SLIDER

akibat
Showing posts with label akibat. Show all posts

Bahana Sang Suami Suka Benda Haram Daripada Halal

25 Apr 2022

 


"SESUNGGUHNYA tidak ada apa yang diinginkan oleh seorang isteri itu selain kasih sayang suami. Bukan caci maki sepanjang masa. Kalau isteri lemah pimpin dia jadi isteri solehah. Dan isteri bukan tempat melepaskan hawa nafsu semata-mata. Islam meletakkan hubungan suami isteri sangat mulia. Malah perkahwinan bukan sahaja perkongsian fizikal, tetapi berkongsi fikiran, perasaan dan jiwa untuk sama-sama berbakti kepada Allah dan keluarga.

"Tapi sebagai isteri saya kecewa bila suami saya Jay asingkan tempat tidur daripada saya, dia biarkan saya tidur sendirian bertahun-tahun, datang kecuali berhajat. Anak-anak lebih sedih mereka tidak tahu apa peranan ayahnya, kerana si ayah tidak pernah makan semeja apa lagi berbual. Sebaliknya lebih selesa makan depan tv.’’ Itu cerita Kamaliah yang dapat saya hubungi selepas pertemuan ahli-ahli Kumpulan Sokongan Ibu Tunggal (KSIT) di Bangi baru-baru ini.

"Saya sudah berkahwin hampir 28 tahun dengan Jay, anak ada tiga orang, dua sudah bekerja cuma seorang lagi masih di IPTA. Mungkin saya seorang penyabar, dan sentiasa berdoa kepada Allah agar suami berubah jadi baik dan bertanggungjawab. Saya juga memohon agar kami anak beranak diberikan kehidupan dan masa depan yang baik. Terutama ketika itu anak-anak masih kecil. Tetapi hari berganti bulan, bulan berganti tahun, penantian saya hampa, sebaliknya saya dicampak buang bila suka.

"Bukan memuji diri, apa juga yang berlaku ke atas diri saya semuanya mungkin kerana saya terlalu sabar. Saya sabar dengan kerenah Jay sejak mula saya mengandung anak pertama. Dia balik dengan leher dan badan penuh love bite, bila saya tanya saya kena marah, katanya apa saya boleh bagi pada dia kerana tengah hamil. Sepatutnya dia bersabar kerana anak yang saya kandung adalah anak dia, tetapi dia tak peduli. Semakin hampir saya melahirkan, Jay semakin liar, cuma air mata jadi teman menyejukkan jiwa yang lara. Jay buat baik dengan saya bila hendak duit. Kalau tak bagi saya ditengking, dimaki hamun dengan perkataan menyakitkan hati.

"Oleh sebab tinggal berjiran terasa malu anak baru satu dah bergaduh teruk, jadi saya tutup mulut Jay - beri dia duit. Malangnya perbuatan saya itu menjadi kegemarannya bila tak ada duit dia buat bising, bila bising saya terpaksa bagi duit. Lama-lama saya sakit hati juga, duit gajinya tak tahu pergi mana, setiap bulan tak ada duit. "Jay tak bagi duit pada saya setiap bulan untuk beli barang makan. Sebaliknya dia beli sendiri barang makan ikut seleranya. Dia beli minuman cokelat kegemarannya, ikan dan sayur kesukaannya, biskut dan benda benda lain ikut citarasanya. Yang lain saya terpaksa uruskan terutama untuk makan minum, pakaian serta pelajaran anak-anak.

"Mungkin orang tak percaya perangainya, tetapi itu kenyataan. Dan perangai ini tak pernah berubah hingga tiga orang anak. Kalau saya minta duit bila dia dapat gaji, bukan mudah kalau tidak diiringi dengan maki hamun. Kadangkala boleh bergaduh. Bayangkan untuk sebulan dia beri RM200, mana cukup? Lepas tu bila road tax dia mati, minta duit saya. Kalau tak bagi dia gunakan kereta saya, tentu menyusahkan saya nak bekerja, dan saya tak mahu dia guna kereta buat maksiat. Jadi saya terpaksa bagi duit. "Untuk sekolah anak-anak dia tak pernah pedulikan, ikut pandai saya saja. Anak-anak pun takut nak minta duit. Garangnya kalah harimau, kalau bagi duit pun main campak suruh kita kutip.

