SLIDER

keperitan
Showing posts with label keperitan. Show all posts

Anak Luar Nikah, Bakal Mertua Tak Dapat Terima Kerana Status

21 Mar 2022

 




Salam admin,


Saya berhadap sangat admin publish confession ini. Dah lama saya memendam perkara ini. Sebelum itu, saya nak beritahu yang saya seorang gadis, yang berusaha sebaik mungkin setakat ini untuk menjadi gadis muslimah yang baik walaupun adakalanya tersasar. 

Nak dijadikan cerita, saya membesar dengan nenek di utara tanah air sejak kecil lagi. Ibu bapa pula menetap di ibu kota. Dari kecil saya tengok surat beranak saya, kenapa column bapa kosong tak bernama? Saya tak ada bapa ke? 

Banyak kali saya berfikir, sehinggalah satu hari nenek beritahu yang saya adalah anak luar nikah. Tetapi bapa saya yang sekarang ini memang bapa kandung. Cuma kalau ikut dalam Islam, saya tiada bapa kan? Ibu berkahwin dengan bapa selepas mengandungkan saya. 

Sedih sangat-sangat selepas mengetahui cerita yang sebenar. Dari hari itu, saya memang tiada keyakinan diri dan tidak berani berkawan secara serius dengan mana-mana lelaki kerana tidak yakin ada yang sanggup menerima. 

Sampailah satu masa ketika saya diploma di satu IPTA ini. Saya kenal dengan seorang lelaki ini, dia bekerja di Perodua dan kami selalu berhubung melalui media sosial tetapi tidak pernah berjumpa. Saya selesa berkawan dengannya kerana dia jenis lelaki yang caring dan menghormati saya. 

Satu hari itu, dia nyatakan hasratnya untuk melamar saya. Terkejut, saya terkejut kerana ingatkan dia bergurau sahaja. Rupa-rupanya dia memang serius dan mahu datang ke rumah nenek untuk masuk meminang. Saya menghalang dan menolak hasratnya itu. Puas dia mendesak saya memberitahunya kenapa saya menolak lamarannya. Padahal, saya sebenarnya memang menyimpan perasaan terhadapnya. Cuma saya tidak yakin yang dia boleh menerima status saya sebagai anak luar nikah. 

Akhirnya saya berterus terang yang saya tidak dapat menerimanya kerana saya anak luar nikah. Sejak itu, dia terus mendiamkan diri dan tidak lagi beria-ria seperti sebelum ini. Saya faham, dia susah mahu menerima. 

Satu hari itu, dia beritahu yang ibunya telah mencari calon isteri pilihannya untuk dia. Dia beritahu yang ibunya tidak dapat menerima saya sebagai menantu sebab saya anak luar nikah. 

Lagipun saya tahu yang dia sendiri juga tidak dapat menerima status saya. Saya faham dan tidak rasa sedih sangat, sebab sudah menjangka perkara seperti ini akan berlaku. 

Sekarang, dia sudah berkahwin. Saya teruskan hidup seperti biasa. Tiba-tiba datang pula seorang lelaki mahu mencuri hati saya. Saya enggan memberikan sebarang respon, namun dia pula bersungguh-sungguh mahu mendekati saya. 

Sekali lagi, saya berterus terang yang saya ini anak luar nikah. Agak-agaknya dia boleh menerima saya tak? 

Dia terus senyap dan berhenti menghubungi saya. 

Sedih kan jadi anak luar nikah ini? Lelaki susah nak menerima gadis berstatus seperti saya. Saya hanya berserah kepada Allah. Saya sudah malas nak mengharapkan perkahwinan. Kalau ada jodoh yang mampu terima, adalah. Jika tiada, tak mengapa, saya teruskan hidup seperti biasa.

Walaupun bukan salah saya jadi anak luar nikah, tetapi mentaliti orang Melayu memang memandang hina pada golongan seperti saya. Jadi, mohon kalian semua doakan yang baik-baik untuk saya agar suatu hari nanti ada yang mampu menerima saya seadanya.

