SLIDER
AL-KAFI #1153: Maksud Sekufu Dalam Perkahwinan
9 Oct 2024
Soalan
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti, apakah maksud sekufu dalam perkahwinan?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Sekufu atau kesepadanan dalam bahasa Arab disebut dengan kafa’ah. Dari segi bahasa, kafa’ah (كفاءة) bermaksud “المساوة” (sama) atau “المماثلة” (seimbang). (Lihat al-Munjid fi al-Lughah, hlm. 690)
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/520-525), ketika membincangkan berkenaan memilih pasangan yang sekufu’, menyatakan: Kufu’ bermaksud persamaan taraf lelaki dan perempuan dari beberapa aspek:
- Agama dan kesolehan
Seorang lelaki yang fasiq tidak sama dengan perempuan yang solehah. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:
أَفَمَن كَانَ مُؤْمِنًا كَمَن كَانَ فَاسِقًا ۚ لَّا يَسْتَوُونَ
Maksudnya: Apakah orang-orang beriman itu sama dengan orang-orang yang fasiq? Mereka tidak sama.
Surah al-Sajadah (18)
Walaubagaimanapun, kita perlu membezakan antara orang yang beragama dengan orang yang belajar agama. Istilah yang digunakan oleh Nabi SAW kepada perempuan zat al-din (ذات الدين) atau dikenali sebagai mutadayyin. Sedangkan yang belajar agama sudah tentu mempunyai ilmu dan kefahaman yang baik, tetapi kadang-kadang tidak diamalkannya. Apa yang perlu, mencari pasangan yang mematuhi agama dan lebih baik apabila mempunyai kefahaman agama serta ilmunya.
- Pekerjaaan
Seseorang yang mempunyai pekerjaan bertaraf rendah seperti tukang sapu, tukang bekam, pengembala ternakan, pencuci tandas adalah tidak kufu mengahwini anak perempuan seorang ilmuan, hakim atau ahli perniagaan.
Sebenarnya pekerjaan boleh dibahagikan kepada dua. Ada yang mulia tetapi bukanlah kaya. Ada pula yang nampak biasa tetapi boleh menghasilkan jutaan ringgit apabila mempunyai kreatif, inovatif dan pandai mencari pasaran serta peluang untuk menjana pendapatan melalui pelaburan dan perniagaan.
- Tidak cacat
Tidak mempunyai kecacatan yang boleh menyebabkan pasangan berhak memilih untuk fasakh perkahwinannya. Seorang lelaki yang gila atau sopak tidak sekufu dengan seorang perempuan yang tidak berpenyakit seperti itu.
Kecacatan boleh dibahagikan kepada dua: Pertama, yang mengaibkan seperti HIV, Aids, kusta, gila dan lain-lain. Perkara ini sebaik-baiknya dielakkan melainkan wujudnya persetujuan dan kefahaman yang jelas. Kedua, kecacatan yang kecil seperti cacat sebahagian anggota namun kefungsian masih berlaku. Yang ini tidaklah menjadi penghalang dalam membina dan melayari bahtera kehidupan dengan sebaiknya. Kadang-kadang, kita lihat pasangan seperti ini jauh lebih bahagia dari yang sempurna sifatnya.
Sekufu dalam perkahwinan ialah hak isteri dan wali-walinya. Walaupun kufu bukannya syarat sah nikah,[2] tetapi ia perlu untuk mengelakkan perkara yang buruk terhadap isteri dan para walinya dan menjamin kelangsungan hidup suami isteri.
Hal yang demikian adalah kerana pasangan yang sekufu mempunyai cara hidup yang tidak berbeza dan boleh diterima. Justeru itu, seorang daripadanya tidak terpaksa mengubah kebiasaannya kerana mereka telah mempunyai persamaan.
Namun, bakal isteri dan walinya boleh menggugurkan syarat sekufu ini. Sekiranya seorang perempuan telah dikahwinkan oleh walinya dengan seorang lelaki yang tidak sekufu, tetapi dengan kerelaannya, perkahwinan itu adalah sah.
Hal ini kerana sekufu merupakan hak perempuan dan walinya. Sekiranya mereka redha menggugurkannya, maka ia tidak perlu dipertikaikan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/520-525)
Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:
تَخَيَّرُوْا لِنُطَفِكُمْ وَأَنْكِحُوْا الأَكْفَاءَ وَأَنْكِحُوْا إِلَيْهِمْ
Maksudnya: “Pilihlah tempat yang baik untuk meneruskan keturunanmu dan kahwinkanlah mereka yang sekufu dan kahwinkanlah mereka.”
