SLIDER

luahan
Showing posts with label luahan. Show all posts

Batal Nikah di Saat Akhir: Realiti, Emosi & Nasihat Buat Bakal Pengantin

8 Sept 2025

 


๐Ÿง• Luahan Pengantin Wanita

“Semua dah siap. Baju sanding, pelamin, katering – tinggal beberapa hari je lagi. Tapi siapa sangka, orang yang saya rancang nak sehidup semati, tarik diri di saat akhir.”

Saya tak pernah bayangkan saya akan jadi ‘kisah tular’ yang orang bercakap. Tapi inilah hakikatnya — batal nikah di saat akhir. Saya malu. Sedih. Marah. Dan yang paling pedih, saya sendiri tak tahu kenapa semua ni jadi.

Sepanjang bertunang, saya dah nampak beberapa red flags, tapi saya diam. Saya fikir semua orang ada kekurangan. Tapi makin dekat tarikh nikah, makin jelas... dia bukanlah orang yang saya sangka.

Dia makin jauh. Makin panas baran. Setiap kali saya tanya tentang perancangan hidup lepas kahwin, dia sambil lewa.

Saya cuba kuat. Saya fikir mungkin semua ini tekanan sebelum kahwin. Tapi bila dia kata, "Saya tak pasti saya betul-betul nak kahwin," hati saya jatuh berkecai.

Saya tak salahkan dia 100%. Mungkin kami berdua terperangkap dalam idea bahawa cinta itu cukup. Tapi realitinya, cinta tanpa persediaan dan komunikasi yang jujur, takkan bawa ke mana.



๐Ÿ‘จ‍๐Ÿ’ผ Luahan Pengantin Lelaki

“Saya tahu saya kejam. Saya tahu saya lukakan hati dia. Tapi saya tak sanggup tipu diri sendiri. Saya sayang dia... tapi saya tak yakin kami akan bahagia.”

Dari awal, saya setuju bertunang sebab keluarga dah suka. Dia baik, cantik, jaga solat. Tapi sepanjang kami bertunang, saya mula sedar — kami tak serasi dari sudut nilai hidup.

Dia nak tinggal dekat keluarga dia, saya pula anak sulung yang kena jaga mak ayah. Bila bincang pasal kewangan, dia banyak bergantung pada saya — sedangkan saya baru nak bina kerjaya.

Saya pendam semua tu, fikir nanti akan okey lepas kahwin. Tapi makin lama, makin saya rasa saya tipu dia... dan tipu diri sendiri.

Seminggu sebelum nikah, saya buat keputusan paling susah dalam hidup — saya batalkan perkahwinan.

Bukan sebab saya tak sayang. Tapi sebab saya tak nak kami dua-dua terseksa nanti.




๐Ÿ’ฌ Realiti: Batal Nikah Bukan Bererti Gagal

Fenomena batal nikah di saat akhir memang menyakitkan, tapi kadangkala ia adalah penyelamat dari sesuatu yang lebih parah. Daripada kahwin dalam keadaan ragu-ragu, lebih baik undur sebelum terlambat.

Kita selalu diajar, "Kahwin dulu, nanti belajar serasi," tapi bukan semua orang mampu tanggung risiko itu.


๐ŸŽฏ Nasihat Buat Bakal Pengantin – Sebelum Melangkah ke Pelamin


1. Jangan Kahwin Sebab Tekanan

  • Jangan kahwin sebab “semua kawan dah kahwin”, sebab keluarga paksa, atau sebab nak tutup aib.

  • Perkahwinan bukan pelarian — ia tanggungjawab besar.

  • Bila buat keputusan sebab tekanan, risiko menyesal sangat tinggi.

2. Kenali Pasangan Secara Realistik

  • Bukan sekadar dating & sweet talk.

  • Tanya soalan penting:

    • Pandangan dia tentang duit, kerja, anak, dan mertua.

    • Adakah dia terbuka terima teguran?

    • Bagaimana dia urus emosi semasa stres?

  • Jangan takut minta pandangan keluarga dan kawan rapat — kadang orang luar nampak apa yang kita tak nampak.

3. Jangan Abaikan Tanda Bahaya (Red Flags)

  • Contoh red flags biasa:

    • Suka mengawal, suka mengugut atau emosi tak stabil.

    • Sering berbohong, tidak konsisten dalam kata-kata.

    • Tidak hormat ibu bapa kamu, atau kamu sendiri.

    • Malas bekerja, tak ada perancangan hidup.

๐Ÿ”‘ "Cinta boleh tumbuh, tapi kepercayaan sukar dibina semula bila dah retak."

4. Jangan Lupa Buat Solat Istikharah

  • Ini bukan formaliti. Minta petunjuk dengan ikhlas.

  • Bukan tunggu mimpi — tapi rasa hati kamu akan tenang jika itu yang terbaik.

5. Elak Persediaan Majlis Melebihi Persediaan Jiwa

  • Ramai terlalu fokus pada baju, deko, hantaran — sampai lupa soal ilmu rumah tangga, komunikasi, pengurusan emosi & konflik.





๐Ÿง  Jika Dah Terjadi – Bila Nikah Terpaksa Dibatalkan

Batal nikah bukan penghujung dunia. Tapi memang ia meninggalkan luka.