Kredit : superkiram


Prank

3 Aug 2017


Assalamualaikum.
Semua tahu apa tu prank. Dan aku percaya majoriti pernah prank orang dan pernah kena prank. Mula mula memang seronok kenakan orang tapi bila kita yang kena, berapi juga hati ni kan.. hehe
Aku dulu pun suka prank orang. Bukan dahsyat2 punya, ala biasa biasa je (aku rasalah). Takat telur campur kopi campur nila dan ect, lepas tu curah pada kawan masa birthday dia. Ada yang lain pula, sorokkan barang2 keperluan harian dia (masa asrama dulu) lepas tu pulangkan balik sebagai hadiah hari lahir dia. Seronok tu memang seronok. Kitorang gelakkan dia ramai2. Orang yang terkena pun ikut gelak sekali. Wah, macam suka betul lah time tu. Tapi masa birthday aku, rupa rupanya aku kena lagi teruk. Baju sekolah lesap, beg sekolah dekat bilik lain. Menggagau aku cari macam orang gila. Kawan2 aku siap acah2 tulis surat cinta untuk aku. Konon2 dari secret admirer. Peh, berbunga bunga sekejap hati ni. Hahaha..
Bila terbongkar semua tu, masa tu berapi api aku bila tahu tu semua prank. Beriya aku ingat ada orang dengki dekat aku + ada yang syok ke (hati kemain kembang baca surat cinta tu). Aku putus kawan selama seminggu (acah2 sangat putus kawan). Dalam masa seminggu tu, aku tersedar dan terfikir. Macam ni rupanya rasa di prank oleh orang lain. Sakit hatinya, malunya, marahnya, segala macam rasa aku dapat waktu tu. Dari luar memang nampak gelak2 suka2 tapi dalam hati tu Allah je lah yang tahu. Lepas kes aku kena prank, aku terus insaf. Tak main2 kenakan orang dah. Sebab aku dah rasa dipermain mainkan.
Bila makin lama makin besar, aku tengok prank tu dah jadi benda harian dalam hidup kita. Contohnya, ada rancangan prank dalam tandas. Main tukar2 sign lelaki perempuan (cerita ni dalam Malaysia tau, bukan overseas). Aku tengok ada mak dan anak dia masuk tandas. Si anaknya dah buka seluar dah pun. Itu budak yang kena. Buatnya ada yang pakai tudung tu masuk tandas je buka tudung terus (niat nak betulkan tudung), tak ke naya dah tayang aurat orang. Mana pula yang nak betulkan spentot yang tersedot ke, dah macam2 gaya pula jadinya. Tiba2 keluar kamera, tunjuk dah kena prank. Mak oi, malu wei.
Ada juga aku terjumpa si A post maklumat peribadi si B dekat sebuah confession. Seolah olah macam si B mencari jodoh sedangkan si A ni prank si B. Siap post gambar bagai. Orang2 yang komen galak tag kawan2 masing2. Gelak2 acah nak berkenalan. Tapi yang kena prank tu, apa yang dia hadap agaknya. Oii, kalau aku yang kena, malu abang akak oii. Mana nak sorok muka tu..
Aku pernah buka video apa entah. Nampak macam tak ada apa2 tapi suara background dia. Astaghfirullah. Suara orang mengerang ehem ehem. Aduhh, depan atuk nenek mak cik pak cik sedara bagai pula. Malu kepalang tak terkata, macam aku ni kaki porno pula.
Kalau panggilan2 prank ni, memang aku tak minat. Dia punya panggilan tu boleh buat gaduh tau. Kalau takat biasa2 okaylah. Layan lah juga pagi pagi tu. Tapi kalau sampai kacau tunang orang, cakap nak berkenalanlah. Ada yang kata ada hubungan sulit (berzina) dengan suami/isteri orang tu lah. Kata tak dapat kerja lah, direject permohonan bagai. Ini memang menyumbang sumpahan tujuh keturunan. Hal serius kehidupan, hukum hakam islam jangan buat main tau.
Yang ni pun menyirap. Ada sekali aku tengok kekonon ada dompet jatuh dan siapa2 yang lalu dkat situ, pihak tv ni tuduh orang itu sebagai pemilik dompet tu. Kalau dompet kosong, takpe lah wei. Ini dalam dompet tu acah ada dadah. DADAH tau… Dadah bukannya duit ke mainan ke tepung gandum ke. Azab tau kalau kena tuduh ada dadah. Orang tengok memang gelak2, ye lah prank kan. Tapi cuba bayangkan kalau orang yg kena prank tu ada hal emergency. Ada urusan bank ke, mak atau ayah nazak dekat hospital ke apa ke. Buatnya apa2 berlaku, menyesal seumur hidup orang tu. Kalau kau yang kena pula, agak2 apa rasanya?
Some says ‘Prank is a joke’. Tapi kalau melibatkan maruah orang tu, adakah masih dikira joke? Berbaloikah kita menjatuhkan air muka orang? Dah tak ada common sense ke kita semua ni? Kalau kau yang kena, marah ke suka?

Diam ke melenting?

Tiada siapa yang suka dia dipermainkan. Lagi2 zaman sekarang semua benda di hujung jari, macam2 orang boleh buat untuk prank orang lain. Cukup2 lah prank ni semua. Prank dan joke tak sama. Joke kita sama2 gelak ketawa, suka sama suka tapi prank? Sebelah pihak merana tau!
Apa apa pun, kita bercakap apa pun kena beringat. Nak bergurau melawak boleh, tiada yang halang. Lagi bagusnya sebenarnya sebab akan menghiburkan orang dan kita pun x stress. Tapi tu bukan tiket untuk kita prank orang lain. Ada banyak cara bergurau. Korang pandai2 lah cari hadis hadis bagaimana Rasulullah S.A.W. bergurau. Kalau bagi panjang2, takut x baca pula ye. Ini pun dah panjang, entah korang baca ke idok.
Akhir kata, berkata kata biar berpada pada. Jangan sampai usik jiwa raga, nanti naya. Kalau dah tak ada apa nak cakap atau nak buat, duk diam men pesbuk. Settle tak kacau orang. Okay?
– Kak Da

Ingatkan Queen Control Ni Untuk Isteri Je, Rupanya Mak Mertua Pun Boleh Jadi Queen Control, Malah Lagi Hebattt

11 Jul 2017


Perkahwinan yang bahagia, hidup bersama hingga ke akhir akhir. Jika ditanya kepada semua wanita di muka bumi ini nescaya semua daripada mereka mengimpikan perkahwinan yang sedemikian.