Riwayat al-Hakim (2/163)
Kesimpulan
Kami berpendapat, antara perkara yang paling penting dalam memahami sekufu’ adalah lebih kepada pasangan itu sendiri dan bukan semata-mata keluarga. Sebagai contoh, dua pelajar yang bergraduasi dari universiti sedangkan antara dua keluarga mungkin terdapat perbezaan taraf. Tetapi, wujud antara dua pelajar tersebut sifat keserasian serta perasaan tolak ansur yang begitu tinggi antara keduanya. Maka hal seperti ini boleh dipertimbangkan.
Pada saat ini, suasana mungkin sudah berubah berbanding empat puluh atau lima puluh tahun dahulu di mana lingkaran hubungan bukan lagi dibatasi dengan kekeluargaan dan kampungan tetapi ia jauh merentasi sempadan negeri, negara, bangsa, warna kulit, kaum, dan lain-lain. Justeru, yang paling penting adalah sifat kesolehan yang terwujud pada pasangan. Begitu juga perasaan kasih sayang dan cinta tumbuh dengan mekar pada pasangan tersebut.
Akhir kalam, kami tutup dengan berdoa kepada Allah SWT:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Nota Hujung:
[1] Syeikh Abdullah Nasih `Ulwan dalam kitabnya, Tarbiyah al-Aulad berkata: Bermula dari prinsip ini, Uthman bin Abi al-`As al-Thaqafi telah menasihati dan berpesan kepada anak-anaknya supaya memilih tempat meletak benih masing-masing serta mengelakkan baka keturunan yang buruk. Dan inilah apa yang dikatakan kepada mereka: “Wahai anak-anakku, orang yang bernikah itu seumpama orang yang bercucuk tanam, seseorang perlu meneliti, di mana dia mencucuk tanamannya. Baka keturunan yang tidak baik jarang mempunyai anak, justeru perlu untuk dilakukan pemilihan.”
[2] Jumhur fuqaha’ menganggap sekufu adalah syarat sah nikah. Sedangkan sebahagian ulama’ seperti Abi al-Hasan al-Karkhi, Abi Bakar al-Razi, al-Thauri dan Ibn Hazmin menganggap sekufu bukanlah syarat sah nikah pada masa aqad.
BAHAYA JERING : Berhati-hati Kepada Pengemar Jering Sebagai Ulam-Ulaman
30 Apr 2024
Kes ini berlaku ketika saya baru melaporkan diri ke hospital daerah. Ketika itu saya sedang bertugas on-call di Jabatan Kecemasan. Jam menunjukkan pukul 3 pagi, apabila seorang lelaki disorong masuk menggunakan kerusi roda.
"Aduh...doktor, tolong..sakitnya.." rintih pemuda tersebut sambil memegang perutnya.Apabila diangkat ke stretcher, beliau baring dalam keadaan mengerekot. Beliau dalam kesakitan yang sangat.Penolong Pegawai Perubatan dan Jururawat segera mendapatkan lelaki berkenaan, memasang jarum branulla di tangannya. Manakala saya, segera bertanyakan apa yang terjadi.
"Senak perut, doktor. Tiba-tiba sahaja sejak pukul 12 malam tadi. Rasa nak kencing, tapi tak boleh kencing!" Sebaik sahaja lelaki tersebut bercakap, saya segera mengesyaki sesuati. Bau yang terbit dari mulutnya, adalah sejenis bau yang cukup hancing dan tajam. Saya segera memulakan pemeriksaan. Apabila saya memeriksa bahagian pundi kencing beliau, ianya tidaklah terlalu cekang atau besar. Saya meminta Penolong Pegawai Perubatan untuk memasukkan tiub kencing, sedang saya meneruskan pemeriksaan.
Sebaik sahaja tiub kencing dimasukkan, air kencing bercampur darah keluar. Namun jumlahnya sedikit sahaja. Lelaki tersebut masih dalam kesakitan, lalu saya meminta agar ubat penahan sakit, IV Tramadol segera diberikan. Dalam tempoh beberapa minit, kesakitan lelaki tersebut pun berkurangan. Sampel darah diambil, dan lelaki tersebut diletakkan di ruang pemerhatian. Saya meneruskan proses mendapatkan sejarah pesakit dengan bertanya kepadanya.“Encik, ada makan apa-apa pada malam tadi?”
