SLIDER

poligami
Showing posts with label poligami. Show all posts

Kesan Poligami Terhadap Anak-Anak: Antara Kebaikan dan Keburukan

2 Aug 2025



Poligami, satu amalan yang dibenarkan dalam Islam, sering menjadi perbincangan hangat dalam masyarakat. Fokus sering diletakkan pada hubungan antara suami dan isteri-isteri, namun satu aspek penting yang kadangkala terlepas pandang ialah kesan poligami terhadap anak-anak.

Bagaimana perasaan anak apabila ayah mereka berpoligami? Adakah mereka terkesan secara emosi, sosial dan psikologi? Atau mungkinkah ada nilai-nilai positif yang mereka pelajari daripada pengalaman ini?





APA ITU POLIGAMI

Poligami ialah perkahwinan seorang lelaki dengan lebih daripada satu isteri dalam masa yang sama. Dalam Islam, ia dibenarkan dengan syarat lelaki tersebut mampu berlaku adil dari segi nafkah, masa, dan kasih sayang. Namun, keadilan yang dituntut bukan sahaja kepada isteri-isteri, tetapi juga kepada anak-anak yang lahir daripada perkahwinan tersebut.



KEBAIKAN POLIGAMI KEPADA ANAK-ANAK (JIKA DIURUS DENGAN BAIK)

Walaupun sering dikaitkan dengan kesan negatif, poligami juga berpotensi membawa manfaat tertentu kepada anak-anak, terutamanya jika ia dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan hikmah.

1. 🌱 Peluang Membesar Dalam Keluarga Besar

Anak-anak yang membesar dalam keluarga poligami berpeluang mengenali lebih ramai adik-beradik dan saudara tiri. Ini boleh memperkukuh kemahiran sosial, rasa kebersamaan, dan nilai kekeluargaan.

2. 🧠 Belajar Toleransi dan Empati

Melalui interaksi harian dalam keluarga besar, anak-anak berpeluang belajar toleransi, perkongsian, dan empati sejak kecil – nilai yang penting untuk hidup bermasyarakat.

3. 👨‍👩‍👧‍👦 Membentuk Jiwa Yang Matang

Cabaran yang wujud dalam keluarga poligami, jika ditangani dengan bimbingan yang betul, boleh menjadikan anak lebih matang, memahami realiti kehidupan, dan kuat dari segi emosi.

4. 📚 Peluang Pendidikan Luas

Dalam sesetengah kes, seorang ayah yang berpoligami mungkin mempunyai kemampuan ekonomi yang baik dan mampu menyediakan peluang pendidikan atau sumber sokongan tambahan untuk anak-anak daripada semua keluarga.



KEBURUKAN POLIGAMI KEPADA ANAK-ANAK (JIKA TIDAK DIURUS DENGAN BAIK)

Namun, dalam realiti masyarakat hari ini, keburukan poligami terhadap anak-anak lebih ketara, khususnya apabila berlaku pengabaian tanggungjawab dan ketidakadilan.

1. 💔 Rasa Terabai dan Kurang Kasih Sayang

Anak-anak mungkin merasa bahawa mereka dilayan tidak sama rata, terutama jika ayah lebih kerap berada di rumah isteri yang lain. Ini boleh menimbulkan rasa sedih, cemburu, dan tercabar dari sudut emosi.

2. ⚠️ Konflik Sesama Adik-Beradik Tiri

Jika tiada usaha membina hubungan yang sihat antara keluarga tiri, anak-anak boleh bermusuhan atau bersaing antara satu sama lain. Ini mewujudkan suasana yang tidak harmoni dalam keluarga.

3. 😔 Masalah Psikologi dan Keyakinan Diri

Anak-anak yang membesar dalam suasana tidak stabil mungkin mengalami:

  • Tekanan emosi

  • Kemurungan ringan atau berat

  • Kurang keyakinan diri

  • Masalah tingkah laku di sekolah atau masyarakat

4. ❓ Kekeliruan Identiti dan Nilai

Apabila anak melihat konflik antara ayah dan ibu-ibu, mereka mungkin mengalami kekeliruan tentang peranan keluarga, menyoal keadilan ayah, dan menyimpan perasaan negatif terhadap perkahwinan atau lelaki secara umum.

5. 🧍‍♀️ Ibu yang Tertekan, Anak yang Menderita

Dalam banyak kes, anak-anak menyerap emosi dan tekanan ibu mereka. Jika si ibu sering bersedih atau bercakap negatif tentang ayah atau madu, anak-anak akan mudah terpengaruh secara emosi dan pemikiran.



PERANAN AYAH DAN IBU DALAM MENGURANGKAN KESAN NEGATIF

Bagi ayah yang memilih untuk berpoligami, tanggungjawab bukan sekadar berlaku adil terhadap isteri-isteri, tetapi juga:

  • Memberi masa dan perhatian yang seimbang kepada semua anak

  • Menjadi pendengar dan pendidik emosi kepada anak-anak

  • Menjaga kestabilan hubungan antara anak-anak dan ibu mereka

  • Tidak menunjukkan pilih kasih secara terbuka

Bagi ibu pula, walaupun berada dalam tekanan emosi, penting untuk:

  • Tidak memindahkan rasa kecewa kepada anak

  • Membina hubungan harmoni dengan isteri lain demi kesejahteraan anak

  • Fokus pada didikan dan pembangunan anak-anak, bukan konflik



TIPS PRAKTIKAL UNTUK IBU BAPA DALAM KELUARGA POLIGAMI

Komunikasi




Ajak anak berbual tentang perasaan mereka. Dengarkan tanpa menghakimi.
Masa BerkualitiWujudkan masa eksklusif antara ayah dan anak-anak tanpa gangguan.
Pendidikan EmosiAjar anak cara mengurus emosi seperti marah, cemburu, atau kecewa.
Hubungan Antara Ibu Tiri dan AnakGalakkan hubungan hormat dan terbuka – bukan bermusuh.
Sokongan KaunselingPertimbangkan kaunseling keluarga jika ada tekanan berpanjangan.



MEMBINA KELUARGA POLIGAMI YANG SIHAT ADALAH TIDAK MUSTAHIL

Poligami itu sendiri bukanlah punca utama kepada masalah dalam keluarga. Yang lebih penting ialah bagaimana ia diurus. Jika ibu bapa bertindak dengan hikmah, adil, sabar dan berprinsip, anak-anak masih boleh membesar dalam suasana yang positif dan penuh kasih sayang.

Namun, jika poligami disertai dengan pengabaian, kezaliman emosi, dan konflik berpanjangan, maka bukan sahaja rumah tangga akan rosak, tetapi anak-anak turut menjadi mangsa jangka panjang.

Poligami adalah satu amanah besar. Ia bukan hanya soal hak lelaki, tetapi soal masa depan generasi yang dibesarkan dalam perkahwinan tersebut.

