SLIDER

berani
Showing posts with label berani. Show all posts

BAHAYA JERING : Berhati-hati Kepada Pengemar Jering Sebagai Ulam-Ulaman

30 Apr 2024


Kes ini berlaku ketika saya baru melaporkan diri ke hospital daerah. Ketika itu saya sedang bertugas on-call di Jabatan Kecemasan. Jam menunjukkan pukul 3 pagi, apabila seorang lelaki disorong masuk menggunakan kerusi roda. 

"Aduh...doktor, tolong..sakitnya.." rintih pemuda tersebut sambil memegang perutnya.Apabila diangkat ke stretcher, beliau baring dalam keadaan mengerekot. Beliau dalam kesakitan yang sangat.Penolong Pegawai Perubatan dan Jururawat segera mendapatkan lelaki berkenaan, memasang jarum branulla di tangannya. Manakala saya, segera bertanyakan apa yang terjadi. 

"Senak perut, doktor. Tiba-tiba sahaja sejak pukul 12 malam tadi. Rasa nak kencing, tapi tak boleh kencing!" Sebaik sahaja lelaki tersebut bercakap, saya segera mengesyaki sesuati. Bau yang terbit dari mulutnya, adalah sejenis bau yang cukup hancing dan tajam. Saya segera memulakan pemeriksaan. Apabila saya memeriksa bahagian pundi kencing beliau, ianya tidaklah terlalu cekang atau besar. Saya meminta Penolong Pegawai Perubatan untuk memasukkan tiub kencing, sedang saya meneruskan pemeriksaan. 

Sebaik sahaja tiub kencing dimasukkan, air kencing bercampur darah keluar. Namun jumlahnya sedikit sahaja. Lelaki tersebut masih dalam kesakitan, lalu saya meminta agar ubat penahan sakit, IV Tramadol segera diberikan. Dalam tempoh beberapa minit, kesakitan lelaki tersebut pun berkurangan. Sampel darah diambil, dan lelaki tersebut diletakkan di ruang pemerhatian. Saya meneruskan proses mendapatkan sejarah pesakit dengan bertanya kepadanya.“Encik, ada makan apa-apa pada malam tadi?” 

“Ya, doktor. Saya makan nasi bersama keluarga seperti biasa.” “Ada makanan yang dibeli dari luar? Atau ulam-ulaman?” saya bertanya lagi. “Makanan berlauk, tak ada pula. Cuma petang tadi memang saya ada ke pasar malam, membeli jering rebus untuk dijadikan ulam.” Ujar beliau. Jawapan beliau membuatkan hati saya terdetak. Sangkaan saya tepat, rupanya. Namun saya mahu tunggu keputusan ujian darah terlebih dahulu. 

Rawatan drip intravena segera diberikan. Lelaki tersebut tidak lagi dalam kesakitan, namun air kencingnya masih bercampur darah. Ultrasound buah pinggang dibuat, menunjukkan tiada batu karang meskipun kedua-dua buah pinggangnya sedikit bengkak. Hampir setengah jam kemudian, keputusan ujian darah sudah siap. Seperti yang dijangka, fungsi buah pinggangnya merosot secara mendadak. Bacaan creatinine nya mencecah 400, sedangkan paras normal bagi orang sihat biasanya tidak melebihi 100. 

“Encik, penyakit encik ini namanya Jering Nephropathy. Maksudnya, kegagalan buah pinggang yang disebabkan oleh pengambilan jering.” Bundar mata lelaki tersebut tatkala saya memaklumkan kepadanya penyakit yang beliau hidapi. “Dalam buah jering, ada sejenis bahan yang dinamakan djenkolic acid. Bahan ini, bersifat toksik kepada buah pinggang manusia. Adakalanya pesakit yang memakan jering terlalu banyak, terutamanya jering yang tidak direbus betul, akan mendapat masalah ini.” 

Saya meneruskan penerangan. Beliau mengangguk, tanda faham. “Sekarang, fungsi buah pinggang encik agak terjejas. Kita akan mulakan rawatan awal, iaitu IV Drip bagi memastikan buahpinggang encik terus berfungsi dan saki baki Djenkolic Acid dalam darah encik dapat keluar melalui air kencing. “Namun, kita akan terus pantau keadaan encik didalam wad. Sekiranya dengan rawatan yang kita berikan ini pun fungsi buah pinggang encik tidak bertambah baik, atau bertambah lebih buruk, encik mungkin terpaksa dirujuk ke hospital besar. Kita khuatir encik mungkin memerlukan prosedur pembedahan atau dialisis untuk menyelamatkan fungsi buah pinggang.” 

Penjelasan panjang lebar saya membuatkan pesakit tersebut termenung. Setelah berbincang dengan ahli keluarga, lelaki tersebut bersetuju dimasukkan ke wad untuk tujuan rawatan dan pemantauan. Ini adalah kali keempat saya menjumpai kes Jering Nephropathy. Tiga kali sebelumnya, adalah ketika saya menjalani latihan siswazah di hospital besar. Kes jering nephropathy, atau djenkolism, tidak banyak terdapat didalam buku-buku teks perubatan. Ini kerana kejadian ini jarang berlaku (low incidence), dan hanya berlaku di kawasan Asia Tenggara. Agaknya disebabkan adat dan budaya penduduk kita yang biasa menjadikan jering sebagai makanan ulaman. 

Namun, penyakit jering nephropathy ini, selain menyebabkan kesakitan yang teruk ia juga boleh membahayakan nyawa. Menurut sebuah literature review oleh Bunawan et al (2014), daripada 96 kes Jering Nephropathy yang dilaporkan oleh jurnal-jurnal perubatan, empat daripadanya meninggal dunia akibat kegagalan fungsi buah pinggang. Majoriti pesakit akan sembuh dengan rawatan hidrasi IV Drip, namun terdapat kes yang mana memerlukan rawatan pembedahan. Dalam sebuah laporan kes oleh Wong JS et al (2007) di Hospital Umum Sarawak, pesakit terpaksa melalui sebuah prosedur “stenting” ke kedua-dua buah pinggangnya. 

Apabila “stent” dimasukkan, didapati terdapat bahan berupa jeli berwarna seperti sos menyumbat salur ureter pesakit. Hanya setelah stent dimasukkan, barulah pesakit dapat kencing semula dan fungsi buah pinggang pesakit bertambah pulih. Sebenarnya sebelum kes Jering Nephropathy dilaporkan didalam jurnal-jurnal perubatan, orang-orang tua kita sudah lama mengenalpasti penyakit ini yang disebut sebagai “terkepit jering”. Ini kerana berdasarkan pemerhatian mereka, terdapat individu yang sakit bagaikan dikepit setelah memakan jering. Dari situlah lahirnya petua orang tua-tua, bahawa jering perlu direbus sehingga berjam-jam lamanya sebelum dimakan. Ada yang menasihatkan untuk direbus dengan pelbagai bahan seperti daun kunyit, akar pokok kelapa, bahkan abu dapur, paku dan rantai basikal! 

