SLIDER

pendidikan
Showing posts with label pendidikan. Show all posts

Kesan Poligami Terhadap Anak-Anak: Antara Kebaikan dan Keburukan

2 Aug 2025



Poligami, satu amalan yang dibenarkan dalam Islam, sering menjadi perbincangan hangat dalam masyarakat. Fokus sering diletakkan pada hubungan antara suami dan isteri-isteri, namun satu aspek penting yang kadangkala terlepas pandang ialah kesan poligami terhadap anak-anak.

Bagaimana perasaan anak apabila ayah mereka berpoligami? Adakah mereka terkesan secara emosi, sosial dan psikologi? Atau mungkinkah ada nilai-nilai positif yang mereka pelajari daripada pengalaman ini?





APA ITU POLIGAMI

Poligami ialah perkahwinan seorang lelaki dengan lebih daripada satu isteri dalam masa yang sama. Dalam Islam, ia dibenarkan dengan syarat lelaki tersebut mampu berlaku adil dari segi nafkah, masa, dan kasih sayang. Namun, keadilan yang dituntut bukan sahaja kepada isteri-isteri, tetapi juga kepada anak-anak yang lahir daripada perkahwinan tersebut.



KEBAIKAN POLIGAMI KEPADA ANAK-ANAK (JIKA DIURUS DENGAN BAIK)

Walaupun sering dikaitkan dengan kesan negatif, poligami juga berpotensi membawa manfaat tertentu kepada anak-anak, terutamanya jika ia dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan hikmah.

1. 🌱 Peluang Membesar Dalam Keluarga Besar

Anak-anak yang membesar dalam keluarga poligami berpeluang mengenali lebih ramai adik-beradik dan saudara tiri. Ini boleh memperkukuh kemahiran sosial, rasa kebersamaan, dan nilai kekeluargaan.

2. 🧠 Belajar Toleransi dan Empati

Melalui interaksi harian dalam keluarga besar, anak-anak berpeluang belajar toleransi, perkongsian, dan empati sejak kecil – nilai yang penting untuk hidup bermasyarakat.

3. 👨‍👩‍👧‍👦 Membentuk Jiwa Yang Matang

Cabaran yang wujud dalam keluarga poligami, jika ditangani dengan bimbingan yang betul, boleh menjadikan anak lebih matang, memahami realiti kehidupan, dan kuat dari segi emosi.

4. 📚 Peluang Pendidikan Luas

Dalam sesetengah kes, seorang ayah yang berpoligami mungkin mempunyai kemampuan ekonomi yang baik dan mampu menyediakan peluang pendidikan atau sumber sokongan tambahan untuk anak-anak daripada semua keluarga.



KEBURUKAN POLIGAMI KEPADA ANAK-ANAK (JIKA TIDAK DIURUS DENGAN BAIK)

Namun, dalam realiti masyarakat hari ini, keburukan poligami terhadap anak-anak lebih ketara, khususnya apabila berlaku pengabaian tanggungjawab dan ketidakadilan.

1. 💔 Rasa Terabai dan Kurang Kasih Sayang

Anak-anak mungkin merasa bahawa mereka dilayan tidak sama rata, terutama jika ayah lebih kerap berada di rumah isteri yang lain. Ini boleh menimbulkan rasa sedih, cemburu, dan tercabar dari sudut emosi.

2. ⚠️ Konflik Sesama Adik-Beradik Tiri

Jika tiada usaha membina hubungan yang sihat antara keluarga tiri, anak-anak boleh bermusuhan atau bersaing antara satu sama lain. Ini mewujudkan suasana yang tidak harmoni dalam keluarga.

3. 😔 Masalah Psikologi dan Keyakinan Diri

Anak-anak yang membesar dalam suasana tidak stabil mungkin mengalami:

  • Tekanan emosi

  • Kemurungan ringan atau berat

  • Kurang keyakinan diri

  • Masalah tingkah laku di sekolah atau masyarakat

4. ❓ Kekeliruan Identiti dan Nilai

Apabila anak melihat konflik antara ayah dan ibu-ibu, mereka mungkin mengalami kekeliruan tentang peranan keluarga, menyoal keadilan ayah, dan menyimpan perasaan negatif terhadap perkahwinan atau lelaki secara umum.

5. 🧍‍♀️ Ibu yang Tertekan, Anak yang Menderita

Dalam banyak kes, anak-anak menyerap emosi dan tekanan ibu mereka. Jika si ibu sering bersedih atau bercakap negatif tentang ayah atau madu, anak-anak akan mudah terpengaruh secara emosi dan pemikiran.



