SLIDER

kerjaya
Showing posts with label kerjaya. Show all posts

10 Nasihat Padu Buat Isteri Yang Tekad Dengan Keputusan Berhenti Kerja, Rugi Kalau Tak Amal

5 Oct 2024




Keputusan berhenti kerja bukan satu tindakan yang mudah. Terutama bagi isteri yang selama ini bekerja dengan niat untuk membantu suaminya. Andai berhenti bekerja jalan terakhir, dengarlah nasihat ini agar ibu berhenti dengan tenang dan bahagia.

Menarik sekali nasihat Dr Hasiba Kamaruddin mengenai ibu-ibu yang mahu, bakal dan sudah berhenti kerja. Apa yang perlu mereka praktikkan agar sentiasa berasa yakin dengan keputusan yang diambil.

Lagipun, wahai isteri kita takkan pernah tahu masa depan yang akan berlaku selepas keputusan berhenti kerja diambil. Namun, usaha dan tindakan itulah yang menentukan kejayaan seorang suri.

Jika aku bertemu dengan para ibu yang berhenti kerja walau apa jua alasan pun demi menjaga anak – anak sendiri walhal mereka punya pendidikan tinggi dan pernah berkerjaya sebelum ini, aku tumpang gembira buat mereka.

“Pertamanya aku gembira kerana si suami berani menyahut cabaran mencari nafkah keluarga di era ‘seorang bekerja tak cukup’ masakini. Aku tumpang gembira juga kerana para ibu ini sanggup mengorbankan cita – cita dan bakat yang mereka ada dalam membina kerjaya demi menjaga keluarga.

“Ini bermakna lebih ramai ibu–ibu yang ber’isi’ mindanya dalam membina peradaban bangsa yang kian kosong kini.”

Gunakan 10 Nasihat Ini Sebaik Berhenti Kerja

Bagi ibu-ibu yang masih tersimpan ketidakpastian dan kerisauan dengan keputusan yang diambil, ini yang ibu boleh lakukan:

1. Bersyukur sebab ada suami yang sanggup jaga kita seadanya. Terima apa saja yang mampu disediakan oleh suami walau kita sendiri mampu untuk hasilkan lebih dari itu.

2. Always feel good about yourself walaupun kita rasa lebih bagus semasa belajar dan berkerjaya dulu.

3. Jaga anak, jaga urusan rumah tangga pun kerjaya juga.

4. Jangan risau akan rezeki kerana Allah SWT janjikan cukup untuk hambaNya hidup di bumi ini. Cukup, bukan mewah.

5. Sentiasa doa moga Allah SWT mudahkan urusan suami, murahkan rezeki berkat buat dia. Semasa solat atau bila – bila masa saja. Percayalah yang ini akan berlaku.

6. Kalau dulu bekerja tak sempat solat Dhuha, sekarang mesti sudah sempat. Solat Dhuha.

7. Tingkatkan nilai diri. Sambil jaga anak dan rumah, cari aktiviti yang boleh menambah nilai diri dan orang sekeliling.

Contohnya:

a) Baca buku – buku yang baik untuk buka minda. Sekejap pun takpa.

b) Hadiri kuliah-kuliah Dhuha di surau-surau, bawa anak sekali kerana kuliah Dhuha ni kebanyakannya ustazah yang deliver dan mak – mak serta nenek – nenek yang hadir. InsyaAllah tak kena sound kalau anak lasak. Muslimin pun tak ada kalau perlu lebih proaktif dalam mengawal anak – anak.

c) Hadiri kelas – kelas bersiri Bahasa Arab atau Quran, makhraj dan tajwid kerana biasanya kelas – kelas begini percuma di surau2 dan waktunya juga pendek sekitar 2 jam saja. Kelas bersiri begini akan jadikan kita lebih berdisiplin dan terancang.

d) Buat aktiviti yang bermakna dengan anak – anak. Belajar cara berkomunikasi yang sesuai dengan umur anak untuk bantu pembangunan diri mereka.

e) Elakkan menonton rancangan TV yang lagha atau buat aktiviti yang kurang bermanfaat kerana anak – anak ada bersama kita 24/7. Jangan biarkan mereka belajar aktiviti tak bermanfaat itu.

f) Bila anak – anak dah capai umur 5 atau 6 tahun, hantar dia ke tadika atau playschool. Sekejap pun tak apa. Dua tiga hari seminggu pun tak apa. Ini untuk membantu pembangunan sosial dan kendiri mereka.

Walau kita berhenti bekerja untuk jaga dia, anak ini perlu juga belajar berinteraksi dengan masyarakat luar supaya lebih berdikari dan tidak terlalu self-engrossed.

8) Berinteraksi dengan jiran – jiran kerana semasa bekerja dulu, kita tak ada masa. Masak lebih kemudian share dengan jiran juga.

9) Plan aktiviti dengan SAHM (Stay At Home Mom) lain seperti baca Yaasin, usrah etc. Kalau tak boleh deliver sendiri, cari ustazah datang rumah.

10) Kalau rajin menulis, tulislah apa – apa yang bermanfaat. Jika pandai melukis, lukis lah apa – apa yang menenangkan. Andai minat menjahit, jahitlah apa – apa yang berguna.

Cara Mengisi Kekosongan Jiwa

Seorang SAHM (Stay At Home Mom) pernah bertanya pada saya, “Patutkah saya sambung belajar macam akak?” setelah dia menyatakan kekosongan jiwa dek berada di rumah sepanjang masa.

Jawapan saya, “Boleh kalau awak nak dan rasa mampu. Tapi sebenarnya banyak lagi aktiviti yang boleh dibuat untuk mengisi kekosongan jiwa itu. Awak sebenarnya hanya ingin keluar sebentar saja dari rutin harian itu. ‘Me-time’ itu ada, kita cuma perlu jadikan ia, fleksibelkan ia dan pelbagaikan ia.

Dan sebenarnya yang jauh lebih penting adalah, pandangan kita terhadap diri kita. Do you feel good about yourself?