Keberkesanan dan keselamatan bahan-bahan yang dicampurkan ini agak sedikit meragukan, namun kita memahami rasionalnya adalah untuk menyahneutralkan djenkolic acid yang terdapat dalam biji jering tersebut.  

Apapun, nasihat dan saranan saya kepada mereka yang gemar memakan jering, 

1. Elakkan dari memilih jering yang tua, kerana jering yang tua berkemungkinan mengandungi kepekatan djenkolic acid yang lebih tinggi. 

2. Elakkan dari memakan jering yang mentah. 

3. Elakkan memakan jering dalam kuantiti yang besar. 

4. Pesakit yang mengalami masalah buah pinggang kronik, tidak dibenarkan memakan jering. 

5. Banyakkan meminum air setelah memakan jering. 

6. Jika berlaku sakit perut atau kencing berdarah, dapatkan rawatan di hospital segera. 

****
“Ha, encik, apa khabar hari ini?
Saya menyapa lelaki berkenaan yang sedang berehat. Hari tersebut adalah hari keempat beliau di wad. Alhamdulillah, paras creatinine beliau sudah turun ke normal, menandakan buah pinggang beliau telah bertambah baik. Beliau juga sudah tidak perlu memakai beg kencing dan air kencingnya juga sudah tidak bercampur darah. 

“Alhamdulillah, bertambah baik! Terima kasih banyak-banyak, doktor.” jawab beliau kesengihan. 

“Nak makan lagi jering lepas ni, encik?” saya cuba bergurau. Beliau tertawa sambil berkata, 

“Eh mestilah doktor, kalau dah minat, ulam jering cicah cabai tak boleh tinggal!” 

Lantas kami sama-sama ketawa. 

Dr. Mohd Syamirulah Rahim,
Pegawai Perubatan
http://facebook.com/dr.syamirul
Artikel ini diterbitkan di Majalah iSihat Ogos 2017

Kredit : Fb My News Viral 



Bujang VS Kahwin ; Jangan Takut Dengan Pilihan Anda

12 Feb 2022



Saya pernah berjumpa sekelompok pemuda yang tidak mahu berkahwin kerana melihat kepincangan keluarganya atau kerana takut dengan tanggung jawab. 

Ingin saya katakan kepada mereka dan yang sealiran dengannya… berkahwinlah 

Kerana berkahwin juga adalah ibadah. Ibadah akan sentiasa mendekatkan kita kepada Allah. 

Betul, berkahwin ni banyak masalah tapi… 

1. Dapatkah kita lari dari masalah? Kehidupan ini adalah pentas ujian. Kita akan pasti diuji samada kita bersedia atau tidak kerana inilah tujuan Allah jadikan kematian dan kehidupan; 

 الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) 

Jadi lari dari masalah bermakna kita lari dari kehidupan.
Namun satu perkara yang perlu kita ingat. Orang yang berkahwin jiwanya “terikat” untuk menyelesaikan masalah itu kerana ia ada suami atau isteri, ada anak-anak. Akhirnya dengan masalah tadi…tidak dapat tidak akhirnya ia akan tersungkur sujud mengharapkan rahmat dan pertolongan Allah. 

Kalau bujang… kita mungkin boleh lupakan masalah kita..pergi Cameron highland, pergi memancing, main game, layan movies dan sebagainya. Sedar atau tidak semua cara-cara ini akan makin menjauhkan kita dari Allah SWT dan sangat sukar untuk kita berpatah balik kerana jiwa kita tidak terikat pada sesuatu yang memaksa kita untuk balik kepada Allah…kita akan terus hanyut dan hanyut. 

Betul kita melihat ayah kita atau ibu kita “berdosa” kerana gagal menjadi ayah/suami atau ibu/isteri. Kita boleh melihat tapi tidak layak menghukum…kita tidak tahu berapa banyak air mata penyesalan mereka didepan Allah yang menjadikan mereka sentiasa mengharapkan rahmat Allah SWT. 

2. Fitrah manusia akan makin terbina dengan masalah dan tanggungjawab sebaliknya akan semakin rosak dengan kerehatan, kesenangan dan hidup tanpa rasa tanggungjawab.
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي كَبَدٍ

Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya) 

Kata ulamak tafsir..dengan kesusahan dan kepayahan jiwa manusia akan semakin matang, semakin kuat dan semakin bersedia untuk menjadi mukmin. 

Dengan ujian ujian hidup kita akan naik darjah. Kenapa kita sanggup bayar untuk ambil SPM atau STPM? Sedangkan itu adalah masalah yang terkumpul. Kerana kita ingin naik “darjah” untuk kita lebih berjaya dalam hidup. 

3. Memang “simple mathematics’ masalah berumahtangga lebih besar dari masalah bujang. Itu jika kita melihat ia sebagai masalah tapi jika kita melihat sebagai peluang? Peluang untuk mengumpul bekalan untuk balik pada Allah maka betapa banyak peluang-peluang yang kita ada. Pahala ibadah yang berganda, anak-anak yang akan berdoa dan menyambung amalan kita. 

Adakah kita mengharapkan sesuatu dengan harga yang murah? 

Bahkan dengan masalah msalah tadi kualiti ibadah kita menjadi lebih baik, doa kita lebih khusyuk dan penuh pengharapan, solat kita lebih kita rasakan keperluannya bahkan ada rasa rindu untuk berjumpa Allah, mengadu masalah dan memohon kekuatan dariNya. 

Kalau bujang??? Apa kita buat kalau ada masalah? Andaboleh menjawabnya sendiri

Kredit penulisan: Cg. Azmi Bahari



Setahun Sekali Datang Haid, Hidap PCOS - Wanita Ini Kongsi Pengalaman

23 Dec 2021






PCOS juga dikenali sebagai ‘Stein-Levanthal Syndrome’ ini disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon di dalam badan, di mana terdapat berlebihan hormon lelaki dan insulin di dalam pesakit. Ini boleh mengakibatkan kitaran haid yang tidak teratur disebabkan tiada ovulasi, haid yang berpanjangan dan banyak, kemandulan, obesiti, pengangguan metabolisme gula dan kolesterol. Jom kita baca pengalaman yang dikongsikan oleh wanita yang merupakan bekas pesakit PCOS ini untuk dijadikan panduan.


