SLIDER

agama
Showing posts with label agama. Show all posts

Cerai: Semuanya Bermula Dari Tak Sekufu?

29 Jul 2025






Daripada kes selebriti yang bercerai ini, kita dapat belajar yang jangan main-main dengan 'sekufu' selepas perkahwinan. Walaupun ia bukan suatu rukun perkahwinan tapi ia sangat disarankan oleh ulama.
Kalau ikut pengalaman saya, ada 4 masalah sekufu yang biasa menjadi punca berlakunya perceraian.

1. SEKUFU TARAF HIDUP
Sebab itu ada istilah enggang sama enggang, pipit sama pipit. Memang benar ada perkara kita boleh toleransi, tapi ada perkara sudah sebati dengan kehidupan si dia sejak kecil.
Kalau kahwin dengan kerabat diraja contohnya, bukan kedudukan yang menjadi isu utama, tapi tanggungjawab, budaya keluarga, cara makan pun sudah berbeza. Kerana mereka dibesarkan dengan gaya yang sebegitu. Kalau kerabat diraja berkahwin dengan orang kebanyakan. Bayangkan apa yang akan berlaku? Sebelum kahwin sepatutnya perkara ini di bangkitkan supaya boleh tahu sebenarnya sesuai tak kalau hidup berdua selepas kahwin nanti.
2. SEKUFU LIFESTYLE
Kita perlu sedar cara hidup orang T20, M40, dan B40 caranya berbeza. Perkara ini kalau sukar ubah, boleh berlaku pertentangan antara suami dan isteri. Lifestyle ni penting tau, bagaimana cara hidup seseorang. Kalau awak berpasangan dengan orang yang dah biasa hidup mewah, barang yang dia guna semua branded. Koleksi dari Dior, Louis Vuitton (LV), Gucci dan selevel ni je yang jadi pilihan harian dia, awak kena lah get ready sebab tinggi maintenance pasangan awak.
3. SEKUFU PENDIDIKAN
Kalau sekufu Pendidikan ini tak ditangani sebelum berkahwin, sebab itulah ada timbul dalam perkahwinan kata-kata pasangan terhadap pasangan seperti
“Awak ni lembab la”
“Awak tak belajar tentang ni ke?”
“Awak belajar tak tinggi, mana awak tahu”
"Awak ni suami slow lah”
Lagi-lagi kalau pasangan yang berkahwin seorang ada background PhD tapi seorang lagi hanya ada sijil SPM, kerana masing-masing sangat sukar bertolak ansur dan menghormati pemikiran satu sama lain.
4. SEKUFU AGAMA
Walaupun orang anggap agama adalah isu peribadi dan boleh dibaiki. Tapi kalau gap terlampau besar, dan pasangan taknak berubah, akan jadi tak tenang dan mesti akan ada konflik. Agama bermain dengan pemikiran, prinsip hidup. Kalau agama tak match, bermula daripada berkahwin, cara menguruskan keluarga dan anak-anak, pasti akan banyak konflik.
Sebelum berkahwin, banyakkan bincang dan rujuk orang tua, terutamanya masa pemilihan jodoh, jangan hanya kahwin sebab doronagn cinta yang kuat, tanpa mengambil kira realiti kehidupan selepas kahwin. Ada banyak lagi faktor-faktor lain, tapi yang saya sebutkan ini banyak berlaku berdasarkan pengalaman saya.

AL-KAFI #1153: Maksud Sekufu Dalam Perkahwinan

9 Oct 2024




Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti, apakah maksud sekufu dalam perkahwinan?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sekufu atau kesepadanan dalam bahasa Arab disebut dengan kafa’ah. Dari segi bahasa, kafa’ah (كفاءة) bermaksud “المساوة” (sama) atau “المماثلة” (seimbang). (Lihat al-Munjid fi al-Lughah, hlm. 690)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/520-525), ketika membincangkan berkenaan memilih pasangan yang sekufu’, menyatakan: Kufu’ bermaksud persamaan taraf lelaki dan perempuan dari beberapa aspek:

  • Agama dan kesolehan

Seorang lelaki yang fasiq tidak sama dengan perempuan yang solehah. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

أَفَمَن كَانَ مُؤْمِنًا كَمَن كَانَ فَاسِقًا ۚ لَّا يَسْتَوُونَ

Maksudnya: Apakah orang-orang beriman itu sama dengan orang-orang yang fasiq? Mereka tidak sama.

   Surah al-Sajadah (18)

Walaubagaimanapun, kita perlu membezakan antara orang yang beragama dengan orang yang belajar agama. Istilah yang digunakan oleh Nabi SAW kepada perempuan zat al-din (ذات الدين) atau dikenali sebagai mutadayyin. Sedangkan yang belajar agama sudah tentu mempunyai ilmu dan kefahaman yang baik, tetapi kadang-kadang tidak diamalkannya. Apa yang perlu, mencari pasangan yang mematuhi agama dan lebih baik apabila mempunyai kefahaman agama serta ilmunya.

