SLIDER
Apakah Maksud Ujian Kehamilan (Urine Pregnancy Test) Negatif Tetapi Tetap Hamil?
8 Apr 2025
Soalan :
1) Anda Hamil, Tetapi Anda Mengambil Ujian Kehamilan Terlalu Awal
Ujian kehamilan berfungsi dengan mengesan hCG iaitu hormon kehamilan. Jika anda cukup yakin anda hamil kerana anda telah mengalami beberapa gejala awal kehamilan tetapi mempunyai keputusan ujian negatif, salah satu sebab yang paling biasa ialah anda telah mengambil ujian kehamilan terlalu awal, dan tubuh anda belum menghasilkan hormon hCG yang cukup untuk ujian tersebut mengesannya. hCG boleh dikesan dalam air kencing sekurang-kurangnya dua minggu selepas persenyawaan berlaku.
Untuk keputusan ujian yang tepat 99%, ujian ini perlu mengesan sekurang-kurangnya 25 mili-unit antarabangsa bagi setiap mililiter (mIU / mL). Dalam dua minggu pertama kehamilan, hanya kira-kira 10 mlU / ml hCG dapat dihasilkan.
Oleh itu, untuk mendapatkan keputusan ujian yang boleh dipercayai, tunggu dua minggu selepas tempoh haid terlepas. Pada masa ini, badan anda akan menghasilkan banyak hCG, dan ujian kehamilan anda akan jauh lebih tepat.
2) Anda Hamil, Tetapi Alat Ujian Kehamilan Telah Rosak
Ujian tersebut mungkin telah tamat tempoh, atau mungkin disimpan di tempat yang tidak sesuai (contohnya dalam kabinet bilik mandi yang basah). Beli UPT atau alat ujian kehamilan yang baru, dan cuba lagi untuk memastikan keputusannya tepat.
3) Anda Hamil, Tetapi Anda Mempunyai Haid Yang Tidak Teratur Dan Ovulasi Lewat
Jika anda mempunyai kitaran haid yang tidak teratur, kemudian anda mendapat ujian negatif tetapi tidak haid di mana ia mungkin bermaksud ovulasi agak lewat bulan ini. Ini akan menangguhkan tarikh implantasi, yang mungkin menyebabkan anda salah mengira jumlah hari yang sepatutnya anda lakukan ujian kehamilan. Inilah sebabnya mengapa anda dinasihatkan untuk membuat ujian kehamilan satu atau dua minggu selepas hari anda jangkakan haid datang.
4) Anda Mengandung Anak Kembar Atau Kembar Tiga
Mengandungkan dua atau lebih bayi menyebabkan seseorang wanita menghasilkan tahap hCG yang sangat tinggi dan ujian kehamilan mungkin tidak dapat mengesannya kerana hormon hCG terlalu banyak. Dalam istilah perubatan, ia dikenali sebagai "kesan cangkuk dos tinggi" (high-dose hook effect).
5) Anda Mengalami Kehamilan Ektopik (Ectopic Pregnancy) Yang Menunda Penghasilan hCG
Kehamilan ektopik berlaku apabila telur yang sudah disenyawakan mengimplantasikan diri sendiri di suatu tempat selain daripada rahim (biasanya di dalam tiub fallopian), yang menangguhkan penghasilan hormon hCG dan menyebabkan kesakitan yang teruk di bahagian bawah perut atau sisi kiri atau kanan abdomen. Keadaan ini jarang berlaku dan berlaku hanya dalam 1 daripada 40 kehamilan, tetapi ia sangat berbahaya dan harus mendapat diagnosis lebih awal untuk mencegah akibat yang mengancam nyawa bagi wanita.
