SLIDER

jodoh
Showing posts with label jodoh. Show all posts

Wanita Bujang Bila Terjebak Bercinta Dengan Suami Orang, Susah Nak ‘Patah Balik’

3 Oct 2024

 


Hubungan percintaan antara wanita bujang dengan suami orang. Tidak dapat dinafikan, ramai wanita bujang yang terjebak dalam cinta begini. Kalau sudah terjebak, memang susah hendak ‘berpatah balik.’

Alasan yang diberikan biasanya dikatakan jodoh dan rasa kasih dan sayang pada lelaki yang berstatus suami orang. Bercinta dengan suami orang melibatkan banyak perkara terutama soal hati dan juga perasaan.

Wanita Bujang Bila Terjebak Berkawan Dengan Suami Orang

Melalui satu hantaran dilaman Facaebook, Firdaus Shakirin melontarkan pandangannya tentang mengapa wanita bujang perlu mengelakkan diri daripada menjalinkan hubungan dengan suami orang.

“Berkawan” dengan suami orang: Kalau boleh elak tu, elaklah…

Bila dah tersuka, bila dah dilamun cinta, terus dikatakan jodoh…nak buat macam mana kan…ketentuan ALLAH SWT…tapi pokok pangkal asal hubungan tu adalah sebab tidak pandai jaga pergaulan dan tidak tahu batas bila bergaul…

Bukan tidak tahu dia itu suami orang, tapi melayan juga…dari sekadar “cuma kawan”, sehinggalah terbinanya “satu hubungan.”

Susah Nak ‘Patah Balik’

TIGA SEBAB KENAPA PERLU ELAK BERKAWAN DENGAN SUAMI ORANG: 

1. Bukan semuanya mampu

Kita bukan hendak menidakkan perkara yang halal dan boleh untuk orang lelaki buat tapi syarat utama yang membolehkan dia untuk buat pilihan itu ialah mampu. Boleh dikatakan ramai lelaki yang bergelar suami pada hari ini, tidak mampu. Kalau dia betul-betul mampu, maka isteri dia tidak membantu langsung bab kewangan. Dari A to Z dia sediakan, semua hutang dia bayarkan siap ada pakej duit belanja yang fixed lagi setiap bulan untuk isteri.

Kalau bulanan pun, isteri bayar hutang, isteri top up perbelanjaan, keluar makan isteri bayar, minyak kereta isteri penuhkan, maka di mana “kemampuan” dia untuk beristeri lebih dari satu? Kalau dia teruskan juga niat dan perbuatan itu, maka penganiayaan akan berlaku disebabkan dia tidak mampu.

2. Niat nak test market, main-main, tak serius

Bukan semua yang menyentuh hati anda itu, membuatkan anda jatuh cinta dengannya ada nawaitu ingin menghalalkan anda, ada yang saja-saja test market, sekadar suka-suka, main-main. Dia tidak mahu ke peringkat seterusnya sebab dia tiada keinginan pun untuk ke peringkat itu.

Hubungan itu sekadar mengisi masa lapang, memenuhkan masa terbuang. Dia akan mengelak daripada membicarakan soal serius ke tidak, nak berkahwin ke tidak dan sebagainya. Dia akan berjanji sahaja sepanjang masa tapi dia langsung tidak mengotakan apa yang dijanjinya. Lebih teruk lagi, dia dapat “habuan”, dia blah dan memutuskan hubungan begitu sahaja. Habis madu, sepah dibuang. Dia yang untung dan dia tak rugi apa-apa dalam hubungan yang macam ini.

3. Jangan menambahkan bilangan ibu tunggal

Biasalah, adat mula-mula hendak menumpang kasih. Bila kasih sudah ditumpang, maka mula tamak dan mahu ianya jadi hak milik seorang.

Yang pertama sudah mula rasa kurang senang, yang pertama sudah mula rasa diabaikan, yang pertama tak boleh terima diduakan, maka yang pertama pun “lebih rela” untuk bergelar ibu tunggal.

Ada suami yang sebelum bercinta dengan orang lain, sebelum berkenalan dengan orang lain, dia baik-baik sahaja dengan isterinya. Apabila berjumpa orang baru, dia jadi haru biru. Kewajipan sudah ke laut, nafkah sudah mula tak tunai. Anak isteri tak dihiraukan lagi  dek kerana keasyikan dilamun cinta baru.

Ditegur tak guna, dinasihat sia-sia. Maka putus asa dan redalah si isteri dalam mempertahankan rumah tangga asbab kemunculan orang ketiga. Si suami yang asalnya hendak membantu janda, telah menjandakan pula isteri sendiri.

Sebagai suami, jagalah pergaulan dan fahamilah batas-batas pergaulan. Kita keluar mencari nafkah untuk keluarga, bukan jodoh kedua. Tengok cermin, tengok atas bawah, sedarilah kemampuan kita dan ingatlah pengorbanan yang telah isteri kita lakukan.