  • Pekerjaaan

Seseorang yang mempunyai pekerjaan bertaraf rendah seperti tukang sapu, tukang bekam, pengembala ternakan, pencuci tandas adalah tidak kufu mengahwini anak perempuan seorang ilmuan, hakim atau ahli perniagaan.

Sebenarnya pekerjaan boleh dibahagikan kepada dua. Ada yang mulia tetapi bukanlah kaya. Ada pula yang nampak biasa tetapi boleh menghasilkan jutaan ringgit apabila mempunyai kreatif, inovatif dan pandai mencari pasaran serta peluang untuk menjana pendapatan melalui pelaburan dan perniagaan.

  • Tidak cacat

Tidak mempunyai kecacatan yang boleh menyebabkan pasangan berhak memilih untuk fasakh perkahwinannya. Seorang lelaki yang gila atau sopak tidak sekufu dengan seorang perempuan yang tidak berpenyakit seperti itu.

Kecacatan boleh dibahagikan kepada dua: Pertama, yang mengaibkan seperti HIV, Aids, kusta, gila dan lain-lain. Perkara ini sebaik-baiknya dielakkan melainkan wujudnya persetujuan dan kefahaman yang jelas. Kedua, kecacatan yang kecil seperti cacat sebahagian anggota namun kefungsian masih berlaku. Yang ini tidaklah menjadi penghalang dalam membina dan melayari bahtera kehidupan dengan sebaiknya. Kadang-kadang, kita lihat pasangan seperti ini jauh lebih bahagia dari yang sempurna sifatnya.

Sekufu dalam perkahwinan ialah hak isteri dan wali-walinya. Walaupun kufu bukannya syarat sah nikah,[2] tetapi ia perlu untuk mengelakkan perkara yang buruk terhadap isteri dan para walinya dan menjamin kelangsungan hidup suami isteri.

Hal yang demikian adalah kerana pasangan yang sekufu mempunyai cara hidup yang tidak berbeza dan boleh diterima. Justeru itu, seorang daripadanya tidak terpaksa mengubah kebiasaannya kerana mereka telah mempunyai persamaan.

Namun, bakal isteri dan walinya boleh menggugurkan syarat sekufu ini. Sekiranya seorang perempuan telah dikahwinkan oleh walinya dengan seorang lelaki yang tidak sekufu, tetapi dengan kerelaannya, perkahwinan itu adalah sah.

Hal ini kerana sekufu merupakan hak perempuan dan walinya. Sekiranya mereka redha menggugurkannya, maka ia tidak perlu dipertikaikan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/520-525)

Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

تَخَيَّرُوْا لِنُطَفِكُمْ وَأَنْكِحُوْا الأَكْفَاءَ وَأَنْكِحُوْا إِلَيْهِمْ

Maksudnya: Pilihlah tempat yang baik untuk meneruskan keturunanmu dan kahwinkanlah mereka yang sekufu dan kahwinkanlah mereka.

           Riwayat al-Hakim (2/163)

Kesimpulan

Kami berpendapat, antara perkara yang paling penting dalam memahami sekufu’ adalah lebih kepada pasangan itu sendiri dan bukan semata-mata keluarga. Sebagai contoh, dua pelajar yang bergraduasi dari universiti sedangkan antara dua keluarga mungkin terdapat perbezaan taraf. Tetapi, wujud antara dua pelajar tersebut sifat keserasian serta perasaan tolak ansur yang begitu tinggi antara keduanya. Maka hal seperti ini boleh dipertimbangkan.

Pada saat ini, suasana mungkin sudah berubah berbanding empat puluh atau lima puluh tahun dahulu di mana lingkaran hubungan bukan lagi dibatasi dengan kekeluargaan dan kampungan tetapi ia jauh merentasi sempadan negeri, negara, bangsa, warna kulit, kaum, dan lain-lain. Justeru, yang paling penting adalah sifat kesolehan yang terwujud pada pasangan. Begitu juga perasaan kasih sayang dan cinta tumbuh dengan mekar pada pasangan tersebut.

Akhir kalam, kami tutup dengan berdoa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Nota Hujung:

[1] Syeikh Abdullah Nasih `Ulwan dalam kitabnya, Tarbiyah al-Aulad berkata: Bermula dari prinsip ini, Uthman bin Abi al-`As al-Thaqafi telah menasihati dan berpesan kepada anak-anaknya supaya memilih tempat meletak benih masing-masing serta mengelakkan baka keturunan yang buruk. Dan inilah apa yang dikatakan kepada mereka: “Wahai anak-anakku, orang yang bernikah itu seumpama orang yang bercucuk tanam, seseorang perlu meneliti, di mana dia mencucuk tanamannya. Baka keturunan yang tidak baik jarang mempunyai anak, justeru perlu untuk dilakukan pemilihan.”

[2] Jumhur fuqaha’ menganggap sekufu adalah syarat sah nikah. Sedangkan sebahagian ulama’ seperti Abi al-Hasan al-Karkhi, Abi Bakar al-Razi, al-Thauri dan Ibn Hazmin menganggap sekufu bukanlah syarat sah nikah pada masa aqad.