Silap Saya Kerana Berkahwin Dengan Suami Sahabat Baik Tetapi Tak Mampu Saya Untuk Menolak Suratan Takdir?

20 May 2025




Kisah sedih seorang wanita yang telah mengahwini suami kawan baiknya sendiri tanpa pengetahuan rakannya itu sehinggalah perkahwinan itu terbongkar yang akhirnya mengakibatkan perkahwinannya di ambang kehancuran.

Wanita ini terus jadi bingung kenapa dia diperlakukan sedemikian kerana dibuang tanpa belas kasihan oleh suaminya setelah isteri pertama mendapat tahu akan perkahwinan mereka. Adakah kerana hasutan dari madunya iaitu isteri pertama yang menyebabkan suaminya itu berubah dan tidak lagi menyayanginya.

Apakah yang harus dilakukan oleh wanita ini setelah berhadapan dengan masalah ini?

Saya sedang berduka lara angkara sikap madu saya yang enggan membenarkan suami saya pulang ke rumah saya. Saya tahu silap saya mengahwini suami kawan baik saya sendri tetapi siapa saya untuk menolak takdir?


Saya seorang janda yang mempunyai tiga anak sebelum berkahwin dengan suami sekarang. Suami saya sekarang merupakan suami kawan baik saya. Sebelum ini saya selalu datang ke rumah dia dan banyak mengadu tentang masalah saya kepada dia. Sehinggalah pada suatu hari suami dia menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) kepada saya untuk berborak.

Dari SMS kami menjadi semakin rapat dan kami selalu berjumpa. Saya sudah cuba untuk melawan tapi nak buat macamana memang jodoh kami sangat kuat. Kami akhirnya mengambil keputusan untuk berkahwin di sempadan.

Kami mengambil keputusan berkahwin di sempadan untuk mengelakkan diketahui kawan saya tersebut. Selepas perkahwinan kami, si isteri iaitu kawan baik saya dapat tahu. Dia mengamuk macam orang gila.

Dia memaksa suami saya ceraikan dia. Suami saya tidak sanggup untuk menceraikn dia kerana anak-anak.

Hari berganti hari, dia tetap benci kepada saya sehinggakan tidak membenarkan si suami datang menjenguk saya. Yang amat menyedihkan saya, si suami pun tidak lagi berani untuk datang berjumpa saya, malahan call pun tidak diangkat.

Saya naik angin lalu datang bersemuka dengan madu saya yang juga bekas kawan baik saya. Saya dihina, dicerca macam-macam lagi.

Si suami tidak mempertahankn saya sebaliknya memberi kata dua untuk melepaskan saya. Hati siapa tidak hancur. Saya sedih sangat kerana segala pengorbanan saya dengan meninggalkan anak-anak ketika mengikut dia langsung tidak dihargai. Saya dibuang umpama kain buruk. Tolonglah jangan cerca saya. Berikanlah kata-kata semangat kepada saya
 

3 Perkara Sebenar Tentang Perampas Suami Orang Setiap Isteri WAJIB Tahu!

11 Jul 2024



Untuk memahami tentang kes suami curang dalam perkahwinan, para isteri atau wanita harus tahu 3 perkara tentang perampas suami orang ini.

Curang dalam perkahwinan bukan benda yang patut kita anggap “normal”. Ketidaksetiaan suami menyebabkan hati isteri terluka dan anak-anak sendiri menjadi korban. Kalau curang punca penceraian, kita selalu menyalahkan perampas suami orang.

Ini kerana isteri rasa telah dikhianati. Tapi, untuk benar-benar move on dengan kisah duka itu, para wanita yang kuat sebenarnya harus belajar untuk memaafkan. 

Memaafkan bukan bermaksud melupakan peristiwa hitam tersebut, tapi memaafkan mampu mengurangkan beban dalam hati anda. Memaafkan juga bukan boleh dibuat dalam sekelip mata.

Kita memerlukan waktu untuk benar-benar memaafkan suami yang curang dan perampas suami orang.

Untuk memaafkan perampas suami orang atau perosak rumah tangga, anda kena tahu 3 fakta penting yang kami ulas di bawah ini.

3 fakta tentang perampas suami orang yang wanita harus tahu

Untuk menyembuhkan diri dari pengalaman dikhianati, seperti kes suami curang, anda perlu benar-benar membuka diri untuk lebih memahami “musuh” iaitu perampas suami orang.

Dari situ, anda akan mampu memaafkan mereka dan meneruskan kehidupan anda. Memaafkan perampas suami orang bukan bererti anda “membenarkan” perbuatan curang itu berlaku.

Namun, memaafkan mampu mengurangi beban terkhianati yang anda tanggung selama ini. Jadi, ini antara 3 benda yang harus tahu.

1. Perampas suami orang juga mungkin rasa bersalah

Satu perkara penting yang harus diketahui tentang peruntuh rumah tangga orang ini adalah mereka juga mungkin rasa bersalah kerana merosakkan rumah tangga orang lain.

Bahkan, mereka juga mungkin kecewa dan mengalami kemurungan. Lebih-lebih kalau dia tidak tahu sebelum ini yang lelaki itu suami orang!

Kalau mereka tahu, rasa bersalah akan menghantui perasaan mereka sepanjang “berkasih” dengan suami orang tersebut.

Perampas suami orang juga akan menyalahkan diri mereka kerana memusnahkan perkahwinan orang lain. 

Tapi ada juga wanita yang tidak rasa bersalah langsung! Namun sebenarnya, walau sekejam manapun seorang wanita itu, mereka juga pasti ada sekelumit perasaan.

Mungkin dia takkan meminta maaf, tapi rasa bersalah yang dia rasa akan mengheretnya sampai bila-bila. Dia takkan pernah hidup tenang.

2. Perampas suami orang juga rasa tak terdaya kerana jatuh cinta dengan laki orang!

Perosak rumah tangga ini biasanya terlalu asyik dan “jatuh” dalam bercinta. Sebab itu, mereka akan cuba menghalalkan cara mereka bercinta, walaupun mereka tengah berkasih dengan suami orang.

Mereka percaya yang mereka tidak boleh meninggalkan lelaki itu, walaupun jika dia sudah beristeri. Mereka akan fokus pada keinginan dan keperluan mereka sendiri.

Mereka tidak fikir yang perbuatan mereka akan menyakitkan hati orang lain. 

Dan para isteri yang dicurangi suami harus pegang benda ini: curang dalam perkahwinan bukanlah salah anda. Ia salah suami dan perosak rumah tangga yang telah melanggar kesucian perkahwinan.

3. Perampas suami orang percaya hubungannya ada harapan

Setiap kali kes curang berlaku, pasti kita selalu menyalahkan perampas suami orang atau individu ke-3 ini, kan? 

Tapi sebenarnya, bukankah salah ini juga terletak pada si suami? Mereka yang bertindak untuk curang walaupun sudah ada isteri!