Kepada ‘orang ketiga’ andai rosak sesebuah rumah tangga kerana perbuatan anda, maka bertanggungjawablah untuk menjawab soalan di akhirat sana. Allah Maha Adil dan Saksama.

Kredit : https://www.facebook.com/firdausshakirin.25/

Di Tempat Kerja Menjurus Kepada Punca Keretakan Kebahagiaan RumahTangga

27 Apr 2022


Sudah hampir enam tahun aku berkerja dalam industri. Saja aku tidak nyatakan dalam industri mana, tapi aku akan bagi contoh berdasarkan pemerhatian aku terhadap diri sendiri dan kawan-kawan aku dalam bidang kerjaya.

Mulanya nak guna perkataan “ikhtilat” tapi tak semua akan faham kecuali budak-budak usrah dan mungkin budak-budak UIA. Bergurau, jangan marah. Pergaulan bebas lagi senang orang ramai faham apa maksudnya dan tahu juga macam mana sifatnya.

Sering kita baca berita atau artikel mengenai “Pergaulan bebas di kalangan remaja” atau “budak sekolah” atau “pelajar IPT”. Tapi rasanya jarang kita dengar tentang teguran pergaulan bebas di tempat kerja yang melibatkan suami-suami dan isteri-isteri orang. Baik yang muda 20-an hinggalah yang nak pencen 50-an.

Aku akan ceritakan apa yang aku alami dan nampak selama aku berkerja.

BERGURAU KETERLALUAN ANTARA LELAKI & PEREMPUAN


Benda ni sangat biasa. Bergurau, gelak-gelak dan yang paling aku tak berkenan tepuk tampar sentuh-sentuh. Sebelum tu aku nak bagitau yang aku ni seorang lelaki dan aku normal, haha. Maksudnya aku juga ada nafsu dan bila bergurau memang akan rasa seronok. Tapi nafsu itu kalau dirai dan dan dilayan, memang akan merosakkan.

Aku dah pun berkahwin dan aku tak suka bila ada lelaki yang cuba-cuba bergurau dengan isteri aku. Kalau korang kata aku kolot, jumud atau tak open-minded, aku rasa korang yang ada masalah sebenarnya. Sebagai seorang suami, kau takkan rasa senang bila isteri sendiri dikacau oleh kawan-kawan lelaki apatah lagi orang luar.

Mungkin yang senior-senior ada cara guraunya sendiri. Bertanya tentang anak sihat ke tidak, perihal keluarga masing-masing dan macam-macam semata-mata nak tau dan ambil berat. “Eh, anak puan dah sihat ke? Anak saya yang first pun lebih kurang sama je macam tu… haha (gelak sengih²)”. Yang ni mungkin tak keterlaluan.

Keterlaluan yang aku maksudkan ialah apabila gurauan itu dah melebihi ‘redline’, contohnya bergurau tentang hal-hal dalam bilik dan hal-hal dalam kain. Bergurau tentang malam jumaat antara lelaki dan perempuan. Masing-masing dah jadi suami dan isteri orang. Pandai-pandailah jaga maruah pasangan.

JAMUAN MAKAN, POTLUCK & PICNIC

Antara sebab aku kurang berkenan dengan majlis keramaian (selalu dinner), sebab pergaulan ini lah. Masa inilah ada peluang untuk bergelak ketawa dan bergurau sehabis-habisnya sebab majlis-majlis ini memang dikhaskan untuk bersosial.

Aku bukannya menentang atau ‘anti’ dengan majlis sebegini. Tak jadi masalah pun, malah memang ada tuntutan untuk rapatkan hubungan dan bonding lebih rapat, ataupun ice-breaking supaya tak kekok buat kerja. Yang jadi masalahnya, macam aku cakap tadi la. Tiba-tiba ada yang jadi miang. Baik lelaki mahupun perempuan. Waktu ni kan masing-masing pakai baju cantik-cantik. Jangan nak tipu la kalau mata tak melilau tengok sana sini.

WHATSAPP GROUP



Ha! Benda yang paling biasa di abad ini. Syarikat ada whatsapp group sendiri. Department ada group sendiri. Dalam department, ada whatsapp group untuk team pulak. Kemudian ada group untuk projek-projek yang kita terlibat pulak. Yang belum kerja, nanti korang kerja tau la. 5-6 group itu benda biasa. Malah mungkin lebih dari tu.

Ok itu pasal kerja. Ni aku nak cerita pasal ‘bergurau’ dalam whatsapp group. Tak habis di tempat kerja, dalam whatsapp pun nak bergurau. Share gambar itu, share gambar ini. Share gambar selfie lelaki dan perempuan. Aku punya style, bila dapat gambar yang aku rasa tak patut ada, aku terus delete je. Bayangkan, tak pasal-pasal dalam phone korang ada gambar perempuan (sorang-sorang) tengah selfie buat mulut muncung.