Kredit : MuftiWP

10 Nasihat Padu Buat Isteri Yang Tekad Dengan Keputusan Berhenti Kerja, Rugi Kalau Tak Amal

5 Oct 2024




Keputusan berhenti kerja bukan satu tindakan yang mudah. Terutama bagi isteri yang selama ini bekerja dengan niat untuk membantu suaminya. Andai berhenti bekerja jalan terakhir, dengarlah nasihat ini agar ibu berhenti dengan tenang dan bahagia.

Menarik sekali nasihat Dr Hasiba Kamaruddin mengenai ibu-ibu yang mahu, bakal dan sudah berhenti kerja. Apa yang perlu mereka praktikkan agar sentiasa berasa yakin dengan keputusan yang diambil.

Lagipun, wahai isteri kita takkan pernah tahu masa depan yang akan berlaku selepas keputusan berhenti kerja diambil. Namun, usaha dan tindakan itulah yang menentukan kejayaan seorang suri.

Jika aku bertemu dengan para ibu yang berhenti kerja walau apa jua alasan pun demi menjaga anak – anak sendiri walhal mereka punya pendidikan tinggi dan pernah berkerjaya sebelum ini, aku tumpang gembira buat mereka.

“Pertamanya aku gembira kerana si suami berani menyahut cabaran mencari nafkah keluarga di era ‘seorang bekerja tak cukup’ masakini. Aku tumpang gembira juga kerana para ibu ini sanggup mengorbankan cita – cita dan bakat yang mereka ada dalam membina kerjaya demi menjaga keluarga.

“Ini bermakna lebih ramai ibu–ibu yang ber’isi’ mindanya dalam membina peradaban bangsa yang kian kosong kini.”

Gunakan 10 Nasihat Ini Sebaik Berhenti Kerja

Bagi ibu-ibu yang masih tersimpan ketidakpastian dan kerisauan dengan keputusan yang diambil, ini yang ibu boleh lakukan:

1. Bersyukur sebab ada suami yang sanggup jaga kita seadanya. Terima apa saja yang mampu disediakan oleh suami walau kita sendiri mampu untuk hasilkan lebih dari itu.

2. Always feel good about yourself walaupun kita rasa lebih bagus semasa belajar dan berkerjaya dulu.

3. Jaga anak, jaga urusan rumah tangga pun kerjaya juga.

4. Jangan risau akan rezeki kerana Allah SWT janjikan cukup untuk hambaNya hidup di bumi ini. Cukup, bukan mewah.

5. Sentiasa doa moga Allah SWT mudahkan urusan suami, murahkan rezeki berkat buat dia. Semasa solat atau bila – bila masa saja. Percayalah yang ini akan berlaku.

6. Kalau dulu bekerja tak sempat solat Dhuha, sekarang mesti sudah sempat. Solat Dhuha.

7. Tingkatkan nilai diri. Sambil jaga anak dan rumah, cari aktiviti yang boleh menambah nilai diri dan orang sekeliling.

Contohnya:

a) Baca buku – buku yang baik untuk buka minda. Sekejap pun takpa.

b) Hadiri kuliah-kuliah Dhuha di surau-surau, bawa anak sekali kerana kuliah Dhuha ni kebanyakannya ustazah yang deliver dan mak – mak serta nenek – nenek yang hadir. InsyaAllah tak kena sound kalau anak lasak. Muslimin pun tak ada kalau perlu lebih proaktif dalam mengawal anak – anak.

c) Hadiri kelas – kelas bersiri Bahasa Arab atau Quran, makhraj dan tajwid kerana biasanya kelas – kelas begini percuma di surau2 dan waktunya juga pendek sekitar 2 jam saja. Kelas bersiri begini akan jadikan kita lebih berdisiplin dan terancang.

d) Buat aktiviti yang bermakna dengan anak – anak. Belajar cara berkomunikasi yang sesuai dengan umur anak untuk bantu pembangunan diri mereka.

e) Elakkan menonton rancangan TV yang lagha atau buat aktiviti yang kurang bermanfaat kerana anak – anak ada bersama kita 24/7. Jangan biarkan mereka belajar aktiviti tak bermanfaat itu.

f) Bila anak – anak dah capai umur 5 atau 6 tahun, hantar dia ke tadika atau playschool. Sekejap pun tak apa. Dua tiga hari seminggu pun tak apa. Ini untuk membantu pembangunan sosial dan kendiri mereka.

Walau kita berhenti bekerja untuk jaga dia, anak ini perlu juga belajar berinteraksi dengan masyarakat luar supaya lebih berdikari dan tidak terlalu self-engrossed.

8) Berinteraksi dengan jiran – jiran kerana semasa bekerja dulu, kita tak ada masa. Masak lebih kemudian share dengan jiran juga.