Kredit : Facebook Dr Hasiba Kamaruddin

Kredit : Mingguan Wanita





KELEBIHAN WANITA BEKERJAYA, KEBAIKAN WANITA SURIRUMAH. JANGAN DIBANDING-BANDINGKAN

1 Aug 2024



Menyelusuri perjalanan seorang wanita yang sudah berumah tangga, mereka seringkali dikaitkan dengan situasi dilema untuk memilih sama ada perlu menjadi seorang wanita bekerjaya atau menjadi seorang surirumah. Wanita adalah sebahagian daripada anggota masyarakat yang menjadi tonggak kepada kejayaan sesebuah bangsa dan negara (Awang N. B, Yusof A, and Et al, 2019). 

Dalam arus perubahan yang mendambakan peranan wanita dalam pelbagai bidang, kaum wanita menghadapi cabaran peranan yang paling besar kerana mereka diminta bukan sahaja kekal memainkan peranan utama sebagai surirumah tetapi juga dalam pembangunan negara dan bangsa. ( Hwa, 2017 : 29). Oleh yang demikian, para wanita sering menghadapi kesukaran untuk memilih samaada perlu menumpukan tugas sepenuhnya mengurus rumahtangga atau perlu membahagikan tugas di tempat kerja bersama sama sang suami mencari rezeki seharian bagi memenuhi tuntutan kehidupan bekeluarga.

Wanita dibenarkan bekerja dan boleh menceburi pelbagai bidang pekerjaan selagi ianya masih berlandaskan syariat dan tidak melanggar batas batas yang ditetapkan oleh agama Islam. Yusuf Al-Qardawi, (2006), telah menyatakan wanita harus bekerjaya tetapi terikat dengan beberapa syarat iaitu kerjaya tersebut dibenarkan syarak atau tidak diharamkan, beriltizam dengan etika wanita muslimah dan kerjaya tersebut mestilah tidak mengorbankan kewajipan-kewajipan lain yang tidak harus diabaikan. Ada sesetengah kerjaya memerlukan wanita untuk mengisinya seperti jururawat, doktor pakar wanita dan perbidanan, pendidik juga peniaga barangan wanita. 

Kelebihan wanita bekerjaya dengan memegang jawatan tersebut dapat membantu para wanita yang lain merasai keselesaan menggunakan khidmat wanita bekerjaya itu tanpa perasaan ragu ragu. Selain daripada itu, wanita bekerjaya ini merasakan ianya berbaloi kerana dapat berpeluang mempraktikkan segala apa yang telah dipelajari ketika menuntut ilmu di alam pekerjaan yang sebenar serta dapat menyumbangkan tenaga dan kepakaran kepada masyarakat, negara dan dunia. Sesungguhnya niat yang baik untuk menyumbang bakti dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat dalam pelbagai bidang akan dianggap sebagai ibadah (Adawiyah, Salasiah, 2012) disamping dapat membantu para suami menjana ekonomi pendapatan keluarga selagi mana ianya tidak melanggar syarat syarat yang telah ditetapkan ajaran islam ketika bekerjaya. 

Bagi wanita surirumah pula, dapat menguruskan keluarga dan anak anak sepenuh masa menjadi kelebihan yang sangat bermakna bagi mereka. Dapat melihat anak anak membesar di depan mata merupakan suatu nikmat yang tidak dapat dikecapi oleh sebahagian wanita yang bekerjaya. Hubungan ibu dan anak akan menjadi semakin erat sekaligus dapat membina suatu sifat kepercayaan yang tinggi dalam hubungan tersebut. Peranan seorang ibu amat penting dalam sesebuah keluarga bagi menjamin kelangsungan terhadap usaha melahirkan generasi masyarakat yang terdidik dengan roh Islam yang mampu mengamalkan nilai-nilai Rabbani dalam kehidupan mereka (Majid, Saleh Hudin, 2017: 42). 

Oleh yang demikian sangat beruntunglah si ibu yang dapat berpeluang menggalas tanggungjawab sepenuh masa menguruskan rumah tangga berbanding wanita yang bekerjaya. Selain dari itu, peningkatan statistik penderaan kanak kanak dikalangan pengasuh juga menjadikan kelebihan kepada wanita surirumah yang tekad untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sendiri mengasuh dan menjaga anak di rumah. Selain dapat mengurangkan risiko penderaan kanak kanak di rumah pengasuh, ia juga dapat menjimatkan kos pengasuh yang perlu dibayar hampir setiap bulan. Agak ralat bagi seorang ibu sekiranya pengasuh dibayar dengan bayaran yang tinggi tetapi kebajikan dan keselamatan anak anak mereka tidak berada di tempat sepatutnya. Oleh yang demikian, status surirumah sepenuh masa menjadi pilihan utama wanita masa kini dalam menghadapi cabaran membesarkan anak anak. 

Oleh yang demikian, menjadi seorang wanita bekerjaya ataupun menjadi seorang surirumah, kedua duanya mempunya kelebihan dan kebaikan yang tersendiri. Meskipun seorang wanita itu perlu membuat pilihan di atas keduanya, bersyukurlah walau posisi mana kita perlu berada. Kedua duanya mempunyai peranan dan dapat menyumbangkan sesuatu manfaat khususnya kepada ummah. Tiada keperluan untuk masyarakat sekeliling membezakan status atau kedudukan seorang wanita itu samada mereka bekerjaya atau menjadi seorang surirumah. Tidak perlu timbul persoalan mengenai yang manakah yang lebih mulia atau pun tidak kerana,

“ Sesungguhnya orang yang paling mulia dia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu.” [QS 49: 13]. 

Wanita bekerjaya mahupun wanita surirumah kedua duanya dimuliakan Allah sekiranya mereka bertaqwa dalam melakukan tugas masing masing selagi mana ianya memberi manfaat kepada suami, anak anak dan keluarga terutamanya melakukannya ikhlas kerana Allah swt. 


Kredit : 

Nur Hidayah Binti Muhamad Johari 

Pensyarah, 

Jabatan Teknoperniagaan, 

Fakulti Pengajian Teknokorporat Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur.



Kerana Drama Korea, Seorang Doktor Bersemangat Untuk Kembali Berkhidmat

23 Apr 2022

 


Assalamualaikum.

Jam dah hampir menunjukkan pukul 3 pagi. Dan aku masih di depan laptop, menghabiskan saki baki episod drama Korea yang bertajuk Emergency Couple. Sebuah kisah cinta, romantik komedi, yang berlatar belakangkan para doktor di Jabatan Trauma Dan Kecemasan (ACCIDENT AND EMERGENCY @ A&E) di Woosu University Hospital. Drama ini bagi aku best dan aku cuma gunakan 2 hari untuk habiskan 21 episod. Haha.