Nampak tak, pergaulan ni tanpa batas melainkan diri sendiri yang mengawalnya. Ada beberapa kawan (perempuan) yang aku kenal, malam-malam dia tak layan whatsapp sebab dia pernah kata yang suaminya tak bagi. Itu satu langkah yang sangat wajar. Layan suami jauh lagi baik dari whatsapp kemudian senyum sorang-sorang.

MATA SEORANG LELAKI

Pernah dengan lagu Jinbara, Patri : “Andai diri ini insani, pasti ada kemahuannya…”

Kepada para wanita sana, jagalah penampilan dan pergaulan. Lelaki pun! Lelaki ni ada segelintir yang memang suka tengok “barang” perempuan. Yang ini mungkin ada lucah, tapi aku bagitau terus terang. Ada yang tengok buah dada, punggung, badan chubby dan sebagainya. Baik perempuan itu bujang, atau pun isteri orang. Ini berlaku ya, bukan buat-buat cerita. Perempuan patut ada rasa untuk lebih secure, dan lelaki kena jaga pandang dan jangan layan nafsu sangat.

Nafsu ini memang takkan puas. Walaupun orang tu dah kahwin beranak-pinak sekali pun. Sama-samalah jinakkan hawa nafsu yang sentiasa memberontak ni. Ada ganjaran untuk setiap itu.

ISLAM ADA GARIS PANDUAN YANG TEGAS TENTANG PERGAULAN

Benda ni tak semua orang akan senang. Lagi-lagi yang acah-acah berfikiran maju, open-minded. Aku nak highlightkan istilah ‘tegas’ kat sini. Memang islam ada peraturan tentang pergaulan yang sangat tegas. Ini semua bersumber dari Quran dan hadis nabi SAW. Sebagai muslim, kita kena lah berserah bulat-bulat dengan apa yang dah ditetapkan. Sama-samalah kita belajar dan amalkan.

KESIMPULAN

Jagalah maruah anda sebagai suami dan isteri jika sudah berkahwin. Yang belum berkahwin, apatah lagi. Yang dah kahwin ni, balik boleh bersama dengan pasangan. Yang belum, cuba usaha dan jangan putus harapan dengan rahmat Allah.

Ingat ya, banyak juga kes-kes curang di tempat kerja malah ada juga yang sampai berzina. Moga kita sentiasa dalam peliharaan Allah


Kredit : IslamItuIndah

Anda ingin berkongsi sesuatu yang bermanfaat ? 



Susuk Hanyalah Sihir Mata. Jangan Mudah TERTIPU !

11 Mar 2022

KERANA mahu cantik manusia sanggup melakukan apa sahaja. Demi menghilangkan kedutan, memutihkan wajah dan melangsingkan tubuh, pengguna di Malaysia pada tahun 2010 sahaja menghabiskan sebanyak RM3.42 bilion untuk membeli produk kecantikan.  Kerana mahu cantik jugalah sejak dahulu sehinggalah pada zaman moden ini susuk masih lagi kuat berlegar dalam masyarakat Melayu.

Mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, susuk merujuk kepada jarum emas dan lain-lain logam yang dimasukkan ke dalam badan supaya seseorang itu kelihatan manis atau berseri.

"Jika kita lihat, susuk ini ada beberapa kategori iaitu susuk jenis logam seperti emas, perak dan raksa. Ada juga susuk jenis galian seperti berlian dan jenis organik seperti susu dan air biasa.  "Tapi selalunya susuk yang popular ialah susuk logam seperti susuk emas, perak dan besi. Cara pemakaian kesemua jenis susuk ini sama dengan tujuan selalunya untuk kecantikan," kata Abdul Rahman Hamat, 35, yang merupakan seorang pengamal perubatan Islam.

Ungkap Abdul Rahman lagi, selain kecantikan seseorang itu memakai susuk untuk kekebalan, kekuatan, ilmu penunduk, keberanian malah, ada juga yang memakai susuk di kemaluan untuk kekuatan nafsu syahwat. Walaupun ada antara kita tahu bahawa susuk dilarang dalam Islam namun, masih ada yang khilaf mengenainya kerana terlalu mengikut nafsu duniawi untuk cantik. Lebih menyedihkan ada yang percaya susuk boleh dipakai selepas bertemu dengan bomoh yang menggunakan potongan ayat al-Quran sedangkan hakikatnya ia hanyalah untuk menutup ilmu hitam mereka.