9) Plan aktiviti dengan SAHM (Stay At Home Mom) lain seperti baca Yaasin, usrah etc. Kalau tak boleh deliver sendiri, cari ustazah datang rumah.

10) Kalau rajin menulis, tulislah apa – apa yang bermanfaat. Jika pandai melukis, lukis lah apa – apa yang menenangkan. Andai minat menjahit, jahitlah apa – apa yang berguna.

Cara Mengisi Kekosongan Jiwa

Seorang SAHM (Stay At Home Mom) pernah bertanya pada saya, “Patutkah saya sambung belajar macam akak?” setelah dia menyatakan kekosongan jiwa dek berada di rumah sepanjang masa.

Jawapan saya, “Boleh kalau awak nak dan rasa mampu. Tapi sebenarnya banyak lagi aktiviti yang boleh dibuat untuk mengisi kekosongan jiwa itu. Awak sebenarnya hanya ingin keluar sebentar saja dari rutin harian itu. ‘Me-time’ itu ada, kita cuma perlu jadikan ia, fleksibelkan ia dan pelbagaikan ia.

Dan sebenarnya yang jauh lebih penting adalah, pandangan kita terhadap diri kita. Do you feel good about yourself?

Kredit : Facebook Dr Hasiba Kamaruddin

Kredit : Mingguan Wanita





Nama-Nama Ajaran Sesat Dan Kenali Bentuk Serta Ciri-Ciri AJARAN SESAT

27 Sept 2024



Hari ini ajaran sesat telah menjadi satu perkara yang sangat membimbangkan dan ia perlu di hapuskan sehingga tiada lagi saki baki fahaman tersebut, malah tidak boleh diberi ruang serta peluang untuk ajaran tersebut muncul kembali.



KONFLIK MASYARAKAT BERKAITAN PEMAHAMAN AJARAN SESAT

Terdapat segelintir masyarakat yang masih keliru dengan apa yang dimaksudkan dengan ajaran sesat, bahaya dan ciri-cirinya kepada umat Islam terutamanya kepada golongan muda.

Takrif ajaran sesat yang diguna pakai oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada masa ini adalah “sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran atau amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan ajaran Islam, sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan daripada ajaran Islam yang berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah (iaitu Hadith sahih) serta juga bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah”.


Mengikut kata-kata bekas Mufti Mesir Syeikh Ali Jumuah bahawasanya akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah itu ialah golongan yang mengikuti pegangan Nabi SAW atau mengikuti jalan hidup baginda dan para sahabat terutamanya khulafa ar-Rasyidin mengenai akidah, syariah serta akhlak yang dibawa sejak zaman Nabi SAW dan sahabat baginda.

KETAHUILAH BENTUK DAN CIRI-CIRI AJARAN SESAT

Terdapat ajaran, fahaman dan penafsiran yang jelas menyalahi Syariat Islamdalil-dalil agama yang jelas, serta menyalahi metodologi serta kaedah-kaedah yang disepakati ulama’ muktabar. Sebagai panduan umum berkaitan ciri-ciri ajaran sesat, terdapat beberapa ciri utama yang ada pada ajaran sesat yang perlu didedahkan kepada masyarakat agar mereka lebih cakna dan sentiasa berwaspada dengan ajaran-ajaran yang menyesatkan ini. Berikut adalah perinciannya:



CIRI-CIRI UTAMA AJARAN SESAT IALAH :

  1. Ajaran ini akan mudah mempersenda, menghina, mengubah, menambah, meminda serta menafikan keaslian al-Quran yang sedia ada dan ingkar dengan isi kandungan al-Quran serta menafsirkan daripada mana-mana ayat al-Quran dengan sendiri.
  2. Terdapat unsur-unsur mempersenda, menghina dan ingkar serta menidakkan syariat Nabi Muhammad SAW sama ada melalui percakapan dan perbuatan serta i’tikad di dalam hati.
  3. Mencela dan mengkafirkan ahli keluarga serta sahabat – sahabat Rasulullah SAW.
  4. Berselindung di sebalik ayat-ayat suci al-Quran dan hadis yang akhirnya menyebabkan ramai orang terkeliru tentang perkara-perkara ghaib.
  5. Terdapat ketua kumpulan yang akan memperdaya dan mempergunakan pengikut agar mengumpul serta menyerahkan semua harta seperti kereta, rumah, wang ringgit sehinggakan sanggup menyerahkan diri, keluarga dan membayar zakat kepada ketua kumpulan.
  6. Ketua ajaran mengaku sebagai Imam Mahdi dengan mengaitkan wujud persamaan di antara ciri-ciri Imam Mahdi dengan diri ketua ajaran tersebut.
  7. Sentiasa mendakwa bahawa terdapat persamaan dari sudut pengamalan di antara agama Islam dengan agama lain, dengan mendakwa tiada bezanya agama Islam dan agama selain Islam.
  8. Menjadikan amalan tarekat sebagai salah satu modus operandi dalam mencari pengikut dan pengaruh bagi mengaburi mata masyarakat dan mengamalkan wirid-wirid tertentu untuk mencapai maqam tertentu. Ternyata perbuatan ini adalah sebagai satu muslihat bagi mempengaruhi mangsa.