PERANAN AYAH DAN IBU DALAM MENGURANGKAN KESAN NEGATIF

Bagi ayah yang memilih untuk berpoligami, tanggungjawab bukan sekadar berlaku adil terhadap isteri-isteri, tetapi juga:

  • Memberi masa dan perhatian yang seimbang kepada semua anak

  • Menjadi pendengar dan pendidik emosi kepada anak-anak

  • Menjaga kestabilan hubungan antara anak-anak dan ibu mereka

  • Tidak menunjukkan pilih kasih secara terbuka

Bagi ibu pula, walaupun berada dalam tekanan emosi, penting untuk:

  • Tidak memindahkan rasa kecewa kepada anak

  • Membina hubungan harmoni dengan isteri lain demi kesejahteraan anak

  • Fokus pada didikan dan pembangunan anak-anak, bukan konflik



TIPS PRAKTIKAL UNTUK IBU BAPA DALAM KELUARGA POLIGAMI

Komunikasi




Ajak anak berbual tentang perasaan mereka. Dengarkan tanpa menghakimi.
Masa BerkualitiWujudkan masa eksklusif antara ayah dan anak-anak tanpa gangguan.
Pendidikan EmosiAjar anak cara mengurus emosi seperti marah, cemburu, atau kecewa.
Hubungan Antara Ibu Tiri dan AnakGalakkan hubungan hormat dan terbuka – bukan bermusuh.
Sokongan KaunselingPertimbangkan kaunseling keluarga jika ada tekanan berpanjangan.



MEMBINA KELUARGA POLIGAMI YANG SIHAT ADALAH TIDAK MUSTAHIL

Poligami itu sendiri bukanlah punca utama kepada masalah dalam keluarga. Yang lebih penting ialah bagaimana ia diurus. Jika ibu bapa bertindak dengan hikmah, adil, sabar dan berprinsip, anak-anak masih boleh membesar dalam suasana yang positif dan penuh kasih sayang.

Namun, jika poligami disertai dengan pengabaian, kezaliman emosi, dan konflik berpanjangan, maka bukan sahaja rumah tangga akan rosak, tetapi anak-anak turut menjadi mangsa jangka panjang.

Poligami adalah satu amanah besar. Ia bukan hanya soal hak lelaki, tetapi soal masa depan generasi yang dibesarkan dalam perkahwinan tersebut.

Cerai: Semuanya Bermula Dari Tak Sekufu?

29 Jul 2025






Daripada kes selebriti yang bercerai ini, kita dapat belajar yang jangan main-main dengan 'sekufu' selepas perkahwinan. Walaupun ia bukan suatu rukun perkahwinan tapi ia sangat disarankan oleh ulama.
Kalau ikut pengalaman saya, ada 4 masalah sekufu yang biasa menjadi punca berlakunya perceraian.

1. SEKUFU TARAF HIDUP
Sebab itu ada istilah enggang sama enggang, pipit sama pipit. Memang benar ada perkara kita boleh toleransi, tapi ada perkara sudah sebati dengan kehidupan si dia sejak kecil.
Kalau kahwin dengan kerabat diraja contohnya, bukan kedudukan yang menjadi isu utama, tapi tanggungjawab, budaya keluarga, cara makan pun sudah berbeza. Kerana mereka dibesarkan dengan gaya yang sebegitu. Kalau kerabat diraja berkahwin dengan orang kebanyakan. Bayangkan apa yang akan berlaku? Sebelum kahwin sepatutnya perkara ini di bangkitkan supaya boleh tahu sebenarnya sesuai tak kalau hidup berdua selepas kahwin nanti.
2. SEKUFU LIFESTYLE
Kita perlu sedar cara hidup orang T20, M40, dan B40 caranya berbeza. Perkara ini kalau sukar ubah, boleh berlaku pertentangan antara suami dan isteri. Lifestyle ni penting tau, bagaimana cara hidup seseorang. Kalau awak berpasangan dengan orang yang dah biasa hidup mewah, barang yang dia guna semua branded. Koleksi dari Dior, Louis Vuitton (LV), Gucci dan selevel ni je yang jadi pilihan harian dia, awak kena lah get ready sebab tinggi maintenance pasangan awak.
3. SEKUFU PENDIDIKAN
Kalau sekufu Pendidikan ini tak ditangani sebelum berkahwin, sebab itulah ada timbul dalam perkahwinan kata-kata pasangan terhadap pasangan seperti
“Awak ni lembab la”
“Awak tak belajar tentang ni ke?”
“Awak belajar tak tinggi, mana awak tahu”
"Awak ni suami slow lah”
Lagi-lagi kalau pasangan yang berkahwin seorang ada background PhD tapi seorang lagi hanya ada sijil SPM, kerana masing-masing sangat sukar bertolak ansur dan menghormati pemikiran satu sama lain.
4. SEKUFU AGAMA
Walaupun orang anggap agama adalah isu peribadi dan boleh dibaiki. Tapi kalau gap terlampau besar, dan pasangan taknak berubah, akan jadi tak tenang dan mesti akan ada konflik. Agama bermain dengan pemikiran, prinsip hidup. Kalau agama tak match, bermula daripada berkahwin, cara menguruskan keluarga dan anak-anak, pasti akan banyak konflik.
Sebelum berkahwin, banyakkan bincang dan rujuk orang tua, terutamanya masa pemilihan jodoh, jangan hanya kahwin sebab doronagn cinta yang kuat, tanpa mengambil kira realiti kehidupan selepas kahwin. Ada banyak lagi faktor-faktor lain, tapi yang saya sebutkan ini banyak berlaku berdasarkan pengalaman saya.

