SLIDER

hormon
Showing posts with label hormon. Show all posts

Apakah Maksud Ujian Kehamilan (Urine Pregnancy Test) Negatif Tetapi Tetap Hamil?

8 Apr 2025



Soalan :

Salam, doktor. Saya berusia 30 tahun, bekerja sebagai seorang kerani di salah sebuah firma guaman. Saya sudah berkahwin dan belum mempunyai anak. Saya ingin bertanya berkaitan dengan ujian kehamilan. Selepas 6 minggu saya terlepas haid, badan saya mula bertindak balas dan menunjukkan tanda akan mengalami kehamilan seperti pening-pening, rasa loya pada waktu pagi dan muntah-muntah. Jadi. saya cuba untuk menggunakan upt atau ujian kehamilan melalui air kencing. Tetapi hasil daripada ujian tersebut adalah negatif yang bermaksud saya tidak hamil. Saya merasakan bahawa saya sudah mengguna alat ujian kehamilan ini dengan arahan yang diberi dan tidak sepatutnya memberi keputusan yang salah jika dipatuhi dengan betul.Kemudian, saya cuba lagi untuk kali kedua dan hasilnya tetap negatif. 

Akhirnya, suami mengajak saya untuk pergi ke hospital kerana saya ada mengadu kepadanya yang saya sangat tidak bermaya dan tidak sedap badan dan di situlah saya mengetahui yang saya telah mengandung dengan kandungan berusia 9 minggu.
Jadi, pada pendapat doktor, apakah penyebab kepada ujian kehamilan yang negatif walaupun telah dicuba berkali-kali tetapi masih hamil? Adakah ia sesuatu yang serius atau adakah ia berkaitan dengan penyakit lain?

Jawapan :

Selamat sejahtera, terima kasih atas soalan anda. Untuk makluman anda, ujian kehamilan atau UPT (urine pregnancy test) yang berulang-ulang kali negatif memang kebiasaannya membawa maksud seorang wanita itu tidak hamil. Ujian kehamilan yang negatif setelah seminggu atau lebih haid yang lewat menunjukkan bahawa peluang kehamilan adalah kurang daripada 1 hingga 2%. Sebaliknya, ujian kehamilan yang positif biasanya bermaksud seorang wanita itu mengandung. 

Walau bagaimanapun, untuk makluman anda, kadangkala ujian kehamilan yang negatif setelah haid yang lewat boleh juga membawa maksud anda sedang hamil. Secara umum, kadar hormon hCG akan berganda setiap 48 jam pada awal kehamilan. Maka, ujian kehamilan yang negatif pada hari Isnin kemungkinan akan menjadi positif pada hari Rabu. Selain itu, jika hasil ujian positif terhadap air kencing yang pertama pada waktu pagi, kemudian pada waktu apabila air kencing lebih cair, ia boleh menjadi negatif. 

Hal ini disebabkan oleh faktor kepekatan hormon hCG dalam air kencing. Namun, harus diingat bahawa ujian darah masih dianggap sebagai ujian yang terbaik untuk mengesan awal kehamilan. Tempoh waktu untuk mendapatkan hasil ujian yang positif bergantung kepada proses implantasi kehamilan.

 Justeru, jika anda hamil, keputusan ujian kehamilan mungkin belum menunjukkan hasil positif sehingga 3 atau 4 hari setelah proses implantasi, iaitu kira-kira dalam tempoh 10 hari setelah persenyawaan (antara sperma laki-laki dan sel telur/ovum wanita) dan 4 hari sebelum jangkaan haid yang berikutnya. 51% wanita hamil mendapati hasil ujian kehamilan yang positif 2 hari sebelum jangkaan haid seterusnya. 

Akan tetapi, dalam sesetengah kes,ujian kehamilan yang negatif tapi masih hamil boleh menjadi tanda kepada beberapa kondisi kesihatan tertentu. Perkara tersebut memerlukan pemeriksaan susulan daripada doktor sebelum sebarang kesimpulan boleh dibuat.

APAKAH PENYEBAB UJIAN KEHAMILAN NEGATIF TETAPI MASIH HAMIL?

