib diletakkan kepada seorang mangsa iaitu si anak.

MINGGUAN: Dalam Islam juga turut ditekankan supaya kita menjaga aib orang. Pandangan ustaz? 

MOHD ASRI: Saya hendak tanya di manakah kebaikan fatwa ini yang memaksa untuk dibinkan dengan Abdullah, sedangkan realitinya hanya untuk memalu dan mematahkan semangat orang untuk menjadi baik selain membuka aibnya.

Keduanya, sekarang ini banyak kes seperti ini iaitu orang yang berbinkan Abdullah, jika semuanya nanti berbinkan Abdullah.... Kita ada bukan ribu tetapi puluhan ribu dan lama kelamaan, orang anggap zina ini suatu perkara biasa.

Dulu mungkin orang sembunyi-sembunyi tetapi sekarang, zina ini seakan-akan dicatatkan (berbinkan Abdullah), akhirnya semua orang akan tahu dan jadi kebiasaan macam di Barat. Secara tidak langsung ia seakan-akan memberi galakan. (Nanti ada mengatakan) Tidak ada masalah pun buat dulu (zina) sebab ramai yang bin Abdullah. Ini tidak akan jadi aib lagi.

Saya nak tanya, kita sebenarnya hendak denda siapa dengan hukuman ini? Adakah kita hendak denda si ibu, tidak, kita menghukum anak. Sebab itu fatwa Perlis menyelamatkan perkara ini. Saya nak tanya lagi dalam keadaan lain, kalau pasangan bukan Islam masuk Islam dan membawa anak-anaknya sekali, (mengapa) anak itu terus dibinkan kepada si bapa. Kita tidak tanya pula enam bulan ke empat bulan ke (kelahiran).

Mengapa ada pendekatan berbeza dan kita tidak pernah tanya pun? Oh! itu dulu sebelum dia masuk Islam. Jadi ertinya, soal apakah yang hendak dicapai... dengan penegasan fatwa ini yang menyusahkan kita. Sebab itu, susah juga hendak melepasi fatwa Perlis ini tetapi Alhamdulillah ada kes-kes di Mahkamah Syariah Perlis yang menang apabila cukup bukti.

Saya anggap Mahkamah Syariah Perlis mestilah mengikut fatwa Perlis. Jika tidak, ia melanggar titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis (Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail) kerana itu merupakan warta negeri Perlis.

Saya ingin memberitahu rakyat Malaysia, sesungguhnya agama menyuruh kita menutup aib. Fatwa Perlis yang dikeluarkan ini tidak lain mempertanggungjawabkan pada orang berkenaan (pasangan berzina) untuk berkahwin, memberi ruang bagi mereka bertaubat serta berubah dan menutup keaiban.

MINGGUAN: Apakah asas pengeluaran fatwa Perlis dalam hal ini?.

MOHD ASRI: Kita bersandarkan kepada hadis sahih Nabi SAW al-walad li-l-firash kerana ada kes pada zaman Baginda, berlaku perebutan nasab anak antara Sa’d bin Abi Waqqas dan Abd bin Zamah. Sa’d membuat tuntutan dengan mendakwa bahawa anak saudaranya, Utbah bin Abi Waqqas beritahu bahawa anak Zam’ah yang masih kecil sebenarnya adalah anaknya (Utbah).

Namun Abd bin Zam’ah membantah dengan menyatakan bahawa itu adalah anak bapanya, Zam’ah yang mengahwini ibu anak berkenaan. Sa’d mengukuhkan dakwaan dengan menyatakan anak berkenaan jelas menyerupai rupa Utbah.

Kes ini melibatkan wanita itu ‘tidur’ dengan orang lain tetapi kahwin dengan orang lain. Maka si anak (dilahirkan) menyerupai orang lain dan bukan suami wanita itu.

Kes ini dibawa kepada Nabi SAW dan baginda bersabda al-walad li-l-firash, anak dibinkan kepada suami yang ada. Walaupun rupa (fizikal anak) tidak menyokong. Melainkan orang itu (si suami) kata, ini bukan anak saya.

