Kenangan Bersama Ayah Dan Ibu
Selalunya kita selalu rasa
terharu bila mengenangkan kenangan manis bersama seorang ibu. Tidak
ramai yang rasa terharu mengenangkan kenangan bersama seorang ayah.
Saya ada beberapa kenangan bila saya teringat mengenainya, akan meleleh
air mata tanpa disedari. Saya mahu berkongsi cerita, semoga ia dapat
dimanfaati.
Saya dibesarkan dalam keluarga yang agak susah. Rumah
kayu di kawasan setinggan di pinggir bandar Johor Bahru. Ayah dan ibu
tidak ada pendidikan yang tinggi. Hanya lulusan darjah enam pada ketika
itu, tahun 60an.
Ayah saya bekerja di Singapura sebagai pekerja
kilang besi. Tugas hakiki beliau adalah sebagai pemandu jengkaut yang
mengalihkan timbunan besi buruk masuk ke dalam kawah panas untuk
meleburkan besi.
Beliau bekerja dalam tiga shift, sekejap shift pagi, kadang kala shift petang dan ada juga shift malam.
Tugas beliau yang sibuk menyebabkan kadang kala kerinduan kasih seorang
ayah. Perasaan itu lebih kuat bila melihat ayah orang lain menemani
anak mereka mendapatkan hadiah pelajaran. Makan bersama-sama. Kadang
kala melihat mereka ketawa bersama.
Di sekolah rendah, saya
merupakan antara pelajar terbaik. Selalu dapat nombor satu dalam
peperiksaan akhir dan mendapat anugerah pelajaran.
Seringkali
saya akan naik sendirian ke pentas, bersalam dengan Ahli Parlimen ketika
itu, Datuk Mohamed Rahmat untuk menerima hadiah pelajaran.
Kemudian kembali berkumpul bersama kawan-kawan. Hanya guru darjah yang menemani saya dan mengucapkan tahniah.
Saya tidak mencari-cari wajah ayah atau ibu kerana saya tidak mengharapkan mereka datang. Saya tahu mereka sibuk. Tidak mudah meluangkan masa untuk saya. Kalau mereka datang, saya rasa mendapat hadiah berganda.
Ibu saya sibuk menjaga adik-adik kecil. Dia
tidak mempunyai, malah tidak tahu memandu kereta atau motorsikal. Paling
mampu dilakukan ialah menunggang basikal sejauh 5km dari sekolah jika
ingin menemani saya ketika itu. Itu belum dikira adik yang terpaksa
ditinggalkan pada jiran.
Jadi saya faham dan redha, dengan keadaan keluarga saya. Pernah sekali ibu saya datang dengan basikal. Adik-adik ditinggalkan
bersama jiran. Datang pun ketika majlis penyampaian hadiah telah
bermula.
Jadi bila saya turun dari pentas, saya seronok sangat
melihat wajah ibu saya yang tersenyum melihat saya menjadi anak
kebanggan mereka.
Ya lah, kami orang miskin. Buat kerja sekolah
pun guna lilin atau pelita minyak tanah. Tiada bekalan eletrik di
kawasan setinggan. Berjaya dalam pelajaran adalah sesuatu yang amat
disyukuri dan dibanggakan.
Dalam hati saya tidak mengharap kehadiran mereka. Saya faham keadaan keluarga kami yang miskin.
Tetapi apabila balik rumah, saya disambut sebagai hero oleh ibu saya.
Saya bangga menunjukkn hadiah yang diberikan, walaupun hadiah berupa
buku cerita yang murah harganya.
Ayah pula akan memberikan
beberapa puluh ringgit sebagai hadiah pelajaran darinya. Saya pegang
sekejap kemudian ayah ambil balik untuk disimpan di pejabat pos. Pada
masa itu tiada bank komersial yang menyediakan perkhidmatan perbankan.
Yang paling seronok ialah ayah memberitahu, "Long jadilah doktor.
Doktor boleh tolong orang sakit." sambil mengusap kepala saya.
Jadi bila guru darjah merekodkan prestasi saya, ada soalan tentang
cita-cita. Saya segera beritahu saya mahu jadi doktor. Sebab dengan jadi
doktor saya boleh bantu orang sakit dan menjadi kebanggaan ayah dan ibu
saya.
Setiap kali ditanya, sama ada guru atau sanak saudara
(pakcik dan makcik saya), saya dengan yakin menjawab saya mahu jadi
doktor. Lepas itu saya dengar ada yang ketawa dan ada yang tersenyum. Saya tak perduli itu ketawa memerli, atau ketawa gelihati melihat saya yang cute-muit pada masa itu menjawab dengan yakin.
Ayah saya pun senyum melihat telatah saya yang sangat yakin. Akhirnya saya tersenyum pula bila melihat ayah saya tersenyum.Itulah kenangan yang manis bersama ayah saya. Walaupun mungkin dia
tidak mampu bersama saya ketika majlis penyampaian hadiah, tetapi dia
menebus dengan masa untuk bersama saya, memberikan semangat dan
dorongan.
Kata-kata semangat yang diberikan, membuatkan saya selalu ingat untuk rajin membaca dan membuat kerja sekolah. Hari ini saya tidak mengharapkan anak-anak saya mendapat nombor satu
dalam peperiksaan mereka. Kalau dapat, saya kira satu bonus.
Tetapi saya akan cuba hadir, sebab saya percaya kehadiran saya adalah
adalah hadiah yang paling berharga dan akan diingati bila saya sudah
tiada lagi nanti.
Apa lagi kenangan lagi yang boleh kita ingati
bersama ayah kita. Banyak... masa kecil kita tidak merasakan itu semua.
Apabila kita sudah menjadi ibu dan ayah barulah kita faham keadaan
mereka ketika itu.
Ayah dan ibu... Jasa dan pengorbananmu tidak
dapat kubalas... Hanya doa agar dirimu berada dalam rahmat Ilahi
sentiasa. Amin...
No comments
Post a Comment