Anak Tunggal Si Tanggang Moden
Saya berusia awal 60-an, berkahwin. Kami suami isteri ada bisnes sendiri. Kami dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia awal 30-an. Itulah satu-satunya zuriat kami yang Allah kurniakan.Di awal kehidupan, kami sangat bahagia. Anak tunggal yang kami namakan Azhan (bukan nama sebenar) membesar sebagai anak yang sangat baik, bijak dalam pelajaran dan periang. Dia juga aktif bersukan dan sentiasa menjadi pelajar cemerlang di sekolahnya.
Kami memanggilnya Boy kerana dia anak yang
sangat manja. Maklumlah anak seorang tentu keciwi kata orang Kedah.
Meniti usia remaja, Boy mendapat tawaran masuk sekolah berasrama,
kemudian ke universiti. Sebagai ibu bapa, saya dan suami tentu
sangat gembira. Kami iringi kejayaannya dengan doa yang tidak pernah
putus dan berharap kami boleh menumpang bahagia dan hidup bersamanya.
Sayangnya itu semua tidak berlaku, doa kami
Allah belum makbulkan, sebaliknya kami diuji berterusan dengan perangai
Boy. Tapi kami reda. Mungkin ada silap yang kami tidak nampak. Tamat belajar di universiti, Boy mendapat
tawaran kerja di sebuah syarikat minyak yang ternama. Hanya doa dan rasa
syukur yang saya panjatkan kepada Allah SWT. Saya masih ingat, pada hari pertama dia
melapor diri sekitar 2010, dia keluar rumah dan tidak balik-balik lagi.
Tiga tahun kami terputus hubungan. Saya tidak tahu apa salah kami. Apa
dosa kami dia buat macam itu. Puas saya cari, bertanya kawan-kawannya,
saudara mara tetapi semua tidak tahu.
Pada awal 2013, kami suami isteri dikejutkan
dengan kad undangan perkahwinan Boy yang diadakan di sebuah hotel.
Melalui kad, saya agak isterinya anak orang kenamaan. Terkejut saya
Allah sahaja yang tahu. Ribut tidak, angin tidak, tiba-tiba saya dapat
kad kahwin anak sendiri. Saya suami isteri berfikir sama ada hendak
hadir atau tidak. Setelah mengambil kira rindu kami kepadanya, akhirnya
kami mengambil keputusan untuk pergi, bukan untuk meraikan
perkahwinannya tetapi untuk bertemu muka dengan dia.
Kami dapat meja hadapan dekat dengan laluan
pengantin untuk ke pelamin. Peluang yang baik untuk saya berjumpa Boy.
Ketika pengantin diarak masuk, saya berdiri menghadap laluan pengantin. Boy nampak saya dan babahnya. Tidak nampak
rasa bersalah pada wajahnya. Bila dekat dengan kami, dia berhenti. Saya
terus cakap, Apa salah mak Boy, kamu buat kami macam ini. Malu mak Boy,
malu mak Boy,” kata saya dengan air mata berlinangan di pipi.
Boy selamba sahaja tidak nampak rasa
bersalah pada wajahnya. Malah memperkenalkan isterinya kepada kami pun
tidak. Saya terus bersabar. Saya yakin tetamu di meja itu semua perasan
akan kesedihan saya. Suara saya cukup kuat untuk mereka mendengarnya.
Ada yang menggeleng kepala dan ada yang turut menitis air mata. Boy
tanpa bersalah berlalu sambil berpimpin tangan dengan isterinya ke
pelamin.
Puas hati saya. Ketika kompang masih bergema
meraikan Boy dan isterinya, kami terus keluar. Tak tunggu makan.
Sepanjang jalan balik ke rumah, air mata saya macam empangan pecah,
berjurai-jurai membasahi pipi. Saya tidak merasa apa-apa. Nak kata sedih pun tidak, marah pun tidak. Tetapi saya rasa lega dapat berkata begitu kepada Boy. Kini, sudah tujuh tahun Boy ‘pergi’ daripada
kami. Saya dengar khabar dia bekerja di luar negara. Saya tidak kisah
lagi tentang dia. Air mata saya sudah kering memikirkan perbuatan dia.
Saya reda dan menerima ketentuan Allah kepada kami, suami isteri.
Yang saya pelik, bagaimana keluarga
mentuanya boleh menerima anak saya begitu sahaja tanpa bertanya atau
siasat latar belakang, siapa ibu bapanya. Mudah sungguh cari menantu
sampai tak ambil kira anak siapa. Agaknya sebab anak saya ada jawatan
tinggi dan bergaji lumayan. Itulah dunia, bohonglah kalau kata saya
tidak sedih, tapi saya tidak mahu fikir sangat. Biarkan dia dengan
kehidupan dia. Saya tetap berdoa, satu hari dia akan sedar dan mencari
kami.
Di bulan Ramadan ini, saya teringatkan dia.
Terkenang masa kecil dia makan masakan saya. Bulan puasa sahaja, dia
akan minta saya masakkan makanan yang dia suka untuk berbuka. Tetapi
semua itu kini tinggal kenangan. Saya tetap mendoakan kebahagiaan dia
dan keluarganya. Cuma saya berharap, satu hari nanti, besan saya akan
datang mencari saya. Tentang Boy, biar Allah yang aturkan. Jika
saya ini ibu yang mengandung dan melahirkan dia, dia akan cari saya dan
babahnya. Saya akan berdoa dan tunggu keajaiban berlaku.
Dahulu saya
selalu baca buku Kisah Si Tanggang, tetapi sekarang, saya sendiri
menghadapinya. Semoga Allah makbulkan doa-doa saya.
No comments
Post a Comment