Usaha-usaha mengembangkan ajaran Islam pada hari ini tercabar kerana wujudnya pengaruh yang   cuba memesongkan akidah umat Islam. Perkara ini berlaku sejak zaman Nabi Muhammad SAW  hinggalah kepada zaman kini dan umat Islam tidak pernah sunyi daripada berhadapan dengan isu  penyelewengan akidah dan penyebaran ajaran sesat. Penyebaran ajaran sesat mungkin dapat  dikekang jika  setiap  individu  Muslim  berwaspada  dan meningkatkan  pengetahuan  agama  serta mengetahui ciri-ciri ajaran sesat itu sendiri menerusi cara yang betul serta  mengelak diri daripada   dipengaruhi oleh kumpulan tertentu yang  kebanyakannya mempunyai agenda peribadi. Allah SWT menyebut melalui firman-NYA :

                      يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَٰتٖۚ

Maksudnya : Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darajat.

(Surah al-Mujadalah : 11)


Justeru, marilah kita bersama-sama memenuhkan dada dengan ilmu yang benar agar segala kejahatan berkaitan ajaran sesat ini dapat dielakkan dan kehidupan kita mendapat eredhaan Allah SWT.

Kerjasama masyarakat  amat diharapkan untuk menyalurkan maklumat dan apa-apa  aktiviti yang mencurigakan melalui saluran rasmi hotline 24 jam, Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Selangor 1 800 88 2424.



Kredit : MAIS.gov.my

Sejarah Ringkas Ashaari Al-Arqam Dan Mengapa Aurad Muhammadiah Diharamkan?