6) Anda Hamil, Tetapi Anda Mempunyai Penyakit Trophoblastik Gestational / ‘Gestational Trophoblastic Disease’(GTD)
Ini sangat jarang berlaku. Penyakit trophoblastik gestational berlaku apabila tumor terbentuk di lapisan sel yang dipanggil trophoblast yang biasanya mengelilingi embrio. Jenis GTD yang paling biasa berlaku adalah ‘hydatidiform mole’ yang juga dikenali sebagai kehamilan molar. Tumor ini jarang membentuk kanser, tetapi kehamilan biasanya berakhir dengan keguguran kerana embrio tidak boleh terbentuk. Sangat jarang bayi yang sihat lahir dari kehamilan GTD.
7) Anda Tidak Mematuhi Arahan dengan betul
Baca arahan di pakej ujian kehamilan anda dengan berhati-hati supaya anda dapat mengendalikan ujian dengan baik. Oleh kerana ujian adalah bersifat mementingkan kualiti, ini menjadikan alat ujian peka terhadap proses ujian. Kebanyakan ujian kehamilan meminta anda memegang jalur ujian dalam air kencing, dan kencing di atasnya semasa di tandas. Sesetengah ujian memerlukan anda untuk mencelupkan jalur ujian ke dalam cawan bersih di mana anda telah mengumpul air kencing (kaedah pilihan saya untuk keputusan ujian kehamilan yang tepat).
APAKAH LANGKAH SETERUSNYA?
- Jadi apa yang boleh anda lakukan jika anda mempunyai ujian kehamilan yang negatif tetapi masih mengandung? Ia sangat bergantung kepada bilakah anda menjangkakan kitaran haid anda akan datang. Terdapat 50-50 peluang bahawa ujian itu boleh menjadi negatif palsu jika anda tidak mampu menjangkakan tempoh haid anda.
- Tunggu selama beberapa hari untuk mendapatkan ujian lain seelok-eloknya dua minggu selepas tarikh haid terlepas. Walau bagaimanapun, jika tempoh haid anda datang dan anda merasakan anda mengandung, anda harus menunggu sehingga beberapa hari selepas haid untuk mengambil ujian kehamilan yang lain.
- Ia mungkin menunjukkan terdapat sebab-sebab yang lain seperti yang dibincangkan di atas jika anda mendapat ujian negatif lagi. Anda boleh mengulangi ujian sekali lagi jika anda mahu. Tetapi jika anda mendapat ujian negatif kali ini, ia hampir-hampir bermaksud bahawa anda tidak hamil. Anda mungkin "terasa mengandung" kerana sebab-sebab lain yang memerlukan anda untuk berjumpa dengan doktor. Juga, mungkin terlalu sukar untuk anda menerima ujian negatif jika anda berusaha keras untuk hamil.
Jika terdapat apa-apa kemusykilan, sila rujuk nasihat doktor yang boleh dijumpai di klinik atau hospital.
AL-KAFI #1153: Maksud Sekufu Dalam Perkahwinan
9 Oct 2024
Soalan
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti, apakah maksud sekufu dalam perkahwinan?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Sekufu atau kesepadanan dalam bahasa Arab disebut dengan kafa’ah. Dari segi bahasa, kafa’ah (كفاءة) bermaksud “المساوة” (sama) atau “المماثلة” (seimbang). (Lihat al-Munjid fi al-Lughah, hlm. 690)
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/520-525), ketika membincangkan berkenaan memilih pasangan yang sekufu’, menyatakan: Kufu’ bermaksud persamaan taraf lelaki dan perempuan dari beberapa aspek:
- Agama dan kesolehan
Seorang lelaki yang fasiq tidak sama dengan perempuan yang solehah. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:
أَفَمَن كَانَ مُؤْمِنًا كَمَن كَانَ فَاسِقًا ۚ لَّا يَسْتَوُونَ
Maksudnya: Apakah orang-orang beriman itu sama dengan orang-orang yang fasiq? Mereka tidak sama.
