SLIDER

berbalah
Showing posts with label berbalah. Show all posts

Pelajar Cemerlang SPM (10A), Tersilap Langkah Yang Membawa Ke Tali Gantung

10 Mar 2022


Ibu bapa acuan akhlak anak-anak. Jika baik acuannya, maka baiklah hasilnya. Begitu jugalah sebaliknya. Mungkin ada yang setuju dengan kenyataan di atas dan ada juga yang tidak bersetuju. 

Walau apapun pandangan anda, apa kata anda baca dahulu kisah Puan Nadiah Yusof, tentang seorang remaja yang tersalah memilih jalan dalam kehidupan, walaupun pernah mendapat 10A dalam SPM. 

Kes remaja yang membakar tahfiz mengingatkan saya kejadian lapan tahun lepas ketika saya masih seorang pelatih. Saya terima seorang pesakit awal 20-an yang ditetak dengan parang di kedua-dua belah tangannya. 

Kira-kira tidak lebih dari 10 deep laceration wound di sana. Dia datang bersama-sama sepasukan anggota polis dalam keadaan separuh sedar. Ini kali pertama saya lihat luka seperti itu. Pucat muka dan berdebar jantung saya. 

Hasil maklumat dari pihak polis, dia ditangkap setelah merompak dan membunuh 3 orang penghuni rumah iaitu isteri, anak berusia 3 tahun dan orang gaji. Tak bernasib baik, belum sempat dia melarikan diri, sang suami pulang ke rumah dan menangkapnya. Akibat amarah, si suami menetak dan orang kampung mencurah cuka pada lukanya. Padanlah separuh masak isinya. 

Saya lihat betul-betul wajahnya. Sampai sekarang saya masih boleh ingat wajahnya. Orangnya masih muda, wajah putih bersih tidak nampak seakan penjenayah. Janggut sejemput seperti seorang ustaz layaknya. Benarlah kata orang, jangan menilai orang dari rupa/luarannya. Pesakit ini rupa-rupanya penagih dadah. Malah sebelum pecah masuk dia sempat mengambil 16 biji pil ekstasi. 

Dalam keadaan tidak sedar, dia membunuh semua yang berada di rumah. Malah anak kecil berusia 3 tahun itu ditemui di dalam bilik air dalam keadaan perut terburai. Bila masuk ke ward, social history lebih terperinci didapati. Kisah hidup anak muda ini tragis. Dia adalah pelajar cemerlang (10A) di dalam SPM. Malah ditawarkan jurusan perubatan. Tetapi dia terkesan dengan perceraian kedua ibu bapanya. Dia tidak dipedulikan, maka dia menentukan hidupnya sendiri. Dia berhenti belajar dan terlibat dengan najis dadah. 

Ketika dia dimasukkan ke hospital tak ada seorang pun ahli keluarganya kelihatan. Malah pihak hospital mengalami masalah mendapatkan maklumat dari ahli keluarganya. Ada no telefon yang diberikan tetapi tidak mengaku mempunyai pertalian denngannya. Malah tiada siapa yang melawatnya di hospital. Kisah anak muda ini selalu saya ceritakan untuk mengingatkan betapa durjana najis dadah. Begitulah dadah memusnahkan segalanya. 

Walaupun pesakit ini bekerja, tetapi ianya tak mampu menanggung desakan ketagihan dadah. Dalam 2 hari habis duit gaji sebulan untuk membeli dadah. Habis duit gaji, terpaksa mencuri. Natijahnya terpalit pada insan tak berdosa. Sepanjang bertugas di Jabatan Kecemasan dan mengendalikan kes OSCC, 90% (anggaran kasar dan personel) dari kes rogol, sumbang mahram, sodomy malah dadah terhasil dari broken family.

Ketika ini lihat dimana anak-anak kita. Dengan siapa mereka berkawan. Jika selama ini kita tak pernah peduli, mulakanlah sekarang. Periksa diri kita sebagai ibu bapa. Kita adalah acuan mereka. Jika hasil tidak molek, acuannya yang tak kena. Berhentilah menyalahkan orang lain sebaliknya berlapang dada memperbaiki diri kita. 

Sikap kita juga mesti diperbaiki. Hentikan sikap menghukum. Sejahat manapun seorang manusia, Allah membuka ruang untuk hambanya bertaubat. Siapalah kita untuk menentukan syurga neraka seorang manusia. Boleh jadi mereka yang kita cerca lebih mulia dari kita jika mereka bertaubat nasuha. Pesakit saya itu, tiada siapa berani mendekatinya mungkin kerana perbuatannya dan mungkin kerana terlalu ramai anggota polis menggerumuninya. Saya masih ingat soalan yang ditanya ketika dia sudah sedar dari ‘high’, baru sedar dia membunuh tiga nyawa. 

“Kenapa awak suap makanan pada saya? Saya pembunuh.” “Sebab kamu manusia, manusia buat silap. Kalau kamu bertaubat boleh jadi kamu lebih mulia dari saya.” Ketika itu saya sebak. Mengenangkan dia seorang yang hampir punya masa depan gemilang bakal berakhir di tali gantung kerana dadah & masalah keluarga.


Kredit: PenHitam

Kerana Harta, Adik-Beradik Berbalah

24 Jan 2022



SAYA cukup tertarik dengan kisah 'Mencari Keberkatan hidup' yang dipaparkan di ruangan ini beberapa minggu lalu. Tentang permaufakatan adik beradik atas harta tinggalan arwah ibu ayah mereka. Dan mereka lakukan yang terbaik untuk menambah pahala ibu ayah mereka. Malangnya adik beradik saya berbalah berebut harta hingga menyusahkan arwah ibu dan ayah di alam sana.

Saya bayangkan ditakdirkan kami berenam beradik boleh berpakat seperti itu tentu hidup kami lebih bahagia dan tentu arwah ibu bapa kami lebih tenteram di sana. Kami tidak ramai tetapi malangnya kami masih tidak dapat membuat keputusan tentang harta peninggalan arwah." Demikian cerita Siti Sara dalam emelnya.

Emak saya meninggal dulu daripada ayah. Walaupun sudah lapan tahun berlalu, tetapi baik ayah mahupun kami adik-beradik tidak dapat buat keputusan tentang harta peninggalan emak. Emak juga ada harta peninggalan arwah nenek atas nama emak tetapi dikongsi bersama adik-beradik emak yang lain. Pendek kata harta ada, tetapi pemiliknya bukan seorang, ada sangkut paut dengan orang lain. Kata kakak apa yang berlaku kerana emak tak mahu putuskan semasa hayatnya dulu, maka susahlah nak buat keputusan sekarang, sementara itu ada pula adik-beradik emak yang sudah meninggal dunia. Pendek kata memang sulit nak diputuskan.