MY JOURNEY WITH PCOS #pcosfighter




Sempena setahun selepas buat Laparoscopic Surgery on Pcos, jom kita throwback sikit pengalaman saya. Cerita ni bermula seawal umur 14 tahun bila period datang dua bulan sekali. Dan semakin meningkat jarak kehadiran period tu. Sehingga pernah setahun, hanya sekali. TAHUN 2013, perubahan pada kulit semakin ketara, bulu roma di tangan semakin lebat, jerawat semakin subur di kulit, pikmentasi kulit semakin bertambah, period semakin lambat. Pernah 8bulan xdatang period. Pergi klinik reproduktif, masa tu doctor suspect pcos.


Ape itu PCOS?



Doctor suruh buat research sendiri. Supaya betul² faham maksudnya. Doktor kasi pil hormone (Yasmin/ Diane35) Dan doktor kasi refer letter ke Hospital. Tapi masa tu masih xtau kemudaratan nya.. TAK PERNAH refer hospital.

TAHUN 2015, semakin cakna tentang ketidakhadiran period, refer hospital swasta dengan pakar O&G, doctor scan, tak kelihatan lagi cyst nya dlm ovary. Cume ovary kelihatan bukan pada size normal. Doktor hanya suggest utk teruskan ambik pil hormone selama 3bulan berturut. Tujuannya adalah utk normalkan semula kelancaran period setiap bulan. Malangnya, selepas 3bulan bergantung dgn Yasmin, masuk bulan ke-4, period xdtg pula… mase tu mula rase stress dtg semula… fed-up dgn ubatan, dan hanya biarkan period xdtg lagi.

TAHUN 2016, Selepas kahwin tanpa refer O&g terus ambik Yasmin 1cycle dan terus anggap boleh pregnant, bila xpregnant, lagi stress. Bayangkan setiap hari check UPT (dan sehingga kini sy menjual UPT/OPK haaa promote sikit). Setiap bulan pergi klinik scan. Tapi semua tu hanya sia-sia. At last jumpe o&g semula, doctor bg cadangan utk ambik ubat induced bleeding (provera) dan makan pil rangsang telur (clomid).




Ujian bertimpa, semasa cycle pertama pengambilan Clomid, perkahwinan berakhir dengan penceraian (so xsempat experiment clomid tu). Stress semakin kuat, hormon semakin tak stabil, emosi semakin bercelaru. Period langsung xdatang selepas berpisah. Seminggu selepas bercerai, masuk hospital demam panas, blood pressure naik mendadak (hipertension) dgn bacaan 157/103.

TAHUN 2017, pasang azam dari keluarga dan orang sekeliling yg bnyak memberi moral n mental support, kumpul semula semangat, kutip sisa hati yg berkecai musnah. Pada awal bulan 7, buat check up di hospital akibat rase ade sakit di breast. Lepas doctor buat scanning, tiada ape yg asing dan doctor tnye history kesihatan, saya kata mmg dah xperiod 8bulan dan doctor minta terus refer pakar O&G.

Bila buat altrasound, mmg nampak ketulan asing dalam kedua belah ovary. Doctor terus buat procedure laparoscopic surgery utk ovary drilling. Dan itu adalah ikhtiar terakhir yg boleh dibuat. Seminggu lepas tu, hospital call utk operation. Alhamdulillah selepas 2 hari pembedahan dilakukan, period keluar. Dan itulah saat yg tidak dpt diperkatakan betapa bersyukurnya.



Sebab doktor kata, jika period turun selepas pembedahan, itu membawa maksud pembedahan itu berjaya, jika tidak, doktor akan bagi masa dalam 2bulan. Jika tidak berhasil, maksdnya pembedahan tu tidak berjaya utk membantu PCOS. Masa tu doktor hanye bekalkan ubat kencing manis (metformin) utk 3bulan.


LANGSUNG TAK JAGA PEMAKANAN

Memang diakui semasa dlm waktu perkahwinan, langsung tidak jaga pemakanan hampir setiap hari makan process food and junk food. Burger, nugget, sausage, fries, ayam goreng, chips, snacks adalah makanan harian sebabkan ikut selera suami. Tapi sebenarnye semua tu kesilapan besar sebab waktu tu la adalah rapid growth untuk cyst tu terbentuk. Jika tidak tersedar awal, mungkin boleh menyebabkan cancer. Nauzubillah!

Tengok gambar. Yang putih merening tu adalah ovary. Ovary yang tidak normal. Warna putih sebab dah dipenuhi cyst. Kalau scan ultrasound, haaa nampak biji biji hitam macam anggur. Ovary tu dipenuhi hormone testosterone yg membantutkan kematangan telur. Sebab tu x period. So doktor tebuk ovary utk release hormone testosterone tu.. Yg lain lelemaks tu ko jgn tnye hakak.




Dan hormone hormone tu adalah dari pemakanan yg tidak sihat. So jaga lah pemakanan… bertindak awal sebelum merana. So untuk wanita diluar sana. Sayangi ovary anda kerana ovary ni sangat penting sbb ia adalah kilang utama telur anda. Dan telur telur ini akan habis. Bayangkan, jika dah banyak telur yg rosak menjadi cyst, tinggal berapa lagi telur yg berbaki? Umur masih muda.

Jika anda mempunyai masalah period tidak stabil, segerakan lah jumpe pakar. Jangan malu dan tggu sehingga bertahun. Jangan anggap tidak period bermaksud anda mengandung! Itu adalah hormone. Hormone yg mengganggu kitaran haid.

Tips: nak makan apa-apa ubat atau supplement, refer doc pakar anda dulu. Sebab dosage berbeza bagi setiap pesakit. JANGAN IKUT APA KAWAN AWAK MAKAN. Pesanan saya “hargai lah setiap titis darah period anda, saya setahun hanya sekali beli pad dan itu TIDAK NORMAL“.

Kredit : Ernieadilah Zulk 
Kredit : siraplimau 



Ketika Kandungan Isteri 9 Bulan, Dugaan Suami Hadir, Isteri Tabah Dan Akhirnya..

15 Aug 2017


Bercinta dengan boyfriend selama 4 tahun. Pi mai, pi mai hanya dengan dia je. Lepas tu ambil keputusan bertunang. Dalam ikatan menjadi tunangan orang Ya ampun ! Dugaan kiri kanan belakang depan datang, macam2 kejadian.

Sabar sabar dan sabar. Memang kena kuat. Kau dan aku. Rasa benci pun ada terbit kekadang. Rasa nak putus tunang pun ada, hasutan syaitan tu mmg kuat. Mcm2 orang datang waktu tu. Nak suruh clash la, nak kahwin lari la, nak cari jalan utk break off la. Jahat betul hasutan syaitan pd kau.

Beberapa bulan lepastu, sering solat istikarah. Dan semuanya berlalu pergi dengan pantas. Alhamdulillah majlis perkahwinan pun berjalan dgn lancar. Tak lama lepas tu, datang pula dugaan suami isteri.

