Orang Kampung Buka Puasa di Hotel Mewah
Saya orang kampung. Rakyat marhaen biasa. Semalam sahabat baik saya seorang VIP menjemput saya berbuka puasa dengan beliau. Barangkali beliau ingin meraikan saya yang berada di KL sehari dua ini. Beliau mengajak saya berbuka puasa di sebuah hotel dengan hidangan yang mewah. Atas dasar meraikan jemputan sahabat maka saya pun hadir bersama dua orang yang mengiringi saya. Saya lihat ramai yang berbuka puasa di situ. Terdapat yang hadir atas belanja sendiri dan ramai juga atas syarikat masing-masing.
Saya sebenarnya kurang biasa berbuka di hotel dengan hidangan semewah itu. Semasa berbuka semalam, saya tidak bangun pun mengambil makanan-makanan hebat yang disediakan. Pertamanya saya rasa berat sedikit kerana nanti mengganggu orang ramai yang akan bertegur sapa dengan saya. Mungkin menggangu tumpuan mereka untuk mengambil makanan. Satu lagi, saya rasa tidak selesa apabila ada yang nak bergambar kerana latar makanan yang begitu ‘hebat’ nanti disalah fahami.
Maka, saya hanya makan apa yang sahabat-sahabat lain ambil untuk meja kami. Itupun alhamdulillah, pelbagai jenis juga. Namun saya rasa kadar yang saya dapat makan dari hidangan itu tidak lebih dari 10 peratus harga berbuka puasa yang dibayar oleh sahabat saya itu. Saya terlebih dahulu berterima kasih kepada sahabat saya yang menjamu kami berbuka. Mungkin dia ingin berikan yang terbaik untuk saya. Semoga Allah berikan pahala untuk beliau.
Kepadanya saya ucapkan seperti ucapan Nabi yang diriwayatkan oleh Anas r.a.:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَاءَ إِلَى سَعْدِ بْنِ عُبَادَةَ فَجَاءَ بِخُبْزٍ وَزَيْتٍ فَأَكَلَ ثُمَّ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَفْطَرَ عِنْدَكُمُ الصَّائِمُونَ وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ الْأَبْرَارُ وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ الْمَلَائِكَةُ
“Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Sa`ad bin `Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: “Telah berbuka puasa disisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat”.(Riwayat Abu Daud. sahih).
Juga ucapan seperti yang diajar oleh Nabi s.a.w:
جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا
Namun, di sini sebagai orang kampung marhaen, saya ingin melontarkan sedikit pandangan tentang berbuka puasa di hotel mewah seperti itu;
1. Bunyian muzik semasa berbuka tidak membantu merealisasi suasana berdoa semasa berbuka. Terdapat pelbagai riwayat hadis yang menunjukkan galakan berdoa semasa iftar. Puasa melunakkan jiwa kita. Bunyi-bunyian yang berlebihan itu boleh memadam kekusyukan dan kehalusan rohani.
2. Pembaziran yang mungkin terjadi disebabkan tidak mungkin dapat dihabiskan makanan sepadan dengan harga yang dibayar. Kita semua tahu Islam melarang pembaziran.
3. Mungkin akan ada yang cuba makan berlebihan supaya sepadan dengan harga yang dibayar. Maka akan berlaku berlebihan dalam berbuka dan membawa kepada berat dan malas untuk solat dan ibadah yang lain selepas itu.
Nabi s.a.w. menyebut:
مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ
“Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertga untuk pernafasan. (Riwayat al-Tirmizi, katanya: hadith ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadith ini hasan).
4. Waktu selepas berbuka jika tidak dikawal akan berlarutan di meja makan, padahal kita sepatutnya selepas selesai urusan berbuka menumpukan kepada urusan ibadah di masjid. Ramadan hanya sebulan. Kita sepatutnya memberikan ruang waktu untuk ibadah khususnya solat qiyam Ramadan ataupun tarawih yang hanya ada pada malam-malam Ramadan.
Mohon maaf, ini sekadar pandangan orang kampong seperti saya ini. Namun, jika perkara-perkara yang disebutkan di atas dapat diatasi maka tidak menjadi masalah untuk berbuka di mana sahaja termasuk di hotel mewah sekalipun.
Ramadan terhad. Kedatangannya hanya sebulan dalam setahun. Ia merupakan peluang yang Allah buka untuk kita meningkatkan pahala. Tahun hadapan belum pasti kita bertemu lagi dengan Ramadan. Semoga kita mengambil kesempatan dari Ramadan ini.
Kepada Allah kita pohon keampunan.
Kredit : Fb DrMaza
No comments
Post a Comment