25 Sept 2024


Pihak berkuasa telah menemui pelbagai jenis cetakan buku Zikir Agung atau Aurad Muhammadiah yang diharamkan sejak 1986. Buku-buku wirid ini masih berada di premis GISBH yang diserbu disertakan dengan jadual bacaannya sekali. Mungkin ramai yang bertanya, apakah itu Aurad Muhammadiah?
Aurad Muhammadiyah adalah wirid-wirid yang disusunkan oleh Kiyai Sheikh Muhammad Abdullah As Suhaimi dan diamalkan oleh kumpulan tarekat Muhammadiyah.
Sheikh Muhammad Abdullah As Suhaimi berasal Wonosobo, Jawa Tengah dan dia meninggal dunia di Kelang pada tahun 1925.
Menurut Manaqib Sheikh Suhaimi, Sheikh Suhaimi mendakwa menerima ijazah wirid Aurad Muhammadiah dari Rasulullah di dalam Kaabah. Dia mendakwa Rasulullah menjelma di hadapannya dan mengajarnya bacaaan Aurad tersebut.
Pengikut Sheikh Suhaimi menyakini bahawa Sheikh Suhaimi ialah wali besar dan Imam Mahdi. Kepercayaan ini juga diwarisi kepada ajaran Al-Arqam, bahkan Al-Arqam menokok tambah lagi dengan pelbagai dakwaan lain menjadikan ia lebih menyimpang.
Sejarah Ringkas
Ashaari Muhammad lahir pada 1937 di kampung Pilin, Negeri Sembilan (12 tahun selepas kematian Sheikh Suhaimi). Ashaari Muhammad kali pertama Ashaari menerima (ijazah) Aurad Muhammadiah adalah daripada Lebai Ibrahim bin Alias (bapa saudaranya).
Manakala Lebai Ibrahim mempelajari Aurad Muhammadiah daripada Sheikh Suhaimi sekitar tahun 1915 di Kampung Sungai Udang, Teluk Pulai, Kelang iaitu sepuluh tahun sebelum Sheikh Suhaimi meninggal dunia (1925). Lebai Ibrahim berkawan rapat dengan Muhammad Khairullah bin Muhammad al-Suhaimi (anak Sheikh Suhaimi). Muhammad Khairullah juga merupakan guru yang mengijazahkan Aurad Muhammad kepada Lebai Ibrahim.
Ketika Ashaari menerima Aurad Muhammadiah daripada Lebai Ibrahim, Lebai Ibrahim berpesan kepadanya supaya mengamalkan aurad ini setiap kali selepas menunaikan solat fardu.
Pada tahun 1956, Ashaari berkenalan dengan Muhammad Abdullah bin Muhammad Khairullah, cucu Sheikh Suhaimi di Kampung Sungai Udang, Kelang, perhubungan rapat Ashaari dengan Muhammad Abdullah lebih kurang selama dua tahun. Dalam tempoh ini, Muhammad Abdullah menceritakan kepada Ashaari tentang sejarah Aurad Muhammadiah, perkara karomah yang ada pada Sheikh Suhaimi dan kepercayaan dia bahawa Sheikh Suhaimi ialah Imam Mahdi.
Pada pertengahan tahun 1958, Muhammad Abdullah bin Muhammad Khairullah mengijazahkan Aurad Muhammadiah kepada Ashaari atas permintaan Ashaari sendiri. Walaupun Ashaari telah menerima Aurad Muhammadiah daripada Lebai Ibrahim, tetapi dia menerima Aurad Muhammadiah daripada Muhammad Abdullah untuk kali kedua atas dua sebab, iaitu
Pertama, terdapat perbezaan dalam isi kandungan Aurad Muhammadiah. Aurad Muhammadiah yang diterima daripada Lebai Ibrahim tidak terdapat penambahan perkataan “Muhammadan Al Mahdi” sebelum perkataan “Khalifah Rasulillah” sedangkan dalam pengijazahan kedua yang diterima daripada Muhammad Abdullah terdapat penambahan perkataan “Muhammadan Al Mahdi”.
Kedua, Ashaari beriman bahawa Sheikh Suhaimi ialah Imam Mahdi berdasarkan cerita-cerita karomah yang telah disampaikan oleh cucu Sheikh Suhaimi.
Pada tahun 1968, Ashaari mula menyebar ajaran Aurad Muhammadiah melalui organisasi pertamanya iaitu Rumah Putih di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Setelah itu berubah menjadi jemaah Darul Arqam atau Al-Arqam.
Ashaari juga telah melakukan tokok tambah ke atas ajaran Aurad Muhammadiah dengan beberapa lafaz bacaan dan kepercayaan. Antaranya kepercayaan mereka Sheikh Suhaimi yang telah meninggal pada tahun 1925 dinyatakan tidak mati, sebaliknya masih hidup. Menurut Ashaari, Sheikh Suhaimi adalah Imam Mahdi yang ghaib buat seketika sebelum kembali untuk memimpin Umat Islam. Tindakan Ashaari yang mengqiyaskan (menganalogikan) Syeikh Muhammad As-Suhaimi dengan Ashab al-Kahfi dan Nabi Khidir. Mereka menggelarkan Sheikh Suhaimi dengan panggilan “Sayidi”.
Dalam Aurad Muhammad Al-Arqam, Ashaari juga telah menambah lafaz selepas “Ila hadhratin naby”:
“Kepada Abuya Sheikh Imam Ashaari bin Muhammad At-Tamimi, dan kepada Lebai Ibrahim dan khasnya kepada Sayidi Syeikh Muhammad As-Suhaimim Imamul Mahdi”
Yang mana lafaz ini tidak ada pada amalan Aurad Muhammadiah versi selain Al-Arqam.
Atas beberapa kepercayaan sesat yang penuh dengan pembohongan ini akhirnya Aurad ini telah diharamkan pada tahun 1986. Setelah itu kerajaan Malaysia telah mengharamkan kumpulan Al-Arqam pada tahun 1994.
Walaupun Ashaari telah isytihar taubat secara terbuka, namun ahli Al-Arqam percaya itu hanya ucapan taqiyyah Ashaari kerana kononnya dia diancam dan dipaksa untuk membuat pengakuan taubat tersebut. Natijahnya taubat Ashaari itu tidak bernilai di sisi majoriti ahli Al-Arqam dan mereka terus mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiah.
Setelah Ashaari meninggal dunia pada tahun 2010. Jemaah mereka pada waktu itu Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) melalui Ummu Jah telah mendakwa Abuya tidak mati, tetapi hanya ghaib seperti ghaibnya Sheikh Suhaimi (Sayidi). Lalu Ummu Jah mendakwa roh Abuya telah bergabung dengan roh Sayidi (Sheikh Suhaimi) dan roh Rasulullah. Dari situ muncul istilah Rasulullah Sayidi Abuya atau R.S.A.
Jelas bahawa ajaran asas yang dipegang oleh Al-Arqam ini penuh dengan penyelewengan. Ia bermula dari dakwaan pengikut Sheikh Suhaimi bertemu dengan nabi dan nabi mengajar bacaan Aurad tersebut di dalam Kaabah. Ini merupakan penipuan yang sangat jelas, menipu atas nama nabi dan menipu orang ramai. Wirid itu hanyalah rekaan Sheikh Suhaimi dan bukannya datang dari Nabi.
Ditambah pula dengan dakwaan kesesatan Abuya Ashaari mengatakan Sheikh Suhaimi tidak mati tetapi hanya ghaib. Selepas itu ditambah pula dengan dakwaan isteri Abuya, Ummu Jah setelah Abuya meninggal dia mengulangi dakwaan yang sama iaitu Abuya tidak mati tetapi hanya ghaib.
Begitulah kesesatan ke atas kesesatan yang semakin parah di dalam jemaah ini. Sehingga kini, amalan dan kepercayaan ini masih wujud di dalam kelompok GISBH. Bacaan dan ajaran Aurad Muhammadiah masih diteruskan. Pihak berkuasa juga telah menemui buku-buku Aurad Muhammadiah yang telah diharamkan ini digunakan sehingga sekarang.
Selama mana lagi umat Islam perlu berdepan dengan taqiyyah jemaah ini?