1) Anda Hamil, Tetapi Anda Mengambil Ujian Kehamilan Terlalu Awal

  • Ujian kehamilan berfungsi dengan mengesan hCG iaitu hormon kehamilan. Jika anda cukup yakin anda hamil kerana anda telah mengalami beberapa gejala awal kehamilan tetapi mempunyai keputusan ujian negatif, salah satu sebab yang paling biasa ialah anda telah mengambil ujian kehamilan terlalu awal, dan tubuh anda belum menghasilkan hormon hCG yang cukup untuk ujian tersebut mengesannya. hCG boleh dikesan dalam air kencing sekurang-kurangnya dua minggu selepas persenyawaan berlaku.

  • Untuk keputusan ujian yang tepat 99%, ujian ini perlu mengesan sekurang-kurangnya 25 mili-unit antarabangsa bagi setiap mililiter (mIU / mL). Dalam dua minggu pertama kehamilan, hanya kira-kira 10 mlU / ml hCG dapat dihasilkan.

  • Oleh itu, untuk mendapatkan keputusan ujian yang boleh dipercayai, tunggu dua minggu selepas tempoh haid terlepas. Pada masa ini, badan anda akan menghasilkan banyak hCG, dan ujian kehamilan anda akan jauh lebih tepat.

2)  Anda Hamil, Tetapi Alat Ujian Kehamilan Telah Rosak

Ujian tersebut mungkin telah tamat tempoh, atau mungkin disimpan di tempat yang tidak sesuai (contohnya dalam kabinet bilik mandi yang basah). Beli UPT atau alat ujian kehamilan yang baru, dan cuba lagi untuk memastikan keputusannya tepat.

3) Anda Hamil, Tetapi Anda Mempunyai Haid Yang Tidak Teratur Dan Ovulasi Lewat

Jika anda mempunyai kitaran haid yang tidak teratur, kemudian anda mendapat ujian negatif tetapi tidak haid di mana ia mungkin bermaksud ovulasi agak lewat bulan ini. Ini akan menangguhkan tarikh implantasi, yang mungkin menyebabkan anda salah mengira jumlah hari yang sepatutnya anda lakukan ujian kehamilan. Inilah sebabnya mengapa anda dinasihatkan untuk membuat ujian kehamilan satu atau dua minggu selepas hari anda jangkakan haid datang.

4) Anda Mengandung Anak Kembar Atau Kembar Tiga

Mengandungkan dua atau lebih bayi menyebabkan seseorang wanita menghasilkan tahap hCG yang sangat tinggi dan ujian kehamilan mungkin tidak dapat mengesannya kerana hormon hCG terlalu banyak. Dalam istilah perubatan, ia dikenali sebagai "kesan cangkuk dos tinggi" (high-dose hook effect).

5) Anda Mengalami Kehamilan Ektopik (Ectopic Pregnancy) Yang Menunda Penghasilan hCG

Kehamilan ektopik berlaku apabila telur yang sudah disenyawakan mengimplantasikan diri sendiri di suatu tempat selain daripada rahim (biasanya di dalam tiub fallopian), yang menangguhkan penghasilan hormon hCG dan menyebabkan kesakitan yang teruk di bahagian bawah perut atau sisi kiri atau kanan abdomen. Keadaan ini jarang berlaku dan berlaku hanya dalam 1 daripada 40 kehamilan, tetapi ia sangat berbahaya dan harus mendapat diagnosis lebih awal untuk mencegah akibat yang mengancam nyawa bagi wanita.

6)  Anda Hamil, Tetapi Anda Mempunyai Penyakit Trophoblastik Gestational / ‘Gestational Trophoblastic Disease’(GTD)

Ini sangat jarang berlaku. Penyakit trophoblastik gestational berlaku apabila tumor terbentuk di lapisan sel yang dipanggil trophoblast yang biasanya mengelilingi embrio. Jenis GTD yang paling biasa berlaku adalah ‘hydatidiform mole’ yang juga dikenali sebagai kehamilan molar. Tumor ini jarang membentuk kanser, tetapi kehamilan biasanya berakhir dengan keguguran kerana embrio tidak boleh terbentuk. Sangat jarang bayi yang sihat lahir dari kehamilan GTD.