Rating dia : 8 / 10

Pada mulanya aku agak berat ingin menonton drama yang bergenre medikal memandangkan aku bekerja dalam bidang yang sama, kalau balik rumah tengok cerita yang ada elemen sama, sedikit sebanyak terasa juga stress dari tempat kerja. Tapi sekarang, keadaan dah banyak berubah. Banyak dan besar.


Jujur aku kata, dan aku akui, aku sangat suka bila lihat diri aku memakai kot putih ini ketika mula bekerja dulu. Seakan terasa satu tanggungjawab besar yang perlu digalas. Awal bekerja dulu memang aku akui agak tertekan, kadang terasa "sesat dalam terang". Suasana bekerja, tanggungjawab terhadap pesakit, menghadap specialist dan konsultan yang ada dikalangannya baik dan ada juga yang suka menyinga. Memang mencabar hidup di awal bekerja dulu.

Sama macam yang dilalui Oh Jin Hee (Song Ji Hyo) dan Oh Chang Min (Choi Jin Hyuk) yang memulakan perjalanan mereka sebagai intern di sebuah hospital. Semua doktor yang baru masuk dunia pekerjaan akan lalui seperti apa yang mereka lalui. Ada yang bijak pandai hafal buku tapi bila bab praktikal dan berdepan dengan kes sebenar dan pesakit, stuck. Ada pula yang rajin bertanya dan sentiasa mahu belajar. Ada pula yang jenis berkira-kira tentang kerja. Sama macam dunia sebenar. Tak banyak beza.

Walaupun bos mereka garang tapi banyak mengajar. Dalam dunia sebenar pun ada specialist dan konsultan yang begini. Nampak saja garang, kadang suka menengking dan marah-marah, tapi hati mereka lembut dan baik. Malah suka mengajar. Masa aku bekerja, aku rasa seronok nak pergi kerja bila ditugaskan di bawah specialist yang suka mengajar. Sebaliknya bila berada di bawah bos yang garang, automatik nak masuk kerja hati berdebar-debar.

Satu benda yang aku seronok tengok, walaupun mereka berlakon, tapi mereka memang nampak macam doktor. Especially bos-bos besar. Pergh!! Buat kerja saling tak tumpah macam bos-bos aku bila bekerja. Cekap dan kompeten. Kadang aku tertanya, macam mana mereka belajar teknik, gaya dan kredibiliti yang mereka tunjukkan dalam drama. Sebab dah serupa doktor sebenar kalau dilihat. Hmm. Dah nama pun pelakon. Ya tak. Itu yang bezanya drama kedoktoran dalam dan negara. REAL dan FAKE!!!

Drama ini buatkan aku rindu nak berkhidmat. Buatkan aku teringat macam mana aku bangun pagi-pagi, matahari belum lagi terbit, round satu ward tengok pesakit. Tulis review, periksa pesakit dari katil ke katil. Sendiri tawaf wad sekali, tawaf bersama MO sekali, tawaf dengan specialist dan konsultan pula seterusnya. Sesi petang tawaf sekali lagi. Tak terkiralah berapa kali tawaf wad dalam sehari.

Penat? Memang penat. Tapi bila dah jadi kebiasaan, dah jadi darah daging, rasa seronok dan sense of duty akan automatik ada. Macam aku, aku selalu develop hubungan rapat dengan pesakit aku. Kalau aku ada masa lebih, aku suka berbual dengan mereka. Aku rasa tanggungjawab aku bukan saja merawat mereka. Tapi lebih dari itu. Jadi tak semena-mena perasaan sayang pada pesakit akan timbul. Yerp. Aku sayang pesakit-pesakit aku. Mereka ajar aku kenal manusia, mereka ajar aku tentang kehidupan, mereka adalah sebahagian dari hidup aku.

Drama ini bagi aku ringan. Tak banyak konflik besar dan tak banyak twist. Memang sangat ringan dan sesuai untuk tontonan santai. Tak perlu pecah kepala risaukan konflik itu ini. Just enjoy. Dari segi cintan cintun dalam drama ini memang tak dinafikan ada komedi ada sweet-sweet dan geli-gelinya. Dah nama pun drama Korea. Serious buat kau rasa nak berkahwin. Dan somehow cerita ini dah mula ubah sikit pandangan aku, tak adalah teruk mana berkahwin sesama doktor. Sebab dunianya sama. Hmm.

Dalam drama ini aku boleh nampak diri aku dalam setiap intern yang ada di situ. Kebluran aku ada pada Oh Jin Hee. Rasa ragu-ragu tentang masa depan pekerjaan aku ada pada Im Yong Gyu. Di pengakhiran cerita, Im Yong Gyu berhenti dari menjadi intern dan seorang doktor sebaliknya dia mulakan passion dia dalam bidang muzik. Dia mula dari bawah dengan apa yang dia suka. Dialog yang paling aku suka dengar bila rakan-rakannya semua memberi semangat pada dia, mereka kata, "IT'S NEVER TOO LATE! DO WHAT YOU LOVE INSTEAD."

Perasaan kena marah dengan bos memang tak best. Aku pun selalu kena marah. Tapi itu yang buat aku belajar dan makin hari makin sedar tentang tanggungjawab aku sebagai seorang doktor. Ini bukan kerja main-main. Dan ianya melibatkan nyawa. Tapi bila dah lama kelamaan, ianya dah lali. Apa pun, itu proses pembelajaran yang perlu kita lalui dalam kehidupan kita.

Bila aku ambil keputusan untuk sambung belajar, dalam masa beberapa hari yang aku ambil untuk buat keputusan dan berfikir, kerap juga aku menangis. Separuh dari aku, aku cintakan kerja aku sebenarnya. Cita-cita aku, seorang psikiatris. Aku nak kenal manusia dengan lebih dalam lagi. Separuh lagi diri aku kata, dengan keadaan kesihatan aku, aku tak akan ke mana. Jadi aku simpan jauh-jauh cita-cita aku. Aku nekad untuk sambung belajar.