Namun nasib berbeza menimpa wanita ini yang cuma bergelar isteri selama 50 hari sahaja sebelum diceraikan suami kerana dikatakan campur tangan keluarga mertua. Lebih menyedihkan, dia keguguran anak kembar.
Nikah atas pilihan bekas mentua.
Bismillahirrahmanirrahim. Since macam dah ‘penat’ nak CnP kisah berlakunya cerai yg tiba2 nie, saya rungkaikan sedikit sahaja sebagai pedoman dan panduan. Take it positively. Nak jaga aib org seboleh yg mampu.
Saya dgn bekas suami nikah atas pilihan bekas mentua saya. Kenal mmg tak lama, atas dasar jaga agama. Time nie respect la kan. Jaga hubungan sebelum nikah.
Maka, berlangsunglah majlis nikah, walimah, bertandang dlm masa 3 hari non stop. Saya stay dirumah mentua, (saya, bekas suami/mentua/adik2 ipar). Bekas suami anak sulung. Bekas suami seorang yg akan taat apa mak dia suruh/perintah tapi akhirnya makan diri.
Minggu pertama ok. Start minggu kedua dan seterusnya dah lain. Which is, mentua take over/control semua urusan dlm rumah tu. Bersangka baik. Tp bila dah dia masuk campur urusan rumahtangga saya, saya bincang dgn suami. Sy x kisah ditegur tp whole thing dikawal termasuk pergaulan sy dgn suami sendiri.
Nak berjalan berdua, salah. Makan berdua, salah. Kalau ikutkan, semua salah la. Yg tu satu hal. Bincang lagi dgn suami, mak awak tak boleh buat mcm nie. Kita dah suami isteri kan. Suami jawab, kita kena taat mak. Ok, jalan.
Dia cakap manja
Sampai la saya warded sebab bleeding. Pagi sahur tu dah bagitau mentua, nak pergi klinik. Dia x bagi, cakap saya manja lagi. Sampai la tak tahan mcm nk pengsan, baru la suami bawak pergi klinik. Tu pun lama jgk sbb nak dapatkan permission mak dia dulu. Saya dah nangis time nie. Sempat lagi la call nk bagitau nak bawak saya ke klinik.
Sampai klinik terus refer hospital sebab HB drop sampai 6. Bila dah warded saya dgn suami dah macam panas sebab doc ckp saya pregnant mayb twin tapi satu dah gugur (skrg dua2 dah xde dlm rahim). Saya warded pun kena marah jgk sbb menyusahkan anak dia nak keje. Saya cakap cuti je la. Tak boleh katanya sebab mak dia suruh keje, cari duit. Huhu. Mentua xnak cucu sebenarnya sebab katanya menyusahkan. Nak kena pakai banyak duit (bila mentality hanya hidup utk duit)

Discharged hari jumaat. Dia hantar balik rumah mak saya. Dia terus balik sbb mak dia dah pesan lepas hantar saya terus pergi keje. Hari terakhir jumpa suami. Malam tu last call dia cakap tension, stress sbb mak dia marah2 saya balik rumah family. Xde sape nak buat keje rumah, iron baju2 dia etc.

Maruah dipijak-pijak
Sampai la hari ahad (19/6), saya call beratus kali, wasap, msg suami. Langsung xtanye kabar isteri dia mcm mana. Sampai saya persoalkan jugak tanggungjwab dia sbg suami. Yelah, saya dibawah tanggungjawab dia. Last2, dia langsung hantar msg cerai atas sebab saya yg desak dia ceraikan saya (yg nie langsung tak wujud).
Malam tu saya kerumah dia sbb nak ambik brg2 saya. Maruah dipijak2. Nak salahkan saya atas semua nie. Barang2 dihumban dlm kotak je. Saya angkut. Suami langsung tak turun. Langsung xpertahankan maruah sy sebagai isteri dia. Umpama kain buruk la. Sebelum mintak jd isteri, sgt beradab la ambik sy dgn mak abah. Tapi, bila xnak buang mcm tu je. Semua end up by sms, call. Cerai pun buat main2, urusan hidup mereka pun main2 agaknya.
Ustazah, ustazah nie ustazah tau. Sepatutnya nasihat anak jgn sampai bercerai. Tapi, ustazah beria suruh anak ceraikan saya. Sebab? Sebab saya xikut ckp ustazah. Xde sape nak iron baju2 kan. Ustazah sedar saya pregnant tapi sengaja nak bunuh anak2 saya. Tegarnya hati.
Suami, xsalah nak pertahankan mak sendiri. Awak ada tanggungjwb awak jgk terhadap isteri. Ada perkara boleh ikut, ada boleh bantah. Even sy pregnant awak pun x ambik tahu. Cuma persoalkan tanggungjwb saya terhadap awak. Jadi, mna tanggungjwb awak selama nie. Nafkah langsung x bagi sebab mak xbg beri pd saya.
Buat macam hamba
Sila buang title ustaz, ustazah tu. Sangat tak layak. Mentua buat menantu macam pembantu. Suami buat isteri macam hamba. Ya, dunia akhir zaman. Nie baru sikit ceritanya. Kadang2, title tu mengaburi mata kita sebenarnya. Ingat boleh tumpang sikit2 ilmu agama.
Semua dah selesai. Selesai di dunia. Akhirat tanggung sendiri wahai bekas suami, mentua. Anak2 saya pun dah selamat kat syurga. Moga jadi asbab untuk sy ke syurga. Semoga jd asbab untuk kalian kerana menzalimi saya sebagai isteri, menantu.
Maka, berakhirlah kisah saya yg mengharapkan bercinta lepas nikah nie. Xsempat bercinta pun. Honeymoon pun ramai2. Ingatkan till jannah tapi till jahannam dia buat pada rumahtangga kami. Hati budi pun jauh sekali nak kenal. Saya tak cakap bercinta lepas nikah nie tak kekal lama tapi bergantung atas pengemudi rumah tangga tu sendiri. Thats why nikah nie amanah yg berat, tanggungjwb pun dah tak sama. Nak happy forever kena lalui suka dan duka.

