SLIDER

kebenaran
Showing posts with label kebenaran. Show all posts

Kisah Anak Luar Nikah Dipinggir IbuBapa Sendiri. Remuk Hatiku Bila Dapat Tahu Ibu Dan Ayah Kahwin Lepas 4 Bulan Aku Lahir

15 Apr 2022



Aku Eyna, 27 tahun merupakan seorangi pegawai pemasaran di salah sebuah syarikat tersohor di Malaysia.

Aku merupakan anak sulung dari 4 beradik, adik aku yang kedua dan ketiga telahpun mendirikan rumahtangga dan menetap bersama sama keluarga mertua masing masing.

Ayahku telah pun pencen pada 28 April yang lalu, manakala ibu masih berkerja di salah sebuah kilang disini sebagai seorang supervisor.

Sejak dari kecil aku merupakan anak yang selalu terpinggir, ibu dan ayah mengajar aku untuk hidup tanpa bantuan orang lain dan harus pandai berdikari.

Aku dihantar pulang ke kampung untuk bersekolah disana, aku cuma akan menjadi ‘ anak ‘ ketika cuti sekolah panjang sahaja.

Begitulah rutin aku selama 5 tahun, bahkan boleh dikira dengan jari berapa kali aku pulang ke rumah aku sendiri.

Setiap kali pulang ke rumah, pasti aku akan mengambil baju kotor ibu untuk dibawa ke kampung, buat melepaskan rindu pada keluarga yang jauh disana.

Aku sering dibvli di sekolah hanya kerana kawanku yang lain tidak pernah berjumpa mereka, hinggalah pada pertengahan darjah 5 aku telah dibuli sehingga dirotan oleh cikgu berulangkali hingga lebam dan berbekas darah beku di tangan.

Sebaik pulang nenek, kelihatan sangat sedih kemudian mengkhabarkan kejadian tersebut kepada ibu dan ayah.

Ibu menitipkan pesan bahawa dia akan menukarkan aku untuk bersekolah disana dalam masa terdekat.

Aku sangka aku akan menyambut berita itu dengan penuh perasaan teruja kerana akhirnya aku tidak perlu menunggu cuti sekolah lagi tetapi rupanya itu adalah permulaan bagi segalanya.

Sebaik selesai urusan pertukaran sekolah di Selangor, aku ditempatkan didalam kelas pertama ekoran kecemerlangan aku dalam setiap peperiksaan setiap tahun.

Setiap hari aku akan berjalan ke sekolah selama 15 minit seorang diri sambil memikul beban yang banyak kerana aku akan menghadapi UPSR pada tahun tersebut, sedangkan adik adikku yang lain akan menaiki bas sekolah yang dibayar setiap bulan oleh ibu dan ayah.

Sekiranya aku letih untuk berjalan kaki, aku juga akan menaiki bas tersebut namun aku harus membayar RM2 untuk pergi dan balik menggunakan wang belanja aku sendiri.

Namun tidak pernah keluhan itu terpancar dari bibirku kerana ibu dan ayah sering menekankan bahawa anak sulung harus tumbuh dengan tabah sekali.

Jadual aku padat dengan sekolah kebangsaan di waktu pagi, sekolah agama di waktu petang dan tuisyen di waktu malam 2 hari sekali.

Aku menguruskan keperluanku sendiri, berbeza sekali dengan adikku yang lain kerana segala serba serbi pasti disediakan oleh ibu dan ayah.

Hari demi hari, berbaki seminggu sebelum UPSR ketika aku sibuk menyiapkan borang termasuk salinan fotostat hati aku tertarik untuk melihat sijil nikah ibu dan ayah sekadar tahu tarikh pernikahan mereka kerana aku tidak pernah tahu tentang hal itu.

Alangkah remuknya hatiku bila mengetahui bahawa tarikh pernikahan ibu dan ayah 4 bulan setelah kelahiranku, berkali aku melihatnya dengan harapan aku salah tapi setiap kali itulah kebenaran dihidangkan untukku.

Aku menangis sehari suntuk, tetapi aku tidak berani untuk memberitahu mereka bahawa aku telah tahu semuanya, aku hadapi hari hari yang mendatang dengan perasaan yang sungguh berkecamuk.

Bahkan, aku sampai menangis ketika menjawab UPSR dan aku mula menyalahkan diri aku sendiri.

Aku kekal tegap menyimpan rahsia itu sehingga sekolah menengah, untuk menutup pengetahuanku, aku telah menjadi pelajar cemerlang setiap tahun sehingga dinobatkan antara Pelajar Harapan Negeri Selangor.

Tahun demi tahun, keadaan makin sukar bagiku. Aku mula memberontak bila layanan mereka tidak memadai buatku, mungkin aku telah melihat jurang kemesraan itu dan aku telah pun tahu punca semua itu.

Aku mula berpeleseran di waktu malam bersama rakan rakanku yang lain, termasuklah lelaki. Aku mula keluar secara sembunyi, merokok, bergaul bebas dan bahkan aku mula minum minuman keras.

Aku menjadi sangat liar dan tidak terkawal, cara ibu dan ayah mengajarku adalah dengan kekerasan dan bukannya secara diplomasi hati ke hati.

Setiap kekerasan yang hinggap di batang tubuhku seolah tidak terasa apa pun, sekadar menjadi angin lalu buatku dan itu membuatkan aku semakin memberontak.

Pada permulaan tingkatan 5, aku telah dipukul oleh ibu hanya kerana aku memarahi adikku kerana tidak meninggalkan makanan buatku yang lelah berjalan menghadap terik mentari sewaktu pulang dari sekolah.

Ibu memijak mukaku berulangkali sehingga mukaku bengkak dan mengeluarkan drah dengan begitu banyak sekali, aku tidak sanggup lagi hidup menjadi anak buangan lalu aku mengambil keputusan untuk lari dari rumah.

Berbekalkan RM20, aku menaiki bas menuju ke Ipoh. Aku cuma sehelai sepinggang berbekalkan duit belanja yang dikumpul, IC, sebotol air mineral dan sehelai baju sejuk.

Seharian berjalan di kota yang asing, tanpa makan bahkan sesuap, tanpa wang untuk pulang akhirnya aku terduduk disebuah tangga kedai.

Aku melepaskan lelah dan tertidur pulas sambil memegang perut yang lapar. Aku akan mengutip makanan di tokong kecil, mandi di tandas awam berhampiran dan tidur semula di tangga dalam keadaan duduk, panas dan dihurung nyamuk.

Seminggu berkeadaan begitu, akhirnya aku mengambil keputusan untuk berkerja. Aku mendapat tawaran berkerja disebuah kelab malam sebagai ‘assistent bartender’ di Ipoh.

