4 Tahun Menyulam Cinta, Facebook Bukti Si Dia Bermain Kayu Tiga
Saya perkenalkan diri saya sebagai Shila (bukan nama sebenar).Berusia 29 tahun, eksekutif sebuah bank dan lulusan universiti luar negara. Saya anak kedua dalam adik beradik seramai lima orang, tiga perempuan dan dua lelaki. Abang sulung telah berkahwin dan mempunyai sepasang cahayamata. Adik-adik masih menuntut di kolej. Ayah pesara kerajaan dan ibu, suri rumah sepenuh masa.
Semasa di
universiti, saya berkenalan dengan seorang lelaki, Mirza (bukan nama
sebenar). Kami berkawan, menjadi rapat dan akhirnya jatuh cinta. Biasa
bagi pasangan kekasih untuk berjanji sehidup semati apabila telah
bekerja. Begitu juga dengan kami. Saya dan
Mirza juga ingin hidup bersama secara sah. Dan hajat itu akan kami
tunaikan setelah masing-masing bekerja. Alhamdulillah, habis belajar
kami mendapat tawaran kerja. Murah rezeki kami, dan tentunya jodoh kami
juga akan sampai, itulah doa saya setiap hari.
Saya
mula himpun duit untuk kahwin. Hubungan kami macam biasa, keluarga
kedua-dua pihak juga sudah maklum akan hajat kami. Ada kelapangan Mirza
datang ke rumah. Bagitu juga saya, tetapi tidaklah selalu ke rumahnya. Setelah
dua tahun bekerja, saya bertanya Mirza tentang hubungan kami. Sampai
bila saya harus tunggu sedangkan kami telah bekerja. Jawabnya, dia belum bersedia dan tidak cukup duit. Dia minta saya bersabar.
Saya
faham dan bagi masa setahun lagi. Sampai tempoh setahun, saya masih
tidak nampak jalan ke arah itu, bila diajukan soalan, jawapannya tetap
sama. Saya pelik, ke mana pergi duit gajinya semua? Bila sesak duit, dia cari saya. Sebagai kekasih, tentu saya akan
tolong, sebab sayang. Keadaan makin tidak nampak cahayanya apabila masuk
tahun keempat. Mirza masih gagal memenuhi kata-katanya. Dia buat
selamba sahaja bila saya tanya tentang janjinya untuk melamar saya.
Sejak
itu, saya tidak bertanya lagi. Dia tetap datang ke rumah, macam biasa
walaupun saya mula dingin terhadapnya. Ayah dan mak selalu tanya, tapi
saya diamkan diri. Saya beritahu, Mirza tak cukup duit lagi. Dia belum
bersedia. Akhirnya mak dan ayah terus diam.
Dan Mirza macam tidak bersalah, terus datang ke rumah saya walaupun saya
sudah mula bosan dan letih dengan gelagatnya. Allah Maha Kaya, Dia tahu
apa yang terbaik untuk saya. Oleh kerana tidak tahan dengan sikapnya
dan malas lagi hendak menunggu, saya minta hubungan kami diputuskan. Dia
tidak kata setuju dan tidak pula kata tidak.
Tetapi
sebagai perempuan, saya anggap sudah putus. Saya mula jemu untuk
berjumpa dengan dia. Tidak sampai tiga minggu hubungan kami putus,
seorang kawan menelefon saya dan memaklumkan Mirza sudah berkahwin. Kata
kawan saya itu, gambar persandingannya ada dalam FB (Facebook).
Kawan-kawan sama universiti yang tahu hubungan kami mengirim mesej dan
WhatsApp memaklumkan pernikahan Mirza. Saya tidak melatah. Saya tidak
tahu apa nak kata, sama ada hendak menangis atau tidak.
Setelah
melihat FB dan membelek-belek WhatsApp dan mesej yang dikirim
kawan-kawan, memang sah Mirza sudah berkahwin. Tidak salah lagi. Dia
nampak ceria, bahagia dengan isterinya. Langsung tidak ada perasaan
bersalah. Pada hal dia tahu saya, kawan-kawan dan keluarga saya akan
melihat gambar persandingannya itu. Saya
tidak menangis, sebab kalau menangis air mata darah sekalipun, semuanya
sudah terjadi. Dia sudah jadi suami orang. Dia mungkir janji.
Dia lelaki tidak berhati perut. Dia biarkan saya tunggu selama empat tahun, tetapi akhirnya dia bernikah dengan orang lain. Maknanya
semasa masih bersama saya, dia sudah bermain kayu tiga dengan perempuan
lain tanpa pengetahuan saya. Tergamak dia hancurkan harapan saya,
kecewakan orang tua saya serta musnahkan janji kami untuk hidup bersama.
Empat tahun saya dipermainkan lelaki ini.
Tetapi
saya reda, sebab saya sudah nampak pengakhirannya untuk kami dengan
sikap Mirza yang tidak ikhlas dalam perhubungan kami. Mak
dan ayah terdiam apabila saya maklumkan Mirza sudah bernikah. Mak
menangis kerana kasihankan saya yang sangat setia dengan Mirza dan
menolak pinangan orang lain. Ayah juga
marah. Saya sangat sedih kerana Mirza telah menggunakan kebaikan saya
dan keluarga untuk kepentingan dirinya sebelum ini. Saya tidak akan jadi
bodoh untuk menangis dan meratapi nasib saya. Saya bersyukur kerana
Allah tunjukkan warna sebenar lelaki yang pernah saya cintai ini.
Saya doakan dia bahagia.
Saya berpegang kepada kata-kata mak, Allah akan hadiahkan saya lelaki
yang lebih baik daripada Mirza, doa selalu kata mak. Mintalah kepada
Allah, insya-Allah Dia akan makbulkan. Semoga Allah bagi kekuatan kepada
saya untuk terus bangkit dan melupakan apa yang telah berlaku.
Kredit : UtusanMalaysia
Kredit : UtusanMalaysia
No comments
Post a Comment