SLIDER

normal
Showing posts with label normal. Show all posts

KAEDAH MENENTUKAN DARAH SAMA ADA HAID ATAU ISTIHADAH

19 Feb 2024

 


Assalamualaikum. Kebiasaan tempoh haid isteri saya ialah 7 hari. Untuk kes ini, tarikh akhir haidnya adalah 27 Jun. Selama ini beliau tak pernah keluar darah istihadah. Namun baru-baru ini, darah keluar semula pada 2 Julai, dipercayai akibat kesan sampingan ubat pencegah hamil yang diambil. Memandangkan tempoh sucinya tidak cukup 15 hari, saya telah memberitahunya bahawa itu adalah darah istihadah dan beliau meneruskan solat wajib harian. Namun timbul kekeliruan di mana ada artikel dan pendapat menyatakan, darah yang keluar sebelum tempoh maksimum haid habis iaitu 15 hari bukanlah istihadah dan tidak boleh menunaikan solat. Persoalannya;

1. Adakah sebenarnya darah yang keluar ini istihadah ataupun darah haid?

2. Apakah hukumnya solat yang dilaksanakan sepanjang tempoh darah ini keluar? Adakah berdosa dan sia-sia?

3. Jika sebenarnya darah itu adalah haid, apakah kesilapan saya disebabkan ceteknya ilmu menyebabkan saya menanggung dosa?

Mohon pencerahan. Jazakumullah.

Tambahan Info:

1. Tarikh hari pertama darah keluar: 20 Jun 2021 (haid seperti biasa)

2. Masa/ waktu hari pertama darah keluar: Sekitar jam 5.15 pagi

3. Tarikh mandi wajib: 27 Jun 2021

4. Masa/ waktu mandi wajib: Lebih kurang jam 12.30 tengahari

5. Keadaan darah yang keluar berserta tarikh: Cair tak seperti haid biasa, berwarna merah cerah, kuantiti lebih banyak dari biasa pada hari pertama, hari seterusnya kuantiti seperti haid biasa tapi masih cair, mula keluar pada 2 Julai 2021 @ 7 pagi, berhenti pada 5 Julai 2021 @ sekitar 12 tengahari.


RINGKASAN JAWAPAN

  • Darah yang keluar bermula 20 Jun (5.15 pagi) sehingga 5 Julai (5.15 pagi), pada asalnya adalah darah haid.
  • Darah yang keluar semula pada 2 julai (7 pagi) sehingga 5 julai (5.15 pagi) masih dihukumkan haid kerana berada dalam tempoh maksimum haid 15 hari 15 malam.
  • Pada 5 Julai (5.15 pagi) darah masih keluar sehingga jam 12 tengahari. Ini bermakna darah yang keluar sudah melepasi tempoh sebanyak-banyak haid dan bersambung dengan hari ke-16. Pada waktu ini, barulah diketahui si isteri sedang mengalami darah haid dan istihadah secara bercampur.
  • Berdasarkan info tambahan yang diberikan, si isteri merupakan wanita mustahadah yang duduk dalam kumpulan Mu’tadah Mumayyizah iaitu wanita yang pernah mengalami haid dan suci serta mampu membezakan warna darah mengikut kepada sifat darah. (20 Jun- 27 Jun: Darah yang keluar pekat ), (2 Julai- 5 Julai: Darah yang keluar cair). Maka dihukumkan haid nya mengikut warna yang kuat dan istihadah mengikut warna yang lemah. Oleh itu, haid nya dihukumkan pada 20 Jun-27 Jun manakala 2 Julai-5 Julai darah yang keluar merupakan darah 
  •  istihadah.
  • Tempoh 2 Julai hingga 5 Julai (5.15 pagi) itu dalam tempoh istihadah, maka menurut hukum asal wanita itu diwajibkan untuk mengerjakan solat. Oleh itu, Tindakan si isteri mengerjakan solat adalah tepat dan solatnya sah berdasarkan sangkaannya ketika itu bertepatan dengan hukum asal (الظن في العبادة المعتبر). (Ini merupakan jawapan bagi soalan kedua)
  • Namun, dalam situasi yang lain misalnya si isteri menyangka tempoh darah kedua itu adalah haid dan tidak mendirikan solat berdasarkan sangkaan itu, maka diwajibkan kepadanya untuk menqada semula solatnya dalam tempoh tersebut. (Ini juga merupakan jawapan bagi soalan kedua).
  • Bagi menjawab soalan ketiga, kedudukan suami dan isteri tidak dikira berdosa atas sebab kejahilan atau kekurangan ilmu. Untuk masa akan datang, jika wujud sebarang kemusykilan maka perlu merujuk secepat mungkin kepada pakar fiqh bagi menyelesaikan masalah hukum-hakam seberapa segera.

