SLIDER

bukti
Showing posts with label bukti. Show all posts

Istikharah? Petunjuk Yang Bagaimana Anda Cari?

24 Jun 2022


Tajuk Istikharah sangat popular di kalangan anak muda yang mahu memeluk cinta. Apabila tiba saat hati rasa diusik-usik, maka pilihan mahu segera dibuat. Lantas Istikharah menjadi jawapannya.
Sebenarnya, istikharah ini bukanlah tertentu dalam bab memilih jodoh semata-mata. Di dalam hadith Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari , ia disebut secara umum ; iaitu mana-mana orang yang diberatkan akan beberapa pilihan , maka hendaklah dia solat dua rakaat iaitu solat sunat Istikharah, dan kemudian membaca doa ini : 


Meskipun pelbagai artikel dan tulisan tentang solat Istikharah serta persoalan-persoalan berkaitannya bertebaran di sana sini, namun soal jawab tentangnya tetap berterusan. Kali ini cuba kita lihat secara ringkas perihal solat sunat Istikharah itu sendiri.

Pertama : Kenapa Perlu
Jawabnya, kerana sebagai manusia, kita tidak lepas daripada berdoa. Meminta kepada Allah yang Maha Tahu adalah jalan terbaik bagi kita selaku manusia yang tidak tahu. Pengetahuan kita sangat terbatas, sedangkan pengetahuan Allah Maha Luas. Dia Tahu tentang apa yang sebelum kita, serta apa yang bakal berlaku selepas kita. Termasuklah dalam hal ehwal jodoh serta pasangan kita nanti. Justeru, kita yang tidak tahu ini perlulah meminta pertolongan Allah untuk menunjukkan kepada kita mana yang terbaik, supaya dengan keputusan yang kita buat itu kita tidak akan menyesal di kemudian hari.

Kedua : Kaitan dengan HATI
Kita kena faham, bahawa Istikharah itu sangat berkait rapat dengan hati. Kalau hati kotor, mana mungkin akan mendapat petunjuk yang baik. Kalau hati bersih, InsyaAllah ilhamnya nanti juga baik. Ada orang, bersungguh-sungguh solat Istikharah, tetapi maksiat tetap tak tinggal, solat wajib tunggang langgang, maka bagaimana hendak mengharap kepada petunjuk yang baik dan molek ? Justeru, satu proses yang paling penting dalam bab Istikharah ini adalah membersihkan hati terlebih dahulu. Jika anda sudah benar-benar melaksanakan proses ini, maka barulah anda boleh mengharap datangnya petunjuk yang benar kepada hati anda. Jika tidak, berkemungkinan petunjuk itu hanyalah bayangan daripada Syaitan.

Ketiga : Perkara yang boleh Istikharah
Perkara yang boleh kita Istikharah hanyalah dalam perkara yang harus di sisi Syarak sahaja. Tidak ada istilah Istikharah untuk hal yang telah jelas akan wajib atau haramnya. Umpamanya, nak bayar zakat atau tidak, tidak perlu Istikharah kerana telah jelas wajibnya. Begitu juga dengan bercouple, tidak payah Istikharah kerana telah jelas haramnya. Tetapi dalam hal yang harus, umpamanya untuk memilih antara dua pekerjaan yang sama-sama halal, maka Istikharahlah memohon petunjuk dari Allah.

Keempat : Istikharah 50-50
Benda yang telah kita yakin sebenarnya tidak lagi berhajat kepada Istikharah. Ada orang, berdepan dengan dua pilihan iaitu Nora dan Siti. Tetapi dalam hatinya, dia memang telah sukakan Siti dan dia tidak sukakan Nora. Dalam keadaan ini, kalau dia Istikharah sekalipun – dalam keadaan hatinya sudah meletakkan jawapan – Istikharah itu tiada maknanya. Istikharah hanya dalam perkara yang kita benar-benar buntu untuk memilih, antara A dan B keduanya sama berat. Dalam masa yang sama, kita tidak kisah pun kalau mendapat A ataupun B kerana keduanya tidak memberi mudharat kepada hidup kita. Jadi, Istikharah dalam hal itu adalah digalakkan.