Surah al-Sajadah (18)
Walaubagaimanapun, kita perlu membezakan antara orang yang beragama dengan orang yang belajar agama. Istilah yang digunakan oleh Nabi SAW kepada perempuan zat al-din (ذات الدين) atau dikenali sebagai mutadayyin. Sedangkan yang belajar agama sudah tentu mempunyai ilmu dan kefahaman yang baik, tetapi kadang-kadang tidak diamalkannya. Apa yang perlu, mencari pasangan yang mematuhi agama dan lebih baik apabila mempunyai kefahaman agama serta ilmunya.
- Pekerjaaan
Seseorang yang mempunyai pekerjaan bertaraf rendah seperti tukang sapu, tukang bekam, pengembala ternakan, pencuci tandas adalah tidak kufu mengahwini anak perempuan seorang ilmuan, hakim atau ahli perniagaan.
Sebenarnya pekerjaan boleh dibahagikan kepada dua. Ada yang mulia tetapi bukanlah kaya. Ada pula yang nampak biasa tetapi boleh menghasilkan jutaan ringgit apabila mempunyai kreatif, inovatif dan pandai mencari pasaran serta peluang untuk menjana pendapatan melalui pelaburan dan perniagaan.
- Tidak cacat
Tidak mempunyai kecacatan yang boleh menyebabkan pasangan berhak memilih untuk fasakh perkahwinannya. Seorang lelaki yang gila atau sopak tidak sekufu dengan seorang perempuan yang tidak berpenyakit seperti itu.
Kecacatan boleh dibahagikan kepada dua: Pertama, yang mengaibkan seperti HIV, Aids, kusta, gila dan lain-lain. Perkara ini sebaik-baiknya dielakkan melainkan wujudnya persetujuan dan kefahaman yang jelas. Kedua, kecacatan yang kecil seperti cacat sebahagian anggota namun kefungsian masih berlaku. Yang ini tidaklah menjadi penghalang dalam membina dan melayari bahtera kehidupan dengan sebaiknya. Kadang-kadang, kita lihat pasangan seperti ini jauh lebih bahagia dari yang sempurna sifatnya.
Sekufu dalam perkahwinan ialah hak isteri dan wali-walinya. Walaupun kufu bukannya syarat sah nikah,[2] tetapi ia perlu untuk mengelakkan perkara yang buruk terhadap isteri dan para walinya dan menjamin kelangsungan hidup suami isteri.
Hal yang demikian adalah kerana pasangan yang sekufu mempunyai cara hidup yang tidak berbeza dan boleh diterima. Justeru itu, seorang daripadanya tidak terpaksa mengubah kebiasaannya kerana mereka telah mempunyai persamaan.
Namun, bakal isteri dan walinya boleh menggugurkan syarat sekufu ini. Sekiranya seorang perempuan telah dikahwinkan oleh walinya dengan seorang lelaki yang tidak sekufu, tetapi dengan kerelaannya, perkahwinan itu adalah sah.
Hal ini kerana sekufu merupakan hak perempuan dan walinya. Sekiranya mereka redha menggugurkannya, maka ia tidak perlu dipertikaikan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/520-525)
Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:
تَخَيَّرُوْا لِنُطَفِكُمْ وَأَنْكِحُوْا الأَكْفَاءَ وَأَنْكِحُوْا إِلَيْهِمْ
Maksudnya: “Pilihlah tempat yang baik untuk meneruskan keturunanmu dan kahwinkanlah mereka yang sekufu dan kahwinkanlah mereka.”
Riwayat al-Hakim (2/163)
Kesimpulan
Kami berpendapat, antara perkara yang paling penting dalam memahami sekufu’ adalah lebih kepada pasangan itu sendiri dan bukan semata-mata keluarga. Sebagai contoh, dua pelajar yang bergraduasi dari universiti sedangkan antara dua keluarga mungkin terdapat perbezaan taraf. Tetapi, wujud antara dua pelajar tersebut sifat keserasian serta perasaan tolak ansur yang begitu tinggi antara keduanya. Maka hal seperti ini boleh dipertimbangkan.