HURAIAN JAWAPAN

Wa’alaikumussalam WBT. Alhamdulilah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah banginda sehingga hari kiamat.

Definisi Haid Dan Istihadah

Imam al-Khatib al-Syirbini mendefinisikan haid seperti berikut:

دم جبلة أي تقتضيه الطباع السليمة يخرج من اقصى رحم المراة بعد بلوغها على سبيل الصحة من غير سبب في أوقات معلومة

Maksudnya: Darah semula jadi sebagai kejadian normal yang keluar daripada pangkal rahim seorang wanita yang telah baligh dalam keadaan sihat tanpa sebab-sebab tertentu dan pada waktu-waktu yang diketahui.

(Lihat: Mughni al-Muhtaj, 1/277)

Berdasarkan definisi di atas, dapat difahami bahawa haid ialah darah semulajadi yang keluar secara normal daripada pangkal rahim wanita bukan disebabkan sakit serta ia keluar pada waktu-waktu tertentu sama ada pada waktu sekurang-kurang haid atau sebanyak-banyak haid atau waktu kebiasaan haid.

(Rujuk: al-Ibanah wal al-Ifadhah, 13)

Definisi ini berbeza dengan darah istihadah iaitu:

هي الدم الزائد على اكثر الحيض والنفاس او هي الدم الخارج من غير أيام الحيض والنفاس

Maksudnya: Darah yang keluar melebihi tempoh sebanyak-banyak haid dan nifas atau darah yang keluar bukan pada hari-hari haid dan nifas.

(Lihat: al-Taqrirah al-Sadidah, 1/167)

Ini bermakna, darah haid berlaku dalam tempoh tertentu berbeza dengan istihadah yang tidak mempunyai tempoh waktu tertentu.

 

Tempoh Haid

Dalam kitab al-Taqrirah al-Sadidah penulis menyebutkan tempoh haid adalah seperti berikut:

Sekurang-kurang tempoh haid ialah sehari semalam (24 jam), sebanyak-banyak tempoh haid ialah 15 hari 15 malam dan kebiasaan tempoh haid ialah 6 atau 7 hari.

(Rujuk: al-Taqrirah al-Sadidah, 1/161)

Justeru, kami ringkaskan tempoh haid seperti berikut:

  • Tempoh sekurang-kurang haid: Sehari semalam (24 jam)
  • Tempoh kebiasaan haid : 6 atau 7 hari
  • Tempoh maksimum haid : 15 hari 15 malam

Imam al-Darimi dalam penulisannya menyebutkan bahawa:

Sekiranya seorang perempuan yang sudah mencapai umur haid (9 tahun dan ke atas) melihat darah yang keluar pada tempoh sekurang-kurang haid (sehari semalam) dan tidak melepasi sebanyak-banyak haid (15 hari 15 malam) maka kesemua darah itu adalah haid. Sama ada tempoh tersebut sama seperti adat kebiasaanya sebelum ini atau tidak. Sama ada darah yang keluar mempunyai warna yang sama atau berbeza. Hal ini demikian kerana, syarat-syarat haid telah terkumpul padanya.

(Rujuk: al-Najm al-Wahhaj Fi Syarh al-Minhaj, 1/498)

Berdasarkan kenyataan ini dapat difahami bahawa, darah yang keluar dalam tempoh 15 hari 15 malam, walaupun berbeza adat dengan bulan sebelum nya atau berbeza warna darah yang keluar, selagi mana ianya keluar dalam tempoh 15 hari 15 malam dan tidak melepasi tempoh tersebut, maka kesemuanya dihukumkan darah haid.

Walau bagaimanapun, sekiranya darah yang keluar melepasi tempoh 15 hari 15 malam dan bersambung dengan hari seterusnya tanpa berhenti maka darah yang keluar dihukumkan sebagai darah istihadah manakala wanita yang mengalami keadaan ini dinamakan sebagai wanita mustahadah yang memiliki beberapa pembahagian kerana darah haid dan istihadahnya telah bercampur dalam tempoh tersebut.

