SLIDER

Rugi Hidup Kalau Bercinta Dengan Suami Orang


 
Menurut Izah, hatinya mula terbuka untuk menulis setelah membaca kisah Puan Enson yang menasihatkan agar gadis-gadis tidak tertipu dengan lelaki yang mengaku bujang dan cerita Azie yang mendakwa rela menerima laki orang sebagai suami.Dalam suratnya yang panjang lebar Izah menasihatkan kaum wanita bahawa mahu tak mahu para isteri hari ini patut menerima hakikat bahawa zaman sekarang sudah terjadi trend ramai gadis berkasih dengan suami orang. 

Sebenarnya bukan saya seorang pernah mengalaminya, tetapi ramai kawan saya turut mengalami kehidupan yang serupa. Kepada kaum wanita yang merasa diri mereka terancam pasti akan mengeji gadis-gadis sekarang dengan pelbagai tuduhan. Pandangan saya ini bagaimanapun bukanlah bertujuan untuk menyebelahi atau menyalahkan mana-mana pihak, cuma sekadar untuk dijadikan renungan demi kebaikan semua pihak. 

Saya sebenarnya tidak pernah bermimpi untuk terjebak dalam rumah tangga orang. Dulu saya pernah bercinta tetapi terputus di tengah jalan. Bertahun-tahun lamanya saya hidup tanpa memikirkan lelaki apatah lagi dengan kehidupan dan kedudukan kewangan saya yang stabil, jadi saya tak perlu fikir pasal lelaki. 

Tetapi bak kata pepatah, kita boleh merancang, Tuhan yang menentukan. Demikianlah dengan saya, akhirnya saya bertemu dengan seorang lelaki lagi, kami terus berkenalan dan terus jatuh cinta. Berbulan-bulan lamanya hidup kami macam anak-anak muda ke sana ke mari berdua, semuanya sungguh bebas, sebab memikirkan kami tak mungkin menghadapi masalah, sebab si lelaki mendakwa hidupnya tidak bahagia lagi. 

Malangnya rahsianya pecah juga. Mereka berperang suami isteri dan tamatlah hubungan kami. Tetapi saya selalu bertanya apa tidak kenanya dengan hubungan mereka suami isteri. Jawapan mereka sama dengan jawapan pasangan kawan-kawan saya yang lain, sudah tidak ada kemesraan lagi. Ada dua tiga orang lagi kawan saya yang kahwin dua juga mendakwa berbuat demikian atas alasan yang sama. 

Ada juga yang merasakan diri mereka sudah tidak dihormati oleh isteri kerana isterinya berjawatan lebih tinggi dan macam-macam lagi tuduhan negatif. Dan saya sedar saya memang tidak berpengalaman dalam berumah tangga jadi tidak layak untuk menasihati para isteri yang sudah berpengalaman lebih 10 atau 20 tahun. Cuma satu saja yang saya ingin katakan, hargailah suami anda dan sayangilah dia sebelum dia berpindah kasih kepada orang lain. 

Tetapi kalau memang benar suami anda dasar buaya, apa nak buat, takkan nak minta cerai. Lainlah kalau dah tak tahan sangat. Jika tidak layanlah sebaiknya. Cuba fikirkan alangkah ruginya kalau hari-hari bertentang mata, tidur sekatil tetapi hati suami kita merindukan orang lain. Suami di depan mata tidak merasai kehadiran kita kerana hati, perasaan dan jiwa raganya ada pada orang lain. 

Sebenarnya suami anda ada kelebihannya cuma anda sahaja yang tak tahu, tetapi kelebihan itu dapat dilihat oleh gadis-gadis lain. Maka itulah sebabnya suami anda boleh memberikan perhatian kepada mereka, dan perhatian itu dibalas oleh gadis tersebut. Sedangkan bila suami anda balik ke rumah, perhatian yang diberikan kepada anda, anda tolak ke tepi, anda buat sibuk dengan hal-hal lain dengan anda dan kerja rumah, jadi suami merasakan dirinya tidak diperhatikan. 