Tuhan uji kedatangan sorang perempuan lain dalam hidup si suami. Allahu, sedihnya tanpa kata. Hanya air mata menemani sepi. Hari2 suami keluar pagi katanya pergi office, balik lewat malam. Katanya byk kerja nak settle kat office. Tika ni, dah malas nak bising2 mulut. Hanya diam dan ia kan

Ketika usia kandungan 9bulan. Si suami kahwin senyap dengan perempuan tu. Dapat tahu pun dari sahabat si suami sendiri. Air mata hanya bercucuran, hati sayu tiada noktah. Lahirnya cahaya mata mereka.

Nafkah terabai sebab dah seronok giler dengan isteri baru. Lupa semua kenangan dan cinta bersama isteri yg lama. Anak pun sebulan sekali je sempat jengok. Satu hari, berani ambik keputusan untuk minta cerai dan menuntut hak. Alhamdulillah selesai dengan lancar.

Buka buku baru bersama anak tercinta, buat bisness kecil kecilan demi menyara diri dan anak. Syukur rezeki dapat bekerja dengan orang ternama. Last2 majikan melamar diri untuk dijadikan isterinya lagipun isteri lama dah 2 tahun meninggal dunia. Hidup terus berubah, kaya raya namun tak pernah lupa akan Yg Maha Esa.

3 bulan mengecapi kebahgiaan bersama suami tercinta. Didengari khabar berita tentang jatuh sakit suami dahulu. Ditinggalkan keseorangan di rumah usang. Pakaian lusuh dan najis merata. Rupanya si isterinya dah berpaling tadah. Pergi meninggalkannya setelah habis duit dikikis.

Mengalir air mata mengenangkan nasib bekas suaminya. Namun, dia tetap berhati mulia. Memandangkan bekas suami itu tidak lagi memiliki keluarga, digajikan seorang makcik untuk menjaga bekas suaminya. Utk memastikan pakaian dan makan minum bekas suaminya dijaga rapi.

Allahuakbar, sucinya hati perempuan ini. Walaupun luka yang ditoreh bekas suaminya masih berparut dihati namun dia masih lagi mempunyai sifat penyayang dan belas kasihan. Masih mengingati sewaktu mereka bercinta 5 tahun lepas, betapa indahnya. Namun semuanya hanya kenangan dan sejarah hitam. Beruntungnya bagi lelaki yang memiliki cinta sejati seperti si isteri ini.

Suami, hargailah isterimu. Jika dia salah dimatamu, tegur dan perbaiki lah. Jangan meninggalkannya demi yang lain. Kifarah dunia itu wujud. Janji Allah itu pasti ♥️ #TrueStory



Kredit : Fb Erieyn Halim




Balik Dari Kerja, Saya Lihat Suami Dan Bekas Isteri Sedang ...

9 Aug 2017


Saya merupakan seorang isteri yang mengahwini seorang duda anak 3. So far, hubungan saya dan anak-anak tiri sangat-sangat baik. Terus-terang, jika mereka di beri pilihan untuk tinggal bersama, mereka lebih mengutamakan saya. Ini kerana mungkin saya yang menjaga mereka sejak mereka berpampers hinggalah masing-masing dah berbelas tahun.

Ibu kandung mereka telah lama mendirikan rumahtangga bersama kekasihnya, atas punca daripada perangkap suami saya bersama jiran tetangga saat bekas isterinya bersekedudukan. Walaubagaimanapun, sepengetahuan saya, hubungan bekas suami dan bekas isterinya tiada masalah. Dan, menurut suami saya segalanya menjadi baik hanya kerana ikatan jalinan anak. Tak pe la.. saya terpaksa terima, sebab saya “orang baru” dalam kehidupan mereka.

Kisah rumahtangga bermula saat bekas isteri suami saya kemalangan dan suaminya meninggal dunia. Bekas isterinya lumpuh separuh badan. Kehidupannya di katil dan kerusi roda sahaja. Saya dan suami mengambil keputusan untuk menukar sekolah anak-anak suami berdekatan dengan kawasan rumah kami, memandangkan tiada siapa mampu menjaga urusan persekolahan anak-anaknya. Dan, yang bertambah malang, keluarga bekas isteri suami saya turut tidak mahu menjaga kakak mereka yang lumpuh, memandangkan bekas isteri suami saya anak yatim piatu.

Anak-anak tiri saya memujuk saya, jika mereka diambil di bawah penjagaan saya dan bapa kandung mereka, saya diminta menjaga ibu kandung mereka sama. Tak pe la, saya pikir… mereka ibu kandung anak-anak tiri saya dan dalam masa yang sama bekas isteri suami saya bebetul tiada tempat bergantung. Saya tiada pilihan… saya bersetuju untuk menjaga bekas isteri suami saya.

Untuk pengetahuan, saya bekerja. Kadang kala, sesekali masa terbatas untuk saya siapkan sarapan. Jadi, nak tak nak… suami saya terpaksa menghantar makanan di rumah. Kadang kala saya turut temankan suami balik ke rumah sebelum masuk ke pejabat semula. Tapi, satu insedin yang bebetul mengguris hati saya. Waktu tu, saya kurang sihat dan saya diberi cuti sakit. Hati mula terdetik gusar saat melihat kereta suami park di luar pagar rumah. Perlahan-lahan saya jejak kaki ke rumah. Alangkah terkejutnya saya… melihat suami saya sedang mencukur bulu kemaluan bekas isterinya. 

Dan, saat itu… bekas isterinya tanpa Seurat benang. Saya akui, saya sangat2 cemburu. Saya masuk bilik saat tu dan memang saya mengamuk. Suami mohon maaf pada saya kerana alasannya… bekas isterinya minta bantuan darinya dan alasannya hanya suami saya sahaja yang dia selesa. Masalahnya… mereka BUKAN ADA IKATAN lagi. Mustahil suami saya tak tahu hukum hakam. Melihat kemaluan bukan isteri pun haram… apa lagi menyentuhnya. Ya Allah… seminggu peristiwa tu berlalu… tapi, perit untuk saya lupakan.

Saya bagi kata dua pada suami… demi kebahagian anak-anak mereka dan bekas isteri.. saya tidak mahu menjadi orang ketiga antara mereka. Apa yang perlu ke saya lakukan sekrang??? Mengundur diri? Memaafkan je? Cari lokasi lain untuk bekas isteri?? Demi Allah.. saya sangat sayangkan anak-anak tiri saya....

Pengalaman Seram Rumah Berpuaka Di Muar Johor

6 Aug 2017


Kisah ini adalah kisah benar yang pernah kami alami. Pada tahun 1995, kami sekeluarga berpindah dari Johor Bahru ke Muar kerana ayah mohon kepada jabatannya untuk bertukar tempat bertugas ke Muar atas alasan masalah urusan keluarga. Ayah bekerja sebagai pegawai kerajaan bahagian pencegahan penyeludupan dan kebetulan, post di Muar memerlukan beberapa orang pegawai untuk menjalankan aktiviti pencegahan.