"Anak-anak dari kecil hingga besar semua takutkan Jay. Hinggakan anak pertama jadi pendiam tak suka bercakap dengan Jay sementara anak kedua saya terpaksa hantar ke hospital dapatkan rawatan psikiatri sebab dia 'terkujat-terkujat’ bila ayahnya menjerit. "Bayangkan setiap kali ayahnya menengking dengan suara yang kuat dan kasar badan anak saya jadi terhenjut-henjut atau kekujat seperti budak cacat. Saya fikirkan dia sawan bawa jumpa doktor, tapi dia kata tidak ada masalah, suruh jumpa doktor pakar psikiatri kanak-kanak. Akhirnya kami suami isteri dipanggil doktor psikiatri dan dilebalkan sebagai ibu bapa yang tak tahu mendidik anak. Malunya hanya Allah yang tahu, sebab Jay membisu, oleh sebab saya banyak bertanya, maka nampak seolah-olah saya bermasalah tak tahu didik anak.

Ketakutan

"Masalah tak ada duit kerana perempuan adalah hobi Jay. Pernah semasa anak kedua lahir dia jatuhkan saya talak bila kami bertengkar. Tetapi depan kadi dia tak mengaku, Namun kadi kata sah jatuh talak. Dia rujuk semula. Oleh sebab ketika itu saya masih muda, entah mengapa saya terima dia semula.Mungkin dengan harapan saya, dia akan berubah. Tetapi tidak. "Oleh sebab anak-anak takutkan Jay, saya suruh mereka belajar pandai-pandai supaya dapat masuk sekolah berasrama. Syukur Alhamdulillah. Semua anak saya berjaya masuk sekolah berasrama, Sebab saya tak mahu mereka sakit dan ketakutan bila ayahnya mengamuk. 

"Biasanya semasa anak-anak masih kecil, ketika kami bertengkar, si kakak akan bertindak pantas bawa adik-adiknya masuk dalam kereta sebab tak mahu adiknya sakit lagi bila dengar ayahnya menengking dan bergaduh dengan saya dengan suaranya kuat. "Mereka terlalu gembira dan tenang bila masuk sekolah berasrama. Masalahnya bila cuti mereka terpaksa balik. Jadi untuk mengatasi ketakutan, biasanya mereka akan berkumpul dalam bilik kakaknya sama ada membaca atau belajar, hubungan mereka rapat. Tetapi Jay marah, dia tuduh saya ajar anak-anak tak sukakan dia, bukan saya ajar, anak-anak sendiri takutkan ayahnya, sebab bila bergaduh macam-macam benda boleh melayang.

"Ketika belajar di universiti anak-anak bukan setakat takut, tetapi benci dengan perangai dan perbuatan Jay yang tak bermaruah. Anak-anak benci melihat ayahnya cuma berseluar pendek sahaja dalam rumah, berjalan ke hulu ke hilir langsung tak malu, apalagi segan silu pada anak-anak gadisnya, malah dengan selamba menghadap tv hinggakan anak-anak tak berani keluar bilik apatah lagi menonton tv. "Tabiat makan depan tv memang tak senonoh - pinggan, mangkuk, gelas bersepah-sepah dengan lebihan makanan. Bila makanan bertebar tentulah semut, lipas banyak, dia salahkan saya tak kemas rumah, tetapi dia tak pernah salahkan dirinya yang pengotor itu. 

"Perangai kedekut dan pelik Jay bermula sejak anak kecil lagi, dia suka bersendiri, duduk bilik sendiri, tak mahu berkongsi bilik dengan saya, almari pakaian sendiri, laci sendiri yang sentiasa berkunci. Jadi bila kami beli rumah dua tingkat, bilik bawah jadi bilik peribadi Jay, saya pun tak boleh masuk. Malah ruang tamu menjadi milik peribadinya, anak-anak bila balik rumah terus masuk bilik atas tidur beramai-ramai tak turun dah. "Saya tahu Jay ada ramai perempuan, terutama kerja macam dia. Jay lebih suka yang haram daripada halal. Saya pernah suruh dia nikah lagi, kerana saya tak ada anak lelaki yang menjadi idamannya. Tetapi dia tak mahu, sebab tak mahu bertanggungjawab. Dia seronok hidup dengan saya, tak perlu bagi anak-anak duit. Beli rumah pun saya yang urus. Dia ambil peluang gunakan kemudahan sebagai kakitangan kerajaan dan letak rumah atas namanya.