Kelima : Satu pilihan, Dua pilihan atau Tiga pilihan
Ini menjawab persoalan seorang sahabat pengunjung blog saya. Sebenarnya, tidak kisahlah berapa pilihan sekalipun yang ada di hadapan kita, apa yang kita ingin minta adalah pilihan yang terbaik daripada kesemua yang ada.Kata kuncinya di sini adalah PILIHAN. Jika wujud elemen pilihan, wujudlah Isikharah. Jika tidak, bagaimana untuk wujud Istikharah? Mungkin kita perlu memilih antara A, B atau C. Mungkin juga kita perlu memilih antara menerima A atau menolak. Mungkin juga perlu memilih antara membuka ruang untuk lamaran A atau menutup pintu hati untuk kesemua urusan tersebut. Yang penting, kita benar-benar berada dalam persimpangan untuk membuat pilihan antara semua yang ada.

Keenam : Istisyarah atau Mesyuarat
Manusia dianugerahkan akal untuk membuat pertimbangan. Justeru ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk berfikir, menganalisa dan mencari jalan. Islam menganjurkan bermesyuarat atau meminta pendapat orang berpengalaman – sebagai kembar kepada proses Istikharah itu sendiri. Maknanya, kita tidak boleh seratus peratus bergantung kepada proses Istikharah semata-mata- hinggakan ada yang menunggu-nunggu mimpi dan sebagainya – sebaliknya, dengan bermesyuarat pun kita akan mendapat kekuatan untuk membuat keputusan. Timbanglah dengan akal yang matang akan kesemua pilihan yang ada di depan mata, dan belajarlah untuk menjadi berani membuat keputusan. Itu kan sunnatullah dalam kehidupan.

Ketujuh : Mimpi
Dalam banyak keadaan, ini boleh dikatakan mitos. Dari mulut ke mulut, petunjuk tentang mimpi adalah benda wajib yang akan dikembarkan dengan saranan Istikharah. Sedangkan kita tahu, mimpi juga boleh berlaku ke atas seseorang yang sedang angau. Maka jika si angau ini bermimpi , adakah boleh dengan senangnya dia menganggap mimpi itu petunjuk Istikharah? Tentunya tidak semudah itu. Bagaimana pula jika Istikharah dan bermimpi calon A lalu mahu membuat keputusan, tiba-tiba esoknya termimpi pula calon B? Atau, bagaimana jika dalam satu masa yang sama bermimpi calon A dan B serentak? Maka sebaiknya, jangan gantungkan Istikharah anda itu dengan sebarang mimpi!
Begitu juga, Istikharah tidak memerlukan sehingga anda dan calon anda bermimpi perkara yang serupa, barulah dianggap Istikharah anda itu berjaya. Tidak sama sekali.

Kelapan : Petunjuk yang bagaimana?
Seorang guru saya di Pondok pernah berpesan kepada saya tentang Istikharah. Katanya, ketika fikiran dan hati kita terbeban mahu memilih antara A dan B ( atau lain-lain ) maka hendaklah kita melazimi solat Istikharah. Dalam masa yang sama kita jangan tinggalkan Istisyarah. Antara petanda yang mungkin hadir adalah, ketika kita bangun daripada tidur dan teringatkan tentang perkara yang membebani kita itu ( membuat pilihan ) maka salah satu pilihan tersebut menjadi tenang di hati kita berbanding pilihan yang lagi satu. Ini salah satu petunjuk bahawa pilihan itu adalah yang terbaik untuk kita ikut. Mudahnya, petunjuk itu datang ke dalam hati kita sendiri. Kita sendiri akan merasai perkara tersebut jika kita benar-benar konsisten dengan Istikharah dan Istisyarah. Ia seterusnya akan mencetus keyakinan kepada kita dalam membuat langkah seterusnya tanpa ada lagi perasaan ragu-ragu.


Firman Allah ta’ala : ” Dan apabila kamu telah berazam untuk melakukan sesuatu, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah suka orang-orang yang bertawakkal “

Kesembilan : Was-was itu daripada Syaitan
Dalam Fiqh, kalau kita yakin kita masih ada wudhuk dan mahu solat, tetapi tiba-tiba ada semacam bisikan bahawa wudhuk kita sudah batal, maka bisikan tersebut tidak dikira membatalkan keyakinan kita. Kaedah menyebut : Yakin tidak akan gugur kerana Syak. Begitu juga dalam bab Istikharah. Jika sudah yakin dengan pilihan yang kita buat – berdasarkan doa Istikharah kita kepada Allah serta pertimbangan-pertimbangan yang kita buat dengan Istisyarah – maka jangan dilayan lagi bisikan-bisikan umpamanya mungkin akan menyesal, atau nanti begitu atau begini, kerana kesemua itu sebenarnya adalah helah daripada Syaitan. Seorang ulama’ menyebut : Tidak akan menyesal orang yang melakukan solat Istikharah.