AL-KAFI #1153: Maksud Sekufu Dalam Perkahwinan

9 Oct 2024




Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti, apakah maksud sekufu dalam perkahwinan?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sekufu atau kesepadanan dalam bahasa Arab disebut dengan kafa’ah. Dari segi bahasa, kafa’ah (كفاءة) bermaksud “المساوة” (sama) atau “المماثلة” (seimbang). (Lihat al-Munjid fi al-Lughah, hlm. 690)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/520-525), ketika membincangkan berkenaan memilih pasangan yang sekufu’, menyatakan: Kufu’ bermaksud persamaan taraf lelaki dan perempuan dari beberapa aspek:

  • Agama dan kesolehan

Seorang lelaki yang fasiq tidak sama dengan perempuan yang solehah. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

أَفَمَن كَانَ مُؤْمِنًا كَمَن كَانَ فَاسِقًا ۚ لَّا يَسْتَوُونَ

Maksudnya: Apakah orang-orang beriman itu sama dengan orang-orang yang fasiq? Mereka tidak sama.

   Surah al-Sajadah (18)

Walaubagaimanapun, kita perlu membezakan antara orang yang beragama dengan orang yang belajar agama. Istilah yang digunakan oleh Nabi SAW kepada perempuan zat al-din (ذات الدين) atau dikenali sebagai mutadayyin. Sedangkan yang belajar agama sudah tentu mempunyai ilmu dan kefahaman yang baik, tetapi kadang-kadang tidak diamalkannya. Apa yang perlu, mencari pasangan yang mematuhi agama dan lebih baik apabila mempunyai kefahaman agama serta ilmunya.

  • Pekerjaaan

Seseorang yang mempunyai pekerjaan bertaraf rendah seperti tukang sapu, tukang bekam, pengembala ternakan, pencuci tandas adalah tidak kufu mengahwini anak perempuan seorang ilmuan, hakim atau ahli perniagaan.

Sebenarnya pekerjaan boleh dibahagikan kepada dua. Ada yang mulia tetapi bukanlah kaya. Ada pula yang nampak biasa tetapi boleh menghasilkan jutaan ringgit apabila mempunyai kreatif, inovatif dan pandai mencari pasaran serta peluang untuk menjana pendapatan melalui pelaburan dan perniagaan.

  • Tidak cacat

Tidak mempunyai kecacatan yang boleh menyebabkan pasangan berhak memilih untuk fasakh perkahwinannya. Seorang lelaki yang gila atau sopak tidak sekufu dengan seorang perempuan yang tidak berpenyakit seperti itu.

Kecacatan boleh dibahagikan kepada dua: Pertama, yang mengaibkan seperti HIV, Aids, kusta, gila dan lain-lain. Perkara ini sebaik-baiknya dielakkan melainkan wujudnya persetujuan dan kefahaman yang jelas. Kedua, kecacatan yang kecil seperti cacat sebahagian anggota namun kefungsian masih berlaku. Yang ini tidaklah menjadi penghalang dalam membina dan melayari bahtera kehidupan dengan sebaiknya. Kadang-kadang, kita lihat pasangan seperti ini jauh lebih bahagia dari yang sempurna sifatnya.

Sekufu dalam perkahwinan ialah hak isteri dan wali-walinya. Walaupun kufu bukannya syarat sah nikah,[2] tetapi ia perlu untuk mengelakkan perkara yang buruk terhadap isteri dan para walinya dan menjamin kelangsungan hidup suami isteri.

Hal yang demikian adalah kerana pasangan yang sekufu mempunyai cara hidup yang tidak berbeza dan boleh diterima. Justeru itu, seorang daripadanya tidak terpaksa mengubah kebiasaannya kerana mereka telah mempunyai persamaan.

Namun, bakal isteri dan walinya boleh menggugurkan syarat sekufu ini. Sekiranya seorang perempuan telah dikahwinkan oleh walinya dengan seorang lelaki yang tidak sekufu, tetapi dengan kerelaannya, perkahwinan itu adalah sah.

Hal ini kerana sekufu merupakan hak perempuan dan walinya. Sekiranya mereka redha menggugurkannya, maka ia tidak perlu dipertikaikan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/520-525)

Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

تَخَيَّرُوْا لِنُطَفِكُمْ وَأَنْكِحُوْا الأَكْفَاءَ وَأَنْكِحُوْا إِلَيْهِمْ

Maksudnya: Pilihlah tempat yang baik untuk meneruskan keturunanmu dan kahwinkanlah mereka yang sekufu dan kahwinkanlah mereka.

           Riwayat al-Hakim (2/163)

Kesimpulan

Kami berpendapat, antara perkara yang paling penting dalam memahami sekufu’ adalah lebih kepada pasangan itu sendiri dan bukan semata-mata keluarga. Sebagai contoh, dua pelajar yang bergraduasi dari universiti sedangkan antara dua keluarga mungkin terdapat perbezaan taraf. Tetapi, wujud antara dua pelajar tersebut sifat keserasian serta perasaan tolak ansur yang begitu tinggi antara keduanya. Maka hal seperti ini boleh dipertimbangkan.

Pada saat ini, suasana mungkin sudah berubah berbanding empat puluh atau lima puluh tahun dahulu di mana lingkaran hubungan bukan lagi dibatasi dengan kekeluargaan dan kampungan tetapi ia jauh merentasi sempadan negeri, negara, bangsa, warna kulit, kaum, dan lain-lain. Justeru, yang paling penting adalah sifat kesolehan yang terwujud pada pasangan. Begitu juga perasaan kasih sayang dan cinta tumbuh dengan mekar pada pasangan tersebut.

