SLIDER

kesilapan
Showing posts with label kesilapan. Show all posts

Anak Luar Nikah, Bakal Mertua Tak Dapat Terima Kerana Status

21 Mar 2022

 




Salam admin,


Saya berhadap sangat admin publish confession ini. Dah lama saya memendam perkara ini. Sebelum itu, saya nak beritahu yang saya seorang gadis, yang berusaha sebaik mungkin setakat ini untuk menjadi gadis muslimah yang baik walaupun adakalanya tersasar. 

Nak dijadikan cerita, saya membesar dengan nenek di utara tanah air sejak kecil lagi. Ibu bapa pula menetap di ibu kota. Dari kecil saya tengok surat beranak saya, kenapa column bapa kosong tak bernama? Saya tak ada bapa ke? 

Banyak kali saya berfikir, sehinggalah satu hari nenek beritahu yang saya adalah anak luar nikah. Tetapi bapa saya yang sekarang ini memang bapa kandung. Cuma kalau ikut dalam Islam, saya tiada bapa kan? Ibu berkahwin dengan bapa selepas mengandungkan saya. 

Sedih sangat-sangat selepas mengetahui cerita yang sebenar. Dari hari itu, saya memang tiada keyakinan diri dan tidak berani berkawan secara serius dengan mana-mana lelaki kerana tidak yakin ada yang sanggup menerima. 

Sampailah satu masa ketika saya diploma di satu IPTA ini. Saya kenal dengan seorang lelaki ini, dia bekerja di Perodua dan kami selalu berhubung melalui media sosial tetapi tidak pernah berjumpa. Saya selesa berkawan dengannya kerana dia jenis lelaki yang caring dan menghormati saya. 

Satu hari itu, dia nyatakan hasratnya untuk melamar saya. Terkejut, saya terkejut kerana ingatkan dia bergurau sahaja. Rupa-rupanya dia memang serius dan mahu datang ke rumah nenek untuk masuk meminang. Saya menghalang dan menolak hasratnya itu. Puas dia mendesak saya memberitahunya kenapa saya menolak lamarannya. Padahal, saya sebenarnya memang menyimpan perasaan terhadapnya. Cuma saya tidak yakin yang dia boleh menerima status saya sebagai anak luar nikah. 

Akhirnya saya berterus terang yang saya tidak dapat menerimanya kerana saya anak luar nikah. Sejak itu, dia terus mendiamkan diri dan tidak lagi beria-ria seperti sebelum ini. Saya faham, dia susah mahu menerima. 

Satu hari itu, dia beritahu yang ibunya telah mencari calon isteri pilihannya untuk dia. Dia beritahu yang ibunya tidak dapat menerima saya sebagai menantu sebab saya anak luar nikah. 

Lagipun saya tahu yang dia sendiri juga tidak dapat menerima status saya. Saya faham dan tidak rasa sedih sangat, sebab sudah menjangka perkara seperti ini akan berlaku. 

Sekarang, dia sudah berkahwin. Saya teruskan hidup seperti biasa. Tiba-tiba datang pula seorang lelaki mahu mencuri hati saya. Saya enggan memberikan sebarang respon, namun dia pula bersungguh-sungguh mahu mendekati saya. 

Sekali lagi, saya berterus terang yang saya ini anak luar nikah. Agak-agaknya dia boleh menerima saya tak? 

Dia terus senyap dan berhenti menghubungi saya. 

Sedih kan jadi anak luar nikah ini? Lelaki susah nak menerima gadis berstatus seperti saya. Saya hanya berserah kepada Allah. Saya sudah malas nak mengharapkan perkahwinan. Kalau ada jodoh yang mampu terima, adalah. Jika tiada, tak mengapa, saya teruskan hidup seperti biasa.

Walaupun bukan salah saya jadi anak luar nikah, tetapi mentaliti orang Melayu memang memandang hina pada golongan seperti saya. Jadi, mohon kalian semua doakan yang baik-baik untuk saya agar suatu hari nanti ada yang mampu menerima saya seadanya.

Kredit : superkiram


Pelajar Cemerlang SPM (10A), Tersilap Langkah Yang Membawa Ke Tali Gantung

10 Mar 2022


Ibu bapa acuan akhlak anak-anak. Jika baik acuannya, maka baiklah hasilnya. Begitu jugalah sebaliknya. Mungkin ada yang setuju dengan kenyataan di atas dan ada juga yang tidak bersetuju. 

Walau apapun pandangan anda, apa kata anda baca dahulu kisah Puan Nadiah Yusof, tentang seorang remaja yang tersalah memilih jalan dalam kehidupan, walaupun pernah mendapat 10A dalam SPM. 