Oleh kerana ayah masih ada maka perkara tersebut didiamkan begitu sahaja hinggalah ayah meninggal dunia setahun lalu. Barulah masing-masing bersuara tambahan pula tanah emak itu hendak dibeli oleh sebuah syarikat pemaju untuk dirikan projek mereka. Barulah masing-masing terbuka mata, barulah mahu 'ambil kuasa'.

Bab nak ambil surat kuasa atas tanah tersebut bukan mudah. Mesti ada persetujuan adik-beradik dan mestilah orangnya amanah dan mahu menguruskannya serta ada masa. Kami minta abang sulung usahakan ambil kuasa. Tapi abang sulung buat tak kisah. Sebab katanya, dia perlukan duit untuk urusan pindah milik dan turun lain ke pejabat tanah.

Malangnya dalam diam abang tetap teruskan usahanya, kerana dia telah dijanjikan jumlah wang yang banyak jika dia jual tanah emak kepada syarikat tersebut. Bila berita itu bocor, maka berlakulah bertengkaran antara adik dengan abang. Tuduh menuduh berlaku. Dan sudah pasti tidak ada kepercayaan antara mereka lagi. Keadaan menjadi lebih kacau bila isteri abang masuk campur, kerana beliau mahu tanah tersebut segera dijual.

Walaupun saya dan kakak cuba bawa mereka berunding, tetapi gagal kerana setiap kali berbincang kakak ipar masuk campur. Katanya bila minta duit untuk upah abang mengurusan 'ambil surat kuasa' untuk belanja turun naik pejabat tanah, tidak ada siapa nak bagi duit, semua abang belanja sendiri. Tetapi bila nak dapat duit semua nak minta duit. Perkataan kakak ipar kami itu sudah tentu menyakitkan hati dua orang adik lelaki saya. Maka tuduh menuduh berlaku, mereka pula mendakwa abang nak jual harta, nak makan sendiri tanpa memberitahu kami adik beradik.

''Bila kes terbongkar abang cuba jual untuk dirinya sendiri, abang pula mengamuk maka turuh-menuduh berlaku. Tetapi peliknya kami dapat tahu abang dah dapat duit pendahuluan untuk proses penjualan tanah tersebut. Namun abang dan isterinya menafikan. Saya tak tahu siapa yang betul. Sudah beberapa kami saya dan kakak berjumpa abang supaya selesaikan kes ini dengan segera, bukan kerana kami hendakkan hartanya, tetapi kami tak mahu adik beradik bergaduh kerana harta. Kata kakak jika sudah diuruskan surat ambil kuasa, abang boleh jualkan tanah tersebut dan bawa berbincang dengan adik beradik jumlah tawarannya.

Sedihnya hingga kini kes pembahagian harta pusaka emak dan ayah masih tak selesai peliknya tanah tersebut telah dipagar oleh pemaju untuk membangunkan projek mereka. Kami diam bukan kerana takut, tetapi tak mahu mereka bergaduh pasal tanah dan harta. Namun kami yakin memang ada kebenarnnya proses pembelian tanah tersebut telah berlaku, jika tidak takkan ada orang lain berani ceroboh tanah arwah emak kami. 

Beberapa bulan lalu adik-adik lelaki kami telah jumpa peguam untuk membincangkan masalah tanah arwah emak yang diambilalih oleh pemaju. Kami pasti akan berlaku lagi pertengkaran adik-beradik tentang harta tersebut. Inilah masalahnya jika emak tinggalkan harta untuk anak-anak pun susah, tak ditinggalkan harta pun susah. Semuanya kerana tidak ada kepercayaan antara adik-beradik, dan ditokok tambah pula dengan campur tangan ipar duai yang mempunyai kepentingan peribadi.

Peliknya mereka berebutkan tanah tinggalan emak, hingga mereka terlupa keadaan rumah emak yang ditinggalkan selepas kematian ayah. Keadaan rumah semakin teruk, bocor sana sini, rumput tak dipotong dan tak berjaga. Dulu saya bersihkan dan sewakan, duitnya saya kumpul dan diberi sama rata setiap enam bulan sekali. Tetapi adik-beradik lelaki bantah, katanya, sebagai anak lelaki mereka patut dapat dua bahagian. Jika gitu saya minta mereka saja uruskan, tetapi mereka tolak. Akhirnya saya minta adik bongsu tinggal di sana sementara beli rumah sendiri. Malangnya yang lelaki minta bayaran sewa. Kerana merajuk adik tinggalkan rumah tersebut selepas tiga bulan tinggal di sana. Kini keadaan rumah jadi teruk semula.

Pada pandangan saya ini semua terjadi kerana adanya sikap tamak antara adik beradik saya mereka rela rumah itu jadi lebih teruk dan bocor daripada disewakan atau dibenarkan adik sendiri tinggal di situ. Masalahnya hingga kini tentu pembaca dapat bayangkan harta peninggalan arwah emak dan ayah langsung tidak memberi faedah kepada kami anak-anaknya, kerana ada antara kami yang bersikap tamak dan mencurigai antara satu sama lain. Malah ada yang sanggup biarkan harta itu hancur daripada diberikan kepada adik untuk menjaganya.

Ada juga sanggup menjual tanah secara sembunyi untuk kepentingan diri. Sementara harta pemberian nenek kepada emak langsung tidak dipedulikan kerana mereka malas berusaha untuk mengambil kuasa. Sebab takut keluar duit sendiri.

Demikian cerita Siti Sarah panjang lebar tentang harta peninggalan arwah emak ayahnya yang langsung tidak digunakan sebaik mungkin oleh anak-anaknya. Jadi kepada pembaca semua ambillah iktibar daripada cerita Siti Sarah ini supaya harta pusaka anda bawa berkat setelah anda meninggal dunia.

Kredit : UtusanMalaysia



Adakah Boleh Dan Dibenarkan Kita Berkongsi Masalah Di Media Sosial? Dr. Zaharuddin Abdul Rahman Merungkai Persoalan Ini

13 Jan 2022

Kita sering dijamu dengan berbagai permasalahan yang diutarakan oleh orang ramai melalui laman sosial Facebook, ianya seolah menjadi satu kemestian bagi mereka yang inginkan jawapan dengan segera dijawab oleh mereka yang bijak pandai.

Berbagai masalah di dalam kehidupan seharian telah dikongsikan oleh mereka-mereka yang berhadapan dengan sesuatu situasi sehingga menyukarkan mereka untuk mencari jawapan yang memaksanya untuk bertanyakan di laman sosial ini.

Biasanya masalah berkaitan dengan rumah tangga, suami isteri, percintaan dan banyak lagi yang sering dikemukakan oleh orang ramai. Setelah luahan dan masalah dimuatnaik, pastinya sesiapa sahaja yang berhak bersuara memberikan pendapat masing-masing dan tak kurang juga memaki serta mencaci dengan kata-kata yang menyakitkan.

Tetapi, adakah kita sedar dan tahu tentang pendedahan masalah yang kita hadapi itu ditanyakan kepada umum yang rata-rata semua orang boleh membacanya adalah dibenarkan atau tidak? Semua ini mungkin bagi sesetengah orang itu mudah dan perkara biasa tetapi disebaliknya mempunyai maksud dan makna.