Akhir kalam, kami tutup dengan berdoa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Nota Hujung:

[1] Syeikh Abdullah Nasih `Ulwan dalam kitabnya, Tarbiyah al-Aulad berkata: Bermula dari prinsip ini, Uthman bin Abi al-`As al-Thaqafi telah menasihati dan berpesan kepada anak-anaknya supaya memilih tempat meletak benih masing-masing serta mengelakkan baka keturunan yang buruk. Dan inilah apa yang dikatakan kepada mereka: “Wahai anak-anakku, orang yang bernikah itu seumpama orang yang bercucuk tanam, seseorang perlu meneliti, di mana dia mencucuk tanamannya. Baka keturunan yang tidak baik jarang mempunyai anak, justeru perlu untuk dilakukan pemilihan.”

[2] Jumhur fuqaha’ menganggap sekufu adalah syarat sah nikah. Sedangkan sebahagian ulama’ seperti Abi al-Hasan al-Karkhi, Abi Bakar al-Razi, al-Thauri dan Ibn Hazmin menganggap sekufu bukanlah syarat sah nikah pada masa aqad.


Kredit : MuftiWP

Hadis 40 Imam al-Nawawi : Penghayatan Kepada Pengenalan, Keistimewaan & Ringkasan Isi Kandungan Diperluas Di Kalangan Pelajar

13 May 2024


Untuk makluman, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah melancarkan program rintis Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi diperluaskan sebagai modul pembelajaran di sekolah-sekolah kebangsaan. 

Program ini memberi fokus kepada  guru dan murid beragama Islam di sebanyak 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara. 


Selain itu, Kurikulum Pendidikan Islam di Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) seluruh negara juga akan dimantapkan dengan modul pembelajaran Hadis 40 Imam Nawawi yang dijangka bermula Jun 2024 ini. 


Modul pembelajaran Hadis 40 Imam al-Nawawi ini juga seiring dengan inisiatif Program Tabika Pra Tahfiz yang dilaksanakan KKDW bermula tahun ini. Oleh itu, pada Jun ini guru-guru KEMAS yang terlibat dengan program Tabika Pra Tahfiz yang akan menjalani kursus dan latihan dapat merangkumi sekali modul pembelajaran Hadis 40 ini dalam program tersebut.






Bagi yang pertama kali mengetahui mengenai hadis ini, sudah tentu terdapat banyak persoalan-persoalan yang berlegar di fikiran berkaitan hadis ini.  Di bawah dikongsikan serba sedikit penerangan ringkas mengenai Hadis 40.



PENGENALAN HADIS 40


Hadis 40 adalah merujuk kepada himpunan senarai 42 hadis-hadis Nabi Muhammad SAW oleh Imam Al-Nawawi. Hadis-hadis ini mencakupi pelbagai aspek , antaranya tentang iman, moraliti, tingkah laku dan sebagainya yang dijadikan panduan cara hidup menurut agama Islam. 


Imam al-Nawawi telah mengumpul sebanyak 42 hadis sahih ini yang sebahagian besarnya terdapat di dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.


Beliau menghimpunkan hadis-hadis yang menjadi prinsip-prinsip asas agama dan memilih hadis-hadis yang disifatkan oleh para ulama sebagai separuh daripada Islam atau sepertiga Islam atau seumpamanya. 


Terdapat sebuah riwayat tentang kelebihan menghafal 40 hadis sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas:


مَنْ حَفِظَ عَلَى أُمَّتِي أَرْبَعِينَ حَدِيثًا مِنْ أَمْرِ دِينِهَا يُبْعَثُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَقِيهًا عَالِمًا

Maksudnya: “Sesiapa yang menghafaz untuk umatku 40 hadis berkenaan urusan agamanya, dia akan dibangkitkan pada hari kiamat sebagai orang faqih dan berilmu.”


APA ITU HADIS


Hadis adalah kata-kata dan jawapan Nabi Muhammad dalam menjawab pertanyaan umat Islam pada masa lampau. Hadis diinterpretasikan bersama dengan Al-Quran dan merupakan sumber penting dalam agama Islam. 


Berbeza dengan Al-Quran yang ditulis selama hidup Nabi Muhammad, hadis disampaikan secara lisan dan kemudian dirakam sebagai sejarah lisan berdasarkan apa yang didengar oleh mereka yang hidup pada masa Nabi.

Terdapat beberapa jenis hadis seperti hadis sahih, hadis hasan, hadis qudsi hadis palsu dan sebagainya.  


TEMA HADIS 40

Tema yang disentuh dalam himpunan hadis 40 ini ialah berkaitan niat, ibadat, iman, ihsan, ketentuan takdir, halal, haram, nasihat, jihad, ketaatan, keyakinan, kasih sayang,  kehormatan diri, menghargai orang lain, akhlak mulia,  mengikut  sunnah, bersederhana, penghakiman,  mencegah  kemungkaran, persaudaraan  dan  taubat.  