Suami yang curang telah menaburkan pelbagai janji palsu pada wanita yang menjadi kekasih gelapnya. Dia mungkin sudah berjanji untuk menceraikan si isteri!

Kes curang dalam perkahwinan memang menyakitkan dan susah untuk dimaafi. Tapi, tidak semua wanita “sengaja” untuk menjadi perampas suami orang. 

Untuk mendapatkan kembali keyakinan anda selepas dicurangi, anda kena meneruskan hidup dengan lebih baik. Lepaskan segala beban yang anda simpan dalam hati.


Kredit : theasianparentMalaysia   ,  theasianparentIndonesia


Derita Ibu Dan Anak Apabila Ayah Kahwin Empat !!

29 Apr 2024


“Bukan niat untuk memburuk-burukkan ayah kandung tetapi saya mahu masyarakat juga tahu bagaimana penderitaan yang ditanggung anak-anak yang menjadi mangsa tidak bertanggungjawab lelaki bernama ayah.

“Walaupun saya belum mendirikan rumahtangga, namun perasaan sedih dan simpati terhadap apa yang berlaku kepada ibu memberi satu kesan yang mendalam kepada saya.

“Saya selalu menangis apabila membaca kisah yang berkaitan pengorbanan isteri dan ibu kerana ia sama dengan apa yang dilalui ibu saya. Hati mana yang tidak tersiksa apabila pengorbanan selama bergelar isteri musnah dalam sekelip mata bak kata pepatah, `kerana hujan sehari, hilang kemarau setahun.

“Saya tidak minta simpati tetapi mahu berkongsi masalah ini dengan orang lain untuk dijadikan iktibar dan pedoman. Saya yakin cara ini akan menjadikan saya lebih tenang dan tabah menghadapi hari depan.

“Saya merupakan seorang anak kepada seorang ibu yang selalu ditinggalkan suami. Diringkaskan cerita, ayah saya berkahwin lebih dari satu, lebih suka saya katakan bahawa ayah saya berkahwin empat.

“Ibu saya adalah isteri yang paling tua, namun tidak sekali pun saya melihat ibu bertindak menghalang ayah berkahwin lagi.

“Dari kecil kami adik beradik tidak dibesarkan dari pandangan seorang ayah. Kami hidup sendiri bersama ibu. Ayah ada atau tidak bukan masalah besar pada kami. Malah sehinggakan apabila ayah berada di rumah lebih dari sehari, kami akan merasa tidak selesa, serba salah dan rimas.

“Rutin hidup ayah juga kami tidak pernah ambil tahu. Kami hanya berjumpa ayah tiga bulan sekali, itu pun jika dia balik. Hari-hari lain dia menghabiskan masa di rumah isteri-isteri mudanya yang mana kami juga tidak pernah mahu ambil tahu.

“Ibu sudah lali dengan perangai ayah. Seperti kami, ibu juga malas hendak ambil tahu apa yang dibuat oleh ayah, sakit pening, makan minumnya termasuk di mana dia berada. Yang ibu pentingkan bekerja mencari duit untuk membesar dan memberi pendidikan kepada kami anak-anaknya.

“Ibu berkorban hati, perasaan, masa dan kudrat untuk menjadikan kami anak-anaknya `manusia’ kerana dia tidak punya sesiapa di dunia ini melainkan kami.

“Sebagai anak yang paling hampir dengannya, saya tahu hati dan perasaan ibu. Sekiranya ayah saya balik ataupun tidak, kami tidak ambil pusing. Kata ibu lagi, dia tidak mahu kesenangan dunia semata-mata, tetapi mahu kesenangan di akhirat juga. Biarlah ayah dengan dunianya, jika itu yang dia pilih.

“Sebagai anak, saya, abang dan adik-adik kecewa dengan sikap ayah dan sedih dengan nasib ibu, tapi kami tidak boleh berbuat apa-apa. Saya hanya mampu berdoa agar ibu sentiasa tabah dan sihat serta bahagia dalam kehidupannya di dunia dan akhirat. Yang penting kami anak-anak sentiasa ada di sisinya sepanjang masa.

“Kepada abang dan adik-adik, saya katakan kita kena terima semua ujian Tuhan ini dengan tabah dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Yang penting dengan cara kita.

“Telah hampir 28 tahun ibu berkahwin dengan ayah. Namun saya tidak pernah nampak ayah berubah walaupun usianya telah menjangkau 60 tahun. Hanya Allah sahaja yang tahu apa perasaan saya. Juga perasaan dan derita yang ditanggung oleh ibu sepanjang tempoh itu.

“Pun begitu saya bangga mempunyai seorang ibu yang tabah, cekal dan punya rasa kasih sayang yang cukup tinggi terhadap anak-anaknya. Apa yang ingin saya katakan kepada ibu, terima kasih atas segala-galanya.

“Derita ibu, derita kami juga! Bahagia ibu, bahagialah kami! Semoga kebahagiaan yang tidak seberapa ini kekal menjadi milik kita bersama,tambah Lina menutup cerita dengan suara tersekat-sekat.

Jauh di hujung talian saya mendengar esakan Lina yang semakin meninggi. Sebelum kami terputus terus, saya sempat tinggalkan pesan, jaga ibu, jaga diri dan kuatkan kasih sayang antara adik beradik. Insya-Allah Tuhan akan melindungi anda semua sehingga ke penghujung nyawa.

Selepas berkata-kata, saya termenung panjang sebelum meletak gagang di tempatnya. Sayu, hiba dan sebak menerpa dengan tiba-tiba.

Di mata saya terbayang macam-macam perkara yang menyayat hati antaranya kisah sedih yang menimpa isteri dan anak-anak yang ditinggalkan lelaki yang hanya tahu memuaskan nafsu tetapi kemudian membiarkan zuriat terkapai-kapai mencari kehidupan sendiri.

Kepada semua kaum Adam terutama yang telah menambah `cawangan,’ fikir-fikirkanlah.., berlaku adil terhadap semua perkara apabila mengambil keputusan untuk berpoligami. Tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak hendaklah diutamakan. Ingatlah, di dunia anda mungkin selamat tetapi di akhirat ada mahkamah agung yang menanti.

Apa pun saya bangga dan kagum dengan kecekalan hati Lina mengatasi masalah keluarganya. Pada saya, Lina anak yang baik dan bertanggungjawab. Semoga baktinya kepada ibunya akan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t

Kepada para remaja sekelian contohilah sikap murni Lina. Jadilah anak solehah untuk terus menikmati kebahagiaan. Ingat dan insaflah bahawa, syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

Mengundur diri, salam kasih dan pesanan telus saya buat Lina dan ibunya, juga pembaca budiman. Jangan biar kesedihan menguasai diri. Keluarlah daripada kesedihan untuk bergembira dan menghargai hidup yang dipinjamkan oleh Allah Taala ini.