Kredit : UtusanMalaysia




Anak Autisme Boleh Jalani Hidup Normal

22 Jun 2021


JUJUR saya katakan, pada awalnya saya tidak mempercayai anak saya didiagnos dengan autisme, tetapi dalam tempoh setahun sebelum saya dan suami mendapatkan pandangan kedua daripada doktor lain, kami perlahan-lahan sudah boleh menerima keadaan Dzarif,” ujar Dr. Hazlita Mohd. Isa apabila diminta bercerita mengenai pengalamannya mempunyai anak autisme.

Didiagnos ketika anaknya itu berusia setahun lapan bulan, Dr. Hazlita menjelaskan, segalanya terbongkar apabila Mohammad Dzarif Ahmad Hakimi dijangkiti demam campak dan tidak mahu bercakap sebaik pulih. Menyedari perubahan yang berlaku kepada anak bongsunya itu, Dr. Hazlita dan suami meminta pihak doktor membuat pemeriksaan lanjut.

Ketika kejadian, Dr. Hazlita dan suami berada di United Kingdom. Sudah menjadi prosedur hospital di sana untuk membuat pemeriksaan berkaitan autisme terlebih dahulu sekiranya ada yang tidak kena dengan kanak-kanak tersebut. Dalam tempoh itu, Dr. Hazlita tidak hanya duduk diam, dia dan suami mengambil pendekatan mencari maklumat mengenai masalah yang dihidapi anaknya.

Hasil rujukannya mendapati, ciri-ciri autisme ada pada Mohammad Dzarif sejak dari kecil yang tidak disedari Dr. Hazlita dan suami. “Apa yang berlaku terhadap Dzarif bukan disebabkan kami tidak mengambil kisah mengenai perkembangannya tetapi kami tidak perasan kerana merasakan Dzarif seperti kanak-kanak normal lain.
“Selepas Dzarif didiagnos untuk kali kedua, kami lebih bersikap terbuka menerima keadaannya dan mula terfikir mengenai masa depannya.

“Ini termasuk pendidikan yang seharusnya Dzarif terima sebaik sahaja umurnya mencecah tujuh tahun.“Pelbagai persoalan timbul seperti bolehkah Dzarif bersekolah di sekolah rendah seperti kanak-kanak normal yang lain?” beritahunya. Ingin melihat Mohammad Dzarif mendapat pendidikan formal seperti kanak-kanak normal, ibu kepada empat cahaya mata ini mengumpulkan pelbagai maklumat mengenai persekolahan di Malaysia.

Bagaimanapun, Dr. Hazlita kecewa apabila sekolah-sekolah rendah di negara ini tidak dapat menerima Mohammad Dzarif untuk bersekolah seperti kanak-kanak normal. Begitupun, impian doktor mata ini termakbul apabila Sekolah Antarabangsa Taylor, Kuala Lumpur, menerima anak-anak autisme belajar di situ. Hari ini, setelah dua tahun menjalani kehidupan sebagai pelajar biasa di sekolah tersebut, Mohammad Dzarif membuktikan kanak-kanak autisme boleh pulih, walaupun mungkin mereka berhadapan masalah untuk bersosial dengan orang lain.

Kata Dr. Hazlita, dalam hal ini, ibu bapa serta masyarakat perlu memberi peluang kepada kanak-kanak ini kerana masih ada harapan untuk mereka, sekiranya keluarga dan guru yang terlibat secara langsung memberikan komitmen sepenuhnya. Tambahnya, sindrom kanak-kanak autisme mempunyai tahap-tahap tertentu dan tidak semuanya sama. Begitu juga dengan Mohammad Dzarif, yang dahulunya dikategorikan pada tahap sederhana dengan kelakuan yang sukar dijangka, tetapi setelah diberikan pendidikan awal dan terapi berterusan di Early Autism Project (EAP), kanak-kanak ini sudah pulih daripada masalah tersebut dan kini dikategorikan pada tahap rendah.

Dihantar ke EAP seawal usia tiga tahun, hari ini, walaupun masih memerlukan perhatian dan terapi, sekurang-kurangnya usaha yang dilakukan Dr. Hazlita dan suami, membolehkan anak mereka dapat bersekolah di sekolah biasa dan bukannya di sekolah pendidikan khas. “Sebenarnya bukan mudah mendidik anak autisme tanpa ilmu, kerana anak-anak ini tidak akan belajar dengan ibu mereka, sebaliknya akan melawan dan membentak kerana enggan memberi komitmen untuk belajar.