7) Anda Tidak Mematuhi Arahan dengan betul

Baca arahan di pakej ujian kehamilan anda dengan berhati-hati supaya anda dapat mengendalikan ujian dengan baik. Oleh kerana ujian adalah bersifat mementingkan kualiti, ini menjadikan alat ujian peka terhadap proses ujian. Kebanyakan ujian kehamilan meminta anda memegang jalur ujian dalam air kencing, dan kencing di atasnya semasa di tandas. Sesetengah ujian memerlukan anda untuk mencelupkan jalur ujian ke dalam cawan bersih di mana anda telah mengumpul air kencing (kaedah pilihan saya untuk keputusan ujian kehamilan yang tepat).


APAKAH LANGKAH SETERUSNYA?

  • Jadi apa yang boleh anda lakukan jika anda mempunyai ujian kehamilan yang negatif tetapi masih mengandung? Ia sangat bergantung kepada bilakah anda menjangkakan kitaran haid anda akan datang. Terdapat 50-50 peluang bahawa ujian itu boleh menjadi negatif palsu jika anda tidak mampu menjangkakan tempoh haid anda.

  • Tunggu selama beberapa hari untuk mendapatkan ujian lain seelok-eloknya dua minggu selepas tarikh haid terlepas. Walau bagaimanapun, jika tempoh haid anda datang dan anda merasakan anda mengandung, anda harus menunggu sehingga beberapa hari selepas haid untuk mengambil ujian kehamilan yang lain.

  • Ia mungkin menunjukkan terdapat sebab-sebab yang lain seperti yang dibincangkan di atas jika anda mendapat ujian negatif lagi. Anda boleh mengulangi ujian sekali lagi jika anda mahu. Tetapi jika anda mendapat ujian negatif kali ini, ia hampir-hampir bermaksud bahawa anda tidak hamil. Anda mungkin "terasa mengandung" kerana sebab-sebab lain yang memerlukan anda untuk berjumpa dengan doktor. Juga, mungkin terlalu sukar untuk anda menerima ujian negatif jika anda berusaha keras untuk hamil.

Jika terdapat apa-apa kemusykilan, sila rujuk nasihat doktor yang boleh dijumpai di klinik atau hospital.


Kredit : DoctorOnCall



Fahami Fasa Dan Tanda Menopaus Wanita. Periksa 5 Tanda Ini Sekiranya Anda Menginjak Umur 40an

17 Apr 2022



Menopaus berlaku apabila seseorang wanita tidak lagi mengalami haid selama 12 bulan berturut-turut. Ini adalah sebahagian daripada proses penuaan yang normal. Jadi, apa tanda menopause wanita umumnya ?

Perlu anda tahu, menopaus boleh berlaku dek penurunan tahap hormon seks wanita secara semula jadi apabila menginjak usia lebih tua.

Ovari akhirnya berhenti membebaskan telur, menyebabkan anda tidak lagi datang bulan atau hamil.

Sebilangan besar wanita juga mula mengalami menopaus pada usia 40-an atau 50-an, berbeza-beza mengikut individu.

Mari ikuti kupasan ini untuk kenali simptom-simptom menopause pada wanita!

Fahami fasa dan tanda menopause wanita 

Putus haid merupakan suatu proses semula jadi yang akan berlaku kepada setiap wanita apabila mencecah usia tertentu, dan pengalaman masing-masing pastinya unik.

Menopaus secara umumnya akan melalui 3 peringkat, merangkumi:

  1. Perimenopause: Merupakan fasa peralihan yang bermula sebelum putus haid dan merangkumi 12 bulan haid terakhir seseorang wanita.
  2. Menopaus: Fasa ini bermula secara rasminya apabila anda tidak didatangi haid selama setahun, selepas haid terakhir atau apabila haid terhenti atas faktor perubatan seperti pembuangan ovari.
  3. Postmenopause: Fasa ini meliputi tahun-tahun pasca menopaus.

Tanda-tanda menopause

Pengalaman menopaus setiap wanita adalah unik dan gejala biasanya menjadi lebih teruk apabila ia berlaku secara mengejut atau dalam jangka masa yang pendek.

Kondisi yang mempengaruhi kesihatan ovari, seperti kanser, histerektomi, atau pengamalan gaya hidup tertentu, seperti merokok, cenderung meningkatkan lagi keparahan dan jangka masa gejala menopause.