Sila fahami penerangan daripada Ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman ini akan memberikan jawapan kepada semua tentang perbuatan mendedahkan masalah kepada umum itu dibenarkan atau pun tidak.

Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook.
Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka. Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya melalui status mereka. Tertekanlah suami serba salah.

Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung.

Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.

Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya.

Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan.

Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.

Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.

Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya.

Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.

Beramanahlah, jika perlu kongsilah password facebook di antara suami dan isteri, agar bersama-sama sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dibuat. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.

Penulis Asal: Dr Zaharuddin Abd Rahman

Kredit : koleksiviral 

Ayahku Kekasihku ! Kisah Benar Ayah Bercinta Dengan Anak Sendiri Sehingga Hamil ! Haruan Makan Anak !

23 Nov 2021


KUALA LUMPUR: Kes ‘haruan makan anak’ bukan lagi sesuatu yang mengejutkan dalam masyarakat hari ini, tetapi kejadian ayah bercinta dengan anak sendiri mungkin sukar diterima. 

Bagaimanapun itulah yang berlaku ke atas Lina, 21, yang dijadikan kekasih oleh ayahnya sejak empat tahun lalu sehingga dia kini hamil enam bulan.

“SAYA anak tunggal. Ayah dan ibu berpisah ketika saya berusia lima tahun dan sejak itu saya tidak pernah berjumpa ibu. Menurut nenek, ibu berlaku curang, menyebabkan hak penjagaan saya diserahkan kepada ayah.

Saya juga diberitahu, ibu berkahwin lain dan ada keluarga sendiri.Bagaimanapun, ayah tidak pernah berkahwin lagi. Berikutan ayah sibuk dengan perniagaannya, saya dipelihara nenek di kampung manakala ayah tinggal di Kuala Lumpur.Seingat saya sejak kecil, ayah sering bertukar pasangan tetapi tidak pernah berkahwin lagi. Hubungan ayah dengan semua kekasihnya juga tidak lama, antara dua hingga tiga bulan saja.

Ayah pernah membawa pulang beberapa kekasihnya untuk diperkenalkan kepada saya dan nenek, tetapi saya tidak sempat rapat dengan mereka. Ini kerana ketika mula hendak rapat dengan mana-mana ‘auntie’ (kekasih),ayah bertukar pasangan dan memperkenalkan kekasih baru.

Ayah memang banyak kekasih tetapi tidak pernah berkahwin lagi. Mungkin ayah kecewa dengan perkahwinan pertamanya, tetapi saya tidak tahu jawapan sebenar kerana setiap kali bertanya, ayah berdalih kononnya tiada jodoh.

Saya tidak tahu sama ada ayah berdendam dengan ibu hingga menjadikan saya sebagai mangsa atau ayah benar-benar cintakan saya. Ini kerana menurut nenek, rupa saya ‘sebiji’ (sama) dengan ibu. Perubahan layanan ayah terhadap saya berlaku ketika saya di tingkatan lima.Jika ketika kecil ayah hanya melawat saya seminggu sekali, tetapi ketika di tingkatan lima, ayah semakin kerap menjenguk saya.

Kadangkala empat lima hari seminggu berikutan rumah nenek hanya 50 kilometer dari Kuala Lumpur. Ayah juga kerap bertanya mengenai hubungan saya dengan lelaki. Dia Meminta saya berterus-terang dan berjanji bersikap terbuka. Yang menghairankan, semua teman lelaki saya ditolaknya kerana ada saja yang tidak kena baginya.Ini menyebabkan saya marah, tetapi ayah memang ‘pakar psikologi’. Diapandai bermain dengan perasaan orang. Mungkin itu kelebihannya hingga ada ramai kekasih.

Dia memperbetulkan fokus saya daripada remaja yang ghairah ingin bercinta kepada pelajar yang tekun. Ketika itu saya yakin keputusan ayah kerana dia inginkan yang terbaik untuk saya kerana saya satu-satu anaknya. Bagaimanapun, saya mula berasa hairan apabila selepas tingkatan lima walaupun memperoleh keputusan cemerlang, ayah tidak mengizinkan saya melanjutkan pelajaran.

Lebih menghairankan, beberapa rombongan meminang saya juga ditolaknya,sebaliknya dia meminta saya membantunya dalam perniagaan. Bukan sebagai pekerja, sebaliknya saya hanya diminta menemaninya ke majlis tertentu.

Saya seolah-olah menjadi pembantu peribadi tidak rasmi ayah. Apabila dia menghadiri majlis atau meraikan rakan niaganya, dia membawa saya.

Ketika itu saya mula berasa layanan berbeza daripada ayah. Pada mulanya saya bosan kerana perlu menemani ayah ke sana sini, tetapi lama-kelaman saya gembira kerana ayah membelikan barangan mahal.

Hubungan kami juga banyak berubah kerana ayah kerap membelai dan memeluk saya. Percakapan ayah juga lain dan romantis. Dia juga kerap memberikan hadiah.

Malah, saya pernah menemui sajak dan puisi ayah yang ditulis di kertas dan surat khabar. Antaranya bertajuk cinta terlarang yang ditujukan kepada saya dalam bahasa puitis.Seperti saya katakan, ayah pandai bermain psikologi. Mungkin ini jerat ayah. Akhirnya saya menjadi lemah dengan pujukan dan kasih-sayangnya dan ayah yang sepatutnya menjadi pelindung bertukar menjadi kekasih saya.

Daripada hubungan ayah dan anak, kami semakin intim dan bercinta. Ayah melayan saya seperti kekasihnya dan mungkin kerana ketandusan kasih-sayang sejak kecil, saya terjerat dan merelakan hubungan ini.

Akhirnya kami terlanjur. Saya tidak ingat berapa kali kerana ia kerap berlaku. Kami hidup seperti suami isteri dengan saya sering bermalam dirumah ayah di Kuala Lumpur.

Kalau ayah ada urusan kerja di luar daerah, saya ikut dan tinggal bersamanya di hotel. Hasil hubungan kami yang tidak lagi terkawal menyebabkan saya hamil empat kali.

Bagaimanapun, saya sempat menggugurkan tiga kandungan awal kerana ketika itu ayah mengambil berat keadaan saya. Apabila haid saya tidak dating dua bulan, dia bawa saya berjumpa doktor untuk menggugurkan kandungan.

Beberapa rakan mengesyaki hubungan kami kerana melihat cara ayah memegang saya kadang-kala keterlaluan, tetapi saya memberi alasan saya anak tunggal.

Kuasa Tuhan menentukan ketika hamil kali keempat, ayah sibuk dengan perniagaan. Dia tiada banyak masa dengan saya. Alih-alih apabila sedar,kandungan berusia enam bulan.

