Saya Rela Bercerai Daripada 'Bermadu' Dengan Ibu Mertua
MENJALANI hidup
berumah tangga, tak selalu bahagia seperti yang dicitakan dan tak semestinya
derita seperti yang dibimbangkan. Biasanya latar belakang seseorang menantu
memainkan peranan menentukan bahagia atau sebaliknya. Terutama kalau menantu
miskin, kehadiran kita tidak disukai mentua. Ini yang saya alami selama
sembilan tahun berkahwin.'' Itu cerita Azihani dalam e-melnya.
''Kini saya ada
dua orang anak dan saya merancang keluarga sebab bimbang masa depan yang belum
pasti, kerana sering diganggu mertua. Saya takut kalau ramai anak. Apa akan
jadi kepada mereka kalau ditakdirkan saya diceraikan.
''Saya tiada
tempat mengadu, ibu bapa sudah lima tahun meninggal dunia, adik-beradik
walaupun ramai bukan tempat meminta tolong sebab mereka bukan berpendapatan tinggi.
Jadi saya fikir dengan dua anak saya boleh hadapi hidup, berdikari jika
ditakdirkan diceraikan.
''Saya tidak
minta diceraikan, tetapi kerana sering diganggu, dihasut saya takut, mana tahu
apa yang dibimbangkan jadi kenyataan. Saya bukan kaki melawan, saya pasrah
ditakdirkan sesuatu keburukan berlaku ke atas diri saya.
''Memang sekarang
suami saya Faiz baik, tetapi saya tak boleh baca fikirannya lima tahun lagi.
Manusia boleh berubah. Tambahan pula kehadiran saya dalam keluarganya sejak
awal tidak disenangi ibu mertua, Saya berpendapat apa juga masalah yang
dihadapi dari dulu hingga sekarang berpunca daripada latar belakang keluarga
saya, kami orang susah. Kami warga setinggarden (rumah setinggan).
''Namun bukan
semua warga stinggarden susah, ada senang. Malah ada mempunyai kereta dan rumah
besar. Tetapi keluarga kami memang susah, ayah jadi buruh adik-beradik pula
ramai. Bayangkan kesusahan kami, tetapi saya bangga dapat bantuan pelajaran
dari kerajaan hingga masuk kolej, begitu juga adik-beradik lain, ada masuk Giat
Mara, politeknik dan kolej. Walaupun tak mewah tapi kami ada pekerjaan dan
didikan yang kami terima. Syukur!
''Tapi
adik-beradik Faiz, walaupun ayahnya gaji besar, berpangkat, seorang ipar saya
tak bekerja sebab tak lulus SPM dan dia tak mahu berkerja. Seorang lagi lulusan
kolej tapi dia juga tak mahu bekerja, jadi mereka makan tanggung di rumah.
Sebab dari awal kehidupan mereka segalanya disediakan oleh ibu, mereka tak
perlu risau. Bukan seperti adik-beradik saya, kami berhempas pulas belajar bila
lulus cari kerja, baiki taraf hidup keluarga dan diri sendiri.
''Mungkin kerana
perbelanjaan makin meningkat setelah ayah mertua bersara, Faiz jadi sasaran
sumber kewangan, janji boleh bantu ibu, itu pesan mertua setiap kali kami
berkunjung ke rumahnya. Saya tak faham
apa sebenar punca kebencian ibu mertua. Dulu saya syak kerana saya miskin dan
mereka berada, lepasi tu saya lihat mertua dan ipar saya cemburukan pekerjaan
saya, sebab saya lulusan kolej dan saya bekerja di syarikat GLC. Dan sejak itu
cerita kekurangan duit semakin menjadi-jadi. Ada saja mintanya.
''Saya tak marah
kalau Faiz nak bagi duit pada emaknya kerana itu tanggung jawabnya, tetapi biar
berpada-pada, jangan sampai menyusahkan saya, sebab Faiz selalu pinjam duit
saya. Itu sudah lebih. Dia patut tanggung kami. Walaupun kami
suami isteri bekerja, anak dua orang, duduk di pangsapuri, tetapi hidup kami
tak senang. Kami selalu tak berduit. Siapa boleh sabar kalau pemberian pada
ibunya meningkat dari RM200 kepada RM300 sebulan. Tak masuk bantuan 'sesak'
pertengahan bulan.