Menutup kata, jadilah seperti kupu-kupu, terbang bebas ke mana sahaja. Ringan perawakan, indah dipandang, terbang dari satu bunga ke satu bunga, dari satu tangkai ke satu tangkai, dari satu taman ke satu taman. Dalam kepayahan ada madu yang disentuh. Begitu juga manusia! Di sebalik sengsara masih ada bahagia - realitinya bukan hidup namanya jika tidak ada bahagia dan derita.

Hatiku Hancur Memikirkan Antara Isteri Dan Kekasih

24 Apr 2022

 




``BAGAIMANA agaknya saya hendak memulakan kisah hidup saya ini kerana saya bukanlah seorang penulis mahupun pengarang. Lebih-lebih lagi insan seperti saya ini yang bernama lelaki kebiasaannya kita sering membaca kisah penderitaan seorang perempuan atau wanita. Namun kisah saya ini agak lain daripada yang lain kerana saya seorang lelaki yang membuat hal dan menyebabkan derita seorang isteri.'' Demikian cerita Amran dalam e-mel yang dihantar kepada penulis.

``Walaupun saya lelaki, tetapi Di Celah-Celah Kehidupan (DCCK) ini merupakan antara tatapan kegemaran saya setiap pagi Ahad. Dari situ saya dapat banyak pengalaman dan tidak kurang juga terkejut dengan apa yang berlaku dalam masyarakat kita di Malaysia ini. Dan saya kadang-kadang mentertawakan kisah-kisah dalam ruangan ini kerana rasa-rasanya tidak terfikir kejadian yang diceritakan itu akan berlaku dalam masyarakat kita, malangnya kini ia terjadi jua dalam hidup saya. Tidak saya sangka.

``Seperkara lagi saya tak cerewet fasal makan, saya telan apa saja yang Julia masak. Dan saya tak pernah meminta dia masak makanan kegemaran saya, sebab saya kesiankan dia yang terpaksa bekerja dan memasak bila balik rumah. Kerana tak cerewet inilah juga saya jadi kesayangan ibu mentua saya. Dia suka saya tak memilih makanan, apa dia masak semua saya kata sedap. Sebab memang sedap pun.
``Keluarga saya pun menerima Julia dengan tangan terbuka dan tiada masalah dan Julia juga pandai menjaga hati ibu saya hinggakan ibu saya sanggup tinggal bersama kami untuk menjaga anak kami semasa kami bekerja. Begitu baik Julia kepada ibu saya.

``Malangnya dalam pada bahagia itu ribut tetap datang menguji cinta kami. Segala-galanya bermula dua tahun lepas apabila saya menyambung pelajaran di sebuah IPTA di utara tanah air. Pada awalnya kami sama-sama menerima tawaran melanjutkan pelajaran, namun demi anak, Julia sanggup berkorban menolak tawaran tersebut. Sebaliknya dia menggalakkan saya supaya belajar demi masa depan keluarga kami juga. Dan katanya, kalau ada kelapangan dia akan menyambung belajar secara luar kampus pada hujung minggu tanpa meninggalkan kerja dan anak.

``Katanya, kalau kami sama-sama belajar tentu menyulitkan hidup kami kerana ekonomi kami akan goyang. Semasa belajar Julia berkorban wang ringgit, tenaga dan masa serta menjaga anak-anak sendirian, saya cuma pulang hujung minggu atau dua minggu sekali.
``Kerana jarak perjalanan yang jauh Julia sanggup membelikan saya sebuah kereta untuk memudahkan saya belajar. Segala-galanya berjalan lancar walaupun Julia sering disogokkan dengan cerita-cerita kurang baik bila suami melanjutkan pelajaran oleh teman-teman pejabatnya. Namun saya juga meyakinkan Julia selama berada di IPTA tidak pernah pun saya lihat anak-anak dara terhegeh-hegehkan saya, senyum pada saya pun tak pernah. Sebab mereka tahu saya dah kahwin dan waktu itu dah ada dua orang anak.
``Entah macam mana dalam diam-diam saya tertarik dengan seorang pelajar perempuan, dia cantik, menarik, pandai bergaya, Norlie namanya, dia menjadi rebutan ramai lelaki, bukan sahaja di kalangan pelajar malah pensyarah dan businessman pun tertarik padanya. Tapi tak seorang pun yang dilayannya. Mungkin dia sedar dia memiliki semuanya maka dia tak perlu lelaki lain. Lebih menarik lagi masih belajar dia pakai kereta mewah.

``Satu hari Norlie menegur saya katanya, berapa orang anak saya, dalam tergamam saya terus kata, dua orang. Dari jelingan matanya saya tahu dia sukakan saya bukan pelajar bujang yang tergila-gilakannya. Sejak itu kami sering berada dalam satu kelas yang sama. Dan saya boleh tahu tudungnya jenis apa, warna apa, begitu juga pakaian, kasut dan pen yang digunakannya. Bila saya tanya, mengapa tak pakai tudung yang dipakainya seminggu lalu, dia terkejut, kerana saya tahu semuanya.

``Persahabatan kami menjadi lebih erat. Dan boleh dikatakan kami sering juga keluar makan bersama. Walaupun baru berkawan rapat, tetapi saya rasa macam kami sudah lama kenal. Dalam pertemuan itulah baru terbongkar cerita bahawa Norlie sebenarnya ibu tunggal beranak satu, anaknya dah berusia empat tahun dan perkahwinannya tidak dapat bertahan lama. Dia bercerai apabila anaknya berusia setahun. Sebab itu dia melanjutkan pelajarannya ke universiti.
``Katanya, penceraiannya kerana campur tangan ibu mentuanya kerana itu hingga kini dia masih berbaik dengan bekas suaminya. Dan masing-masing tak kahwin walaupun sudah tiga tahun berlalu. Mendengarkan kisahnya saya bersedia menjadi orang tengah untuk menjodohkan mereka kembali. Tapi yang saya hairan bentuk badannya tak menunjukkan dia pernah kahwin, malah nampak muda daripada usianya. 
``Sejak berbaik saya sering keluar makan malam dengannya, dan setiap hujung minggu saya akan pulang menemui isteri dan anak saya, semakin saya rapat dengan Norlie semakin kerap saya pulang ke rumah. Entah kenapa.
``Tetapi semakin kerap saya balik, semakin rasa bersalah dan berdosa saya kepada Julia semakin menjadi-jadi. Saya sentiasa mengharapkan hubungan kami tidak serius sebab saya rasa berdosa dengan pengorbanan yang dicurahkan oleh Julia kepada saya selama ini. Semakin saya rasa terlalu sayang kepada Julia, perasaan kasih saya terhadap Norlie juga menjadi-jadi hebatnya.

