SLIDER

dilema
Showing posts with label dilema. Show all posts

Hari Raya, Bawa Anak VS Tak Bawa Anak

10 Apr 2024



Itu hari aku dapat bersembang dengan kawan aku. Dia punya 6 orang anak. 4 lelaki dan 2 perempuan. Aku duk bergurau yang dia kaya kerana dapat kutip duit raya. Kahkah. Dia ikut ketawa. 


Dia beritahu aku, jujurnya dia tak beraya sangat. Dia hanya biarkan orang datang rumah beraya. Sebab dia dan isteri risau sangat orang kata dia tak reti jaga anak. 

Kalau balik kampung, dia akan pulang ke rumah ibunya sahaja. Isterinya pun sama. Jika nak ziarah rumah sekitar di kampung, dia akan pergi seorang diri. Semuanya atas alasan anak dia masih kecil dan sukar nak kawal. 

Aku fikir perbuatan dia ini bagus. Bagi orang yang begini, dia biarkan orang nak kata dia "simpan" anak bini di rumah, namun dia tahu yang dia akan bawa bala besar jika angkut semua anak-anak ke rumah saudara mara.

Bab tak boleh kawal anak ini perkara sensitif. Di rumah, mainan dan barangan tak banyak mana. Dan disebabkan mereka ini ramai, tahap bergomol itu luar biasa. 

Apabila ke rumah orang, jumpa cawan cantik, ternampak benda pelik, semua nak explore. Biasalah budak-budak. Namun tak semua orang fikir begitu. Ada orang boleh pandang sebelah mata, faham yang anak orang lain lebih kurang sahaja dengan anak dia. 

Ada juga orang, memang tak boleh. Bagi dia, anak tetap kena kawal oleh emak ayah. Betullah itu. Namun, kalau sudah ramai-ramai, jadi payah. Nak makan lagi, nak bergosip lagi, nak cerita tentang tudung, balang kuih, taperware, rendang, gadis shell semuanya nak kena buat serentak. Elok pula ada seorang pergi pecahkan balang kuih yang ditempah dari London. Ok debar. 

Bagi orang yang berduit, jika nak orang datang ziarah, atau kau pegang ibu kau duduk rumah kau dan apabila nak adik beradik, anak saudara serta cucu kepada emak kau itu rancang nak datang jumpa, pastikan benda ini tidak terjadi. 

Caranya mudah sahaja, kau buat open house di dewan atau pasang canopy. Ala kenduri begitu. Tak perlu masuk rumah cantik kau yang meja makannya bertatahkan emas dari Vietnam, kayunya dari hutan Brazil serta paku-paku menggunakan besi uranium ala topeng Iron Man. 

Senang. Bab anak ramai ini rezeki. Bab mereka buas, lincah, berlari dan terbang sana sini itu pun rezeki. Dan nak kawal untuk emak bapa ziarah keluarga, ahah itu juga rezeki. 

Jadi, kita yang anak seorang, atau sudah berumur kaya raya ini saling hormat sahajalah mereka ini. 

Ingat kawan, 

Tegur ini suatu sifat kasih sayang. Jika semua benda yang ditegur itu melahirkan kebencian, maka orang putih kata ada something wrong. 

Kita hidup sekali sahaja. Yang kita nak masa kita di dalam kubur nanti, ada yang doakan kebaikan kita. Bukannya pergi cakap "leganya dia dah tak ada." 

Ya kita berjaya. Namun itu bukan tiket nak tembak sesuka hati. Keluarga kita dahlah tak besar mana, kena pula tepek ditegur di hadapan orang, dan tambah lagi up di media sosial. 

Maka berlakulah buli siber. Hina sana, benci sini. Niat asal nak menegur akhirnya jadi puas hati dapat bantai orang begini. Aha, syaitan pun berjaya. 

Dan adalah ahli keluarga yang terpecah dua. Satu, yang berasa hati. Satu lagi yang padan mukakan mangsa. 

Lalu raya tahun hadapan, perli lagi. Kata tak boleh kena tegur bagai. Padahal kau yang pulaukan, kau juga yang asingkan teguran itu dengan kasih sayang. 

Mulut bising itu bagus. Memang kena ada seorang dua dalam keluarga. Kasi peringat. Namun, tetap ada batas.Walau apa sahaja yang berlaku atas sebab anak kecil yang belum ada dosa, ambillah nafas panjang, dan cakaplah dalam hati: "Inilah keluarga yang aku ada."

Ingat, keluarga = kasih sayang.
Nak tegur, gunalah elemen itu.

Begitulah. 

Khairul Hakimin Muhammad,
Kaki jerit ke anak sendiri dan anak saudara yang nakal-nakal. Kahkah.


Kredit : FB Khairul Hakimin Muhammad



Dalam Dilema Apabila Digelar Anak Emak

12 Jan 2023



Aku telah berkahwin dan mempunyai 2 orang anak. Aku tidak tahu samada aku ini “anak emak” atau tidak. Rakan-rakan sekeliling ada menggelarkan aku sebagai anak emak sebab mereka melihat dalam segenap hal aku lebih mementingkan ibu berbanding isteriku dan anak-anak. Bagi aku, ibu adalah segala -galanya, konsep yang aku pegang sejak kecil lagi adalah ibu ku syurga ku.