50DaysMarried?
Tq,
Lots of love,
LYDIA (12/7/2016)

Miskin Tapi Jiwa Mulia

16 Jun 2017


Ketika saya singgah untuk membeli makanan sahur, saya melihat kakak yang berniaga sendirian di hadapan Bank Islam Kangar tadi. Dia berniaga kerepek dan buah mempelam sala. Saya terharu melihatnya kerana jam sudah hampir 11 malam.

Saya singgah bertanya hal keadaan beliau. Beliau memberitahu beliau dari Simpang Empat Sanglang. Telah lama berniaga. Beliau ada suami dan anak istimewa. Zakat MAIPs memang ada membantu beliau namun dalam masa yang sama beliau juga ingin berusaha sendiri. Jiwa saya tersentuh mendengar cerita beliau. Saya membeli sedikit jualannya sebagai penghormatan kepada usaha beliau, kemudian menghulurkan sedikit bantuan. 

Beliau tidak meminta pun dari saya. Saya suruh isteri saya mengajak beliau makan di restoran berdekatan. Beliau menolak kerana katanya sudah makan masa bukan puasa tadi. Semasa saya hendak ke kereta beliau memberikan kepada saya buah mempelam. Saya menolak. Namun beliau tetap ingin berikan. Saya rasa serba salah. Barangkali beliau ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan kecil tadi. Jiwanya mulia. Saya tersentuh.

Sebenarnya saya sampai ke Perlis dari Mekah jam 1 pagi tadi. Pukul 8 pagi saya kena mempengerusikan mesyuarat KUIPs selama 2 jam lebih. Kemudian pukul 11 pagi mesyuarat kedua saya iaitu JK Mesyuarat Kewangan MAIPs. Walaupun amat letih pagi tadi, namun saya agak bersemangat apabila membincangkan masalah terdapat asnaf fakir miskin yang suka terus miskin agar mereka terus menerima bantuan. Mereka enggan berusaha sekalipun sihat kerana selesa mendapat bantuan setiap bulan tanpa usaha. Kami bincang langkah-langkah mengatasi masalah itu. Saya amat dukacita apabila memikirkan zakat tidak membangunkan sekelompok masyarakat bahkan menjadikan mereka malas berusaha.

Malam ini, rezeki Allah saya berjumpa dengan kakak ini. Sekalipun masih letih, melihat sikap beliau memberikan saya semangat. Semoga ramai orang sepertinya. Kita semua mesti membantu orang yang mempunyai sikap yang baik ini. Mari kita doakan agar Allah memudahkan rezeki orang yang seperti ini.

Nabi s.a.w bersabda :
لأن يَحتطبَ أحدُكم حُزمَةً على ظهرِه ، خيرٌ من أن يَسألَ أَحَدًا ، فيُعطيَه أو يمنعَه

"Jika seseorang kamu mencari satu ikatan kayu api di atas belakangnya (untuk dijual) lebih baik dari dia meminta daripada orang lain, samada orang itu memberi atau tidak" (Riwayat al-Bukhari).

Semasa dalam kereta saya ambil gambar kakak ini. Gambar samar sahaja. Harap status ini tidak menyusahkan beliau. Terfikir dalam jiwa saya betapa orang sepertinya lebih mulia di sisi Allah dibandingkan saya ini. Dengan ujian Allah terhadapnya, dia berusaha sedayanya. Sementara saya dengan sedikit ujian nikmat ini, mampukah saya bersyukur kepadaNYA dalam erti yang mendalam sebagai seorang hamba Allah?!! 

Ya Allah! Ampunilah.