Setelah permohonan ayah lulus, ayah meminta pertolongan kawannya yang kebetulan berada di Muar untuk mencarikan kami rumah sewa. Akhirnya, kawannya menemukan sebuah rumah sewa yang terletak di Jalan Daud, Muar. Ayah mengambil keputusan untuk ushar rumah tu sebelum kami berpindah. Saya ketika itu baru berumur 5 tahun dan kami sekeluarga pergi bersama melihat rumah tersebut. Rumahnya sederhana dengan halamannya yang luas dan berjenis Semi-D.

Setelah kami mempersiap segalanya, akhirnya kami sekeluarga berangkat untuk berpindah ke sana. Ayah menjemput sepupunya untuk membantu dan emak juga turut menjemput adik perempuannya untuk turut bersama menyediakan jamuan kecil-kecilan dan apa yang patut. Kisah misteri dan seram berlaku sebaik sahaja kami menjejakkan kaki ke rumah tersebut. Meskipun ketika itu usia saya baru 5 tahun, tapi memori tersebut masih segar dalam ingatan saya. Bagi memudahkan pembaca untuk mengikuti kisah ini, saya ringkaskan kepada beberapa pecahan kisah.

KISAH 1
Sebaik saja kami tiba di rumah tersebut, kami semua memunggah barang, dan saya bersama adik lelaki saya yang ketika itu berusia 4 tahun pergi berjalan ushar sekitar rumah tersebut. Perkara pertama yang terpacul dari mulut adik saya yang sudah pandai berkata-kata adalah “Rumah ni tak best lah kan!”. Balas saya “A’ah lah, tak best!”. Saya juga turut merasakan aura negatif tersebut, walaupun ketika itu saya masih berumur 5 tahun. Saya dan adik pergi mendapatkan emak dan mengadu “Mak! Rumah ni tak best lah...” tapi aduan kami tidak diendahkan. Kata-kata kami didengari oleh kak long dan dia masih ingat lagi kata-kata tersebut sehingga ke hari ini.

KISAH 2
Apa yang nampak menarik adalah senibina rumah tersebut seakan-akan rumah kolonial British dan saya yakin rumah ini mungkin dibina pada waktu Perang Dunia II [WW II] berdasarkan jalan sambungan untuk ke dapur yang hanya berdinding tetapi tidak berbumbung. Selepas penat berkemas, sepupu ayah pergi ke halaman rumah untuk memetik buah mangga yang rendah pokoknya. Pada usia saya 5 tahun tu, saya dapat pegang pokok tersebut. Emak sedang sibuk menyediakan makanan untuk jamuan kecil. Makcik pula [adik perempuan emak] duduk berehat kepenatan dan terbaring di atas kerusi. Katanya dia pening kepada, dan apa yang memeranjatkan, ketika itu adik saya dapat lihat ada seorang budak sedang duduk di atas kepada makcik, tapi waktu tu dia tergamam dan tak tau nak ‘describe’ tu benda apa?

KISAH 3
Setelah selesai kemas. Kami berehat pada malam itu sebab kepenatan. Esoknya kami berkenalan dengan jiran sebelah rumah yang merupakan sepasang suami isteri berbangsa Cina. Dorang berdua adalah cikgu sekolah dan dorang sangat mesra dan baik hati. Usia dorang juga sudah hampir untuk bersara, namun masih sihat dan bertenaga. Dorang hanya tinggal berdua sahaja.

Kisah seram dan berpuaka bermula pada suatu malam. Saya tidak ingat bilakah waktu tersebut. Ketika itu, kami sekeluarga asyik menonton TV. Secara tiba-tiba, pintu yang memisahkan bahagian ruang tamu dengan dapur digoncang kuat. Kami terperanjat. Ayah pula segera mendapatkan pistolnya kerana dia risau sekiranya ada perompak yang memasuki rumah memandangkan jalan untuk ke dapur tidak berbumbung dan mudah dimasuki orang. Ayah menunggu pintu digoncang untuk kali kedua, kali ini ayah terus merentap laju daun pintu dan mengacukan pistolnya. Namun tiada sesiapa. Ayah fikir mungkin angin bertiup kencang.

KISAH 4
Malam berikutnya, kejadian yang sama berlaku. Ketika kami sedang asyik menonton TV, sekali lagi pintu digoncang kuat. Kali ini ayah tidak sempat ambil pistol, sebaliknya dia capai parang yang sudah tersedia di tepi pintu. Takut juga kalau-kalau kali ini betul-betul perompak. Sekali lagi pintu direntap, namun tiada sesiapa pun, bahkan tak ada angin. Semenjak daripada kejadian itu, emak mula rasa sesuatu tak kena. Emak mengadu kepada ayah tentang rasa hatinya, kata emak, mungkin itu bukan orang atau angin. Ayah antara percaya dengan tidak.

KISAH 5
Sehingga malam berikutnya, ketika itu ayah tak ada dirumah kerana pergi ke Johor Bahru untuk menghadiri kes mahkamah. Seperti biasa, bila ayah dapat kes pencegahan, kes tersebut akan di bawa ke mahkamah dan ayah akan tinggalkan kami untuk beberapa hari bagi menghadiri perbicaraan. Pada malam itu pintu digoncang lagi. Kali ini hanya kami berenam. Emak, saya, adik lelaki saya dan tiga orang kakak saya. Kami bertambah risau kerana ayah tak ada dirumah. Kami menasihatkan emak supaya tidak membuka pintu. 

Tetapi dengan keberanian yang ada, emak yakin itu bukan angin atau perompak sebaliknya “benda” lain. Emak ambil penyapu lidi yang tersedia di pintu tersebut. Kali ini emak merentap pintu tersebut kemudian mengibas-ngibaskan penyapu lidi. Serentak itu juga bulu tengkuk emak meremang dan emak kemudian cepat-cepat menutup pintu.

KISAH 6
Emak mengadu kepada ayah tentang kejadian yang kami hadapi ketika ketiadaan ayah di rumah. Ayah setuju dengan emak dan dia mula percaya yang goncang pintu tu bukan angin atau perompak, tapi ‘benda’ tu. Emak dan ayah berbincang untuk mencari rumah sewa yang lain. Kami juga minta supaya ayah pindahkan peti sejuk dari dapur ke ruang tamu kerana takut untuk ke dapur jika nak minum pada waktu malam. Kejadian pintu digoncang kuat tu terus berlarutan, tapi kali ini kalau pintu digoncang, ayah akan suruh kami tutup TV dan tidur. Pintu digoncang biasanya pada pukul 8 malam atau 10 malam.