Kepercayaan Disebalik Bulu Abuya Faktor Janggut & Rambutnya Dicukur Sewaktu Tahanan ISA
Pada tahun 1994, negara telah digemparkan dengan berita pengharaman Al-Arqam dan penangkapan pemimpin Al-Arqam. Mereka dikenakan tahanan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ketika tahanan itu, Abuya Ashaari ditampilkan ke khalayak ramai dengan keadaan janggut, misai dan rambutnya yang telah dicukur. Pada masa yang sama Abuya mengucapkan pengakuan taubatnya dengan berjanji akan meninggalkan ajaran Aurad Muhammadiah dan sebarang fahaman menyeleweng.
Terdapat faktor penting mengapa pihak berkuasa memotong janggut dan rambut Abuya Ashaari pada ketika itu. Itu merupakan satu cara pihak berkuasa memecahkan kepercayaan karut dan penipuan yang berlaku dalam jemaah tersebut.
Ini kerana dalam jemaah Al-Arqam pada ketika itu mempercayai bahawa Abuya tidak akan ditangkap dan disentuh oleh musuh walau sehelai bulu romanya.
Kepercayaan ini muncul disebalik pembohongan yang direka oleh Azura Mohd Yusof isteri kepada Nasiruddin Ali. pada waktu itu, Azura mengaku dia telah yaqazah dengan Nabi Muhammad pada setiap malam bersama dengan Abuya. Kononnya dia menjadi perantaraan dan dirasuk roh Nabi Muhammad ke dalam jasadnya lalu bercakap dengan Abuya Ashaari mewakili pihak Nabi Muhammad.
Melalui pembohongan percakapan Azura dalam majlis yaqazah itu telah muncul ramalan-ramalan akan datang bahawa Abuya akan memimpin nusantara dan menjadi tentera Imam Mahdi melalui cara akan dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia dan sekaligus presiden Indonesia.
Pada masa sama, Azura mengatakan “Abuya tidak akan ditangkap dan disentuh (diusik) oleh musuh walau sehelai bulu roma.”
Oleh itu, pihak berkuasa mengambil tindakan untuk mencukur bulu Abuya bukan tujuan untuk mengambil berkat, tetapi kerana kebijaksanaan pihak berkuasa untuk menghancurkan kepercayaan dan pegangan karut jemaah Al-Arqam pada waktu itu. Hasil perbuatan itu, ia berjaya membuatkan ramai ahli Al-Arqam meninggalkan jemaah kerana merasa tertipu dengan pembohongan yang dibuat atas nama agama. Ini kerana bukan sahaja Abuya ditangkap malah bulunya juga dicukur.
Untuk kes GISBH yang terkini, terdapat beberapa tindakan seperti ini perlu dilakukan selain perlu menjalani istitabah untuk pemulihan. Antaranya perlu buktikan bahawa GISBH tidak lagi beriman dengan dakwaan Ummu Jah untuk menjadikan kedua anak perempuannya iaitu Fatimah dan Fathiyyah sebagai bakal isteri Imam Mahdi dan Nabi Isa. Perlu segara kahwinkan mereka berdua dan rombak kepercayaan kemahdian Sheikh Suhaimi.
Kedua, buang gelaran At-Tamimi pada semua keluarga Abuya Ashaari. Jika nama gelaran itu telah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara, mohon agar dibenarkan pertukaran nama untuk membuang gelaran tersebut. Ini kerana keluarga Abuya bukan keturunan bani Tamim dan nasab itu direka secara palsu untuk mensabitkan dirinya sebagai kabilah keluarga yang akan menjadi tentera Imam Mahdi. Gelaran At-Tamimi pada dirinya itu merupakan doktrin ajaran sesat yang dibawa oleh Abuya selama ini. Jika benar mereka bertaubat, maka hapuskan gelaran ini dan tidak boleh kaitkan keluarga mereka dengan bani Tamim.
Dua perkara ini melibatkan kepercayaan sesat yang diwarisi sejak dulu lagi. Oleh itu, ia perlu dipecahkan agar tidak lagi diwarisi pada masa akan datang.
Kita doakan agar Allah memberikan taufiq dan hidayahNya kepada mereka agar dapat terhindar daripada kesesatan yang berulang.

Kredit : PUKAS-1
Kredit : PUKAS-2

Kronologi GISBH Sehingga 21 September 2024

21 Sept 2024

 



Berikut kronologi kes itu setakat hari ini :


16 Ogos – Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) Malaysia menerusi laman rasmi Facebooknya mendedahkan kegiatan ajaran sesat yang didakwa berlaku dalam GISBH.

6 Sept – Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam laman rasmi Facebooknya membangkitkan isu keganasan dan kekejaman yang dikaitkan dengan GISBH yang memerlukan siasatan dan campur tangan pihak berkuasa.

11 Sept – Polis membuat serbuan terhadap 20 rumah amal dipercayai milik GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan serta menahan 171 individu bagi membantu siasatan kes mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengadakan sidang media di Kuantan, Pahang, berhubung operasi pada awal pagi itu.