``Bila saya ceritakan kepada Norlie saya jadi lebih terkejut bila dia beritahu dia sanggup menjadi isteri kedua saya. Dan sudah pastilah saya tidak akan melepaskan peluang itu, saya takkan turn-back dan dia pun begitu juga sanggup menghadapi apa juga halangan bersama. Dan saya percaya lelaki lain di tempat saya pun akan buat perkara yang sama.
``Selepas enam bulan bercinta, rahsia saya terbongkar. Julia dapat kesan hubungan kami, maka berlakulah perang besar antara kami. Tapi Norlie semakin tegas sanggup bermadu. Dan dia tak salahkan Julia, sudah tentulah Julia akan pertahankan haknya. Kedua-dua belah keluarga kami tidak berani campur kerana mereka terkejut dengan apa yang berlaku. Mereka tak sangka saya sanggup musnahkan rumah tangga sendiri.

``Dalam pada itu setiap kali saya balik ke rumah, saya nampak wajah Julia menghadapi penderitaan yang amat teruk, dia kecewa kerana kesetiaan, cinta, kasih sayang dan pengorbanannya selama ini telah saya khianati. Pernah berhari-hari dia tak makan. Setelah puas menangis dan hampir seminggu lebih tidak menjamah nasi, dia mula agak normal kembali biarpun hati telah punah-ranah.

``Julia merayu saya agar memikirkan rumah tangga dan anak-anak kami. Dan dia juga merayu supaya saya fikirkan niat saya nak berpoligami kerana dia tak sanggup, sebaliknya dia sanggup bersendirian dengan anak-anak daripada berpoligami.

``Dalam pada itu tanpa diketahui Julia telah menghubungi Norlie dan berbincang, dia merayu Norlie supaya lupakan saya. Norlie menjawab dia akan fikirkan. Tetapi bila sampai di kampus tentu anda boleh fikirkan apa yang kami lakukan.
``Julia percaya dengan janji Norlie tetapi cinta antara kami begitu kuat dan kami tidak boleh melupakannya terus. Julia kecewa dan sentiasa mencari salahnya, saya katakan bahawa dia tak bersalah, yang salah adalah saya sebab telah berlaku curang.

``Masalah bertambah parah apabila Norlie pula membuat keputusan tidak mahu berkongsi dan sanggup terima saya dan anak-anak jika saya bercerai dengan Julia. Bertambah gelap fikiran saya memikirkannya tetapi saya sudah menjangkakan ia akan berlaku. Dalam pada itu keluarga Norlie menasihatkan saya berundur, kerana saya tidak ada masalah dengan Julia. Keluarganya boleh terima anaknya bermadu sekiranya saya benar ada masalah dengan isteri saya dan tidak mempunyai anak.

``Sebelum cuti semester baru-baru ini, Norlie sekali lagi memberi kata dua kepada saya bahawa dia bersedia berkahwin dengan saya tapi bukan bermadu. Saya betul-betul tertekan. Di rumah Julia sudah mula dapat menerima saya kerana tidak menampakkan ikatan saya dengan Norlie. Hasilnya rumah tangga kami kembali bersinar lebih-lebih lagi menjelang Adilfitri lalu, mana ada insan yang ingin menderita di Aidilfitri. Tapi sebenarnya hati saya amat menderita kasihkan isteri tapi hati terpaut pada yang satu lagi.

``Tambah menyakitkan hati selepas memberi kata dua, Norlie terus tidak dapat dihubungi mungkin dia menukar nombor telefonnya. Mungkin juga dia telah dibrainwash oleh keluarganya untuk melupakan saya. Entahlah! Kalau betul Norlie mengikut kata keluarganya dia boleh berterus terang, saya boleh lupakan dia walaupun hati ini terseksa. Dia tahu saya sengsara tanpa dia.

``Kesimpulannya, biar apa pun yang akan berlaku, pasti ada tiga hati yang kecewa. Norlie, Julia dan saya. Hati Julia lebih hancur kerana saya mengkhianatinya, tak tahulah bila akan terubat mungkin sampai mati dan yang pasti hati saya sendiri juga hancur kerana tidak dapat memiliki Norlie kerana saya tidak sanggup berpisah dengan Julia. Pada saya semua ini akan selesai sekiranya saya berpoligami tetapi hanya hati saya saja yang terubat dan tidak mungkin pada hati Julia dan hati Norlie dan saya juga percaya perkara itu tidak akan terjadi biarpun saya amat mendambakannya. 

``Kesudahannya saya juga akan kecewa selama-lamanya kerana saya amat menyintai Norlie dan tetap menyintai isteri saya. Dan saya akan mati terkilan tidak dapat memiliki kedua-duanya. Namun terpulanglah kepada pembaca untuk menilainya dan bagi saya cinta itu terlalu agung. Tak bolehkah saya menyintai dua orang wanita pada waktu yang sama? ``Saya tidak boleh menipu diri saya. Apakah saya ini tamak? Adakah cinta yang suci itu tidak boleh bersatu? Saya pun tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini terhadap rumah tangga dan hubungan cinta saya. Mungkin ada jalan penyelesaiannya yang terbaik daripada anda semua untuk membantu saya. 

``Tapi yang jelas saya sayang dan amat kasihkan kedua-dua wanita ini. Saya akan menderita jika hanya dapat hidup dengan salah seorang daripada mereka saja.'' Demikian cerita Amran tentang cinta tiga segi yang dilaluinya.

Sebenarnya inilah yang sering dilalui oleh suami yang ingin bercinta lagi. Bukan Amran seorang saja. Namun Amran harus ingat dalam hidup ini kita tidak boleh dapat semua yang kita cita-citakan kalau target 10 dapat lima pun dah cukup baik. Dan dalam kes anda kalau dah merosakkan dua hati, anda terpaksalah membuat pilihan dengan lebih bijak. Namun pembaca mungkin ada pandangan lain. - Maimunah.

Kredit : Utusan Malaysia


Suami Tikus. Jadi Isteri Kedua, Bukan Semuanya Indah

16 Mar 2022


Apabila pembaca membaca kisah saya ini, mungkin anda bukan setakat geram, tetapi benci dan marah. Saya pasti dicap perampas, kerana saya kahwin suami orang. Itulah kebencian terbesar kaum wanita bila dapat tahu ada wanita sanggup bermadu. Namun anda mesti ingat kadak dan kadar Allah.’’ Itu cerita Nurhazura Hasni dalam emelnya. “Seperti gadis-gadis lain, saya tak pernah terfikir kahwin suami orang. Saya juga ada perasaan tidak mahu berkongsi kasih. Tetapi, saya bukanlah penentu hidup ini, segala-galanya urusan Allah. Dan sebagai manusia kita hendaklah redha dengan ketentuan Allah. 