๐Ÿ’” 1. Terima Emosi, Tapi Jangan Lama Terperangkap

  • Sedih itu normal. Menangis pun tak salah.

  • Tapi jangan biarkan diri terperangkap terlalu lama. Bangkit perlahan-lahan.

๐Ÿ‘ฅ 2. Elakkan ‘Blame Game’

  • Jangan terlalu salahkan diri atau orang lain.

  • Toksik juga bila kita terus menyimpan dendam atau ingin memalukan bekas pasangan di media sosial.

๐Ÿ™ 3. Jaga Aib – Sendiri dan Orang Lain

  • Islam sangat jaga bab aib. Mendedahkan hal dalaman kepada umum boleh jatuh kepada fitnah.

  • Biarlah orang bercakap. Yang penting, kita tahu kebenaran.

๐Ÿ“š 4. Belajar Dari Pengalaman

  • Ambil masa untuk muhasabah: Apa yang boleh saya perbaiki? Adakah saya terlalu bergantung pada pasangan? Adakah saya abaikan petunjuk awal?

๐Ÿง˜‍♀️ 5. Dapatkan Sokongan Emosi & Kaunseling

  • Tak salah jumpa kaunselor atau ustaz/ustazah yang amanah untuk bimbingan.

  • Ramai yang trauma selepas batal nikah, jadi jangan pendam — cari bantuan





❤️ Buat Yang Masih Dalam Proses Persiapan Perkahwinan
  • Pastikan kamu bersedia secara emosi dan spiritual.

  • Jangan banding hubungan kamu dengan orang lain.

  • Ambil masa untuk berdoa dan berfikir sebelum buat keputusan besar.

  • Percayalah, nikah bukan berlumba siapa paling awal — tapi siapa paling bersedia.




๐Ÿ’ฌ Batal Bukan Gagal

Perkahwinan bukan destinasi — ia permulaan. Jadi, Jadikan ia pengalaman yang mengajar, bukan yang membunuh semangat.

Yang penting, jangan takut untuk jatuh — takutlah kalau kamu tak nak bangun semula.



“Batal nikah bukan kegagalan, ia perlindungan. Kadang-kadang, Tuhan pisahkan kamu sekarang untuk selamatkan kamu dari musibah yang lebih besar nanti.”


Ruangan komen terbuka untuk anda. Sama ada pernah lalui, sedang melalui, atau sekadar nak berkongsi pandangan — tulis di bawah.
Mungkin luahan anda boleh bantu beri semangat kepada yang lain.


Kasih Seorang Insan Bernama Ayah

24 Apr 2022

 


Untuk anak-anak ayah yang ayah sayangi di bumi Allah SWT. Segala puji bagi Allah SWT, yang telah memudahkan ayah untuk beribadah kepada-Nya. Selawat serta salam, ayah sampaikan kepada Nabi Muhammad SAW, keluarga, dan para sahabat sekalian.

Wahai anak-anak ayah…

Luahan rasa ini ini datang dari lubuk hati ayahmu, yang selalu dirundung keresahan. Satelah berpikir panjang, ayah  mencuba untuk menulis dan menekan papan kekunci menggunakan jari-jari ayah yang semakin kendur, sekalipun keraguan dan rasa malu menyelimuti diri ayahmu ini.



Setiap kali meluahkan isi hati melalui papan kekunci yang usang ini, setiap itu pula jari-jari ayah terhalang oleh tangis. Dan setiap kali menitiskan air mata, setiap itu pula, hati ini terluka. 

Wahai anak sulung ayah

Tanggal 26 Disember 1985, engkau telah dilahirkan wahai anak sulungku. Ayah masih ingat, ayah berada disisi ibumu didalam bilik bersalin ketika engkau mula menjengah dunia ini dan bercampurlah air mata kebahagiaan ayah dengan air mata tangismu. Ayah masih ingat bahawa arwah datukmu yang telah mengalunkan azan ke telingamu. Sesungguhnya bait-bait suci itulah yang mula-mula engkau dengar dan terukirlah kalimah tauhid di kanvas hatimu yang masih suci. Itulah bekal utama,  jati dirimu yang pertama. Dan maktub sudah  janji insan di sisi Tuhan. Wahai anak ayah, kau adalah hamba Allah SWT dan khalifah-Nya. Dan ayah adalah ayahmu,  pemegang amanah kehidupanmu yang fana. Ayah merasa sungguh gembira pada ketika itu kerana telah bergelar “ayah” dan bertambahlah tanggungjawab ayah. Ayah bersyukur kepada Allah SWT.

Apabila telah berlalu setahun dari usiamu, pada tanggal 8 Ogos 1987, lahirlah adikmu, seorang bayi lelaki sebagai penyambung zuriat ayah. Ketika itu, ayah sendiri yang telah mengalunkan azan ke telinga adikmu. Masa pantas berlalu tanpa boleh dikejar dan setelah empat tahun berselang, iaitu pada tanggal 16 Ogos 1991 seorang lagi adikmu dilahirkan, seorang bayi perempuan yang periang. Masa berlalu lagi yang tidak pernah sepi dari gelombang dan setelah agak lama berlalu iaitu pada tanggal 6 Oktober 1999, lahir seorang bayi perempuan iaitu adikmu yang bungsu. 

