Jangan fikir orang dewasa sahaja boleh mengalami stres atau tekanan, anak juga boleh mengalami stres. Ini adalah hakikat yang perlu diambil berat terutama ibu bapa.
Perkara
ini antara yang ditekankan Sarada Devi R. Subramaniam, Pegawai
Psikologi, Unit Kaunseling Keluarga, Bahagian Pembangunan Keluarga,
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) ketika bercakap
mengenai permasalahan remaja.
Menurut beliau, stres wujud apabila sumber permintaan sekeliling melebihi keupayaan yang ada pada diri sendiri. Beliau
memberi contoh aspek pendidikan, di mana ibu bapa meletakkan jangkaan
yang sangat tinggi terhadap pencapaian akademik anak masing-masing.
"Memang
ada ibu bapa yang berkemampuan sanggup mengeluarkan perbelanjaan tinggi
bagi memastikan anak mereka cemerlang tetapi keadaan ini akan menekan
jiwa anak.
"Kasihan melihat anak yang dipaksa belajar bukan untuk memenuhi
cita-cita mereka tetapi untuk memenuhi hasrat ibu bapa," kata Sarada.
PERANAN IBU BAPA
Beliau
turut mengingatkan ibu bapa supaya melihat dahulu sama ada mereka telah
memainkan peranan yang sebaiknya dalam membantu merealisasikan
kecemerlangan itu sebelum meletakkan tekanan ke atas anak.
Ini termasuk menyediakan keperluan asas seperti buku, peralatan serta
tempat belajar.
Kelengkapan yang cukup adalah penting dalam
memastikan anak dapat belajar dengan selesa di samping ibu bapa sendiri
mengikuti perkembangan dan kemajuan anak di sekolah.
Menurut Sarada, anak mula rasa tertekan sekiranya mereka merasa mustahil
untuk mencapai kejayaan yang tinggi hingga akan berputus asa, kecewa
dan murung setelah gagal mencapai impian ibu bapa.
"Keadaan bertambah buruk apabila ibu bapa mula marah setiap kali anak
gagal mendapatkan markah yang baik," tambahnya.
Beliau berkata, dalam hal ini, perkara yang penting ialah meletakkan
harapan berdasarkan kemampuan diri anak.
"Ini adalah perkara yang amat penting dalam proses membimbing anak
dengan sempurna. Ibu bapa perlu berbincang dengan anak tentang sasaran
itu dan bagaimana mereka boleh membantu.
"Cara ini yang terbaik kerana anak akan merasa sasaran yang diletakkan
itu adalah sasaran mereka bukan sasaran ibu bapa," Sarada memberitahu
Bernama dalam wawancara di pejabatnya di Bangunan LPPKN, Jalan Raja Laut
di sini baru-baru ini.
TAMBAH STRES
Anak termasuk remaja juga boleh menjadi bertambah stres sekiranya mereka sering melihat ibu bapa bertelagah. Secara
tidak langsung, emosi anak akan menjadi amat tertekan, tambahan jika
menduduki peperiksaan. Anak yang terbeban dengan keadaan yang penuh
dengan konflik itu tidak akan dapat menumpukan perhatian kepada
pembelajaran dan peperiksaan.
"Mereka mungkin berkongsi masalah dengan rakan yang kemudian memberi
sesuatu untuk mententeramkan perasaan mereka.
"Kebetulan ia bukan panadol tetapi bahan yang boleh mengkhayalkan di
mana akhirnya mereka boleh terjerumus melakukan perkara-perkara di luar
jangkaan. Inilah antara kesan jika keluarga sering berkonflik secara
berpanjangan tanpa mencari sebarang jalan penyelesaian," jelas Sarada.
Beliau
juga tidak menolak kemungkinan ada anak yang akan lari dari rumah
kerana terlalu tertekan dengan konflik ibu ayah dan isu tersendiri yang
tidak dapat dikongsi dengan ibu bapa.
"Mungkin mereka mempunyai
teman lelaki dan termakan pujukan. Kerana terlalu percayakan teman
lelaki untuk menjaga diri mereka, akhirnya mereka melakukan perkara yang
boleh merosakkan diri mereka. "Jadi, bukankah semuanya ini bermula dari rumah," kata Sarada.
JAGA EMOSI
Beliau lalu menyarankan pasangan yang mahu bertengkar supaya tidak melakukannya di depan anak. Anak akan hilang kepercayaan terhadap ibu bapa jika sering menyaksikan mereka bergaduh. Bila
anak itu berkahwin, mereka mungkin menggunakan cara penyelesaian yang
sama iaitu bergaduh untuk menyelesaikan masalah rumah tangganya,
terutama sekali apabila mereka melihat ibu mereka didera ayah secara
fizikal atau emosi.
Sekiranya anak mereka adalah lelaki dan
kemudian beristeri, mereka mungkin turut melakukan kekerasan ke atas
isteri mereka seperti yang dilakukan oleh ayahnya.
"Jadi, anak akan belajar kemahiran menyelesaikan masalah melalui apa
yang dilihat dalam kehidupan persekitaran keluarganya. "Oleh yang demikian, ibu bapa perlu lebih prihatin dan menjadi model contoh dalam keluarga.
"Jangan
terlalu beremosi di depan anak. Kalau perlu juga bertengkar lakukan di
bilik tidur. Beritahu dulu anak yang emak dan ayah mahu berbincang
perkara yang agak serius. "Beritahu juga, walaupun bergaduh, ibu
dan ayah tetap sayang kamu," katanya, sambil menjelaskan kata-kata
positif dapat mengukuhkan ikatan keluarga.
"Tolonglah jaga emosi anak," Sarada berpesan lagi. Beliau
berkata, menjadi remaja adalah tempoh yang kritikal di mana mereka
mudah dipengaruhi terutama oleh rakan sebaya.