Saya terpaksa mendapatkan bantuan beberapa rakan baik. Mereka mengesyaki hubungan saya dengan ayah dan saya cuba berdalih dengan lelaki lain,tetapi mereka tahu ia angkara ayah kerana saya tidak pernah ada teman lelaki.

Akhirnya saya mengaku dan berterus-terang, menyebabkan saya kini disembunyikan. Hampir sebulan saya tidak berjumpa ayah dan saya tidak mahu dia tahu di mana saya sekarang.

Saya kini ditempatkan di sebuah rumah perlindungan dan mendalami ilmu agama sebelum melahirkan anak tidak lama lagi. Saya sungguh menyesal dengan perbuatan saya.

Saya memohon keampunan daripada Allah, tetapi pada masa ini saya tidak sanggup bersemuka dengan ayah. Saya belum ada kekuatan kerana perasaan cinta terhadapnya masih kuat.

Saya tahu perasaan ini salah di sisi agama, sebab itu saya menjauhinya bagi menghimpun kekuatan untuk menghadapi masa depan tanpa ada hubungan terkutuk dengan ayah.Jika ayah membaca artikel ini, saya berharap ayah faham dan saya ingin menjadi anak, bukan kekasih ayah.


Setuju Atau Tidak; Soal Kebahagiaan Dan Peribadi Tak Perlu DiTayang Di Media Sosial

8 Dec 2020


Kehidupan hari ini dah makin pelik dan luar biasa berbanding dulu. Kalau orang dulu-dulu, walau tak tayang apa yang dimiliki, hidup tetap kekal bahagia dengan pasangan. Habis kenapa orang sekarang suka berkongsi segala-galanya di media sosial?

Apa yang lagi parah, bukan hanya tempat yang dia pergi, hadiah mahal dan makanan sedap-sedap, malah ‘hal dalam kain’ berkait rumah tangga juga turut dikongsi!

Tapi jika ada yang melakukannya kerana mahu orang lain tahu anda pasangan bahagia ternyata itu satu kesilapan. Sebab pasangan bahagia tidak akan atau jarang sekali mempamerkan kemesraan dan kebahagiaan mereka di media sosial. Ini kerana pada mereka…

1. Cukuplah hanya pasangan yang rasa
Waktu sedang enak nak menjamu selera, anda pula sibuk nak ambil gambar. Akhirnya pasangan terpaksa menunggu dan kadang berlakon hanya semata untuk dirakam dan ditayang pada orang lain di media sosial. Betul ke ini cara terbaik untuk anda dan pasangan nikmati rasa bahagia? Tepuk dada tanya selera.

Jika ada pun foto yang diambil untuk tatapan peribadi bukan untuk dikongsi dan sekiranya memuat naik  gambar waktu sebegini ini sekadar yang bersifat umum, bukan untuk mempamer kemesraan.

2. Perasaan bahagia itu bersifat peribadi
Pasangan yang benar-benar bahagia dalam perhubungan tidak berminat untuk menunjuk atau membuktikan mereka bahagia pada orang lain.

Pada mereka perasaan bahagia itu bersifat peribadi. Jadi tak perlu membuang masa untuk menunjukkannya kepada orang lain.

3. Risau takut masuk kategori RIAK
Kebahagiaan sejati akan menjadikan seseorang lebih rendah diri dan menghayati maknanya. Mereka faham bahawa setiap pasangan itu bahagia dengan caranya sendiri. Apa yang buat kita bahagia, belum tentu buat orang lain bahagia jadi untuk apa ia dicanang?

4. Tak nak bahayakan kehidupan keluarga
Bawa anak ke sini, check in. Suami tak ada rumah pun, beritahu umum. Tahu tak cara ini boleh mudahkan dan dekatkan diri anda dengan kes jenayah? Cuba renungkan dan berfikir dulu sebelum buat.

5. Tak perlu bangga dengan kebahagiaan yang dimiliki
Setiap orang punya masalah dan ujian hidup yang berbeza. Kita mungkin bahagia tapi pasangan lain mungkin sedang berduka jadi tak perlu bangga dengan kebahagiaan yang dikecapi ini. Tak guna membanding-bandingkan hidup kita dengan orang lain atau merasakan kehidupan kita lebih baik dari mereka.

6. Bahagia itu untuk dirasa bukan dipamer
Ketika meraikan waktu gembira bersama pasangan, mereka mahu menikmatinya bukan diganggu dengan rakaman demi rakaman gambar atau lakonan selfie untuk dimuat naik di media social.

Apa pendapat anda? Setuju tak bahawa kebahagiaan itu bukan untuk dipamer atau anda punya sudut pandang berbeza dalam hal ini.
Sumber : MingguanWanita

Kisah Seorang Guru Dengan Anak Muridnya

19 Oct 2018


KES disiplin timbul lagi; kali ini di Klang; empat orang pelajar ditikam oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali.


Pada hari berita itu disiarkan, seorang pelajar saya ditumbuk oleh seorang pelajar lain, dan sebelum pergaduhan menjadi lebih teruk, perbuatan mereka dihentikan sekumpulan pelajar lain yang berada di situ dan kedua-dua yang terlibat diberi ubat gosok kerana mereka lebam sedikit dan oleh kerana tiada kecederaan teruk, mereka enggan ke hospital dan saya meminta kedua-duanya kembali ke kelas semula. 


Saya tidak dapat buat apa-apa lebih dari itu. Selama tempoh saya mengajar, hampir semua pelajar yang saya kenal, bermula dari kelas yang terbaik sehinggalah ke kelas yang tercorot kerap tertinggal buku di rumah. Pengalaman saya sebagai guru mengajar, apabila pelajar tidak bawa buku teks, maksudnya mereka tidak mahu belajar. Jika mereka tidak bawa buku latihan, maksudnya mereka tidak siap kerja. Jika mereka tidak bawa satu apa pun ke sekolah, maksudnya mereka tidak mahu belajar, dan tidak peduli apa pun, sebaliknya datang ke sekolah semata-mata untuk berjumpa kawan dan keluar dari rumah.


Selalunya apabila mereka tidak bawa buku, saya terpaksa meminta mereka meminjam dari kawan, atau menyalin di dalam kertas lain, dan ditampal dalam buku apabila pulang ke rumah. Saya tahu, mereka tidak akan tampal dalam buku, tapi saya terpaksa juga menyuruh demikian, kerana bimbang mereka akan mengganggu rakan lain yang membawa buku.


Saya tidak dapat buat apa-apa lebih dari itu.

Beberapa minggu lalu, ada seorang pelajar saya dibuang sekolah atas masalah disiplin. Ibunya datang menyerang guru disiplin di sekolah yang memang sudah biasa diserang ibu bapa.


Kami guru-guru hanya meminta ibu itu membawa anaknya ke Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri dan memohon masuk ke sekolah semula. Permohonannya dibenarkan (kerana kita ada dasar pendidikan wajib sehingga usia 17 tahun) dan pelajar saya ini datang ke sekolah semula.


