Jauhi Sikap Panas Baran, Cetus Kebencian
Terdahulu, seorang aktor terkenal dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memukul isterinya dipercayai berpunca daripada isu wang.
Dua kes ini yang berlaku tidak berapa lama lalu, hanya sebahagian daripada contoh daripada beratus kes natijah daripada amarah yang tidak terkawal.
Sebagaimana perasaan sayang, marah juga merupakan anugerah semula jadi yang ada dalam diri setiap manusia.
Hanya yang membezakan ialah tahap kemarahan dan sejauh mana mereka berupaya mengawal serta mengurusnya. Sebab itu timbulnya istilah panas baran, cepat melenting, naik angin, dan sebagainya.
Individu panas baran terlalu mengikut emosi marah hingga menjadikan dirinya mudah naik angin walau hanya dengan sebab yang remeh.
Marah yang tidak terkawal ini juga mampu memberi kesan buruk dan melukai orang lain.
Pensyarah di Jabatan Psikologi dan Kerja Sosial, Pusat Pengajian Pembangunan Sosial, Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia (UUM), Siti Azura Bahadin berkata, panas baran merupakan kesukaran seseorang dalam menangani perasaan marah sehingga hilang malu, sanggup bertindak di luar batasan dan boleh memberi kesan pada individu lain sama ada dari segi emosi mahupun fizikal.
Katanya, sikap marah membuka pintu syaitan untuk mudah masuk ke dalam hati manusia dan banyak punca yang membawa kepada keadaan tersebut.
“Memang marah adalah sifat normal manusia, tetapi kadang kala ia juga sesuatu yang ‘diwarisi’. Sebagai contoh, kanak-kanak dibesarkan dalam keluarga yang kerap marah-marah, juga akan membesar sebagai individu pemarah. Di sinilah rasionalnya dikatakan panas baran boleh diwarisi.
“Kadang-kala panas baran juga terjadi melalui tabiat yang digilap tanpa sengaja, iaitu adakala kita hanya ingin marah sesekali sahaja namun lama kelamaan menjadi kebiasaan dan keseronokan seseorang menggunakan teknik kemarahan bagi mendapatkan sesuatu yang diingini atau orang mendengar kata-katanya,” katanya.
Tambah Siti Azura, kurang didikan agama turut menjadi punca panas baran ini kerana jika seseorang itu faham akan balasan syurga dan neraka pasti sifat mazmumah ini dibuang jauh-jauh dari dalam diri.
“Jika manusia tahu bahawa marah itu dari syaitan dan membuka jalan kemungkaran yang lain pasti mereka menguatkan kesabaran.
“Syurga sebaik-baik balasan pada manusia yang mampu mengawal kemarahan,” ujarnya lagi.
Menurutnya, kemarahan jika disalurkan pada keadaan yang sesuai boleh menyelesaikan masalah, sebaliknya panas baran akan memburukkan keadaan. Kemarahan dibolehkan dalam keadaan tertentu, namun panas baran ini lebih kepada sifat mazmumah yang dibenci Allah Taala,” katanya.
Menurut Siti Azura, untuk mengawal panas baran, pakar-pakar psikologi dan kaunseling menyarankan banyak aktiviti dalam menangani sikap panas baran ini.
Antara yang boleh diaplikasikan adalah dengan menggunakan teknik pernafasan yang betul, berfikiran positif, mendekatkan diri dengan orang-orang yang berilmu, serta bersukan dan bersenam.
“Meditasi juga mampu menenangkan fikiran kita di mana fikiran kita dikosongkan dan membayangkan ketenangan.
“Panas baran merupakan gelodak jiwa yang tidak tenteram. Sesekali keluarkan bermeditasi dalam mencari ketenangan dan kelapangan hati. Jika orang Islam, berdoa dan bersolat merupakan sebaik-baik jalan mencari ketenangan.
“Nabi Muhammad SAW pernah berpesan tiga langkah mengatasi amarah ini antaranya mendiamkan diri, mengubah kedudukan (jika berdiri, ubah duduk, kemudian baring atau tidur), mengambil wuduk dan memperbanyakkan istighfar,” katanya.
Dalam pada itu, mantan Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Abdul Kadir Abu Bakar, berkata, mereka yang panas baran biasanya mempunyai tingkah laku agresif, gangguan emosi dan tahap spiritual yang rendah menyebabkan mereka boleh bertindak melulu melakukan apa sahaja asalkan hatinya mendapat kepuasan.
“Mereka yang mempunyai sifat panas baran yang melampau menganggap mereka mempunyai kuasa untuk menangani orang yang lemah.
“Sebab itu, dalam kebanyakan kes, isteri dan anak menjadi mangsa kemarahan mereka.