Selain perubahan haid, gejala perimenopause, menopaus, dan postmenopause secara umumnya adalah sama sahaja.

#1 Haid tidak teratur

Antara tanda menopause wanita Malaysia yang pertama adalah perubahan dan ketidakteraturan kitaran haid.

Ini menjadi petanda utama yang menunjukkan anda sedang dalam ‘perjalanan’ untuk menopaus.

Haid anda mungkin akan datang dengan lebih kerap atau lebih jarang, lebih berat atau lebih ringan, masa berlangsung lebih lama atau lebih pendek daripada sebelumnya.

Justeru, ketika dalam fasa perimenopause, anda bakal alami kesukaran untuk meramalkan haid seterusnya atau tempoh masa ia berlaku.

Anda juga lebih sukar untuk hamil dalam fasa ini, tetapi selagi masih didatangi haid, kehamilan masih berpeluang untuk berlaku.

Selain itu, beberapa ubat kemoterapi yang digunakan untuk merawat kanser juga berupaya memicu haid tidak teratur.

Sebarang pendarahan atau spotting selepas menopaus adalah tidak normal! Segera rujuk ke klinik atau hospital berdekatan untuk didiagnosis.

#2 Panas badan (hot flashes)

Hot flashes boleh membuatkan anda berasa panas atau berpeluh di bahagian atas badan secara tiba-tiba tanpa sebab yang jelas.

Kulit juga mungkin akan bertukar warna merah dan jantung berdegup lebih laju. Kemudian, anda mungkin turut rasai sensasi sejuk secara tiba-tiba.

Night sweats pula adalah panas badan yang berlaku semasa tidur. Simptom ini boleh menjadi sangat kuat sehingga menjejaskan tidur anda.

Sama seperti kebanyakan gejala menopaus lain, pengalaman hot flashes dan night sweats juga mungkin berbeza-beza bagi setiap wanita.

Ia mungkin berlangsung selama seminit atau 5 minit, boleh menjadi ringan atau parah.

Anda juga mungkin merasainya beberapa kali setiap jam, setiap minggu, atau tidak mengalaminya sama sekali.

Bagi sesetengah wanita, simptom ini mampu berterusan selama bertahun-tahun, atau bahkan dekad setelah haid terhenti hingga ke fasa yang digelar postmenopause.

#3 Perubahan perasaan terhadap seks

Semasa menopaus, sebilangan wanita mendapati mereka mudah terangsang dan lebih gemar bersenggama dek kebebasan dirasai kerana tidak perlu lagi bimbang dengan potensi kehamilan.

Namun, ada juga yang sebaliknya menzahirkan rasa keinginan terhadap seks yang makin berkurangan.

Anda perlu tahu, semasa menopaus, kulit di sekitar faraj berisiko menjadi kering, lantas boleh menyebabkan pengalaman seks yang menyakitkan.

Justeru, penggunaan pelincir semestinya dapat membantu!

#4 Perubahan mood

Banyak perkara boleh memberi kesan terhadap mood anda, dan ini termasuk jugalah perubahan hormon yang berlaku di sekitar fasa menopaus.

Sekiranya kalian pernah mengalami kegelisahan atau kemurungan pada masa lalu, gejala anda mungkin bertambah buruk apabila putus haid.

Apa pun alasannya, anda berhak untuk merasa gembira! Jika anda mendapati telah mengalami mood swing selama lebih dari beberapa minggu, pastikan untuk maklumkan kepada doktor.

Bersama-sama, doktor akan dapat memutuskan pilihan rawatan bersesuaian untuk membantu anda berasa lebih baik.

#5 Alami perubahan fizikal

Ketika putus haid, wanita sering kali melihat perubahan pada kulit dan rambut yang semakin kering serta menipis.

Malah, ada juga yang bertambah berat badan dalam fasa ini. Tubuh kalian juga mungkin berubah apabila badan menyimpan lebih banyak lemak di sekitar pinggang dan berlaku penyusutan otot secara menyeluruh.

Bukan itu sahaja, anda mungkin tidak lagi selincah dahulu dan mula hadapi kesukaran untuk bergerak, atau alami sakit-sakit sendi.