Pada saat ini, suasana mungkin sudah berubah berbanding empat puluh atau lima puluh tahun dahulu di mana lingkaran hubungan bukan lagi dibatasi dengan kekeluargaan dan kampungan tetapi ia jauh merentasi sempadan negeri, negara, bangsa, warna kulit, kaum, dan lain-lain. Justeru, yang paling penting adalah sifat kesolehan yang terwujud pada pasangan. Begitu juga perasaan kasih sayang dan cinta tumbuh dengan mekar pada pasangan tersebut.
Akhir kalam, kami tutup dengan berdoa kepada Allah SWT:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Nota Hujung:
[1] Syeikh Abdullah Nasih `Ulwan dalam kitabnya, Tarbiyah al-Aulad berkata: Bermula dari prinsip ini, Uthman bin Abi al-`As al-Thaqafi telah menasihati dan berpesan kepada anak-anaknya supaya memilih tempat meletak benih masing-masing serta mengelakkan baka keturunan yang buruk. Dan inilah apa yang dikatakan kepada mereka: “Wahai anak-anakku, orang yang bernikah itu seumpama orang yang bercucuk tanam, seseorang perlu meneliti, di mana dia mencucuk tanamannya. Baka keturunan yang tidak baik jarang mempunyai anak, justeru perlu untuk dilakukan pemilihan.”
[2] Jumhur fuqaha’ menganggap sekufu adalah syarat sah nikah. Sedangkan sebahagian ulama’ seperti Abi al-Hasan al-Karkhi, Abi Bakar al-Razi, al-Thauri dan Ibn Hazmin menganggap sekufu bukanlah syarat sah nikah pada masa aqad.
Cabaran Lepas Kahwin, Hidup Berdua Banyak Bezanya! Perangai Kita Sendiri Dulu Tak Keluar Pun Akan Keluar
2 Oct 2024
Cabaran lepas kahwin, hidup berdua banyak bezanya! Perangai kita sendiri dulu tak keluar pun akan keluar. Melayari kehidupan sebagai suami isteri sememangnya banyak cabaran.
Lagi-lagi buat pasangan yang baru mendirikan rumahtangga. Pada awalnya pasti akan berasa terkejut kerana rutin harian di rumah sewaktu bujang akan berubah 100 peratus.
Bila sudah bergelar suami dan isteri banyak cabaran yang akan dihadapi apatah lagi untuk serasikan diri. Sewaktu bercinta sangat berbeza kehidupan selepas mendirikan rumahtangga.
Cabaran Lepas Kahwin, Hidup Berdua Banyak Bezanya!
Setiap hari ada saja isu yang akan kita dengar di kalangan pasangan muda. Antaranya masalah penceraian dan masalah kewangan. Ujian kewangan adalah ujian paling kerap dihadapi oleh kebanyakan pasangan yang baru berkahwin. Maklumlah, orang muda yang baru mulakan hidup baru. Oleh itu sangat penting dalam setiap keputusan perlu berbincang dan mendapat persetujuan kedua belah pihak.
Menerusi perkongsian Puan Safura Ahmad Sharkawi menerusi Facebook banyak manfaat terutama buat pasangan pengantin baru.
“Kajian Phd saya adalah tentang pasangan baru berkahwin. Ini saranan saya:
- Adjust your expectation, adjust cara hidup dan realistik dengan perubahan selepas berkahwin. Kadang pasangan yang kita kahwini tak serupa seperti dia yang kita kenali masa buat keputusan untuk kahwini dia dulu. Bukannya dia orang yang berbeza tapi perkahwinan mencetus reaksi dan tindakan berbeza. Dua-dua kena realistisk. Konteks perkahwinan dan demands di dalamnya memerlukan tindakan dan reaksi berbeza dari zaman bujang. Its normal and adjustable. Ia adalah proses pembelajaran.
