SLIDER

anak luar nikah
Showing posts with label anak luar nikah. Show all posts

Kisah Anak Luar Nikah Dipinggir IbuBapa Sendiri. Remuk Hatiku Bila Dapat Tahu Ibu Dan Ayah Kahwin Lepas 4 Bulan Aku Lahir

15 Apr 2022



Aku Eyna, 27 tahun merupakan seorangi pegawai pemasaran di salah sebuah syarikat tersohor di Malaysia.

Aku merupakan anak sulung dari 4 beradik, adik aku yang kedua dan ketiga telahpun mendirikan rumahtangga dan menetap bersama sama keluarga mertua masing masing.

Ayahku telah pun pencen pada 28 April yang lalu, manakala ibu masih berkerja di salah sebuah kilang disini sebagai seorang supervisor.

Sejak dari kecil aku merupakan anak yang selalu terpinggir, ibu dan ayah mengajar aku untuk hidup tanpa bantuan orang lain dan harus pandai berdikari.

Aku dihantar pulang ke kampung untuk bersekolah disana, aku cuma akan menjadi ‘ anak ‘ ketika cuti sekolah panjang sahaja.

Begitulah rutin aku selama 5 tahun, bahkan boleh dikira dengan jari berapa kali aku pulang ke rumah aku sendiri.

Setiap kali pulang ke rumah, pasti aku akan mengambil baju kotor ibu untuk dibawa ke kampung, buat melepaskan rindu pada keluarga yang jauh disana.

Aku sering dibvli di sekolah hanya kerana kawanku yang lain tidak pernah berjumpa mereka, hinggalah pada pertengahan darjah 5 aku telah dibuli sehingga dirotan oleh cikgu berulangkali hingga lebam dan berbekas darah beku di tangan.

Sebaik pulang nenek, kelihatan sangat sedih kemudian mengkhabarkan kejadian tersebut kepada ibu dan ayah.

Ibu menitipkan pesan bahawa dia akan menukarkan aku untuk bersekolah disana dalam masa terdekat.

Aku sangka aku akan menyambut berita itu dengan penuh perasaan teruja kerana akhirnya aku tidak perlu menunggu cuti sekolah lagi tetapi rupanya itu adalah permulaan bagi segalanya.

Sebaik selesai urusan pertukaran sekolah di Selangor, aku ditempatkan didalam kelas pertama ekoran kecemerlangan aku dalam setiap peperiksaan setiap tahun.

Setiap hari aku akan berjalan ke sekolah selama 15 minit seorang diri sambil memikul beban yang banyak kerana aku akan menghadapi UPSR pada tahun tersebut, sedangkan adik adikku yang lain akan menaiki bas sekolah yang dibayar setiap bulan oleh ibu dan ayah.

Sekiranya aku letih untuk berjalan kaki, aku juga akan menaiki bas tersebut namun aku harus membayar RM2 untuk pergi dan balik menggunakan wang belanja aku sendiri.

Namun tidak pernah keluhan itu terpancar dari bibirku kerana ibu dan ayah sering menekankan bahawa anak sulung harus tumbuh dengan tabah sekali.

Jadual aku padat dengan sekolah kebangsaan di waktu pagi, sekolah agama di waktu petang dan tuisyen di waktu malam 2 hari sekali.

Aku menguruskan keperluanku sendiri, berbeza sekali dengan adikku yang lain kerana segala serba serbi pasti disediakan oleh ibu dan ayah.

Hari demi hari, berbaki seminggu sebelum UPSR ketika aku sibuk menyiapkan borang termasuk salinan fotostat hati aku tertarik untuk melihat sijil nikah ibu dan ayah sekadar tahu tarikh pernikahan mereka kerana aku tidak pernah tahu tentang hal itu.

Alangkah remuknya hatiku bila mengetahui bahawa tarikh pernikahan ibu dan ayah 4 bulan setelah kelahiranku, berkali aku melihatnya dengan harapan aku salah tapi setiap kali itulah kebenaran dihidangkan untukku.

Aku menangis sehari suntuk, tetapi aku tidak berani untuk memberitahu mereka bahawa aku telah tahu semuanya, aku hadapi hari hari yang mendatang dengan perasaan yang sungguh berkecamuk.