Apa sahaja perkara yang menggembirakan hati ibu ku, akan aku lakukan dengan segera tanpa memikiran apa kepentingan orang lain walaupun isteri sendiri dan ahli keluarga yang lain. Sekecil-kecil perkara sebagai contoh pergi ke kedai membeli barangan dapur sehingga ke sebesar-besar perkara akan saya lakukan demi menjaga dan menggembirakan hati seperti menunaikan permintaan ibu untuk melancong keluar negara walaupun saya sendiri tidak pernah merasa bercuti ke luar negara.

Aku harus bagaimana agaknya?

Ahli Psikoterapi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azhar Md. Zain menerangkan bahawa mengikut teori yang diperkenalkan oleh Sigmund Freud secara semulajadinya, anak lelaki sememangnya lebih cenderung untuk rapat dengan ibu manakala anak perempuan pula lebih senang untuk bersama bapa.

Anak emak biasanya merujuk kepada seorang anak lelaki yang mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan ibunya. Hubungan kuat ibu dan anak itu terbina sejak dari kecil lagi sehingga meningkat dewasa. Perwatakan dan personaliti mereka banyak dipengaruhi oleh ibu mereka. Ada di antara anak emak kekal perwatakan mereka sehingga meningkat dewasa dan mempunyai keluarga sendiri.

Perwatakan dan Keperibadian Anak Emak

Seorang anak lelaki yang digelar sebagai ‘anak emak’ kebiasaanya dilihat sebagai seorang yang sangat rapat dengan ibunya, bersifat penyayang, pengasih, berbudi bahasa, sopan santun, mengambil berat terhadap ahli keluarga, menghormati orang tua serta pandai menjaga hati ibu bapa.
Wanita melihat lelaki ‘anak emak’ ini adalah calon suami yang baik kerana berpendapat bahawa lelaki ‘anak emak’ akan menjaganya sebagai seorang isteri sebagaimana dia menjaga ibunya. Tetapi ada juga wanita berpandangan bahawa lelaki ‘anak emak’ sukar untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami kepada isterinya dalam memberikan kasih sayang yang adil.


Gaya Keibu–bapaan yang Mempengaruhi Perkembangan Anak Emak

1.    Ibu Aktif – Gaya keibubapaan secara tidak langsung mempengaruhi pembinaan karakter dan personaliti anak emak. Kajian Maccoby, E.E. (1992) mendapati bahawa Ibu yang terlalu dominan dalam membesarkan anak-anak akan mempengaruhi perkembangan psikologi dan emosi kanak-kanak tersebut. Begitu juga dengan sifat Ibu yang terlalu bersifat pelindung (protective) kepada anaknya juga dapat memberi kesan kepada pembentukkan peribadi serta emosi anak tersebut.
2.    Bapa Pasif – Ikatan perhubungan antara anak dan ibu terlalu kuat sehingga setiap perkara si anak lelaki akan merujuk kepada ibu berbanding ayah dalam memberikan pendapat dan menjawab persoalan yang timbul. Di dalam hal ini si ayah mungkin tidak memberikan komitmen sepenuhnya dalam mempengaruhi perkembangan anak-anak tersebut.
3. Kadang kala karakter Si ayah yang terlalu garang sehingga membuatkan anak lelaki takut untuk berdampingan dengan ayah dan lebih selesa berinteraksi bersama ibunya.


Adakah Anda Anak Emak?

Ya jika anda:
  • Berhubungan dengan ibu lebih rapat berbanding bapa
  • Lebih selesa menceritakan segala hal peribadi dengan ibu
  • Bergantung sepenuhnya kepada ibu dari segi membuat keputusan dan perancangan
  • Mempunyai emosi yang lebih sensitif jika ada isu berkaitan dengan ibu

Dilema ‘Anak Emak’

1. Dilema Tingkahlaku:Anak emak setengahnya lebih pasif dalam tingkahlaku serta perhubungan sosial. ‘Anak emak’ akan merujuk kepada ibunya untuk apa jua tindak tanduk yang mereka akan lakukan. Mereka ini agak sukar untuk berdikari.
2. Dilema Pemikiran: sukar dalam membuat keputusan dan perancangan dengan baik, ini kerana jjika sebelum ini segala perancangan dan tindakan yang diambil adalah bergantung sepenuhnya oleh pengaruh ibu.
3.    Dilema Emosi Anak Emak:Emosi ‘anak emak’ mudah tersinggung dan sensitif dengan isu-isu yang remeh. Mereka lebih peka kepada emosi ibunya berbanding isterinya sendiri. Emosi dalam menyalurkan kasih sayangnya kepada antara ibu dan isteri.

