Hitam Putih, Pahit Manis Sebagai Guru Kepada Anak-Anak Syurga
Menjadi guru
pendidikan khas bermula pada tahun 1996 apabila bertukar mengikut suami
ke Kuantan. Ditempatkan di sebuah sekolah yang tidak kurang gahnya di Kuantan
yang pada masa itu sangat kekurangan tenaga pengajar dalam bidang berkenaan.
Setelah dinasihatkan oleh guru besar yang bersungguh-sungguh meminta saya
mencuba dulu sebelum menolak daripada mengajar murid-murid Pendidikan
Khas. Saya terima cabaran itu kerana saya tidak pernah mengenali
murid-murid seumpama itu. Juga saya tidak pernah membayangkan bagaimana keadaan
murid-murid yang bakal saya hadapi. Apabila berbual dengan guru-guru
Pendidikan Khas yang sedia ada ketika itu, mereka memberikan kata-kata semangat
supaya berkenalan dulu dengan murid-murid.
Saya mengambil masa hampir tiga bulan
untuk menyesuaikan diri. Adakalanya menitis juga air mata dan merintih dalam
hati kenapalah murid-murid begini yang perlu saya hadapi. Jauh di sudut hati
tidak berbaloi menjadi seorang guru kalau beginilah murid-muridnya. Begitulah
kata hati. Saya memerhati rakan
sekerja yang lain mengajar dan cuba berdampingan dengan mereka, jauh disudut
hati saya tidak mampu hendak berbuat demikian. Hari demi hari rasa kecintaan
datang berputik sedikit demi sedikit. Murid-murid itu tidak ada rasa malu,
murid-murid itu mahu belajar rupanya, murid-murid itu punya perasaan rupanya
dan murid-murid itu sangat peramah orangnya jika kita bersedia menerima mereka
dengan baik. Dalam kesuraman rasa dan kegundahan lara saya mula mengorak
langkah, belajar, bertanya dan membaiki diri dari semasa ke semasa. Pada masa
itu hubungan dengan rakan guru sangat baik, seperti adik beradik.
Apabila
seorang terluka semuanya akan terasa pedih. Apabila kata-kata tak sama dengan
apa yang dibuat semua orang akan kena tempiasnya. Pada zaman 90an itu belum banyak
program yang di buka dan muridnya tidak ramai. Pada masa itu juga kadangkala
hubungan baik itu akan goyah kalau tidak kena sepakatnya. Dalam kalangan guru
Pendidikan Khas ada yang berbeza perwatakannya, ada yang bersungguh-sungguh
mengajar dan tidak kurang juga yang sibuk dengan urusan sekolah sehingga
mengabaikan anak-anak khas. Pada masa itu
tekanan dari pihak pentadbir dan guru lain sangat hebat. Masih menjadi igauan
lagi….” apa yang saya nak nilai awak?...murid-murid awak tidak menyumbang
apa-apa kepada sekolah….apa yang awak ajar itu tidak bermakna apa-apa…”. Namun
kata-kata itulah pembakar semangat walau pedih terhiris namun digagahi juga
demi maruah anak-anak khas.
Betul murid-murid khas kami tidak memberi apa-apa
kepada sekolah, tidak menaikkan prestasi sekolah, tidak menjulang nama sekolah
dalam kegiatan luar namun mereka ada harga diri dan maruah sama seperti insan
lain. Mereka tidak minta dijadikan begitu. Malah ketika itu jauh di sudut hati
masih mampu berkata-kata kalau tidak ada mereka sudah tentu manusia ini akan
alpa. Begitu besar ciptaan illahi sebenarnya menjadikan mereka untuk menguji
hati insan lain supaya insaf dan sedar Allah mengkehendaki ianya berlaku dengan
izinnya. Berbuat baik kepada mereka akan mampu menghapuskan dosa-dosa masa
lalu kita dan memandang rendah kepada mereka bermakna kita memandang rendah
juga apa yang Allah jadikan. Kehadiran mereka bukan sekadar untuk menguji hati
manusia malah satu peringatan kepada yang lain.
“ Awak bukan
mengajar macam cikgu di arus perdana, awak tak ubah macam pengasuh je……”.
Benar…pengasuh inilah yang memberi erti kehidupan kepada murid-murid khas.
