Apabila pembaca
membaca kisah saya ini, mungkin anda
bukan setakat geram, tetapi benci dan
marah. Saya pasti dicap perampas, kerana
saya kahwin suami orang. Itulah
kebencian terbesar kaum wanita bila
dapat tahu ada wanita sanggup bermadu.
Namun anda mesti ingat kadak dan kadar
Allah.’’ Itu cerita Nurhazura Hasni dalam
emelnya.
“Seperti gadis-gadis lain, saya tak pernah
terfikir kahwin suami orang. Saya juga ada
perasaan tidak mahu berkongsi kasih.
Tetapi, saya bukanlah penentu hidup ini,
segala-galanya urusan Allah. Dan sebagai
manusia kita hendaklah redha dengan
ketentuan Allah. “Saya bawakan kisah hidup saya ini
supaya anda berfikir bahawa bukan isteri
pertama sahaja terseksa jika dimadukan.
Lebih menderita isteri kedua. Sudahlah
kami dicaci dan dibenci, lebih menderita
suami tidak pernah ambil peduli
kehidupan kami, sebaliknya, kami
dianggap sebagai `penumpang’, dipaksa
tanggung diri sendiri selain menyara
anak-anak yang saya lahirkan. Kerana
ramai suami takutkan isteri pertama.
“Tidak saya nafikan ada isteri kedua
berlagak macam queen dan si suami
takut macam tikus dan melupakan isteri
pertama dan anak-anaknya. Dalam kes ini
tentu pembaca boleh bandingankan,
apakah salah isteri pertama atau isteri
kedua jika hidup mereka terpinggir dan
terseksa. Di mana peranan suami?
Adakah dia adil? Jika tidak adil layakkah
suami berpoligami? Jadi jangan salahkan
isteri kedua jika kami kahwin suami orang!
“Semasa menuntut dulu memang saya
ada ramai kawan. Tetapi tidak ada satu
pun yang istimewa. Sebab pertama ramai
jejaka ketika menuntut sudah `dipancing’.
Ataupun dia keluarga carikan jodoh
mereka. Jadi habis belajar saya terkapaikapai tanpa teman istimewa.
“Apabila masuk alam pekerjaan, keliling
saya semuanya sudah berkeluarga.
Kalaupun ada seorang berdua belum
berkahwin mereka sudah bertunang
ataupun ada yang secara terang-terang
tergolong kepada kumpulan sukakan
kaum sejenis.
“Balik rumah, emak bising suruh cepat
kahwin, apa emak fikir suami boleh pilih
dalam `rumah kaca’ atau macam pilih ikan
di pasar? Akhirnya kerana sibuk bekerja
saya terlupa buat sementara bab cari
jodoh. Tambahan pulak di pejabat
terdapat beberapa orang gadis senior
yang belum kahwin, Mereka releks! Tak
sibuk cari jodoh. Sebaliknya bahagia tanpa
suami
“Tetapi emak saya tak boleh terima bab
anak gadisnya tak kahwin. Akhirnya saya
akur dengan emak. Malangnya bila hati
terbuka nak kahwin, hanya suami orang
yang tawarkan diri. Ketika itu saya berusia
32 tahun, sedangkan mereka 50an tahun.
Namun dalam banyak-banyak tawaran
saya tertarik pada Ewan, berusia 48
tahun, ada 3 orang anak.
“Sebab saya tertarik dengan Ewan kerana
dia serius, dan dia tegas dengan katakatanya. Jadi bila dia kata akan uruskan
masalah isteri pertama dan rumah
tangganya saya terus percaya. Sebab dia
tak banyak cakap dan serious. Lebih
penting dari perwatakannya saya yakin
dia boleh berlaku adil apabila berpoligami.
“Tetapi bila saya cakap pada emak,
pastilah emak bantah. Katanya dia tak
pilih menantu orang kaya, berduit atau
berpangkat, asalkan tahu tanggungjawab
sebagai suami sudah baik. Saya beritahu
emak Ewan pun bukan berpangkat.