Beliau mendedahkan keseluruhan 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun diselamatkan dalam operasi berkenaan. Daripada jumlah itu, seramai 10 kanak-kanak merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan penghidap autisme yang diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas saringan dibuat.

Baki 392 menjalani ujian saringan kesihatan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

GISBH mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan mereka mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja dan menyatakan pihak mereka tidak akan berkompromi dengan aktiviti yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan kanak-kanak.

12 Sept – Proses dokumentasi kanak-kanak yang diselamatkan diteruskan di Pulapol Kuala Lumpur.

Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas empat pertuduhan penderaan fizikal terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia antara lima hingga enam tahun di sebuah pusat asuhan di Seremban yang dikaitkan dengan GISBH. Tertuduh mengaku tidak bersalah.

13 Sept – Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengadakan sidang media kedua berhubung kes itu dan mendedahkan sejumlah 41 laporan polis berkaitan GISBH diterima sejak 2011 hingga September tahun ini.

Seramai 159 individu daripada 171 yang ditahan mendapat kebenaran reman, selebihnya di bawah umur tiada keperluan disiasat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan soal akidah, salah guna kuasa dan agama serta penderaan kanak-kanak perkara serius yang perlu ditangani segera.

14 Sept – Sidang media ketiga Ketua Polis Negara yang menyatakan serbuan terhadap 20 rumah amal melalui Op Global itu adalah hasil risikan dan siasatan polis selama enam bulan.

Siasatan terhadap syarikat itu bagaimanapun telah dijalankan sejak 2011 dan polis telah bertemu dengan wakil PUKAS enam bulan lepas.

15 Sept – Polis mengesahkan 483 individu telah dirakam percakapan terdiri daripada pengadu, saksi, mangsa dan suspek.

Seramai 384 kanak-kanak dan remaja selesai menjalani saringan kesihatan dan hasil saringan itu mendapati terdapat ciri-ciri pengabaian dan penganiayaan.

17 Sept – Ketua Polis Negara mengesahkan sebanyak 96 akaun milik GISBH dibekukan, serta empat akaun ditutup melibatkan aset bernilai lebih RM581,000.

Keseluruhan 392 mangsa yang diselamatkan menerusi Op Global selesai jalani saringan kesihatan, elemen jenayah fizikal dan emosi dikesan.

Tiga kertas siasatan berhubung Op Global dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.

18 Sept – Seorang ahli perniagaan yang juga anggota GISBH, Mohamad Riza Makar, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Putrajaya dekat sini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita pada 9 Sept lepas.

19 Sept – 19 individu termasuk pengurusan tertingggi, isteri serta beberapa pemimpin GISBH direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Tiga pembantu pengajar sebuah madrasah di Kuala Pilah, yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISBH, didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima kanak-kanak pada 2022 dan 2023. Mereka mengaku tidak bersalah.

20 Sept – Tujuh lagi individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISBH ditahan bagi membantu siasatan kes pemerdagangan orang. Mereka termasuk anak bekas pemimpin Al-Arqam Ashaari Mohammad yang merupakan kumpulan Remaja Pembela Ummah (RPU) GISBH.

Seorang lagi pembantu pengajar di sebuah madrasah di Kuala Pilah didakwa di Mahkamah Sesyen di Seremban dan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan melakukan amang seksual terhadap empat kanak-kanak lelaki, tahun lepas.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

21 Sept – Op Global memasuki fasa keempat di seluruh Semenanjung Malaysia dengan serbuan dilakukan di 82 premis, 186 mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita berjaya diselamatkan, manakala 155 suspek terdiri daripada 78 lelaki dan 77 wanita ditahan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, dalam operasi yang disertai JAKIM itu, beberapa risalah mengandungi elemen dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam serta barang khurafat turut dirampas.

Di Pulau Pinang, empat premis termasuk dua pusat jagaan kanak-kanak dipercayai berkaitan dengan GISBH diserbu dan polis merampas enam buku atau kitab disyaki berkaitan dengan ajaran Al Arqam iaitu gerakan yang difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994.

Di Melaka, sebanyak 285 barangan berkaitan ajaran Al-Arqam termasuk gambar pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad yang turut dikenali sebagai Abuya ditemukan dalam serbuan ke atas 19 premis berkenaan GISBH.

Di Kelantan,  tiga buah rumah yang dipercayai menjadi penempatan keluarga ketua pegawai eksekutif GISBH di Kampung Panji diserbu dan pelbagai jenis buku serta dokumen berkaitan GISBH ditemukan ditanam di tepi pinggir sungai selain ada yang turut dibakar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata isu berkaitan doktrin fahaman GISBH akan dibincang oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang dari Selasa hingga Khamis ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) giat memantau kandungan media sosial membabitkan GISBH termasuk video lagu yang ditularkan dan dijadikan parodi oleh segelintir masyarakat.



Kredit : Bernama

Kredit : MKN

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.