“Oleh itu, program latihan awal amat penting untuk kanak-kanak autisme dan sekiranya dapat berkomunikasi pada awal usia, masalah tingkah laku boleh dikurangkan. “Berhadapan dengan mereka sebenarnya memang menuntut kesabaran yang tinggi selain perlu memahami sepenuhnya masalah yang dihidapi anak-anak ini,” tuturnya lanjut. Ramai yang berpendapat, anak-anak autisme perlu dihantar ke sekolah khas yang boleh mengubah tingkah laku dan keupayaan anak-anak ini kerana mereka sendiri tiada ilmu untuk mendidik golongan berkenaan.

Jelas apa yang berlaku kepada Mohammad Dzarif membuktikan anak-anak autisme ini mampu bersekolah bersama-sama kanak-kanak normal lain sekiranya dibantu dari awal.

Kredit : UtusanMalaysia



Hobi Di Dunia Yang Akhirnya Membawa Kebinasaan Selepas Mati

16 Jul 2017


Ada satu kisah benar, ada seorang lelaki ni ketagih pornografi. Memang selalu dia share video sebegitu dengan kawan-kawannya yang sama ketagih sepertinya.

Satu hari, dia subscribe video pornografi dari website & set autosent kepada kawan-kawannya. Bila ada video baru, memang akan terus autosent directly kepada kawan-kawannya tadi.

Satu hari, lelaki ini meninggal dunia. Namun, website porn itu terus autosent video baru kepada subsribers. Video baru terus autosent kepada kawan-kawannya.

Namun, selepas kematiannya, setiap kali kawan-kawannya dapat video baru, mereka akan menangis & tak sanggup untuk menontonnya kerana yang menghantar video itu adalah kawannya yang sudah meninggal dunia.

Mereka bertemu Syeikh untuk meminta pendapat apa yang boleh dilakukan untuk membantu si mati untuk menghentikan dosa itu. Ustaz menjawab; memang tiada apa yang boleh dilakukan melainkan menunggu subcriptions expired. Itulah dosa jariah, walaupun kita telah meninggal dunia, ia tetap berpanjangan... berterusan... dicatit sebagai dosa oleh malaikat.

Allahuakbar. Besarnya ibrah & pengajaran yang kita peroleh dari kisah ini.
Perhatikanlah apa yang kita lakukan harini. Apa jua tindakan kita natijahnya hanya dua; dosa atau pahala.

Banyak dari kita... buat satu perkara tu tak fikir pun secara serius, orang kata suka-suka saja.

Posting pictures, posting videos, up live video.. Tetapi banyak yang wanita, misalnya tutorial makeup atau tutorial tudung, atau gambar hari raya, lupa perhatikan aurat tangan, kaki, rambut, bentuk tubuh yang lupa ditutup, atau memang sengaja buka aurat sebab nakkan pujian atau rasa bangga (wallahu 'alam), hingga barangkali lupa semua itu kekal & tetap boleh dilihat, ditonton oleh bukan mahram selama mana kita tidak delete dari media sosial, hatta selepas kita mati.

Ramai yang terlupa bahawa semua dosa tetap dicatit & take into our account selama mana ia masih dilihat & ditonton orang lain. Bayangkanlah jika selepas kita mati, masih ada 1000 tahun sebelum akhirat, setiap hari 100 orang melihat aurat kita. Sehelai rambut dikira 1 dosa. Kalau 1000 helai? Allahuakbar!

Lain pula kisahnya tentang orang soleh.

Bila kita dengar suara azan mahupun bacaan Quran ataupun zikir bahkan nyanyian Allahyarham Ustaz Asri misalnya... masih terasa menusuk kalbu, dialun-alunkan sedangkan beliau telah lama meninggal dunia tetapi amal jariahnya masih mengalirkan pahala berpanjangan. Subhanallah..

Begitulah cara orang beriman mengambil dunia dengan taqwa, menggunakan dunia sebagai wasilah untuk bekalan di akhirat. Subhanallah.

Ambil momen ini..


Kita musahabah sebentar. Apa saja yang telah kita persiapkan sebagai amal berpanjangan yang terus mengalir biarpun setelah puluhan tahun kita mati?



Astaghfirullah. 


Kredit : Fb Intan Dzulkefli



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.