''Mungkin pada
anda jumlah itu kecil, tetapi pada kami perbelanjaan itu besar. Pertama kerana
perbelanjaan hidup kami besar, kami bekerja di tempat berbeza, kami memiliki
kereta sendiri, anak-anak perlu dihantar ke rumah pembantu, ansuran rumah dan
sebagainya, tentu memerlukan perbelanjaan tinggi, walaupun kami tinggal di
pinggir KL, tapi semua mahal.
''Dipendekkan
cerita, perbelanjaan hidup yang tinggi, membuatkan kami terpaksa berjimat.
Dalam masa sama terpaksa menghadapi mertua yang sentiasa tak puas hati dengan
kehidupan kami. Ketika kami
mula beli rumah ,katanya rumah yang kami beli terlalu mahal sedangkan ia cuma
pangsapuri, sedangkan dia boleh dapat rumah teres yang lebih murah. Mertua
salahkan saya kerana tak sabar beli rumah dan sentiasa galakkan Faiz menjualnya
dan beli rumah yang akan dicarikan.
''Tak dinafikan
rumah ini mahal, sebab kami beli atas tangan orang bukan pemaju, tentu mahal.
Tapi masalahnya kami tak sanggup berpindah setiap kali tuan rumah naikkan sewa
rumah. Jadi kalau beli tak payah pindah. Sekali lagi saya dipersalahkan kerana
tak mahu dengar nasihatnya.
''Dipendekkan
cerita kata emak Faiz sejak lapan tahun kami berkahwin, Faiz telah melakukan
tiga kesalahan besar kerana tidak menurut cakapnya. Oleh kerana sering kena
marah, Faiz melepaskan kemarahannya kepada saya. Ada sahaja salah pada saya,
akhirnya tentulah saya naik angin dan kami sering bertengkar.
''Saya pernah
beritahu Faiz jika dia rasa saya bukan isteri sesuai dan bukan pilihan ibunya,
dia boleh ceraikan saya. Lagi pun saya rasa tak ada guna kami tinggal serumah,
jika kehidupan keluarga sering dipersoal dan saya dipersalahkan kerana membeli
rumah mahal dan macam-macam lagi, saya rasa kesabaran saya semakin berkurangan.
Biarpun saya cuba bersabar.
''Bila bertengkar
saya suruh Faiz jual semula rumah yang kami beli, saya rasa hidup saya tak
tenteram dan tak aman tinggal di rumah ini. Saya beritahu Faiz jika hidupnya
sentiasa diganggu dan dipersoal, dia adalah anak yang amat malang di kalangan
adik-beradik. Jadi sebaiknya dia ikut apa juga kehendak dan permintaan ibunya.
Saya pasrah.
''Saya rasa sukar
untuk bersabar, terutama jika Faiz tidak tahu bertindak apa lagi bersuara
mempertahankan saya demi kebahagian hidupnya. Saya tak suruh dia melawan
ibunya, sebaliknya saya suruh Faiz berfikir, pilih mana yang boleh menyenangkan
hatinya dan hati ibunya. Saya tak mahu
dia menderhaka semata-mata kerana mempertahankan saya dan rumah tangga . Tetapi
fikir dan pilih mana yang baik. Tentang anak-anak Faiz tak perlu bimbang saya
boleh besarkannya sendiri, tetapi dia mesti beri nafkah. Kerana itu
tanggungjawabnya sebagai ayah.
''Saya rasa
kehidupan saya semakin sempit, jika Faiz mahu membantu ibunya hidup senang,
saya juga ingin melindungi diri. Saya perlu ada simpanan untuk masa depan yang
belum pasti. Tetapi jika saya sentiasa membantu Faiz bagaimana saya boleh
menyimpan?
''Saya sudah
penat menasihatkan Faiz, tetapi dia masih mendahulukan ibunya, takut
menderhaka, tetapi bagaimana dengan saya? Kerana itu saya beri laluan kepada
Faiz untuk memudahkan dia buat keputusan, saya sedia berundur daripada
'bermadu' dengan ibunya. Saya pasrah,'' Itu kisah Azihani mengakhiri ceritanya
yang masih belum ada keputusan.
Kredit : UtusanMalaysia
No comments
Post a Comment