(Rujuk: Matan al-Zubad, 27)

 

Penentuan Haid Dan Istihadah Bagi Darah Yang Bercampur

Penentuan kepada permasalahan ini terbahagi kepada dua:

  • Menentukan haid dan istihadah dengan melihat kepada warna darah (Tamyiz al-Dam).

Sekiranya seorang wanita melihat terdapat perbezaan warna dan sifat darah dalam tempoh tersebut, maka dihukumkan haid pada darah yang kuat (sifat dan warnanya) dan dihukumkan istihadah bagi darah yang lemah (sifat dan warnanya) mengikut syarat-syarat tamyiz.

Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam penulisannya:

وَيُحْكَمُ لِلْمُعْتَادَةِ الْمُمَيِّزَةِ بِالتَّمْيِيزِ لَا الْعَادَةِ فِي الْأَصَحِّ

Maksudnya: Dihukumkan bagi perempuan Mu'tadah Mumayyizah dengan tamyiznya (Darah yang sifatnya kuat adalah haid, yang sifatnya lemah adalah istihadah). Tidak dihukumkan dengan adat sebelumnya menurut pandangan yang paling sahih.

(Rujuk: Minhaj al-Thalibin wa Umdah al-Muftin88)

  • Menentukan darah haid dan istihadah melihat kepada adat kebiasaan wanita tersebut.

Sekiranya seorang wanita melihat darah yang keluar dengan satu sifat iaitu tiada perbezaan warna pada darah tersebut, maka dihukumkan haidnya mengikut kadar adat kebiasaan haid yang sebelum manakala bakinya dihukumkan istihadah.

Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Khatib al-Syirbini dalam penulisannya:

وَإِن كَانَت مُعْتَادَة غير مُمَيزَة بِأَن سبق لَهَا حيض وطهر وَهِي تعلمهَا قدرا ووقتا فَترد إِلَيْهِمَا قدرا ووقتا

Maksudnya: Jika seorang perempuan pernah mengalami haid dan suci sebelumnya padahal dia tidak dapat membezakan sifat darah ini (yakni darah yang melebihi tempoh 15 hari 15 malam, kerana darah keluar dengan satu sifat ) sedangkan dia masih ingat kadar dan waktu bagi haid dan sucinya yang sebelum ini, maka dikembalikan kepada kadar dan waktu haid dan sucinya yang sebelum ini.

(Rujuk: al-Iqna Fi Hal Alfaz Matan Abi Syuja’, 1/242)


Berbalik kepada persoalan di atas, kami rumuskan jawapan seperti berikut:

TARIKH

PENJELASAN

20 Jun (5.15 pagi) – 5 Julai (5.15 pagi)

Tempoh 15 hari 15 malam.

Darah yang keluar dihukumkan haid

27 Jun – 1 Julai

Tempoh Naqa. Dihukumkan haid jika duduk dalam tempoh 15 hari 15 malam.

2 Julai (7 pagi) – 5 Julai (5.15 pagi)

Darah yang keluar masih dihukumkan haid

5 Julai (5.16 pagi – 12 Tenghari )

Darah yang keluar melepasi tempoh sebanyak-banyak haid 15 hari 15 malam dan sudah memasuki hari ke-16

 

Berdasarkan jadual di atas dapat difahami bahawa:

  • Darah yang keluar bermula 20 Jun (5.15 pagi) sehingga 5 Julai (5.15 pagi), pada asalnya adalah darah haid.
  • Darah yang keluar semula pada 2 julai (7 pagi) sehingga 5 julai (5.15 pagi) masih dihukumkan haid kerana berada dalam tempoh maksimum haid 15 hari 15 malam.
  • Pada 5 Julai (5.15 pagi) darah masih keluar sehingga jam 12 tengahari. Ini bermakna darah yang keluar sudah melepasi tempoh sebanyak-banyak haid dan bersambung dengan hari ke-16. Pada waktu ini, barulah diketahui si isteri sedang mengalami darah haid dan istihadah secara bercampur.
  • Berdasarkan info tambahan yang diberikan, si isteri merupakan wanita mustahadah yang duduk dalam kumpulan Mu’tadah Mumayyizah iaitu wanita yang pernah mengalami haid dan suci serta mampu membezakan warna darah mengikut kepada sifat darah. (20 Jun- 27 Jun: Darah yang keluar pekat), (2 Julai- 5 Julai: Darah yang keluar cair). Maka dihukumkan haid nya mengikut warna yang kuat dan istihadah mengikut warna yang lemah. Oleh itu, haid nya dihukumkan pada 20 Jun -27 Jun manakala 2 Julai-5 Julai darah yang keluar merupakan darah istihadah.
  • Tempoh 2 Julai hingga 5 Julai (5.15 pagi) itu dalam tempoh istihadah, maka menurut hukum asal wanita itu diwajibkan untuk mengerjakan solat. Oleh itu, Tindakan si isteri mengerjakan untuk mengerjakan solat adalah tepat dan solatnya sah berdasarkan sangkaannya ketika itu bertepatan dengan hukum asal (الظن في العبادة المعتبر). (Ini merupakan jawapan bagi soalan kedua)
  • Namun, dalam situasi yang lain misalnya si isteri menyangka tempoh darah kedua itu adalah haid dan tidak mendirikan solat berdasarkan sangkaan itu, maka diwajibkan kepadanya untuk menqadakan solat dalam tempoh tersebut. (Ini juga merupakan jawapan bagi soalan kedua).
  • Untuk menjawab soalan ketiga, kedudukan suami dan isteri tidak dikira berdosa atas sebab kejahilan atau kekurangan ilmu. Untuk masa akan datang, jika wujud sebarang kemusykilan maka perlu merujuk secepat mungkin kepada pakar fiqh bagi menyelesaikan masalah hukum-hakam seberapa segera.

Semoga penjelasan ini mampu memberi penyelesaian dan jawapan kepada persoalan tuan. Wallahualam.

 

RUJUKAN

  • Al-Darimi, Kamal al-Din Abi al-Baqa’ Muhammad (2004), al-Najm al-Wahhaj Fi Syarh al-Minhaj, Beirut: Dar al-Minhaj, cet.1, p.498.
  • Al-Syirbini, Shamsuddin Muhammad (2000), Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifa Ma’ani Alfaz al-Minhaj, Beirut: Dar-Kutub al-Ilmiyyah, juz.1, p.277.
  • Al-Syirbini, Shamsuddin Muhammad (2004), al-Iqna Fi Hal Alfaz Abi Syuja’, Beirut: Dar-Kutub al-Ilmiyyah, juz.1, p.242
  • Al-Saqqaf, Abdul Rahman bin Abdullah (2020), al-Ibanah wa al-Ifadhah Fi Ahkam al-Haid wa al-Nifas wa al-Istihadah ‘Ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, Kaherah: Dar-Tholib al-Azhari, cet.6, p.13
  • Al-Nawawi, Muhyiddin Abi Zakariya bin Sharaf (2005), Minhaj al-Thalibin wa Umdah al-Muftin, Beirut: Dar-Minhaj, cet.1, p.88
  • Ahmad bin Ruslan al-Syafi’i (1948), Matan al-Zubad Fi Ilm al-Fiqh ‘Ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, Mekah: Maktabah al-Thaqafah, cet.1, p.27
  • Hassan bin Ahmad bin Muhammad Salim al-Kaff (2003), al-Taqrirah al-Sadidah Fi Masail al-Mufidah, Tarim: Dar-Ulum wa al-Da’wah, cet.1, p.161 & 167

 Al Kafi li al-Fatawi

Kredit : Pej Mufti Wilayah Persekutuan


Fahami Fasa Dan Tanda Menopaus Wanita. Periksa 5 Tanda Ini Sekiranya Anda Menginjak Umur 40an

17 Apr 2022



Menopaus berlaku apabila seseorang wanita tidak lagi mengalami haid selama 12 bulan berturut-turut. Ini adalah sebahagian daripada proses penuaan yang normal. Jadi, apa tanda menopause wanita umumnya ?

Perlu anda tahu, menopaus boleh berlaku dek penurunan tahap hormon seks wanita secara semula jadi apabila menginjak usia lebih tua.

Ovari akhirnya berhenti membebaskan telur, menyebabkan anda tidak lagi datang bulan atau hamil.

Sebilangan besar wanita juga mula mengalami menopaus pada usia 40-an atau 50-an, berbeza-beza mengikut individu.

Mari ikuti kupasan ini untuk kenali simptom-simptom menopause pada wanita!