Masalah yang dihadapi Anak Emak

1. Konflik dalam perhubungan: Menurut pandangan Kaunselor Berdaftar , Tuan Hj Hushim bin Hj. Salleh berkata, karakter yang dimiliki oleh  ‘anak emak’ adalah positif seperti hubungan rapat dengan ibu, mengambil berat dan bertanggungjawab. Akan tetapi konflik mungkin timbul bagi ‘anak emak’ jika karakter itu terbawa-bawa ke alam rumahtangga.
2.   Berkongsi kasih:Ianya dapat dilihat apabila suami ‘anak emak’ tidak dapat memberikan kasih sayang yang adil antara ibu dan isterinya, segala hal urusan rumahtangga akan di kongsi bersama ibunya serta takut untuk mengambil keputusan dan tindakan sendirinya.
3. Bimbang jatuh hukum derhaka kepada ibu: patuh dan tunduk kepada ibu bapa  merupakan satu tuntutan dalam agama manakala keseimbangan kasih sayang dalam perhubungan suami isteri juga adalah sesuatu yang perlu untuk menjamin keharmonian rumah tangga.

Saranan kepada ‘Anak Emak’

1. Sedar Diri – menyedari dan mengakui bahawa anda ada memiliki perwatakan sebagai ‘anak emak’ dan menerima keadaan tersebut dengan hati yang terbuka.
2. Ubah cara hidup – lakukan perubahan keatas persepsi diri dan perwatakan ‘anak emak’ yang dibawa demi kesejahteraan emosi dan tingkahlaku.
3. Positif mental dan emosi  sentiasa positif untuk melakukan perubahan agar hidup anda lebih harmoni untuk kedua-dua belah pihak terutamanya dalam perhubungan suami isteri.
4.    Memahami kepentingan antara dua pangkat ibu & isteri – ibu dan isteri masing-masing  mempunyai hak terhadap anak dan suaminya, adalah menjadi tanggungjawab anak/suami untuk berlaku adil terhadap keduanya. Perlu faham keutamaan sepertimana tuntutan agama yang menggariskan bahawa ibu perlu diberi keutamaan. Suami perlu membantu isteri faham hiraki ini dari perspektif agama.
5.   Perbincangan antara kedua belah pihak – jadikan kebiasaan untuk suami isteri berbincang akan hal rumahtangga bersama-sama dan tidak menyerahkan segala keputusan pada ibu.
6.  Belajar berdikari dan matang – cubalah untuk berdiri diatas kaki sendiri dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan. Jangan risau dengan keputusan yang di ambil, jika salah; belajar dari kesilapan tersebut.

Rujukan:
1.  Maccoby, E.E. (1992). The Role Of Parents In The Socialization of Children: An Historical Overview. Developmental Psychology, 28, 1006-1017
2. Ustazlove (2011). Soal Jawab: Antara Ibu dan Isteri. Retrieved November 4, 2014, from http://ustazlove.com/blog/2011/10/soal-jawab-antara-ibu-dan-isteri/”>http://ustazlove.com/blog/2011/10/soal-jawab-antara-ibu-dan-isteri/
3.   Jaya, Dr.Juanda (2011, Oktober 6). Rumah Tangga: Suami Anak Emak, Lupa Hak Isteri. Retrieved November 5, 2014, from http://www.drjuanda.com/?p=572″>www.drjuanda.com/?p=572
4.    Naim, Muhammad (2013). Renungan Mukmin: Apa Pandangan Anda Mengenai Lelaki Anak Emak?. Retrieved November 6, 2014, from http://akuislam.com/blog/renungan/lelaki-anak-emak/”>http://akuislam.com/blog/renungan/lelaki-anak-emak/
5.    Narayanan, Jagatheswary (2010, May 2010).  Pesona: Melayan Suami ‘Anak Emak’. Akhbar KOSMO. Retrieved from http://www.kosmo.com.my/kosmo/

Semakan Akhir
:
6 Januari 2017
Penulis
:
Fauzie bin Musa
Akreditor
:
Ruhana binti Mahmod

Kredit : PortalMyHealth



Istikharah? Petunjuk Yang Bagaimana Anda Cari?

24 Jun 2022


Tajuk Istikharah sangat popular di kalangan anak muda yang mahu memeluk cinta. Apabila tiba saat hati rasa diusik-usik, maka pilihan mahu segera dibuat. Lantas Istikharah menjadi jawapannya.
Sebenarnya, istikharah ini bukanlah tertentu dalam bab memilih jodoh semata-mata. Di dalam hadith Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari , ia disebut secara umum ; iaitu mana-mana orang yang diberatkan akan beberapa pilihan , maka hendaklah dia solat dua rakaat iaitu solat sunat Istikharah, dan kemudian membaca doa ini : 


Meskipun pelbagai artikel dan tulisan tentang solat Istikharah serta persoalan-persoalan berkaitannya bertebaran di sana sini, namun soal jawab tentangnya tetap berterusan. Kali ini cuba kita lihat secara ringkas perihal solat sunat Istikharah itu sendiri.

Pertama : Kenapa Perlu
Jawabnya, kerana sebagai manusia, kita tidak lepas daripada berdoa. Meminta kepada Allah yang Maha Tahu adalah jalan terbaik bagi kita selaku manusia yang tidak tahu. Pengetahuan kita sangat terbatas, sedangkan pengetahuan Allah Maha Luas. Dia Tahu tentang apa yang sebelum kita, serta apa yang bakal berlaku selepas kita. Termasuklah dalam hal ehwal jodoh serta pasangan kita nanti. Justeru, kita yang tidak tahu ini perlulah meminta pertolongan Allah untuk menunjukkan kepada kita mana yang terbaik, supaya dengan keputusan yang kita buat itu kita tidak akan menyesal di kemudian hari.