Masalahnya kata emak dia ada anak
isteri. Mana ada isteri boleh sabar jika
suami berpoligami. Saya pun puji Ewan,
dia serius, tegas dan katanya dia boleh
uruskan isterinya dan kami tidak akan
bermasalah. Kalau betul Ewan bagus
kenapa nikah ke Siam? Itu tanda takut
isteri kata emak. Tapi saya yakinkan Ewan
tak mahu kecoh dan mahu pernikahan
kami berlangsung aman.
“Sebenarnya kahwin dengan suami orang
memang banyak masalahnya, kawan
pejabat juga ada yang tak suka, yang
senior juga kutuk, katanya saya sengaja
`tempah masalah.’ Bermadu kata mereka
lebih banyak masalah dan buat banyak
dosa. Ada juga kata saya perampas suami
orang, dan hancurkan rumahtangga
orang.
“Memang benar bila dah nikah baru saya
sedar nasihat emak memang banyak
benarnya. Ewan tak mahu daftarkah
pernikahan kami di Malaysia. Katanya
nikah dah sah apa masalahnya? Tapi saya
berkeras saya tak mahu anak saya boleh
didaftarkan di negeri ini. Kebetulan ketika
itu saya hamil 3 bulan setelah dua tahun
bertangguh kerana Ewan tak mahu anak.
“Bila saya berkeras daftarkan sendiri
pernikahan, Ewan berang. Dia protes tak
mahu balik ke rumah saya lagi. Rupanya
dia takut isterinya tahu. Bila terbongkar
kaki Ewan kena ikat dia tak boleh ke
rumah saya. Kalau selama ini Ewan
pernah bermalam di rumah saya, setelah
daftar Ewan cuma balik ketika makan
tengah hari waktu bekerja dan saya
terpaksa ambil cuti. Ewan juga tak boleh
keluar rumah hari Sabtu dan Ahad begitu
juga waktu malam.
“Kalau dulu Ewan serius dan tegas
orangnya, rupanya dengan isterinya dia
jadi tikus. Semua janjinya sebelum kahwin
boleh membentuk, melentur dan
menasihati isterinya semuanya `drama’,
dia sendiri tidak berani angkat muka
dengan isterinya.
Kata kawan Ewan,
isterinya lembut, suara tak keluar, cuma
tersenyum , tetapi Ewan takut dan tak
berani bersuara.
“Saya hairan kenapa Ewan tak berani
berterus terang dengan isterinya,
sedangkan dengan saya dia tegas, malah
nak keluar duit belanja rumah untuk saya
pun payah. Paling menyiksakan Ewan
tidak mahu temankan saya jumpa doctor
untuk pemeriksaan. Dia suruh pergi
sendiri. Lebih malang ketika sakit Ewan
tak berani hantar ke hospital apa lagi
temankan saya ketika di hospital. Lepas
seminggu baru Ewan menjengok.
Alasannya banyak kerja.
“Kerja apa? Kerja saya lebih banyak dan
kedudukan saya lebih tinggi daripada dia.
Sebenarnya dia takutkan isterinya. Kerana
tidak ada orang membantu, saya terpaksa
minta tolong teman hantarkan saya balik
kampung. Emak saya senyum, dia boleh
teka masalah saya.
“Kalau sebelum ini saya tak minta duit
dari Ewan, pandai sayalah uruskan hidup
sendiri, tetapi setelah ada anak saya
minta nafkah anak dari Ewan. Tetapi
alangkah sedihnya bila Ewan beri cuma
RM200 katanya dia tak cukup duit.
“Bila Hari Raya lagi sedih, sepanjang 8
tahun berkahwin tak pernah dia beraya di
rumah emak saya. Saya minta dia berlaku
adil, tapi alasannya dia tak boleh biarkan
isteri dan anak-anaknya balik kampung
sendirian. Habis saya sapa temankan?
Saya balik kampung memandu sendiri
dengan anak kecil. Kalau bergilir apa
salahnya? Tapi Ewan memang penakut.
Namun dalam marah benci dan tidak
dapat nafkah secukupnya, saya lahirkan
seorang lagi anak.