Kredit :  Fb DrMaza



Seksanya Bercinta Dengan Suami Orang

12 Jun 2017



BUKAN seronok sangat bercinta dengan suami orang!''Itu kesimpulan yang dapat dibuat daripada curahan hati Haslinda dalam e-mel yang dihantarkannya kepada saya. Nak seronok macam mana semuanya dibuat dalam rasa kebimbangan bukan kerana takutkan isteri kekasih kita tu, tetapi lebih kepada bimbang rahsia terbongkar. Pecah tembelang.


''Sebenarnya saya bukan suka sangat nak bongkar rahsia hati ini, tetapi kadang kala saya merasa terlalu sunyi, tak ada orang nak lawan bercakap, ada kawan perempuan mereka ada suami dan anak nak diuruskan. Yang masih single sibuk dengan hal peribadi sekali sekala sahaja kami boleh keluar berjalan dan makan-makan.


''Bukan saya tak boleh keluar selalu tetapi teman saya ini terlalu cemburukan saya, tak benarkan saya keluar dengan kawan-kawan, berbual di telefon pun dia tak suka. Ditakdirkan ketika saya berbual, dia tak dapat hubungi saya, mulalah dia merepek meraban, marah dan mendakwa konon saya melayan lelaki lain.


''Di sebabkan saya tak suka kena marah, jadi saya tak bolehlah berbual lama dengan kawan bukan sahaja ketika di rumah ketika di pejabat pun dia akan pastikan saya tidak bergayut di telefon. Hinggakan nak keluar makan pun kena beritahu dia di mana dan dengan siapa. 


''Nak kata dia suami bukan, cuma kekasih, tetapi punyalah cemburu Tuhan sahaja yang tahu. Sebenarnya saya memerlukan pandangan seseorang untuk meredakan hati ini, cukuplah sekadar nasihat. Saya tahu tentu banyak pembaca di luar sana yang berpengalaman jadi bolehlah saya belajar mengatasi masalah ini.


''Tetapi sebelum itu biar saya cerita dulu. Sebenarnya bukan saya tak mahu bercinta dengan orang bujang. Saya dah cuba banyak kali, tetapi malangnya semuanya tak lekat alasan mereka dah ada kekasih, dah bertunang dan ada juga yang tak minat nak kahwin. ''Ada seorang tu saya punyalah gilakan dia, setahun lamanya saya simpan perasaan dia pun baik layan saya, saya fikir tentulah dia sukakan saya. Top-top saya terima kad jemputan kahwin. Katanya gadis itu pilihan ibunya. Ya Allah frustnya. Umur saya dah 27 tahun.


''Saya pun bukan memilih, tetapi entah mengapa hanya suami orang sahaja yang selalu singgah dalam hidup saya. Saya memang tak sukakan suami orang, yang saya cap mereka sebagai gatal. Malangnya yang gatal-gatal inilah yang tersangkut dengan saya. Dek kerana bencikan suami orang inilah juga saya pernah berjanji dengan diri saya sendiri bahawa saya tidak akan kahwin dengan suami orang.


''Tetapi apabila kita minta dijauhi sesuatu yang amat kita benci maka itulah yang datang dalam hidup kita. Mungkin Allah ingin menguji kekuatan iman saya. Dan saya mengaku akhirnya saya lemah dengan ujian ini. Kadang kala saya tanya diri sendiri apakah malangnya nasib saya ini. Saya ingin segera berumahtangga dengan orang bujang, tetapi mengapa suami orang yang suka sangat dengan saya?


''Bercinta dengan suami orang bukannya seronok sangat. Dia mahu kita jadi kekasihnya tetapi dia tidak pernah ada di samping kita, bila kita mahu. Ke mana saya pergi mesti minta izinnya dahulu.''Berjumpa sebulan sekali, nak berjalan pun kena sorok-sorok. Sebagai contoh kalau nak shopping saya pergi ke kedai sendiri, pilih mana-mana yang suka, lepas tu dia datang tapis pilihan saya adakah mengikut seleranya, kalau tidak saya kena tukar yang lain. Dalam kedai tak boleh cakap banyak, lepas dia bayar secara tunai saya balik sendirian dia tak hantar.


''Kalau nak makan malam cuma di tempat tertentu sahaja, yang sunyi-sunyi, jauh daripada orang, yang orang ramai tak suka datang. Saya tiba dulu buat pilihan makanan untuk dia. Saya kena pilih kedudukan mejanya agak tersorok sedikit. Ketika itulah kami dapat berbual atau berbincang panjang sebab tak ada orang nampak. ''Agaknya inilah nasib wanita seperti saya hendak menumpang manja dengan suami orang. Tapi bukan saya cari, dia yang cari saya, dah dapat memikat hati saya dia beri saya pelbagai syarat dan undang-undang untuk saya patuhi, alasannya dia suami orang dan dia tak mahu rosakkan kebahagiaan rumahtangganya.


''Kalau difikirkan lebih mendalam memang saya sudah membuang banyak masa bercinta dengannya sedangkan saya fikir tidak ada peluang langsung untuk menjadi isterinya. Pertama kerana dia terlalu takutkan isteri, dalihnya konon dia sayangkan isteri, tak mahu rosakkan kehidupan anak-anaknya, kedua, katanya kerana bosnya tak suka pekerjanya kahwin dua. Jadi apakah taraf saya ini adakah seorang kekasih ataupun simpanannya?. simpanan.