Pengasuh inilah yang membimbing tingkah laku dan adap sopan yang mana ibu bapa
tidak mampu pun mendidik mereka sedemikian kerana kasih sayang yang melimpah
ruah. Pengasuh inilah yang menyuapkan makanan tatkala cikgu lain berseronok
menikmati makanan. Pengasuh inilah yang mendukung, mengangkat pergi ke tandas
kerana tidak mahu mereka dianggap tidak berguna oleh guru lain. Pengasuh inilah
yang melenting bila ada guru lain yang memperlekehkan anak muridnya. Pengasuh
inilah yang memimpin tangan mereka masuk ke kelas dengan harapan segunung
tinggi.
Walaupun murid hanya mampu menyebut sepatah perkataan …” egu…”( cikgu
) maka berderailah airmata pengasuh ini kerana rupanya muridnya ada suara
dan memahami apa yang diajarnya. Murid ini akan bertepuk tangan bila
nampak guru menuju ke kelas dan murid ini akan lari lintang pukang kerana
pengasuh ini sangat tegas kerana menjadikan mereka manusia-manusia yang kenal
erti disiplin. Pengasuh inilah yang menjadikan mereka ramah dan boleh bertegur
sapa. Pengasuh inilah yang selalu menjadi sebutan di rumah dan menjadi bualan
dengan ibu bapa serta adik beradik. Pengasuh ini jugalah yang menyambut dan
menghantar mereka di pintu pagar sekolah setiap hari, Pengasuh inilah yang
berlari keliling sekolah kerana takut keselamatan murid-murid mereka sedangkan
guru lain hanya ketawa. Pengasuh ini yang setiap hari pakaiannya disalut dengan
air liur dan hingusan murid-murid khas.
Sedangkan guru lain angkat kaki
bila nampak kelibat murid-murid khas ini. Mereka tidak faham apa-apa
tetapi yang berkecil hati adalah
pengasuh ini, yang menitiskan air mata. Memandang hina kepada muridnya bermakna
hina jugalah dirinya. Pada waktu itu kudrat dan semangat masih kuat. Biarpun
cabaran yang mendatang di terima dengan positif dan berusaha membuktikan saya
mampu melakukan semua tugas dengan baik. Beban tugas bukan penghalang lagi
sekiranya kita mampu berusaha secara positif. ….”Guru Pendidikan Khas perlu
menjawat semua jawatan penting dalam sekolah barulah boleh nilai prestasi
kerjanya….”. Saya kesal ramai guru sealiran mengambil kesempatan dari kesibukan
itu sehingga mengabaikan proses pengajaran dan pembelajaran murid –murid khas.
Kesibukan dengan aktiviti luar sekolah pastinya menyebabkan rakan sekerja
menerima tekanan dalam mengurus murid-murid khas, pengajaran pun tidak dapat
berjalan dengan sempurna. Kekecewaan inilah
yang mendorong ramai guru Pendidikan Khas menyambung pengajian kerana tidak
tahan dengan tekanan yang dihadapi dan kehadiran mereka selama ini seolah tidak
disedari. Pada masa itu belum ada peruntukan perbelanjaan bagi murid-murid
Pendidikan Khas, elaun RM 60.00 itulah yang saya gunakan untuk meyediakan bahan
pengajaran dan peralatan untuk kegunaan murid-murid Pendidikan Khas. “ Awak tak
layak dapat elaun ni…..apa kerja yang awak buat elaun sama banyak dengan
pentadbir….awak sepatut balik lewat sama macam pentadbir…” .
Sesekali semangat
itu akan luntur juga , kekuatan itu akan lebur dan langkah kaki menjadi lemah
berjalan menuju ke sekolah dengan hampa. Bukan mudah untuk bangunkan kelas
Pendidikan Khas supaya gahnya sama dengan kelas arus perdana. Banyak masa dan
perkara perlu dikorbankan demi membuktikan bahawa kami juga ada cita-cita dan
keinginan untuk cemerlang. Saya bina rasa kekecewaan itu bersama tekad
dan hasrat sekolah saya pada ketika itu akan menjulang namanya demi anak-anak
khas. Gahnya nama sekolah
ketika itu, ramai pelawat datang menjengah kononnya antara program yang
terbaik di negeri Pahang. “…..Apa yang ada kat sini , sampai semua orang
datang melawat…..saya tengok biasa je….murid-murid tak cemerlang pun…harapkan
kelas je yang cantik…..”.