"Sebab itulah remaja selalu digalakkan berkongsi sebarang isu atau emosi
mereka dengan orang yang dipercayai, kalau tidak dengan keluarga,
dengan kaunselor," katanya.
ANAK KECIL
Dalam soal stres dan
anak kecil, Sarada berkata, mereka boleh mengalami tekanan jika
pergerakan mereka terlalu dikawal atau disekat.
Anak kecil,
katanya perlu dibenarkan bermain kerana ia juga satu bahantara
pendidikan dan terapi terbaik untuk menangani stres.
"Malangnya apa yang berlaku sekarang, ada segelintir ibu bapa menganggap
rumah seperti muzium, semuanya mesti teratur dan kemas, tidak boleh
bersepah sedikit.
"Bermain juga penting untuk membina proses pemahaman, pembelajaran,
pembinaan kognitif dan kendiri kanak-kanak," tambahnya.
Sarada turut menyentuh hakikat, semakin ramai ibu bapa menghantar anak ke taska atau tadika seawal usia tiga tahun.
Bermain,
bagi kebanyakan anak hanyalah apabila mereka berada di premis berkenaan
dan bila balik ke rumah mereka dikerah buat kerja rumah dan sering
dilarang bermain.
"Ingat semasa waktu alam kanak-kanak kita, ibu ayah lepaskan kita
bermain dan lihat bagaimana ia membantu perkembangan diri dan
personaliti kita," katanya.
Sarada juga menegur sikap sesetengah
ibu bapa yang lebih gemar membelikan pelbagai gajet permainan elektronik
daripada membenarkan anak bermain sesama anak ataupun kawan sebaya.
"Tidak ada ruang untuk berinteraksi serta komunikasi yang efektif. Ini kurang menyeronokkan.
"Anak juga kurang masa yang kualiti bersama emak dan ayah," kata Sarada yang juga kaunselor berdaftar.
BERI MASA
Sarada turut memberi senario anak yang merasa tertekan kerana kurang perhatian ibu bapa. Sudahlah waktu siang mereka dihantar ke taska atau tadika, sekembali dari sekolah, dijaga pula pembantu rumah. Hakikatnya, sesetengah ibu bapa yang bekerja memang mempunyai masa yang begitu terhad dengan anak. Ada yang sekadar bertanya kerja sekolah dan kemudian menyuruh anak masuk tidur setelah selesai kerja sekolah.
Kasih
sayang ibu bapa yang begini adalah seperti mengguna kad Touch & Go.
Sekejap sangat masa yang diluangkan. Itu pun mungkin pada hujung
minggu, jika tidak sibuk melayari internet atau menonton televisyen atau
video.
Rutin kehidupan yang seperti ini hanya akan merenggangkan
hubungan kekeluargaan sehingga menjadikan anak merasa tersisih dan tidak
mendapat kasih sayang yang mencukupi daripada ibu bapa mereka.
Keadaan yang sedemikian sudah tentunya akan mendorong anak keluar rumah dan menghabiskan masa bersama kawan. Ibu
bapa berperanan memberikan anak mereka sebanyak mungkin sokongan dan
juga kasih sayang supaya anak merasa lebih senang dan selesa berada di
rumah.
Seperti kata Sarada, hubungan erat yang sedemikian membuatkan anak sering merasakan rindu kepada ibu dan ayah.
"Kenapa? Sebab mereka ini bukan sahaja menyayangi anak tetapi
menghormatinya sebagai seorang individu.
"Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah makan bersama-sama terutama
malam. Cuba mulakan sebarang perbualan, contoh perkara yang digemari
oleh anak. Bantu mereka buat kerja sekolah atau melihat buku kerja dan
latihan mereka.
"Jika tidak, cukup sekadar menunjukkan minat pada
apa yang mereka belajar. Ibu bapa juga boleh menghadiri semua acara
sukan atau aktiviti anak. Bagi sokongan dan galakan," katanya.
Di
samping itu, ibu bapa juga boleh sama-sama bermain permainan kegemaran
anak seperti catur, scrabble atau uno di samping menonton rancangan
televisyen kegemaran mereka bagi mengekalkan hubungan mesra.
SIAPKAN DIRI
Belum
bersedia dan tidak bersedia untuk menjadi ibu bapa. Faktor ini ada
kesannya kepada cara seseorang ibu atau ayah mendidik anak atau
melaksanakan tanggungjawab keibu bapaan. Demikian pandangan Katherine Loo Saw Moay, seorang lagi Pegawai Psikologi LPPKN dalam wawancara dengan Bernama.
Menurut
beliau, ada ibu merasa tertekan apabila mendengar suara anak menangis
kerana emosinya tidak bersedia untuk menjadi seorang ibu ditambah tidak
mendapat sokongan suami.
"Ada juga isteri yang murung selepas
melahirkan anak tetapi suami tidak mengendahkan," jelas Katherine, juga
kaunselor berdaftar.
Sehubungan itu, pasangan yang ingin berkahwin
perlu tahu peranan dan tanggungjawab sebagai isteri dan suami sebelum
meneruskan hajat mereka.
Bagi Katherine, konflik berlaku dalam mana-mana keluarga, yang penting cara mengendalikan konflik.
"Masing-masing
berbeza dari segi latar belakang. Masing-masing ada cara sendiri dan
memanglah kita selesa dengan cara kita tetapi selepas berkahwin, kena
cari cara kita, cara bersama.
"Tolak ansur itu amat penting. Suami
atau isteri perlu buat perubahan apabila sudah berkahwin. Banyakkan
berbincang dan berkomunikasi," jelas Katherine.
Kredit. Mstar.Com