"Nak kata simpanan pun tak boleh dia tidak membiayai segala keperluan saya sama ada membayar sewa rumah dulu ataupun membayar ansuran rumah yang baru saya beli. Kadang-kadang saya fikir memang saya membodohkan diri, membuang masa aja, tapi entahlah kenapa saya jadi bodoh macam ni. ''Emak selalu tanya saya bila nak kahwin. Saya jawab saya lebih senang hidup sendirian. Tetapi sebenarnya saya dah terperangkap. Tak tahu kenapa saya terlalu sayangkan dia, sedangkan saya tahu dia sudah berkeluarga. Dan terlalu sukar untuk dia kahwin dua. Sampai bila saya harus jadi macam ini. Menunggu lamarannya macam tunggu buah tak jatuh.


''Berbanding kehidupan isterinya, saya rasa hidup saya lebih menderita, terkurung tanpa arah tujuan, nak berkawan dilarang, apa lagi kalau nak keluar berjalan dan berhibur dengan kawan-kawan. Semuanya mesti mendapat persetujuan dan kebenarannya. ''Bila memikirkan nasib saya sekarang ini, adakah masih ada jalan untuk kebahagiaan hidup saya di masa depan bersamanya? Umur semakin meningkat, saya bimbang langsung tak mendapat zuriat kalau saya tinggalkan dia sebab belum tentu ada lelaki lain yang mahu mengambil saya sebagai isteri, jika mereka tahu gaya hidup saya sekarang.


''Ditakdirkan saya bertemu lelaki lain dan saya dilayan lebih baik dari dia mungkin saya jadi seperti kera dapat bunga, kerana saya tidak pernah merasa dilayan seperti seorang wanita istimewa kecuali ketika saya ditidurinya. Kerana hanya ketika itulah saya dilayan bagaikan seorang permaisuri diulit mesra, sambil memadu asmara bagaikan hidup di syurga.''Namun selepas kembali ke rumah sendiri, saya rasa diri saya bagaikan robot yang menurut semua perintah, dipanggil saya datang disuruh saya pergi. Saya tahu dan saya sedar diri saya ini amat bodoh namun tiada sesiapa di sisi saya yang sudi membimbing si bodoh ini keluar dari kotak yang selama ini membelenggu hidup saya.


''Kadang kala saya tanya diri sendiri, mengapa saya begitu bodoh dan takut dengan suami orang ini, dan mengapa saya terlalu mengasihi dan mencintai dia. Adakah saya takut tak dapat kahwin kerana usia yang semakin meningkat? Entahlah, saya sendiri tak tahu apa jawapan yang sesuai dilemparkan pada diri saya ini.'' Demikian cerita Haslinda panjang lebar tentang masalahnya terperangkap bercinta dengan suami orang. 


Kata Haslinda selepas bercerita panjang dengan meluahkan perasaan begini terlepas sedikit rasa seksa di hati. Reda sedikit beban. Pesan orang tua-tua 'bukan beban batu digalas' Kalau tak ada masalah janganlah cari masalah.

Kredit : UtusanMalaysia



Coretan Keinsafan Dalam Kunjungan Bakul Ramadhan 1435H

Coretan Keinsafan Dalam Kunjungan Bakul Ramadhan 1435H

30 May 2017

bakul2

Alhamdulillah kerana Allah mengizinkan saya sekeluarga untuk turut serta dalam Program Bakul Ramadan anjuran ISMA Cawangan Alor Setar pada kali ini. Kami mendapat 10 nama keluarga seperti yang telah diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kubang Pasu. Pengalaman berkunjung ke rumah keluarga yang tidak bernasib baik ini menyuntik keinsafan di hati dan menambahkan rasa syukur di atas segala nikmat yang telah Allah curahkan pada kita. Saya kongsikan pengalaman menziarahi 2 keluarga di sekitar Jitra yang menyentuh perasaan saya.

Kes 1: Kasih ibu tiada taranya 

Kedatangan kami ditunggu di tepi jalan oleh seorang ibu sambil mendukung seorang anak kecil berusia 2 tahun dan diekori oleh seorang lagi berusia 3 tahun. Ibu berusia 40 tahun ini telah 2 tahun hidup sebatang kara membesarkan 6 orang anak berusia antara 2 dan 16 tahun dengan mengambil upah menjahit baju serta membantu di kantin sekolah. Suami tempat bergantung masih ditahan reman hampir 2 tahun kerana kesalahan memiliki dadah ganja.

??????????

Sepanjang 2 tahun ini beliau terpaksa memikul tanggungjawab untuk menyara dan memberi kasih sayang pada anak-anak. Wajah sayu anak-anak menggambarkan kedukaan mereka hidup dalam kesempitan. Mujurlah ada sedikit bantuan dari JKM sebanyak RM450 sebulan untuk membantu persekolahan anak-anak. Melihat kes ini menambahkan kebencian saya pada najis dadah. 