Macam di awal episod drama ini, ibu Oh Jin Hee menasihatkan dia untuk tak berhenti dan terus bertahan. Sebab perjalanan untuk jadi seorang doktor bukan mudah. 5 - 6 tahun belajar berhempas pulas, nak lulus exam pun memang bukan mudah, kalau berhenti, maka rugi. Aku sedikit sebanyak terkesan dengan kata-kata itu. Kebanyakan orang di keliling aku semua berkata begitu, kenapa susah payah belajar lalu nak tinggalkan kerja sebagai seorang doktor. Memang aku tersepit, sampai sekarang. Aku sangat terasa keseorangan selepas aku buat keputusan besar dalam hidup aku. Kadang aku terasa seperti hidup seorang diri di pulau terpencil. Sampai aku tertanya kembali pada diri aku, salahkah keputusan yang aku buat.
:'(

Aku banyak menangis juga bila menonton drama ini, sebab buatkan aku memikirkan tentang pekerjaan aku, buatkan aku terus berfikir tentang diri aku, buat aku banyak berfikir. Walaupun ianya drama tapi sebahagiannya adalah realiti hidup aku. Realiti yang aku cuba untuk atur semula demi masa depan aku dan kebahagiaan aku.

Terima kasih pada si kecil di atas, kehadirannya dalam drama ini buat aku tersenyum sekali sekala. Bos aku selalu pesan dulu, kerja kita adalah ibadat. Tanggungjawab kita besar. Kalau nak jadi doktor kerana gaji besar dan nak jadi kaya, fikir semula niat itu, fikir kembali samada ini jalan yang kamu inginkan. Fikir dan fikir lagi.

Saat-saat sekarang bila mana aku terasa seperti berseorangan dengan keputusan yang dibuat, aku rindu kerja aku. Aku rindu pesakit aku. Aku rindu bau ubatan. Aku rindu untuk sarungkan semula kot putih dan menapak kaki ke dalam wad. Jujur aku rindu. Sekarang aku nak sihat kembali. Berubat sampai sihat. Aku akan sambung belajar, dan jika diizinkan, selesai aku sambung belajar, aku ingin kembali dalam dunia ini dan kejar balik cita-cita aku. 

InsyaALLAH.

Kredit :  nurfarhanaabdullah



Kaum Hawa Carilah Harta Sendiri Sebagai Persiapan Diri, Jangan Salah Tafsir. Jangan Pandang Serong

22 Apr 2022



Kebahagiaan dan kemewahan adalah dua cara yang berbeza. Mungkin ada keluarga bahagia tapi hidup seadanya. Ada yang mewah tapi tak bahagia. Sebab itulah, dalam hidup keluarga, kena cari harta untuk kesenangan dan meneruskan kehidupan yang mendatang.

Namun, jangan ingat cari harta ini hanya pada seorang yang bergelar lelaki atau suami. Sementelah soerang isteri rumah hanya serahkan segalanya pada suami. Dengan kata lain bergantung harap padanya semata-mata. Kadang-kadang, kita tak tahu apa yang berlaku pada masa akan datang.

Ditakdirkan berlaku perpisahan atau kematian pada pasangan, pada siapa yang kita harapkan. Sebabnya sebelum ini hanya suami saja yang menanggungnya. Bukan bermakna, semua isteri harus bekerja untuk cari harta sendiri. Sebenarnya ada cara lain yang boleh isteri lakukan atau mendapatkan harta sendiri, walaupun tidak bekerja.

Inilah yang dikatakan oleh Anie Alja dalam perkongsiannya. Bila sudah berkahwin, sebagai isteri jangan serahkan segalanya pada suami semata-mata. Cari harta sendiri untuk persiapan diri. Kita tak tahu jodoh kita dengan pasangan. Minta dijauhkan dari yang tidak diingini. 

 

Cari Harta Sendiri Sebagai Persiapan Diri

Semakin banyak terbaca nasihat minah-minah yang suruh perempuan cari harta sendiri sebelum kahwin. Poin paling bernas, kalau kena cerai, kita taklah jadi anjing kurap.

Ya, baca sekali tak salah. Bernas pun nasihat itu. Kita belajar tinggi-tinggi, harus ada kerjaya sendiri, ada harta sendiri. Suami tak boleh sentuh. Wah, gagah sangat bunyinya. Matang sangatlah buat perancangan. Sediakan payung gerai warna pelangi sebelum ‘berjudi’ dalam sebuah perkahwinan.

Dalam buku tulisan HAMKA berkenan perempuan, beliau kata hanya agama Islam memartabatkan kedudukan orang perempuan dalam masyarakat. Antaranya, kalau kita ada mak ayah mampu dan berharta.

Harta kita, bukan milik suami walaupun kita sah dimiliki atas lafaz akad. Kalau perempuan orang putih, bila berkahwin, habis semua harta tok nek mak pak, jadi harta suami. Sudahlah kena tukar nama bapa, ambik nama keluarga lelaki, harta benda pun sama, semua berpindah tangan.

Kita orang Islam, harta mak ayah tetap harta kita (perempuan) walaupun suami ‘mengecek’. Jangan bagilah. Harta kita cari, lagilah bukan milik suami kalau kita beli sebelum menikah dengan dia. Dan kita jangan bodoh buat pinjaman sebab sayang pada suami sampai tak beragak-agak. Masalah sekarang, selepas kahwin ada isteri yang terkena virus ‘ikut saja kata suami.

Tak boleh berfikir, hilang ingatan, buang kawan dan buang mak ayah, tukar nama ayah ke nama suami. Itu dah kenapa? Agama Islam tak suruh tukar nama ayah sendiri ke nama keluarga suami?

Kenapa buat?

 

Selepas itu, isteri buat persiapan takut-takut kena cerai oleh suami. Kalau kahwin dengan hujung-hujung akal akan ‘kena cerai’, selepas itu beriya-iya kumpul harta, baik jangan kahwin. Bahaya. The seed is already in you, it will grow. Bila dengan suami sendiri pun tak percaya, ‘dia akan ceraikan aku’, baik sorok beli rumah, beli emas, sorok itu dan sorok ini. Bayangkan bagaimana cara kalian bermuafakat dalam sebuah perkahwinan. Jangkaan kita itu akan SAMPAI, suatu hari nanti. Ya, lambat atau cepat saja sebab dalam hati sentiasa fikir keburukan suami dan risau akan kena cerai.