Kesimpulan
Optimislah dengan keputusan sendiri. Belajarlah membuat keputusan dengan yakin. Jangan harapkan anasir lain membuat keputusan untuk anda. Istikharah tidak harus sama sekali diletakkan di tahap itu, kerana ia adalah hubungan antara hamba dengan Tuhannya. Tetapi meletakkan anasir lain untuk membuat keputusan, umpamanya mengharapkan mimpi tertentu, melihat kepada objek-objek tertentu ataupun nombor-nombor tertentu, kesemua ini akan menjadikan anda seorang manusia yang tiada fungsi. Ia jauh sekali daripada ajaran Islam, apatah lagi hendak dikaitkan dengan solat sunat Istikharah.

Sekian.

Oleh : Ahmad Shafiq
Kredit : myilham



Ditinggalkan Suami. Teruslah Melangkah Sahabatku.

20 Jun 2017


Seorang wanita diceraikan atas alasan suami takut tidak mampu berlaku adil untuk berpoligami, isteri pertama dilepaskan dengan talak. 

Isteri rasa terganggu dan kelam dunianya bila diceraikan suami, sanggup melepaskan peluang kerjaya dengan tawaran gaji yang hebat, graduasi dari universiti terkemuka luar negara untuk khidmat pada keluarga, di usia 40an suami tinggalkan atas alasan takut tidak mampu berlaku adil.

Senget sungguh pemikiran begini.

Bila diadukan kepada ustaz, dari mendiami rumah yang selesa akhirnya kini duduk di tingkat 4 rumah flat. Selesai iddahnya, mungkin hanya nak meluahkan perasaan sebal dan kecewa.

"Dalam al quran Allah ada ceritakan perihal talak pada surah at talaq." Panjang lebar ustaz huraikan. Di penghujungnya ustaz pesan, "Akak balik solat taubat dan akak berdoalah apa sahaja hajat yang akak mahu. Berdoalah bersungguh-sungguh pada Allah yang maha kaya." 

Ustaz yang sama menziarahi majlis seorang berpangkat datuk seri, beliau baru kematian isteri dan minta ustaz carikan mana-mana muslimat dengan syarat lingkungan usia 40 tahun ke atas dan 45 tahun ke bawah."

Hanya peneman di usia tua.

Takdir Allah, ustaz tersebut teringatkan kakak yang diceraikan suami sebelum ni. Maka usahalah ustaz tersebut cari dan bertanyakan perihal datuk sri yang mencari calon isteri. Usia kakak tersebut 43 tahun.

Cantik takdir Allah, dari rumah teres berpindah ke rumah flat dan seterusnya Allah pindahkan beliau di rumah banglo yang mewah. Allah hadiahkan suami yang "kaki masjid", jauh lebih berkemampuan dan selepas berkahwin suami bawa sebulan berjalan di eropah.

Saya ambil pengajaran dari kisah kakak tersebut dan kongsikan di sini apa yang ustaz pesan.

1. Jangan bergantung pada suami, hati manusia sentiasa berubah. Allah sahaja sebaik-baik tempat untuk segala hajat dan harapan.

2. Bila rasa dianiaya, berdoalah bersungguh-sungguh. Doa orang yang dianiaya ni power sangat. Mintalah ampun dari Allah, semoga Allah buka hijab yang terlindung akibat dosa-dosa kita dan menggantikan dengan rahmat dan keampunan.

3. Tidak mustahil bagi Allah untuk merencanakan sesuatu yang luar biasa di kotak pemikiran kita, kerana kita semua di bawah kekuasaan Allah.

4. Allah boleh beri ganti yang lebih baik dari apa yang telah diambil dari kita. Subhanallah.

5. Ada doa yang Allah makbulkan cepat, ada doa yang Allah tangguh dan beri di masa yang tepat.

6. Berdoalah, minta rahmat dengan Allah.
.
Semoga para sahabat yang Allah uji dengan kedukaan, diganti dengan kegembiraan dan kebaikan yang lebih baik dari apa yang dihajatkan.