Wahai anak-anak ayah…

Ketika diawal-awal usiamu, ayah masih ingat bahawa ayah selalu menolong ibumu memandikanmu dengan kedua tangan kasih sayang ayah, memakaikan lampinmu dan pakaianmu, membancuh air minummu dikala engkau kelaparan, menyapu minyak angin dan mengurut dadamu ketika kembung perutmu. Kehidupan ayah, ayah berikan kepadamu. Ayah tidak tidur, demi tidurmu, berletih demi kebahagiaanmu. Harapan ayah pada setiap hari, agar ayah selalu melihat senyumanmu. Kebahagiaan ayah setiap saat, adalah setiap permintaanmu agar ayah berbuat sesuatu untukmu. Itulah kebahagiaan ayah.

Lalu berlalulah waktu, hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, selama itu pula, ayah setia menjadi pelayanmu yang tidak pernah lalai, setiap permintaanmu ayah penuhi,  menjadi dayangmu yang tidak pernah berhenti, kemana sahaja kamu nak pergi, ayah menjadi pemandumu, menjadi pekerjamu yang tidak pernah lelah, setiap kehendakmu ayah turuti dan saban hari ayah mendoakan kebaikan dan taufiq untukmu. Harapan ayah supaya anak-anak ayah semua menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. 

Wahai anak-anak perempuan ayah…

Ayah selalu memperhatikan dirimu, hari demi hari, minggu demi minggu, tahun demi tahun, dan waktu pun terus berlalu, seakan-akan ayah menyeretnya dengan berat sekali seakan tidak mampu ayah harungi. Sepanjang masa yang telah engkau lalui, ayah lihat anak-anak ayah semua telah menjadi semakin dewasa. Namun perasaan hati ayah berbaur bahagia dan duka. Bahagia kerana anak-anak ayah  semuanya cerdas dan bijaksana, sedangkan duka kerana anak-anak ayah sering berpenampilan tidak saperti yang ayahmu harapkan. Tatkala itu, hati ayah serasa teriris-iris, air mata ayah mengalir, entah apa rasanya hati ini. Bahagia telah bercampur dengan duka. Tangis telah bercampur pula dengan tawa.

Dimanakah silap ayah? Apakah ayah tidak menghantarmu ke sekolah agama hingga perilakumu sedemikian rupa? Seingat ayah, akademikmu cemerlang, pelajaran agamamu terbilang! Apakah ayahmu tidak bekalkan ilmu buatmu menyuluh? Ayah mendidikmu bagaikan menatang air yang penuh! Agar kamu tahu menilai pahala dan arif mengenal dosa. Ayah selalu berdamping dengan mu, mendengar luahan kata yang tersurat dan memahami syarat dalamannya yang tersirat. Apakah itu tidak mampu membantumu? Fikiran ayah semakin kontang. Sudah beberapa dekad amanah Allah SWT ayah genggam. Ayah cuba perkukuhkan amanah ini hari demi hari. Adakalanya ayah tegak berdiri dengan ampuh. Tetapi banyak masanya ayah terjatuh, ayah dilanggar dan dirempuh. 

Wahai anak-anak perempuan ayah…

Melalui rintihan ayah ini, ayah ingin melihat kiranya anak-anak ayah berpenampilan sebagaimana yang ayah inginkan, agar sejuk mata ayah memandang, hati tidak rasa  radang, perasaan tidak terus karuan, kiranya ayah pergi tidak kempunan dengan dosa yang diampun Tuhan. 

Wahai anak-anak perempuan ayah…

Pakailah pakaian yang menutup seluruh tubuh kecuali bahagian yang biasa nampak 

Kerana ini adalah firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 59: yang bermaksud “Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya  ke seluruh tubuh” sedang jilbab itu pakaian yang menutupi seluruh tubuh.

Juga terdapat dalam firman Allah dalam surah an-Nur ayat 31: yang bermaksud“ Katakanlah kepada wanita-wanita beriman, hendaklah mereka menahan pandangan mereka, memelihara kemaluan mereka dan jangan menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang biasa nampak. 

Ibnu Katsir dalam menafsirkan ayat diatas sebagai “mereka tidak menampakkan sedikitpun perhiasannya kepada orang-orang ajnabi (bukan mahram), kecuali bahagian yang tidak boleh disembunyikan”. 

Namun ulamak berbeza pendapat tentang “kecuali yang biasa nampak” ada yang mentafsirkannya sebagai pakaian-pakaian luar, celak, cincin, gelang dan muka dan kedua tapak tangan. Pendapat yang lebih tepat adalah muka dan tapak tangan, kerana celak letaknya dimuka manakala cincin dan gelang di tangan.


Kesimpulannya, wajib bagi seluruh wanita, baik yang merdeka atau hamba abdi untuk menutupkan pakaiannya ke seluruh tubuh ketika mereka keluar. Mereka hanya dibolehkan menampakkan muka dan kedua telapak tangannya sahaja berdasarkan kebiasaan yang berlaku pada zaman Nabi saw kerana adanya persetujuan beliau terhadap mereka. 

Wahai anak-anak perempuan ayah…

Pakailah pakaian yang tidak untuk berhias. 

Kerana ini adalah firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud: “Janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka”. Secara umum ia mengandungi larangan menghiasi pakaian yang dipakai sehingga menarik perhatian laki-laki.