“Jika tidak ditangani dengan baik dikhuatiri akan menjurus kepada kes penderaan sehinggalah pembunuhan,” katanya.
Kata Dr. Abdul Kadir, panas baran juga dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan lain seperti tekanan darah tinggi, serangan jantung, serta perubahan emosi secara mendadak yang akan menjejaskan fungsi paru-paru,
Tambahnya, mereka yang panas baran mempunyai kecenderungan untuk merokok bagi meredakan kemarahan dan lebih tenang disebabkan kesan metabolik nikotin di dalam otak.
“Namun ia bukan cara terbaik bagi meredakan kemarahan, malah merokok hanya meningkatkan kesan negatif kepada paru-paru,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, kemarahan juga membuatkan sistem autonomik jantung berdegup akan bertindak lebih pantas dengan hormon adrenalin tersebar dalam darah lalu menyebabkan pernafasan menjadi pendek, mudah berasa marah dan fikiran bercelaru.
Tip mengawal kemarahan
1 Luangkan waktu
Sebelum bertindak balas terhadap situasi yang membuatkan anda marah, sebaiknya diam sejenak. Tarik nafas dalam-dalam, kira sampai 10. Beredar seketika untuk menghindari situasi yang tegang.
2 Setelah tenang baru luahkan
Setelah tenang dan boleh berfikir dengan jelas, baru ungkapkan rasa kesal anda dengan cara yang baik dan tidak berapi-api. Luah perkara yang mengganggu fikiran dengan jelas tanpa menyakiti orang lain.
3 Bersenam
Aktiviti fizikal mampu digunakan untuk mengendalikan emosi. Jika merasa kemarahan sudah berada di ubun-ubun, berjalan-jalan sejenak atau berlari. Habiskan waktu untuk melakukan aktiviti fizikal untuk mengalihkan perhatian daripada kemarahan. Aktiviti fizikal mengeluarkan hormon gembira.
4 Berfikir sebelum bercakap
Ketika kemarahan sedang meluap-luap, sering kali mereka mengeluarkan kata-kata yang kemudian disesali. Jadi sebelum memuntahkan semua kemarahan, sebaiknya berfikirlah dengan waras.
5 Cari penyelesaian
Daripada fokus kepada perkara yang membuatkan anda marah, sebaiknya fokus pada penyelesaiannya. Ingatkan diri bahawa kemarahan tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan boleh membuatnya lebih tidak tentu arah.
6 Jangan berdendam
Maaf adalah penawar yang paling kuat. Jika membiarkan kemarahan dan perasaan negatif melebihi perasaan positif, anda kemungkinan akan bersikap buruk dan tidak adil. Untuk itu, lebih baik jika mampumemaafkan seseorang yang membuat anda marah. Jadikan kemarahan dan kesalahan orang lain sebagai pengajaran.
7 Berjenaka
Gunakan humor dan jenaka untuk membuat suasana lebih ringan. Jangan gunakan humor yang sarkastik kerana akan menyinggung orang lain dan membuat masalah semakin rumit.
8 Bertenang dan relaks
Ketika anda mula berasa marah, kemampuan untuk relaks mungkin sangat diperlukan. Lakukan latihan untuk menarik nafas dalam-dalam, membayangkan sesuatu dan meluahkan kata-kata yang boleh membuat rasa tenang. Anda juga boleh mendengar muzik, menulis jurnal atau melakukan yoga.
10 Tahu bila harus meminta bantuan
Jika masalah mengendalikan amarah menjadi semakin parah dan anda berasa tidak sanggup untuk melakukannya, sebaiknya segera cari bantuan orang lain. Ini boleh mencegah daripada melakukan perkara lebih buruk dan menyakiti orang yang anda sayangi.
Cara kawal kemarahan dari perspektif Islam
Berwuduk
Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan itu dibuat daripada api. Api itu hanya dapat dipadamkan dengan air.
Membaca al-Quran
Ayat-ayat al-Quran menjadi penawar sakit rohani dan jasmani. Jika badan dan emosi tidak stabil segerakan membaca surah-surah suci.
Berzikir dan beristighfar (memohon ampun)
Zikir paling mudah diamalkan. Boleh dibacakan untuk diri sendiri apabila berasa marah atau kepada orang lain untuk meredakan marah atau panas baran mereka. Dibaca diulang-ulang sambil menggosok dada.
Berselawat
Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi adalah kunci kepada penyelesaian banyak masalah.
Beriktikaf di dalam masjid
Minda kita perlu kepada kelapangan dan ruang. Sifat semula jadi minda kita sukakan ketenangan. Masjid merupakan kawasan lapang yang mampu meredakan kekusutan jiwa.
No comments
Post a Comment