 

Buat Terbaik

Percaya pada pasangan, buat yang terbaik dan buat persiapan dalam mengurus harta. Betul, isteri wajib ada duit sendiri tapi tak semestinya kena kerja luar. Duit boleh datang dalam bentuk elaun/nafkah suami, tak salah pun. Bukan cari duit sebab takut kena cerai.

Buatlah bisnes pun, bukan sebab takut kena cerai. Buat wasiat, buat tabung kecemasan, tabung pelajaran anak-anak. Ambil insurans dan ambil MRTA, buka fail harta sepencarian. Banyak cara lain, selain menakutkan perempuan cari harta sebelum kahwin.

Sebelum kahwin perempuan cukup pandai belajar tinggi, beli harta, cari serba-serbi, lepas kahwin terus berubah tak boleh fikir.

Kenapa?

 

Kredit : Anie Alja

Kredit : MingguanWanita


 


Dilema Lelaki Bujang Terlajak

2 Dec 2021


“Bila lagi aku nak timang cucu ini. Entah-entah sampai matilah aku tak dapat tengok kau naik pelamin,” keluh seorang ibu kepada anak lelakinya yang sudah mencecah usia 30 tahun tapi masih membujang.

Senario itu acap kali menghantui kebanyakan lelaki terutamanya mereka yang dibesarkan di luar bandar. Mentaliti dan ideologi seorang ibu dan ayah sudah tentu ingin melihat anak teruna berkahwin seterusnya memiliki keluarga sendiri tanpa memikirkan kesan dan aspek lain.

Bukan menuding permintaan orang tua itu salah kerana inginkan anaknya segera berkahwin apabila usia melewati 30-an, tapi hakikatnya mereka melihat hidup berkeluarga, memiliki isteri dan anak sebagai keperluan hidup yang sepatutnya diambil serius.

Realitinya, anak muda hari ini terutamanya lelaki tidak melihat berkahwin sebagai satu tuntutan kerana terlalu banyak perkara lain harus difikirkan terlebih dulu. Tapi dilema ini bagai sudah sinonim dengan mereka, menerima desakan keluarga untuk berkahwin.

Mengapa ramai lelaki belum bersedia untuk berkahwin? Persoalan itu sudah banyak kali dibincangkan baik menerusi media massa mahupun sembang kedai kopi. Mengikut statistik negara, memang terbukti masih ramai lelaki yang bekerja di bandar atau memiliki kerjaya yang baik, lewat membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Fakta diperkukuhkan lagi dengan data bancian oleh Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang menyatakan perangkaan lelaki dan wanita bujang pada tahun 2002 adalah 3.1 juta dan 2.4 juta. Sementara pada 2004, peratusan lelaki bujang sebanyak 59.6, manakala wanita bujang sebanyak 40.4 peratus.

Jika dulu ramai mengatakan status ‘andartu’ atau anak dara tua lebih ramai berbanding ‘lelaki lanjut usia’, namun semuanya sudah berubah kerana lelaki pula yang sukar membuat keputusan berkahwin pada usia muda.

Senario membabitkan golongan wanita berkahwin lewat bersandar pada alasan dan punca mudah. Wanita sering kali mengatakan kesukaran mendapat pasangan sepadan atau masalah terlalu memilih sebagai alasan mereka lambat berkahwin.

Malah melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, mahu membantu keluarga, berjawatan profesional atau mementingkan kerjaya juga masalah peribadi adalah jawapan paling selamat bagi mengelakkan diri dikatakan ‘tidak laku’. Tapi itu wanita.

Lupakan seketika si andartu kerana fokus utama kita kini adalah golongan Adam dan sedar atau tidak, bilangan lelaki berkahwin lewat usia juga makin meningkat hari demi hari.

Puncanya mudah, berdasarkan tinjauan dilakukan, pelbagai sebab diberikan sekali gus mempengaruhi diri seseorang lelaki itu untuk terus membujang atau lewat berkahwin kerana terlalu sibuk dengan pekerjaan, menganggap diri tidak bersedia dari segi mental atau fizikal, takut atau bimbang rumah tangga tidak bahagia dan meragui kemampuan seksual sendiri.

Selain itu, tiada nafsu terhadap wanita, melalui pengalaman pahit ketika bercinta, mahu bebas dan suka hidup sendiri, tidak mahu mengecewakan pasangan serta hantaran kahwin tinggi juga antara sebab mereka mengelak untuk menggenggam tanggungjawab itu.

Lelaki lebih beremosi berbanding perempuan apabila bercerita soal putus cinta. Kebanyakan lelaki yang mengamalkan seks sejenis adalah mereka yang kecewa kerana dipermainkan wanita sebelumnya dan itu antara sebab ramai lelaki tidak kisah soal kahwin.

Lihat secara rambang kehidupan di bandar, lelaki lebih terdedah dengan kehidupan bebas yang mana tiada komitmen atau ikatan. Kahwin bukan lagi lesen untuk seseorang lelaki melakukan seks kerana aspek itu sudah banyak ditawarkan tanpa perlu sijil nikah.

Seks bukan lagi faktor untuk seseorang itu mengambil keputusan berkahwin sebaliknya ramai anak muda hari ini sudah pun mengikut budaya Barat yang menolak konsep perkahwinan serta menghalalkan seks bebas, sekali gus menyebabkan akidah tergelincir sehingga meningkatkan kes masalah sosial masyarakat.

Bagaimanapun lelaki yang berkahwin lewat kebanyakannya lebih mementingkan kerjaya dan tidak langsung bimbang soal memiliki keluarga. Ada juga berpendapat berkahwin akan lebih menambahkan masalah saja.

Dalam perspektif Islam, perkahwinan adalah perjanjian antara lelaki dengan wanita sebagai satu ikatan sah dan bersih dengan tujuan mengembang dan memanjangkan zuriat. Walau apapun pandangan mengenai isu kahwin lewat, ia perlu bersandarkan nilai agama dan budaya masyarakat negara ini.

Alasan tiada jodoh tidak boleh dijadikan sebab utama lewat berkahwin kerana sebagai umat Islam, perlu ada usaha untuk mencari pasangan. Setiap manusia sudah ditetapkan jodoh dan kita perlu berusaha mencarinya.