- Lebihkan masa berdua, beri tumpuan pada diri dan pasangan. Apa-apa tindakan, perancangan, keputusan atau aktiviti, libatkan pasangan. Ini fasa mengenali. Banyak benda yang anda nak kenal tentang pasangan. Perangai kita sendiri yang dulu tak keluar pun akan keluar bila dalam konteks perkahwinan. Cabaran agakberbeza bila berlaku dalam konteks perkahwinan, maka tindakan juga kena selari.
- Kerap berinteraksi dan komunikasi jujur dan telus. Selalunya jika kita memang ikhlas dan dedikasi pada perkahwinan, tak banyak yang kita sembunyikan, cuma kita tak keluarkan dulu sebab masih nak bina kepercayaan. Berkomunikasi ada kaitan dengan rasa percaya. Kurang komunikasi akan jarakkan hubungan. Hubungan yg ada jarak selalunya petanda ada trust issue. Samada hubungan tu sendiri ada isu atau kita ada kisah silam yang menghalang diri kita dari mudah percayai orang.
- Jalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing. Allah bagi tanggungjawab masing2 gunanya utk mengikat rasa saling perlu dan bergantung. Jika ini diabaikan, hubungan mudah renggang dan menjauh. Konflik pun mudah tercetus bila hati menjauh.
- Apa-apa masalah yang mendatang jangan biar pasangan lalui sendirian dan jangan hadapi sorang-sorang walaupun mungkin masalah tu berkait dengan keluarga anda. Tangani sama-sama samada dengan sokongan emosi, sokongan semangat atau cadangan solusi.
“Awal perkahwinan memang demanding sikit. Tapi kalau kita dan pasangan kekalkan fokus pada pasangan masing-masing, fokus pada hubungan perkahwinan dan tanggungjawab masing-masing insyaallah kalian akan dapat bina tapak kukuh dan masuk ke fasa selanjutnya dengan lebih aman. Untuk fasa seterusnya teruskan apa yang dah terbina kerana semua ini asas dalam semua perkahwinan.
“All the best. Moga Allah sentiasa bersama kalian,” kongsi Puan Safura Ahmad Sharkawi.
Kredit : https://www.mingguanwanita.my/
3 Perkara Sebenar Tentang Perampas Suami Orang Setiap Isteri WAJIB Tahu!
11 Jul 2024
Untuk memahami tentang kes suami curang dalam perkahwinan, para isteri atau wanita harus tahu 3 perkara tentang perampas suami orang ini.
Curang dalam perkahwinan bukan benda yang patut kita anggap “normal”. Ketidaksetiaan suami menyebabkan hati isteri terluka dan anak-anak sendiri menjadi korban. Kalau curang punca penceraian, kita selalu menyalahkan perampas suami orang.
Ini kerana isteri rasa telah dikhianati. Tapi, untuk benar-benar move on dengan kisah duka itu, para wanita yang kuat sebenarnya harus belajar untuk memaafkan.
Memaafkan bukan bermaksud melupakan peristiwa hitam tersebut, tapi memaafkan mampu mengurangkan beban dalam hati anda. Memaafkan juga bukan boleh dibuat dalam sekelip mata.
Kita memerlukan waktu untuk benar-benar memaafkan suami yang curang dan perampas suami orang.
Untuk memaafkan perampas suami orang atau perosak rumah tangga, anda kena tahu 3 fakta penting yang kami ulas di bawah ini.
3 fakta tentang perampas suami orang yang wanita harus tahu
Untuk menyembuhkan diri dari pengalaman dikhianati, seperti kes suami curang, anda perlu benar-benar membuka diri untuk lebih memahami “musuh” iaitu perampas suami orang.
Dari situ, anda akan mampu memaafkan mereka dan meneruskan kehidupan anda. Memaafkan perampas suami orang bukan bererti anda “membenarkan” perbuatan curang itu berlaku.
Namun, memaafkan mampu mengurangi beban terkhianati yang anda tanggung selama ini. Jadi, ini antara 3 benda yang harus tahu.