Aku diberi kemudahan untuk tinggal di rumah sewa yang disediakan oleh pihak majikan. Setiap hari dihidangkan oleh gemerlap dunia membuatkan aku lupa pada keluarga juga pada agama, hampir setahun aku menghilangkan diri tanpa khabar buat mereka.

Saat itu aku terasa puas dan bebas tidak lagi hidup menjadi sesiapa, namun disatu sisi yang lain aku merasa kosong dan rindu pada yang jauh dimata.

Setelah lebih 2 tahun diperantauan akhirnya aku mengambil keputusan untuk pulang dan mendaftarkan diri sebagai calon persendiriaan SPM hasil pertolongan kaunselor sekolah dan aku juga menggunakan gaji yang telah dikumpul selama berkerja di bar tersebut.

Kepulanganku juga membawa kerinduaan dan azam seorang anak untuk berbakti pada keluarga namun benar kata pepatah ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari.

Pulangnya aku ke rumah tidak disambut baik, bahkan mereka memerliku sepanjang masa namun aku sudah lalu pada istilah ‘ keluarga ‘ mereka.

Aku mengasingkan diri daripada mereka, aku meneruskan kehidupan sebagai seorang pelajar. Begitu payah rasanya, hampir aku terpunduk jatuh di tengah jalan.

Alunan ‘perempuan sundal’ , ‘jalang’ dan sebagainya akan didendangkan dari mulut ibu dan ayah. Adik adikku yang lain juga terikut dengan alunan tersebut dan itulah mimpiku setiap hari.

Aku kekal teguh berdiri menjadi tempat melampiaskan amarah mereka saban hari sehingga keputusan SPM telah pun keluar.

Hasil lelah dan kesabaran itu terbukti bila aku mendapat keputusan ‘Straight A’s’ dalam peperiksaan tersebut sekaligus melayakkan diriku untuk melanjutkan pelajaran di universiti.

Di semester akhir pengajian, aku dikhabarkan oleh guru di kolej adik keduaku bahawa dia disahkan hamil 5 bulan akibat terlanjur. Ibu dan ayah terus menikahkan mereka berdua untuk menutup malu.

Kini mereka telah pun dikurniakan seorang anak perempuan dan selang 8 bulan kemudian sekali lagi aku dikhabarkan bahawa adikku yang ketiga telah menghamili teman wanitanya dan berakhir dengan pernikahan untuk menutup malu.

Serasa puas benar, akhirnya kata kata mereka dulu telah berpatah balik kepada mereka sendiri.

Aku juga telah pun disahkan menghidap tekanan perasaan yang pelbagai dan masih lagi meneruskan rawatan dengan pakar pskiatri. Mereka masih belum insaf dengan kejadian yang telah berlaku.

Doakan aku kuat menjalani hari yang mendatang, doakan mereka berubah suatu hari nanti.

Kredit : ekisah


Jangan Hina Minah Kilang , Mat Kilang

10 Apr 2018


Nama aku Ana, aku berumur 25 tahun dan sudah bekerja di Sebuah kilang di Utara Tanah Air. Aku bukan graduan dari IIUM , tapi aku tergerak hati nak share satu cerita dengan korang semua.

Dulu masa aku habis SPM, aku duduk rumah sahaja tengok tv dan tunggu keputusan UPU keluar. Aku contact kawan-kawan aku masa sekolah dulu tanya khabar mereka, ternyata mereka baik-baik sahaja dan sementara menunggu tawaran sambung belajar; kebanyakan mereka bekerja di kilang-kilang dan pasaraya. Aku tak tahu apa yang merasuk fikiran, lantas mempersendakan mereka dalam hati aku. selamba sahaja aku cakap mereka tiada masa depan. Ya aku tahu, teruk nya aku.

Tak lama selepas itu, selang beberapa bulan, aku dapat tawaran masuk ke sebuah universiti Swasta di Selangor. Uni aku tu agak well known lah jugak. Di sana , aku ambil program Asasi setahun. Selesai sahaja program asasi aku itu, aku balik bercuti di rumah selama 3 bulan. Mak aku bising-bising sebab aku duduk sahaja, menghabiskan beras katanya. haha. lalu aku pun mengambil keputusan untuk bekerja.

Merata aku cari kerja, tapi semua reject aku atas alasan aku nak bekerja sekejap sahaja. Memang lah, aku cuma mahu kerja untuk 3 bulan sahaja. Aku hampa, tetapi masih lagi mahu mencari duit poket. Sekurang-kurangnya ada jugak la benda nak dibuat.

Satu petang, aku balik rumah dan mak cakap kat aku , “kilang tempat siti anak pak cik mail tu ada nak pakai operator.. cuba kamu mintak situ.. dapat la jugak duit untuk topup handphone..”

aku pun macam.. “eh… kilang?? apa kelas kerja kilang??” . Lalu mak aku berikan jelingan menusuk kalbu dia tu. aku pun pasrah je lah. Esoknya aku pergi ke kilang tu. Tak jauh dari rumah aku, 5 KM sahaja. Lalu aku jumpa siti di pondok guard, dan siti bawa aku menuju ke HR. di sini bermula cerita aku.

Aku perhati mereka yang duduk di dalam ofis, semua berpakaian segak. cantik. Mata masing-masing menghadap skrin monitor dan tangan ligat menaip tanpa peduli siapa pun yang lalu lalang. tak apa, ini baru first impression sahaja.

ketika di-interview, aku ditanya sama ada mahu bekerja sekejap sahaja atau lama ; dan pelbagai soalan diajukan. Selesai interview dan ujian . aku dibawa turun ke shopfloor. tempat dimana semua operator bekerja. Untung nasib aku kerana kilang aku ni ambil semua orang melayu bekerja, tiada satu pun orang asing. kebanyakannya Makcik-makcik.

aku dihantar ke Leader untuk dilatih selama 3 hari. Oh, kilang aku ni kilang automotif. selesai 3 hari latihan, baru aku dimasukkan ke dalam Team aku yang diketuai oleh En Nizam (supervisor aku) . Team aku ni ramai orang muda. katanya orang muda ini rajin dan cepat tangkap apa yang diajar. So aku rasa selesa lah.

Sepanjang bekerja di sana, aku berkenalan dengan beberapa orang kawan baru. Kebanyakan mereka graduan yang sedang menganggur dan menunggu pekerjaan tetap. kos mereka di universiti bukan biasa-biasa, ada yang civil engineering, medic, account, dan beberapa kos lagi aku tak ingat. dah mereka baru sahaja habis belajar. kebanyakan makcik2 dalam tu pulak saja je nak kerja sebab boring duduk rumah, anak takde ; masuk poli , Uni, etc.