Saya tahu sebagai manusia biasa jauh di sudut hati
pastinya ada rasa bangga bila nama sekolah jadi sebutan walaupun masyarakat
sekolah itu sendiri tidak sedar kewujudan kelas Pendidikan Khas. Belum
pun sembuh luka yang ditinggalkan , bertambah parutnya dengan sikap rakan-rakan
seangkatan. Tidak ada kesungguhan , yang penting dapat gaji …..” buat apa nak
susah-susah buat program….murid bukan tau apa pun….” . Itulah yang ada dalam
minda mereka , setiap hari perbincangan hanya tertumpu pada baju,
kasut, beg tangan , alat solek dan sebagainya. Niat ke sekolah bukan kerana
murid-murid Pendidikan Khas tapi sekadar petunjukan fesyen dan gaya terkini.
Malang sekali saya rasa terkesan bila ada segelintirnya mempunyai sikap sambil
lewa dan tidak ambil kisah pada murid-murid Pendidikan Khas. Ada yang murid
boleh belajar terabai kerana tidak ada kesungguhan.
Sebahagian guru-guru
baru yang ada hanya sekadar tempelan sahaja. Bukan sahaja bangga dengan
kelulusan yang mereka ada bahkan sikap dan intrapersonal tidak sesuai dengan
kelulusan yang ada. Hebat berkata-kata dan semangat serta hebatnya
mengajar hanya dalam tempoh praktikum sahaja. Kesungguhan hanya kerana ingin mendapatkan nama
sebagai seorang guru dan mendapat pekerjaan. Guru-guru lama tersinggung kerana
sikap dan lakunya yang kadangkala tidak profesional. Apabila dah bergelar guru
semuanya hampa belaka, yang penting bagi mereka, dapat gaji setiap bulan. Murid
masih berada di tahap yang lama , kadangkala murid sendiri boleh menilai
bagaimana guru itu mengjara mereka. Memang patut pun sekiranya ada penjaga
selalu komplen yang mana anak mereka tidak apa-apa di sekolah kerana p@p kurang
ditekankan.
Guru asyik dengan aktiviti lain sehingga masa mengajar terabai
hingga tamat persekolahan. Harapan ibu bapa supaya anak-anak dapat menguasai
sedikit kemahiran 3M kerana bagi mereka tujuan hantar ke sekolah untuk pandai
membaca. “….Cikgu anak saya
ni takut nak pergi sekolah sebab cikgu paksa dia menulis……tak payah la mengajar
beria sangat….takkan pandainya…..asalkan ada orang jaga kat sekolah sudah
le…..”. Guru mana yang tidak kecewa bila ada ibu bapa begini. Ini belum lagi
soal makan minum dan pakaian sekolahnya. Simpati dengan murid-murid
Pendidikan Khas memuncak bila sesetengah ibu bapa tidak pernah mengambil berat
bahkan bertanya kepada guru mengenai masalah anak mereka. ….” Cikgu boleh tak
saya nak keluarkan elaun anak saya sebab nak beli telefon……anak saya mesti
ganti balik telefon saya ….dia yang rosakkan….”, sedangkan pakaian
sekolah anak pun tidak terurus dengan baik.
Saya sedih dengan sikap ibu
bapa yang selalu ambil mudah hal anak-anak khas ini. Guru akan rasa cemas bila
murid-muridnya lari dari kawasan sekolah tetapi ibu bapanya selamba je kerana
mereka tahu guru akan cari sampai jumpa dan hantar ke semula ke rumah. Kadangkala sebagai
guru saya kecewa dengan sikap ibu bapa yang tidak perihatin dan mengambil
kesempatan dengan bantuan kewangan yang diperolehi. Anak tetap seperti itu juga
dengan pakaian yang tidak terurus. Tergamaknya pinjam duit anak nak buat
berniaga , nak bayar sewa rumah, nak bayar yuran adik beradik lain sedangkan
yang punya hak tidak terbela nasibnya. Guru-guru bersungguh-sungguh supaya
murid dapat belajar dengan sempurna sedangkan ibu bapa tidak ada rasa bersalah
pun hanya kerana anak itu tidak dalam golongan yang cerdik pandai.
Saat yang paling
menyedihkan apabila saya kehilangan seorang sahabat yang sama-sama berjuang
menaikan nama sekolah , sama-sama menahan kesabaran menjulang nama baik
Pendidikan Khas , sama-sama membuktikan bahawa akhirnya berbaloi menjadi guru
Pendidikan Khas. Seiring bersama menimba ilmu , sepakat membuat program,
sama-sama memberi tunjuk ajar dan saling memperingati antara satu sama
lain. Saya rasa kehilangannya amat dirasai kerana sudah pastinya tidak akan
pengganti seumpamanya. Beliau pernah melahirkan kekesalan dengan sikap
guru-guru yang tidak komited dan menghormati beliau sebagai pemimpin di sekolah
tersebut. Ilmu yang ada pada beliau sempat saya pelajari dan praktikan di
sekolah baru saya. Kerugian yang amat sangat bila sudah tiada barulah
masing-masing sedar bahawa selama ini memandang tidak tepat , teguran tidak
dihirau.