Semoga air mata yang gugur digantikan dengan cinta lebih dalam kepada Allah.

Cinta Allah, tiada kecewa.

Ummu Amir.
Teruslah melangkah sahabatku.


Di Tipu Sekumpulan Individu Memberi Barang Percuma, Hati-hati Apabila Membawa Warga Emas

2 Jun 2017



Pernah tak korang jalan-jalan di shopping mall atau mana-mana karnival jualan, dan  tiba-tiba korang di approach oleh sekumpulan individu yang ingin mempromosikan barang jualan mereka. Situasi macam ni dah selalu nampak kan? Tapi pernah tak korang terkena, korang diberitahu yang korang dapat barang PERCUMA. Kalau nak ambil barang percuma tu, diorang suruh datang duduk di booth dan akan bermulalah kisah drama mereka kat situ.
Perghhh...admin pernah kena kali pertama, masa tu tak ada pengalaman, memang jenuh nak kata 'TAK NAK'. Nak keluar dari tempat duduk diorang pun seolah-olah terhalang. Diorang punya team ramai , sama-sama bersepakat nak bagi kita terpedaya dengan tawaran diorang. Lepas tu kali kedua pun pernah kena , tapi masa ni admin dah dapat baca agenda diorang, jadi memang tak ada masalah untuk admin reject tawaran diorang, sebab dah ada pengalaman pertama kan. Sekali je admin bagi ayat padu kat diorang, terus diorang taknak approach dah hahaha.
Jadi nak pesan kat korang supaya berhati-hati apabila berhadapan dengan situasi macam ni. Paling-paling utama kena berpesan kepada warga-warga emas , macam ibu dan ayah kita. Diorang orang tua, memang senang kena pengaruh , kecuali yang betul-betul educated lah. Kalau orang kampung, memang senanglah kena tipu dan diperdaya. Sebab kumpulan individu ni memang dah terlatih untuk bercakap dan memperdaya orang ramai, sampaikan kita tak akan di beri peluang untuk bercakap dan menolak tawaran tersebut.
Kita ikuti kisah pengalaman orang tua kepada Puan Norhaliza Mohd Nor, yang mana ayah beliau telah ditipu bulat-bulat oleh sekumpulan manusia yang menawarkan barang percuma tetapi ada motif disebaliknya menyebabkan orang tuanya kerugian wang sejumlah RM3,988 melalui kad kredit. Semoga perkongsian kisah ini boleh di ambil sebagai iktibar kepada semua pembaca untuk lebih peka dan berwaspada apabila menghadapi situasi begini. Fikir dan bertindak dengan BIJAK !!
-Admin Laman Qaseh-

Kedua ibubapa saya telah ditipu oleh sekumpulan manusia di Tesco Mutiara Damansara pada petang semalam. Mulanya, dihulurkan beg grocery yang kononnya diberikan percuma. Selepas itu, mereka memanggil kedua-dua ibubapa saya untuk duduk sebab kononnya penerima beg percuma itu kena tulis nama. 
Haaa... masa inilah dengan cepatnya ibubapa saya ditipu oleh sekumpulan manusia ini. Mereka menunjukkan satu set pembersih hampagas cleaner yang dijual. Kedua ibubapa saya kata mereka tidak mahu membeli sebab sudah ada sebuah di rumah. 
Kemudian salah seorang jurujual yang dikenali dengan nama "Bella", telah memberikan sebuah gajet kepada ibu saya dan meminta ibu saya untuk menekan skrin di gajet tersebut. Gajet yang sama diberi kepada ayah saya dan diminta untuk melakukan yang sama. Lo and behold!

Ayah saya telah memenangi dua barang percuma, satu set pembersih hampagas yang dikatakan bernilai RM3,680 dan sebuah ketuhar gelombang yang dikatakan bernilai RM3,988.

Seterusnya, ayah saya diberikan gajet tersebut untuk menekan sekali lagi. Kali ini ayah saya mendapat bonus sebanyak RM100 yang sekaligus melayakkan ayah saya mendapat sebuah set penapis air yang boleh digunakan secara percuma selama 3 bulan. Sekiranya berminat, Julai nanti baru mula bayar sebanyak RM80 sebulan selama 48 bulan.

