Takdir Saya Berkahwin Dengan Gadis Yang Tak Pandai Masak
Saya mengenalinya isteri saya sudah agak lama iaitu sejak tahun 2004 semasa di matrikulasi UIA lagi. Walaupun jurusan berlainan tetapi kami berpeluang mengenali disebabkan dia antara pelajar yang menyertai kelas Bahasa Arab saya.
Saya mengambil jurusan kejuruteraan manakala isteri saya pula
mengambil jurusan Bahasa Arab. Peliknya saya merupakan pelajar jurusan
kejuruteraan yang mengajar Bahasa Arab kepada pelajar Bahasa Arab. Pelik
bukan?

Suasana Kelas Bahasa Arab yang saya anjurkan.
Lebih kurang 40 orang pelajar telah menyertai kelas tambahan saya di mana kebanyakannya daripada jurusan Bahasa Arab dan Ilmu Wahyu. Boleh dikatakan kelas ini majoritinya disertai oleh kumpulan ustazah.
Berazam Untuk Berkahwin Awal
Semasa di matrikulasi lagi saya sudah memasang matlamat untuk
berkahwin awal apabila memasuki kampus utama. Saya hendak berkahwin
semasa masih belajar lagi. Calon isteri semasa itu belum ada, cuma
angan-angannya sahaja. Saya tidak memikirkan sangat berkenaan hal
kewangan disebabkan yakin dengan asbab perkahwinan Allah akan bagi
rezeki.
Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan.
Jika mereka miskin, Allah akan “Memberi Kekayaan” kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.
Surat An-Noor : 32
Saya mula mengumpul duit sedikit demi sedikit dengan hasil jualan
prepaid telefon bimbit di matrikulasi. Alhamdulillah perniagaan agak
maju. Disitulah saya dapat mengumpul sedikit duit. Apabila masuk ke
kampus utama di Gombak, saya bekerja mengajar pelbagai subjek untuk
tuisyen di rumah.
Saya mula dengan meminjam motor kawan untuk pergi mengajar. Lama
jugak saya meminjam motornya, sehinggakan kadang-kala rasa bersalah
takut dimarahi disebabkan asyik meminjam. Akhirnya saya membuat
keputusan untuk membeli sebuah motorsikal terpakai dan kereta
kemudiannya.
Mula Mencari Calon Isteri
Apabila pendapat bulanan sudah agak banyak dan stabil, saya mula
mencari calon isteri. Calonnya banyak disebabkan geng-geng “ustazah
pilihan” ramai yang menyertai kelas saya. Ini memudahkan saya senang
untuk mendapatkan maklumat. Akhirnya saya telah memilih seorang yang
terbaik pada pandangan saya.
Tetapi saya tidak mahu membuat keputusan sendirian. Saya meminta
pendapat adik perempuan saya yang turut belajar di UIA sama ada pilihan
saya baik ataupun tidak. Alhamdulillah adik saya menyatakan ianya baik.

Kita tidak boleh bersendirian dalam mencari calon isteri.
Tekad dengan pilihan hati, saya meminta bantuan orang tengah untuk memberitahu niat saya untuk menjadikan Widyana Ali sebagai isteri. Jika sang dia suka, maka dia kenalah bersetuju untuk berkahwin dalam masa setahun.
Kalau tidak bersetuju berkahwin dalam masa setahun, maka saya akan
mencari calon lain. Alhamdulillah dia suka dan bersetuju. Saya menelefon
maknya dan berbincang mengenai hal ini beberapa kali. Akhirnya maknya
pun setuju. Maka kami pun bertunang.
Selepas bertunang barulah saya tahu bahawa dia sudah lama berdoa
supaya dapat jodoh dengan insan yang bernama Mohd Yazid Ismail. Sejak
matrikulasi lagi rupa-rupanya. Patutlah dari banyak-banyak calon,
sayalah menjadi pilihanya. Inilah berkat doa.
Sedihnya, Isteri Tidak Pandai Memasak!
Tetapi alangkah sedihnya, selepas bertunang barulah saya tahu dia
tidak pandai masak langsung. Dahulu semasa merisik tidak semak
betul-betul. Aduhai nasib-nasib.
Risau juga pada awalnya disebabkan tidak pandai memasak biasanya
mempunyai kaitan dengan sifat yang lain iaitu kekurangan sifat keibuan
dan urusan rumah tangga. Tetapi saya cuba positifkan fikiran bahawa
semua benda boleh dipelajari. Tidak semestinya seseorang itu kena pandai
sebelum berkawin.
Kalau begitu semua yang hendak jadi isteri kenalah pandai mengandung
dan pandai menjaga anak sendiri sebelum berkahwin. Jadi saya tetapkan
minda untuk terima dirinya seadanya dan bersedia untuk memberi sokongan.
Kami berkahwin semasa tahun dua di UIA Gombak. Apabila sudah
berkahwin barulah saya tahu bahawa kemahiran memasak ini tidak perlu
pandai. Semua perkara ini boleh di cari menerusi enjin carian Google
seperti resepi dan cara-cara memasaknya. Cuma sediakan bahan-bahan yang
diperlukan dan ikutkan sahaja langkah-langkah yang diberi. Akhirnya siap
satu hidangan.
Tak Pandai Atau Malas Memasak?
Jadi zaman sekarang istilah tidak pandai masak ini lebih bermaksud
kepada malas memasak. Seseorang itu sebenarnya malas memasak dan
bukanlah disebabkan tidak pandai masak. Boleh sahaja memasak dengan
bantuan tutorial dari telefon bimbit dengan meletakkan di tepi dan
mengikutnya. Mudah!

Lihat bagaimana rupa bekal makanan anak-anak yang disiapkan oleh isteri saya.
Sekarang, pelbagai resipi telah dicuba dan jauh lebih sedap daripada tukang masak pakar di restoran. Tahun lepas, banyak telah dikongsi di FaceBook resepi masakannya, tips-tips mengurus rumah tangga dan tips keibubapaan.
Kalau di lihatkan inbox Facebooknya, seolah-olah dirinya yang pakar
memasak disebabkan ramai yang PM bertanyakan resipi dan nasihat tunjuk
ajar. Walhal sampai masa sekarang pun kadang-kala dia masih memasak
menggunakan telefon bimbit.
Malah cara mengemas rumah dan susun atur perkakas dan perabot pun di
carinya di Google. Banyak juga group Facebook disertainya mengenai hal
menguruskan rumah tangga. Terima kasih Dyana sebab rajin dan tabah
mengurus hal rumahtangga dan minta maaf juga sebab kadang-kala abang
tidak banyak menolong.
Jangan Jadikan Alasan Tidak Pandai Memasak
Jadi peringatan kepad para isteri, jangan jadikan alasan tidak pandai
memasak untuk tidak memasak. Alasan begitu sudah tidak logik. Adik-adik
yang masih di universiti, jikalau hendak berkawin silalah memasang
matlamat betul-betul. Stabilkan ekonomi diri dulu. Tidak perlu kaya
tetapi stabil.
Terima seadanya apa saja kekurangan pasangan kita.
No comments
Post a Comment