Oleh itu, adalah amat penting untuk kekal aktif! Anda mungkin perlu bekerja dengan lebih keras untuk mengekalkan kekuatan dan fit.

Akhir kata, berikut adalah perkongsian berkaitan simptom menopause pada wanita secara umum, yang boleh dikenal pasti.

Sekiranya anda mempunyai sebarang keraguan atau kebimbangan, rujuk doktor atau pakar sakit puan untuk dapatkan maklumat lebih lanjut.

Kredit : Hellodoktor


Garisan Hitam Di Perut Ibu Hamil, Jangan Percaya MITOS. Ini Adalah Sebabnya

15 Mar 2022



“Sejak perut makin membesar ni, makin jelas garis hitam di perut. Orang kata kalau ada garisan jelas macam ni, dapat anak lelaki, ye ke?”

Garisan hitam atau berwarna gelap yang menegak dari kawasan bawah pusat hingga ke bahagian kemaluan ini amat sinonim dengan wanita hamil. Ia biasanya muncul pada usia kehamilan 23 minggu atau trimester kedua.

Sebenarnya garisan ini memang ada pada setiap orang dan dikenali sebagai linea alba. Apabila linea alba ini menjadi semakin jelas dan berubah menjadi warna gelap, ia dikenali sebagai linea nigra.


5 PERKARA TENTANG GARIS HITAM DI PERUT IBU MENGANDUNG


1. BUKAN PENENTU JANTINA BAYI DALAM KANDUNGAN

Orang lama rajin mengaitkan garis hitam di perut ibu hamil ini sebagai cara menentukan jantina bayi dalam kandungan.

Menurut telahan mereka, kalau garisan ini berhenti sampai pusat maksudnya anak dalam kandungan adalah anak perempuan. Sebaliknya apabila garis hitam tersebut sampai ke atas perut (hingga ke abdomen) maksudnya anak dalam kandungan itu lelaki. Ada juga bidan-bidan kampung yang kata perempuan yang ada garisan yang ketara maksudnya dia akan mudah bersalin nanti.

Walaupun kadangkala ianya tepat, namun sehingga kini tiada fakta saintifik yang dapat mengesahkan kenyataan tersebut.


2. GARIS HITAM TERJADI AKIBAT PERUBAHAN HORMON

Hampir semua ibu yang mengandungkan anak pertama akan mengalami perubahan pada kulit. Hormon yang aktif semasa mengandung bukan sahaja berperanan menyokong perkembangan bayi serta penghasilan susu badan, ia juga menyebabkan perubahan fizikal.

Dalam kes ini, hormon estrogen yang hadir merangsang sejenis hormon lain untuk dihasilkan iaitu hormon ‘melanocyte-stimulating hormone’. Hormon ini berperanan untuk menghasilkan pigmen pada sel yang mengandungi melanosit dan seterusnya membuatkan kulit kelihatan lebih gelap. Bukan garisan ini saja yang ketara, malah anda pasti perasan yang terdapat bahagian lain menjadi semakin gelap ketika mengandung seperti leher, pelipat dan kawasan sekitar areola.

Sesetengah wanita sensitif dengan perubahan hormon ini dan ada yang tidak. Oleh sebab itu, tidak semua wanita akan mendapati perubahan yang ketara pada kulitnya.


3. MUNGKIN PETANDA KURANG ASID FOLIK

Sebuah kajian yang dilaporkan dalam Journal of Family Medicine and Primary Care mendapati antara punca munculnya linea nigra ini ada kaitannya dengan kekurangan asid folik dalam tubuh.

Oleh itu, jangan mengabaikan pengambilan vitamin asid folik yang dipreskripsikan oleh doktor. Selain itu, anda juga boleh menambahkan sumber asid folik dalam diet harian dengan memakan sayuran berdaun hijau serta bijirin penuh.

Asid folik amat penting untuk perkembangan janin, mengelakkan anemia, mencegah kecacatan bayi dalam kandungan, serta menjaga kondisi kulit ibu hamil.