"Benar gajinya dipotong setiap bulan, tapi dia minta ganti daripada saya dengan meminjam setiap bulan. Jay tak bayar cukai pintu ke cukai tanah, bil letrik mahupun air semuanya saya uruskan. Kalau saya lambat bagi dia mengamuk dan mendakwa kalau dia tak beli rumah, saya anak beranak duduk merempat bawah jambatan. Tapi saya yang bayar rumah setiap bulan. "Pernah dua kali saya anak beranak keluar rumah kerana Jay halau, masuk dua bulan Jay jadi sasau sebab tak ada duit. Mulalah pujuk saya balik ke rumah semula. Pernah juga saya ke mahkamah bila Jay jatuhkan talak, tetapi dia tak pernah mengaku. Mulut Jay memang jahat kalau maki hamun, tuduh saya jalang, sundal, anak haram, bangsat dan macam-macam. Sebenarnya Jay jantan jalang, sentiasa mencari pelacur dengan menggunakan kedudukannya sebagai pegawai keselamatan. Boleh takutkan dan gertak orang terutama PATI dengan pangkat dan uniform yang dipakainya. Dia memang salah guna kuasa.

"Suruh nikah lagi dia tak mahu, sebab dia suka benda haram dan free. Saya tak buat tuduhan, malah saya jumpa dan telefon setiap wanita yang dia pernah tidur. Saya suruh mereka nikah, tetapi bila Jay balik mengamuk maki hamun saya. Sebab maki hamun inilah juga dua orang anak kami yang telah bekerja suka duduk sendiri, sebab tak suka dengar Jay memaki hamun saya. "Namun sepandai-pandai tupai melompak, akhirnya jatuh ke tanah, Jay ditangkap kerana berkhalwat dengan salah seorang perempuan simpananya dari seberang. Kini barulah terbongkar siapa Jay sebenar yang selama ini dinafikan oleh kaum keluarganya, kerana depan adik-beradiknya Jay tuduh saya perempuan jahat. Kini semuanya terbongkar apabila mereka jadi penjamin Jay. Malunya bila dah tua-tua kena tangkap basah. Sepatutnya pada usia dekat pencen orang sibuk kahwinkan anak, ini dia pulak kena tangkap basah. 

"Saya kecewa bukan kerana sedih dia ada perempuan lain, sebab saya dah lama tahu, tetapi berasa sedih dan malu kerana sepatutnya pada usia begitu dia rajin ke masjid, rajin solat, bimbing anak-anak ke surau jadi anak solehah, tetapi dia sendiri tunjukkan perangai buruk. "Tiada siapa pun mahukan penceraian pada usia senja namun cabaran demi cabaran, ugutan demi ugutan, serta maki hamun babi, sundal, jalang Jay, membuat saya semakin kecewa dan menghiris hati anak-anak. Anak-anak perempuan saya lagi sedih, seolah-olah kehadiran mereka tidak disukai, sebab ayahnya tak sukakan mereka, kerana inginkan anak lelaki.

"Kami anak-beranak sudah lama sabar, anak-anak sedikit pun tak susah hati bila Jay kena tangkap, malah mendakwa inilah masanya Jay tuai benih yang dia tanam selama ini.’’ Itu cerita Kamaliah panjang lebar penderitaannya selama bergelar isteri, namun terpaksa bersabar dengan kerenah suami yang tak pernah mahu bertanggungjawab dan tak ada harga diri.

Kredit : UtusanMalaysia


Kisah Anak Luar Nikah Dipinggir IbuBapa Sendiri. Remuk Hatiku Bila Dapat Tahu Ibu Dan Ayah Kahwin Lepas 4 Bulan Aku Lahir

15 Apr 2022



Aku Eyna, 27 tahun merupakan seorangi pegawai pemasaran di salah sebuah syarikat tersohor di Malaysia.

Aku merupakan anak sulung dari 4 beradik, adik aku yang kedua dan ketiga telahpun mendirikan rumahtangga dan menetap bersama sama keluarga mertua masing masing.

Ayahku telah pun pencen pada 28 April yang lalu, manakala ibu masih berkerja di salah sebuah kilang disini sebagai seorang supervisor.

Sejak dari kecil aku merupakan anak yang selalu terpinggir, ibu dan ayah mengajar aku untuk hidup tanpa bantuan orang lain dan harus pandai berdikari.