Ayat di atas dikuatkan oleh firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu semua tetap tinggal dirumah! Juga, janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliah dulu”.

Juga sebuah hadis Nabi yang bermaksud: “ Ada 3 golongan manusia yang tidak ditanya (kerana mereka sudah pasti termasuk orang-orang yang celaka): pertama orang laki-laki yang meninggalkan jemaah dan mendurhakai imamnya serta meninggal dalam kedurhakaan itu; kedua, seorang budak perempuan atau lelaki yang melarikan diri dari Tuannya lalu mati; ketiga, wanita yang ditinggalkan pergi oleh suaminya, dimana suaminya itu telah mencukupi keperluan dunianya, namun (ketika suaminya tiada dirumah) dia bertabarruj.” [Hadith  riwayat al-Hakim & Ahmad]

Kalimah tabarruj  bererti perbuatan wanita menampakkan perhiasan dan kecantikannya, serta segala sesuatu yang harus ditutup dan disembunyikan kerana boleh membangkitksn syahwat laki-laki. Jadi maksud perintah mengenakan pakaian yang menutup aurat (jilbab) adalah perintah untuk menutup perhiasan wanita. Maka tidak masuk akal bila jilbab yang berfungsi untuk menutup perhiasan wanita itu menjadi pakaian untuk berhias. 

Wahai anak-anak perempuan ayah…

Pakailah pakaian yang kainnya tebal dan tidak nipis. 

Kerana pakaian yang menutup aurat disyaratkan diperbuat daripada kain yang tebal, sebab sesuatu yang menutup itu hendaklah daripada yang tebal. Adapun kain yang nipis akan hanya menampakkan bentuk tubuh dan warna kulit yang menjadi tarikan lelaki untuk memandangnya. Pakaian seperti ini tidak berfungsi sebagai menutup aurat kerana tidak dapat menghalangi daripada pandangan  mata.

Ibnul Abdil Bar berkata “Yang dimaksudkan oleh Nabi  saw adalah para wanita yang mengenakan pakaian nipis yang menggambarkan bentuk tubuhnya, belum menutup atau menyembunyikan tubuh yang sebenarnya. Mereka itu berpakaian, namun pada hakikatnya masih telanjang”

Ini diperkuatkan oleh sebuah hadis yang mana Aisyah meriwayatkan, bahawa Asma’ bt Abu Bakar pernah masuk kerumah Rasulullah saw, sedang ia memakai baju nipis, lalu Rasulullah saw berpaling daripadanya. [Hadith riwayat  Abu Daud dengan sanad Mursal] 

Wahai anak-anak perempuan ayah…

Pakailah pakaian yang longgar dan tidak ketat. 

Kerana pakaian yang menutup aurat mesti longgar, kerana maksud dan tujuan seseorang wanita berpakaian adalah untuk menghilangkan fitnah dan tarikan orang laki-laki. Pakaian yang ketat meskipun tebal kainnya dan boleh menutup warna kulit namun tetap menggambarkan bentuk tubuh badan pemakainya dan masih bolih mempesona,  menarik perhatian dan menaikkan berahi laki-laki yang memandangnya. Oleh itu pakaian wanita harus longgar, tidak ketat.

Usamah bin Zaid pernah berkata: “Pernah Rasulullah saw memberi saya baju qibthiyah yang tebal hadiah dari Dihyah Al-Kalbi. Baju itupun saya pakaikan pada isteri saya. Nabi bertanya kepada saya, “Mengapa kamu tidak pernah memakai baju qibthiyah ? Saya menjawab, “Baju itu saya beri isteri saya pakai” Beliau lalu berkata, “Perintahkan isterimu agar memakai baju dalam ketika memakai baju qibthiyah, kerana saya khawatir baju qibthiyah itu masih boleh menggambarkan bentuk tulangnya (bentuk tubuh)”. 

Wahai anak-anak perempuan ayah…

Pakailah pakaian yang tidak di beri wangi-wangian. 

Kerana pakaian yang menutup aurat disyaratkan tidak diberi wangi-wangian berdasarkan hadis-hadis yang melarang wanita memakai wangi-wangian ketika mereka keluar rumah. Pakaian yang diberi wangi-wangian akan dapat meransang syahwat laki-laki apabila terbau wangian tersebut.

Dari Abu Musa Al-Asy’ari bahawasanya dia berkata, “ Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya perempuan apabila memakai wangi-wangian lalu ia berjalan di hadapan suatu kaum (dengan tujuan) supaya mereka mencium baunya maka ia berzina”  [Hadith riwayat at-Tirmidhi, An-Nasai, Abu Dawud].

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya dia berkata, Rasulullah saw pernah bersabda: “Perempuan yang memakai bakhur (sejenis pewangi pakaian), janganlah solat Isya bersama kami”. [Hadith riwayat Muslim dan Abu Awanah] 

Wahai anak-anak perempuan ayah…

Pakailah pakaian yang tidak menyerupai pakaian lelaki. 

Kerana pakaian yang menutup aurat disyaratkan tidak menyerupai pakaian lelaki iaitu pakaian yang lazimnya dipakai oleh lelaki saperti seluar dan kemeja atau baju T.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya  “ Rasulullah saw melaknat laki-laki yang berpakaian seperti pakaian perempuan dan perempuan yang berpakaian seperti pakaian laki-laki”.  [Hadith riwayat Abu Daud dan Nasai].