KEISTIMEWAAN


Terdapat banyak keistimewaan Hadis 40 karya Imam al-Nawawi ini. Antara keistimewaannya ialah:

1. Mencakupi semua hadis berkaitan kehidupan manusia.

2. Selari dengan ajaran islam

3. Hadis-hadisnya menjadi asas kepada kaedah agama yang penting.

4. Hadis-hadis dalam kumpulan ini memiliki sanad (rantai perawi) yang kuat dan diakui oleh para ulama hadis. 

5. Salah satu sumber pengajaran yang paling popular dalam Islam. Hadis-hadis ini sering dipelajari dan diajarkan oleh para ulama dan pendidik Islam di seluruh dunia.

6. Terdapat penjelasan ringkas berkaitan setiap hadis untuk memberikan pemahaman tambahan tentang pesanan yang terkandung dalam hadis tersebut.



RINGKASAN ISI KANDUNGAN


Hadis 1: Setiap amalan bergantung pada niat. Apa yang diniatkan, itulah yang akan kita dapat. Individu yang beramal dengan niat ikhlas kepada Allah akan dibalas berdasar apa yang diniatkannya.

Hadis 2: Mengenai maksud Islam, iman dan ihsan dan tanda kiamat. 

Hadis 3: Mengenai bagaimana Islam terbina di atas lima rukun iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa, zakat dan menunaikan haji di Baitullah jika berkemampuan.

Hadis 4: Menceritakan tentang peringkat kejadian manusia dan penentuan rezeki, ajal, qada’ dan qadar selepas roh ditiupkan ke janin.

Hadis 5: Menggalakkan umat Islam agar menjauhi amalan bid’ah, mereka-reka amalan baharu dalam urusan agama tanpa rujukan sumber sahih. 

Hadis 6: Mengenai halal haram. Islam menyeru umatnya meninggalkan perkara syubhah (tidak pasti) kerana dibimbangi terjatuh kepada perkara haram. Hati adalah raja segala anggota yang mesti dipastikan keelokannya dan kebersihannya justeru kerosakan dan kemusnahannya akan merosakkan dan memusnahkan seluruhan anggota badan yang lain.

Hadis 7: Menjelaskan Islam sebagai agama nasihat yang mengandungi ketaatan kepada Allah, Rasul-Nya, beriman serta beramal dengan kitab dan sunnah Rasul-Nya. Selain itu, tanggungjawab menasihati pemimpin dan membantu pemerintah dalam perkara yang wajib dibantu. Nasihat bagi kaum muslimin pula dengan menyeru kepada Allah, melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar.

Hadis 8: Menyatakan keizinan memerangi golongan musyrikin Makkah yang memusuhi Islam dan orang yang memerangi umat Islam. Hadis ini juga bermaksud larangan memerangi atau menyakiti bukan Islam secara semberono.

Hadis 9: Larangan umat Islam melakukan perkara haram dan galakan supaya melaksanakan arahan nabi dengan sedaya-upaya. Umat terdahulu dibinasakan kerana terlalu banyak menyoal dan perselisihan dengan nabi mereka.

Hadis 10: Syariat Islam menganjurkan umatnya makan dan minum daripada sumber halal. lslam menuntut umatnya menjaga diri dari semua aspek; kebersihan diri dan hati, keelokan berpakaian, kebersihan amalan perbuatan juga budi pekerti.

Hadis 11: Rasulullah menyeru umatnya meninggalkan perkara meragukan, sebaliknya berpegang pada sesuatu yang yakin.Keyakinan adalah asas amalan dalam lslam. Amalan yang dilakukan dengan yakin dikira sah dan diberikan ganjaran pahala. Sebaliknya amalan yang dilakukan secara ragu-ragu, tidak memadai dan mesti diulangi.

Hadis 12: Menyeru seseorang agar meninggalkan perkara yang tiada kaitan dengan keperluannya atau perbuatan sia-sia, sama ada urusan dunia atau akhirat. Seseorang mukmin dianggap elok, indah dan berakhlak tinggi apabila dia hanya melakukan perkara yang berfaedah dan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah.

Hadis 13: Kasih sayang dan persaudaraan adalah antara tuntutan iman. lman seseorang mukmin tidak akan sempurna sekiranya dia ada menyimpan perasaan benci terhadap mana-mana saudaranya yang seagama. Hadis ini menyeru kepada individu agar mencintai saudaranya seperti mana dia mencintai diri sendiri kerana ia sebagai tanda kesempurnaan iman.

Hadis 14: Memberi amaran mengenai haram menumpahkan darah seseorang kecuali tiga jenis pesalah syariah iaitu janda atau duda yang berzina, pembunuh dan individu murtad. Menurut hukum Allah seorang mukmin adalah terjamin keselamatan nyawanya, darahnya dan harta bendanya daripada sebarang pencerobohan dan kezaliman. Apabila berlaku pencerobohan terhadap darah, harta dan maruahnya dia berhak menuntut balas mengikut peruntukan syara’.

Hadis 15: Hadis ini menerangkan beberapa tuntutan lman, antaranya ialah berkata hanya perkara benar dan berfaedah, kurang bercakap, menghormati jiran tetangga dan memuliakan tetamu.

Hadis 16: Hadis ini menerangkan betapa sifat marah itu perlu dihindari oleh setiap mukmin, kerana marah membawa banyak keburukan terhadap diri sendiri juga terhadap orang lain.

Hadis 17: Menggalakkan bersikap ihsan kepada semua makhluk termasuk haiwan korban dengan menajamkan mata pisau.