Fahami fasa dan tanda menopause wanita 

Putus haid merupakan suatu proses semula jadi yang akan berlaku kepada setiap wanita apabila mencecah usia tertentu, dan pengalaman masing-masing pastinya unik.

Menopaus secara umumnya akan melalui 3 peringkat, merangkumi:

  1. Perimenopause: Merupakan fasa peralihan yang bermula sebelum putus haid dan merangkumi 12 bulan haid terakhir seseorang wanita.
  2. Menopaus: Fasa ini bermula secara rasminya apabila anda tidak didatangi haid selama setahun, selepas haid terakhir atau apabila haid terhenti atas faktor perubatan seperti pembuangan ovari.
  3. Postmenopause: Fasa ini meliputi tahun-tahun pasca menopaus.

Tanda-tanda menopause

Pengalaman menopaus setiap wanita adalah unik dan gejala biasanya menjadi lebih teruk apabila ia berlaku secara mengejut atau dalam jangka masa yang pendek.

Kondisi yang mempengaruhi kesihatan ovari, seperti kanser, histerektomi, atau pengamalan gaya hidup tertentu, seperti merokok, cenderung meningkatkan lagi keparahan dan jangka masa gejala menopause.

Selain perubahan haid, gejala perimenopause, menopaus, dan postmenopause secara umumnya adalah sama sahaja.

#1 Haid tidak teratur

Antara tanda menopause wanita Malaysia yang pertama adalah perubahan dan ketidakteraturan kitaran haid.

Ini menjadi petanda utama yang menunjukkan anda sedang dalam ‘perjalanan’ untuk menopaus.

Haid anda mungkin akan datang dengan lebih kerap atau lebih jarang, lebih berat atau lebih ringan, masa berlangsung lebih lama atau lebih pendek daripada sebelumnya.

Justeru, ketika dalam fasa perimenopause, anda bakal alami kesukaran untuk meramalkan haid seterusnya atau tempoh masa ia berlaku.

Anda juga lebih sukar untuk hamil dalam fasa ini, tetapi selagi masih didatangi haid, kehamilan masih berpeluang untuk berlaku.

Selain itu, beberapa ubat kemoterapi yang digunakan untuk merawat kanser juga berupaya memicu haid tidak teratur.

Sebarang pendarahan atau spotting selepas menopaus adalah tidak normal! Segera rujuk ke klinik atau hospital berdekatan untuk didiagnosis.

#2 Panas badan (hot flashes)

Hot flashes boleh membuatkan anda berasa panas atau berpeluh di bahagian atas badan secara tiba-tiba tanpa sebab yang jelas.

Kulit juga mungkin akan bertukar warna merah dan jantung berdegup lebih laju. Kemudian, anda mungkin turut rasai sensasi sejuk secara tiba-tiba.

Night sweats pula adalah panas badan yang berlaku semasa tidur. Simptom ini boleh menjadi sangat kuat sehingga menjejaskan tidur anda.

Sama seperti kebanyakan gejala menopaus lain, pengalaman hot flashes dan night sweats juga mungkin berbeza-beza bagi setiap wanita.

Ia mungkin berlangsung selama seminit atau 5 minit, boleh menjadi ringan atau parah.

Anda juga mungkin merasainya beberapa kali setiap jam, setiap minggu, atau tidak mengalaminya sama sekali.

Bagi sesetengah wanita, simptom ini mampu berterusan selama bertahun-tahun, atau bahkan dekad setelah haid terhenti hingga ke fasa yang digelar postmenopause.

#3 Perubahan perasaan terhadap seks

Semasa menopaus, sebilangan wanita mendapati mereka mudah terangsang dan lebih gemar bersenggama dek kebebasan dirasai kerana tidak perlu lagi bimbang dengan potensi kehamilan.

Namun, ada juga yang sebaliknya menzahirkan rasa keinginan terhadap seks yang makin berkurangan.

Anda perlu tahu, semasa menopaus, kulit di sekitar faraj berisiko menjadi kering, lantas boleh menyebabkan pengalaman seks yang menyakitkan.

Justeru, penggunaan pelincir semestinya dapat membantu!

#4 Perubahan mood

Banyak perkara boleh memberi kesan terhadap mood anda, dan ini termasuk jugalah perubahan hormon yang berlaku di sekitar fasa menopaus.