KISAH 7
Itu kisah pada waktu malam. Pada waktu pagi pula, pintu depan pula akan digoncang. Saya sendiri melihat kejadian tersebut, dan berlari mendapat ayah dan emak yang sedang berehat di bilik. Emak dan ayah pesan supaya saya abaikan kejadian tersebut. Dah masuk, konon buat-buat tak reti keluar!

Pada suatu pagi, satu lagi kejadian aneh berlaku. Waktu tu emak nak jemur pakaian di luar rumah. Nak jemur pakaian sebenarnya boleh dari dalam rumah sebab bahagian jalan ke dapur tidak berbumbung. Namun mak lebih memilih ampaian di luar kerana kawasan tidak berbumbung itu adalah tempat kami mandi. Kenapa? Nanti saya kisahkan.

Berbalik kepada cerita emak yang nak jemur pakaian. Emak cakap, ketika dia nak jemur pakaian, dia akan melalui longkang yang ditutup dengan penutup yang diperbuat daripada simen. Macam biasa, penutup longkang jenis ni akan berbunyi bila dipijak. Jadi, ketika emak menjemur pakaian, emak terdengar penutup tersebut berbunyi kuat “bedebuk!”. Dia menoleh, tapi tiada siapa pun yang memijaknya.

KISAH 8
Ketika saya dan adik bermain-main di halaman rumah, isteri jiran sebelah rumah mengajak kami datang kerumahnya. Saya mesra memanggilnya auntie. Seperti saya cerita, dorang hanya duduk berdua, dan tidak ada anak cucu bersama. Mungkin kehadiran kami dapat menghiburkan hati auntie. Suaminya tiada di rumah ketika itu. Waktu itu emak berada di luar sedang menyapu, mak mebenarkan kami untuk ke rumah auntie. 

Di rumahnya, auntie mengeluarkan set permainan untuk kami main. Ketika sedang kami asyik bermain, tiba-tiba adik saya berkata “Siapa budak hitam tu? Dia buat apa kat sana?”. Adik menunjuk ke salah satu arah di rumah auntie tersebut. Selepas kejadian tu, auntie tu dah tak panggil lagi kami untuk bermain di rumahnya.

KISAH 9
Seingat saya, rumah tersebut mempunyai 3 batang pokok iaitu pokok sukun, pokok mangga, dan pokok. Suatu hari, emak pergi memetik buah mangga untuk dimakan. Buahnya molek-molek dari luaran, tetapi sebaik sahaja emak membelahnya, dalaman buah tersebut sudah busuk berulat. Emak pelik, kenapa masa hari tu sepupu ayah petik bukan main elok isinya? Emak mencuba pokok lain, Alhamdulillah, pokok sukun dan cermai buahnya molek dan boleh dimakan. Setiap petang emak akan buat sukun goreng untuk kami minum petang.

KISAH 10
Pada suatu hari minggu, kami sekeluarga balik ke Johor Bahru untuk melawat rumah kami di sana dan bercuti serta bersihkan apa yang patut. Sebaik saja kami pulang dari Johor Bahru, auntie sebelah rumah jumpa emak dan cakap “Kamu hari tu pergi mana? Rumah kosong, senyap, gelap, lampu semua tutup. Saya ada dengar macam ada orang mandi dalam rumah kamu.” Emak terkejut, dan emak beritahu auntie yang kami semua tiada dirumah pada hari minggu tu sebab balik Johor Bahru.

KISAH 11
Mengapa kita jadikan kawasan tak berbumbung tu sebagai tempat mandi? Inilah kisahnya. Rumah tersebut mempunyai 2 bilik air. Bilik air pertama dilengkapi dengan kolah mandi dan mangkuk tandas jenis cangkung manakala bilik air kedua pula adalah tandas sahaja, tetapi tidak digunakan sebaliknya dijadikan stor. Semenjak kami pindah, bilik air kedua tu memang sudah dijadikan stor menyimpan barang-barang lama. Suatu hari ketika emak sedang kemas rumah, emak membersihkan bilik air kedua tersebut untuk menyapu segala sawang dan habuk serta membuang segala barangan yang tak boleh dipakai.

Pada malam tu, mak bermimpi didatangi makhluk yang ada dua muka, sebelah muka manusia dan sebelah lagi muka anjing. Makhluk tersebut memarahi emak kerana membersihkan bilik air tersebut. Semenjak daripada peristiwa itu, kami tidak berani untuk menggunakan kedua-dua bilik air, kecuali untuk buang air besar di bilik air pertama. Kami mengambil keputusan untuk mandi di kawasan tak berbumbung tu. Kecuali ayah, sebab ayah dah biasa dengan kes-kes macam ni ketika dia pergi mencegah, so setakat hantu bilik air tu apa lah sangat...

KISAH 12
Suatu hari, saya pun tak ingat bila, seperti biasa ayah akan tinggalkan kami untuk court case di Johor Bahru. Jadi emak panggil emaknya [iaitu atuk perempuan kami sebelah emak] untuk teman kami. Tak tau kenapa mak panggil atuk? Mungkin sebab emak nak atuk tengok-tengokkan rumah tu kot? Ye lah, orang tua biasa faham “benda-benda” ni. Atuk tinggal di Segamat, jadi tak jauh untuk ke Muar.

Atuk cerita, hari pertama dia datang rumah yang kami sewa tu, dia dah rasa tak sedap hati. Jadi pada suatu malam, waktu atuk nak buang hajat, dia bawa sebilah parang untuk ke tandas. Masa dia cangkung nak melepas hajat, dia pacakkan parang atas lantai. Tapi tak tembuslah lantai tu, atuk pegang parang tu. Itu petua orang Melayu dahulu kala, kalau nak pergi ke sungai ke, laut ke, biasa dorang akan pacak parang dulu sebelum turun ke laut atau sungai. Sebaik saja habis buang hajat, atuk terus sambung tidur. Malam tu atuk meracau. 

Esoknya atuk balik kampung. Kisah atuk diganggu ni pun merupakan salah satu punca kami mandi di kawasan tak berbumbung tu. Kalau korang nak tau, setiap kali kami nak pergi bilik air untuk buang air, kami akan pergi berteman, meskipun waktu pagi.

KISAH 13
Jalan yang kami ambil untuk mandi di kawasan tak berbumbung tu bukan suatu penyelesaian yang bijak, kerana pada suatu pagi kak long diganggu. Biasanya kak long akan mandi sebelum Subuh untuk ke sekolah. Suatu pagi masa dia mandi, kak long dengar ada orang berlari dibelakangnya dan terdengar bunyi kocakan air dipijak atas lantai simen yang basah. Semenjak daripada kes tu, kak long selalu lambat ke sekolah sebab dia akan tunggu hari terang untuk mandi.