Kemudian ayah saya ditanya samada beliau ada memiliki apa-apa kad kredit. Terus terang kat sini saya pun tak faham macamana ayah saya boleh keluarkan beg duitnya. Si Bella tadi ternampak kad kredit HSBC dan terus mengambil dari tangan ayah saya.

Seorang lagi jurujual bertanya kepada ayah saya, sudah berapa lama kad kredit HSBC itu digunakan kerana menurut mereka, kalau lebih daripada 2 tahun, ayah saya layak mendapat satu multi-cooker secara percuma. Wah! Percuma lagi!

Entah bila masa kad tu dileretkan pun tidak tahulah. Tiba-tiba ayah saya diberikan beberapa dokumen untuk ditandatangani. Jujur cakap, untuk seorang yang sudah berusia 74 tahun yang memang tidak pernah menggunakan kad kredit untuk beli barang-barang, bila diserahkan dokumen-dokumen itu, tidak terlintas difikirannya bahawa bayaran melalui kad kredit telah pun dibuat.

Saya mengambil gambar dokumen2 yang telah diberi kepada ayah saya sementara menunggu tuan supervisor tiba. Di sebelah saya adalah salah seorang daripada dua salesgirls di situ.

Bila pulang ke rumah dan meneliti terma-terma dalam dokumen tersebut barulah ayah saya sedari bahawa dirinya telah ditipu dan wang sejumlah RM3,988 telah dicaj ke kad kreditnya.

Berang dengan perkara itu, saya dan suami bergegas pulang dari sekolah anak bongsu dan terus ke Tesco Mutiara Damansara untuk fight untuk ayah saya yang juga telah pulang semula ke Tesco untuk minta duitnya dikembalikan.

Setibanya di sana, kami segera meminta supaya keseluruhan transaksi dibatalkan dan wang ayah saya dipulangkan. Kami bertegas bahawa mereka telah mengelirukan ayah saya dan telah menipunya. Si Bella ni tadi menelefon supaya penyelianya untuk turun untuk berjumpa kami.

"Bella” menelefon supervisornya untuk turun berjumpa kami
Wah, sudah macam samseng rupa si penyelia ini. Kami terus bertegas dengan penyelia ini untuk batalkan transaksi dan pulangkan kembali duit ayah saya. Penyelia enggan kerana katanya ayah saya telah faham semua terma dan telah tandatangani dokumen-dokumen yang diberikan.

Kami tetap bertegas bahawa ayah saya telah ditipu dan diperdaya dan mereka telah menipu ayah saya. Tiada disebut ayah saya perlu membayar atau membeli apa-apa tetapi wang telah diambil.

Maka, berlakulah insiden jerit-menjerit selepas itu sehingga saya sendiri menggigil kerana terlalu marah. Tak heran dah dengan orang keliling. Ayah saya telah ditipu dan saya takkan sesekali membiarkan manusia-manusia ni terlepas begitu sahaja.

Encik suami membuat beberapa panggilan dan memaklumkan kepada saya. Sebelum kami beredar, saya sebut kepada si Bella “wait for the authorities to come“. Dia hanya senyum kepada saya, seolah-olah mereka telah menang, dan kami telah kalah.

"Bella” yang bertegas bahawa mereka telah menerangkan segalanya kepada ayah saya. Walhalnya mereka telah menipu dengan bercerita tentang yang percuma sahaja. Tidak disebut langsung tentang sebarang pembelian.Eiii… masih boleh ingat waktu ni.

Saya menggigil kemarahan. Bila keluar perkataan “bullshit” daripada mulut saya, supervisor tu bukan main marah seolah2 perkataan tu a four-letter word. Grrrr!!!! Si supervisor sedang memarahi “Bella” dan menyuruhnya supaya diam. Saya cuba dapatkan nama penuh “Bella” tapi dilarang oleh encik supervisor.

Pulang ke rumah dan setelah berbincang dengan semua adik beradik saya, kami bersetuju bahawa satu laporan polis perlu dibuat kerana kami mungkin telah dan akan menyebabkan kesusahan kepada kumpulan manusia ini.

Kami khuatir kedua ibubapa saya akan menghadapi apa-apa komplikasi kerana alamat rumah sbgnya ada pada kumpulan manusia ini. Selepas maghrib, saya dan suami pun ke balai polis Taman Tun Dr Ismail bersama ayah untuk membuat laporan polis.