“Ya, doktor. Saya makan nasi bersama keluarga seperti biasa.” “Ada makanan yang dibeli dari luar? Atau ulam-ulaman?” saya bertanya lagi. “Makanan berlauk, tak ada pula. Cuma petang tadi memang saya ada ke pasar malam, membeli jering rebus untuk dijadikan ulam.” Ujar beliau. Jawapan beliau membuatkan hati saya terdetak. Sangkaan saya tepat, rupanya. Namun saya mahu tunggu keputusan ujian darah terlebih dahulu.
Rawatan drip intravena segera diberikan. Lelaki tersebut tidak lagi dalam kesakitan, namun air kencingnya masih bercampur darah. Ultrasound buah pinggang dibuat, menunjukkan tiada batu karang meskipun kedua-dua buah pinggangnya sedikit bengkak. Hampir setengah jam kemudian, keputusan ujian darah sudah siap. Seperti yang dijangka, fungsi buah pinggangnya merosot secara mendadak. Bacaan creatinine nya mencecah 400, sedangkan paras normal bagi orang sihat biasanya tidak melebihi 100.
“Encik, penyakit encik ini namanya Jering Nephropathy. Maksudnya, kegagalan buah pinggang yang disebabkan oleh pengambilan jering.” Bundar mata lelaki tersebut tatkala saya memaklumkan kepadanya penyakit yang beliau hidapi. “Dalam buah jering, ada sejenis bahan yang dinamakan djenkolic acid. Bahan ini, bersifat toksik kepada buah pinggang manusia. Adakalanya pesakit yang memakan jering terlalu banyak, terutamanya jering yang tidak direbus betul, akan mendapat masalah ini.”
Saya meneruskan penerangan. Beliau mengangguk, tanda faham. “Sekarang, fungsi buah pinggang encik agak terjejas. Kita akan mulakan rawatan awal, iaitu IV Drip bagi memastikan buahpinggang encik terus berfungsi dan saki baki Djenkolic Acid dalam darah encik dapat keluar melalui air kencing. “Namun, kita akan terus pantau keadaan encik didalam wad. Sekiranya dengan rawatan yang kita berikan ini pun fungsi buah pinggang encik tidak bertambah baik, atau bertambah lebih buruk, encik mungkin terpaksa dirujuk ke hospital besar. Kita khuatir encik mungkin memerlukan prosedur pembedahan atau dialisis untuk menyelamatkan fungsi buah pinggang.”
Penjelasan panjang lebar saya membuatkan pesakit tersebut termenung. Setelah berbincang dengan ahli keluarga, lelaki tersebut bersetuju dimasukkan ke wad untuk tujuan rawatan dan pemantauan. Ini adalah kali keempat saya menjumpai kes Jering Nephropathy. Tiga kali sebelumnya, adalah ketika saya menjalani latihan siswazah di hospital besar. Kes jering nephropathy, atau djenkolism, tidak banyak terdapat didalam buku-buku teks perubatan. Ini kerana kejadian ini jarang berlaku (low incidence), dan hanya berlaku di kawasan Asia Tenggara. Agaknya disebabkan adat dan budaya penduduk kita yang biasa menjadikan jering sebagai makanan ulaman.
Namun, penyakit jering nephropathy ini, selain menyebabkan kesakitan yang teruk ia juga boleh membahayakan nyawa. Menurut sebuah literature review oleh Bunawan et al (2014), daripada 96 kes Jering Nephropathy yang dilaporkan oleh jurnal-jurnal perubatan, empat daripadanya meninggal dunia akibat kegagalan fungsi buah pinggang. Majoriti pesakit akan sembuh dengan rawatan hidrasi IV Drip, namun terdapat kes yang mana memerlukan rawatan pembedahan. Dalam sebuah laporan kes oleh Wong JS et al (2007) di Hospital Umum Sarawak, pesakit terpaksa melalui sebuah prosedur “stenting” ke kedua-dua buah pinggangnya.
Apabila “stent” dimasukkan, didapati terdapat bahan berupa jeli berwarna seperti sos menyumbat salur ureter pesakit. Hanya setelah stent dimasukkan, barulah pesakit dapat kencing semula dan fungsi buah pinggang pesakit bertambah pulih. Sebenarnya sebelum kes Jering Nephropathy dilaporkan didalam jurnal-jurnal perubatan, orang-orang tua kita sudah lama mengenalpasti penyakit ini yang disebut sebagai “terkepit jering”. Ini kerana berdasarkan pemerhatian mereka, terdapat individu yang sakit bagaikan dikepit setelah memakan jering. Dari situlah lahirnya petua orang tua-tua, bahawa jering perlu direbus sehingga berjam-jam lamanya sebelum dimakan. Ada yang menasihatkan untuk direbus dengan pelbagai bahan seperti daun kunyit, akar pokok kelapa, bahkan abu dapur, paku dan rantai basikal!