Bagaimana seorang yang terjebak dalam kes dadah menerima akibat termasuk anak-anak yang terpaksa hidup dalam derita. Semoga masyarakat tidak menghukum keluarga ini atas kesalahan ayah mereka yang masih kesnya di muka pengadilan. Semoga nasib anak-anak ini terbela dan kita semua terus menghulurkan bantuan supaya mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.


Kes 2: Kasih ayah membawa ke syurga


Ketika melihat profil keluarga yang akan diziarahi ini saya sedikit terasa kelainan kerana jarang seorang ibu meninggalkan anak-anak termasuk yang masih kecil untuk dijaga oleh seorang ayah tunggal. Ketika sampai, kami disambut oleh abang paling dewasa; seorang anak muda yang akan menduduki peperiksaan SPM. Wajahnya menampakkan kedewasaan dan sifat tanggungjawabnya. Sambil menunggu si ayah yang keluar mencari rezeki dengan mengambil upah memotong rumput, kami sempat berkenalan dengan 7 orang anak daripada keluarga ini.


Berusia 18 tahun dengan yang sulung berada di UiTM Arau dan yang paling kecil berusia 3 tahun, ketujuh-tujuh anak ini dijaga oleh si ayah setelah ibu pergi entah ke mana. Enggan menceritakan lebih lanjut tetapi jelas rasa sayu kelihatan di wajah anak-anak ketika ditanya tentang ibu mereka.

bakul1

Sebagai seorang ibu yang juga mempunyai anak kecil berusia 3 tahun, saya tidak dapat menyembunyikan rasa pilu melihat si kecil dijaga oleh abang dan kakak tanpa seorang ibu tempatnya bermanja. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana seorang ibu betah meninggalkan anak-anak yang masih kecil untuk mengubah haluan hidup dan meninggalkan mereka tanpa bertanya khabar dan berita.

Si ayahlah yang memikul tanggungjawab memasak, menguruskan rumah, menghantar anak-anak ke sekolah, menjaga si kecil berusia 3 tahun dan setelah anak pulang ke sekolah pada sebelah tengahari, si ayah keluar mencari rezeki dengan memotong rumput sambil tugas rumah diambil alih oleh anak-anak. Mesin rumput yang digunakan terpaksa dijual ketika anak sulung ingin memasuki universiti dan buat masa ini, si ayah terpaksa meminjam mesin rumput daripada seorang kawan.

Inilah kisah 2 keluarga yang saya lawati pagi tadi. Banyak lagi kisah dalam masyarakat kita yang tidak kita ketahui, kecuali kita turun ke padang dan merasai kesempitan kehidupan mereka. Saya mengambil.kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang Bakul Ramadhan. Semoga apa yang telah anda sumbangkan dapat meringankan penderitaan keluarga yang tidak bernasib baik ini.

Ini merupakan pengalaman bermakna untuk anak-anak saya supaya mereka dapat menghargai nikmat kesenangan yang Allah berikan kepada mereka dan supaya mereka menjadi generasi yang cakna ummah. Ini permasalahan dalam masyarakat kita sedangkan banyak lagi permasalahan di luar sana seperti isu Palestin dan Syria, yang perlu kepada keprihatinan daripada kita semua.

Oleh : Dr. Murizah bt Mohd Zain
Pengerusi I-Medik Kedah

Kredit : imedikkedah

Keperitan 10 Tahun Jadi Perempuan Simpanan

26 Apr 2011


BERCINTA dengan suami orang memang banyak manisnya, maklum orang ada pengalaman, pandai ambil hati dan memang pakar memujuk rayu. Ini cerita dari pengalaman Ainesofia dalam e-melnya dan ketika kami berbual panjang di telefon baru-baru ini. ‘‘Biar apa pun orang kata tentang keburukannya, saya tidak percaya, selagi tidak terkena batang hidung sendiri, baru saya tahu betapa jahatnya hati lelaki bergelar suami orang ini. Dia bukan saja menganiaya saya, malah hati dan puluhan ribu ringgit duit isterinya sendiri. Tapi semua itu dia tidak peduli asalkan hajati tercapai.

‘‘Lebih sepuluh tahun saya jadi kekasih gelapnya. Biarpun kami tinggal berjauhan saya di utara dia di Terengganu, tetapi saya sering dibawa menemaninya di hotel apabila dia bermesyuarat. Tak kiralah betul-betul mesyuarat atau pembohongannya. Tetapi yang pasti saya jadi “isterinya” selama dua atau tiga hari. Samada di utara, KL, Perak atau di mana saja. ‘‘Saya berusia hampir 40 tahun ketika mengenalinya, kebetulan tengah kesunyian selepas kematian suami, jadi komputerlah tempat saya mencurahkan isi hati melalui laman chatting. Di situ saya kenal Emjay yang ketika itu berusia lebih 40 tahun yang bertugas di sebuah pusat pengajian tinggi di Dungun.