KISAH 14
Kisah ni lagi bahana! Suatu pagi kami dikejutkan dengan keadaan kereta kami terbuka keempat-empat pintunya. Ayah dan emak bukan main cemas. Ayah terus pergi pintu pagar dan tengok kalau-kalau pagar kena pecah. Yang memeranjatkan, pagar masih bermangga dan tiada kesan orang cuba nak pecah mangga dan rantai mangga tersebut.

Pada mulanya ayah fikir mat gian yang pecah masuk rumah. Ayah cepat-cepat masuk kereta dan buka laci kecil dalam kereta yang biasa kita simpan duit syiling dan resit. Duit dalam tu tidak terusik. Kalau mat gian, mestilah dorang akan pecahkan cermin kereta dan ‘aim’ benda berharga dalam kereta tu. Yang lagi pelik, pintu kereta tu berkunci. Kali ni ayah mula yakin bahawa yang ganggu kami tu bukan biasa-biasa.

KISAH 15
Emak dan ayah mula berikhtiar. Sedari solat wajib, hinggalah ke solat sunat tahajjud & hajat. Emak juga selalu memainkan kaset bacaan surah Yasin. Zaman tu MP3 Imam Masjidil Haram belum ada, apatah lagi YouTube. CD pun belum terkenal sangat. Segala jenis nama qari & qariah mak beli kasetnya. Kesannya? Ya, sangat berkesan dalam menghalau benda-benda puaka pukake zuzake tu, namun sekejap saja. Pintu tu pulak tak henti-henti digoncang. Ibarat kata pepatah, halau-halau ayam, nanti esok datang balik. Harapan kami adalah terus berdoa.

KISAH 16
Kemuncak kepada peristiwa ini adalah ketika adik saya diserang sakit perut. Mungkin usaha serta ikhtiar emak dan ayah membuatkan benda sundake pukake tu jadi ganas dan mula buat ‘plan’ dorang sendiri untuk balas dendam. Lepas adik sakit perut, emak dan ayah bawa pergi klinik. Bila tiba di klinik, macam biasa, doktor kata adik saya sihat, tak ada penyakit. Habis yang budak tu sakit perut sampai cirit-birit tu apa hal? Kami jadi bertambah buntu.

Rupanya, sebelum adik diserang sakit perut, adik cerita yang dia ada bermimpi didatangi sepasang burung merpati. Burung tu cakap kat adik “Dia ni anak kita!”. Adik menceritakan mimpi tu pada emak dan ayah, namun emak dan ayah fikir itu cuma mimpi budak-budak, sehinggalah adik diserang sakit perut tu.

KISAH 17
Suatu hari adik minta kak long untuk teman dia pergi tandas untuk buang air besar. Suatu perkara pelik dan seram yang kak long alami. Kak long cakap, adik suruh teman dia depan pintu sebab dia takut, tapi bila kak long berdiri depan pintu, adik halau kak long dan cakap “Kau buat apa diri kat situ? pergilah!”. Bila kak long pergi, tiba-tiba adik menangis “Long nak pergi mana tu? Temanlah adik, adik takut”... Kak long bingung, tapi kak long tetap temankan adik sampai dia habis mencirit.

Disinilah bermula kemuncaknya apabila salah seorang daripada kita kena rasuk atau diganggu dengan penyakit misteri. Masa tu barulah kita hampir sedar yang kita bukan berada di alam nyata lagi, tetapi sudah masuk separuh diri ke alam yang satu lagi.

KISAH 18
Sakit perut adik yang belum lagi ditemui ubat membuatkan kami buntu dan akhirnya kami mengalah, emak dan ayah sudah mula abaikan solat. Ayah sudah tidak mengaji lagi. Emak tak lagi memainkan kaset bacaan surah Yasin. Kak long masih ingat ketika dia nak solat. Dia dah siap sarung telekung dan sebaik saja dia berdiri atas sejadah, dia tiba-tiba melucutkan telekung dan tak jadi solat.

Kami lebih suka keluar rumah pada waktu malam untuk ke Tanjung, suatu tempat popular di Muar untuk ambil angin dan kami kerap makan malam di luar. Mungkin dengan cara demikian kami dapat lupakan gangguan yang kami hadapi di rumah. Kami hampir putus asa walaupun ayah kerap kali berulang ke klinik untuk ubati sakit adik. Adik saya juga pada waktu tu semakin susut saiz badannya. Akhirnya kami menjalani kehidupan seperti biasa dan berserah pada takdir.

KISAH 19
Penyelesaianya kepada masalah ini akhirnya ditemui apabila pada suatu malam, sekitar pukul 8 malam, adik terbangun daripada tidur petangnya dan dia menceritakan mimpinya kepada emak dan ayah. Adik kata, dia bermimpi pergi ke sebuah gunung. Di atas gunung tersebut ada seorang tua yang adik saya kenali, bahkan kami juga kenal dengan orang tua yang dimaksudkan adik dalam mimpinya. Orang tua tersebut berpesan untuk jumpa dirinya jika ada masalah. Selepas adik menceritakan mimpi tersebut kepada emak dan ayah, kami rasakan masalah ini akan berakhir. Usaha dan doa kami akhirnya Allah Makbulkan.

Orang tua tu kami gelar Atuk Mersing dan beliau merupakan seorang hamba Allah Azzawajal yang boleh dikatakan mempunyai karamah. Barulah emak dan ayah sedar dan teringat kepada orang tua tersebut. Dahulu kami sangat rapat dengan Atuk Mersing tu, emak dan ayah dah dia anggap macam anak sendiri. Emak dan ayah kenal orang tua tu masa dorang mengikuti kawan dorang untuk mendapatkan bantuannya bagi mengubati isteri kawan dorang yang gila. Isterinya akhirnya sembuh dengan tawassul orang tua tersebut.

KISAH 20
Setelah adik menceritakan mimpinya dan setelah kami sedar, malam itu juga kami sekeluarga berangkat untuk ke Mersing menemui orang tua tersebut. Kami transit di rumah kami di Johor Bahru sebelum bergerak ke Mersing. Dalam perjalanan kami dari Muar ke Johor Bahru, emak pangku adik atas riba dan emak kata ketika dia pangku adik, dia dapat rasa macam ada benda yang sedang menekan-nekan dadanya. Sepanjang perjalanan, Emak tak putus-putus gentel tasbih dan berselawat. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan kami dari Muar – Johor Bahru, kami sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Setibanya di Johor Bahru sekitar jam 12 malam, kami bermalam di situ. Pada malam itu, di rumah kami, kak long terlihat satu lembaga berambut panjang dan berbaju putih sedang memerhatikan kami yang sedang tidur. Kak long kata dia nampak dalam keadaan sedar dan tidak atau kata mudahnya ketika jalu. Apabila hari terang keesokannya, selepas tengahari, kami berangkat ke Mersing.