Hadis 18: Taqwa dituntut walaupun di mana seorang mukmin berada, sama ada di khalayak ramai mahupun di ketika keseorangan. lni adalah tanda iman dan taqwa.

Hadis 19: Pesanan Rasulullah kepada sahabat Abdullah Abbas agar memperkukuh iman dengan mematuhi dan berserah diri sepenuhnya kepada Allah. Seorang mukmin mesti menjaga dan memelihara hak kewajipan terhadap Allah setiap masa dan tempat, lebih-lebih lagi ketika dia dalam kesenangan. Dengan ini dia akan dijaga dan dipelihara Allah sepanjang masa, terutamanya ketika ditimpa kesusahan hidup.

Hadis 20: Malu adalah salah satu sifat utama seorang mukmin kerana ia adalah sebahagian dari lman. Malu tidak menghasilkan sesuatu kecuali kebaikan. la menjadi perisai daripada melakukan banyak perkara jahat.

Hadis 21: Hadis menuntut agar seorang mukmin sentiasa mengambil berat soal lman, tauhid dan aqidahnya, selalu memperbaharui imannya kepada Allah, dan istiqamah atas jalan yang diperintahkan oleh-Nya.

Hadis 22: Hadis menerangkan betapa apabila seorang mukmin benar-benar menunaikan segala tanggungjawab agama yang fardhu dengan sempurna, menghalalkan perkara yang halal dan mengharamkan perkara yang haram, dia akan masuk syurga walaupun dia tidak melakukan amalan- amalan sunat yang lain. lni adalah kemurahan dan rahmat Allah SWT terhadap hamba-hambaNya.

Hadis 23: Menyatakan tentang kelebihan amalan soleh seperti bersuci, zikir (bertasbih, bertahmid serta bertakbir), mengerjakan solat dan bersedekah.

Hadis 24: Hadis panjang yang diriwayatkan oleh sahabat Abu Dzar al-Ghifari mengenai keluasan kurniaan Allah kepada hamba-Nya.

Hadis 25: Mengenai galakan Rasulullah supaya sekumpulan sahabatnya berlumba-lumba dan bersegera melakukan kebaikan termasuk bertasbih, bertahmid dan bertakbir yang dianggap sedekah.

Hadis 26: Hadis ini menerangkan bahawa setiap amal perbuatan mukmin walaupun kadang- kadang dianggap biasa atau sedikit, akan mendapat pahala sedekah.

Hadis 27: Mengenai Rasulullah menjawab pertanyaan sahabat tentang perkara baik dan dosa. Baginda berkata kebaikan menenangkan jiwa tetapi dosa meresahkannya.

Hadis 28: Rasulullah SAW berwasiat dalam hadis ini beberapa perkara penting, antaranya; supaya bertaqwa kepada Allah SWT, patuh dan taat kepada pemerintah biarpun dia adalah orang yang berasal dari keturunan bawahan atau hamba ‘abdi, kerana yang penting apa yang diperintahkan, bukan orang yang memerintah. Serta, mengikut sunnah Nabi dan menjauhi bid’ah.

Hadis 29: Berdasarkan hadis ini, amalan yang boleh memasukkan seseorang hamba ke dalam syurga ialah menunaikan rukun-rukun lslam, iaitu benar-benar beriman kepada Allah tanpa syirik dan beriman kepada Rasulullah SAW, sembahyang, zakat, puasa Ramadhan dan ibadat haji.

Hadis 30: Berkaitan larangan mengabaikan syariat Allah yang difardukan dan haram melanggar batasan.

Hadis 31: Pesanan Rasulullah kepada seorang sahabat agar mengamalkan sikap zuhud yang mengundang cinta Allah dan manusia kepada seseorang.

Hadis 32: Hadis ini menjelaskan suatu prinsip utama dalam kehidupan lslam, iaitu jangan mencari mudharat dan menyebabkan kemudharatan terhadap orang lain. la adalah suatu prinsip yang agung demi kesejahteraan umat manusia semuanya sama ada muslim atau bukan muslim.

Hadis 33: Hadis ini menerangkan sikap dan tabiat buruk kebanyakan manusia di mana mereka gemar mendakwa sesuatu yang bukan milik mereka. Sekiranya semua dakwaan mereka dituruti, nescaya akan kecohlah sistem kehidupan manusia. Secara tidak langsung ia membayangkan bahawa banyak persengketaan, pergaduhan malah pembunuhan dan peperangan yang berlaku di kalangan manusia membabitkan soal harta benda dan kekayaan.

Hadis 34: Rasulullah mengingatkan tentang kewajipan cegah kemungkaran melalui tiga tahap kekuatan iman: tangan (kuasa), lisan (teguran) dan hati (dianggap selemah-lemah iman).

Hadis 35: Hadis ini menganjurkan satu cara hidup bermasyarakat yang pasti membawa kepada keharmonian hidup, iaitu cara hidup yang mempamerkan keluhuran budi dan kemuliaan akhlak.

Hadis 36: Hadis ini menganjurkan sikap tolong menolong, bantu membantu dan saling memperkuat antara satu sama lain.