Faktor kesibukan bekerja, sukar mencari pasangan atau berpendidikan tinggi juga tidak boleh dijadikan alasan. Dalam satu hadis ada menyebut, ibu bapa hendaklah mengahwinkan anak mereka apabila sudah layak mendirikan rumah tangga. Jadi dalam hal ini setiap orang perlu berusaha mencari jodoh malah orang yang berkahwin awal boleh diibaratkan seperti menunaikan separuh daripada iman.

Jika tidak menemui jodoh, pergi berjumpa orang alim seperti tok guru, imam atau ulama untuk meminta panduan dan nasihat. Seseorang itu tidak boleh menunggu atau mencari pasangan mereka di sekeliling saja kerana soal mencari jodoh tidak terhad kepada orang Melayu sebaliknya boleh mencari warga asing asalkan Islam.

Malah dalam satu laporan akhbar ada menyebut yang mengutamakan hal lain sehingga mengetepikan perkahwinan sangat tidak digalakkan dalam Islam.

Katanya, Nabi Muhammad pernah bersabda: “Wahai pemuda, siapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan, hendaklah berkahwin”. Itu menunjukkan perkahwinan amat ditekankan Islam malah ada ayat al-Quran meminta wali atau sesiapa yang bertanggungjawab terhadap seseorang wanita mengahwinkan jagaannya.

Islam melihat perkahwinan sebagai keperluan dan ibadat. Ia penting untuk melahirkan generasi baru.

10 sebab mengapa lelaki membujang

1.   Tidak ada nafsu terhadap perempuan.
2.   Ada pengalaman pahit dalam bercinta.
3.   Dilahirkan dalam keluarga yang porak-peranda.
4.   Terlalu mencintai seseorang dan apabila cinta itu tidak 
      kesampaian, terus hilang selera untuk berumahtangga.
5.   Takut tidak bahagia bila berumah tangga nanti.
6.   Meragui kemampuan seksualiti sendiri.
7.   Merasakan lebih bebas dan senang hidup sendiri.
8.   Terlalu sibuk dengan pelajaran atau pekerjaan.
9.   Bimbang tidak dapat membahagiakan isteri dan takut 
      mendapat anak cacat atau tidak cemerlang sebagaimana dirinya.
10. Sentiasa merasa tidak bersedia dari segi kemampuan material 
      dan takut pasangan kecewa tidak dapat apa yang mereka    
      inginkan. 

Kredit : harian-sinar



Jangan Bercita-Cita Wahai Perempuan

23 Nov 2021





Isu: Dilemma Have It All.

“buat apa penat-penat sambung belajar? Baik duduk rumah jaga makan minum suami. Nanti suami cari lain kan susah”,
Sinis komentar yang hinggap di telinga itu. 

“kesian la siapa yang berbinikan doktor, terabai kehidupan. Semua kena urus sendiri. Siapa suruh cari bini doktor”, 

Maka isteri yang terhimpit dengan keperluan sumbangannya kepada masyarakat dan dalam masa yang sama dituntut untuk ‘pastikan suami makan air tangan isteri’, terduduk menangis dan tertekan emosi akibat sindiran yang tidak henti. 

Ya. Mempunyai cita-cita membuktikan kami juga manusia seperti makhluk lelaki, namun hakikatnya wanita tetap tidak dapat lari dari sebuah dilema.

Tertarik dengan isu yang cuba dibawa oleh golongan femnisme yang realistik sekitar tahun 2012, iaitu ‘Can women really ‘Have it all’?” dengan mengetengahkan perbincangan-perbincangan seputar permasalahan besar bagi wanita iaitu, -bukan masalah dalam pengurusan antara kerjaya dan keluarga- tetapi lebih besar dari itu, iaitu wanita-wanita yang takut untuk bercita-cita. 

Seorang journalist wanita menulis dalam akhbar ‘The Atlantic’, berkenaan sebuah tajuk menarik, iaitu “We Need To Tell Girls, They Can Have It All (even if they can’t)”, dan dikisahkan pernah berlaku semasa Anne Mulchahy, seorang tokoh korporat wanita yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang itu dijemput untuk memberikan ucapan di Harvard Business School, ada seorang peserta bertanyakan soalan, “what it took to be CEO?”

Dan beliau menjawab, beliau perlu berhenti daripada menangis di tepi jalan ketika berhadapan dengan situasi tekanan bisnes dan rumahtangga.  Jawapan tersebut membuatkan topik perbincangan dan soalan peserta bertukar dari topik business leadership kepada work-life balance, hanya kerana peserta lebih tertarik untuk mengenali bagaimana mampu seorang wanita memenuhi cita-citanya. 

Gayle, journalist tersebut kemudian menimbulkan persoalan, “Is all of this talk about our personal lives undermining women? And do we spend as much time encouraging girls to excel as we do helping them balance work and family?”. 

Tidak dinafikan bahawa memiliki cita-cita dan kesungguhan ke arah mencapai cita-cita bagi seorang wanita, merupakan antara dilema terbesar dalam hidup. Saya sendiri tidak terkecuali, lebih-lebih lagi kini anak bakal memasuki angka 2. 

Lantaran kita dimomokkan oleh pemikiran masyarakat yang penuh ugutan seperti, “perempuan tinggi manapun dia, ceruk dapur juga nanti”, “jangan banyak sangat bersuara, nanti tiada lelaki nak”, “perempuan tak payah sibuk urusan luar, nanti keluarga cerai berai”, “siapa suruh isteri dia sibuk, sebab tu suami dia curang” dan momokan-momokan lain yang negatif. Sehingga peratus wanita yang berjaya memenuhi cita-cita sebenar yang diburu dalam masa yang sama berkeluarga adalah sangat kecil. 

Tertarik mengikuti perbincangan-perbincangan seputar, “Do women find it hard to be ambitious due to guilt and pressure to raise a family?”. 

CNN telah mengadakan temu bual bersama 10 orang tokoh wanita yang terdiri dari kalangan senator, CEO, perancangan strategi bagi parti politik, mantan timb. presiden saluran ESPN, dan sebagainya di bawah topik, “Our Struggle To Have It All”. 