3 bulan aku kerja kilang, hidup aku berubah 360. kalau selama ni aku pandang rendah kat orang, Tuhan warning aku. Dia jadikan aku dikalangan orang-orang yang aku pandang rendah tu. Hebat Allah Taala. 3 Bulan berlalu, aku berhenti kerja, sambung belajar masuk Degree. Lepas habis degree, setahun aku menganggur. cari kerja sana sini tak dapat-dapat. last-last aku buat keputusan untuk masuk balik dalam industri kilang-kilang ni.

Alhamdulillah, rezeki aku diterima masuk company sekarang ni. aku antara eksekutif termuda la dalam kilang ni. Umur 24 (2016). eksekutif lain2 semua macam berusia sikit. hehe. Team aku, bawah aku ada 40 orang perempuan Malaysia yg kerja dengan aku. 30 orang daripadanya budak-budak lepasan SPM. baru-baru ini, kan result SPM keluar. so Team aku terpaksa tutup kedai lah sebab 30 orang cuti hari result keluar tu. 

dan teka apabenda. 

esoknya diorang datang kerja, muka berseri je masing-masing. aku tanya apahal senyum-senyum ni. nak kahwin dah ker?? lepas tu diorang bagitahu lah result SPM diorang kat aku. mostly 4 A keatas wei. hahahah. apsal lah engkorang ni kerja kilang. diorang macam aku lah masa muda-muda dulu. kerja sebab nak cari duit poket je. bukan nak komited sangat pun.

Ternyata tanggapan aku terhadap pekerja kilang yang muda-muda ini bodoh belaka Tu SALAH SEKALI. tidak. mereka tidak bodoh. Mencari duit poket itu tidak bodoh. aku yang bodoh kerana terlalu awal judge diorang. Mungkin ini mindset yang orang2 tua selalu terapkan pada anak-anak yang kalau kau kerja kilang = kau bodoh. Pesan aku pada semua orang, tolong sangat-sangat jangan pandang rendah pada pekerja-pekerja kilang ni. Ya betul tempat kerja diorang tak se-Gah tempat kerja korang, tapi apa beza kau dengan dia? Makhluk Tuhan jugak.

coretan ni untuk motivasi semua pelajar lepasan SPM, penganggur dan pekerja kilang. aku pun pekerja kilang, tak ada apa yang dimalukan. Aku pernah jadi orang bawah, dan juga orang atas. Rezeki itu Tuhan yang tentukan. Usaha lebih, bersyukur, nanti Tuhan bagi lebih. insyaAllah. aku doakan semua pekerja (tak kisah la kerja apa pun) semoga terus sukses dan kental hidup di zaman Najib ni…

Assalamualaikum.

– Ana

Kredit : IIUMC



Tetamu Tak Sedar Diri

20 Jul 2017


Assalam admin..kalau confession aku terpilih untuk disiarkan, ribuan terima kasih aku ucapkan in advance. Moga-moga confession aku jadi teladan untuk pembaca yang lain. Tujuan aku hanyalah untuk beri kesedaran kepada tetamu yang bertandang ke rumah. Isu ni sebenarnya remeh tapi jadi bebanan kepada tuan rumah. Elok-elok ikhlas jadi tak ikhlas pulak.

Untuk pengenalan, aku dan suami dah berkahwin selama 3 tahun dan mempunyai rumah sendiri untuk tempat berteduh. Cut story short, husband aku ni ada seorang kawan baik yang satu kepala. Dah kahwin n mempunyai seorang anak. Husband aku ni pulak jenis yang tak pernah berkira dengan member dia ni. Tu memang sifat suami aku yang aku respect. Aku sendiri pun memang baik dengan member husband and wife dia ni. Selalulah jugak kami pergi holiday sama-sama. Satu kepala, orang cakap. Cuma ada 1 perangai yang aku tak berkenan pasal member husband aku ni.

Dulu, member husband aku ni meniaga. Biasalah adat meniaga ada turun naik. Kehidupan dia sebelum ni tak stabil sangat berbanding dengan kami. Aku dan suami ada kerja tetap dan ada side income juga. Jadi setiap kali keluar makan, aku selalu perhati suami aku yang banyak keluar duit. Waktu tu aku fikir, takpe lah kami ada rezeki lebih jadi tak salah kalau kami hulur lebih. Tapi disebabkan perangai suami aku yang tak berkira tu, akhirnya makan diri. Seolah-olah member suami aku ni cuba ambil kesempatan (pijak kepala) atas kebaikan suami aku ni.

Isu ambil kesempatan ni aku perasan menjadi-jadi sejak kebelakangan ni. Mula-mula aku tak port sangat tapi lama kelamaan aku jadi tak selesa. Member suami aku ni sekarang menetap di selatan tanahair dan dah dapat better job di luar Malaysia. Dah senang dah sekarang, alhamdulillah. Tapi perangai dia yang ‘malas hulur’ masih lagi macam dulu. Takpelah, aku taknak point out pasal hulur-menghulur ni cuma aku nak beritahu yang beliau kini dah senang sikit berbanding dulu. Apa yang aku nak tekankan kat sini adalah adab sebagai tetamu ke rumah orang.

Kemuncak ketidakselesaan aku ni bermula bilamana pada satu hari tu, member husband ni beritahu yang dia akan datang ke KL. Tujuan tidak diberitahu dan katanya nak tumpang bermalam di rumah kami. Waktu dia beritahu husband tu, beliau dah dalam perjalanan dan akan sampai waktu subuh nanti. Waktu kejadian tu weekdays dan esok pagi hari bekerja. Husband pulak waktu tu kerja malam jadi demi taknak ganggu aku (yang waktu tu sedang lena diulit mimpi) ,husband decide untuk minta permission balik awal dari boss dia. 

Tiba-tiba dalam pukul 4am aku dengar bising-bising (suara budak kecil menangis) diruang tamu rumah. Husband pun kejutkan aku (yang waktu tu berada dalam bilik) and maklumkan yang member dia datang bersama dengan keluarga kakak ipar beliau (kakak kepada isteri – ada suami dan 4 orang anak kecil). Memandangkan waktu tu aku tengah mamai, husband cakap dia akan uruskan tetamu. Rumah kami ada 3 bilik je. 1 bilik utama, 1 lagi bilik tetamu dan 1 lagi dijadikan bilik solat/pakaian. 

Jadi, disebabkan kakak ipar beliau ni datang 1 keluarga, tidurlah keluarga kakak ipar beliau ni berhimpit dalam bilik tetamu yang kecil tu. Member husband aku and wife serta anak tidur diruang tamu. Masa kejadian ni aku husnuzon je, maybe tak sempat book hotel agaknya. Keesokan harinya, baru aku tau yang dorang ni datang nak shopping di pavillion dan malamnya nak pergi tengok bola di stadium. 