“Saya bawakan kisah hidup saya ini supaya anda berfikir bahawa bukan isteri pertama sahaja terseksa jika dimadukan. Lebih menderita isteri kedua. Sudahlah kami dicaci dan dibenci, lebih menderita suami tidak pernah ambil peduli kehidupan kami, sebaliknya, kami dianggap sebagai `penumpang’, dipaksa tanggung diri sendiri selain menyara anak-anak yang saya lahirkan. Kerana ramai suami takutkan isteri pertama. “Tidak saya nafikan ada isteri kedua berlagak macam queen dan si suami takut macam tikus dan melupakan isteri pertama dan anak-anaknya. Dalam kes ini tentu pembaca boleh bandingankan, apakah salah isteri pertama atau isteri kedua jika hidup mereka terpinggir dan terseksa. Di mana peranan suami? 

Adakah dia adil? Jika tidak adil layakkah suami berpoligami? Jadi jangan salahkan isteri kedua jika kami kahwin suami orang! “Semasa menuntut dulu memang saya ada ramai kawan. Tetapi tidak ada satu pun yang istimewa. Sebab pertama ramai jejaka ketika menuntut sudah `dipancing’. Ataupun dia keluarga carikan jodoh mereka. Jadi habis belajar saya terkapaikapai tanpa teman istimewa.

“Apabila masuk alam pekerjaan, keliling saya semuanya sudah berkeluarga. Kalaupun ada seorang berdua belum berkahwin mereka sudah bertunang ataupun ada yang secara terang-terang tergolong kepada kumpulan sukakan kaum sejenis. “Balik rumah, emak bising suruh cepat kahwin, apa emak fikir suami boleh pilih dalam `rumah kaca’ atau macam pilih ikan di pasar? Akhirnya kerana sibuk bekerja saya terlupa buat sementara bab cari jodoh. Tambahan pulak di pejabat terdapat beberapa orang gadis senior yang belum kahwin, Mereka releks! Tak sibuk cari jodoh. Sebaliknya bahagia tanpa suami

“Tetapi emak saya tak boleh terima bab anak gadisnya tak kahwin. Akhirnya saya akur dengan emak. Malangnya bila hati terbuka nak kahwin, hanya suami orang yang tawarkan diri. Ketika itu saya berusia 32 tahun, sedangkan mereka 50an tahun. Namun dalam banyak-banyak tawaran saya tertarik pada Ewan, berusia 48 tahun, ada 3 orang anak. “Sebab saya tertarik dengan Ewan kerana dia serius, dan dia tegas dengan katakatanya. Jadi bila dia kata akan uruskan masalah isteri pertama dan rumah tangganya saya terus percaya. Sebab dia tak banyak cakap dan serious. Lebih penting dari perwatakannya saya yakin dia boleh berlaku adil apabila berpoligami.

“Tetapi bila saya cakap pada emak, pastilah emak bantah. Katanya dia tak pilih menantu orang kaya, berduit atau berpangkat, asalkan tahu tanggungjawab sebagai suami sudah baik. Saya beritahu emak Ewan pun bukan berpangkat. Masalahnya kata emak dia ada anak isteri. Mana ada isteri boleh sabar jika suami berpoligami. Saya pun puji Ewan, dia serius, tegas dan katanya dia boleh uruskan isterinya dan kami tidak akan bermasalah. Kalau betul Ewan bagus kenapa nikah ke Siam? Itu tanda takut isteri kata emak. Tapi saya yakinkan Ewan tak mahu kecoh dan mahu pernikahan kami berlangsung aman.

“Sebenarnya kahwin dengan suami orang memang banyak masalahnya, kawan pejabat juga ada yang tak suka, yang senior juga kutuk, katanya saya sengaja `tempah masalah.’ Bermadu kata mereka lebih banyak masalah dan buat banyak dosa. Ada juga kata saya perampas suami orang, dan hancurkan rumahtangga orang. “Memang benar bila dah nikah baru saya sedar nasihat emak memang banyak benarnya. Ewan tak mahu daftarkah pernikahan kami di Malaysia. Katanya nikah dah sah apa masalahnya? Tapi saya berkeras saya tak mahu anak saya boleh didaftarkan di negeri ini. Kebetulan ketika itu saya hamil 3 bulan setelah dua tahun bertangguh kerana Ewan tak mahu anak.

“Bila saya berkeras daftarkan sendiri pernikahan, Ewan berang. Dia protes tak mahu balik ke rumah saya lagi. Rupanya dia takut isterinya tahu. Bila terbongkar kaki Ewan kena ikat dia tak boleh ke rumah saya. Kalau selama ini Ewan pernah bermalam di rumah saya, setelah daftar Ewan cuma balik ketika makan tengah hari waktu bekerja dan saya terpaksa ambil cuti. Ewan juga tak boleh keluar rumah hari Sabtu dan Ahad begitu juga waktu malam. “Kalau dulu Ewan serius dan tegas orangnya, rupanya dengan isterinya dia jadi tikus. Semua janjinya sebelum kahwin boleh membentuk, melentur dan menasihati isterinya semuanya `drama’, dia sendiri tidak berani angkat muka dengan isterinya.

Kata kawan Ewan, isterinya lembut, suara tak keluar, cuma tersenyum , tetapi Ewan takut dan tak berani bersuara. “Saya hairan kenapa Ewan tak berani berterus terang dengan isterinya, sedangkan dengan saya dia tegas, malah nak keluar duit belanja rumah untuk saya pun payah. Paling menyiksakan Ewan tidak mahu temankan saya jumpa doctor untuk pemeriksaan. Dia suruh pergi sendiri. Lebih malang ketika sakit Ewan tak berani hantar ke hospital apa lagi temankan saya ketika di hospital. Lepas seminggu baru Ewan menjengok. Alasannya banyak kerja.

“Kerja apa? Kerja saya lebih banyak dan kedudukan saya lebih tinggi daripada dia. Sebenarnya dia takutkan isterinya. Kerana tidak ada orang membantu, saya terpaksa minta tolong teman hantarkan saya balik kampung. Emak saya senyum, dia boleh teka masalah saya. “Kalau sebelum ini saya tak minta duit dari Ewan, pandai sayalah uruskan hidup sendiri, tetapi setelah ada anak saya minta nafkah anak dari Ewan. Tetapi alangkah sedihnya bila Ewan beri cuma RM200 katanya dia tak cukup duit. 

“Bila Hari Raya lagi sedih, sepanjang 8 tahun berkahwin tak pernah dia beraya di rumah emak saya. Saya minta dia berlaku adil, tapi alasannya dia tak boleh biarkan isteri dan anak-anaknya balik kampung sendirian. Habis saya sapa temankan? Saya balik kampung memandu sendiri dengan anak kecil. Kalau bergilir apa salahnya? Tapi Ewan memang penakut. Namun dalam marah benci dan tidak dapat nafkah secukupnya, saya lahirkan seorang lagi anak. “Beranak kali kedua memang Ewan marah, katanya dia tak mampu tanggung ramai anak. Sana ada 4, sini 2 dah jadi 6 dia tak mampu. Tak mampu macam mana? Dia cuma beri saya RM350 sebulan untuk 2 orang anak. Nak bayar upah pengasuh anak pun tak cukup apa lagi beli susu, pakaian, lampin pakai buang dan sebagainya.