Sikapnya masih sama; tidak bawa buku teks dan buku latihan, asyik bermain dalam kelas dan mengganggu rakan yang lain. Apabila saya katakan "Awak ni baru saja datang selepas dibuang sekolah, mengapa masih tidak ubah sikap?", dengan angkuhnya dia berkata kepada saya, "Kalau kena buang sekali lagi pun, saya masih boleh masuk semula. Ini bukan urusan cikgu". Seterusnya saya meminta dia duduk dengan senyap dan melarang dia mengganggu rakan lain. Tetapi, kerana marah dengan saya, pelajar saya itu keluar dari kelas tanpa kebenaran dan tidak kembali sehingga tamat waktu pelajaran saya. Dia tidak masuk kelas juga pada waktu guru lain masuk mengajar. Kawan-kawannya memberitahu saya yang dia telah melompat keluar dari pagar sekolah. Saya hanya dapat mendengar.

Saya tidak dapat buat apa-apa lebih dari itu.


Saya dan mana-mana guru pun di Malaysia ini memang tidak boleh buat apa-apa. Apa yang boleh kami buat ialah menolak markah demerit dan apabila habis markah ditolak, pelajar itu akan dibuang sekolah dan selepas beberapa minggu, mereka akan kembali semula. Semua tindakan yang boleh diambil adalah di atas kertas semata-mata, dan pelajar pun tidak tahu-menahu tentangnya. 


Bagaimana kita hendak selesaikan masalah disiplin jika kita asyik hendak berpolitik dan memenangi hati ibu bapa, tanpa menyedari yang kita telah menyembunyikan satu bahagian realiti dunia daripada anak-anak kita? Realiti yang telah kita sembunyikan ialah dunia ini boleh menghukum semua jenis kesalahan. Realitinya ialah, majikan boleh membuang pekerja yang malas. Kita telah sembunyikan realiti ini dari anak-anak kita sebab kita hendak ibu bapa menyokong kita.


Saya mohon Utusan Malaysia siasat bidang kuasa guru; apa yang boleh dan apa yang tidak boleh guru lakukan untuk menguruskan hal disiplin sekolah. Barulah masyarakat tahu realitinya; menjegil mata kepada murid pun sebenarnya menyalahi peraturan.


AKMAL FAIRUZ

IPBA, Jalan Pantai Baru

ISTERI SAKIT HATI URUS HARTA PUSAKA SUAMI, AKHIRNYA TAK DAPAT SATU SEN PUN!

ISTERI SAKIT HATI URUS HARTA PUSAKA SUAMI, AKHIRNYA TAK DAPAT SATU SEN PUN!

16 Oct 2018


urus harta pusaka

1. Apabila berlaku sesuatu kematian, menjadi kebiasaan adat orang kita untuk mengadakan kenduri arwah sekurang-kurangnya 2 hari berturut-turut. Bayangkan, seorang isteri yang baru kematian suami, demi memenuhi adat ini, terpaksa bersusah-payah mengadakan kenduri dan menjemput kariah masjid dan sanak-saudara yang mengenali si suami. Awal-awal pun dah tak betul.

2. Mujurlah ramai yang datang melawat turut sama menguruskan kenduri tersebut. Terasa ringan beban si isteri. Syukur Alhamdulillah. Betullah orang kata, musibah boleh merapatkan silatulrahim.

3. Selepas 2-3 hari berlalu, adik-beradik si suami datang berjumpa si isteri. Si isteri berasa syukur kerana ipar-duai masih mengambil berat tentang dirinya dan anak-anaknya. Malangnya, kunjungan mereka mereka bukan untuk menziarahi keluarga tersebut, apatah lagi nak mengambil berat tentang mereka. Tetapi, mereka datang dengan niat untuk menuntut harta pusaka peninggalan arwah!

4. Tersentap rasa hati si isteri. Sakit jiwa! Tanah kubur arwah suami masih merah, rasa sedih pun belum hilang lagi. Terasa nak panggil sahaja si suami yang dah mati untuk bincang dengan mereka.

5. Ipar-duai mula bercerita bab faraid. Kata mereka, bahagian isteri hanya 1/8. Mereka terangkan secara panjang lebar. Biasalah, apabila bab harta pusaka, tiba-tiba ramai yang jadi pakar. Maklumlah, nak rebut bahagian masing-masing walaupun dalam banyak situasi, mereka tiada hak pun. Lebih teruk lagi, asyik bercerita tentang hak mereka, tapi kalau suruh jalankan tanggungjawab yang Allah berikan, tak mahu ikut pula.

6. Maka, bermulah drama perebutan harta pusaka si suami yang tiada kesudahan.
7. Si isteri mestilah tidak mahu mengalah. Iyalah, harta pusaka yang ditinggalkan si suami hendak digunakan untuk menyara hidup sendiri dan anak-anak. Nak harapkan waris-waris lain, memang tak boleh nak diharap. Asyik nak rebut bahagian sendiri. Jadi, ditinggalkanlah si isteri yang dipaksa menguruskan harta pusaka sendiri. Akhirnya, walaupun ada masalah kekangan masa, tenaga dan wang, si isteri terpaksa juga urus harta pusaka si suami seorang diri. Nak buat macam mana, fikir nasib anak-anak.

8. Si isteri teringat pesan si suami, duit yang ditinggalkan dalam bank boleh digunakan untuk belanja keperluan. Jadi, si isteri pergilah ke bank, jumpa dengan pegawai bank, minta nak keluarkan duit daripada akaun si suami. Malangnya, akaun si suami dah kena block. Bank minta surat kuasa terlebih dahulu sebelum duit boleh dikeluarkan. Terpinga-pinga si isteri sebab tak tahu prosedur urus harta pusaka. Jadi, terpaksalah tanya tentang prosedur yang perlu dibuat. Mujur ada yang membantu.

9. Dengan perasaan pilu, si isteri terpaksa ke Pejabat Pusaka Kecil di Pejabat Tanah bagi mendapatkan surat kuasa tadbir. Kena isi borang Bicara Kuasa atau Borang A. Maklumat si mati, harta si mati serta maklumat waris-waris si mati; semua maklumat ini perlu dilengkapkan. Salinan IC setiap waris, salinan maklumat harta dan surat pengesahan kematian juga turut diperlukan.

10. Maka, bermulalah satu lagi drama untuk memenuhi semua keperluan ini. Setelah setiap salinan disediakan, si isteri perlu mendapatkan tandatangan setiap ahli waris. Aduh, memang satu masalah. Selagi semua ahli waris tidak turunkan tandatangan, proses perbicaraan harta pusaka tidak boleh dimulakan. Tambah pening, ada ahli waris yang sengaja tidak hadir ke mahkamah untuk melambatkan proses perbicaraan harta pusaka. Sebabnya, tak puas hati dengan si isteri.

11. Tambah parah lagi, si isteri dapat tahu yang adik-beradik suami juga mempunyai hak dalam harta pusaka si suami. Jadi, banyak benda perlu diambil kira. Fuhhh, bukan senang nak urus harta pusaka kalau si mati tidak membuat perancangan harta lebih awal.