"Benda-benda sebegini syirik semuanya walaupun menggunakan ayat al-Quran. Kaedah memasukkan susuk ayat ini dilakukan dengan membacakan beberapa potong ayat al-Quran beberapa ribu kali pada air kemudian dibasuhkan pada muka, ia seolah-olah memasukkan susuk tersebut ke dalam wajah," katanya.

Tambahnya, antara ayat-ayat yang biasa digunakan untuk susuk ayat ialah Surah Yusuf, ayat 4 yang dibacakan sebanyak 4,444 kali untuk kecantikan, manakala untuk tujuan kuat atau kebal pula dibacakan Surah Al-Hadid sebanyak 1,000 kali.

"Semua ini amalan syaitan walaupun dengan menggunakan ayat al-Quran. Susuk diharamkan kerana dua perkara iaitu ada unsur penipuan yang dipanggil gharar dan ada unsur mengubah ciptaan Tuhan walaupun dengan mata kasar kita tidak dapat lihat fizikalnya berubah.

"Orang yang banyak membaca al-Quran, mukanya akan nampak berseri disebabkan amalan tersebut dan ia berbeza dengan susuk ayat kerana susuk ayat mempunyai bacaan ayat-ayat khusus untuk mencantikkan diri dan ini dilarang Islam disebabkan ada pendustaan serta gharar," katanya.


Berunsur pemujaan

SUSUK sering dipakai di wajah, dada atau kemaluan untuk tujuan kecantikan, sedangkan hakikatnya si pemakai didampingi jin yang mengubah bentuk wajah manusia.

Ditanya sama ada susuk yang dimasukkan itu sekadar material sahaja atau mempunyai 'penjaganya', Abdul Rahman memberitahu bahawa pemakaian susuk itu adalah sesuatu yang berbentuk pemujaan.  "Ia akan menyeru jin-jin yang akan berdamping dengan si pemakai. Jin inilah yang akan mengubah wajah secara spiritual bentuk wajah.

"Orang bukan tengok wajah si pemakai tetapi, melihat jin yang berada di sekitar kawasan muka si pemakai kerana jin mampu mengubah bentuk seseorang," jelasnya sambil memberitahu susuk merupakan sihir mata dan biasanya si pemakainya tergolong dalam orang yang melakukan maksiat.

Menurutnya, susuk merupakan amalan sihir yang dipelopor pada zaman Firaun atau lebih tepat ia mula tercipta pada zaman kerajaan Firaun lagi. "Apabila turunnya ayat sihir di Babylon, orang Yahudi mengambil ayat-ayat sihir itu untuk dijadikan amalan. Maka, amalan-amalan sihir ini dipelajari oleh orang Firaun apabila orang Israel pergi ke Mesir.

"Ia berlaku sejak zaman Nabi Sulaiman lagi. Jenis susuknya sama, cuma amalan susuk ini disesuaikan di setiap generasi. Contohnya, pengamalan dan bahan yang digunakan sama tetapi, disesuaikan dengan keadaan semasa serta tujuannya. Walaupun susuk dipakai untuk pelbagai tujuan namun, ia paling kerap disinonimkan dengan kecantikan atau sebagai pemikat.


Betis memukau

Lina (bukan nama sebenar), 42, mula memakai susuk emas dan berlian ketika usianya 14 tahun. "Ibu mengesyorkan saya memakai susuk sedangkan saya tidak tahu kegunaan dan untuk tujuan apa. Susuk emas diletakkan di betis, manakala susuk berlian di kening," katanya yang nekad membuang susuk kerana seringkali mengalami mimpi ngeri dan tidak boleh tidur malam.

Menceritakan betapa hebatnya penangan susuk tersebut, mana-mana lelaki yang melihat betis Lina akan mengikutnya hingga ke rumah. "Kini, saya sudah insaf dan menasihatkan agar orang di luar sana terutamanya wanita supaya tidak terjebak dalam pemakaian susuk kerana kesannya akan tiba apabila meningkat usia selain berdosa," ujarnya.


Kemaluan bernanah

Seorang lagi pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafie memberitahu, susuk dipakai oleh lelaki dan wanita tetapi selalunya menjadi amalan kaum wanita. "Ada seorang wanita mengaku memakai susuk untuk tujuan kecantikan. Dia memakainya di kening dan pipi menyebabkan ramai lelaki tergila-gilakannya walaupun rupanya tidak secantik mana pun.

"Apabila sudah meningkat usia dan menopaus, sendi-sendinya mula bengkak dan dia sukar untuk tidur malam akibat gangguan," katanya.

Ceritanya, ada seorang wanita berusia dalam lingkungan usia 60-an mengalami kesukaran untuk tidur selama empat tahun, sakit sendi hingga keluar ulat.