Kedua : Kaitan dengan HATI
Kita kena faham, bahawa Istikharah itu sangat berkait rapat dengan hati. Kalau hati kotor, mana mungkin akan mendapat petunjuk yang baik. Kalau hati bersih, InsyaAllah ilhamnya nanti juga baik. Ada orang, bersungguh-sungguh solat Istikharah, tetapi maksiat tetap tak tinggal, solat wajib tunggang langgang, maka bagaimana hendak mengharap kepada petunjuk yang baik dan molek ? Justeru, satu proses yang paling penting dalam bab Istikharah ini adalah membersihkan hati terlebih dahulu. Jika anda sudah benar-benar melaksanakan proses ini, maka barulah anda boleh mengharap datangnya petunjuk yang benar kepada hati anda. Jika tidak, berkemungkinan petunjuk itu hanyalah bayangan daripada Syaitan.

Ketiga : Perkara yang boleh Istikharah
Perkara yang boleh kita Istikharah hanyalah dalam perkara yang harus di sisi Syarak sahaja. Tidak ada istilah Istikharah untuk hal yang telah jelas akan wajib atau haramnya. Umpamanya, nak bayar zakat atau tidak, tidak perlu Istikharah kerana telah jelas wajibnya. Begitu juga dengan bercouple, tidak payah Istikharah kerana telah jelas haramnya. Tetapi dalam hal yang harus, umpamanya untuk memilih antara dua pekerjaan yang sama-sama halal, maka Istikharahlah memohon petunjuk dari Allah.

Keempat : Istikharah 50-50
Benda yang telah kita yakin sebenarnya tidak lagi berhajat kepada Istikharah. Ada orang, berdepan dengan dua pilihan iaitu Nora dan Siti. Tetapi dalam hatinya, dia memang telah sukakan Siti dan dia tidak sukakan Nora. Dalam keadaan ini, kalau dia Istikharah sekalipun – dalam keadaan hatinya sudah meletakkan jawapan – Istikharah itu tiada maknanya. Istikharah hanya dalam perkara yang kita benar-benar buntu untuk memilih, antara A dan B keduanya sama berat. Dalam masa yang sama, kita tidak kisah pun kalau mendapat A ataupun B kerana keduanya tidak memberi mudharat kepada hidup kita. Jadi, Istikharah dalam hal itu adalah digalakkan.

Kelima : Satu pilihan, Dua pilihan atau Tiga pilihan
Ini menjawab persoalan seorang sahabat pengunjung blog saya. Sebenarnya, tidak kisahlah berapa pilihan sekalipun yang ada di hadapan kita, apa yang kita ingin minta adalah pilihan yang terbaik daripada kesemua yang ada.Kata kuncinya di sini adalah PILIHAN. Jika wujud elemen pilihan, wujudlah Isikharah. Jika tidak, bagaimana untuk wujud Istikharah? Mungkin kita perlu memilih antara A, B atau C. Mungkin juga kita perlu memilih antara menerima A atau menolak. Mungkin juga perlu memilih antara membuka ruang untuk lamaran A atau menutup pintu hati untuk kesemua urusan tersebut. Yang penting, kita benar-benar berada dalam persimpangan untuk membuat pilihan antara semua yang ada.

Keenam : Istisyarah atau Mesyuarat
Manusia dianugerahkan akal untuk membuat pertimbangan. Justeru ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk berfikir, menganalisa dan mencari jalan. Islam menganjurkan bermesyuarat atau meminta pendapat orang berpengalaman – sebagai kembar kepada proses Istikharah itu sendiri. Maknanya, kita tidak boleh seratus peratus bergantung kepada proses Istikharah semata-mata- hinggakan ada yang menunggu-nunggu mimpi dan sebagainya – sebaliknya, dengan bermesyuarat pun kita akan mendapat kekuatan untuk membuat keputusan. Timbanglah dengan akal yang matang akan kesemua pilihan yang ada di depan mata, dan belajarlah untuk menjadi berani membuat keputusan. Itu kan sunnatullah dalam kehidupan.

Ketujuh : Mimpi
Dalam banyak keadaan, ini boleh dikatakan mitos. Dari mulut ke mulut, petunjuk tentang mimpi adalah benda wajib yang akan dikembarkan dengan saranan Istikharah. Sedangkan kita tahu, mimpi juga boleh berlaku ke atas seseorang yang sedang angau. Maka jika si angau ini bermimpi , adakah boleh dengan senangnya dia menganggap mimpi itu petunjuk Istikharah? Tentunya tidak semudah itu. Bagaimana pula jika Istikharah dan bermimpi calon A lalu mahu membuat keputusan, tiba-tiba esoknya termimpi pula calon B? Atau, bagaimana jika dalam satu masa yang sama bermimpi calon A dan B serentak? Maka sebaiknya, jangan gantungkan Istikharah anda itu dengan sebarang mimpi!
Begitu juga, Istikharah tidak memerlukan sehingga anda dan calon anda bermimpi perkara yang serupa, barulah dianggap Istikharah anda itu berjaya. Tidak sama sekali.