Keberkesanan dan keselamatan bahan-bahan yang dicampurkan ini agak sedikit meragukan, namun kita memahami rasionalnya adalah untuk menyahneutralkan djenkolic acid yang terdapat dalam biji jering tersebut.
Apapun, nasihat dan saranan saya kepada mereka yang gemar memakan jering,
1. Elakkan dari memilih jering yang tua, kerana jering yang tua berkemungkinan mengandungi kepekatan djenkolic acid yang lebih tinggi.
2. Elakkan dari memakan jering yang mentah.
3. Elakkan memakan jering dalam kuantiti yang besar.
4. Pesakit yang mengalami masalah buah pinggang kronik, tidak dibenarkan memakan jering.
5. Banyakkan meminum air setelah memakan jering.
6. Jika berlaku sakit perut atau kencing berdarah, dapatkan rawatan di hospital segera.
****
“Ha, encik, apa khabar hari ini?
Saya menyapa lelaki berkenaan yang sedang berehat. Hari tersebut adalah hari keempat beliau di wad. Alhamdulillah, paras creatinine beliau sudah turun ke normal, menandakan buah pinggang beliau telah bertambah baik. Beliau juga sudah tidak perlu memakai beg kencing dan air kencingnya juga sudah tidak bercampur darah.
“Alhamdulillah, bertambah baik! Terima kasih banyak-banyak, doktor.” jawab beliau kesengihan.
“Nak makan lagi jering lepas ni, encik?” saya cuba bergurau. Beliau tertawa sambil berkata,
“Eh mestilah doktor, kalau dah minat, ulam jering cicah cabai tak boleh tinggal!”
Lantas kami sama-sama ketawa.
Dr. Mohd Syamirulah Rahim,
Pegawai Perubatan http://facebook.com/dr.syamirul
Artikel ini diterbitkan di Majalah iSihat Ogos 2017
Kredit : Fb My News Viral
Nafsu Berahi Membuak Ketika Berpuasa ? Doktor Menjelaskan Ini Ada Kaitan Dengan KALORI!
18 Apr 2022
Selain menahan lapar
dan dahaga, ibadat puasa juga memerlukan individu untuk menundukkan
syahwat. Apa yang pelik, ketika ini juga nafsu naik dengan agak tinggi.
Ya, memang benar bahawa yang dilarang
itulah menggoda. Pun begitu, peningkatan nafsu lelaki dan nafsu perempuan pada
waktu yang spesifik mungkin ada penjelasan lain.
Untuk tahu apa punca
nafsu naik ketika berpuasa, jom terus baca artikel ini dengan lebih lanjut!
Banyak nafsu kena jaga di bulan Puasa!
Ramadan adalah bulan mulia yang mendambakan semua manusia untuk
lebih banyak buat amal dan ibadat. Dan sudah tentu, berpuasa adalah kewajipan
paling utama.
Ramai orang yang mungkin hanya mengaitkan puasa itu dengan
ketahanan diri dalam mengawal nafsu makan dan minum sahaja tanpa menyelitkan
tentang nafsu seksual.
Sebenarnya, banyak nafsu kena jaga di bulan puasa dan ia bukan
sekadar selera makan malahan juga hawa nafsu. Jika ia gagal dikawal, maka akan
rosak ibadat anda itu.
Apa yang lebih menarik adalah ramai mungkin percaya bahawa
syahwat akan lebih tinggi di bulan puasa berbanding bulan lain. Kepercayaan ini
mungkin juga ada asasnya.
Persoalannya, kenapa? Adakah nafsu
lelaki dan nafsu perempuan ini akan meningkat dengan mendadak pada ketika ia
dilarang untuk dipuaskan? Atau ada faktor yang lain?
Kenapa nafsu naik tinggi di bulan
puasa ?
Kita tidak boleh kata bahawa akan ada
ketika di mana nafsu syahwat individu itu tiba-tiba sahaja melonjak dengan
begitu mendadak, contohnya di bulan puasa, Ramadan.