1. Perampas suami orang juga mungkin rasa bersalah
Satu perkara penting yang harus diketahui tentang peruntuh rumah tangga orang ini adalah mereka juga mungkin rasa bersalah kerana merosakkan rumah tangga orang lain.
Bahkan, mereka juga mungkin kecewa dan mengalami kemurungan. Lebih-lebih kalau dia tidak tahu sebelum ini yang lelaki itu suami orang!
Kalau mereka tahu, rasa bersalah akan menghantui perasaan mereka sepanjang “berkasih” dengan suami orang tersebut.
Perampas suami orang juga akan menyalahkan diri mereka kerana memusnahkan perkahwinan orang lain.
Tapi ada juga wanita yang tidak rasa bersalah langsung! Namun sebenarnya, walau sekejam manapun seorang wanita itu, mereka juga pasti ada sekelumit perasaan.
Mungkin dia takkan meminta maaf, tapi rasa bersalah yang dia rasa akan mengheretnya sampai bila-bila. Dia takkan pernah hidup tenang.
2. Perampas suami orang juga rasa tak terdaya kerana jatuh cinta dengan laki orang!
Perosak rumah tangga ini biasanya terlalu asyik dan “jatuh” dalam bercinta. Sebab itu, mereka akan cuba menghalalkan cara mereka bercinta, walaupun mereka tengah berkasih dengan suami orang.
Mereka percaya yang mereka tidak boleh meninggalkan lelaki itu, walaupun jika dia sudah beristeri. Mereka akan fokus pada keinginan dan keperluan mereka sendiri.
Mereka tidak fikir yang perbuatan mereka akan menyakitkan hati orang lain.
Dan para isteri yang dicurangi suami harus pegang benda ini: curang dalam perkahwinan bukanlah salah anda. Ia salah suami dan perosak rumah tangga yang telah melanggar kesucian perkahwinan.
3. Perampas suami orang percaya hubungannya ada harapan
Setiap kali kes curang berlaku, pasti kita selalu menyalahkan perampas suami orang atau individu ke-3 ini, kan?
Tapi sebenarnya, bukankah salah ini juga terletak pada si suami? Mereka yang bertindak untuk curang walaupun sudah ada isteri!
Suami yang curang telah menaburkan pelbagai janji palsu pada wanita yang menjadi kekasih gelapnya. Dia mungkin sudah berjanji untuk menceraikan si isteri!
Kes curang dalam perkahwinan memang menyakitkan dan susah untuk dimaafi. Tapi, tidak semua wanita “sengaja” untuk menjadi perampas suami orang.
Untuk mendapatkan kembali keyakinan anda selepas dicurangi, anda kena meneruskan hidup dengan lebih baik. Lepaskan segala beban yang anda simpan dalam hati.
Kredit : theasianparentMalaysia , theasianparentIndonesia
Ketahui Tanda Awal Dan Faktor Yang Menyumbang Kepada Masalah Kesihatan Mental
12 Aug 2022
Pengenalan Tentang Kesihatan Mental
Beberapa tahun belakangan ini, kita sering disajikan dengan berita kematian akibat bunuh diri daripada setiap lapisan masyarakat dan yang lebih menarik perhatian apabila ia dilakukan oleh artis-artis terkenal antarabangsa seperti Korea Selatan, Jepun, Amerika bahkan dia Thailand.. Disebalik senyuman, dendangan lagu serta lakonan dalam menghiburkan peminat, mereka bergelut dengan masalah tertekan sehingga meragut nyawa mereka sendiri. Apa yang merisaukan kerana golongan selebriti ini merupakan figura awam dan perbuatan mereka kadangkala menjadi contoh kepada orang awam. Malaysia juga tidak ketinggalan dalam mendepani masalah ini tatkala berita tentang kematian bunuh diri semakin meningkat dan rata-ratanya berlaku dalam kalangan belia pelapis masa depan negara.