Kelapan : Petunjuk yang bagaimana?
Seorang guru saya di Pondok pernah berpesan kepada saya tentang Istikharah. Katanya, ketika fikiran dan hati kita terbeban mahu memilih antara A dan B ( atau lain-lain ) maka hendaklah kita melazimi solat Istikharah. Dalam masa yang sama kita jangan tinggalkan Istisyarah. Antara petanda yang mungkin hadir adalah, ketika kita bangun daripada tidur dan teringatkan tentang perkara yang membebani kita itu ( membuat pilihan ) maka salah satu pilihan tersebut menjadi tenang di hati kita berbanding pilihan yang lagi satu. Ini salah satu petunjuk bahawa pilihan itu adalah yang terbaik untuk kita ikut. Mudahnya, petunjuk itu datang ke dalam hati kita sendiri. Kita sendiri akan merasai perkara tersebut jika kita benar-benar konsisten dengan Istikharah dan Istisyarah. Ia seterusnya akan mencetus keyakinan kepada kita dalam membuat langkah seterusnya tanpa ada lagi perasaan ragu-ragu.


Firman Allah ta’ala : ” Dan apabila kamu telah berazam untuk melakukan sesuatu, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah suka orang-orang yang bertawakkal “

Kesembilan : Was-was itu daripada Syaitan
Dalam Fiqh, kalau kita yakin kita masih ada wudhuk dan mahu solat, tetapi tiba-tiba ada semacam bisikan bahawa wudhuk kita sudah batal, maka bisikan tersebut tidak dikira membatalkan keyakinan kita. Kaedah menyebut : Yakin tidak akan gugur kerana Syak. Begitu juga dalam bab Istikharah. Jika sudah yakin dengan pilihan yang kita buat – berdasarkan doa Istikharah kita kepada Allah serta pertimbangan-pertimbangan yang kita buat dengan Istisyarah – maka jangan dilayan lagi bisikan-bisikan umpamanya mungkin akan menyesal, atau nanti begitu atau begini, kerana kesemua itu sebenarnya adalah helah daripada Syaitan. Seorang ulama’ menyebut : Tidak akan menyesal orang yang melakukan solat Istikharah.

Kesimpulan
Optimislah dengan keputusan sendiri. Belajarlah membuat keputusan dengan yakin. Jangan harapkan anasir lain membuat keputusan untuk anda. Istikharah tidak harus sama sekali diletakkan di tahap itu, kerana ia adalah hubungan antara hamba dengan Tuhannya. Tetapi meletakkan anasir lain untuk membuat keputusan, umpamanya mengharapkan mimpi tertentu, melihat kepada objek-objek tertentu ataupun nombor-nombor tertentu, kesemua ini akan menjadikan anda seorang manusia yang tiada fungsi. Ia jauh sekali daripada ajaran Islam, apatah lagi hendak dikaitkan dengan solat sunat Istikharah.

Sekian.

Oleh : Ahmad Shafiq
Kredit : myilham



Kisah susuk Dan Satu Penyesalan

1 Apr 2022


Salam,

Saya ingin berkongsi dengan anda tentang pengalaman saya berjumpa pesakit yang memakai susuk. Mungkin artikel ini agak santai. Sesuai dengan fikiran saya yang serabut dua-tiga minggu ni kerana nak uruskan kuih raya.

Tuan-puan, kalau anda fikir susuk itu benda yang terlalu ajaib. Ia mungkin betul.

Tetapi pada pandangan seorang doktor marhaen seperti saya, ia tak ubah dari sejenis alat bendasing (foreign body) yang dimasukkan ke bawah kulit.

Niat seseorang yang memakai susuk itu, adalah urusan di antara dia dengan Allah. Yang pentingnya, ada yang ingin bertaubat dan datang untuk membuangnya.

Kisah pertama saya adalah ketika saya bertugas di Hospital Kuala Lumpur dahulu.

Ketika itu seorang lelaki yang sudah berumur datang berjumpa pakar di klinik saya bertugas. Apabila diambil x-ray, maka nampaklah susuk-susuk yang melekat-lekat di sekeliling tengkoraknya.

Beliau sebenarnya ingin menunaikan haji dan berharap pakar tersebut dapat membuang susuk tersebut. Beliau dengan nada sedih dan akhirnya menangis teresak-esak kerana terasa sangat -sangat menyesal dengan keadaan itu.

Beliau telah berjumpa dengan dukun-dukun susuk dan ustaz-ustaz pakar untuk cuba membuangnya, namun ia tetap di situ dan masih kelihatan di dalam x-ray. Dukun yang memasukkan susuk tersebut telah pun meninggal dunia.

Beliau sendiri berharap susuk itu dapat dibuang sebelum beliau meninggal dunia.

Dia dalam keadaan susuk yang banyak dan berselirat itu, mustahil pakar bedah dapat membuangnya. Lagipun x-ray muka adalah gambar 2 dimensi. Oleh itu kedalaman yang sebenar, susuk tersebut terbenam di dalam kulit tidak dapat diukur. Ini merumitkan walau hanya ingin membuang hanya satu susuk sahaja. Ia boleh mengambil masa berjam-jam..!

Di dalam keadaan pesakit tersebut yang menangis, pakar menasihati agar berdoa kepada Allah dan mohon Allah ampunkan dosa. InsyaAllah Allah akan menerima taubat hambanya yang sedar dan insaf.