 Jika masih baby dia tak mampu, macam mana jika anak-anak ini benar nanti? Apakah saya mesti tanggung sendiri? “Peristiwa paling malu selepas kedua-dua orang anak dilahirkan, Ewan masih tak datang ke hospital. Tak ada orang anak azan dan khamatkan anak saya. Akhirnya saya terpaksa panggil kawan. Sungguh memalukan bila mereka tanya Ewan mana? Ewan datang ke rumah ketika saya bersiap-siap nak balik kampung. Ewan tak berani hantar saya ke kampung. “Saya tidak tahu sama ada terdapat wanita lain senasib saya. Tetapi saya terpaksa kuatkan diri dan tahan kesakitan semuanya kerana anak. Kata emak nasib saya tak bentan atau gila meroyan. 

Tetapi saya terpaksa kuatkan semangat. Rasanya tak berbaloi saya hancurkan hidup saya kerana lelaki seperti Ewan yang tak bertanggungjawab ini. Setiap kali dalam pantang saya sering berfikir patutkah saya minta cerai? “Sebabnya Ewan tak pernah bersusah payah carikan tukang urut, sediakan makan saya dalam berpantang, cari ikan haruan supaya luka cepat sembuh. Dia tak peduli, semua emak siapkan. Emak jaga anak saya sedangkan Ewan bergembira dengan isterinya. Lagi keciwa dia tak pernah keluar duit sambut kelahiran anak ini seperti buat kenduri akikah. Saya yang buat.

“Lebih keciwa bila Ewan kata tak cukup duit, tetapi dia boleh belikan 2 buah kereta untuk 2 anaknya belajar di kolej, tak termasuk kereta baru untuk isterinya. Kalau saya congak-congak macam mana dia ada banyak duit, kerana gajinya bukan banyak sangat. “Walaupun saya sering menangis sendirian, tetapi setelah melihat mata anak-anak, saya kembali tenang. Ewan tak sukakan anak-anak saya kerana perkahwinan kami bukan sahaja tidak disukai oleh isterinya, tetapi ibu bapanya sendiri sejak kami mula kahwin lagi. Mereka suruh Ewan ceraikan saya. Tetapi atas kehendak Allah juga tahun lalu, anak perempuannya kahwin suami orang.

Mengapa tak suruh bercerai? Inilah namanya takdir dan balasan Allah. “Dulu saya kata ibu bapa Ewan tak percayakan takdir dan kadak kadar Allah. Sekarang setelah apa yang berlaku dalam keluarganya, mungkin mereka telah insaf. Tetapi saya pulak sudah hilang keyakinan pada Ewan, melihat kegagalannya membentuk keluarga dan dirinya sendiri bukanlah suami yang adil. Dia berat sebelah. Kalau makan minum anak-anak saya yang pikul, apa peranan dia sebagai ayah?

“Rasanya daripada buat banyak dosa lebih baik bercerai. Akhirnya atas persetujuan bersama Ewan mahu ceraikan saya, tetapi syaratnya saya tidak boleh minta nafkah, saya tolak. Saya nasihatkan dia jangan buat banyak dosa lagi. Biasalah, ding dong, ding dong cerai lambat diuruskan. Tapi saya desak Ewan beri nafkah jika tidak saya panjat pejabatnya. “Persoalannya jika ada orang kata perempuan sanggup jadi isteri kedua kerana kejar kekayaan, bukan semuanya benar. Lebih ramai isteri kedua hidup menderita, gara-gara suami tak tegas, tak adil dan tidak tahu tanggungjawab jadi suami.’’ Itu cerita Nurhazura Hasni tentang pengalaman pahitnya jadi isteri kedua teruk dan menyakitkan hati.


Kredit :DcckMona


HADIS 'PAYUNG EMAS' PALSU . Ustazah Asma turut memberi Pandangan atas Pencerahan Datuk Seri Zulkifli

3 Feb 2022




Istilah 'Payung Emas' yang akan diperolehi wanita sekiranya membenarkan suaminya berpoligami berikutan ia sunnah Rasulullah SAW merupakan hadis palsu.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hukum atas sesuatu perkara berdasarkan zahir ia sunnah atau tidak perlu melihat kepada maslahat perkara itu. 
Ustazah Asma' Harun turut memberi pandangannya berkenaan pencerahan yang diberikan oleh Datuk Seri Zulkifli.
Alhamdulillah, semoga dengan pencerahan ini, kita lebih berhati-hati berkata atau menulis berkaitan isu ini, daripada dulu saya konsisten menyatakan bahawa ia adalah palsu, namun tetap pihak-pihak guna pakai, kadang dengan nada bergurau.
Bahkan selalu diingatkan kepada lelaki yang ingin berpoligami, jangan memaksa isteri dengan mengingatkan tentang besarnya ganjaran itu ini hingga menggunakan hujjah palsu, paksa terima atas nama taqdir dan jodoh, jika anda sebenarnya tidak mampu dan tidak layak. Tambah pula isteri tidak mahu, telah berikan khidmat yang sehabis baik, maksudnya tiada sebab kukuh syara’ atau tidak sihat hingga tak mampu memenuhi keperluan batin, atau tidak dapat hamil, atau mungkin mempunyai akhlak yang sangat buruk.

Mudahan si isteri dapat pahala dan Syurga atas sabarnya, bimbang suami pula tiada di syurga atas sebab berlaku zalim. Zalim ni memang luas dan perlu perbahasan ilmiah, ramai yang rasa dia tak buat zalim sebab isteri tak bersuara, suami seolah boleh guna kuasanya atas alasan wajib ditaati. Jika suami dah cuba sehabis baik, namun isteri tetap tidak mampu terima, maka tidaklah zalim lagi.
Ingatlah menyakiti hati saudara muslim itu perbuatan dilarang, sakitkan hati kawan-kawan pun diberi dosa, ini hati isteri yang telah banyak memberi bakti. Data kelahiran anak lelaki di Malaysia masih ramai lagi lelaki berbanding perempuan, jika dibuat alasan itu juga perlu diperhalusi.
Benar, memang ada poligami yang harmoni, boleh dijadikan contoh kepada ummah. Biasanya suami ni memang seorang yang luar biasa usaha untuk berikan yang terbaik dalam pelbagai segi, juga yang ada ikhtiar merawat hati isteri pertama dan anak-anak secara berterusan.