Sekiranya kalian pernah mengalami kegelisahan atau kemurungan pada masa lalu, gejala anda mungkin bertambah buruk apabila putus haid.

Apa pun alasannya, anda berhak untuk merasa gembira! Jika anda mendapati telah mengalami mood swing selama lebih dari beberapa minggu, pastikan untuk maklumkan kepada doktor.

Bersama-sama, doktor akan dapat memutuskan pilihan rawatan bersesuaian untuk membantu anda berasa lebih baik.

#5 Alami perubahan fizikal

Ketika putus haid, wanita sering kali melihat perubahan pada kulit dan rambut yang semakin kering serta menipis.

Malah, ada juga yang bertambah berat badan dalam fasa ini. Tubuh kalian juga mungkin berubah apabila badan menyimpan lebih banyak lemak di sekitar pinggang dan berlaku penyusutan otot secara menyeluruh.

Bukan itu sahaja, anda mungkin tidak lagi selincah dahulu dan mula hadapi kesukaran untuk bergerak, atau alami sakit-sakit sendi.

Oleh itu, adalah amat penting untuk kekal aktif! Anda mungkin perlu bekerja dengan lebih keras untuk mengekalkan kekuatan dan fit.

Akhir kata, berikut adalah perkongsian berkaitan simptom menopause pada wanita secara umum, yang boleh dikenal pasti.

Sekiranya anda mempunyai sebarang keraguan atau kebimbangan, rujuk doktor atau pakar sakit puan untuk dapatkan maklumat lebih lanjut.

Kredit : Hellodoktor


Stress Berat Naik Mendadak Ketika Hamil ?Ketahui Cara Efektif Dapatkan Berat Badan Ideal Selepas Bersalin

11 Apr 2022



Setiap ibu pasti mengidamkan perut yang kempis dan langsing. Cubalah 11 cara di rumah ini yang berkesan untuk kuruskan badan selepas bersalin.

Pasti ibu akan terfikir bagaimana cara untuk kuruskan badan selepas bersalin? Kurus selepas bersalin dan mendapatkan bentuk badan yang ramping pasti menjadi idaman ibu-ibu.

Berat badan ibu naik semasa mengandung itu adalah satu perkara normal tetapi sangat membimbangkan jika berat naik secara mendadak. Penerangan lanjut daripada Dr Norintan Zainal Shah, Pakar Obsetetrik & Ginekologi dari Columbia Asia Hospital Seremban.

“Kenaikan berat badan ketika hamil secara purata adalah 12 kilogram sepanjang kehamilan. Bagi wanita yang BMI 18.5 atau kurang, anda boleh mengalami kenaikan berat badan sebanyak 20kg sepanjang kehamilan. Untuk wanita yang mengalami obesiti, BMI lebih dari 30.00 anda hanya boleh naik berat badan sebanyak 5kg sepanjang kehamilan”. 

Nota: BMI    < 18.5      : terlalu kurus
18.5 – 24.9  : sihat
25 – 29.9     : berlebihan
30 ke atas   : obesiti


11 petua kurus selepas bersalin

Walaupun ibu kehilangan berat badan yang banyak selepas bersalin, tapi masih ada lemak-lemak dan kulit di bahagian perut. Tapi jangan risau! Ikuti petua semulajadi untuk kuruskan badan selepas bersalin yang berkesan.

Jom cuba!

 #1 Bengkung

Satu cara yang sangat berkesan untuk kuruskan badan selepas bersalin dan mengempiskan perut  dengan mengamalkan bengkung selama beberapa jam pada waktu pagi.

Di negara ini, kita sudah biasa mendengar ibu-ibu berurut dan memakai bengkung semasa pantang. Sebenarnya bengkung tradisional orang Melayu sangat berkesan!

Tapi ibu-ibu yang  melahirkan anak melalui pembedahan tidak digalakkan untuk mengguna bengkung tradisional sehingga sekurang-kurangnya selepas 4 – 6 minggu.

Sebaliknya, anda digalakkan untuk memakai bengkung moden yang diberi kerana ia akan memberi sokongan kepada otot perut yang sudah kendur.

Pastikan ia digunakan dengan betul dan ketat. Jika anda bimbang tentang luka perut, gunakan sekeping tuala wanita yang bersih dan alaskan kawasan luka sebelum memakai bengkung moden itu.

#2 Madu dengan lemon

Ini adalah cara yang mudah untuk kuruskan badan selepas bersalin.