Saya tidak tahu apa yang terjadi kepada pakcik itu selepas berjumpa dengan pakar. Saya doakan beliau selamat pulang daripada haji. Lagipun ini cerita 3 tahun dulu.

Cerita kedua kisah seorang lelaki Indonesia yang datang dengan sakit perut. Daripada ceritanya kemungkinan besar beliau mengalami batu karang.

Apabila x-ray buah pinggang dan pundi kencing diambil untuk mengesahkan batu karang, kelihatan susuk yang berselirat di kawasan abdomennya.

Apabila ditanya kepada saudara mara, seorang pun tidak mengetahui. Akhirnya pesakit sendiri mengaku bahawa meliau memakai susuk. Rahsia yang disimpan bertahun-tahun terbongkar apabila diambil x-ray.

Apapun susuk bukan menjadi masalah utamanya sekarang kerana beliau sedang sakit kerana batu karang di pundi kencingnya. Saya ada mengambil gambar x-ray nya tetapi tidak dapat memuatkannya di dalam blog ini... maaf lah.

Susuk adalah manifestasi seseorang yang tiada keyakinan diri. Mereka mempercayai bahawa dengan bantuan kuasa ghaib yang diposesi oleh susuk itu, maka impian dan tujuan seseorang itu akan tercapai. Pedulikan segala jenis amalan khurafat dan syirik asalkan apa yang dihajatnya itu termakbul.

Seseorang yang mempunyai keyakinan bahawa Allah adalah tempat memohon perlindungan dan memohon hajat tidak akan memakai susuk.

Sekiranya anda berhasrat memakai susuk, maka fikirlah implikasi yang akan berlaku sekiranya anda sudah tua dan susuk tersebut dibawa bersama mayat anda ke liang lahad.

Wallahu Alam.



Kredit : drazwan



Kecik Hodoh Besar Cantik ; Jangan Mengata Orang, Nanti Gigit Jari

30 Sept 2017


Salam.. Thanks admin approve penulisan Ana Gugu.. Aku ade satu pengalaman dan pengajaran nak berkongsi dengan pembaca setia iiumconfesion.. Begini kisahh nya .. 

Mase sekolah menengah dulu, aku ade sorang kawan ni, perempuan , aku gelarkan ” Aimi” .. kulit gelap n gempal sikit.. Die suka makan nasi lemak, n milo ais.. kalau tengok kelibat die, memang betul la melambangkan feveret die.. 

Budak2 lelaki kelas aku jenis mulut tempayan, pantang tgok prmpuan kurang cumillz atau gelap ade la frasa baru yang muncul dri mulut diorang… keling , india, badak, hitam, gelilah itu laa.. Kesian golongan yg macam Aimi ni.. Tengok je muka diorang ni cool,okey..tapi dalam hati aku yakin, retak seribuuu dipanah sembiluu.. 

Tapi walaupun Aimi ni makan banyak, kalau ade acara sukan mesti die turun padang sekali walaupn mase training, ape2 acara die tak dipilih.. tu yang aku tabik tu… hahaha.. tak macam sesetengah kawan2 perempuan aku yg kurus, dok melepak dalam kelas duduk bawah kipas…. (tangan angkat ke bahu, mata pandang atas).. 

Aimi ni paling selalu kena ejek atau diacah oleh Mamat , budak sekelas mase form 5.. Mamat ni memang pandang Aimi sebelah mata yang separuh tutup.. Mamat pernah cakap dengan kawan2 die depan Aimi, yang aku rase nak bawangkan je mulut die, “Apee? Aku kalau nk cari bini pon nak yang putihh, baru cantik !!” Disertai dengan ketawa beramaui ramai.. Mulut mmg minta kulit bawang betul..Memang terasa la Aimi tu, aku rase lepas je balik sekolah atau sebelum tidur mesti dia menangis kot, orang cakap camtu.. Mesti die persoalkan kenapa Allah cipta die camtu, taktau la kot hanya imaginasi aku.. Lol 

Die ingat yg gelap ni tak cantik ke… manis tau.. Bagi aku Aimi ni baik n pandai n cun cuma die belum pandai bergaya je macam bdak2 perempuan lain..aku perati ade je peminat , cuma die je tak layan … Yela aku rase pencuci muka pun die tak pakai kot.. hahah
Kemuncak cerita, satu hari ni, dengan kuasa Allah, si Mamat terjatuh hati kat Aimi.. Sumpah memang rase ‘betul kehh nihh ?’ ‘Ape? Mamat suka Aimi??’ Jeng3 .. 

Kawan Mamat dok tanye Mamat ” Haa aritu kau dok mengata die , asal sekarang melekat pulak? ” tu ayat yg aku ingat.. Mamat hanya mampu tersenyum dan termenung lepas tu.. Kadang2, die curi2 pandang Aimi.. Aimi buat tak tau je aku tengok.. 