Kalau anda tuduh gadis-gadis sekarang miang, murah sangat, setakat manalah mereka boleh bagi perhatian kepada suami anda? Sebab semua kelebihan ada dalam diri anda sebab itu anda jadi isterinya, cuma anda tidak pandai mengambil kesempatan dan kesempatan itu digunakan oleh gadis lain. Anda tidak menilai suami anda sebaiknya. 

Anda merasa diri dah selamat bila dah kahwin, tak perlu layan suami lagi, tetapi anda mesti ingat kesempatan inilah yang biasanya diambil oleh suami untuk menyenangkan diri mereka. Dan bila suami sudah berada dalam genggaman orang lain barulah anda menangis. Itu tandanya anda masih memerlukan suami. Oleh kerana itu bertindaklah sebelum suami anda beralih kasih kepada orang lain. 

Kepada gadis-gadis pula ikut nasihat saya, kalau ada pilihan lain jangan biarkan hidup terbelenggu dengan suami orang. Kerana banyak pahit daripada manisnya, benar anda akan dilayan dengan baik dan kepada yang berduit anda dijadikan tuan puteri, tapi ingat bila dah pecah tembelang, isterinya mula pasang rantai. Waktu itu baru anda terasa hidup dah kacau bilau. Itulah yang terjadi kepada saya. Dan kerana itulah saya rasa bahawa diri saya ini hanyalah sebuah persinggahan sementara. 

Saya terasa diri bagaikan tidak dihargai lagi, bila suka kita disanjung, bila dah jemu kita dibuat macam sampah. Sepinya hati hanya Tuhan yang tahu. Mulalah terkenangkan yang manis-manis berminggu-minggu lamanya hati terasa begitu hancur. Lama-kelamaan barulah saya dapat terima hakikat bahawa kasih sayang tidak boleh dipaksa-paksa, kalau orang dah tak suka cantik macam ratu pun akan ditinggalkan apatah lagi yang tak cantik. 

Saya selalu memujuk diri bahawa apa yang terjadi ini adalah yang terbaik untuk saya, paling tidak saya tak jadi macam seorang dua kawan saya yang lain yang hidupnya dalam gantung tak bertali, bercinta dengan suami orang bertahun-tahun tak berkesudahan. Pada saya itu adalah satu perbuatan yang bodoh. Mereka menghabiskan masa muda begitu sahaja sedangkan masih ramai lelaki bujang yang sudi berkawan dengannya. 

Malangnya sudah menjadi lumrah hidup kebanyakan wanita kalau bercinta setia selamanya, kadang-kadang saya kasihankan nasib mereka. Mungkin terlintas di fikiran mereka nak cari yang lain, tetapi mereka takut menghadapi perpisahan.ÊMemang perpisahan itu amat menyedihkan dan begitu perit. Namun perit itu hanya sekali sedangkan kalau anda tunggu anda terseksa selamanya. Pada saya bercinta dengan suami orang macam sebuah penantian yang tidak pasti. 

Cuba bayangkan betapa ruginya hidup anda mencintai suami orang sedangkan hatinya sentiasa kasih kepada keluarga dan anak-anaknya. Di rumah dia dilayan oleh isteri, di luar anda jadi penghiburnya. Anda diusung ke hulu ke hilir. Cukup masa, dia akan pulang ke syurganya, anda pulang ke sarang kesunyian. Dia mendakwa konon mencintai anda, kalau benar mengapa tak berani menjadikan anda isteri yang sah. Cinta bukan sekadar melahirkan kata-kata dan mengambil berat atas diri kita semata-mata. 

Sebaliknya cinta adalah sebuah pengakuan yang diikat dengan komitmen yang bersungguh-sungguh. Dan tanggungjawab bukan setakat dilahirkan dengan kata-kata tetapi dengan perbuatan. Sebab itu semua orang boleh melahirkan rasa cintanya sebab ia cuma dilahirkan di mulut sahaja dan tidak daripada kesungguhan hati yang penuh tanggungjawab. 