Bahkan, aku sampai menangis ketika menjawab UPSR dan aku mula menyalahkan diri aku sendiri.

Aku kekal tegap menyimpan rahsia itu sehingga sekolah menengah, untuk menutup pengetahuanku, aku telah menjadi pelajar cemerlang setiap tahun sehingga dinobatkan antara Pelajar Harapan Negeri Selangor.

Tahun demi tahun, keadaan makin sukar bagiku. Aku mula memberontak bila layanan mereka tidak memadai buatku, mungkin aku telah melihat jurang kemesraan itu dan aku telah pun tahu punca semua itu.

Aku mula berpeleseran di waktu malam bersama rakan rakanku yang lain, termasuklah lelaki. Aku mula keluar secara sembunyi, merokok, bergaul bebas dan bahkan aku mula minum minuman keras.

Aku menjadi sangat liar dan tidak terkawal, cara ibu dan ayah mengajarku adalah dengan kekerasan dan bukannya secara diplomasi hati ke hati.

Setiap kekerasan yang hinggap di batang tubuhku seolah tidak terasa apa pun, sekadar menjadi angin lalu buatku dan itu membuatkan aku semakin memberontak.

Pada permulaan tingkatan 5, aku telah dipukul oleh ibu hanya kerana aku memarahi adikku kerana tidak meninggalkan makanan buatku yang lelah berjalan menghadap terik mentari sewaktu pulang dari sekolah.

Ibu memijak mukaku berulangkali sehingga mukaku bengkak dan mengeluarkan drah dengan begitu banyak sekali, aku tidak sanggup lagi hidup menjadi anak buangan lalu aku mengambil keputusan untuk lari dari rumah.

Berbekalkan RM20, aku menaiki bas menuju ke Ipoh. Aku cuma sehelai sepinggang berbekalkan duit belanja yang dikumpul, IC, sebotol air mineral dan sehelai baju sejuk.

Seharian berjalan di kota yang asing, tanpa makan bahkan sesuap, tanpa wang untuk pulang akhirnya aku terduduk disebuah tangga kedai.

Aku melepaskan lelah dan tertidur pulas sambil memegang perut yang lapar. Aku akan mengutip makanan di tokong kecil, mandi di tandas awam berhampiran dan tidur semula di tangga dalam keadaan duduk, panas dan dihurung nyamuk.

Seminggu berkeadaan begitu, akhirnya aku mengambil keputusan untuk berkerja. Aku mendapat tawaran berkerja disebuah kelab malam sebagai ‘assistent bartender’ di Ipoh.

Aku diberi kemudahan untuk tinggal di rumah sewa yang disediakan oleh pihak majikan. Setiap hari dihidangkan oleh gemerlap dunia membuatkan aku lupa pada keluarga juga pada agama, hampir setahun aku menghilangkan diri tanpa khabar buat mereka.

Saat itu aku terasa puas dan bebas tidak lagi hidup menjadi sesiapa, namun disatu sisi yang lain aku merasa kosong dan rindu pada yang jauh dimata.

Setelah lebih 2 tahun diperantauan akhirnya aku mengambil keputusan untuk pulang dan mendaftarkan diri sebagai calon persendiriaan SPM hasil pertolongan kaunselor sekolah dan aku juga menggunakan gaji yang telah dikumpul selama berkerja di bar tersebut.

Kepulanganku juga membawa kerinduaan dan azam seorang anak untuk berbakti pada keluarga namun benar kata pepatah ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari.

Pulangnya aku ke rumah tidak disambut baik, bahkan mereka memerliku sepanjang masa namun aku sudah lalu pada istilah ‘ keluarga ‘ mereka.

Aku mengasingkan diri daripada mereka, aku meneruskan kehidupan sebagai seorang pelajar. Begitu payah rasanya, hampir aku terpunduk jatuh di tengah jalan.

Alunan ‘perempuan sundal’ , ‘jalang’ dan sebagainya akan didendangkan dari mulut ibu dan ayah. Adik adikku yang lain juga terikut dengan alunan tersebut dan itulah mimpiku setiap hari.

Aku kekal teguh berdiri menjadi tempat melampiaskan amarah mereka saban hari sehingga keputusan SPM telah pun keluar.