4. BILAKAH GARISAN HITAM INI AKAN MENGHILANG?

Mungkin sesetengah ibu hamil merasakan penampilan mereka kurang menarik dengan kemunculan linea nigra ini. Namun para ibu tidak perlu risau kerana garisan serta pigmentasi tersebut lazimnya bersifat sementara. Ia dijangka akan memudar dan hilang beberapa bulan selepas melahirkan bayi.

Walaubagaimanapun bagi sesetengah wanita, garis hitam ini mungkin tidak akan hilang sepenuhnya.


5. CARA MENGHILANGKAN GARIS HITAM PADA PERUT

Linea nigra bukanlah boleh dihilangkan dengan mudah. Sungguhpun begitu, garisan tersebut boleh menjadi kurang ketara dengan melakukan beberapa cara.

Anda boleh cuba gel atau krim yang berasaskan sumber semulajadi seperti cocoa butter atau gel vitamin E. Amalan ini bukan sahaja dapat mengurangkan garisan pada perut, malah dapat membantu mengurangkan strech mark pada kulit perut.

Selain itu, banyakkan makan makanan yang kaya dengan folat seperti buah-buahan serta sayuran hijau serta amalkan supplemen asid folik seperti yang disarankan oleh doktor.


JANGAN PERCAYA MITOS

Jadi sekarang anda dah tahu kan apa sebenarnya maksud garis hitam di perut ibu mengandung. Tanggapan bahawa ia mempengaruhi jantina bayi adalah mitos semata-mata. Jika ianya betul, itu hanyalah kebetulan saja.

Linea nigra bukanlah sesuatu yang perlu anda risaukan, bahkan ia menandakan perkembangan yang baik dalam tempoh kehamilan serta perubahan hormon yang sihat dan progresif untuk kesihatan anda dan bayi.

Jadi, tak ada apa yang perlu anda risaukan ya!


Kredit : SirapLimau


Setahun Sekali Datang Haid, Hidap PCOS - Wanita Ini Kongsi Pengalaman

23 Dec 2021






PCOS juga dikenali sebagai ‘Stein-Levanthal Syndrome’ ini disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon di dalam badan, di mana terdapat berlebihan hormon lelaki dan insulin di dalam pesakit. Ini boleh mengakibatkan kitaran haid yang tidak teratur disebabkan tiada ovulasi, haid yang berpanjangan dan banyak, kemandulan, obesiti, pengangguan metabolisme gula dan kolesterol. Jom kita baca pengalaman yang dikongsikan oleh wanita yang merupakan bekas pesakit PCOS ini untuk dijadikan panduan.


MY JOURNEY WITH PCOS #pcosfighter




Sempena setahun selepas buat Laparoscopic Surgery on Pcos, jom kita throwback sikit pengalaman saya. Cerita ni bermula seawal umur 14 tahun bila period datang dua bulan sekali. Dan semakin meningkat jarak kehadiran period tu. Sehingga pernah setahun, hanya sekali. TAHUN 2013, perubahan pada kulit semakin ketara, bulu roma di tangan semakin lebat, jerawat semakin subur di kulit, pikmentasi kulit semakin bertambah, period semakin lambat. Pernah 8bulan xdatang period. Pergi klinik reproduktif, masa tu doctor suspect pcos.


Ape itu PCOS?



Doctor suruh buat research sendiri. Supaya betul² faham maksudnya. Doktor kasi pil hormone (Yasmin/ Diane35) Dan doktor kasi refer letter ke Hospital. Tapi masa tu masih xtau kemudaratan nya.. TAK PERNAH refer hospital.

TAHUN 2015, semakin cakna tentang ketidakhadiran period, refer hospital swasta dengan pakar O&G, doctor scan, tak kelihatan lagi cyst nya dlm ovary. Cume ovary kelihatan bukan pada size normal. Doktor hanya suggest utk teruskan ambik pil hormone selama 3bulan berturut. Tujuannya adalah utk normalkan semula kelancaran period setiap bulan. Malangnya, selepas 3bulan bergantung dgn Yasmin, masuk bulan ke-4, period xdtg pula… mase tu mula rase stress dtg semula… fed-up dgn ubatan, dan hanya biarkan period xdtg lagi.