12. Tiba-tiba, ayah/ibu si mati pula tidak mahu beri kerjasama akibat termakan hasutan ipar. Bayangkanlah, si isteri terpaksa menghadapi semua masalah ini serentak. Rasa sedih kehilangan suami pun masih belum hilang, nak fikir uruskan anak-anak lagi. Memang cukup stress bagi si isteri untuk uruskan semua perkara ini.

13. Tambah satu lagi masalah. Tiba-tiba, ahli waris yang lain desak si isteri dan anak-anak untuk melepaskan bahagian faraid. Alasan mereka, harta pusaka si suami adalah harta warisan keluarga mereka sahaja.

14. Si isteri juga didesak membayar bahagian faraid bagi rumah jika mahu terus tinggal dirumah pusaka suami. Masalah, mana nak cari RM200K tunai?

15. Akhirnya, akibat tidak tahan lagi, si isteri dan dan anak-anak terpaksa keluar sehelai sepinggang. Biarlah tidak dapat harta pusaka, janji hidup tenang dengan anak-anak.

16. Ingatkan masalah dah selesai, rupanya belum lagi. Baru saja nak mulakan kehidupan baru, tiba-tiba datang seorang hamba Allah mendakwa yang si suami ada berhutang dengannya puluhan ribu ringgit atas urusan bisnes. Masalah lagi, siapa yang kena tanggung hutang si mati? Nak guna harta pusaka si suami untuk bayar hutang, dah dibolot ahli waris lain. Nak suruh mereka bayarkan, jangan harap.

17. Dalam tengah fikir cara nak selesaikan hutang si suami, tiba-tiba teringat pesan suami dulu supaya gunakan duit dalam Tabung Haji / KWSP / ASB / Takaful untuk bayar hutang. Apabila pergi semak, penama atas nama ibu mertua pula. Masalah, sebab dah dihasut ahli waris lain, si ibu mertua tak nak lepaskan duit tersebut. Katanya, sebab dia adalah penama, duit tersebut adalah miliknya. Ini memang kefahaman biasa dalam masyarakat kita. Penama adalah pemilik, walhal ini adalah salah. Sebab malas nak gaduh lagi, akhirnya, si isteri jugalah yang terpaksa bekerja siang malam untuk bayar hutang yang ditinggalkan si suami.

Haa, macam mana?

Nampak bagaimana kesulitan yang boleh dialami untuk urus harta pusaka?
Bayangkan kalau diri anda sendiri yang alami, atau pasangan anda.
Kalau tak buat perancangan pengurusan harta pusaka lebih awal, memang akan menyusahkan waris kita nanti.

Jadi, bagaimana nak mudahkan urusan ini?

Tak mahulah nanti waris yang ditinggalkan menderita nak dapatkan harta pusaka untuk meneruskan kehidupan.

Kredit :  jomurusduit


Ada cara penyelesaiannya.
urus harta pusaka 

Antara yang boleh dilakukan:
1. Si suami boleh mengisytiharkan sebahagian harta miliknya kepada isteri sebagai harta sepencarian di dalam wasiat. Tak kisah sama ada dalam bentuk rumah, kereta atau wang ringgit. Bukan masalah sikit atau banyak, yang penting isytiharkan sahaja bahagian harta sepencarian tersebut. Senang, terus jadi milik is isteri selepas si suami mati. Kalau dah mati dan si isteri baru nak tuntut harta sepencarian, memang rumit dan panjang cerita. Jadi, lebih baik buat ketika masih hidup.

2. Si suami melantik wasi atau pentadbir yang mahir, adil dan amanah bagi menguruskan kesemua harta miliknya. Tanpa wasi, si isteri akan terpaksa uruskan sendiri harta pusaka yang ditinggalkan. Ini sudah tentu akan menyusahkan pasangan kerana baru kematian suami, nak fikir pasal anak lagi. Jika ada bisnes, nak uruskan bisnes lagi. Tolong jangan rumitkan lagi masalah kepada orang tersayang. Melantik wasi dalam wasiat akan memudahkan pengurusan harta pusaka.
3. Menyerahkan sebahagian harta miliknya melalui hibah sama ada hibah biasa atau hibah bersyarat. Tidak salah untuk buat hibah, jika harta masih berhutang buat hibah bersyarat. Jika hanya ada satu rumah, tidak salah hibahkan kepada orang tersayang (isteri), sekurang-kurangnya ada tempat tinggal untuk pasangan. Harta yang dihibah tidak perlu dibahagikan mengikut faraid, jadi ahli waris lain tidak dapat rebut.

4. Si suami menyediakan hibah tunai sebanyak setahun pendapatan atau lebih bagi menampung kos sara hidup. Maklumlah, dulu gaji 2 orang, tiba-tiba jadi seorang. Bukan mudah untuk lalui pada peringkat awal. Oleh itu, sediakan hibah tunai bagi mengurangkan beban orang yang ditinggalkan.

Lihat, bagaimana perancangan pengurusan harta pusaka yang dilakukan dengan baik akan memudahkan waris yang ditinggalkan nanti.

Si isteri tidak perlu bersusah-payah urus harta pusaka bersendirian. harta dapat ditinggalkan kepada isteri dan anak-anak untuk meneruskan kehidupan, tidak perlu berebut-rebut dengan ahli waris yang lain kerana mereka pun akan dapat bahagian yang akan kita tetapkan nanti.

Jadi, beringat-ingatlah untuk merancang pembahagian harta pusaka semasa masih hidup, ya.

Oh ya, sebelum mengakhiri artikel kali ini, saya nak kongsikan satu ebook percuma untuk anda semua.

Jika berminat, boleh klik pada pautan di bawah untuk muat turun.

Kredit :  jomurusduit



10 Tanda Wanita Pisau Cukur

20 Jul 2018


1. Di awal perkenalan di sia banyak memainkan peranan menggoda lelaki dengan menggunakan semua aset yang dimilikinya.

2. Perempuan pisau cukur ini kebanyakannya lemah lembut, manis dan bijak berkata-kata. Pada mulanya si dia tidak minta apa-apa tetapi lama-lama botak kepala lelaki mengadakan setiap permintaannya.

3. Perempuan pisau cukur berperwatakan seperti perempuan mewah yang memiliki segalanya. ini adalah untuk menyakinkan lagi lelaki bahawa dia tidak memerlukan harta lelaki untuk jadi senang. Namun harus diingat semua itu hanya berlakon semata-mata

4. Agak seksi dan menggoda. Maklumlah cara ini sahajalah yang boleh membuat lelaki cair.

5. Biasanya mempunyai sejarah pahit dalam kehidupan mereka. Umumnya mereka ini anti lelaki. Contohnya anak jadi mangsa rogol ayah sendiri. Apabila usianya semakin meningkat, dia merasakan semua lelaki tidak boleh diharap dan dia menanam hasrat untuk membalas dendam pada semua lelaki.