Ini kerana peningkatan tahap libido
individu itu bukan akibat faktor waktu atau masa yang tertentu sahaja tetapi
ada kaitan juga dengan perbuatan atau persekitaran mereka sendiri.
Ada sebuah video yang membincangkan
perkara ini dimuat naik oleh seorang doktor di TikTok:
https://vt.tiktok.com/ZSdh14hJT/
Menurut Doktor Perubatan dan Pakar
Estetik, Dr Aizul Hafizi, pengambilan kalori yang mungkin lebih rendah di bulan
puasa akan menyebabkan rangsangan pada hormon seksual sekali gus meningkatkan
libido.
Dalam erti kata yang lebih mudah, semakin
rendah pengambilan kalori, maka semakin tinggi rangsangan pada hormon seksual.
Akibatnya, nafsu naik tanpa anda dapat duga.
Selain kalori , apa lagi punca libido
tinggi ?
Seperti mana yang telah diperkatakan
oleh Dr Aizul Hafizi di dalam video tular itu tadi, nampaknya pengambilan
kalori rendah adalah punca naiknya libido yang paling utama.
Namun demikian, ia mungkin bukan
satu-satunya sebab perkara ini berlaku kerana ada beberapa lagi faktor risiko
yang lain meskipun ia tidak begitu besar atau ketara.
Makanan afrosidiak
Ketika bersahur dan berbuka, ada
banyak juadah yang boleh anda pilih. Maka tidak mustahil juga jika ada antara
menu anda itu adalah jenis afrosidiak yang juga boleh jadi punca nafsu naik.
Perilaku anda dan
pasangan
Secara tidak sengaja, anda mungkin
telah menggunakan pakaian, bunyian, wangian atau perbuatan yang boleh menggoda
pasangan sekali gus meningkatkan syahwat di bulan puasa.
Suasana di dalam
rumah
Ketika berpuasa, sudah tentu tidak
banyak aktiviti yang anda boleh buat di dalam rumah. Jadi, akan banyak fantasi
yang terlintas terutama jika anda hanya berdua-duaan dengan pasangan.
Akan tetapi, ketiga-tiga ini cuma
faktor risiko yang ringan dan ia tidak wajar dijadikan sebagai alasan untuk
membatalkan puasa hanya kerana anda gagal kawal nafsu!
Apa yang individu boleh buat
tentangnya ?
Konklusinya, nafsu lelaki dan nafsu
perempuan ada potensi untuk meningkat dengan mendadak di bulan Ramadan angkara
pengubahsuaian pengambilan kalori harian.
Jadi, apa yang individu boleh buat
jika nafsu naik ketika sedang berpuasa? Adakah perlu untuk puasa dibatalkan?
TIDAK! Ini kerana puasa itu ibadat
wajib dan bukan pilihan.
Sebaliknya, anda boleh menggunakan
peluang ini sebagai masa untuk melatih diri dalam menahan dan mengawal bukan
sahaja nafsu makan dan minum malahan seksual.
“Apa yang pasangan suami isteri boleh
buat untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan cara ‘tunda’ rancangan untuk
melakukan hubungan seks kepada waktu maghrib dan malam ketika di mana anda
telah berbuka puasa,” jelas Dr Aizul Hafizi lagi.
Sebenarnya, perkara ini bukan satu
isu besar kerana nafsu seksual adalah satu perkara yang boleh dilatih dan
dikawal dengan baik jika anda tahu caranya. Sekiranya anda ada masalah tentang
perkara ini, segera rujuk dengan doktor pakar.
Kalaulah Aku Hargai Dia Dari Dulu... - Kisah Suami Curang Ini Benar-Benar Membuka Mata
8 Apr 2022
Kisah suami curang ini patut dijadikan pengajaran buat suami isteri di luar sana. Hargailah pasangan anda selagi boleh, jangan menyesal di kemudian hari...
Kisah suami curang ini sewajarnya menjadi ikhtibar buat semua suami isteri di luar sana. Komitmen dalam berumah tangga bukan bermaksud menyayangi pasangan dalam masa yang sukar saja.
Malah, perkahwinan juga merupakan satu janji yang anda akan mengingati dan menghargai setiap usaha dan kebaikan pasangan. Perkahwinan bermaksud anda kekal berjuang walaupun ketika saat sukar.
Kisah suami curang dalam perkahwinan tidak sepatutnya terjadi dan ia merupakan kesilapan terbesar dalam hidup seorang lelaki.