Hasil lelah dan kesabaran itu terbukti bila aku mendapat keputusan ‘Straight A’s’ dalam peperiksaan tersebut sekaligus melayakkan diriku untuk melanjutkan pelajaran di universiti.

Di semester akhir pengajian, aku dikhabarkan oleh guru di kolej adik keduaku bahawa dia disahkan hamil 5 bulan akibat terlanjur. Ibu dan ayah terus menikahkan mereka berdua untuk menutup malu.

Kini mereka telah pun dikurniakan seorang anak perempuan dan selang 8 bulan kemudian sekali lagi aku dikhabarkan bahawa adikku yang ketiga telah menghamili teman wanitanya dan berakhir dengan pernikahan untuk menutup malu.

Serasa puas benar, akhirnya kata kata mereka dulu telah berpatah balik kepada mereka sendiri.

Aku juga telah pun disahkan menghidap tekanan perasaan yang pelbagai dan masih lagi meneruskan rawatan dengan pakar pskiatri. Mereka masih belum insaf dengan kejadian yang telah berlaku.

Doakan aku kuat menjalani hari yang mendatang, doakan mereka berubah suatu hari nanti.

Kredit : ekisah


Kisah Wanita Lahirkan Anak Luar Nikah Ketika Remaja Jadi Tauladan Kepada Remaja Lain.

13 Apr 2022



Era zaman permodenan yang penuh dengan kehidupan yang bebas bersosial membuatkan ramai anak-anak muda sekarang yang terjerumus ke dalam lembah maksiat tanpa sedar akan kesan buruk kepada mereka pada masa akan datang.


Keterlanjuran yang melibatkan remaja bawah umur semakin meningkat saban tahun menyebabkan kes pembuangan bayi turut meningkat seiring dengan peredaran zaman namun keterlanjuran tersebut juga meninggalkan kesan kepada diri mereka sepanjang hayat akibat daripada kebodohan mereka sendiri.

Ada juga remaja yang terlanjur dengan pasangan kekasih yang kemudiannya telah menyedari kesilapan mereka dan telah membina kehidupan baru bersama, namun tidak kurang juga yang melakukan maksiat hanya untuk tujuan suka-suka.

Seorang wanita sanggup tampil menceritakan kisah hidupnya yang terlanjur bersama kekasihnya sehingga hamil demi memberikan pengajaran kepada orang ramai di luar sana.

Menurut laporan Sinar Harian, wanita tersebut telah menceritakan pengalamannya sendiri mengandung dan melahirkan anak, walaupun di luar ikatan perkahwinan tidak membezakan perasaan seorang ibu kepada anaknya, malah kasih sayang tidak berbelah bahagi dicurahkan  Aini, 27, kepada anak lelakinya, Alif.

Alif dilahirkan sebagai anak luar nikah namun saya bersyukur kerana keluarga menerima kehadirannya. Bertungkus lumus keluarga mendapatkan perintah mahkamah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan hak jagaan ke atas anak saya kerana ketika itu saya masih di bawah 18 tahun, kata Aini ketika ditemui di rumahnya di Maran, semalam.

Dia kini sudah berumah tangga dengan lelaki yang sudi menerima segala kekhilafannya, serta sudi mencurahkan kasih seorang bapa kepada anak lelakinya itu.

Katanya, sebaik saja dimaklumkan yang dia hamil dua bulan, keluarganya cuba berbincang dengan keluarga bekas kekasihnya untuk bertanggungjawab namun, segalanya sia-sia. Kasih diharapkan, kata-kata kesat diterima.

Malah, Aini dituduh menabur fitnah dan sengaja mahukan anak mereka bertanggungjawab.

Bapanya membuat laporan polis dan bekas kekasihnya ditangkap serta dihadapkan ke mahkamah kerana Aini masih di bawah umur ketika itu.

Aini berkata, dia berharap kisahnya itu menjadi tauladan kepada remaja lain.

Saya seorang anak yang pendiam. Bijak dan selalu mendapat keputusan yang baik dalam pelajaran. Mendapat 6A dalam PMR, saya terpilih ke sebuah sekolah asrama penuh di utara tanah air. Namun ketika itu, saya sudah ada kekasih hati di kampung, membuatkan saya selalu buat hal di asrama hingga digantung sekolah.