Paling utama adalah benar-benar ikut cara Nabi SAW. Kenapa setelah kewafatan Saidatina Khadijah RA baru Nabi mula poligami, pada usia 53 tahun dan ke atas, semua tu boleh jadi timbang tara. Dengan siapa yang dinikahi, atas dasar apa dan lain-lain. Memang bila dikaji, setiap apa yang Nabi SAW lakukan ada hikmah besar. Maka yang ingin bernikah lagi dengan alasan sunnah Nabi SAW, paling penting cara pelaksanaan juga diikuti. Hadis berkaitan Nabi SAW tidak setuju anakanda Fatimah R.A. untuk dimadukan adalah sahih.
Bahkan tidak berdosa isteri yang menolak keinginan suami berpoligami atas sebab tertentu, petikan daripada artikel pada link di bawah:

“Ini termasuklah untuk mencegah daripada menyakiti hati isteri dan mengakibatkan gangguan berlebihan apabila isteri itu ditimpa penyakit cemburu. Ini berdalilkan sebuah hadis daripada al-Miswar bin Makhramah R.A. bahawa Rasulullah ﷺ berkhutbah di atas minbar:
إِنَّ بَنِي هِشَامِ بْنِ المُغِيرَةِ اسْتَأْذَنُوا فِي أَنْ يُنْكِحُوا ابْنَتَهُمْ عَلِيَّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ، فَلاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، إِلَّا أَنْ يُرِيدَ ابْنُ أَبِي طَالِبٍ أَنْ يُطَلِّقَ ابْنَتِي وَيَنْكِحَ ابْنَتَهُمْ، فَإِنَّمَا هِيَ بَضْعَةٌ مِنِّي، يُرِيبُنِي مَا أَرَابَهَا، وَيُؤْذِينِي مَا آذَاهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka! Kecuali jika Ali bin Abu Thalib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian daripadaku, aku merasa senang dengan apa sahaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya."

Riwayat al-Bukhari (5320) dan Muslim (2449)
Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: “Dan sebab padanya (larangan ke atas Ali untuk berpoligami semasa pernikahan dengan Fatimah) seperti mana yang telah disebut dahulunya dalam (bab) manaqib (Fatimah) bahawa beliau telah ditimpa (ujian) kehilangan ibunya (Khadijah) kemudian saudari-saudari perempuannya, seorang demi seorang, sehingga tiada siapa yang tinggal untuk beliau mengadukan isu-isu kerahsiaan (rumah tangga) supaya melegakan perasaan akibat cemburu.”
Ibn Hajar juga membawa riwayat al-Zuhri yang menyebut sabda Rasulullah ﷺ:
وَأَنَا أَتَخَوَّفُ أَنْ تُفْتَنَ فِي دِينِهَا يَعْنِي أَنَّهَا لَا تَصْبِرُ عَلَى الْغَيْرَةِ فَيَقَعُ مِنْهَا فِي حَقِّ زَوْجِهَا فِي حَالِ الْغَضَبِ مَا لَا يَلِيقُ بِحَالِهَا فِي الدِّينِ
Maksudnya: “Dan aku risau bahawa agamanya (yakni Fatimah) akan ditimpa ujian fitnah,” yakni Fatimah menjadi tidak sabar kerana cemburu lalu berlaku sesuatu yang tidak layak pada darjat beliau pada agama daripada beliau semasa marah.”
Rujuk Fath al-Bari (9/329)

Bacaan penuh:
Kenapa ia terlalu sakit?
Banyak sebab. Antaranya:
Kebanyakan pasangan daripada awal nikah, bermula dengan kehidupan yang susah dan payah, lahirkan seorang demi seorang anak, diasuh dididik hingga dewasa, penat lelah tak boleh dibayangkan, namun tiba saatnya dah mula dapat melepaskan lelah sedikit demi sedikit, nak menikmati kehidupan yang damai, anak dah membesar, menunggu masa untuk bermenantu dan bercucu, tiba datang ujian kasih dan perhatian perlu dikongsi, waktu dan perancangan semua perlu berbahagi, ia adalah satu ujian yang sangat berat 😢.

Memang tidak menidakkan tentang isteri kedua juga ada hak, namun tetap ada berbeza, contohnya bab harta sepencarian pun dah berbeza, isteri pertama dah boleh buat tuntuan dalam tempoh nikah, Islam agama yang sangat teliti, menjaga hak semua pihak.

Suami yang kalian nikahi, lagi pula pada umur yang tertentu, dia dijaga dirapi selama ini oleh sang isteri yang teliti, sebab itu si suami dilihat menawan, didoakan dan diberikan sokongan tidak berbelah bagi, hingga si suami dilihat kecukupan. Isteri yang baru hadir, harus mengerti dengan sebenarnya, kenapa susahnya yang pertama ini untuk berlapang dada, bukan tidak redha pada Ilahi, namun lukanya pada manusia yang dipercayai dan dicintai.
Kerana itu, bagi wanita yang tidak mampu hidup berpoligami, hingga memberikan tekanan emosi dan mental, sakit pula dah bertambah, hingga darah tinggi dan lain-lain. Maka bukan menjadi satu laknat Allah, jika wanita ini mohon dilepaskan.

Daripada pengalaman saya di Jabatan Agama Islam menguruskan pasangan poligami, kebanyakan isteri pertama yang ingin dilepaskan, bukan faktor utama kerana benci poligami, mereka faham tentang hukum, atau sebab tidak redha dengan taqdir, namun demi mencari ketenangan dan kedamaian hidup di hujung usia, saat hati dah tak kuat nak berperang dengan perasaan sendiri.

Allahu Akbar, memang kita akan jumpa ada isteri pertama yang sangat sabar dan tenang, yang selalu menutupi kedukaan dengan senyuman, begitu juga isteri kedua, ketiga dan keempat yang begitu sabar dan redha dengan keadaan dan himpitan yang perlu selalu mengalah itu dan ini. Memang seolahnya dunia seperti lebih berpihak kepada yang pertama hingga kadang ramai yang kedua, ketiga dan keempat menderita, sebab itu penting sangat, sebelum nikah dibuat dengan baik, jumpa isteri pertama, tanya daripada hati wanita kepada wanita. Bahkan memang ada, wanita yang ingin mencarikan suaminya isteri, memang ada yang sangat terbuka, manusia kan berbeza, perasaan pun berbeza. Ada yang cemburunya sangat rendah.

Itulah pernikahan, monogami juga tidak lepas daripada ujian demi ujian, apatah lagi poligami. Si suami jangan hanya menuntut redha daripada isteri dan anak-anak, kalian juga kena redha dengan ketidakmampuan isteri dan anak-anak untuk menerima apa yang berlaku dengan berlapang dada. Sebelum meminta, berilah dulu, kerana bahagia yang dibina adalah atas banyaknya luka orang yang banyak berkorban dalam hidup kamu.

Maaf salah silap dalam tulisan ini, isu sensitif yang sentiasa ulasannya tidak akan berakhir dengan baik untuk semua pihak.

Kredit : Astro Awani



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.