Tak percaya? Mari baca luahan hati seorang lelaki dan bapa kepada 2 orang anak ini. Kata-kata beliau sungguh bernas hingga anda akan faham apa ertinya perkahwinan.
KISAH SUAMI CURANG : PENGAJARAN BUAT SUAMI ISTERI
Aku telah 15 tahun berkahwin dengan isteriku. Tapi 2 bulan sebelum ulang tahun perkahwinan kami yang ke-10, aku curang.
Kami ibu bapa kepada 2 anak yang makin membesar. Mereka sekarang sudah remaja. Dulu masa aku curang dan tinggalkan mereka, mereka baru berusia 7 dan 9 tahun.
Aku jumpa Erra semasa aku sibuk ke luar negara atas urusan kerja. Mula-mula kami berkawan. Lama-lama kami kerap bergayut dan perasaan cinta itu makin berputik.
Ketika berlaku curang. Shamsul *bukan nama sebenar tidak gembira dengan rumah tangganya. Beliau rimas untuk pulang ke rumah.
Malas betul nak pulang ke rumah. Isteri makin gemuk. Dia nampak sungguh serabut setiap kali aku balik rumah.
Aku rasa dia sudah tak sayangkan aku. Sebab itu dia tidak kisah pun nak melawa demi aku. Jadi aku cari jalan mudah. Aku curang.
Shamsul meyakinkan diri sendiri yang isteri tercinta itu tidak mahu lagi melayan kehendak dan keinginanya. Sepanjang si isteri sibuk menguruskan rumah dan anak-anak, Shamsul berfoya-foya di luar.
Setiap kali aku dengar isteri buka mulut, aku hanya dengar dia membebel saja. Tapi sebenarnya aku tak sedar yang dia sebenarnya hanya mahukan perhatian aku. Kami asyik bergaduh.
KASIH TIDAK KESAMPAIAN
Jadi aku angkat kaki. Aku tinggalkan isteri dan anak-anak aku. Aku pindah duduk dengan Erra. Mula-mula, memang semuanya indah.
Tapi, setelah beberapa lama, walau serapat mana pun kami, walau sehebat mana pun aksi di ranjang, tiba-tiba fasa “jatuh cinta” itu hilang.
Aku rindu rumah dan keluargaku. Aku rindu wanita yang membina rumah tangga aku. Aku paling rindu anak-anakku.
Kalaulah dari dulu aku menghargai isteriku, pasti dia juga akan kekal cantik dan berseri seperti Erra. Tapi aku yang salah. Aku tak pernah tunjuk kasih sayang aku padanya.
Sampai sekarang, isteri Shamsul pasrah dan giat membesarkan anak-anak sebagai ibu tunggal. Walaupun hak penjagaan anak diperoleh oleh isteri, namun dia tidak kekok untuk membenarkan Shamsul berjumpa anak-anak mereka.
Dia tak pernah minta duit lebih pada aku. Aku tinggalkan seorang wanita yang kuat dan tak mudah berputus asa. Hanya aku saja yang berputus asa dengan perkahwinan kami.
AKHIRNYA AKU MENYESAL TIDAK SUDAH
Selepas 8 tahun bercerai, akhirnya isteri aku menjumpai lelaki yang benar-benar menghargai dirinya, Haikal. Mereka berkahwin dan memulakan hidup baru.
Ketika ini baru aku rasa apa yang bekas isteri aku itu rasa. Aku rasa macam nak mati. Menyesal? Tak payah cakaplah! Aku sangat sangat sangat menyesal.
Jadi buat para suami isteri di luar sana. JANGAN JADI SEPERTI AKU. Hargai isteri kalian! Jangan mudah berputus asa dengan hubungan. Cuba sehabis baik!
Kepada para suami, jangan ambil mudah pada wanita yang berkorban segala-galanya pada anda itu. Dialah wanita istimewa yang membawa zuriat anda. Dia juga tulang belakang anda.
Hidup ini singkat saja. Tapi yang membuatkan ia cukup-cukup berharga adalah kerana kasih sayang. Jangan lupa kasih sayang yang pernah mengisi hati anda suami isteri.
Walaupun ada masalah dalam rumah tangga, berfikiran positif. Cuba sehabis mungkin.
Manusia ini tidak sempurna, namun perkahwinan bermaksud anda telah berjanji untuk komited bersama, berjuang bersama demi kebahagian keluarga anda. Laksanakan janji anda!