Apabila ditanya, wanita tersebut mengaku bahawa dia memakai 10 susuk di seluruh bahagian badannya antaranya di kemaluan, buah dada, lengan, betis dan bibir. "Cerita wanita tersebut kepada saya, walaupun pada usia 50 tahun ramai yang tergila-gilakannya. Apabila putus haid pada usia 55 tahun, badannya mula rasa sakit-sakit dan mengalami pelbagai masalah selain kemaluannya bernanah.

"Sebaik sahaja susuk dikeluarkan mukanya mula berkedut," ujarnya. Menceritakan lebih lanjut mengenai pantang larang pemakai susuk, Shamsuri mengakui memang terdapat syarat-syarat tertentu yang perlu diikuti oleh si pemakai.

"Kebiasaannya, mereka yang memakai susuk ini tidak boleh lalu di bawah ampaian besi bukannya ampaian tali. Selain itu, mereka juga tidak boleh memakan pisang emas, sate dan makanan bercucuk yang lain.

"Air zam-zam juga tidak boleh diminum oleh mereka. Jika pantang larang dilanggar muka mereka akan bernanah. Ada seorang wanita yang terlupa akan pantang larang tersebut menyebabkan kemaluannya bernanah selama dua tahun selain darah haid tidak putus-putus keluar selama empat tahun," katanya.

Setiap perbuatan pasti ada akibatnya dan penggunaan susuk tidak terkecuali. Mereka yang memakai susuk berhadapan dengan saat azab sewaktu berdepan dengan sakaratulmaut malah, fizikalnya akan sakit jika melanggar pantang larang yang perlu dipatuhi.


Kredit :  www.kosmo.com.my
          1-kisah



Bebanan Status ANDARTU

7 Mar 2022


Assalamualaikum , dan salam sejahtera semua,

Terima kasih kepada yang sudi membaca. Nama akak Nurin. Akak bahasakan diri Kak Nurin ye. Tahun ni Kak Nurin berumur 49 tahun dan bekerja di syarikat separa kerajaan. Lagi beberapa tahun je lagi Kak Nurin dah nak pencen. Seperti tajuk yang Kak Nurin tulis di atas ni, YA, Kak Nurin masih belum berkahwin, masih bujang, kata orang dah layak sangat digelar anak dara tua (ANDARTU). Bila dah dapat gelaran ini pun , dah rasa sangat-sangat tragis. Malu ? Sedih ? Kecewa ? Redha ? Semuanya ada dah tersimpan kemas dalam hati. Tapi tak bermakna Kak Nurin tak pernah mempunyai teman istimewa, tak pernah bercinta. Cinta yang tak kesampaianlah yang membawa Kak Nurin sehingga kepada keadaan sekarang.

Kak Nurin mula bekerja seawal umur 24 tahun. Masih muda. Mempunyai teman lelaki sejak dari Universiti. Kami merancang untuk bekerja dan berkahwin untuk membina keluarga. Tapi apakan daya, bila semua keperluan dah cukup untuk membina masjid, cinta kami dihalang dan tak direstui keluarga teman lelaki. Mereka dah ada calon menantu mereka sendiri. Untuk apa Kak Nurin perlu merayu lagi, kalau pihak keluarga sana dah tak suka. Hubungan kami tamat di sini sahaja, selepas bercinta selama hampir 4 tahun. 

Darah masih muda . Untuk memulihkan hati yang terluka , Kak Nurin tak ambil masa yang lama , sehinggalah Kak Nurin berjumpa pengganti yang berjaya mencuri hati Kak Nurin. Orangnya kacak, sangat dikenali. Satu ofis tetapi lain jabatan. Kami berkawan dan bercinta dan menjadi bualan rakan-rakan office kerana kami sentiasa berkepit dah macam belangkas. Mungkin bercinta hanya berlandaskan paras rupa, hubungan kami tak lama. Dia curang di depan mata Kak Nurin sendiri. Cinta dia dijaja kepada wanita-wanita lain pula. Sebelum ni kata-kata nasihat kawan baik mengatakan dia seorang 'playboy', tidak diendahkan Kak Nurin. Pada hemat Kak Nurin, mungkin dia ikhlas apabila bersama Kak Nurin, tetapi hakikatnya dia cuma nak mempermain-mainkan perasaan sahaja. Pada ketika ini, Kak Nurin dah rasa bosan dengan permainan cinta seorang lelaki. Lelaki-lelaki ini telah menghancurkan perasaan Kak Nurin. Semua lelaki adalah sama. Dan pada ketika ini Kak Nurin bencikan lelaki. Tiada siapa pun yang dapat mengubah persepsi ini sehinggalah Kak Nurin dipertemukan dengan seseorang yang karektornya lebih kurang macam ustaz muda, di satu majlis khidmat bakti syarikat Kak Nurin bekerja.