Aku dihantar pulang ke kampung untuk bersekolah disana, aku cuma akan menjadi ‘ anak ‘ ketika cuti sekolah panjang sahaja.

Begitulah rutin aku selama 5 tahun, bahkan boleh dikira dengan jari berapa kali aku pulang ke rumah aku sendiri.

Setiap kali pulang ke rumah, pasti aku akan mengambil baju kotor ibu untuk dibawa ke kampung, buat melepaskan rindu pada keluarga yang jauh disana.

Aku sering dibvli di sekolah hanya kerana kawanku yang lain tidak pernah berjumpa mereka, hinggalah pada pertengahan darjah 5 aku telah dibuli sehingga dirotan oleh cikgu berulangkali hingga lebam dan berbekas darah beku di tangan.

Sebaik pulang nenek, kelihatan sangat sedih kemudian mengkhabarkan kejadian tersebut kepada ibu dan ayah.

Ibu menitipkan pesan bahawa dia akan menukarkan aku untuk bersekolah disana dalam masa terdekat.

Aku sangka aku akan menyambut berita itu dengan penuh perasaan teruja kerana akhirnya aku tidak perlu menunggu cuti sekolah lagi tetapi rupanya itu adalah permulaan bagi segalanya.

Sebaik selesai urusan pertukaran sekolah di Selangor, aku ditempatkan didalam kelas pertama ekoran kecemerlangan aku dalam setiap peperiksaan setiap tahun.

Setiap hari aku akan berjalan ke sekolah selama 15 minit seorang diri sambil memikul beban yang banyak kerana aku akan menghadapi UPSR pada tahun tersebut, sedangkan adik adikku yang lain akan menaiki bas sekolah yang dibayar setiap bulan oleh ibu dan ayah.

Sekiranya aku letih untuk berjalan kaki, aku juga akan menaiki bas tersebut namun aku harus membayar RM2 untuk pergi dan balik menggunakan wang belanja aku sendiri.

Namun tidak pernah keluhan itu terpancar dari bibirku kerana ibu dan ayah sering menekankan bahawa anak sulung harus tumbuh dengan tabah sekali.

Jadual aku padat dengan sekolah kebangsaan di waktu pagi, sekolah agama di waktu petang dan tuisyen di waktu malam 2 hari sekali.

Aku menguruskan keperluanku sendiri, berbeza sekali dengan adikku yang lain kerana segala serba serbi pasti disediakan oleh ibu dan ayah.

Hari demi hari, berbaki seminggu sebelum UPSR ketika aku sibuk menyiapkan borang termasuk salinan fotostat hati aku tertarik untuk melihat sijil nikah ibu dan ayah sekadar tahu tarikh pernikahan mereka kerana aku tidak pernah tahu tentang hal itu.

Alangkah remuknya hatiku bila mengetahui bahawa tarikh pernikahan ibu dan ayah 4 bulan setelah kelahiranku, berkali aku melihatnya dengan harapan aku salah tapi setiap kali itulah kebenaran dihidangkan untukku.

Aku menangis sehari suntuk, tetapi aku tidak berani untuk memberitahu mereka bahawa aku telah tahu semuanya, aku hadapi hari hari yang mendatang dengan perasaan yang sungguh berkecamuk.

Bahkan, aku sampai menangis ketika menjawab UPSR dan aku mula menyalahkan diri aku sendiri.

Aku kekal tegap menyimpan rahsia itu sehingga sekolah menengah, untuk menutup pengetahuanku, aku telah menjadi pelajar cemerlang setiap tahun sehingga dinobatkan antara Pelajar Harapan Negeri Selangor.

Tahun demi tahun, keadaan makin sukar bagiku. Aku mula memberontak bila layanan mereka tidak memadai buatku, mungkin aku telah melihat jurang kemesraan itu dan aku telah pun tahu punca semua itu.

Aku mula berpeleseran di waktu malam bersama rakan rakanku yang lain, termasuklah lelaki. Aku mula keluar secara sembunyi, merokok, bergaul bebas dan bahkan aku mula minum minuman keras.

Aku menjadi sangat liar dan tidak terkawal, cara ibu dan ayah mengajarku adalah dengan kekerasan dan bukannya secara diplomasi hati ke hati.