Hadis 37: Menjelaskan sesungguhnya Allah adalah Tuhan yang amat adil lagi amat pemurah. Dia membalas satu perbuatan baik dengan sepuluh kebajikan dan hanya membalas satu maksiat dengan satu dosa. Satu kebajikan yang terlintas di hati seseorang tanpa dilaksanakan, Allah tetap mengurniakannya satu pahala, sedangkan kalau seseorang berniat mahu melakukan maksiat, dia tidak akan diberi dosa sehingga dia benar-benar melaksanakan lintasan dan niat hatinya itu.

Hadis 38: Kemuliaan para wali Allah dan kelebihan mereka. Amalan yang paling disukai Allah ialah amalan fardhu yang Dia fardhukan ke atas hamba-hambaNya.

Hadis 39: Hadis ini menjelaskan betapa besar dan luasnya Rahmat dan belas kesian Allah SWT terhadap hambaNya. Dia hanya mempertanggungjawabkan mereka dosa yang dilakukan secara sedar, sengaja dan dengan kemahuan sendiri tanpa paksaan.

Hadis 40: Rasulullah menasihati umat Islam agar memanfaatkan peluang semasa hidup tanpa tabiat menangguh-nangguhkan amalan kebaikan.

Hadis 41: Hadis ini menerangkan salah satu daripada tuntutan lman, iaitu mestilah hawa nafsunya tunduk dan menurut ajaran yang dibawa oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Sekiranya dia mengutamakan hawa nafsunya daripada mengamalkan ajaran lslam, mencintai maksiat daripada amal kebajikan, maka lmannya tidak sempurna.

Hadis 42: Imam Nawawi mengakhiri susunan hadis dengan mengkhabarkan pintu keampunan Allah sangat luas, maka Dia pasti akan mengampunkannya. Hadis ini menjelaskan betapa besar dan luasnya Rahmat dan belas kesian Allah SWT yang tidak terbatas bagaikan lautan tidak berpantai. 

Kredit Sumber : astroawani
Kredit Sumber : eCentral

Pengalaman Guru Mengajar Pelajar-Pelajar Yang Berbeza IQ Dan Tuntutan Hidup Membuatkan Hati Sebak

13 Sept 2017


Saya seorang guru. 6 tahun pertama, saya ditempatkan di sekolah yg murid2nya terpilih. Murid yg belum pun saya sempat membuka mulut, telahpun mengangkat tangan sambil bertanya 'Teacher what are we going to learn today?' Murid yg sangat fokus dengan pelajaran. Kelas yang sangat senyap sehinggakan kita tertanya2 guru manakah yg bijak mengawal kelas? Tetapi bila dihampiri rupa2nya tiada guru di dalam kelas. Yang ada hanyalah murid2 yang tekun menyiapkan kerja rumah ataupun mengulangkaji. 6 tahun pertama tiada satu pun murid saya yang gagal. Keputusan SPM untuk matapelajaran saya sentiasa 100%. 

Tahun ke 7, saya berpindah negeri. Maka sekolah pun bertukar. Perkara pertama yang pengetua baru saya ucapkan sewaktu saya melapor diri ialah 'welcome to *****. Unlike your previous school we cannot choose our students. Here we accept the good, the bad and the ugly.' Dan di sini, saya mengajar murid yg berbeza aras kepandaian. Yang pandai tersangat pandai. Dan yang lemah tersangat lemah. Ujian Satu dan itulah pertama kali ada murid saya yang gagal. Dan saya message kawan saya memaklumkan ada murid saya yang gagal dan dia membalas 'welcome to the real world.' Saya akur bukan semua murid boleh cemerlang dalam akademik.  

Kini saya di sekolah yang ketiga. Sekolah Band 5. 17 tahun sebagai cikgu dan baru2 ini berlaku peristiwa yang betul2 memberikan pengajaran kepada saya. Di sekolah ini ramai murid yang bekerja. Kebanyakkan bukanlah murid yg susah cuma mereka bekerja untuk mencari duit tambahan untuk tujuan membeli handphone/ top up handphone/ membayar duit minyak motor dan bergaya.  

Dan saya selaku cikgu yang mengajar murid di kelas yang paling pandai dan juga kelas paling hujung haruslah mempunyai harapan agar semua murid saya lulus. Sebagai seorang manusia tipulah jika saya mengatakan saya tidak sakit hati setelah berulang kali mengajar murid masih tidak faham. Masih gagal. Seolah2 mereka tidak peduli dengan SPM. SAYA SAJA YANG BERIA-RIA. 

Namun setelah berkenalan dengan dua murid istimewa ini saya sedar dikala saya beria2 mahukan murid2 saya lulus matapelajaran saya, dikala saya tidak berpuas hati melihat mereka menghantar kertas kosong semasa peperiksaan, dikala saya merasakan mereka ini tidak peduli, MURID-MURID INI CUMA MAHU MENERUSKAN KELANGSUNGAN HIDUP SAHAJA. 

Murid pertama seorang murid perempuan yang saya ajar semasa tingkatan 4&5. Pada kebanyakkan masa dia akan tidur. Setiap kali ujian & peperiksaan hanya kertas kosong dengan nama yg tertulis sahaja yang dihantar. Suatu hari disebabkan terlalu geram saya bertanya 'you buat apa di rumah? asyik tidur saja? you masak kah? buat keje rumah kah? Dia tidak menjawab,sebaliknya rakannya yang menjawab 'ya la cikgu. Dia aaa balik rumah aaa SEMUAAA dia kena buat? Rupa2nya maknya telah lari meninggalkan dia bersama bapa semasa dia berumur 12 tahun. Dia tinggal dengan bapa dan atuk neneknya. Semua urusan kerja rumah dilakukan oleh dia. Selalu juga dia dimarahi. Jadi mulai hari itu saya faham.  