Orangnya biasa je, agak warak . Bekerja sebagai guru, mengajar di sekolah menengah. Kami sempat menjalinkan hubungan hampir selama 2 tahun, sebelum mengambil keputusan untuk ke arah yang lebih serius. Namun Kak Nurin diuji lagi, Allah lebih menyayangi dia . Terlibat dalam satu kemalangan, koma dan meninggal dunia. Sedihnya hanya Allah sahaja yang tahu. Jiwa Kak Nurin tidak tenteram mengenangkan arwah yang sangat baik. Untuk memujuk hati yang lara, Kak Nurin bersangka baik dengan Allah, mungkin arwah seorang yang baik, jadi Allah cepat mengambil dia  untuk berada disisiNya.

Sedih dan pilu untuk melupakan arwah. Tetapi hidup perlu diteruskan. Namun untuk memulakan semula hubungan cinta, memang sangat-sangat memenatkan. Semuanya perlu bermula dari 0, untuk membolehkan hubungan menjadi serasi. Jadi Kak Nurin ambil keputusan ,mahu berehat daripada bermain perasaan cinta. Kak Nurin hanya mahu fokus kepada kerjaya dan menjaga emak yang sudah tua. Kak Nurin anak bongsu dari 3 beradik, satu-satunya yang belum berkahwin. Bapa Kak Nurin dah meninggal dunia, jadi emak diletak dibawah penjagaan Kak Nurin, memandangkan kakak dan abang dah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. 

Sebagai ibu, emak Kak Nurin sentiasa memberi kata-kata positif, kerana dia turut bersedih melihat anak bongsunya dirundung kekecewaan. Kak Nurin hanya terus berdoa. Dan mungkin Allah juga masih menyayangi Kak Nurin , DIA menghantar lagi ujianNya kepada Kak Nurin untuk menguji sejauh mana Kak Nurin mengingatiNya. Kak Nurin dikenalkan dengan anak kawan lama emak . Kami hanya berkawan dahulu, memandangkan Kak Nurin masih tak dapat lupakan arwah. Sikap dia yang sabar, tidak memaksa, dan sanggup beri ruang masa kepada Kak Nurin betul-betul membuatkan Kak Nurin jatuh hati pada dia. Kami tak bercinta lama. Emak minta kami bertunang cepat dan terus berkahwin. Kami OK, dan ikut cakap emak. Kami  dah bertunang hampir 3 bulan, dan bersetuju untuk berkahwin selepas setahun. Namun kebahagiaan yang diharapkan tidak kesampaian. Akibat kata-kata provokasi dan hasutan orang luar kepada bakal suami dan mertua, menyebabkan mereka membuat keputusan untuk memutuskan tali pertunangan kami. Alasannya, mereka tak mahu nasib malang Kak Nurin diwarisi oleh keturunan-keturunan mereka nanti.

*Cukuplah empat kali hati Kak Nurin terluka*

Kawan-kawan rumah sewa silih-berganti , bertukar-tukar yang baru, sebab ada yang dah kahwin dan berpindah. Yang tetap setia tinggal di sini Kak Nurin sorang je, sehinggalah Kak Nurin mampu membeli rumah kos rendah dan Kak Nurin berpindah keluar tinggal sendiri di rumah baru ni. Tiada lagi rakan sebilik, tiada lagi rakan rumah sewa dan tiada lagi perasaan cemburu melihat rakan-rakan silih berganti berkahwin. Kat office pula, Kak Nurin dah jadi pemerhati staff-staff lain berubah daripada status bujang kepada status kahwin. Daripada anak 1 jadi anak 2, 3 , 4 dan seterusnya. Sehingga hari ini ada officemate sebaya Kak Nurin, yang dah menunggu nak dapat menantu! Untungnya kehidupan yang telah ditetapkan kepada officemate Kak Nurin tu. Kalau dulu kami jalan bersama, makan bersama, outing bersama, sekarang masing-masing dah ada kehidupan sendiri. Dah ada tanggungjawab sendiri. Rakan-rakan sebaya dah berlalu meniti usia mereka bersama keluarga. Tinggallah Kak Nurin masih berseorangan , masih menjaga emak yang semakin uzur. Namun Kak Nurin menganggap ini hikmahnya , untuk peluang Kak Nurin mencari pahala kerana menjaga emak sehingga akhir hayatnya.