Daripada Abdullah bin Amru, katanya “Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: “Bukan termasuk golongan kami laki-laki yang menyerupai wanita, dan wanita yang menyerupai laki-laki”.[Hadith riwayat Ahmad]

Kedua-dua hadis di atas dengan jelas menunjukkan haramnya wanita menyerupai laki-laki dan laki-laki menyerupai wanita.  Hadis pertama menghusus kepada masaalah pakaian manakala hadis kedua kepada masaalah umum. 

Wahai anak-anak perempuan ayah…

Pakailah pakaian yang tidak menyerupai pakaian orang kafir. 

Kerana pakaian yang menutup aurat disyaratkan tidak menyerupai pakaian orang kafir sebab didalam syariat Islam telah ditetapkan bahawa kaum muslimin, baik laki-laki mahupun perempuan, tidak boleh tasyabbuh (menyerupai) orang-orang kafir, baik dalam hal ibadah, perayaan hari raya, dan pakaian yang menjadi pakaian khas mereka.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hadid ayat 16, yang bermaksud: “ … Janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan al-Kitab kepada meraka, lalu berjalanlah masa yang panjang, sehingga hati mereka menjadi keras dan kebanyakkan dari mereka menjadi orang-orang yang fasik”. 

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata: “Firman Allah, ‘Janganlah mereka seperti…’ merupakan larangan mutlak terhadap tindakan menyerupai orang yang kafir; disamping itu merupakan peringatan yang khusus bahawa hati mereka boleh menjadi keras akibat dari kemaksiatan’” 

Wahai anak-anak perempuan ayah…

Pakailah pakaian yang bukan pakaian syurah (mencari populariti).




Kerana pakaian yang menutup aurat disyaratkan bukan merupakan pakaian untuk mencari populariti berdasarkan hadith yang diriwayatkan dari Ibnu Umar, dia berkata, “Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: ‘Barangsiapa memakai pakaian untuk mencari populariti di dunia, maka Allah mengenakan pakaian kehinaan kepadanya pada hari kiamat, kemudian membakarnya dengan api neraka” [Hadith riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah] 

Wahai anak-anak perempuan ayah…

Jagalah penampilan dirimu. Janganlah memakai pakaian yang dilarang kerana ianya tidak dapat berfungsi sebagai menutup aurat atau tubuh pemakainya daripada sorotan mata yang beracun, yang memancar dari orang-orang yang hatinya berpenyakit dan orang-orang yang rendah akhlaknya.

Kerana sesungguhnya, mereka yang memakai pakaian yang dilarang, dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Ada dua golongan penghuni neraka yang aku belum pernah melihatnya iaitu (1) Suatu kaum yang memiliki cambuk seperti ekor sapi yang dipukulkan kepada manusia. (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian (tetapi hakikatnya) telanjang, jalannya lenggang-lenggok, kepala (rambutnya) seperti ponok unta yang miring. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya, padahal sesungguhnya bau syurga itu tercium dari jarak yang sangat jauh. Dalam lain riwayat (dikatakan): dan sesungguhnya baunya tercium dari jarak perjalanan (sejauh) lima ratus tahun”. [Hadith Riwayat Muslim]. 

Oleh itu, wahai anak-anak perempuan ayah…

Berpenampilanlah dengan pakaian yang boleh menutup seluruh tubuh (tidak singkat), pakaian yang tebal (tidak nipis), pakaian yang longgar (tidak ketat), pakaian yang dikhususkan untuk perempuan sahaja (seperti baju kurung, jubah), pakaian yang tidak berwarna – warni dan pakaian yang tidak diberi wangi-wangian dan dilengkapkan dengan tudung sehingga menutupi dada kerana sesungguhnya memakai pakaian dari jenis pakaian yang tersebut, akan memutuskan keinginan-keinginan gila dan meluap-luap dari lelaki fasiq, agar tidak sampai kepada anak-anak ayah.

Ingatlah amaran Nabi SAW supaya selamat dunia akhirat dan kehidupan menjadi berkat, kerana kasih sayang ayah kepada kamu semua tidak pernah luntur, masih seperti dulu, masih seperti lautan yang tidak pernah kering, masih seperti angin yang tidak pernah berhenti. Harapan ayah, agar kamu semua dimuliakan satu hari nanti, nescaya engkau akan dibalas dengan kebaikan, sedangkan ayahmu tidak mengharapkan apa-apa balasan. Ayah hanya ingin melihatmu berubah menjadi wanita solehah.

Terasa lama hari-hari yang ayah lewati, hanya untuk melihat perubahan dalam penampilan dirimu. Detik demi detik tidak dapat ayah hitung dengan jari, hanya setia menanti. Akan tetapi penantian ayah seakan sangat panjang, seakan-akan semua itu tidak ada, mampukah ayah bertahan. Penantian ayah hanya sia-sia, dan harapan ayah hancur belaka. Yang ada hanya keputus-asaan. Yang tersisa hanya kesedihan dari semua keletihan yang selama ini ayah rasakan, sambil menangisi diri dan nasib yang memang ditakdirkan oleh Tuhan.