Tengah malam bila mereka balik, aku dah pun masuk tidur sebab pagi esoknya aku kena kerja. So tak sempatlah berkenalan dengan kakak ipar beliau ni yang aku tak pernah jumpa dan keesokannya dorang pun balik semula ke tempat asal di selatan tanahair tu.

Aku ingatkan setakat itu sahaja yang berlaku. Rupa-rupanya jadi lagi. Kalau sebelum ni dia bawa kakak ipar dan family, kali ni dia bawa pulak pak n mak mertua. Aku tak pernah kenal n jumpa pun pak n mak mertua beliau ni. Katanya nak bawa jalan. Waktu kejadian ni awal pagi sewaktu aku nak melangkah keluar dari rumah ke ofis. Langsung tak beritahu aku mahupun suami yang depa nak datang. Main terjah kaedahnya. 

Kata beliau, kalau ada-ada la. Kalau takde, depa cari alternatif lain. Bila tetamu dah datang, terpaksa aku call pejabat untuk maklumkan aku masuk lewat dan cuba sediakan apa-apa yang patut untuk tetamu. Kali ni sempat la aku bersalaman dengan mak mertua beliau. Jadi dalam keadaan kelam-kabut tu, aku whatsapp husband untuk bagitahu yang aku tak selesa member dia buat camni. Ini dah kali kedua beliau bawa tetamu yang aku tak kenal dan aku rasa ada udang disebalik batu. 

Aku persoalkan kenapa member suami tu tak mahu sewa hotel dan beri keselesaan kepada pak n mak mertua beliau. Depa sendiri pun tak pernah kenal aku and husband (nampak riak depa segan/kekok di depan aku dan suami) . Husband cuba positifkan aku,mungkin percutian budget. Aku persoal lagi, percutian budget boleh shopping di pavillion ke? Boleh makan di chillis ke? Husband takde jawapan untuk segala persoalan aku. 

Demi keselesaan aku sebagai isteri, husband cakap lepas ni kalau member dia datang dengan orang yang kami tak kenali, dia akan bagi alasan supaya member dia tu faham yang kami tak selesa dia bawa orang luar.

Dan yang ketiga terjadi bilamana kali ni, member husband tu pada awalnya datang dengan anak bini je. Tapi keesokkannya adik kandung beliau datang dan bermalam dirumah kami tanpa beritahu atau minta izin dengan kami. Tapi takpe la, husband aku kenal and pernah lepak dengan adik dia ni. So takde la rasa tak selesa sangat. Tapi ada isu lain pulak timbul bila depa ni pasang aircond tak reti nak katup. Dari tengah malam pasang sampai ke pukul 4-5 petang. Kononnya kesian kat baby depa panas. 

Tak boleh berpeluh nanti naik ruam walhal rumah depa sendiri takde aircond. Tapi apa kes kalau baby dah duk diruang tamu,tapi maknya duk mengelit makeup di dalam bilik beraircond segala?? Jadinya, bulan tu bil elektrik kami yang sepatutnya rm40 ringgit tiap-tiap bulan alih-alih naik mendadak ke rm150++. Mana taknya duduk seminggu dirumah kami hari-hari macam tu. 

Husband diam tak cakap apa-apa sebab nak jaga hati aku dan member baik beliau. Walaupun suami aku tu sayang persahabatan dia n kawan dia, janganlah ambil kesempatan di atas kebaikan kami. Tolonglah jangan buat rumah kami seperti hotel. Bawa stranger, keluar masuk sesuka hati and guna elektrik macam elektrik kami tu kerajaan bagi FOC. 

Kami juga manusia biasa ada hati dan perasaan. Kami sendiri tak pernah lakukan sedemikian rupa terhadap anda sebab kami tahu dan faham apa makna ‘privasi’ dan ‘tidak ambil kesempatan di atas kebaikan. Tolonglah faham ‘sahabat’.

– Mawar




Bila Hati Hitam. Korang Buat Sampai Mak Aku Mati ! Tergamak !

18 Jun 2017



Nama aku N. Bila baca kisah hasad dengki manusia yang fs publishkan baru-baru ni, aku terbuka hati nak ceritakan kisah yang berlaku pada arwah mak aku. Al-fatihah untuk mak. Awal-awal aku bagitau ni bukan cerita seram ye, cuma perkongsian pengalaman hidup..

Aku cerita serba sedikit tentang arwah ye. Mak aku seorang wanita yang pada aku sangat kuat. Bukan saja dari segi mental, tapi juga dari segi fizikal. Kerja kuat dan jenis yang tak reti duduk diam. Pagi bangun pukul 3 pagi nak bungkus nasi lemak, bungkus kuih-kuih untuk hantar ke kedai. Dalam pukul 8.30 siap-siap nak g keja dah. Balik kul 5.00 petang. Malam prepare buat kuih untuk jualan esok pulak. Masa tu kalau tak silap aku mak aku kerja kat kedai makan kawan dia. Jadi tukang masak, kadang2 duk kaunter bayaran.

Sampai satu masa, mak aku berhenti atau pun diberhentikan, aku tak pasti sebab mak aku tak pernah cerita susah senang dia dan die buat keputusan nak kerja as cleaner kat uitm dekat rumah aku. Ramai kawan-kawan ajak kerja kat situ die kata. As long as mak happy, kami anak-anak ok jer. Ayah aku pun tak kesah. Sebelum g kerja, mak aku dah siapkan makan lauk pauk semua. Bagusnya mak. Ayah aku pun kerja tukang rumah je, naluri seorang isteri kan. Nak tolong suami. Ayah aku izinkan.

Nak dijadikan cerita, (aku tak berapa ingat, aku cerita yg aku ingat je k..sorry) dalam 3 bulan mak aku kerja jadi cleaner, tiba-tiba mak aku demam. Mula-mula demam biasa, mak aku still g kerja, sebab dia memang tak boleh duduk diam. Lagak macam orang tak sakit. Kami dha larang, rehat je kat rumah die kate demam sikit je. 2 3 hri lepas tu kaki die sakit. Mak kata ade tersepak tunggul masa kutip sampah bawah pokok. Ok la, kami terima je la jawapan tu. Family aku memang culas bab klinik or hospital, sakit la camne pun. Kalau da terpaksa sangat baru la g pijak lantai klinik.

Kami risau, demam mak tak kebah2. Mak da start tak boleh tidur malam. Setiap kali tidur setiap kali tu dia akan terjaga, mak cite ade benda hitam berat duduk atas dada die sampai tak boleh nak bernafas. Kalau tak kena tindih, mak tidur n akan mimpi ade budak kecik datang dalam mimpi dia ajak mak pergi satu tempat, tapi mak tak nak ikut, dia paksa2 mak ikut, mak tolak ajakan die sampai mak terjaga.