6. mula minta itu dan ini setelah agak lama berkawan. teteapi kebiasaannya ia akan bermula sedikit demi sedikit. Mungkin di awalnya si dia akan minta lelaki tersebut hadiahkannya telefon bimbit sahaja. tetapi selepas itu sikit demi sedikit dia mainkan peranan.

7. tidak ada perasaan cemburu ataupun mahu mengakhiri hubungan dengan perkahwinan. tidak kisah walaupun tahu lelaki itu sudah berkahwin asalkan banyak harta perempuan pisau cukur tetap akan goda sampai dapat.

8. Mudah untuk di bawa ke mana-mana sahaja tanpa ada sebarang sekatan. Apa yang penting tempat yang dituju boleh memberi banyak manfaat padanya contohnya bershopping.

9. Akan merahsiakan latar belakang keluarganya. Walaupun kamu sudah berkawan dengannya hampir 2 bulan. tetapi kamu masih tidak tahu dari mana asalnya dan siapa ibu bapanya. Apabila di tanya dia lebih suka mengelak.

10. Apabila lelaki yang dikikisnya sudah tidak boleh beri apa-apa manfaat padanya lagi. dengan mudah dia mencari kesalahan lelaki tersebut. Biarpun apa yang dikatakannya tidak masuk akal. tetapi alasan-alasan yang di ciptanya memang sukar untuk di bidas. 

Ketika Kandungan Isteri 9 Bulan, Dugaan Suami Hadir, Isteri Tabah Dan Akhirnya..

15 Aug 2017


Bercinta dengan boyfriend selama 4 tahun. Pi mai, pi mai hanya dengan dia je. Lepas tu ambil keputusan bertunang. Dalam ikatan menjadi tunangan orang Ya ampun ! Dugaan kiri kanan belakang depan datang, macam2 kejadian.

Sabar sabar dan sabar. Memang kena kuat. Kau dan aku. Rasa benci pun ada terbit kekadang. Rasa nak putus tunang pun ada, hasutan syaitan tu mmg kuat. Mcm2 orang datang waktu tu. Nak suruh clash la, nak kahwin lari la, nak cari jalan utk break off la. Jahat betul hasutan syaitan pd kau.

Beberapa bulan lepastu, sering solat istikarah. Dan semuanya berlalu pergi dengan pantas. Alhamdulillah majlis perkahwinan pun berjalan dgn lancar. Tak lama lepas tu, datang pula dugaan suami isteri.

Tuhan uji kedatangan sorang perempuan lain dalam hidup si suami. Allahu, sedihnya tanpa kata. Hanya air mata menemani sepi. Hari2 suami keluar pagi katanya pergi office, balik lewat malam. Katanya byk kerja nak settle kat office. Tika ni, dah malas nak bising2 mulut. Hanya diam dan ia kan

Ketika usia kandungan 9bulan. Si suami kahwin senyap dengan perempuan tu. Dapat tahu pun dari sahabat si suami sendiri. Air mata hanya bercucuran, hati sayu tiada noktah. Lahirnya cahaya mata mereka.

Nafkah terabai sebab dah seronok giler dengan isteri baru. Lupa semua kenangan dan cinta bersama isteri yg lama. Anak pun sebulan sekali je sempat jengok. Satu hari, berani ambik keputusan untuk minta cerai dan menuntut hak. Alhamdulillah selesai dengan lancar.

Buka buku baru bersama anak tercinta, buat bisness kecil kecilan demi menyara diri dan anak. Syukur rezeki dapat bekerja dengan orang ternama. Last2 majikan melamar diri untuk dijadikan isterinya lagipun isteri lama dah 2 tahun meninggal dunia. Hidup terus berubah, kaya raya namun tak pernah lupa akan Yg Maha Esa.

3 bulan mengecapi kebahgiaan bersama suami tercinta. Didengari khabar berita tentang jatuh sakit suami dahulu. Ditinggalkan keseorangan di rumah usang. Pakaian lusuh dan najis merata. Rupanya si isterinya dah berpaling tadah. Pergi meninggalkannya setelah habis duit dikikis.

Mengalir air mata mengenangkan nasib bekas suaminya. Namun, dia tetap berhati mulia. Memandangkan bekas suami itu tidak lagi memiliki keluarga, digajikan seorang makcik untuk menjaga bekas suaminya. Utk memastikan pakaian dan makan minum bekas suaminya dijaga rapi.

Allahuakbar, sucinya hati perempuan ini. Walaupun luka yang ditoreh bekas suaminya masih berparut dihati namun dia masih lagi mempunyai sifat penyayang dan belas kasihan. Masih mengingati sewaktu mereka bercinta 5 tahun lepas, betapa indahnya. Namun semuanya hanya kenangan dan sejarah hitam. Beruntungnya bagi lelaki yang memiliki cinta sejati seperti si isteri ini.

Suami, hargailah isterimu. Jika dia salah dimatamu, tegur dan perbaiki lah. Jangan meninggalkannya demi yang lain. Kifarah dunia itu wujud. Janji Allah itu pasti ♥️ #TrueStory



Kredit : Fb Erieyn Halim




Wajib Baca Kalau Ada 'Sindrom Malas Berhias', 4 Saranan Ustaz Ini Akan 'Buka Mata' Para Isteri!

14 Jul 2017


Dah masuk jam 11 pagi, Nina belum rasa nak mandi.
'selesaikan kerja rumah dululah...'
Dia memasak, menghidang sampailah selesai memberi makan anak-anak, jam pun dah masuk 1 tengah hari. Dia masih juga belum mandi.


'Nantilah nak masuk Zohor baru mandi'
Dan selepas selesai solat Zohor, Nina masih juga belum mandi. Mentang-mentang hari itu suaminya tiada di rumah seharian. Dia berleka-leka. Dan sejak akhir-akhir ini dia sudah diserang sindrom malas berhias.

Ini Sebab Penting Isteri Kena Rajin Berhias

1.    Bila kita cantik, kita bahagiakan suami. Insya-Allah kasih sayang suami akan lebih kukuh dan kekal.

2.    Untuk memenangi hati suami, menjaga kecantikan diri adalah kuncinya. Kita cantik, suami gembira dan lebih sayang kita. Apa yang kita perlukan lebih mudah dipenuhi oleh suami.

3.    Sentiasa ingatkan diri kita, usaha kita berias mencantikkan diri untuk suami adalah suatu ibadah dan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah.

4.    Jangan kita cemburu atau marahkan suami yang suka melihat wanita cantik dan seksi, tetapi kita ambilnya sebagai cabaran untuk kita berias lebih cantik dan seksi daripada wanita lain. Insya-Allah kita lebih berpotensi memnangi cabaran tersebut.

Apa Agama Kata Tentang Isteri Yang Merias

Salah satu peranan isteri kepada suami adalah berhias dan memakai cantik-cantik untuk suaminya. Ini kerana fitrah suami inginkan isterinya cantik dan menyejukkan pandangan.

