Apabila Cinta Beralih Arah
CINTA beralih arah bukan sesuatu yang pelik atau luar biasa dalam sesebuah perhubungan lebih-lebih lagi di kalangan pasangan kekasih. Namun sesuatu yang malang apabila cinta beralih arah ketika perhubungan telah diikat kejap dengan tali perkahwinan dan janji sehidup semati.
Biarpun ketika itu si suami atau isteri sudah bahagia memiliki
keluarga yang sempurna, tetapi masing-masing masih mahu mencari
kekurangan dengan apa yang dimiliki. Setiap pasangan yang berumah tangga pasti mahukan sebuah perkahwinan
yang bahagia dan aman damai, tetapi bukan semua yang diimpikan akan
menjadi kenyataan.
Tidak dapat dinafikan sebagai makhluk Allah kita akan diuji dengan
pelbagai ujian bagi melihat sejauh mana kita sebagai makhluknya mampu
menghadapi situasi yang getir dalam hidupnya. Namun percayalah, Allah tidak kejam dengan umat, setiap dugaan yang diberi pasti setaraf dengan kemampuan dirinya sendiri.
Sebenarnya, apabila ada kecurangan bermakna kepercayaan terhadap
pasangan juga akan semakin berkurangan dan kasih sayang yang selama ini
dicurahkan juga semakin tawar. Biarpun tiada kajian khusus dan angka tepat mengenai peratusan
kecurangan yang berlaku antara pasangan dalam perkahwinan, apa yang
pasti kes sebegitu kerap berlaku yang menjadi antara punca keretakan
sesebuah perkahwinan.
Sehubungan itu, timbul persoalan kenapakah kecurangan berlaku dalam perhubungan?
Sebenarnya pelbagai sebab dan faktor yang mendorong pasangan, baik
suami atau isteri berlaku curang dalam rumah tangga walaupun perkara
berkenaan sepatutnya tidak berlaku. Faktor paling biasa yang mendorong pasangan berlaku curang ialah usia perkahwinan mereka.
Pada peringkat awal perkahwinan mungkin masing-masing cuba untuk
memahami antara satu sama lain, tetapi apabila sudah memahami dan ada
perasaan jemu, mulalah berlaku perkara tidak diingini.
Antaranya timbul perasaan bosan terhadap pasangan dan keadaan itu menyebabkan kejujuran mula dipinggirkan dalam perkahwinan.
Selain itu, tiada sifat telus dalam perhubungan perkahwinan boleh
membawa kepada timbulnya keinginan untuk curang kepada pasangan
masing-masing.
Selain itu faktor 'tolakan' dan 'tarikan' antara pasangan suami isteri juga merupakan faktor yang berlaku kecurangan. Mungkin terlalu rimas dengan isteri yang membebel menyebabkan si suami cuba mencari keseronokan di luar rumah.
Malah, kurangnya perhatian yang diberikan pasangan juga tidak
dinafikan menjadi pencetus kepada fenomena curang dalam rumah tangga. Apabila tiada perhatian, pasangan akan berasa kekurangan suatu dalam kehidupan.
Bagi mereka yang bekerja di pejabat, pergaulan seharian dengan teman
sekerja kadangkala menjadikan mereka berpotensi untuk curang kerana
mendapat perhatian sewajarnya di luar rumah.Oleh itu, berpada-pada apabila bersahabat dengan berlainan jantina di
pejabat supaya perasaan sahabat tidak bertukar kepada sayang.
Sayangilah hubungan perkahwinan yang dibina atas dasar sayang dan
cinta kepada suami dan isteri anda supaya keadaan tidak menjadi lebih
teruk.
No comments
Post a Comment