Pagi tadi, kami dimaklumkan bahawa pihak KPDNKK telah pergi petang semalam juga dengan membuat penyamaran. Dipendekkan lagi cerita, mereka telah ditahan dan akan didakwa.

Alhamdulillah! Baru rasa puas hati saya. Mengambil kesempatan kepada warga emas untuk kesenangan hidup sendiri. Memang pantang tok neneklah kan?

Lupa mahu cerita. Selepas ayah saya menandatangani dokumen2 yang diberi, mereka seolah-olah begitu gembira. Siap suruh ayah saya belanja mereka makan lagi dan lagi sekali saya tak faham di sini bagaimana dengan mudah ibubapa saya bersetuju untuk belanja pulut durian, pulut mangga, siap dengan air minum lagi. Adalah dalam RM50 jugak untuk semua mereka tu. Adakah kedua ibubapa saya telah dipukau? Wallahu a’lam.

Moral of the story

Elakkan mengambil apa-apa yang dihulurkan secara percuma. Sorry to all guys who are honest. Tapi disebabkan oleh manusia2 macam ni, saya semakin tidak percaya kepada sesiapa yang cuba nak beri apa2 secara percuma.

There is no such thing as free gifts. Mesti ada “catch”nya. Tambah2 masa zaman ekonomi meleset seperti sekarang.

Sekian, terima kasih.




Duit Bersara Habis Kerana Perempuan, Kawan

22 May 2017

Setiap pasangan suami isteri mahukan kebahgiaan hidup. Mahu sehidup semati dengan pasangan jika diizinkan Allah. Namun, bukan mudah untuk menikmati bahagia itu jika suami tidak setia dan tidak ikhlas dalam perhubungan. Nasihat isteri tidak diendah, teguran tidak diterima, akhirnya isteri mengalah dan membiarkan apa yang mahu dilakukan suami walaupun menyakitkan hati. Hukum Allah tidak kira masa, sampai waktunya Dia akan tunjukkan.

Apabila rahsia terbongkar, mahu tidak mahu isteri juga yang jadi penyelamat. Inilah kisah pilihan saya minggu ini. Kisah menarik yang ingin dikongsi oleh Sofi (bukan nama sebenar) dengan pembaca ruangan ini. Ikuti luahan Sofi mengenai suaminya yang menghabiskan wang persaraan dengan berfoya-foya bersama perempuan dan kawan-kawan hingga lupa diri. Ini cerita Sofi kepada saya.

“Saya seorang pegawai di sebuah jabatan kerajaan. Berusia lewat 50-an dan bernikah dengan seorang pegawai kerajaan yang berpangkat tinggi juga bernama Rani(bukan nama sebenar) berusia 60 tahun. “Kami dikurniakan sepasang anak perempuan yang telah meningkat remaja berusia dari 13 hingga 20 tahun. Seperti orang lain, perkahwinan kami sangat bahagia di permulaannya tetapi bergolak kerana suami mula berhibur di luar dengan kawan-kawannya.

“Semuanya gara-gara dia mendapat wang persaraannya setelah mencapai usia 60 tahun. Pada masa yang sama dia berkenalan dengan seorang perempuan berusia awal 30-an yang bekerja di sebuah pusat hiburan. “Saya tidak tahu tentang hubungan mereka tetapi rahsia ini terbongkar apabila satu hari saya terjumpa slip bank pindahan wang kepada akaun seorang perempuan di dalam beg kerja suami. “Setiap malam dia akan keluar rumah, jauh malam atau awal pagi baru balik. Lama saya perhatikan, tetapi saya tidak bertanya. Saya hendak lihat sejauh mana perangainya itu. 

“Setelah enam bulan keadaan suami tidak berubah tambahan pula saya lihat dia terlalu boros dalam berbelanja, saya mula syak sesuatu. Saya tidak terus bertanya tetapi mengintip pergerakan suami. “Ke mana dia pergi, dengan siapa dan apa yang dia buat saya ikut. Saya melihat dengan mata sendiri suami keluar dengan perempuan itu pergi berhibur di pusat-pusat hiburan dengan kawan-kawannya yang masing-masing membawa pasangan. Hampir sebulan saya buat intipan tanpa pengetahuannya. Saya hendak kumpul bukti dulu sebelum menyerang suami.