Sampai begitukah keras hatimu, dan sudah begitu jauhkah dirimu setelah berlalunya hari dan berselangnya waktu. Apakah hatimu tidak tersentuh, terhadap seorang lelaki tua yang lemah dimamah usia, sudah putih rambut dikepala, sudah berkedut garis di muka, sudah menggigil kaki dan tangan, sudah kabur mata memandang. Usia sudah diambang senja, entah esuk entahkan lusa, mentari hidup kian redup, sudah hampir episode penutup. Itulah ayahmu yang masih engkau belum kenal. 

Wahai anak-anak ayah…

Ayahmu tidaklah meminta banyak, ia tidaklah menagih padamu yang bukan-bukan. Yang ayah pinta kepadamu, jadilah anak-anak yang soleh dan solehah yang sejuk mata ayahmu memandang, yang memanjangkan doa bila ayah di alam kubur . Jadikanlah teguran ayahmu sebagai nasihat, agar engkau tidak tersesat. Jangan jadikan ia sebagai tempat sampah yang tidak pernah engkau singgah. Dosa apakah yang telah ayah perbuat, sehingga nasihat ayah tidak engkau genggam erat. Atau pernahkah ayah berbuat lalai dalam melayanimu, sehingga kehidupanmu melarat!

Bangunlah wahai anak-anak ayah. Bangkitlah! Bertakwalah kepada Allah, takutlah kepada Allah. Uban-uban sudah mulai merambut di kepalamu. Akan berlalu masa, sehingga kamu semua akan menjadi tua pula saperti ayahmu. Sebagaimana kamu semua akan berbuat, seperti itu pula anak-anakmu akan berbuat kepadamu kelak. Ganjaran itu sesuai dengan amal yang kamu semua telah lakukan. Kamu semua akan memetik sesuai dengan apa yang kamu semua tanam.

Senyummu yang selama ini menjadi pelipur duka dan kesedihan ayah, sekarang telah mulai suram bagaikan matahari yang ditutupi oleh kegelapan malam. Tawamu yang selama ini ayah jadikan buluh perindu, sekarang telah tenggelam, seperti batu yang dijatuhkan ke dalam kolam yang hening, dengan dedaunan yang berguguran. 

Wahai anak-anak ayah…

Ayah tidak akan panjatkan keluhan ini ke langit, ayah tidak akan adukan duka ini kepada Allah SWT, karena jika seandainya keluhan ini telah membumbung menembus awan, melewati pintu-pintu langit, maka ayah risau akan menimpamu kebinasaan dan kesengsaraan, yang tidak ada ubatnya dan tidak ada doktor yang dapat menyembuhkannya…hanya Allah jua.

Ayah tidak akan melakukannya wahai anak-anak ayah. Bagaimana ayah akan melakukannya, sedangkan engkau adalah jantung hati ayah. Bagaimana ayah boleh menengadahkan tangan ke langit, sedangkan engkau adalah pelipur lara hati ayah. Bagaimana ayah sampai hati melihatmu merana terkena doa mustajab, padahal engkau bagi ayah adalah kebahagiaan hidup ayah.

Ayah tidak ingin anak-anak ayah menulis rintihan saperti ini. Ayah tidak ingin anak-anak ayah menulis rintihan yang serupa dengan air matamu kepada anak-anakmu kelak, sebagaimana ayah  telah menulisnya kepada kamu semua. 

Wahai anak-anak ayah…   Andainya kamu semua telah membaca rintihan ayah ini, terserah padamu. Apakah kamu semua akan sedar dan kamu semua akan kembali merobah diri, atau kamu semua akan pergi sepantas kuda berlari.

Namun ayah akan terus menghadapi taufan kehidupan ini yang tidak sudi simpati. Dengan sepercik iman, sekelumit keyakinan, ayah akan harungi badai penderitaan. Sesungguhnya titipan Tuhan ini bukan khayalan tetapi ia adalah  kenyataan. Walaupun perjalanan peristiwa  kekadang sepantas  igauan.

Walaupun sekali-sekali terasa gian berkejar-kejaran di tepian denai. Atau berenang-renang di sungai. Tapi siapakah mampu memutar jarum waktu. Yang berlalu, terus berlalu, perginya begitu laju. Yang tinggal hanya turisan kenangan, yang kekal sebagai ingatan. Ah, musim bermain  hujan telah berlalu. Kini musim… bermandi   ujian .... akan tenggelamkah ayah !. 

“Ya Allah, Ya Tuhan Kami, hanya Engkau yang mampu memberi taufik dan hidayah kepada hamba-hambaMu, maka anugerahkanlah kepada kami taufiq dan hidayahMu, agar kami menjadi ibu bapa yang dihormati dan dicontohi oleh anak-anak kami, tambahkanlah kasih sayang diantara kami, jauhkanlah rasa benci, hasad dan iri hati, hiasilah diri kami seperti peribadi Nabi, serta lindungilah kami dari syaitan yang dilaknati”. 

“Ya Allah, Ya Tuhan Kami Yang Maha Pengampun, Kau ampunkanlah dosa kami, dosa kami terhadap kedua ibubapa kami, mereka bersusah payah membesarkan kami Ya Allah, tetapi kami telah berbuat salah kepada mereka, kami telah abaikan mereka, kami sering mengherdik mereka, ampunkanlah dosa kedua ibu bapa kami Ya Allah, janganlah mereka diazab kerana perbuatan kami, Ya Allah, ampunkanlah dosa anak-anak kami, dosa saudara mara kami, dosa ahli keluarga kami, dosa guru-guru kami dan dosa semua kaum muslimin dan muslimat”.