Fenomena ini mengejutkan ramai pihak terutamanya sektor perubatan kerana rawatan dan intervensi psikologi akan banyak diperlukan bagi merawat serta mencegah masalah ini daripada terus berlaku. Beban berkenaan kesihatan mental semakin meningkat dan cabaran dalam mendepani masalah ini semakin tinggi. Oleh itu, kesedaran awam berkenaan isu ini perlu disampaikan. Baca artikel ini untuk mengetahui tentang teori kesihatan mental, punca kesihatan mental kesihatan mental dan emosi dan kepentingan kesihatan mental dengan lebih lanjut.
Kesihatan mencakupi pelbagai sudut dan setiap orang disarankan untuk mencapai kesihatan holistik. Kesihatan holistik bukan sahaja dinilai secara fizikal tetapi merangkumi kesihatan mental. Mengikut takrifan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) : ”Kesihatan adalah satu keadaan merangkumi kesihatan secara fizikal, mental dan sosial dan tidak hanya ketiadaan penyakit”. Bagi kesihatan mental pula, tiada definisi tetap bagi menerangkan kondisi ini namun memetik Dasar Kesihatan Mental Kebangsaan Malaysia, “Kemampuan seseorang individu, kumpulan dan persekitaran untuk berinteraksi dengan individu lain, dengan mengunakan cara pemikiran, perasaan dan keupayaan berkomunikasi bagi mencapai kesejahteraan hidup yang saksama. Tambahan pula, tiada kriteria tetap dalam mengukur kesihatan mental yang baik ataupun tidak kerana pelbagai faktor dan ciri perlu untuk dipertimbangkan. Misalnya faktor sosial, fizikal, persekitaran dan biologikal.
Ketahui Faktor Yang Menyumbang Masalah Mental
Perlu diketahui bahawa kesihatan mental merupakan suatu spektrum kondisi yang pada awalnya bermula dengan hanya rasa tidak selesa dengan persekitaran sekeliling, diri sendiri dan orang lain dalam memenuhi cabaran hidup sehinggalah kepada situasi yang menganggu kehidupan seharian yang mana memerlukan rawatan. Oleh hal yang demikian, penting untuk mengetahui akan faktor yang menyumbang kepada masalah ini agar intervensi awal dapat dilakukan.
Faktor ini pula dikelaskan kepada dua yang yang diubah yang tidak boleh diubah. Faktor yang boleh diubah ada seperti berikut:
Faktor persekitaran. Faktor ini mengambil kira keadaan sekeliling seseorang seperti kawasan, tempat kerja dan rakan-rakan. Perhubungan dengan orang sekeliling seperti kawan-kawan menjadi faktor kepada masalah mental seperti pergaduhan, cemburu atau ditipu oleh rakan sendiri. Hal ini sering terjadi dalam kalangan remaja terutamanya jika wujud situasi seperti tekanan daripada rakan sebaya. Statistik kesihatan mental di malaysia 2019 menunjukkan bahawa kawasan persekitaran tempat tinggal pula, masalah mental adalah lebih tinggi dalam kalangan masyarakat bandar (12.6%) berbanding luar bandar (8.5 %).
Faktor pekerjaan. Am mengetahui tentang tekanan ketika bekerja tatkala perlu untuk melakukan tugasan dalam masa yang diberikan, memenuhi target bulanan serta tahunan dan bagi yang tidak bernasib baik mungkin perlu untuk berurusan dengan majikan yang garang. Perkara ini kerap menyumbang kepada masalah depresi terutamanya bagi pekerjaan yang memerlukan komitmen masa dan tenaga yang tinggi
Faktor keluarga. Didapati bahawa seseorang yang memiliki masalah keluarga yakni ibu bapa sering bergaduh di rumah mahupun keluarga yang mengalami masalah penceraian sering mengalami masalah tertekan. Berdasarkan kajian daripada portal kesihatan MyHealth sumber Kementerian Kesihatan Malaysia, kadar masalah mental adalah paling tinggi dalam kalangan mereka yang bercerai (13.6%); diikuti oleh bujang (13.1%) balu (12.2%) dan mereka yang berkahwin. (10.5%).