Setiap kekerasan yang hinggap di batang tubuhku seolah tidak terasa apa pun, sekadar menjadi angin lalu buatku dan itu membuatkan aku semakin memberontak.

Pada permulaan tingkatan 5, aku telah dipukul oleh ibu hanya kerana aku memarahi adikku kerana tidak meninggalkan makanan buatku yang lelah berjalan menghadap terik mentari sewaktu pulang dari sekolah.

Ibu memijak mukaku berulangkali sehingga mukaku bengkak dan mengeluarkan drah dengan begitu banyak sekali, aku tidak sanggup lagi hidup menjadi anak buangan lalu aku mengambil keputusan untuk lari dari rumah.

Berbekalkan RM20, aku menaiki bas menuju ke Ipoh. Aku cuma sehelai sepinggang berbekalkan duit belanja yang dikumpul, IC, sebotol air mineral dan sehelai baju sejuk.

Seharian berjalan di kota yang asing, tanpa makan bahkan sesuap, tanpa wang untuk pulang akhirnya aku terduduk disebuah tangga kedai.

Aku melepaskan lelah dan tertidur pulas sambil memegang perut yang lapar. Aku akan mengutip makanan di tokong kecil, mandi di tandas awam berhampiran dan tidur semula di tangga dalam keadaan duduk, panas dan dihurung nyamuk.

Seminggu berkeadaan begitu, akhirnya aku mengambil keputusan untuk berkerja. Aku mendapat tawaran berkerja disebuah kelab malam sebagai ‘assistent bartender’ di Ipoh.

Aku diberi kemudahan untuk tinggal di rumah sewa yang disediakan oleh pihak majikan. Setiap hari dihidangkan oleh gemerlap dunia membuatkan aku lupa pada keluarga juga pada agama, hampir setahun aku menghilangkan diri tanpa khabar buat mereka.

Saat itu aku terasa puas dan bebas tidak lagi hidup menjadi sesiapa, namun disatu sisi yang lain aku merasa kosong dan rindu pada yang jauh dimata.

Setelah lebih 2 tahun diperantauan akhirnya aku mengambil keputusan untuk pulang dan mendaftarkan diri sebagai calon persendiriaan SPM hasil pertolongan kaunselor sekolah dan aku juga menggunakan gaji yang telah dikumpul selama berkerja di bar tersebut.

Kepulanganku juga membawa kerinduaan dan azam seorang anak untuk berbakti pada keluarga namun benar kata pepatah ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari.

Pulangnya aku ke rumah tidak disambut baik, bahkan mereka memerliku sepanjang masa namun aku sudah lalu pada istilah ‘ keluarga ‘ mereka.

Aku mengasingkan diri daripada mereka, aku meneruskan kehidupan sebagai seorang pelajar. Begitu payah rasanya, hampir aku terpunduk jatuh di tengah jalan.

Alunan ‘perempuan sundal’ , ‘jalang’ dan sebagainya akan didendangkan dari mulut ibu dan ayah. Adik adikku yang lain juga terikut dengan alunan tersebut dan itulah mimpiku setiap hari.

Aku kekal teguh berdiri menjadi tempat melampiaskan amarah mereka saban hari sehingga keputusan SPM telah pun keluar.

Hasil lelah dan kesabaran itu terbukti bila aku mendapat keputusan ‘Straight A’s’ dalam peperiksaan tersebut sekaligus melayakkan diriku untuk melanjutkan pelajaran di universiti.

Di semester akhir pengajian, aku dikhabarkan oleh guru di kolej adik keduaku bahawa dia disahkan hamil 5 bulan akibat terlanjur. Ibu dan ayah terus menikahkan mereka berdua untuk menutup malu.

Kini mereka telah pun dikurniakan seorang anak perempuan dan selang 8 bulan kemudian sekali lagi aku dikhabarkan bahawa adikku yang ketiga telah menghamili teman wanitanya dan berakhir dengan pernikahan untuk menutup malu.

Serasa puas benar, akhirnya kata kata mereka dulu telah berpatah balik kepada mereka sendiri.

Aku juga telah pun disahkan menghidap tekanan perasaan yang pelbagai dan masih lagi meneruskan rawatan dengan pakar pskiatri. Mereka masih belum insaf dengan kejadian yang telah berlaku.

Doakan aku kuat menjalani hari yang mendatang, doakan mereka berubah suatu hari nanti.

Kredit : ekisah


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.