SLIDER

Gara-gara Fake Braces, Bukan Cantik Yang Dapat Tapi Bahana




Kebelakangan ini ramai yang memakai braces, terutama sekali anak muda-mudi. Objektif braces sebenarnya untuk memperbetulkan struktur gigi yang teruk menjadi lebih baik. Namun rata-rata sekarang ni, ramai yang memakainya kerana ikut trend fashion masa kini, kerana memakai braces ni seolah-olah melambangkan kemewahan kerana harganya yang agak mahal. Oleh kerana mahal, ada sesetengah orang mencari fake braces, yang mana ianya jauh lebih murah. Perasaan ingin mencuba membuatkan ada sesetengahnya tidak memikirkan kesan mudarat di kemudian nanti, asalkan hajat memakai braces tercapai. Ingat ye korang , yang nak pasang fake braces bukannya doktor bertauliah tau, tapi orang biasa tapi dia claim tahu pasal braces. Dah banyak kes di terima oleh doktor di klinik pergigian untuk membuang fake braces, kerana gigi mereka menjadi lebih teruk. Kepada sesiapa yang nak mencuba fake braces tu , fikir-fikirlah banyak kali. Takut menyesal tak sudah. Gara-gara nak cantik, tapi mendapat bahana. Sebelum nak pakai tu, kita baca maklumat betul-betul dari sumber yang sah dan cuba hadamkan.

-Admin Laman Qaseh-


Apa itu fake braces?
Fake braces ialah braces palsu yang dipasang pada gigi yang menyerupai braces sebenar (aplian tetap ortodontik). Walau bagaimanapun ianya tidak berfungsi seperti aplian tetap ortodontik.

Apa itu aplian tetap ortodontik?
Aplian tetap ortodontik adalah alat-alat yang digunakan untuk rawatan ortodontik. Ianya terdiri daripada ‘bracket’ (pendakap), wayar dan getah yang dilekatkan pada permukaan gigi.

Aplian tetap ortodontik digunakan oleh pakar ortodontik untuk menggerakkan gigi yang tidak teratur dengan pemeriksaan secara berkala sehingga menjadi susunan yang cantik. Pemeriksaan berkala ini mengambil tempoh biasanya dua setengah hingga ke tiga tahun.

Contoh gambar fake braces.


Contoh gambar aplian tetap ortodontik

Siapa yang selalu memakai fake braces?
Golongan remaja ialah mereka yang selalunya memakai fake braces ini.

Kenapa remaja memakai fake braces?
Bagi golongan remaja, pemakaian aplian ortodontik kadangkala boleh dilihat sebagai suatu fesyen. Permukaan gigi yang dihiasi dengan getah-getah ortodontik yang berwarna-warni dan berbentuk menarik kelihatan seperti aksesori. Getah-getah ortodontik ada yang berbentuk bunga, bintang, watak kartun (mickey mouse) dan sebagainya.

Susunan gigi mereka ini biasanya sudah teratur dan tidak memerlukan rawatan ortodontik. Tetapi oleh kerana ingin mengikut tren dikalangan rakan sebaya, mereka sanggup melekatkan fake braces ini pada permukaan gigi masing-masing.

Contoh gambar getah fake braces.

Di mana fake braces ini diperolehi?
Fake braces ini dibeli secara online melalui media internet iaitu instagram, facebook dan twitter. Ada juga dijual secara haram disesetengah salun dan pasar gelap. Kos fake braces ini jauh lebih murah berbanding dengan rawatan ortodontik. Ianya berharga di dalam lingkungan RM90 ke RM150 sahaja.

Bagaimana fake braces ini dipasang?
Pemasangan fake braces ini dibuat sendiri oleh pembelinya. Tutorial yang menunjuk ajar cara memasang fake braces ini berleluasa di laman media sosial. Ada juga perkhidmatan memasang fake braces ini di hotel-hotel atau dari rumah ke rumah para pembelinya.

Berbanding rawatan ortodontik, pakar ortodontik yang bertauliah dan berpengalaman yang akan memasang aplian tetap ortodontik. Beliau juga akan menerangkan penjagaan selepas pemasangan.

Berapa lama fake braces ini dipasang di dalam mulut?
Biasanya fake braces ini dipasang dalam tempoh 3-5 bulan sahaja. Jika melebihi tempoh berkenaan, gam yang melekatkan fake braces ini sudah tidak dapat melekatkannya dengan baik. Walau bagaimanapun ianya bergantung kepada remaja berkenaan sama ada untuk memakainya dengan lebih lama atau pun tidak.

Adakah fake braces ini berbahaya?
Sudah tentu ianya bahaya. Ini kerana isi kandungan fake braces ini tidak diketahui samada selamat untuk kesihatan atau tidak. Terdapat laporan mengatakan salah satu bahan yang terkandung di dalam fake braces ini adalah plumbum yang berbahaya pada kesihatan.

Selain daripada itu alat-alat yang digunakan untuk pemasangan fake braces ini tidak dinyahkuman sebagaimana yang dilakukan di klinik-klinik pergigian ortodontik.

Banyak saranan yang telah diberikan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia yang menghalang orang ramai memakai fake braces di atas sebab keburukan dan kemudaratannya pada kesihatan.

Terdapat dua kematian yang dilaporkan di Thailand yang dipercayai berpunca akibat tertelan fake braces.

Adakah pemakaian fake braces ini memberi sebarang kesan pada gigi?
Semestinya. Pada permukaan gigi, kesan gam yang dilekatkan boleh menyebabkan gigi terhakis. Karies gigi dan gusi berdarah juga boleh terjadi kerana tiada penerangan untuk penjagaan gigi selepas pemasangan. Tunjuk ajar cara memberus gigi tidak diberitahu kepada para pembeli fake braces.

Selain itu, pemasangan fake braces boleh menyebabkan pergerakan gigi secara tidak langsung. Walaupun pergerakan gigi ini mungkin tidak banyak, ada juga kes dilaporkan hampir menyebabkan gigi goyang dan hampir tertanggal dari gusi.

Apa yang perlu dibuat sekiranya saya telah memakai fake braces?
Segeralah mengunjungi klinik pakar ortodontik untuk menanggalkan fake braces ini. Pemeriksaan penuh juga akan dilakukan oleh pakar ortodontik untuk memastikan tiada sebarang kerosakan pada gigi telah berlaku. Rawatan yang sepatutnya akan diberikan oleh pakar ortodontik dan doktor pergigian.

Keratan akhbar mengenai bahaya fake braces

Penerangan di media sosial mengenai bahaya fake braces
  www.youtube.com/myohd

Semakan Akhir : 19 Jun 2015
Penulis : Dr. Noorhanizar bt. Mansor
Akreditor : Dr. Hjh. Fatimah bt. Abdullah

Kredit : PortalMyHealth



No comments

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.