Sumpah Mamat tangkap cintan dgn Aimi,asyik perhati Aimi je.. Die try nak ngorat , bagi ayat sweet cikedis.. tunjuk baik sikit, mmg tak jalann.. Die mmg jealous kalau ade llaki lain dekat ngan Aimi.
Tapi haram jadah Aimi nak layann.. Haa itu la hukum karma, lain kali jangan nak hina2 atau pandang orang sebelah mata.. Allah yang balas, hati manusia ni Allah yang pegang..Kun fayakun tau tak.. 

Dah habis spm ni, kitorang masing2 bawa haluan , ade sambung universiti, kolej, matriks n duduk rumah je tolong bisnes mak.. Jarang2 kalau nak terserempak kat jalan dah, tak macam waktu sekolah. 

Aku sempat usha ig kawan Aimi yang ade kelibat Aimi sekali.. Lawaa bohhh die sekarang,muka ala2 neelopa,tak selekeh macam dulu, ade la tersenarai ciri2 calon isteri.. Lawa, baik,sambung belajar pun bukannye dekat calang2 ipta beb.. Kawan Aimi ade cakap si Aimi ni masih ingat bdak2 laki yg dulunya ejek die.. aku rase mmg die takkan approach la korang.. Hahha.. 

Mmg sekali tu kawan aku ade tgur die, mmg die buat layan tak layan je.Haaa kauu padan muka .. Nasib baik aku tak macam korang.. Yahhuu.. Melepasss .. 

Morals in my story n experiences, jangan laa nak perlekehkan seseorang , sebab kita pun taktau satu masa nnti die akan jadi lebih baik atau hebat dari kite.. Ingat2 sikit dunia ni kadang kita di atas , kadang kita di bawah, ala2 roda je..
Sekian. 

– Ana Gugu

Perasaan Seorang Lelaki

18 Jul 2017



Assalamualaikum.

macam dekat tajuk di atas, aku seorang lelaki yang baru habis pengajian dan dah dapat kerja di sebuah syarikat bertempat di Kuala Lumpur. Cerita ini adalah berkaitan aku yang kadang-kala aku mahu orang yang aku sayang faham dan tahu perasaan ini. Dipendekkan cerita, Insha allah sabtu dua minggu lagi aku bakal bertunang dengan perempuan idaman aku tetapi sekarang ini situasi menjadi tidak menentu.

Baru dua hari lepas kami berjumpa kerana aku membantu dia untuk menyiapkan dan bersedia untuk temujanji kerja pada minggu hadapan. Segala dokumen menggunakan komputer riba milik aku. Nak dijadikan cerita, sampai dirumah aku bukak komputer dan nak layan facebook untuk buang masa sebelum tidur, tetapi rupa-rupanya si Dia tak log out facebook miliknya di komputer aku dan ketika itu sedang rancak chatting box antara dia dan seorang lelaki lain (bro. I). 

Kalau korang sedar sekarang, bila orang hantar message ke inbox, automatik chat box tu akan terbuka dan aku nampak lah apa ditulis dalam tu.

I: Cantiklah baju raya you tahun ni. nampak lawa pulak :-)
Si Dia: Yeke ? I biasa-biasa je, tak cantik macam tunang you.
I: U cantik la, tu la dulu sebenarnya I suka dekat you tapi time tu you macam ada orang lain je.
Si Dia: Kenapa baru cakap ? I dulu pun suka dekat you. I diam sebab ingat nak tunggu U tegur I :(
I: melepas lah I, kalau tak mungkin kita dah bersama sekarang
I: *bunga*
Si Dia: bunga je ? ingatkan bagi love ke apa
I: <3 font="">

Lepas terbaca chat ni, aku terus tutup.. tak sanggup nak teruskan bacaan aku sebab aku rasa bersalah sebab baca tanpa izin, yang kedua aku rasa sedih sebab aku tahu yang aku cintakan dia sepenuh hati tapi kadang-kadang selalu jugak dia cakap dia terima aku sebab takda siapa nak dekat dia.Walaupun nada dia main-main, aku tetap rasa sedih tapi selalu baca orang lain post:

“perempuan walaupun dia sayangkan orang lain, orang yang datang melamar dia yang akan Win!”

Sekarang aku dah mula doubt dengan ayat atas ni, lepas aku tarik nafas aku mesej dia dan aku cakap

Aku: awak, saya terbaca chat awak time nak bukak facebook tadi tapi saya dah logout, siapa lelaki tu?”

Si Dia: lelaki tu kawan online I je, pakwe lame.. dia cakap dia suka dekat I dulu. hihi

Aku: kenapa awak borak perkara-perkara macam tu sedangkan dia dah ada orang lain, saya ada untuk awak.

Si Dia: dia kawan jelah. awak ni kuat cemburu. kan saya memang ramai kawan lelaki!

Aku: tak boleh ke kalau saya jadi kawan lelaki awak yang satu-satunya.?

Si Dia: bye awak, suka sangat jelous over!

Lepastu aku terus diam, hati aku rasa seperti dihiris. Adakah salah aku kerana buat dia terpaksa terima aku dalam hidup dia ? aku pun tak tahu apa yang perlu aku lakukan. Aku dah lama jauhkan diri dari perempuan lain semata-mata fokus kepada dia, dia pun tahu aku buat kerana aku tahu itu boleh buat dia tahu dialah segalanya. kadangkala kalau kawan perempuan mesej aku, aku suruh dia balaskan dan kalau perkara tak penting aku biarkan saja mesej tu. 