Konklusi yang dapat disimpulkan dari responder-responder ada 4, iaitu: 

1- soalan tersebut tidak patut timbul hanya bagi wanita, mengapa lelaki juga tidak ditanya? Bukankah jika lelaki mempunyai kerjaya, mencapai cita-cita, dia juga perlu prihatin dan mengambil berat terhadap keluarganya? Kerana seorang bapa juga tidak boleh berlepas tangan dalam urusan keluarga, rumahtangga dan anak-anak. 

2- masalah akan timbul apabila lelaki tidak berubah seiring perubahan yang dialami oleh wanita. Apabila lelaki-lelaki masih selesa ditakuk tradisional, memandang wanita sebagai orang gaji dan pelayan di rumah, pulang ke rumah mahu terus disambut di muka pintu dan terhidang air panas maka peluang untuk wanita berimpian besar akan sentiasa disekat dan diancam. 

3- ‘have it all’ bukanlah sebagai matlamat sebenar, tetapi yang sebenarnya ialah mempunyai peluang untuk membuat keputusan dalam pemilihan seperti mana lelaki juga diberi peluang. 

4- sokongan pihak luar, adalah sesuatu yang sangat-sangat diperlukan terutamanya stereotype masyarakat yang masih banyak negatifnya. 

Sungguh. Saya tertarik dengan kesedaran bahawa wanita juga adalah manusia. Maka bukankah setiap manusia itu punya impian dan hak untuk diberi peluang membuat keputusan dalam hidup?
Hanya segelintir wanita yang diizinkan Allah untuk beruntung memiliki pasangan yang memahami dan bertolak ansur sepertimana yang selayak dan sepatutnya dilakukan oleh setiap pasangan. 

Believe in Yourself and Negotiate For Yourself. 

Arus baru feminisme ini dipelopori oleh seorang tokoh, Sheryl Sandberg, Ketua Pegawai Operasi Syarikat Facebook, juga merupakan mantan Timbalan Presiden Global Onlines Sales and Operation bagi syarikat Google dan tersenarai sebagai salah seorang dari 100 orang tokoh berpengaruh seluruh dunia oleh majalah TIME. (boleh tonton ucapannya dalam ruangan TED berkenaan tajuk: “Why we have too few women leaders”) 

Sheryl cuba mengetengahkan 3 point penting bagi golongan wanita untuk melihat kehidupan yang lebih jauh. 

Point 1: Sit at the table.
Hakikatnya, wanita sendiri yang perlu memiliki keberanian dari dalam untuk merobohkan benteng inferiority terhadap lelaki lantaran sebenarnya antara lelaki dan wanita, tahap intelektual dan gerak kerja adalah sama, tiada apa yang membezakan. 

Gender tidak sepatutnya menjadi isu kerana kredibiliti, wibawa, kesungguhan dan nilai-nilai positif yang lain seharusnya yang menjadi kayu ukur dalam menilai kehebatan. 

Makanya wanita harus berani untuk ‘sit at the table’, sebaris lelaki dalam membawa isu dan bidang yang menjadi kepakarannya. Tidak perlu terlebih segan dan ‘inferior’ hanya semata beranggapan lelaki lebih mahir atau lelaki lebih tajam buah fikiran mereka. Kerana banyak sejarah sohabiah dan cendekiawan Islam yang terdiri dari kalangan wanita, ilmu dan buah fikiran mereka bukan sahaja diiktiraf bahkan menjadi pakar rujuk ummat sejagat. 

Point 2: Make your partner a real partner.
Ketenteraman dan toleransi dalam rumahtangga sangat memainkan peranan. Jujurnya fitrah seorang wanita, keluarga adalah segala-galanya. Ikatan tali keluarga kadang kala menjadi faktor wanita perlu berhenti malah berundur dari terus menapak. 

Justeru, memilih dan memiliki pasangan yang memahami merupakan satu anugerah yang membantu seorang wanita memenuhi cita-citanya. Buat pilihan yang bijak dan berdoalah kepada Allah agar diberi pasangan hidup yang membantu dan menguatkan kita dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat. 

Selain itu, pandangan masyarakat harus diubah untuk lebih menghargai pilihan suami yang membantu isteri malah sewajarnya tindakan-tindakan baik sebegitu menjadi suatu fenomena biasa. Bak kata almarhumah Ustazah Yoyoh Yusra, mantan ahli parlimen Partai Keadilan Sejahtera (PKS) yang juga merupakan seorang isteri beranak 13 orang semuanya, dalam soal rumahtangga dan jawatannya sebagai tokoh masyarakat, “pernikahan itu sendiri terbina dengan komitmen dan prinsipnya adalah saling memberi dan berbahagi peranan”. (Beliau telah meninggal dunia dalam kemalangan pada 21 Mei 2011 dan pemergiannya ditangisi oleh seluruh masyarakat Indonesia). 

Point 3: Don’t leave before you leave.
“Don’t leave before you leave. Stay in. Keep your foot on the gas pedal, until the very day you need to leave to take a break for a child- and then make your decisions. Don’t make decisions too far in advance, particularly ones you’re not even conscious you’re making”. 

Seriously, kesan didikan momokan tanpa mengira dalam kalangan masyarakat barat dan timur, telah mencipta satu pemikiran dalam kalangan anak-anak muda wanita untuk melihat rumahtangga sebagai matlamat utama meski ketika itu mereka masih terlalu awal dan sedang berpotensi besar untuk terus menyumbang. 

Sesungguhnya perkara ini adalah sesuatu yang amat bahaya kerana hasilnya, lambakan anak-anak muda wanita dibazirkan dengan kesibukan  berhias dan mencari cinta. Dan terhasillah satu kelompok masyarakat wanita yang takut untuk ke hadapan, berfikir, bersuara dan bertindak asing dari kepompong biasa pemikiran masyarakat, bimbang dilihat aneh dan rebellious

Dan kekurangan serta kesilapan dalam memenuhi 3 point inilah yang membuatkan terciptanya darjat antara manusia yang sama, sekadar dibezakan oleh jantina lelaki dan wanita. 

Penutup: Bercita-cita itu Bukti Menjadi Manusia yang Hidup. 