Beberapa kali digantung, akhirnya cikgu mencadangkan kepada bapa saya supaya pindahkan saya ke sekolah biasa.

Akhirnya saya dapat balik semula ke kampung dan mudahlah untuk saya berjumpa kekasih saya semula. Selama dua tahun berkawan dengannya saya mampu jaga diri namun suatu hari, pada hari raya ketiga di rumah keluarganya, semua itu telah berlaku. Ketika itu keluarganya semua pulang ke kampung.

Dia pandai memujuk dan tabur janji untuk bertanggungjawab sekiranya apa-apa terjadi kepada saya. Ternyata janjinya itu palsu. Dia tinggalkan saya menanggung malu, menyapu arang dan menyebar aib kepada keluarga, katanya.

Pada awalnya, setelah mengetahui dirinya hamil, Aini melarikan diri ke sebuah rumah perlindungan wanita-wanita terlanjur di Selangor dengan bantuan seorang rakan.

Namun, menyedari sesuatu yang tidak kena dengan perjanjian pusat perlindungan itu, Aini mengambil keputusan melarikan diri.

Pusat perlindungan itu berjanji akan menjaga rahsia saya daripada keluarga asalkan saya berikrar bayi saya diserahkan sebaik sahaja dilahirkan. Saya juga akan diberikan sedikit wang apabila keluar nanti, untuk meneruskan hidup.

Awalnya saya terima kerana saya tiada pilihan. Tapi, sepanjang seminggu berada di sana, saya melihat ramai wanita lain yang menangis dan meroyan kerana melalui tempoh pantang tanpa bayi. Ada yang susu bengkak dan ada yang meratap sepanjang hari. Saya jadi takut dan mula sayangkan anak saya. Jadi saya lari, katanya.

Akhirnya Aini memilih untuk berdepan dengan keluarganya dan menerima apa sahaja hukuman, asalkan dia dimaafkan.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, pada awalnya dia dipukul oleh bapanya yang tidak menyangka dia tergamak menconteng arang ke muka keluarganya.

Katanya, bagaimanapun akhirnya keluarga berlembut hati dan mahu berjumpa dengan lelaki yang bertanggungjawab menghamilkannya.

Jika saya mampu ubah masa silam, saya akan turut semua teguran dan nasihat ibu. Kebodohan diri yang memberontak gara-gara dikongkong akhirnya memakan diri. Walaupun dipukul separuh mati, saya tak berganjak dan akhirnya hati bapa lembut hati.

Keluarga terima saya kerana nasi sudah menjadi bubur. Saya minta keluarga bantu kerana saya mahu jaga anak dalam kandungan saya, katanya.

Aini berkata, dia insaf dengan ketelanjuran di masa silamnya itu yang ternyata mengecewakan keluarga, hinggakan bapanya seperti orang hilang pertimbangan kerana tidak dapat terima hakikat bahawa anaknya mengaibkan keluarga.

Alahan teruk sepanjang hamil

SEPANJANG mengandung, Aini melalui tempoh sukar kerana mengalami alahan teruk.

Katanya, ketika bersalin, dia tumpah darah dan hampir pengsan, malah semasa berpantang, dia seakan meroyan kerana menangisi nasibnya.

Namun sokongan keluarga sangat kuat. Setiap kali ke klinik atau hospital, kakak ada di sini menemani saya. Dia seboleh-bolehnya jaga supaya tak ada orang sekeliling menyakiti hati saya.

Sebaik bayi saya lahir dan membesar di depan mata, saya merasai nikmatnya bergelar ibu dan mula faham kasih sayang sebenar ibu bapa. Mereka mengongkong dan menjaga kita hanya kerana tak mahu kita terluka.

Sekarang anak saya dah berumur sembilan tahun.

Anak yang bijak dalam pelajaran dan dia seakan faham dan pernah bertanya kenapa adiknya berbinkan nama ayah, sedangkan dia bin Abdullah.

Dia juga pernah kata yang dia belajar subjek Sains dan agama dan tahu apa berlaku, cuma dia minta, suatu hari nanti ibu beritahu perkara sebenar, katanya




Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.