“Ya Allah Ya Tuhan kami, Perbaikilah akhlak anak-anak kami. Tanamkanlah sifat mahmudah dalam diri mereka dan buangkanlah sifat mazmumah dalam diri mereka”.

“Ya Allah Ya Tuhan kami, Kami hamba yang lemah lagi hina, memohon seribu rahmat dan keberkatan dariMu, golongkanlah kami dalam golongan orang-orang yang Engkau redhai, tanpa redhaMu, tiadalah ertinya kehidupan kami, maka kepadaMu kami memohon,  redhailah permohonan kami”. 

“Ya Allah Ya Tuhan kami, Berilah kami kekuatan untuk memaafkan diri kami sendiri dan juga orang lain. Kami masih tidak pandai mensyukuri nikmatMu kerana kami masih mendidik hati dalam menerima ujian-Mu”. 


Amin, amin Ya Rabbal’alamin.

Kredit : mencari-redha-mu


Kisah Anak Luar Nikah Dipinggir IbuBapa Sendiri. Remuk Hatiku Bila Dapat Tahu Ibu Dan Ayah Kahwin Lepas 4 Bulan Aku Lahir

15 Apr 2022



Aku Eyna, 27 tahun merupakan seorangi pegawai pemasaran di salah sebuah syarikat tersohor di Malaysia.

Aku merupakan anak sulung dari 4 beradik, adik aku yang kedua dan ketiga telahpun mendirikan rumahtangga dan menetap bersama sama keluarga mertua masing masing.

Ayahku telah pun pencen pada 28 April yang lalu, manakala ibu masih berkerja di salah sebuah kilang disini sebagai seorang supervisor.

Sejak dari kecil aku merupakan anak yang selalu terpinggir, ibu dan ayah mengajar aku untuk hidup tanpa bantuan orang lain dan harus pandai berdikari.

Aku dihantar pulang ke kampung untuk bersekolah disana, aku cuma akan menjadi ‘ anak ‘ ketika cuti sekolah panjang sahaja.

Begitulah rutin aku selama 5 tahun, bahkan boleh dikira dengan jari berapa kali aku pulang ke rumah aku sendiri.

Setiap kali pulang ke rumah, pasti aku akan mengambil baju kotor ibu untuk dibawa ke kampung, buat melepaskan rindu pada keluarga yang jauh disana.

Aku sering dibvli di sekolah hanya kerana kawanku yang lain tidak pernah berjumpa mereka, hinggalah pada pertengahan darjah 5 aku telah dibuli sehingga dirotan oleh cikgu berulangkali hingga lebam dan berbekas darah beku di tangan.

Sebaik pulang nenek, kelihatan sangat sedih kemudian mengkhabarkan kejadian tersebut kepada ibu dan ayah.

Ibu menitipkan pesan bahawa dia akan menukarkan aku untuk bersekolah disana dalam masa terdekat.

Aku sangka aku akan menyambut berita itu dengan penuh perasaan teruja kerana akhirnya aku tidak perlu menunggu cuti sekolah lagi tetapi rupanya itu adalah permulaan bagi segalanya.

Sebaik selesai urusan pertukaran sekolah di Selangor, aku ditempatkan didalam kelas pertama ekoran kecemerlangan aku dalam setiap peperiksaan setiap tahun.

Setiap hari aku akan berjalan ke sekolah selama 15 minit seorang diri sambil memikul beban yang banyak kerana aku akan menghadapi UPSR pada tahun tersebut, sedangkan adik adikku yang lain akan menaiki bas sekolah yang dibayar setiap bulan oleh ibu dan ayah.

Sekiranya aku letih untuk berjalan kaki, aku juga akan menaiki bas tersebut namun aku harus membayar RM2 untuk pergi dan balik menggunakan wang belanja aku sendiri.

Namun tidak pernah keluhan itu terpancar dari bibirku kerana ibu dan ayah sering menekankan bahawa anak sulung harus tumbuh dengan tabah sekali.

Jadual aku padat dengan sekolah kebangsaan di waktu pagi, sekolah agama di waktu petang dan tuisyen di waktu malam 2 hari sekali.

Aku menguruskan keperluanku sendiri, berbeza sekali dengan adikku yang lain kerana segala serba serbi pasti disediakan oleh ibu dan ayah.

Hari demi hari, berbaki seminggu sebelum UPSR ketika aku sibuk menyiapkan borang termasuk salinan fotostat hati aku tertarik untuk melihat sijil nikah ibu dan ayah sekadar tahu tarikh pernikahan mereka kerana aku tidak pernah tahu tentang hal itu.

Alangkah remuknya hatiku bila mengetahui bahawa tarikh pernikahan ibu dan ayah 4 bulan setelah kelahiranku, berkali aku melihatnya dengan harapan aku salah tapi setiap kali itulah kebenaran dihidangkan untukku.

Aku menangis sehari suntuk, tetapi aku tidak berani untuk memberitahu mereka bahawa aku telah tahu semuanya, aku hadapi hari hari yang mendatang dengan perasaan yang sungguh berkecamuk.

Bahkan, aku sampai menangis ketika menjawab UPSR dan aku mula menyalahkan diri aku sendiri.