Memang berat untuk memikul status ANDARTU. Bukan tidak ingin berkahwin, malah perjalanan kisah Kak Nurin amat istimewa. Walaupun keinginan untuk berkahwin dan membina keluarga sendiri sentiasa ada di hati, namun bila sampai waktunya, jodoh Kak Nurin belum diizinkan Allah. Bohonglah kalau nak kata Kak Nurin tak sedih. Kecewa hampir kemurungan memikirkan nasib diri. Sebagai wanita yang normal, perasaan perit mengingati kisah silam sentiasa menghantui fikiran. Lagi-lagi apabila mendengar usikan dan tohmahan orang. Sehinggakan saudara-mara beritahu, nasib Kak Nurin sentiasa membawa malang dan perlu pergi berjumpa bomoh untuk buang sial. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Mudah bagi orang luar untuk berkata-kata, tetapi jawapan Kak Nurin mudah je. Untuk tahap umur dah nak masuk 50 tahun ni, Kak Nurin hanya berserah segala-galanya kepada Allah dan redha, dan dah menganggap ini sebagai satu takdir, mungkin dah tiada jodoh Kak Nurin. Tak perlu fokus dan fikir lagi untuk mencari teman hidup. Teruskan menikmati kehidupan seperti biasa, dan menerima ini sebagai satu ujianNya.

Pinta Kak Nurin dalam luahan ini, untuk mereka yang sama seperti Kak Nurin, janganlah dipandang serong terhadap kami. Walaupun kami dah redha, tetapi sebagai wanita insan yang lemah, tetap akan terguris dan tercalar hatinya apabila menjadi bualan hangat orang luar. Jiwa kami sensitif . Sedangkan title ANDARTU tu sendiri kami dah terbeban untuk memegangnya jadi janganlah dibebankan lagi dengan segala tohmahan dan umpatan yang tidak berasas. Kita tak tahu apa yang mereka dah lalui. Ada sesetengah orang mudah jodohnya, ada orang lain pula sukar untuk mendapat jodohnya. Tapi apalah kuasa kami dan siapa kami untuk menidakkan ketentuanNya. Kita doakan rakan-rakan yang sama title dengan Kak Nurin ni , mudah-mudahan dipermudahkan segala urusan di dunia dan akhirat, kerana KEBAHAGIAAN itu amatlah luas. 

Terima kasih kepada semua kerana sudi membaca luahan Kak Nurin.

=========================================================================


Dilema Lelaki Bujang Terlajak

2 Dec 2021


“Bila lagi aku nak timang cucu ini. Entah-entah sampai matilah aku tak dapat tengok kau naik pelamin,” keluh seorang ibu kepada anak lelakinya yang sudah mencecah usia 30 tahun tapi masih membujang.

Senario itu acap kali menghantui kebanyakan lelaki terutamanya mereka yang dibesarkan di luar bandar. Mentaliti dan ideologi seorang ibu dan ayah sudah tentu ingin melihat anak teruna berkahwin seterusnya memiliki keluarga sendiri tanpa memikirkan kesan dan aspek lain.

Bukan menuding permintaan orang tua itu salah kerana inginkan anaknya segera berkahwin apabila usia melewati 30-an, tapi hakikatnya mereka melihat hidup berkeluarga, memiliki isteri dan anak sebagai keperluan hidup yang sepatutnya diambil serius.

Realitinya, anak muda hari ini terutamanya lelaki tidak melihat berkahwin sebagai satu tuntutan kerana terlalu banyak perkara lain harus difikirkan terlebih dulu. Tapi dilema ini bagai sudah sinonim dengan mereka, menerima desakan keluarga untuk berkahwin.

Mengapa ramai lelaki belum bersedia untuk berkahwin? Persoalan itu sudah banyak kali dibincangkan baik menerusi media massa mahupun sembang kedai kopi. Mengikut statistik negara, memang terbukti masih ramai lelaki yang bekerja di bandar atau memiliki kerjaya yang baik, lewat membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Fakta diperkukuhkan lagi dengan data bancian oleh Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang menyatakan perangkaan lelaki dan wanita bujang pada tahun 2002 adalah 3.1 juta dan 2.4 juta. Sementara pada 2004, peratusan lelaki bujang sebanyak 59.6, manakala wanita bujang sebanyak 40.4 peratus.

Jika dulu ramai mengatakan status ‘andartu’ atau anak dara tua lebih ramai berbanding ‘lelaki lanjut usia’, namun semuanya sudah berubah kerana lelaki pula yang sukar membuat keputusan berkahwin pada usia muda.

Senario membabitkan golongan wanita berkahwin lewat bersandar pada alasan dan punca mudah. Wanita sering kali mengatakan kesukaran mendapat pasangan sepadan atau masalah terlalu memilih sebagai alasan mereka lambat berkahwin.

Malah melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, mahu membantu keluarga, berjawatan profesional atau mementingkan kerjaya juga masalah peribadi adalah jawapan paling selamat bagi mengelakkan diri dikatakan ‘tidak laku’. Tapi itu wanita.

Lupakan seketika si andartu kerana fokus utama kita kini adalah golongan Adam dan sedar atau tidak, bilangan lelaki berkahwin lewat usia juga makin meningkat hari demi hari.