Mak dah hilang selera makan, badan dah kurus, muka dah cengkung. Mak dah tak larat sangat dan kakak bawak g hospital, doktor kate mak takde ape2. Demam dan angin je. Aku masa tu tak dapat tolong banyak, sebab mak aku ni selagi die boleh buat sendiri die buat sendiri.

Mak dah tak boleh duk dalam rumah, mak kate panas, bila dah panas, membebel dah jadi macam orang lain, bukan mak. Ayah layankan saje. Tabik kat arwah ayah, sabar dengan isteri die yang tengah sakit. Siang mak ok. Start lepas asar die da start jadi lain. Dipendekkan cerita, kami decide nak bawak mak jumpa kawan mak yang pandai jugaklah berubat, sampai je kat rumah kawan mak tu, kawan mak tengok mak dan dia terus suruh mak balik, dia kate dia tak mampu. Dia suruh cari orang lain.

Ayah aku tak putus asa, dia cari orang lain untuk ubatkan mak. Orang tu datang rumah, dan dia mulakan sesi perubatan. Pakcik tu mintak mak duduk dan lunjurkan kaki, dia baca2 apa tah, aku tak berape dengar sebab aku tengok dari jauh. Kesian mak aku, dia libas2 belakang mak aku dengan daun yang die bawak. Selesai dia ubatkan mak, pakcik tu pun cerita, ade benda yang menumpang. Dia tanya mak ade sakit kaki ke sebelum ni, mak cakap la ade.

Pakcik tu kate, mak ade tersepak ‘rumah’ benda tu. Tapi pakcik tu dah buang la, Alhamdulillah. Lega la kami dengar. Aku tak tau pakcik ni betul ke tidak, dia kate bawah rumah kitorang pun ade benda tertanam. Bila da 1 gangguan masuk dalam badan mak, yang lain2 pun nak join jugak. Maknanya bukan cuma 1 tapi banyak. So pakcik tu mintak ayah aku sediakan cuka nipah, banyak botol jugak la. Dan dia suruh gali 1 bahagian bawah rumah, konon tempat benda tu tertanam la. Dan dia siram dalam lubang tu dengan cuka nipah.

Lepas berubat dengan pakcik tu, mak aku sihat sekejap, tapi sakit datang balik. Tak boleh tidur tak boleh makan, duduk dalam rumah tak boleh, panas panas mak kata, so kami pun bawak mak tidur rumah paksu, sebelah je rumahnye mengadap je pintu dapur rumah aku dengan rumah paksu.

Dipendekkan cerita lagi, kawan baik mak kat kampung sebelah dapat tau mak sakit, anak kawan mak tu kawan kakak aku. Bila kakak aku cerita semua pasal mak, kawan mak tu pun cadangkan sorang hamba Allah ni, nak kate bomoh pun tak nak kate ustaz pun tak tapi die pandai mengubat orang. Anak kawan mak pun pernah kena buatan orang dan dia yang ubatkan. Alhamdulillah sembuh dengan izin Allah. Kawan mak aku tu senang letak nama cik Melah la. Cik Melah suruh kakak aku hantar gambar mak aku kat dia, sebab dia nak tunjuk kat ustaz tu, panggil ustaz la senang.

Lepas hari kakak aku bagi gambar mak kat cik Melah, dan cik Melah dah tunjuk kat ustaz tu. Cik Melah pun datang jenguk mak aku, dia bagitau la ape yang ustaz tu cakap. Dia kate, sakit mak ni dah berat. Tengok dari muka mak yang dah gelap macam hangus tu, dengan cengkung tu ustaz tu kate orang nak buat mak sampai mak meningg*l. Memang kami perasan, muka mak gelap macam jeragat pun ade, tapi mak tak kena panas pun. Ustaz kate boleh nak ubatkan, tapi die mintak bayaran mahal. Kami macam what? Dia ni berubat pakai ape smpai nak mintak bayaran macam tu? Kami berkira-kira la nak percaya ke tak, ustaz tu pun tak paksa. Paksu aku memang tak setuju la kan. Hmmm…

*Masa ni aku terpikir, pakcik yang ubat mak dengan cuka nipah segala bagai dapat detect ke x yang mak aku kena santau time tu? Or dia xtau tapi buat2 ckap ade menumpang la ape semua. Husnudzon je, mungkin ilmu pakcik tu xberapa kuat nak detect santau yang kuat amat tu.*

Sambung balik. Ambik masa jugak nak buat keputusan tu, mak aku dah tak boleh nak tahan, pejam mata je kena tindih, mimpi bukan2. Sampai tahap pukul 3 pagi mak ajak ayah tidur kat beranda luar rumah paksu sebab dalam rumah takleh tidur, panas. Ayah aku temankan lah sampai ke pagi. Ni maksu aku citer, sebab aku tidur kat rumah aku, rumah sebelah.

Akhirnya kata putus pun dibuat, mak aku nak jugak berubat dengan ustaz tu. Kami yang lain pun setuju la jugak, sebab kesian dekat mak, mak yang tanggung sakit bukan kita. Buat pertama kali ustaz tu datang rumah, nak tengok depan2 macam mana keadaan mak. Dia dah geleng kepala, kesian mak dia kate. Kalau tak silap aku, ustaz cakap santau tu dari siam. Kalau lame lagi ni lagi seksa mak. Cik Melah yang bawak ustaz tu datang rumah, dan dia ade sekali la maknanya.

Cik Melah kata, “tolong la ubatkan, kesian saya tengok keadaan kawan saya ni”. Ustaz kata “insyaAllah”. Frst ustaz datang dia tak ubat lagi, dia cuma tengok, agaknya nak selidik dulu kot dan nak kaji cara ubat pulak lepas ni. Tu dalam fikiran aku la. Sebab dia datang dia tanya itu ini. Dah, pastu dia kate, “nanti saya bagitau kat cik Melah barang apa yang kami kena sedia untuk mengubat mak nanti”.

Satu petang tu, benda yang memang aku tak boleh lupa, mak tengah tidur. Aku pun ambik angin kat luar duduk kat tangga. Aku ade bela kucing, warna hitam dan nama pun Hitam la, dia baik sangat dengan mak. Manja dengan mak. Dia datang dari belakang rumah, dekat mulut dia ade something, dia lalu depan aku. Aku pun panggil la dia, dia macam nak tunjuk kat aku apa yang ada kat mulut dia tu. Aku pergi la dekat dengan dia dan ambik benda kat mulut dia, rupanya cebisan daun keladi. Aku tanya dia, nak buat apa ni? Dia tengok je aku, aku pun macam nak main2kan dia la, aku campak dalam lopak air bawah rumah, dia usaha jugak nak ambik daun tu, rela masuk air g kutip balik daun tu. Aku tak fikir apa la lepas tu, buat tak tau je. Kucing kan. Apa yang nak difikir sangat.