Perjuangan kewanitaan seharusnya tidak mengejar kesama-rataan wanita dan lelaki dari sudut bentuk fizikal, tetapi perjuangan sebenar adalah dalam mendidik lelaki untuk memiliki kesedaran meletakkan wanita pada kemuliaan dan kebebasan sepertimana yang telah diletakkan oleh Islam. 

Hal kebebasan terhadap wanita dalam membuat pilihan hidup ditekankan oleh Allah menerusi ayat penyusuan -yang lazimnya dilihat sebagai memang tugasan seorang ibu- namun tetap disyaratkan untuk mendapat persetujuan ibu itu sendiri, “..Apabila keduanya ingin menyapih dengan persetujuan dan pemusyawaratan antara keduanya, maka tidak ada dosa atas keduanya..” (alBaqarah: 233) apatah lagi dalam perkara-perkara berkaitan kehidupan seorang wanita itu sendiri. 

Tidaklah saya melihat kepada perlunya wanita semua keluar menjadi pemimpin dan bekerjaya -lantaran saya sendiri cenderung untuk melebihkan keluarga- namun perkara yang perlu dilihat di sini ialah, masyarakat dan terutamanya kaum lelaki yang bakal menjadi suami perlu memiliki kesedaran untuk memberi peluang dan sokongan kepada wanita-wanita yang hidup di sekeliling mereka untuk memiliki cita-cita, memenuhi cita-cita dan membuat keputusan dalam hidup mereka sendiri selagi mana tidak berlawanan dengan hukum syarak. 

Kerana, bukankah wanita juga manusia


Jom Bongkar Rahsia Lelaki Yang Perempuan Perlu Tahu

22 Nov 2021

 

Ramai perempuan ingat yang dia sudah benar-benar kenal dengan lelaki di sisi mereka. Sebenarnya, ada lagi di sebalik sifat lelaki yang tidak diketahui.

Jom kita bongkar dan baca tentang rahsia lelaki.

1. Mahu ‘awek’ cantik, tapi mahu isteri yang bersifat keibuan

Selalu kita dengar lelaki suka perempuan cantik. Pantang nampak perempuan dahi licin, mata tidak berkelip. Namun sebaliknya, perempuan cantik dan seksi itu bukan pilihan utama lelaki itu untuk dijadikan suri rumah. Lelaki biasanya tidak terpikat terhadap wanita disebabkan mereka cantik. Namun, mereka lebih mudah terpikat terhadap personaliti dan ketrampilan seseorang perempuan itu. Kadang-kadang, cantik dalaman itu lebih penting bagi mereka.

2. Tidak ‘call’ bukan bermakna tidak sayang

Lelaki tidak suka kalau ‘awek’ atau isteri asyik SMS atau ‘call’ dia. Kadang-kadang, bukannya lelaki tidak baca SMS atau tidak perasan ‘miss call’, mereka sengaja biarkan sahaja. Itu bukan bermakna mereka tidak peduli. Lelaki hanya mahukan ruang peribadi untuk diri sendiri. Lelaki akan cepat rasa rimas bila perempuan mahukan perhatian sepanjang masa.

3. Tanya soalan yang sama

“Tengah buat apa tu?”, “Dah makan ke?”. Nampak pelik kan? Tapi itu ialah merupakan soalan paling kerap ditanya lelaki ketika mereka menelefon seorang wanita. Masa bercinta boleh cakap lama-lama. Lepas beristeri, 30 saat pun sudah di kira lama.

4. Walau fokus tentang kerja, lelaki masih ingat kekasih atau isteri

Lelaki akan sentiasa sibuk dengan pekerjaan mereka sepanjang hari. Namun percayalah, sebelum tidur pasti mereka akan memikirkan mengenai wanita yang mereka benar-benar sayang. Jika telah beristeri sekalipun, walaupun baring di sebelah berkongsi bantal, lelaki akan memikirkan tentang insan tersayang.

5. Utamakan kekasih, isteri, anak-anak, lebih dari diri sendiri

Apabila lelaki benar-benar sayang terhadap seorang wanita, mereka akan mengabaikan semua perbuatan dan sifat negatif yang ada pada wanita tersebut. Orang kata, bila hati sudah buta, semuanya dia percaya. Apabila berkeluarga, bapa atau suami akan mengutamakan yang lain. Diri sendiri tidak penting. Asalkan ‘family happy’, mereka pun ‘happy’.

6. ‘Cair’ atau ‘Malu’ dengan senyuman wanita

Tidak kira bila-bila wanita memberikan senyuman manis pada seorang lelaki, terutama sekali orang yang tidak dikenali, hati mereka akan menjadi tidak keruan. Ia mungkin adalah signal yang lain. Ia boleh jadi dua perkara, “Hensem sangat ke aku hari ni?” atau “Eh, aku tak zip seluar lagi ke hari ni?”.

7. Nombor telefon  perempuan, ‘save’ nama lelaki

Bagi lelaki curang, mereka cuba mengaburi mata dengan menipu pasangan dengan teknik ini. Sudah tentu pasangan tidak akan syak apa-apa bila ada nama lelaki. Namun, banyak kes yang sudah ‘kantoi’. Bak kata pepatah, “Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua”. 

8. Jangan ingatkan kisah lampau

Lelaki amat benci apabila wanita menceritakan mengenai kisah bekas teman lelaki mereka. Ini akan membuatkan mereka rasa tercabar.

9. Mempermainkan cinta

Seorang lelaki mampu mencintai wanita untuk jangka masa yang sekejap, kemudian terus melupakan perempuan yang dicintainya itu tanpa merasa apa-apa. Sebaliknya, perempuan sukar untuk jatuh hati. Jika sudah terbit rasa sayang, perempuan akan sayang lelaki itu sampai bila-bila. Pelik kan?

 10. Kalau berani, masuk meminang!

Apabila seorang lelaki bersedia untuk berjumpa ibubapa kekasih mereka, ini menunjukkan mereka benar-benar serius. Lelaki yang hanya main-main tidak akan pergi sejauh ini. Mereka cuma ingin ambil kesempatan. Apabila lelaki telah menyuarakan niat murni ini, jangan tangguh-tangguh. Ini bermakna beliau sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab.

Banyak lagi sifat lelaki yang sukar bagi kaum wanita memahaminya. Walau apa pun yang berlaku, terima pasangan anda seadanya.


Kredit :  Rahsia



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.