Kehilangan yang sangat terkesan pada semua hati rakan dan kehilangan
beliau belum tentu dapat menutup segala kesedihan dan rasa terkilan beliau pada
rakan seangkatan. Bahkan ada yang mengambil kesempatan cuba menafikan apa
yang beliau lakukan dalam Pendidikan Khas. Sehingga hari ini masih tidak dapat
mencari pengganti beliau Cuma yang ada hanya kawan-kawan yang meneruskan usaha
beliau supaya ilmu yang ditinggalkan dapat dimanfaatkan selamanya. Kadangkala bila
seseorang sudah tiada barulah kita sedar bahawa ada banyak perkara yang
kita tidak sempat hendak tunaikan. Tidak bermakna biarpun
menggunung penghargaan yang telah tiada pergi dengan rasa kecewa
dan terkilan. Terkilan dengan kawan-kawan yang tidak memberi komitmen yang
baik, kawan-kawan yang selalu alpa dengan kesenangan yang ada sehingga lupa ada
banyak tanggungjawab yang perlu ditunaikan.
Kealpaan itu tersentak dengan
kepergian arwah, hilang dari pandangan sekelip mata. Namun jauh dari sudut hati
seakan kami merasa arwah tetap ada selagi kami bersama dengan murid-murid khas.
Guru lain mula
memandang opsyen Pendidikan Khas bila elaun dinaikkan dan beban tugas
diarus perdana semakin berat. Guru yang pernah mencemuh dan memandang sinis
Pendidikan Khas cuba menanam minat mengajar murid-murid ini tetapi sebenarnya
mereka tidak memandang dengan kasih sayang , tidak rela mencemarkan
diri dengan murid-murid ini. Sebenarnya mereka tidak tahu betapa penatnya ,
betapa peritnya menjadikan insan yang kurang upaya ini sebagai insan yang
dipandang normal oleh orang lain.”……….kalau saya mengajar Pendidikan Khas …saya
tak nak ajar murid-murid yang berhingus tu….”.
Jadi jelas dan nyatalah bahawa
niat mereka bukan kerana kasih sayang terhadap murid-murid khas, hanya sekadar
elaun dan mengelak dari beban tugas lain di sekolah. Guru itu tidak sedar
bahawa semua jawatan penting dalam sekolah semua di sandang oleh guru
Pendidikan Khas. Begitulah tanggapannya. Kehadiran
Pembantu Pengursan Murid (ppm) sangat bermakna bagi kami. Terima kasih
kepada yang sudi menjadi ppm kerana tidak akan ada pekerja yang sebaik
mereka. Sebelum kehadiran mereka semuanya perlu dilakukan oleh guru tetapi pada
masa itu semuanya mampu dilakukan. Guru menjadi ibu, pengasuh dan pendidik.
Dulu program pendidikan khas belum ada peruntukan kewangan yang dibekalkan oleh
kementerian. Berbekalkan elaun mengajar RM 60 itu digunakan untuk menyediakan
sebarang kelengkapan dalam kelas dan bbm murid.
Hari ini sangat susah hendak
mentadbir sesebuah kelas sekiranya tidak ada ppm kerana kebanyakan murid
mempunyai masalah yang pelbagai. Walaupun demikian ada segelintir ppm
yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi dari guru tidak mampu memberi
komitmen yang baik sejajar dengan bidang tugas mereka. Mereka seolah
hendak menjadi seorang guru juga. Kadangkala mereka juga tertekan
kerana selalu menerima sindiran daripada pembantu tadbir sekolah. Itulah
cabaran menjadi ppm yang sentiasa menjadi rebutan antara guru dan pihak
pentadbir. Bagi saya masalah tidak akan timbul sekiranya mereka faham bidang
tugas masing-masing.
Bukan senang hendak
membentuk satu komuniti kecil yang boleh bekerjasama, seiring sependapat kerana
setiap orang ada kepentingan masing-masing. Pentadbir lain selalu berkata
guru-guru pendidikan khas terlalu berkira dengan kerja. Tanggapan itu ada
kalanya salah kerana kebanyakan tugas utama semua terletak di atas bahu kami.