Lepas maghrib, cik Melah kol. Dia kate ustaz nak datang ubatkan mak malam ni. Kena sediakan mug, mangkuk air, lagi ape aku lupa dan last sekali daun keladi. Aku terkejut la sikit, mungkin kebetulan si Hitam tu bawak balik daun keladi petang tadi, atau dia nqk bagitau daun keladi tu guna untuk ubat mak. Hmm. So bermulalha sesi berubat. Ustaz ambik daun keladi, buat macam kelongsong dan letak dalam mug, masukkan air dalam tu, dan balut mug tu dengan kain. Dia buat 3 kelongsong, means 3 mug la. Dia selimutkan mak dari hujung kepala hingga kaki, mug pertama ustaz letak kat atas dahi.

Mug kedua dekat perut dan mug ketiga dekat lutut. Pastu ustaz baca2 apa kami tak brape clear, dalam 20 min camtu. Ustaz ambik mug2 tadi dan mintak mangkuk kat maksu. Ustaz bukak balutan kain n tuang air2 dalam kelongsong tu dalam mangkuk. Mula-mula ustaz suruh ayah tengok, pastu yang lain-lain tengok, ustaz kate, nilah yang ada dalam badan mak selama dia sakit ni. Orang panggil santau angin. Aku pun tengok dalam air tu, ade serbuk kaca berkilat2 ade serpihan halus2 tajam. Ustaz panggil ayah, ustaz suruh ayah ludah dalam mangkuk tu 3kali dan g buang air tu jauh2.
Nampak perubahan pada mak. Muka mak dah tak gelap lagi, cerah macam kulit asal dah. Ustaz tanya, “macam mana rasa?”. 

Mak kata, “da ringan sikit rasa badan”. Ustaz kata lagi,” kamu ni ada angin dalam hempedu, ustaz dah ubatkan sekali la so buat masa ni pantang makan yang sejuk-sejuk dulu”. Kami pun iyakan je la. Ustaz pun nak beransur balik, cik Melah dah tunggu kat luar. Dia tanya ustaz tau ke sapa yang buat mak ni, ustaz kata dia tak boleh bagitau direct, dia just bagi gambaran. Dan dari gambaran tu kami tau sape yang buat, ustaz siap cakap lagi, orang tu ade kedai makan, dia tak puas hati dengan mak sebab duit. Ustaz kata kalau dah tau sapa yang buat, seeloknya jangan berdendam, biarkan dia dengan hidup dia, nanti Allah akan balas. Kedai dia sekarang pun da tak ramai orang. Doakan semoga dia mendapat hidayah.

**Ada yang bukak mulut lepas tu, mak berhenti sebab orang yang buat mak tu tuduh mak ambik duit dia kat kaunter sebab mak duduk kat kaunter masa tu. Kira ada selisih faham la..

Sampai macam tu sekali dia buat mak aku. Walhal mak aku banyak tolong dia. Jaga kedai dia. Aku kenal mak aku, dia takkan ambik hak orang, orang ambik hak dia pun dia redha je. Alhamdulillah, hari ke 3 lepas berubat, mak aku sihat sangat, boleh bangun boleh makan boleh minum macam biasa, ni maksu aku cerita, aku takde masa tu. Maksu cakap, mak ajak kakak g ambik angin kat pantai.Kakak pun bawak la, dekat maghrib baru balik, mak macam tak nak turun dari kereta, dia kata seronok duk dalam kereta.

Kami happy la mak dah sihat, dan maalm tu mak sesak nafas, panggil la ustaz tu balik, dia datang. Dia tanya hari ni mak makan apa, maksu pun cerita i tu ini n kat pantai makan pisang goreng. Ustaz pun kata, pisang tu sejuk. Kan da cakap takleh makan, maksu kata makan tak banyak pun, dia tengah ada selera bagi la rasa sikit. Ustaz kate takpelah benda dah jadi, dia pun ubatkan mak. Dah selesai ubat tu dia tanya mak camne, mak angguk cakap dah lega, cuma penat sikit, nak tidur. Ustaz pun kata, “tidur la, saay balik dulu”.

Dalam 15-20 min lepas mak tidur masing-masing g la wat hal yang tergendala, maksu tengah makan, menghadap ke tempat mak tidur, die tengok mak macam pelik, tarik nafas dalam-dalam. Maksu panggil adik beradik aku semua duk keliling mak, ayah kejut kejut mak, mata mak tetap pejam. Ayah ajar mak mengucap, mulut mak je bergerak, kami adik beradik da menggigil dah. Takut nak hadapi keadaan tu. Akhirnya mak menghembuskan nafas yang terakhir depan anak2 dan suami pada tarikh 17.3.2009..

Pergilah mak, tunggu kami di pintu syurga ya. Semoga mak tenang di sana. Al-fatihah..3bulan mak aku menderita. Bergembiralah orang yang buat mak aku sakit tu. Bertaubatlah. Tapi aku tak salahkan orang tu, kami tak berdendam pun dengan dia. Tu dah bahagian mak aku, orang buat dia sakit tu asbab je, memang da Allah tetapkan ajal mak sampai lepas baik dari berubat. Kami redha..

Ingat kucing Hitam tu? Dia gigih nak tengok jenazah mak, dia panjat ikot bumbung. Nak masuk kat bilik tak boleh, orang halau. Dia duduk la kat ruang antara dinding dengan bumbung tu tengok mak. Sedih pulak tengok keadaannya. Hmmm. Selesai semuanya, Alhamdulillah, cuaca hari pengkebumian mak redup, sejuk je. Ramai yang cakap wajah mak cerah, senyum je sambut orang yang datang ziarah dia. Alhamdulillah.

Setahun lepas tu, 17.4.2010. Ayah aku meninggal dunia. Akibat jangkitan kuman dalam darah. Masa dia sakit ada jugak dia cakap nampak pelik-pelik, based on abang aku punya cerita la. Tapi kami anggap tu normal sebab orang sakit kan. Badan lemah, macam2 kita nampak. Oleh sebab dia sakit tak lama, seminggu je ayah demam, Allah s.w.t jemput ayah. Kebetulan ataupun takdir, cinta hingga hujung nyawa. Tarikh yang sama, bulan je lain, kubur arwah ayah dengan mak aku pun sebelah2 je. Al-fatihah untuk keduanya.
So setakat ni je la cerita aku. 