Sekolah ialah satu ESCAPISM buatnya. Berada di sekolah bermakna dia dapat berehat. Dapat lari buat seketika dari tugas2 yang memenatkan. Dia tidak pernah membawa duit belanja. Setiap hari dia berkongsi makanan kawan2nya. Ini dimaklumkan oleh kawan2 nya dan saya juga selalu perhatikan dia semasa rehat. Memang kawannya itu membawa bekal yg banyak. Adakah dia lulus matapelajaran saya sewaktu spm tahun lepas? YA dia lulus. Dari murid yang menghantar kertas kosong tanpa jawapan akhirnya dia dapat D. lulus bermakna ada cubaan menjawab semasa periksa. I know I'm in her good book because before SPM she came to me and ask for a hug. 'cikgu....minta peluk ar' 

Murid kedua ialah murid saya tahun ini. Murid Lelaki Tingkatan 5. Kelas paling hujung. Dia bekerja mengikut lori menghantar stok air botol ke kedai2 dan memasang khemah. Saya pun bertanya 'itu duit you buat apa? ( sambil di dalam otak saya telah pun membuat keputusan terlebih dahulu dengan menyangka duit gaji dihabiskan dengan sia2).  

Namun jangkaan saya meleset bila dimaklumkan duit diserahkan kepada nenek untuk menampung keperluan harian. Rupanya rumah mereka itu dihuni seramai 14 orang yang terdiri dari 4 generasi. (moyangnya baru saja meninggal minggu lepas. the mom was a teenage mom dan bapanya?) Pada hari dia bekerja dia akan balik selewat 2 pagi dan masih datang ke sekolah setiap hari sambil menahan mengantuknya. Adakalanya dia ke sekolah tidak membawa duit belanja maupun bekal. Pernah satu hari dia mengadu. 'beras suda abis. saya mau makan pun kena marah. kasi itu budak kicik2 makan dulu' 

Pada hari saya mengetahui kisahnya, saya menangis semahu2nya memikirkan betapa saya mementingkan diri sendiri. Saya sebagai seorang guru CUMA memikirkan murid ini sebagai seorang penyumbang statistik kegagalan matapelajaran saya. (Bahkan penyumbang statistik gagal peratus lulus sekolah) Murid yang saya tidak faham kenapa perlu hadir ke sekolah jika lemah dalam semua matapelajaran? 

It was so selfish of me to assume when i didnt even know about his life and what he has gone through. Saya sangat fokus tentang budak yang akan gagal matapelajaran saya tanpa memikirkan bahawa dia hanya cuba melalui hari-harinya dengan sebaik mungkin. Dia seorang ahli keluarga yg baik. Juga anak murid yang baik. Jadi kenapa lah saya tidak fokus kepada kelebihannya ini? Jadi saya memberitahunya 'cikgu tak taula apa nak ajar kamu supaya kamu lulus SPM. jadi cikgu akan ajar kamu benda2 asas supaya boleh bantu kamu dalam hidup nanti.  

Setiap kali saya masuk ke kelas2 yang lemah inilah perkara yang saya selalu sebutkan. 


'Cikgu faham bukan semua orang boleh cemerlang dalam akademik. Tapi kita kena ingat Tuhan itu adil. Kalau kamu baik, dengar cakap ibu bapa, senangkan hati cikgu2 kami semua akan doakan yang baik2 untuk kamu. Kamu mungkin tidak pandai belajar tapi nanti mungkin kamu dapat pasangan yang baik, anak2 yang baik, bos yang baik, semua yang baik2 lah. 

JADI CIKGU2 YANG SUSAH HATI JIKA MERASAKAN KITA SAHAJA YANG BERIA-RIA, SEMASA PEPERIKSAAN, KETAHUILAH DI SAAT KITA MERASAKAN LULUS PEPERIKSAAN DAN MENDAPATKAN KEPUTUSAN TERBAIK ITU ADALAH SEGALA-GALANYA, ADA DI ANTARA ANAK MURID KITA SEDANG BERGELUT UNTUK MENERUSKAN KELANGSUNGAN HIDUP. DAN LULUS PEPERIKSAAN DAN MENDAPATKAN KEPUTUSAN TERBAIK DALAM PEPERIKSAAN BUKANLAH SEGALA2NYA BAGI MEREKA INI KERANA ADA PERKARA LEBIH PENTING UNTUK DIUTAMAKAN. 

DOAKAN ANAK MURID KITA BERJAYA DENGAN CARA MASING2. 

pstttt:- Murid yg kedua telah pun diberikan bantuan setelah dimaklumkan. Pengalaman saya dengan mereka ini, jika murid itu betul2 susah seboleh2nya mereka tidak mahu berkongsi masalah mereka. Mungkin malu. Ataupun demi menjaga air muka. Dua orang murid ini jika diberikan duit belanja ataupun makanan mereka mmg akan menolak. Setelah dipujuk berkali2 barulah mereka setuju terima.




Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.