Akhirnya ada juga guru besar mengakui kalau tidak ada guru pendidikan
khas mungkin banyak aktiviti tidak dapat dijalankan. Itulah kelebihan sekolah
integrasi walaupun ada guru terpaksa menjalankan tugas dengan rasa terpaksa.
Tanggapan itu juga ada kalanya benar kerana kebanyakan guru baru , generasi
baru dalam pendidikan khas sukar dibentuk dan tidak sependapat dengan generasi
lama.
Melaui jalan singkat untuk menjadi seorang guru menyebabkan tidak ada
rasa empati dan kesungguhan yang mendalam. Lebih-lebih lagi bila datang dengan
kelulusan yang tinggi banyak pekerjaan lain yang dibuat dalam masa yang sama.
Pekerjaan sebagai guru hanya tempat untuk bertapak dengan selesa. Dalam minda
golongan ini sudah pasti tidak tercatat wajah-wajah murid khas tetapi
bagaimana nak tambah pendapatan yang lebih banyak. Waktu dalam kelas pun sibuk
dengan merancang dan melaksanakan tugasan luar.
Saya pernah berkata
kalau rasa dengan pendapatan guru tidak cukup untuk menampung hidup dan tidak
boleh menggunakan ilmu yang ada untuk kemajuan murid khas baiklah letak jawatan
daripada terus menanggung hutang dengan murid. Bagi saya individu yang
macam inilah yang akan memusnahkan kerjaya guru-guru pendidikan khas dan
prasangka yang kita cuba tepis selama ini tidak ada menjadi kenyataan.
Bagaimana perasaan ibu bapa jika mereka melihat guru-guru ini sibuk dengan
pakaian, kasutnya , beg tangannya, andamannya, dalam kelas sedangkan murid
terbiar dengan pembantu yang tugasnya untuk menjaga murid. Berapa banyak dosa
lagi yang harus ditanggung dan dipikul jika waktu pengajaran dan pembelajaran
pun kita tidak beratkan.
Sangat susah nak ubah tanggapan ke atas
guru-guru muda mengenai tanggungjawab yang perlu dipikul dalam mendidik
anak-anak khas. Sikap dan rasa lebih hebat dari guru lama kerana dengan
kelulusan yang mereka.
Walaubagaimanapun
disebalik kesedihan dan keperitan itu tercatat seribu kenangan manis
bersama ibu bapa dan penjaga. Guru mana yang tidak rasa seronok bila
kepercayaan yang menggunung daripada pihak ibu bapa. Kami guru sebagai tempat mengadu hal dan
segala masalah, kadangkala sehingga kepada masalah rumahtangga. Kami sentiasa
memberi motivasi dan perangsang kepada mereka kerana berat mata
memandang berat lagi bahu yang memikulnya. Sekurang-kurangnya perasaan yang
lama terpendam dapat dirungkaikan sedikit bersama keyakinan meneruskan kehidupan.
Jika guru berasa susah dengan murid-muridnya, lebih lagi ibu bapa yang
memikulnya kerana bukan semua penjaga dapat menerima hakikat bahawa anak mereka
adalah istimewa. Saat manisnya sangat
indah sekali dan kemana saya pergi pun ada ibu bapa yang menegur dan
menceritakan hal anaknya. Berhadapan dengan murid-murid sedemikian memerlukan
kesabaran yang tinggi. Seronok melihat murid saya berjalan dengan yakin ,boleh
bertegur sapa menghulur salam, boleh menikmati makanan yang lazat walau tidak
dibekalkan belanja oleh ibu bapa. Tidak ada saat yang paling indah dalam hidup
saya apabila murid-murid khas ini sering mengingati nama kita dalam hidup
mereka. Kalau terserempak dimana-mana pun mereka tahu dan kenal cikgu mereka.
Hanya Allah sahaja yang tahu betapa bangganya menjadi guru pendidikan
khas jika melihat anak murid yang naik ke sekolah menengah dapat memberikan
kejayaan yang baik. Terasa pulak dalam hati selama di sekolah rendah seolah
saya tidak pernah berbuat apa-apa. Namun saya tahu pengalaman dan pengetahuan
di sekolah rendah yang membawa keyakinan kepada kepada mereka. Sedikit
pengetahuan yang ada membolehkan mereka rasa diterima di alam remaja dan boleh
bekerja dengan baik. Apabila kita ikhlas
membangunkan sesuatu program itu sudah pastinya orang lain akan membuat
perbandingan. Apa yang boleh dibanggakan ilmu yang dimanfaatkan dapat
diteruskan oleh rakan sejawat dan memjadikan program itu lebih gah lagi.