Maaf kalau takda kena mengena dengan tema page ni huhu. Terpulang pada admin nak publish ke tak. Aku tak kesah. Sekadar perkongsian pengalaman, terpanjang pulak. So aku nak pesan kat sini, dunia sekarang ni nampak je macam maju, tapi orang tetap dengan pemikiran lama, tak puas hati je nak santau la hantar itu hantar ini. Rambut pun sekarang da tak sama hitam, hati lagi la kita tak tahu. So waspada la dengan apa yang ada di sekeliling kita...




4 Tahun Menyulam Cinta, Facebook Bukti Si Dia Bermain Kayu Tiga

5 Jun 2017



Saya perkenalkan diri saya sebagai Shila (bukan nama sebenar).Berusia 29 tahun, eksekutif sebuah bank dan lulusan universiti luar negara. Saya anak kedua dalam adik beradik seramai lima orang, tiga perempuan dan dua lelaki. Abang sulung telah berkahwin dan mempunyai sepasang cahayamata. Adik-adik masih menuntut di kolej. Ayah pesara kerajaan dan ibu, suri rumah sepenuh masa.

Semasa di universiti, saya berkenalan dengan seorang lelaki, Mirza (bukan nama sebenar). Kami berkawan, menjadi rapat dan akhirnya jatuh cinta. Biasa bagi pasangan kekasih untuk berjanji sehidup semati apabila telah bekerja. Begitu juga dengan kami. Saya dan Mirza juga ingin hidup bersama secara sah. Dan hajat itu akan kami tunaikan setelah masing-masing bekerja. Alhamdulillah, habis belajar kami mendapat tawaran kerja. Murah rezeki kami, dan tentunya jodoh kami juga akan sampai, itulah doa saya setiap hari.

Saya mula himpun duit untuk kahwin. Hubungan kami macam biasa, keluarga kedua-dua pihak juga sudah maklum akan hajat kami. Ada kelapangan Mirza datang ke rumah. Bagitu juga saya, tetapi tidaklah selalu ke rumahnya. Setelah dua tahun bekerja, saya bertanya Mirza tentang hubungan kami. Sampai bila saya harus tunggu sedangkan kami telah bekerja. Jawabnya, dia belum bersedia dan tidak cukup duit. Dia minta saya bersabar.

Saya faham dan bagi masa setahun lagi. Sampai tempoh setahun, saya masih tidak nampak jalan ke arah itu, bila diajukan soalan, jawapannya tetap sama. Saya pelik, ke mana pergi duit gajinya semua? Bila sesak duit, dia cari saya. Sebagai kekasih, tentu saya akan tolong, sebab sayang. Keadaan makin tidak nampak cahayanya apabila masuk tahun keempat. Mirza masih gagal memenuhi kata-katanya. Dia buat selamba sahaja bila saya tanya tentang janjinya untuk melamar saya.

Sejak itu, saya tidak bertanya lagi. Dia tetap datang ke rumah, macam biasa walaupun saya mula dingin terhadapnya. Ayah dan mak selalu tanya, tapi saya diamkan diri. Saya beritahu, Mirza tak cukup duit lagi. Dia belum bersedia. Akhirnya mak dan ayah terus diam. Dan Mirza macam tidak bersalah, terus datang ke rumah saya walaupun saya sudah mula bosan dan letih dengan gelagatnya. Allah Maha Kaya, Dia tahu apa yang terbaik untuk saya. Oleh kerana tidak tahan dengan sikapnya dan malas lagi hendak menunggu, saya minta hubungan kami diputuskan. Dia tidak kata setuju dan tidak pula kata tidak.

Tetapi sebagai perempuan, saya anggap sudah putus. Saya mula jemu untuk berjumpa dengan dia. Tidak sampai tiga minggu hubungan kami putus, seorang kawan menelefon saya dan memaklumkan Mirza sudah berkahwin. Kata kawan saya itu, gambar persandingannya ada dalam FB (Facebook). Kawan-kawan sama universiti yang tahu hubungan kami mengirim mesej dan WhatsApp memaklumkan pernikahan Mirza. Saya tidak melatah. Saya tidak tahu apa nak kata, sama ada hendak menangis atau tidak.

Setelah melihat FB dan membelek-belek WhatsApp dan mesej yang dikirim kawan-kawan, memang sah Mirza sudah berkahwin. Tidak salah lagi. Dia nampak ceria, bahagia dengan isterinya. Langsung tidak ada perasaan bersalah. Pada hal dia tahu saya, kawan-kawan dan keluarga saya akan melihat gambar persandingannya itu. Saya tidak menangis, sebab kalau menangis air mata darah sekalipun, semuanya sudah terjadi. Dia sudah jadi suami orang. Dia mungkir janji.

Dia lelaki tidak berhati perut. Dia biarkan saya tunggu selama empat tahun, tetapi akhirnya dia bernikah dengan orang lain. Maknanya semasa masih bersama saya, dia sudah bermain kayu tiga dengan perempuan lain tanpa pengetahuan saya. Tergamak dia hancurkan harapan saya, kecewakan orang tua saya serta musnahkan janji kami untuk hidup bersama. Empat tahun saya dipermainkan lelaki ini. 

Tetapi saya reda, sebab saya sudah nampak pengakhirannya untuk kami dengan sikap Mirza yang tidak ikhlas dalam perhubungan kami. Mak dan ayah terdiam apabila saya maklumkan Mirza sudah bernikah. Mak menangis kerana kasihankan saya yang sangat setia dengan Mirza dan menolak pinangan orang lain. Ayah juga marah. Saya sangat sedih kerana Mirza telah menggunakan kebaikan saya dan keluarga untuk kepentingan dirinya sebelum ini. Saya tidak akan jadi bodoh untuk menangis dan meratapi nasib saya. Saya bersyukur kerana Allah tunjukkan warna sebenar lelaki yang pernah saya cintai ini. 

Saya doakan dia bahagia.

Saya berpegang kepada kata-kata mak, Allah akan hadiahkan saya lelaki yang lebih baik daripada Mirza, doa selalu kata mak. Mintalah kepada Allah, insya-Allah Dia akan makbulkan. Semoga Allah bagi kekuatan kepada saya untuk terus bangkit dan melupakan apa yang telah berlaku.

Kredit : UtusanMalaysia



Duit Bersara Habis Kerana Perempuan, Kawan

22 May 2017

Setiap pasangan suami isteri mahukan kebahgiaan hidup. Mahu sehidup semati dengan pasangan jika diizinkan Allah. Namun, bukan mudah untuk menikmati bahagia itu jika suami tidak setia dan tidak ikhlas dalam perhubungan. Nasihat isteri tidak diendah, teguran tidak diterima, akhirnya isteri mengalah dan membiarkan apa yang mahu dilakukan suami walaupun menyakitkan hati. Hukum Allah tidak kira masa, sampai waktunya Dia akan tunjukkan.