Campur segelas air suam dengan jus lemon segar dan setengah sudu teh madu. Minum dengan perut kosong atau sebelum makan.

Jika boleh, minum air campuran ini sebaik saja bangun dari tidur, kemudian jangan minum apa-apa selama setengah jam.

Anda juga boleh tambahkan beberapa keping daun pudina atau hirisan timun kemudian biarkan di dalam peti sejuk semalaman. 

Tips untuk ibu menyusu: guna daun pudina dengan sederhana kerana ia boleh mengurangkan bekalan susu badan jika diambil secara berlebihan.

#3 Losyen/krim

Memang banyak losyen di pasaran yang memberi janji untuk kuruskan badan selepas bersalin.

Jika anda ibu menyusu, semak dulu kandungan dalam krim itu untuk memastikan ia selamat dan tidak akan beri kesan pada ibu atau bayi. 

Cuba cari losyen yang ada Kollagen, Vitamins A, C dan E. Mengurut losyen dengan kandungan vitamin ini bukan hanya akan meningkatkan aliran darah, malah ia juga boleh mengetatkan perut anda!

#4 Teh Hijau

Kredit: Unsplash

Tahukah anda secawan teh hijau boleh menolong membakar lemak perut dan kuruskan badan selepas bersalin?

Selain itu, teh hijau juga kaya dengan antioksidan! Ia juga mengandungi kafein, jadi ibu-ibu menyusu kena minum secara sederhana ya?

Pastikan anda minum teh hijau kosong – tanpa gula. Kalau tidak tak kurus pulak nanti!

#5 Epal

Epal boleh menghilangkan lemak perut. Epal mengandungi pektin yang membantu membakar lemak perut.

Sama seperti teh hijau, epal kaya dengan antioksidan dan boleh menghalang pengumpulan lemak yang berlebihan.

#6 Diet yang seimbang 

Makan sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin, dan protein yang sihat. Kurangkan pengambilan garam dan gula sebanyak mungkin. Elakkan minuman bergas dan minuman berkarbonat lain.

Buah-buahan dan sayuran seperti betik, mangga, grapefruit, brokoli, dan kale boleh membantu kuruskan badan selepas bersalin.

Biarpun anda bertekad untuk kurus kerana ingin kuruskan badan selepas bersalin, jangan tak makan ya? Makanan adalah sangat penting untuk pemulihan anda, lebih-lebih lagi jika anda ibu menyusu.

#7 Bersenam!

Ibu digalakkan untuk bersenam, tapi jangan terus lakukan senaman tiba-tiba atau apa sahaja senaman yang terlalu high impact nanti rahim anda terkeluar pula!

Mula dengan senaman ringan yang boleh membina ketahanan badan seperti berjalan, berenang ataupun menunggang basikal.

Beri tumpuan kepada senaman kardio untuk mengurangkan kandungan lemak dalam badan secara menyeluruh. Untuk perut yang kempis lakukan senaman crunches dan planking

#8 Jangan diet ekstrem

Jangan berdiet kerana ini hanya akan menyebabkan anda rasa lemah dan metabolisma badan boleh jatuh.

Kadar metabolisma seorang ibu masih sangat tinggi buat masa ini lebih-lebih lagi kalau ibu itu menyusu.

Cuba makan dengan lebih banyak pada waktu pagi dan ingat, apabila anda makan dengan baik badan anda akan membakar lemak dengan lebih berkesan. 

#9 Menyusu


Badan ibu yang menyusu membakar sebanyak 500 kalori sehari. Menyusu juga boleh membantu rahim untuk mengecut ke saiz biasa dan menampakkan perut yang lebih kempis.

#10 Minum air

Murah, baik untuk anda dan sangat berkesan, air boleh menolong mengeluarkan toksin dari badan dan mengempiskan perut.

 #11 Daun kari dan bawang putih 

Tahukah anda daun kari bagus untuk detox sambil menolong kuruskan badan selepas bersalin dengan membakar lemak?

Bawang putih juga boleh kempiskan perut selepas bersalin. Kunyahkan beberapa bawang putih mentah kemudian minum air limau. Tetapi tidak semua ibu dapat tahan rasanya! 


Jenis-jenis senaman mudah untuk bantu kempiskan perut selepas bersalin

Selepas bersalin sudah tentu Ibu mahukan bentuk badan yang cantik seperti dahulu. Ikuti tips dan senaman ringkas yang Ibu bantu kempiskan perut selepas bersalin yang  boleh amalkan di rumah.