Meskipun kita tahu murid-murid khas ini agak jauh ketinggalan dalam
akademik namun saya yakin ilmu pengetahuan itu bukan diukur dengan angka tetapi
bagaiman ilmu yang ada itu dapat menjadikan seorang insan yang tidak berupaya
boleh hidup dengan masyarakat sekeliling. Saya rasa seronok melihat mereka
boleh bergaul dengan murid lain di arus perdana, boleh memberikan persaingan
dalam aspek-aspek tertentu. Bagi saya
murid-murid pendidikan khas menjadi pendorong untuk terus belajar menambah ilmu
pengetahuan. Ketabahan dan kekuatan yang ada kerana kesusahan yang alami
bersama dengan murid-murid khas. Saya ingin membuktikan bahawa guru pendidikan
khas juga mempunyai wawasan dan cita-cita demi memajukan bidang pendidikan
khas.
Saya ada kekuatan untuk menghadapi apa sahaja, menepis apa sahaja, dan
membina satu program yang pada masa akan datang menjadi gah atas nama
pendidikan khas. Saya sangat percaya suatu hari nanti Program Integrasi akan
menaikkan nama sekolah sekaligus menjadi pendidikan khas sebagai satu ikon
kepada guru lain bahawa mereka juga mampu meninggalkan sesuatau yang bermakna
kepada sekolah. Saya tidak kisah apa tanggapan orang lain kerana mereka
juga bukanlah orang yang layak dan tahu tentang urusan kita dalam pendidikan
khas. Kami guru-guru pendidikan khas akan merasa sangat teruja bila ada
murid-murid yang mampu mengatasi keupayaan murid di arus perdana.
Ini akan
memberi semangat agar kami terus berusaha sebaik mungkin. Suatu hari
nanti tidak akan ada dah orang berkata “…macam mana murid
khas, macam itulah juga guru-gurunya……”. .Betapa bangganya menjadi guru
pendidikan khas bila akhirnya ada juga pentadbir mengakui kalau tidak ada
pendidikan khas nama sekolah ini tidak akan dikenali. Walaubagaimanapun
saya sangat memahami apa yang tersirat dalam hati sanubari guru-guru pendidikan
khas selama ini. Mereka mengharapkan dapat bernaung dibawah satu pentadbiran
yang mantap , yang memahami kesusahan itu, yang tahu menghargai bila perlu
kerana yang berada di sekolah itu cabarannya sangat hebat.
Kami semua mahu
rakan sekerja bersatu hati dan berpegang pada satu prinsip yang sama. Pemimpin
yang mempunyai jiwa dan mampu menyelami ke dasar hati sanubari warga
pendidikan khas. Setinggi mana sekalipun kita berada jika hati dan perasaan
tidak sehaluan dengan situasi sekarang tidak perlu memaksa diri meneruskannya
kerana ianya akan lebih menyakitkan. Jika suatu masa dulu kita tidak
berkesempatan melakukan yang terbaik maka sekarang la masanya dengan jawatan
yang kita sandang supaya dapat menebus semula segala dosa masa lalu.
Buatlah yang terbaik supaya pohon keluarga pendidikan khas yang kita bina sejak
bertahun dulu akan terus mekar dan mampu mengukir senyuman kejayaan dalam
pelbagai peringkat mengikut kemampuan yang ada.
Guru-guru tidak akan
dapat bangun dengan tegap sekiranya akar umbinya tidak kukuh dan kuat.
Kesepakatan dan kesepaduan sangat penting hanya kerana kita tidak
berfungsi maka tercampaklah ke tempat yang kita ada sekarang. Semua mata sedang
memandang dan menilai, sudah sampai masanya kita sentap hati-hati mereka yang
alpa atau kita buang terus supaya tidak menjadi duri dalam daging. Duri itu
wajar kita gantikan dengan dengan kasih sayang sejagat sehingga timbullah
ungkapan rasa dari anak-anak khas iaitu:
Kedatangan guru yang dimuliakan
Kedatangan ditunggu dengan lapang dada
Kedatangan ditunggu dengan kasih sayang
Kedatangan disambut dengan rasa syukur
Kehilangan yang pasti akan amat dirasai.
Cikgusue
pkhas.
No comments
Post a Comment