Puncanya mudah, berdasarkan tinjauan dilakukan, pelbagai sebab diberikan sekali gus mempengaruhi diri seseorang lelaki itu untuk terus membujang atau lewat berkahwin kerana terlalu sibuk dengan pekerjaan, menganggap diri tidak bersedia dari segi mental atau fizikal, takut atau bimbang rumah tangga tidak bahagia dan meragui kemampuan seksual sendiri.

Selain itu, tiada nafsu terhadap wanita, melalui pengalaman pahit ketika bercinta, mahu bebas dan suka hidup sendiri, tidak mahu mengecewakan pasangan serta hantaran kahwin tinggi juga antara sebab mereka mengelak untuk menggenggam tanggungjawab itu.

Lelaki lebih beremosi berbanding perempuan apabila bercerita soal putus cinta. Kebanyakan lelaki yang mengamalkan seks sejenis adalah mereka yang kecewa kerana dipermainkan wanita sebelumnya dan itu antara sebab ramai lelaki tidak kisah soal kahwin.

Lihat secara rambang kehidupan di bandar, lelaki lebih terdedah dengan kehidupan bebas yang mana tiada komitmen atau ikatan. Kahwin bukan lagi lesen untuk seseorang lelaki melakukan seks kerana aspek itu sudah banyak ditawarkan tanpa perlu sijil nikah.

Seks bukan lagi faktor untuk seseorang itu mengambil keputusan berkahwin sebaliknya ramai anak muda hari ini sudah pun mengikut budaya Barat yang menolak konsep perkahwinan serta menghalalkan seks bebas, sekali gus menyebabkan akidah tergelincir sehingga meningkatkan kes masalah sosial masyarakat.

Bagaimanapun lelaki yang berkahwin lewat kebanyakannya lebih mementingkan kerjaya dan tidak langsung bimbang soal memiliki keluarga. Ada juga berpendapat berkahwin akan lebih menambahkan masalah saja.

Dalam perspektif Islam, perkahwinan adalah perjanjian antara lelaki dengan wanita sebagai satu ikatan sah dan bersih dengan tujuan mengembang dan memanjangkan zuriat. Walau apapun pandangan mengenai isu kahwin lewat, ia perlu bersandarkan nilai agama dan budaya masyarakat negara ini.

Alasan tiada jodoh tidak boleh dijadikan sebab utama lewat berkahwin kerana sebagai umat Islam, perlu ada usaha untuk mencari pasangan. Setiap manusia sudah ditetapkan jodoh dan kita perlu berusaha mencarinya.

Faktor kesibukan bekerja, sukar mencari pasangan atau berpendidikan tinggi juga tidak boleh dijadikan alasan. Dalam satu hadis ada menyebut, ibu bapa hendaklah mengahwinkan anak mereka apabila sudah layak mendirikan rumah tangga. Jadi dalam hal ini setiap orang perlu berusaha mencari jodoh malah orang yang berkahwin awal boleh diibaratkan seperti menunaikan separuh daripada iman.

Jika tidak menemui jodoh, pergi berjumpa orang alim seperti tok guru, imam atau ulama untuk meminta panduan dan nasihat. Seseorang itu tidak boleh menunggu atau mencari pasangan mereka di sekeliling saja kerana soal mencari jodoh tidak terhad kepada orang Melayu sebaliknya boleh mencari warga asing asalkan Islam.

Malah dalam satu laporan akhbar ada menyebut yang mengutamakan hal lain sehingga mengetepikan perkahwinan sangat tidak digalakkan dalam Islam.

Katanya, Nabi Muhammad pernah bersabda: “Wahai pemuda, siapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan, hendaklah berkahwin”. Itu menunjukkan perkahwinan amat ditekankan Islam malah ada ayat al-Quran meminta wali atau sesiapa yang bertanggungjawab terhadap seseorang wanita mengahwinkan jagaannya.

Islam melihat perkahwinan sebagai keperluan dan ibadat. Ia penting untuk melahirkan generasi baru.

10 sebab mengapa lelaki membujang

1.   Tidak ada nafsu terhadap perempuan.
2.   Ada pengalaman pahit dalam bercinta.
3.   Dilahirkan dalam keluarga yang porak-peranda.
4.   Terlalu mencintai seseorang dan apabila cinta itu tidak 
      kesampaian, terus hilang selera untuk berumahtangga.
5.   Takut tidak bahagia bila berumah tangga nanti.
6.   Meragui kemampuan seksualiti sendiri.
7.   Merasakan lebih bebas dan senang hidup sendiri.
8.   Terlalu sibuk dengan pelajaran atau pekerjaan.
9.   Bimbang tidak dapat membahagiakan isteri dan takut 
      mendapat anak cacat atau tidak cemerlang sebagaimana dirinya.
10. Sentiasa merasa tidak bersedia dari segi kemampuan material 
      dan takut pasangan kecewa tidak dapat apa yang mereka    
      inginkan. 

Kredit : harian-sinar



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.