TAHUN 2016, Selepas kahwin tanpa refer O&g terus ambik Yasmin 1cycle dan terus anggap boleh pregnant, bila xpregnant, lagi stress. Bayangkan setiap hari check UPT (dan sehingga kini sy menjual UPT/OPK haaa promote sikit). Setiap bulan pergi klinik scan. Tapi semua tu hanya sia-sia. At last jumpe o&g semula, doctor bg cadangan utk ambik ubat induced bleeding (provera) dan makan pil rangsang telur (clomid).




Ujian bertimpa, semasa cycle pertama pengambilan Clomid, perkahwinan berakhir dengan penceraian (so xsempat experiment clomid tu). Stress semakin kuat, hormon semakin tak stabil, emosi semakin bercelaru. Period langsung xdatang selepas berpisah. Seminggu selepas bercerai, masuk hospital demam panas, blood pressure naik mendadak (hipertension) dgn bacaan 157/103.

TAHUN 2017, pasang azam dari keluarga dan orang sekeliling yg bnyak memberi moral n mental support, kumpul semula semangat, kutip sisa hati yg berkecai musnah. Pada awal bulan 7, buat check up di hospital akibat rase ade sakit di breast. Lepas doctor buat scanning, tiada ape yg asing dan doctor tnye history kesihatan, saya kata mmg dah xperiod 8bulan dan doctor minta terus refer pakar O&G.

Bila buat altrasound, mmg nampak ketulan asing dalam kedua belah ovary. Doctor terus buat procedure laparoscopic surgery utk ovary drilling. Dan itu adalah ikhtiar terakhir yg boleh dibuat. Seminggu lepas tu, hospital call utk operation. Alhamdulillah selepas 2 hari pembedahan dilakukan, period keluar. Dan itulah saat yg tidak dpt diperkatakan betapa bersyukurnya.



Sebab doktor kata, jika period turun selepas pembedahan, itu membawa maksud pembedahan itu berjaya, jika tidak, doktor akan bagi masa dalam 2bulan. Jika tidak berhasil, maksdnya pembedahan tu tidak berjaya utk membantu PCOS. Masa tu doktor hanye bekalkan ubat kencing manis (metformin) utk 3bulan.


LANGSUNG TAK JAGA PEMAKANAN

Memang diakui semasa dlm waktu perkahwinan, langsung tidak jaga pemakanan hampir setiap hari makan process food and junk food. Burger, nugget, sausage, fries, ayam goreng, chips, snacks adalah makanan harian sebabkan ikut selera suami. Tapi sebenarnye semua tu kesilapan besar sebab waktu tu la adalah rapid growth untuk cyst tu terbentuk. Jika tidak tersedar awal, mungkin boleh menyebabkan cancer. Nauzubillah!

Tengok gambar. Yang putih merening tu adalah ovary. Ovary yang tidak normal. Warna putih sebab dah dipenuhi cyst. Kalau scan ultrasound, haaa nampak biji biji hitam macam anggur. Ovary tu dipenuhi hormone testosterone yg membantutkan kematangan telur. Sebab tu x period. So doktor tebuk ovary utk release hormone testosterone tu.. Yg lain lelemaks tu ko jgn tnye hakak.




Dan hormone hormone tu adalah dari pemakanan yg tidak sihat. So jaga lah pemakanan… bertindak awal sebelum merana. So untuk wanita diluar sana. Sayangi ovary anda kerana ovary ni sangat penting sbb ia adalah kilang utama telur anda. Dan telur telur ini akan habis. Bayangkan, jika dah banyak telur yg rosak menjadi cyst, tinggal berapa lagi telur yg berbaki? Umur masih muda.

Jika anda mempunyai masalah period tidak stabil, segerakan lah jumpe pakar. Jangan malu dan tggu sehingga bertahun. Jangan anggap tidak period bermaksud anda mengandung! Itu adalah hormone. Hormone yg mengganggu kitaran haid.

Tips: nak makan apa-apa ubat atau supplement, refer doc pakar anda dulu. Sebab dosage berbeza bagi setiap pesakit. JANGAN IKUT APA KAWAN AWAK MAKAN. Pesanan saya “hargai lah setiap titis darah period anda, saya setahun hanya sekali beli pad dan itu TIDAK NORMAL“.

Kredit : Ernieadilah Zulk 
Kredit : siraplimau 



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.