KISAH 21
Ayah memandu perlahan serta kami rehat dan rawat sekejap di Kota Tinggi. Alhamdulillah, kami tiba di Mersing dengan selamatnya. Waktu kami tiba hari dah nak masuk Maghrib. Atuk Mersing tak ada di rumah, kata isterinya dia ke pekan. Bukan main gembira lagi isterinya bila lihat kami datang, siap minta tolong ayah sembelihkan ayam untuk dimasak buat kami sekeluarga. Tak lama lepas tu, Atuk Mersing pulang. Ketika dia masuk, dia lihat muka kami semua dan berkata “Berat betul masalah awak semua ni!” walaupun kami cuba sembunyikan dengan senyuman. Selepas ayah dan Atuk Mersing selesai solat Maghrib bersama, Atuk Mersing memulakan sesi pengubatan.

Emak bawa adik dan baringkan di sisi Atuk Mersing. Orang tua tersebut membuka baju adik dan mencelup sedikit minyak urut lalu disapukan ke perut adik. Serentak itu adik meraung-raung kesakitan. Padahal orang tua tu baru sentuh. Perut adik diusap perlahan-lahan. Adik meraung dan merayu pada emak, tapi emak tak hiraukan kerana dia tahu itu bukan adik, tetapi puaka sundake tu yang cuba “trick” emak. Selesai berubat, adik tidur lena.

Orang tua tu siap pesan “Nasib baik awak bawak anak awak ni cepat, kalau tak... sebab ‘benda’ tu dah makan hampir ke perut anak awak ni”. Orang tua tu juga pesan supaya kita berpindah dari rumah tu sebab rumah tu dah jadi tempat puaka-puaka tu duduk. Ibaratnya, kita yang menumpang tempat dorang.

KISAH 22
Akhirnya kami berpindah. Sebelum tu kami stay dulu di Johor Bahru, manakala emak dan ayah pergi cari rumah sewa lain di Muar. Kami akhirnya menemui rumah sewa yang lain dan kami berpindah ke sana dengan aman damainya untuk beberapa tahun sehinggalah ayah berjaya selesaikan masalah keluarga dan berpindah kembali ke Johor Bahru. Alhamdulillah.

Selepas kami pindah dari rumah berpuaka pundak nayeh laknatullahialaih tu, salah seorang kawan ayah menemuinya di pejabat dan tanya “Abang dulu duduk rumah tu ke?”. Ayah jawab “A’ah, aku dah pun pindah dari tempat yang penuh kenistaan tu!”. Kawan dia cakap “Saya dah lama nak cerita dengan abang, tapi tak sampai hati sebab masa tu abang masih stay situ. Masa suatu malam saya buat rondaan kawasan tu, saya nampak ada lembaga berjalan masuk menuju ke rumah tu, kemudian hilang!”.

Lepas kami keluar dari azab tu, ayah ada juga ushar tanya kawan-kawan dia kalau-kalau rumah tu masih ada penyewa. Kata ayah, lepas kami blah, ada orang bujang sewa rumah tu, tapi tak sampai dua hari. Esoknya dah berambus.

SEJARAH HITAM RUMAH
Selepas kami pindah, ayah pun rasa ‘curious’, nak tau juga apa pasal rumah tu punya nista dan berpuaka pundak nayeh. Dia ushar-ushar dengan orang-orang kampung sekitar situ. Menurut kisah, rumah puaka tu adalah milik seorang doktor. Doktor tu ada bunuh seorang perempuan dalam rumah tu. Tapi tak tahu sebab apa dia bunuh perempuan tu? Mayat perempuan tu sampai sekarang tak jumpa.

Bila kisah tu berlaku tak pasti. Sama ada selepas atau sebelum WW II atau doktor tu pemilik rumah tersebut atau penyewa... entahlah... Yup! Mengenai tuan rumah, sebenarnya kami bayar sewa pada orang yang ditugaskan untuk jaga rumah tu. Orang tu bukan pemilik asal rumah puaka tu, tapi keluarga dorang ditugaskan untuk menjaganya. Pasangan cikgu sebelah rumah kami tu pun mungkin bayar sewa dengan orang yang sama sebab kami tak pernah tanya pasangan cikgu tu macam mana dia duduk situ... malas nak kepochi-kepochi.

Yang penting kita semua dah selamat, Alhamdulillah. Masa ayah pergi claim duit pendahuluan, ayah ada juga tanya-tanya pasal rumah tu dan memang penjaga rumah tu akui yang rumah tu “keras”. Tapi, apa yang kami terkilan, kenapa penjaga tu tak inform awal-awal secara jujur? Sanggup aniaya orang demi mengharap duit sewa yang tak bawa ke mampus pun! Kami sewa rumah tu sebulan lebih dan hampir ke dua bulan. Untuk pengetahuan korang, penjaga tu kata, kami adalah penyewa yang paling lama bertahan menyewa rumah tu. Babih!

PENGAKHIRAN DAN KESIMPULAN
Adik kata, masa dia kena urut dengan orang tua tu, dia berada di alam lain. Dia kata dia dengar ada orang sedang baca surah Yasin dan nampak 3 ekor hantu keluar dari perutnya tercampak hingga pecah atap siling rumah orang tua tu.

Semenjak daripada pengalaman ni, kami jadi lebih berhati-hati untuk mencari rumah sewa, sampaikan kadang-kadang sebelum kami sewa sesuatu rumah, kami terus tembak tuan rumah tu “Rumah awak ni berhantu tak?”, bukan apa, kami memang trauma dengan kejadian yang pernah kami alami.

Setakat kisah Villa Nabila tu kita cuma dengar cerita jek, tapi kami sekeluarga dah alaminya secara “LIVE” di rumah puaka tu. Adik saya juga rasa seram sejuk bila dia cuba ceritakan semula pada saya mungkin sebab trauma, begitu juga saya yang adakala berdiri bulu tengkuk ketika menaip kembali kisah ni.

Lokasi rumah ni di Lorong Melur, Jalan Daud, Taman Seri Maharani, Muar. Hati-hati...

Semoga kisah saya ni dapat korang jadikan pedoman agar korang tak tersewa rumah puaka pundak nayeh yang masih wujud di Muar dan semoga Allah Azzawajal melindungi kita semua daripada gangguan syaitan laknatullahialaih. InshaAllah.

** P/S: Gambar2 terkini yang aku attached merupakan street view tahun 2016-2017. Jika min tengok, rumah tu sampai sekarang takde penyewa meskipun nampak banyak bahagian yang dah direnovated. Terutama bahagian jalan ke dapur yang tak berbumbung tu dan tingkap. Dulu tingkap tu pakai tingka kayu dua kuak, sekarang dah tinted**





Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.