‘‘Bermula dengan menasihatkan saya kerana saya ada dua orang anak. Akhirnya saya jatuh cinta dengan kebaikan dan kelembutannya pandai memujuk rayu apabila bertemu. Orangnya pemalu dan pendiam, tak banyak cakap kecuali menasihat. Namun Emjay pandai ambil hati saya. Sesiapa yang pernah kenal dan berjumpa dengannya tidak akan percaya dia buruk perangai kerana wajah syurga dan sentiasa senyum. ‘‘Saya rasa isterinya pun mungkin tidak tahu perangainya sebenar, kalau tidak takkan dia sanggup membiayai perbelanjaan Emjay belajar ambil diploma hinggalah dapat ijazah. Isterinya juga jadi penjamin dia buat pinjaman Bank Rakyat.

‘‘Tentu pembaca bertanya mengapa saya sanggup menunggu begitu lama? Sebenarnya sudah banyak kali saya nak tinggalkan dia kerana tak sanggup menunggu lama janji nak berkahwin tetapi tak jadi. Tetapi dia memujuk dan merayu, lepas dapat diploma dan naik pangkat nanti dia akan ambil saya jadi isteri. ‘‘Namun lepas diploma dia minta tangguh lagi katanya nak ambil ijazah pula. Begitulah dia bodohkan saya supaya tunggu dia. Hingga saya tolak lamaran lelaki lain. ‘‘Saya dah penat menunggu dan melayan nafsunya. Anak-anak yang dulu cuma bersekolah menengah kini dah habis universiti dan bekerja. Saya jadi malu pada diri sendiri dan anak-anak untuk jadi teman tidurnya. Biarpun anak-anak tak tahu saya pergi jumpa dia. Tapi saya malu dan takut kepada Allah tambahan usia dah dekat 50 tahun.

‘‘Perubahan itu saya mula sedar kerana dia tak mahu chatting dan telefon saya lagi. Dunia saya sunyi dan saya tertanya-tanya apa dah jadi. Tidak menjawab panggilan saya, bukan perkara biasa, dia tak pernah hampakan saya. Setelah beberapa hari mencuba akhirnya dia jawab. Dia minta maaf tak dapat kahwin dengan saya. ‘‘Keraguan saya akhirnya terjawab. Dia mahu putuskan hubungan. Alasannya dia bencikan saya kerana suka mendesak dia ajak kahwin. Dia bosan, dia tidak bersedia berpoligami, dan dia tidak mahu saya hubungai dia lagi. ‘‘Bayangkan hubungan kami lebih sepuluh tahun jadi kekasih gelapnya terputus begitu sahaja semata-mata kerana saya menolak tidak mahu melayan nafsu buasnya. Muka saja macam orang baik-baik tapi hati dan perangai macam setan.

‘‘Secara peribadi saya memang sedih. Saya dibuang macam sampah semata-mata kerana dia dah jumpa orang baru. Rupanya semasa kami berkawan pun dia ada beberapa teman wanita lain. Sebab itulah dia mengelak setiap kali saya ajak kahwin. Dulu kata ambil diploma, lepas tu ijazah sekarang sibuk nak ambil PhD. Dan setiap kali dia kata sambung belajar dia suruh saya tunggu lepas lulus baru kahwin. ‘‘Dalam Internet dia guna banyak nama samaran seperti Emjay, deeface, irzafr... itu nama-nama yang dapat saya kesan dari bacaan saya tentang tulisannya. Maklum kami dah kawan lebih sepuluh tahun, saya tahu gaya bahasanya, dan cara penipuannya. Dengan nama samaran itulah dia menggoda beberapa orang wanita.

‘‘Mulanya saya tak sedar dia menyamar dalam Internet hinggalah saya ditinggalkan. Bila saya cari dia baru saya nampak nama-nama tersebut setelah saya baca dan ikuti lenggok bahasanya. Dan saya tahu dia sedang mengayat dua orang wanita sekali gus. ‘‘Saya sendiri setelah ditinggalkan baru sedar dibohongi. Dulu apa juga katanya saya percaya, kerana dia pandai memujuk dan merayu. Tapi dia mengelak setiap kali saya ajak kahwin. Dia pernah ajak saya nikah di Thailand, bila saya setuju setelah saya bertanya cara yang betul dan apa patut saya buat setelah nikah di sempadan dengan pejabat agama, dia pula gelabah. Dia minta tangguh lagi sampai dapat naik pangkat lagi besar. 

‘‘Emjay memang panjang akal kalau tidak masakan dia boleh tipu isterinya, tanpa rasa malu pada anak-anak yang telah dewasa, sudah bekerja, dan akan berkahwin. Dia sanggup tipu isterinya beribu-ribu ringgit semata-mata untuk memuaskan nafsu dengan wanita lain. Sedangkan isterinya berhempas pulas memerah tenaga mencari wang untuk dia dan tanggung anak-anak. ‘‘Kepada isteri Emjay yang sibuk bisnes, saya mohon maaf selama lebih sepuluh tahun bersama suami anda. Kepada isteri yang sibuk bekerja, pantau kegilaann suami anda. Biasanya suami sibuk dengan laptop bila isteri sibuk bekerja, tiada di rumah atau sedang nyenyak tidur. Ini pengalaman saya.’’ Demikian cerita Ainesofia tentang percintaannya dengan suami orang.

Kredit : SuaraHati
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.