Aku berharap dia boleh buat keputusan untuk decide apa yang dia mahukan. Apa yang aku nak sampaikan selepas ini adalah usaha seorang lelaki untuk menghalalkan seorang wanita:

Aku baru mula bekerja dengan gaji RM2400 sebulan, kami target untuk kahwin pada awal bulan 3 tahun hadapan. Jadi dengan gaji yang aku dapat, aku tahu tak mampu lagi untuk kumpul duit untuk segala-galanya. Duit kenduri, mas kahwin, hantaran, duit rumah/duit sewa, duit untuk beli kenderaan. Jadinya usia muda yang ada, aku gunakan kudrat untuk usaha mencari duit. 

Alhamdulillah ayah aku memberi aku pinjam kereta axia untuk ulang alik kerja kerana risau aku menggunakan motor dalam perjalanan jauh, jadi untuk mencari duit lebih aku masuk kerja pukul 8, aku mintak dekat bos untuk rehat 30 minit dan keluar 4.30 ptg setiap hari. untuk makan tengahari, selalunya aku makan nasi + telur mata RM2. 

kadangkala memang rasa nak makan sedap (McD, Ayam goreng, sushi dan lain-lain) tapi aku kena jugak control dan akhirnya aku rasa dah selesa makan nasi dengan telur hari-hari. RM2 x 24hari baru RM48 sebulan untuk makan tengahari. Aku keluar 4.30 petang, aku terus buat uber sampai pukul 10malam. Jadi uber ni tak menentu tapi selalunya sehari dapat dalam lingkungan RM250-300, tapi ini bukan bersih sebab tak tolak duit minyak dan lain2. 

Hujung minggu pulak aku kerja part time dekat kedai buku jadi sebulan dapatlah dalam RM600-700 sebulan. Aku cuba nak memberikan perkahwinan idaman buat si Dia, aku tak mengharapkan ganjaran tapi aku cuma mengharapkan dihargai sahaja.

Dalam masa aku bekerja pun, ada masa je aku akan balas mesej dia. aku tak pernah abaikan dia. tapi selalu dia kata aku ni macam tak sayang dekat dia je. sedangkan semua yang aku buat untuk menghalalkan dia, walaupun aku nak makan makanan sedap/beli barang-barang untuk aku, aku akan terus tak jadi sebab aku fikir tanggungjawab aku untuk cari duit dan aku kena control diri aku. aku tak tahu lagi dekat mana salah aku dalam bab ni sampai dia kata, aku tak serius sayang dekat dia.

perempuan kena tahu juga, lelaki ada perasaan. selalu korang usha lelaki time keluar siap korang cakap depan-depan lagi.

“awak cubalah jadi macam dia tu, hensem dan bergaya pulak tu”
“wah, pakwe hensem lah”

lelaki rasa je dalam hati tapi sebab sayang, perasaan tu diabaikan tetapi still perempuan cakap

“LELAKI SEMUA SAMA!!”

perempuan terlupa juga yang lelaki buat segala-gala untuk dia dan kadang-kadang kami terlupa perkara kecil, jadi kami berharap yang kamu boleh bantu kami untuk memahami kamu. kalau tak nak direct, bagilah klu yang berkaitan contoh macam:

“Cantiknya baju tu”
“Perut I kosong lah”


Janganlah bagi klu macam ni:

“gelapnya luar tu” tapi dalam hati ( jomlah keluar)
“panaslah hari ni” tapi bila lelaki offer air atau ajak masuk tempat sejuk awak merajuk (rupa-rupanya awak nak aiskrim)
Jadi, kalau nak bagi klu bagilah yang berkaitan agar kami faham, anda pun gembira.

Teguran dari seorang lelaki kepada orang yang dia sayang tu bukan suatu kritikan tetapi tu tanda kasih sayang, walaupun selembut mana teguran tu, janganlah ambil dari sudut negatif. Dalam era pemodenan sekarang ini, kita lebih suka terima teguran dari orang popular dari orang terdekat yang ada dengan diri kita (keluarga dan yang tersayang).

Natijahnya, apa yang kami buat dan usahakan sebenarnya untuk kamu juga, sementara belum berkahwin bolehla kami usahakan sehabis baik tapi lepas dah berkahwin, kehidupan keluarga dengan kerja hendaklah disama-ratakan agar kita lebih bahagia. Hargailah dan jagalah hati siapa yang ada bersama kita dan sekarang hidup aku masih celaru. mohon doakan aku terus kuat dan dapat kebahagiaan yang diimpikan.

Kesetiaan dan komunikasi yang efektif menjadi kunci kebahagiaan (mengikut prinsip aku, sang fakir yang selalu gagal tapi mahu bangun kembali)

Aku cerita cuma nak meluahkan bukan hendak menghukum kerana mungkin aku tidak layak untuk dia dan moga apa yang aku tulis ini dapat memberikan kesedaran kepada diri aku sendiri untuk menjadi lebih berguna dan memahami. 

amin
1.09am,

Titipan dari atas pondok,
Ditemani kehijauan malam,
ditemani angin sepoi-sepoi bahasa,
Hidup Sekinmal! (Sekinchan + Jamal)

– GoJ




Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.