“Beranak kali kedua memang Ewan
marah, katanya dia tak mampu tanggung
ramai anak. Sana ada 4, sini 2 dah jadi 6
dia tak mampu. Tak mampu macam
mana? Dia cuma beri saya RM350
sebulan untuk 2 orang anak. Nak bayar
upah pengasuh anak pun tak cukup apa
lagi beli susu, pakaian, lampin pakai buang
dan sebagainya.
Jika masih baby dia tak
mampu, macam mana jika anak-anak ini
benar nanti? Apakah saya mesti tanggung
sendiri?
“Peristiwa paling malu selepas kedua-dua
orang anak dilahirkan, Ewan masih tak
datang ke hospital. Tak ada orang anak
azan dan khamatkan anak saya. Akhirnya
saya terpaksa panggil kawan. Sungguh
memalukan bila mereka tanya Ewan
mana? Ewan datang ke rumah ketika
saya bersiap-siap nak balik kampung.
Ewan tak berani hantar saya ke kampung.
“Saya tidak tahu sama ada terdapat
wanita lain senasib saya. Tetapi saya
terpaksa kuatkan diri dan tahan kesakitan
semuanya kerana anak. Kata emak nasib
saya tak bentan atau gila meroyan.
Tetapi
saya terpaksa kuatkan semangat.
Rasanya tak berbaloi saya hancurkan
hidup saya kerana lelaki seperti Ewan
yang tak bertanggungjawab ini. Setiap kali
dalam pantang saya sering berfikir
patutkah saya minta cerai?
“Sebabnya Ewan tak pernah bersusah
payah carikan tukang urut, sediakan
makan saya dalam berpantang, cari ikan
haruan supaya luka cepat sembuh. Dia
tak peduli, semua emak siapkan. Emak
jaga anak saya sedangkan Ewan
bergembira dengan isterinya. Lagi keciwa
dia tak pernah keluar duit sambut
kelahiran anak ini seperti buat kenduri
akikah. Saya yang buat.
“Lebih keciwa bila Ewan kata tak cukup
duit, tetapi dia boleh belikan 2 buah
kereta untuk 2 anaknya belajar di kolej,
tak termasuk kereta baru untuk isterinya.
Kalau saya congak-congak macam mana
dia ada banyak duit, kerana gajinya bukan
banyak sangat.
“Walaupun saya sering menangis
sendirian, tetapi setelah melihat mata
anak-anak, saya kembali tenang. Ewan
tak sukakan anak-anak saya kerana
perkahwinan kami bukan sahaja tidak
disukai oleh isterinya, tetapi ibu bapanya
sendiri sejak kami mula kahwin lagi.
Mereka suruh Ewan ceraikan saya. Tetapi
atas kehendak Allah juga tahun lalu, anak
perempuannya kahwin suami orang.
Mengapa tak suruh bercerai? Inilah
namanya takdir dan balasan Allah.
“Dulu saya kata ibu bapa Ewan tak
percayakan takdir dan kadak kadar Allah.
Sekarang setelah apa yang berlaku dalam
keluarganya, mungkin mereka telah insaf.
Tetapi saya pulak sudah hilang keyakinan
pada Ewan, melihat kegagalannya
membentuk keluarga dan dirinya sendiri
bukanlah suami yang adil. Dia berat
sebelah. Kalau makan minum anak-anak
saya yang pikul, apa peranan dia sebagai
ayah?
“Rasanya daripada buat banyak dosa
lebih baik bercerai. Akhirnya atas
persetujuan bersama Ewan mahu
ceraikan saya, tetapi syaratnya saya tidak
boleh minta nafkah, saya tolak. Saya
nasihatkan dia jangan buat banyak dosa
lagi. Biasalah, ding dong, ding dong cerai
lambat diuruskan. Tapi saya desak Ewan
beri nafkah jika tidak saya panjat
pejabatnya.
“Persoalannya jika ada orang kata
perempuan sanggup jadi isteri kedua
kerana kejar kekayaan, bukan semuanya
benar. Lebih ramai isteri kedua hidup
menderita, gara-gara suami tak tegas, tak
adil dan tidak tahu tanggungjawab jadi
suami.’’ Itu cerita Nurhazura Hasni
tentang pengalaman pahitnya jadi isteri
kedua teruk dan menyakitkan hati.
Kredit :DcckMona