Apabila rahsia terbongkar, mahu tidak mahu isteri juga yang jadi penyelamat. Inilah kisah pilihan saya minggu ini. Kisah menarik yang ingin dikongsi oleh Sofi (bukan nama sebenar) dengan pembaca ruangan ini. Ikuti luahan Sofi mengenai suaminya yang menghabiskan wang persaraan dengan berfoya-foya bersama perempuan dan kawan-kawan hingga lupa diri. Ini cerita Sofi kepada saya.

“Saya seorang pegawai di sebuah jabatan kerajaan. Berusia lewat 50-an dan bernikah dengan seorang pegawai kerajaan yang berpangkat tinggi juga bernama Rani(bukan nama sebenar) berusia 60 tahun. “Kami dikurniakan sepasang anak perempuan yang telah meningkat remaja berusia dari 13 hingga 20 tahun. Seperti orang lain, perkahwinan kami sangat bahagia di permulaannya tetapi bergolak kerana suami mula berhibur di luar dengan kawan-kawannya.

“Semuanya gara-gara dia mendapat wang persaraannya setelah mencapai usia 60 tahun. Pada masa yang sama dia berkenalan dengan seorang perempuan berusia awal 30-an yang bekerja di sebuah pusat hiburan. “Saya tidak tahu tentang hubungan mereka tetapi rahsia ini terbongkar apabila satu hari saya terjumpa slip bank pindahan wang kepada akaun seorang perempuan di dalam beg kerja suami. “Setiap malam dia akan keluar rumah, jauh malam atau awal pagi baru balik. Lama saya perhatikan, tetapi saya tidak bertanya. Saya hendak lihat sejauh mana perangainya itu. 

“Setelah enam bulan keadaan suami tidak berubah tambahan pula saya lihat dia terlalu boros dalam berbelanja, saya mula syak sesuatu. Saya tidak terus bertanya tetapi mengintip pergerakan suami. “Ke mana dia pergi, dengan siapa dan apa yang dia buat saya ikut. Saya melihat dengan mata sendiri suami keluar dengan perempuan itu pergi berhibur di pusat-pusat hiburan dengan kawan-kawannya yang masing-masing membawa pasangan. Hampir sebulan saya buat intipan tanpa pengetahuannya. Saya hendak kumpul bukti dulu sebelum menyerang suami.

“Sejak dia berkawan dengan wanita itu, suami selalu kesempitan wang. Duit kereta, duit rumah dan perbelanjaan rumah terjejas. Pada hal dia baru dapat beratus ribu ringgit. Apa yang dia buat dengan duit itu pun saya tidak tahu. “Saya meradang apabila dia mula minta duit daripada saya. Sudahlah kami beranak tidak merasa duit yang dia dapat, duit saya pula hendak dikerjakannya. “Keadaan suami semakin teruk, duit yang beratus ribu itu habis untuk dia berseronok dengan perempuan itu dan kawan-kawannya. Setiap bulan dia mula pinjam duit orang.

“Setiap bulan juga kami bergaduh kerana duit. Saya tidak mahu bagi sebab tahu dia akan bagi kepada perempuan itu dan belanja kawan-kawannya berseronok. “Kerana tidak tahan dengan perangainya saya bersemuka dengan dia mengatakan saya tahu kenapa dia sesak duit. Saya tanya ke mana perginya duit banyak-banyak yang dia dapat? “Janji nak bawa saya ke Tanah Suci juga tidak kesampaian. Janji hendak beli tanah di kampung buat rumah nak senangkan isteri dan anak-anak, tapi satu benda pun tidak nampak.

“Saya tunjukkan juga slip pindahan duit dia ke akaun perempuan tersebut. Dia terus diam. Saya apa lagi, bersyarah panjang dan keluarkan semua bukti yang saya ada termasuk gambar mereka berdua dan sebagainya yang sempat saya kumpul bersama-sama kawannya. “Yang menjadikan dia terkejut apabila saya tunjukkan gambar perempuan itu dengan beberapa lelaki di tempat yang berlainan. Dia macam tidak percaya tetapi bukti saya kukuh. “Dia hilang kata-kata dan tidak berani lagi membela dirinya. Akhirnya dia mengaku sudah lama tidak berjumpa perempuan itu kerana dia sudah tidak ada duit lagi.

“Dia juga mengaku perempuan itu hanya mahukan duitnya sahaja bukan suka kepada dia. Perempuan itu juga katanya memang suka menggoda lelaki yang dia tahu akan dapat duit persaraan. Dapat apa yang dia hendak, dia akan pergi. Memang dia perempuan pengikis. “Suami mengaku kesilapannya. Dia minta maaf di atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. “Di hadapan saya dia menangis dan memeluk saya sambil merayu supaya saya ampunkan kesilapannya. “Saya berkeras dengan dia dan memberinya beberapa syarat. Andainya dia melanggar semua syarat itu, dia akan tahu apa keputusan saya. Ini amaran akhir saya kepadanya. Saya buat ini semua kerana anak-anak kami.

“Nasib baik saya masih waras dan boleh berfikir. Bersyukur kerana dia sedar selepas ditipu oleh perempuan itu. Lagipun ini kali pertama dia buat perangai. Tetapi satu perkara yang saya belajar, jangan cepat melatah jika suami buat perangai, siasat dahulu dan kumpul bukti, kemudian bertindak. “Insya-Allah kebenaran akan muncul. Walau sakit hati saya akan berusaha untuk melupakan perkara itu dan memberinya peluang kedua. Tapi akan mengambil masa juga nampaknya. Luka hati saya bukan mudah hendak sembuh. Alhamdulillah, sekarang saya dapat semula suami saya yang dahulu, penyayang dan bertanggungjawab.

“Kepada lelaki di luar sana saya ingin berpesan, dapat duit jangan lupa anak isteri dan keluarga yang mendoakan kehidupan kita di dunia dan akhirat. Mereka berhak menikmati rezeki yang Allah bagi itu,” kata Sofi menamatkan ceritanya.Alhamdulillah dan syabas Sofi. Saya bangga dengan keberanian anda. Inilah yang seharusnya dilakukan oleh para isteri yang berdepan dengan masalah rumah tangga dan perangai suami. ewajarnya Sofi memberi peluang kedua kepada suami. Nama pun manusia, tidak sempurna. Berdoalah agar dia insaf dengan apa yang telah dilaluinya. Doa saya supaya Allah kurniakan keberkatan hidup buat Sofi dan Rani sekeluarga di dunia dan akhirat.

Mengundur diri, pesanan saya, memaafkan kesilapan orang satu pebuatan mulia di sisi Allah terutama mereka yang kita sayang. Maafkan mereka dengan ikhlas dan dari dasar hati yang paling dalam.

Salam.

Kredit : UtusanMalaysia
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.