Faktor pendidikan. Tahap pendidikan seseorang juga menyumbang kepada masalah mental. masalah mental adalah lebih tinggi di kalangan mereka yang tiada pendidikan atau berpendidikan rendah (15-16%).
Bagi faktor yang tidak boleh diubah pula, ia merangkumi jantina, umur dan etnik seseorang. Berdasarkan kajian lebih ramai wanita mengalami masalah mental (55%) berbanding lelaki (45%). Bagi faktor biologi, ia termasuklah sejarah keluarga yang pernah mengalami masalah mental seperti skizofrenia ataupun depresi.
Apakah Tanda-Tanda Yang Boleh Dialami Jika Kesihatan Mental Terganggu ?
Mengalami gangguan tidur seperti insomnia, atau tidur lebih kerap dan lama dari kebiasaan.
Menyendiri dan tidak bersosial seperti biasa dengan orang disekeliling
Sering tidak bertenaga dan kelihatan lemah
Kelihatan seperti tiada harapan dan hilang arah tuju
Sering marah, pelupa, sedih dan senang untuk berasa jengkel dengan tindak tanduk orang sekeliling.
Mengalami ‘mood swing’ terutamanya ketika berhubung dengan pasangan.
Terfikir untuk mencederkan diri sendiri
Terdengar suara dan percaya kepada sesuatu yang tidak benar.
Tidak berupaya untuk mengendalikan rutin harian seperti kerja atau sekolah.
Ketahui Beberapa Penyakit Yang Berkaitan Dengan Masalah Mental
1. Masalah keresahan ataupun Generalised Anxiety Disorder
Seseorang yang mengalami masalah ini sering berasa risau akan pelbagai masalah dan hal ini akan mengundang keresahan. Antara simptom lain yang akan dirasai oleh pesakit adalah seperti masalah tidur terganggu, otot tegang, senang marah dan juga lemah badan.
2. Masalah yang berkaitan dengan mood.
Seseorang yang mengalami masalah mood boleh berada pada keadaan sedih mahupun mania. Mania merujuk kepada keadaan seseorang apabila seseorang sangat bertenaga dan gembira. Selain daripada mania, masalah mood sedih juga boleh dialami dan ia merupakan simptom yang amat lazim berlaku dan menyumbang kepada masalah depresi.
Sakit Bipolar . Sakit ini merujuk kepada seseorang yang ada simptom mania dan juga sedih. Pesakit yang mengalami masalah ini sering mengalami mood yang berubah-ubah. Ketika mereka berada pada keadaan mania, mereka amat bertenaga, bercakap dengan laju dan petah, boros dan menpunyai banyak idea untuk diluahkan.
Masalah tertekan ataupun kemurungan. Dalam terma perubatan, masalah ini dikenali sebagai Major Depressive Disorder (MDD). Sakit ini saban hari meningkat dalam kalangan komuniti. Setiap orang pastinya pernah mengalami masalah tertekan dalam hidup mereka namun bagi pesakit MDD, keadaan tertekan atau murung ini berlarutan lebih 2 minggu dan tidak boleh untuk melakukan rutin harian dengan baik.
3. Masalah skizofrenia.
Masalah ini merupakan satu spektrum yang amat luas iaitu pesakit boleh mengalami halusinasi, berilusi dan juga merasakan sesuatu yang tidak wujud. Ia boleh untuk dikelaskan kepada simptom positif seperti delusi dan halusinasi. Bagi simptom negatif pula, ia termasuklah kurang motivasi dan mood yang tidak bersesuaian dengan persekitaran.
Ditulis oleh
Fready Luke
MBBS (Unimas)
Di Tempat Kerja Menjurus Kepada Punca Keretakan Kebahagiaan RumahTangga
27 Apr 2022