#1. Kayuhan basikal

Senaman ini boleh dilakukan tanpa basikal. Hanya perlu baring di kawasan yang rata. Letak tangan dibawah kepala. Naikkan kaki ke atas dan buat pergerakan seperti sedang mengayuh basikal.

Nota: Pastikan buat dengan cara yang betul, baring di tempat yang rata. Bayangkan anda sedang mengayuh basikal di luar.

#2. Squats

Mampu mengecilkan peha anda. Caranya, buka kaki kiri kanan supaya selari dengan bahu. Turunkan sedikit punggung seperti sedang duduk di atas kerusi. Angkat tangan kiri kanan anda ke hadapan untuk stabilkan diri. Bangun, dan ulang semula sebanyak yang mampu.

#3. Push up

Pastikan baring di kawasan yang rata. Angkat kaki lurus ke atas. Letak dua tangan di belakang kepala angkat perlahan badan.

Nota: Bagi yang baru mencuba, cuba luruskan kaki anda pada dinding untuk lebih mudah.

#4. Gym ball

Gym ball juga boleh digunakan untuk kempiskan perut selepas bersalin. Baring diatas gym ball, pastikan kaki di atas lantai. Gerakkan badan ke depan dan ke belakang.

#5. Ab Roller

Selain itu, anda boleh gunakan Ab Roller untuk mengempiskan perut. Caranya, duduk diatas mesin dan pegang pemeganganya. Tegankan otot perut sambil menggelungsur ke hadapan.


Makanan yang sesuai kempiskan perut selepas bersalin

Senaman untuk kuruskan badan adalah sangat penting. Pemakanan secara sihat juga penting untuk mendapatkan tubuh badan yang baik.

Contoh pemakanan yang sesuai untuk kurus selepas bersalin, kempiskan perut dan tidak memudaratkan:

  • Yogurt asli

Yogurt asli boleh menurunkan berat badan. Yogurt merupakan snek yang sihat dan rendah kalori. Yogurt mengandungi kalsium dan vitamin D yang membuatkan anda berasa kenyang di samping membantu mengelakkan ingin mengambil makanan ringan.

  •  Telur

Telur juga antara makanan yang mengandungi sumber protein yang tinggi. Dalam kuning telur terdapat nutrien yang diperlukan oleh badan. Telur boleh membakar lemak dalam badan dan membantu untuk kuruskan badan.

  •  Kurma

Seperti yang kita tahu, kurma adalah makanan sunnah namun ia juga merupakan makanan yang sesuai dimakan ketika diet. Kurma merupakan makanan yang rendah kandungan gula. Ia sesuai untuk dimakan pada setiap pagi atau dijadikan jus.

  • Oat

Oat mempunyai fiber yang tinggi, membuat anda akan berasa kenyang dalam jangka masa yang lama. Sangat sesuai jika anda mengantikan nasi kepada oat kerana ia mampu mengurangkan lemak terutama di bahagian perut anda.

  • Kobis bunga

Kobis bunga kaya dengan fitonutrien yang menghalang pertumbuhan sel kanser. Ia juga merupakan sumber vitamin C yang baik.

  • Teh hijau

Teh hijau kaya dengan antioksida ECGC yang dapat meningkatkan tahap metabolisma badan. Selain itu, ia juga dapat mempercepatkan pembakaran lemak yang berlebihan dalam otak.S

  • Air kosong

Minum air kosong 1 hingga 2 liter sehari. Air kosong membantu meningkatkan kesihatan badan .

Warning: Kurangkan minuman bergula dan air berkarbonat




Adakah menyusu membantu kempiskan perut selepas bersalin ?

Selain memberi nutrisi kepada bayi, penyusu badan dapat mengurangkan berat badan ibu selepas bersalin. Hal ini terbukti, ramai ibu-ibu berpendapat bahawa menyusu badan dapat membantu ibu kurus selepas bersalin dengan lebih cepat.

Namun begitu, tidak dinafikan juga menyusu badan dapat dapat menambah berat. Ibu yang menyusu badan sebanyak 425 hingga 700 kalori terbakar. Lagi banyak si manja anak menyusu lagi banyak kalori anda terbakar.

Selamat mencuba!


Kredit : theasianparent 


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.