“Sejak dia berkawan dengan wanita itu, suami selalu kesempitan wang. Duit kereta, duit rumah dan perbelanjaan rumah terjejas. Pada hal dia baru dapat beratus ribu ringgit. Apa yang dia buat dengan duit itu pun saya tidak tahu. “Saya meradang apabila dia mula minta duit daripada saya. Sudahlah kami beranak tidak merasa duit yang dia dapat, duit saya pula hendak dikerjakannya. “Keadaan suami semakin teruk, duit yang beratus ribu itu habis untuk dia berseronok dengan perempuan itu dan kawan-kawannya. Setiap bulan dia mula pinjam duit orang.

“Setiap bulan juga kami bergaduh kerana duit. Saya tidak mahu bagi sebab tahu dia akan bagi kepada perempuan itu dan belanja kawan-kawannya berseronok. “Kerana tidak tahan dengan perangainya saya bersemuka dengan dia mengatakan saya tahu kenapa dia sesak duit. Saya tanya ke mana perginya duit banyak-banyak yang dia dapat? “Janji nak bawa saya ke Tanah Suci juga tidak kesampaian. Janji hendak beli tanah di kampung buat rumah nak senangkan isteri dan anak-anak, tapi satu benda pun tidak nampak.

“Saya tunjukkan juga slip pindahan duit dia ke akaun perempuan tersebut. Dia terus diam. Saya apa lagi, bersyarah panjang dan keluarkan semua bukti yang saya ada termasuk gambar mereka berdua dan sebagainya yang sempat saya kumpul bersama-sama kawannya. “Yang menjadikan dia terkejut apabila saya tunjukkan gambar perempuan itu dengan beberapa lelaki di tempat yang berlainan. Dia macam tidak percaya tetapi bukti saya kukuh. “Dia hilang kata-kata dan tidak berani lagi membela dirinya. Akhirnya dia mengaku sudah lama tidak berjumpa perempuan itu kerana dia sudah tidak ada duit lagi.

“Dia juga mengaku perempuan itu hanya mahukan duitnya sahaja bukan suka kepada dia. Perempuan itu juga katanya memang suka menggoda lelaki yang dia tahu akan dapat duit persaraan. Dapat apa yang dia hendak, dia akan pergi. Memang dia perempuan pengikis. “Suami mengaku kesilapannya. Dia minta maaf di atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. “Di hadapan saya dia menangis dan memeluk saya sambil merayu supaya saya ampunkan kesilapannya. “Saya berkeras dengan dia dan memberinya beberapa syarat. Andainya dia melanggar semua syarat itu, dia akan tahu apa keputusan saya. Ini amaran akhir saya kepadanya. Saya buat ini semua kerana anak-anak kami.

“Nasib baik saya masih waras dan boleh berfikir. Bersyukur kerana dia sedar selepas ditipu oleh perempuan itu. Lagipun ini kali pertama dia buat perangai. Tetapi satu perkara yang saya belajar, jangan cepat melatah jika suami buat perangai, siasat dahulu dan kumpul bukti, kemudian bertindak. “Insya-Allah kebenaran akan muncul. Walau sakit hati saya akan berusaha untuk melupakan perkara itu dan memberinya peluang kedua. Tapi akan mengambil masa juga nampaknya. Luka hati saya bukan mudah hendak sembuh. Alhamdulillah, sekarang saya dapat semula suami saya yang dahulu, penyayang dan bertanggungjawab.

“Kepada lelaki di luar sana saya ingin berpesan, dapat duit jangan lupa anak isteri dan keluarga yang mendoakan kehidupan kita di dunia dan akhirat. Mereka berhak menikmati rezeki yang Allah bagi itu,” kata Sofi menamatkan ceritanya.Alhamdulillah dan syabas Sofi. Saya bangga dengan keberanian anda. Inilah yang seharusnya dilakukan oleh para isteri yang berdepan dengan masalah rumah tangga dan perangai suami. ewajarnya Sofi memberi peluang kedua kepada suami. Nama pun manusia, tidak sempurna. Berdoalah agar dia insaf dengan apa yang telah dilaluinya. Doa saya supaya Allah kurniakan keberkatan hidup buat Sofi dan Rani sekeluarga di dunia dan akhirat.

Mengundur diri, pesanan saya, memaafkan kesilapan orang satu pebuatan mulia di sisi Allah terutama mereka yang kita sayang. Maafkan mereka dengan ikhlas dan dari dasar hati yang paling dalam.

Salam.

Kredit : UtusanMalaysia
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.