Merias itu bermakna memakai cantik-cantik mengikut kesukaan suami, untuk meghiburkan dan melayan suami. Apatah lagi dalam hubungan suami isteri, tiada aurat dibataskan dan ini membolehkan isteri menggayakan apa-apa fesyen yang menjadi kesukaan suami tanpa perlu terikat dengan menutup aurat.

Kenapa Kena Cantik Untuk Suami

Ini kerana, fitrah suami sukakan wanita cantik dan berias. Disebut dalam hadis nabi SAW, dikahwini seseorang wanita itu disebabkan empat faktor iaitu kerana kecantikan, kekayaan (kemampuan berias dan bergaya), kedudukan atau keturunan dan agamanya.

Kalau Mood Sindrom Malas Berhias Dah Datang

Sebenarnya sepanjang masa perlukan isteri kelihatan cantik dan berias untuk suami. Sebagaimana kita nakkan suami kita romantik setiap masa, begitulah juga suami kita nakkan kita sentiasa cantik dan berias setiap masa.

Lebih-lebih lagi bila dah semakin berusia, agar suami terikat dan terpaut dengan kita selamanya.

Boleh jadi mudah untuk suami berasa bosan dengan kita yang comot dan menyakitkan pandangannya, berbanding dengan ramai wanita lain di luar yang kelihatan cantik dan menarik perhatian. Di samping ketinggian budi pekerti dan akhlak, kecantikan jadi tarikan utama juga.

Siti Aisyah&Siti Fatimah Juga Berhias Untuk Suami

Pada zaman Rasulullah SAW, Siti Aisyah dikatakan sangat menjaga diri dengan berias cantik dan memakai pakaian menarik yang berwarna warni di dalam rumah. Begitu juga Siti Fatimah yang sentiasa kemas dan menarik berias untuk menyambut kepulangan Sayyidina Ali setiap hari. Wallahua'lam



Kredit :  Mingguan Wanita



Wanita Berbelanja, Lelaki Pula Yang ‘Panas’?

12 Jul 2017

“MEMANGLAH wanita boleh berbelanja besar, beli macam-macam dan mampu bayar kad kredit yang dia gunakan itu tanpa masalah. Sebab, lepas bayar kad kredit tu, dia `pau’ pula duit suami dia,’’ rungut seorang rakan lelaki.

Cepat sahaja dia memberikan ulasan itu setelah membaca laporan akhbar ini, Jumaat lalu mengenai perbelanjaan kad kredit wanita yang meningkat dua kali ganda berbanding lelaki dan disokong pula dengan kenyataan bahawa walaupun banyak berbelanja, wanita tidak mempunyai masalah membayar kad kredit dan golongan lelaki paling banyak dirujuk dalam Program Pengurusan Kredit (DMP) oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). 

Menurut laporan itu, perbelanjaan kad kredit wanita di Malaysia meningkat 129 peratus sejak 2011 berbanding lelaki yang merekodkan pertumbuhan sebanyak 71 peratus bagi tempoh yang sama.

Perbelanjaan barangan runcit oleh wanita menyaksikan kenaikan 10 peratus manakala lelaki hanya berbelanja dua peratus lebih tinggi berbanding 2015. Sementara itu, perbelanjaan wanita bagi tujuan melancong dan beli-belah menunjukkan pertumbuhan ketara apabila terdapat peningkatan sebanyak 28 dan 13 peratus berbanding lelaki yang hanya merekodkan pertumbuhan 14 dan lima peratus bagi kategori sama.

Mengulas perkara itu lagi, rakan saya itu berkata, golongan wanita perlu dikawal atau mengawal perbelanjaan mereka. Kalau tidak dikawal betul-betul, perbelanjaan bagi yang sudah berkeluarga akan `kacau’ dan ini menyesakkan lagi kehidupan dalam keadaan harga barangan yang sentiasa naik dan ekonomi negara tidak menentu ini.

“Memanglah, suami ketua keluarga dan menjadi tanggungjawab mengeluarkan duit untuk perbelanjaan keluarga, tetapi si isteri `agak-agaklah’ bila berbelanja. Benda yang tidak perlu beli, tak payah beli. Kalau tak beli, bukan boleh mati pun,’’ katanya. Nampak marah betul dia. Mungkin dia salah seorang `mangsa keadaan’.

Menurut AKPK, sebanyak 65 peratus yang mempunyai masalah kewangan terdiri daripada lelaki. Golongan itu banyak menyertai DMP mungkin kerana mereka adalah ketua keluarga.

Hakikatnya, walaupun wanita sering dikaitkan dengan nafsu berbelanja yang besar, tetapi tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan mereka yang berbelanja sebegitu mampu berbuat demikian. Ada wanita yang memang bergaji besar, tidak punya tanggungan atau yang belum berkahwin. Mereka mampu berbelanja mewah untuk penampilan diri dan sebagai ganjaran pada diri sendiri selepas penat bekerja.

Ada wanita yang gajinya lebih besar berbanding suaminya dan turut membantu dalam perbelanjaan keluarga tetapi pada masa sama, dia juga mahu membelanjakan wangnya itu untuk kegunaannya sendiri. Kadang-kadang inilah yang menyebabkan konflik apabila suami melihat isterinya seperti sudah terlebih berbelanja.

Pun begitu, walaupun mampu berbelanja besar, golongan wanita terutamanya perlu beringat. Orang kata, langit tidak selalu cerah. Kita pun tidak boleh menjangkakan apa yang berlaku pada hari esok dan dalam suasana ekonomi yang tidak berapa elok berbelanja secara sederhana adalah yang terbaik.

Mungkin pada masa depan, duit yang berlebihan itu amat diperlukan untuk menanggung kos perubatan dan rawatan, kos pengajian tinggi anak-anak dan hal-hal kecemasan lain. Dalam dunia ini, walaupun dikatakan wang bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya memerlukan wang.

Adakalanya juga, bila punya banyak wang, kita ­dihormati dan bila tidak punya wang, senang sahaja sesiapa pun mahu memperlekehkan kita.

Kata seorang rakan perempuan saya pula. Lelaki pun lebih kurang juga dalam berbelanja. Sama sahaja. Kalau ada duit lebih pun mereka akan menggunakan duit itu ­untuk hobi masing-masing.

“Jadi kenapa kita yang berbelanja, dia pula yang ­`panas’? Duit kita, bukan guna duit dia,’’ katanya.

Menurut rakan saya itu, suaminya mempunyai hobi mencantikkan kereta. Beribu-ribu duitnya sudah habis ke situ. Macam-macam aksesori kereta dipasangnya. Setiap bulan ada saja perubahan pada kereta berkenaan.

Lama-kelamaan, katanya, mungkin kereta itu boleh terbang. Yang itu hendak dikira macam mana? Bukan perlu pun. Kereta tak cantik pun, tak mati kan?”




Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.