Kes remaja yang membakar tahfiz mengingatkan saya kejadian lapan tahun lepas ketika saya masih seorang pelatih. Saya terima seorang pesakit awal 20-an yang ditetak dengan parang di kedua-dua belah tangannya. 

Kira-kira tidak lebih dari 10 deep laceration wound di sana. Dia datang bersama-sama sepasukan anggota polis dalam keadaan separuh sedar. Ini kali pertama saya lihat luka seperti itu. Pucat muka dan berdebar jantung saya. 

Hasil maklumat dari pihak polis, dia ditangkap setelah merompak dan membunuh 3 orang penghuni rumah iaitu isteri, anak berusia 3 tahun dan orang gaji. Tak bernasib baik, belum sempat dia melarikan diri, sang suami pulang ke rumah dan menangkapnya. Akibat amarah, si suami menetak dan orang kampung mencurah cuka pada lukanya. Padanlah separuh masak isinya. 

Saya lihat betul-betul wajahnya. Sampai sekarang saya masih boleh ingat wajahnya. Orangnya masih muda, wajah putih bersih tidak nampak seakan penjenayah. Janggut sejemput seperti seorang ustaz layaknya. Benarlah kata orang, jangan menilai orang dari rupa/luarannya. Pesakit ini rupa-rupanya penagih dadah. Malah sebelum pecah masuk dia sempat mengambil 16 biji pil ekstasi. 

Dalam keadaan tidak sedar, dia membunuh semua yang berada di rumah. Malah anak kecil berusia 3 tahun itu ditemui di dalam bilik air dalam keadaan perut terburai. Bila masuk ke ward, social history lebih terperinci didapati. Kisah hidup anak muda ini tragis. Dia adalah pelajar cemerlang (10A) di dalam SPM. Malah ditawarkan jurusan perubatan. Tetapi dia terkesan dengan perceraian kedua ibu bapanya. Dia tidak dipedulikan, maka dia menentukan hidupnya sendiri. Dia berhenti belajar dan terlibat dengan najis dadah. 

Ketika dia dimasukkan ke hospital tak ada seorang pun ahli keluarganya kelihatan. Malah pihak hospital mengalami masalah mendapatkan maklumat dari ahli keluarganya. Ada no telefon yang diberikan tetapi tidak mengaku mempunyai pertalian denngannya. Malah tiada siapa yang melawatnya di hospital. Kisah anak muda ini selalu saya ceritakan untuk mengingatkan betapa durjana najis dadah. Begitulah dadah memusnahkan segalanya. 

Walaupun pesakit ini bekerja, tetapi ianya tak mampu menanggung desakan ketagihan dadah. Dalam 2 hari habis duit gaji sebulan untuk membeli dadah. Habis duit gaji, terpaksa mencuri. Natijahnya terpalit pada insan tak berdosa. Sepanjang bertugas di Jabatan Kecemasan dan mengendalikan kes OSCC, 90% (anggaran kasar dan personel) dari kes rogol, sumbang mahram, sodomy malah dadah terhasil dari broken family.

Ketika ini lihat dimana anak-anak kita. Dengan siapa mereka berkawan. Jika selama ini kita tak pernah peduli, mulakanlah sekarang. Periksa diri kita sebagai ibu bapa. Kita adalah acuan mereka. Jika hasil tidak molek, acuannya yang tak kena. Berhentilah menyalahkan orang lain sebaliknya berlapang dada memperbaiki diri kita. 

Sikap kita juga mesti diperbaiki. Hentikan sikap menghukum. Sejahat manapun seorang manusia, Allah membuka ruang untuk hambanya bertaubat. Siapalah kita untuk menentukan syurga neraka seorang manusia. Boleh jadi mereka yang kita cerca lebih mulia dari kita jika mereka bertaubat nasuha. Pesakit saya itu, tiada siapa berani mendekatinya mungkin kerana perbuatannya dan mungkin kerana terlalu ramai anggota polis menggerumuninya. Saya masih ingat soalan yang ditanya ketika dia sudah sedar dari ‘high’, baru sedar dia membunuh tiga nyawa. 

“Kenapa awak suap makanan pada saya? Saya pembunuh.” “Sebab kamu manusia, manusia buat silap. Kalau kamu bertaubat boleh jadi kamu lebih mulia dari saya.” Ketika itu saya sebak. Mengenangkan dia seorang yang hampir punya masa depan gemilang bakal berakhir di tali gantung kerana dadah & masalah keluarga.


Kredit: PenHitam
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.