Aku kekal tegap menyimpan rahsia itu sehingga sekolah menengah, untuk menutup pengetahuanku, aku telah menjadi pelajar cemerlang setiap tahun sehingga dinobatkan antara Pelajar Harapan Negeri Selangor.

Tahun demi tahun, keadaan makin sukar bagiku. Aku mula memberontak bila layanan mereka tidak memadai buatku, mungkin aku telah melihat jurang kemesraan itu dan aku telah pun tahu punca semua itu.

Aku mula berpeleseran di waktu malam bersama rakan rakanku yang lain, termasuklah lelaki. Aku mula keluar secara sembunyi, merokok, bergaul bebas dan bahkan aku mula minum minuman keras.

Aku menjadi sangat liar dan tidak terkawal, cara ibu dan ayah mengajarku adalah dengan kekerasan dan bukannya secara diplomasi hati ke hati.

Setiap kekerasan yang hinggap di batang tubuhku seolah tidak terasa apa pun, sekadar menjadi angin lalu buatku dan itu membuatkan aku semakin memberontak.

Pada permulaan tingkatan 5, aku telah dipukul oleh ibu hanya kerana aku memarahi adikku kerana tidak meninggalkan makanan buatku yang lelah berjalan menghadap terik mentari sewaktu pulang dari sekolah.

Ibu memijak mukaku berulangkali sehingga mukaku bengkak dan mengeluarkan drah dengan begitu banyak sekali, aku tidak sanggup lagi hidup menjadi anak buangan lalu aku mengambil keputusan untuk lari dari rumah.

Berbekalkan RM20, aku menaiki bas menuju ke Ipoh. Aku cuma sehelai sepinggang berbekalkan duit belanja yang dikumpul, IC, sebotol air mineral dan sehelai baju sejuk.

Seharian berjalan di kota yang asing, tanpa makan bahkan sesuap, tanpa wang untuk pulang akhirnya aku terduduk disebuah tangga kedai.

Aku melepaskan lelah dan tertidur pulas sambil memegang perut yang lapar. Aku akan mengutip makanan di tokong kecil, mandi di tandas awam berhampiran dan tidur semula di tangga dalam keadaan duduk, panas dan dihurung nyamuk.

Seminggu berkeadaan begitu, akhirnya aku mengambil keputusan untuk berkerja. Aku mendapat tawaran berkerja disebuah kelab malam sebagai ‘assistent bartender’ di Ipoh.

Aku diberi kemudahan untuk tinggal di rumah sewa yang disediakan oleh pihak majikan. Setiap hari dihidangkan oleh gemerlap dunia membuatkan aku lupa pada keluarga juga pada agama, hampir setahun aku menghilangkan diri tanpa khabar buat mereka.

Saat itu aku terasa puas dan bebas tidak lagi hidup menjadi sesiapa, namun disatu sisi yang lain aku merasa kosong dan rindu pada yang jauh dimata.

Setelah lebih 2 tahun diperantauan akhirnya aku mengambil keputusan untuk pulang dan mendaftarkan diri sebagai calon persendiriaan SPM hasil pertolongan kaunselor sekolah dan aku juga menggunakan gaji yang telah dikumpul selama berkerja di bar tersebut.

Kepulanganku juga membawa kerinduaan dan azam seorang anak untuk berbakti pada keluarga namun benar kata pepatah ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari.

Pulangnya aku ke rumah tidak disambut baik, bahkan mereka memerliku sepanjang masa namun aku sudah lalu pada istilah ‘ keluarga ‘ mereka.

Aku mengasingkan diri daripada mereka, aku meneruskan kehidupan sebagai seorang pelajar. Begitu payah rasanya, hampir aku terpunduk jatuh di tengah jalan.

Alunan ‘perempuan sundal’ , ‘jalang’ dan sebagainya akan didendangkan dari mulut ibu dan ayah. Adik adikku yang lain juga terikut dengan alunan tersebut dan itulah mimpiku setiap hari.

Aku kekal teguh berdiri menjadi tempat melampiaskan amarah mereka saban hari sehingga keputusan SPM telah pun keluar.

Hasil lelah dan kesabaran itu terbukti bila aku mendapat keputusan ‘Straight A’s’ dalam peperiksaan tersebut sekaligus melayakkan diriku untuk melanjutkan pelajaran di universiti.

Di semester akhir pengajian, aku dikhabarkan oleh guru di kolej adik keduaku bahawa dia disahkan hamil 5 bulan akibat terlanjur. Ibu dan ayah terus menikahkan mereka berdua untuk menutup malu.

Kini mereka telah pun dikurniakan seorang anak perempuan dan selang 8 bulan kemudian sekali lagi aku dikhabarkan bahawa adikku yang ketiga telah menghamili teman wanitanya dan berakhir dengan pernikahan untuk menutup malu.

Serasa puas benar, akhirnya kata kata mereka dulu telah berpatah balik kepada mereka sendiri.

Aku juga telah pun disahkan menghidap tekanan perasaan yang pelbagai dan masih lagi meneruskan rawatan dengan pakar pskiatri. Mereka masih belum insaf dengan kejadian yang telah berlaku.

Doakan aku kuat menjalani hari yang mendatang, doakan mereka berubah suatu hari nanti.

Kredit : ekisah


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.