Oleh kerana itu satu petua untuk anda ikuti supaya tidak terbelenggu dengan cinta yang mungkin boleh membawa anda hidup lebih sengsara, bagilah tempoh sehingga bila cinta itu boleh ditunaikan oleh orang yang meluahkan cinta tadi. Jika cinta sahaja yang sentiasa diulang-ulang tetapi dia tidak mahu mengotakannya atau sengaja melewat-lewatkannya baik ditinggalkan sahaja, supaya anda tidak membuang lebih banyak masa. Orang seperti itu tidak boleh dipercayai kerana dia tidak mahu pikul tanggungjawab bila sudah berkahwin nanti. Ingatlah, perkahwinan itu adalah satu tanggungjawab dan amanah Allah. 

Sebenarnya dunia ini terlalu luas, bahagia ada di mana-mana jadi terpulanglah kepada kita untuk mencarinya. Hidup ini terlalu singkat, masa yang ditinggalkan tak akan kembali lagi, jadi usahlah persiakan waktu yang ada. Saya akui memang sukar untuk mencari pengganti cinta yang hilang, apatah lagi kalau sudah terlalu lama mengabdikan diri kepada kekasih. 

Satu lagi tabiat buruk gadis-gadis yang digantung tak bertali ini ialah suka membandingkan kekasihnya dengan lelaki lain. Sudah pastilah lain, sebab kekasih anda sudah lama dikenali, sementara yang baru belum dikenali. Kerana sikap inilah membuatkan mereka tidak berani melangkah meninggalkan kekasih lamanya hingga ada yang sanggup menunggu sampai lanjut usia. 

Cubalah beri peluang untuk diri kita sendiri membuat pilihan dengan hati dan mata terbuka, jangan lagi mendengar gula-gula dan janji manis kekasih anda yang juga takut ditinggalkan itu. Sebenarnya dia juga inginkan kesenangan, keselesaan, kemanisan dan syurga daripada dua orang wanita untuk kesenangan dirinya sendiri. Dia tidak berani bertanggungjawab kerana bimbang hidupnya tidak akan selesa. Jadi dia sanggup korbankan anda untuk dirinya sendiri. 

Saya juga pernah bercinta, waktu itu kekasih saya itulah sahaja yang terhebat hinggalah saya dikecewakan, selepas itu saya rasa mungkin tidak ada lelaki lain yang dapat mengisi kekosongan hidup saya. Tetapi bila bertemu lelaki lain saya rasa seperti jatuh cinta semula, cinta pandang pertama untuk lelaki kedua. 

Percayalah masih ramai lagi lelaki istimewa yang ada di dunia ini, berilah peluang untuk mereka mencintai dan dicintai. Jika tidak terjumpa pun, jangan jadikan itu masalah yang besar. Hidup mesti diteruskan. Cuba bina kehidupan sendiri walaupun berdikari dengan sebaik-baiknya, sekurang-kurangnya kita tidak tertipu dengan kehidupan yang berpura-pura. 

Bercinta dengan suami orang untuk sampai bila? Sampai hatinya terbuka nak kahwin dengan anda, atau selepas isterinya izinkan, atau sampai anak-anaknya besar? Jelas di sini lelaki seperti itu cuma mementingkan dirinya sendiri. Bagi suami orang buruk macam mana pun isterinya, dia sudah ada sarang dan syurganya sendiri, sedangkan anda tidak punya apa-apa. Janganlah merugikan diri sendiri kerana ada gadis yang takut keluar rumah kerana tak dizinkan kekasihnya, ada yang tak berani ke luar negara untuk melancong sebab kekasihnya larang. 

Apakah lelaki seperti ini patut anda taati? Oleh kerana itu buatlah keputusan sebaik mungkin dan hadapi kenyataan hidup jika sudah ditakdirkan anda tidak dapat berkahwin dengannya. Terima hakikat dengan fikiran terbuka, bukan kerana desakan dan ketakutan.'' Demikian cerita Izan panjang lebar menasihati golongan gadis sepertinya supaya tidak mudah terpedaya dengan pujukan lelaki. 

Tidak dinafikan ada gadis-gadis yang sanggup merana semata-mata kerana janji setianya menunggu kekasih walaupun mereka telah ditinggalkan. Sebaik-baiknya terimalah keadaan dengan fikiran terbuka kerana hidup perlu diteruskan. 

Kredit : UtusanMalaysia



No comments

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.