SLIDER

kemampuan
Showing posts with label kemampuan. Show all posts

KELEBIHAN WANITA BEKERJAYA, KEBAIKAN WANITA SURIRUMAH. JANGAN DIBANDING-BANDINGKAN

1 Aug 2024



Menyelusuri perjalanan seorang wanita yang sudah berumah tangga, mereka seringkali dikaitkan dengan situasi dilema untuk memilih sama ada perlu menjadi seorang wanita bekerjaya atau menjadi seorang surirumah. Wanita adalah sebahagian daripada anggota masyarakat yang menjadi tonggak kepada kejayaan sesebuah bangsa dan negara (Awang N. B, Yusof A, and Et al, 2019). 

Dalam arus perubahan yang mendambakan peranan wanita dalam pelbagai bidang, kaum wanita menghadapi cabaran peranan yang paling besar kerana mereka diminta bukan sahaja kekal memainkan peranan utama sebagai surirumah tetapi juga dalam pembangunan negara dan bangsa. ( Hwa, 2017 : 29). Oleh yang demikian, para wanita sering menghadapi kesukaran untuk memilih samaada perlu menumpukan tugas sepenuhnya mengurus rumahtangga atau perlu membahagikan tugas di tempat kerja bersama sama sang suami mencari rezeki seharian bagi memenuhi tuntutan kehidupan bekeluarga.

Wanita dibenarkan bekerja dan boleh menceburi pelbagai bidang pekerjaan selagi ianya masih berlandaskan syariat dan tidak melanggar batas batas yang ditetapkan oleh agama Islam. Yusuf Al-Qardawi, (2006), telah menyatakan wanita harus bekerjaya tetapi terikat dengan beberapa syarat iaitu kerjaya tersebut dibenarkan syarak atau tidak diharamkan, beriltizam dengan etika wanita muslimah dan kerjaya tersebut mestilah tidak mengorbankan kewajipan-kewajipan lain yang tidak harus diabaikan. Ada sesetengah kerjaya memerlukan wanita untuk mengisinya seperti jururawat, doktor pakar wanita dan perbidanan, pendidik juga peniaga barangan wanita. 

Kelebihan wanita bekerjaya dengan memegang jawatan tersebut dapat membantu para wanita yang lain merasai keselesaan menggunakan khidmat wanita bekerjaya itu tanpa perasaan ragu ragu. Selain daripada itu, wanita bekerjaya ini merasakan ianya berbaloi kerana dapat berpeluang mempraktikkan segala apa yang telah dipelajari ketika menuntut ilmu di alam pekerjaan yang sebenar serta dapat menyumbangkan tenaga dan kepakaran kepada masyarakat, negara dan dunia. Sesungguhnya niat yang baik untuk menyumbang bakti dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat dalam pelbagai bidang akan dianggap sebagai ibadah (Adawiyah, Salasiah, 2012) disamping dapat membantu para suami menjana ekonomi pendapatan keluarga selagi mana ianya tidak melanggar syarat syarat yang telah ditetapkan ajaran islam ketika bekerjaya. 

Bagi wanita surirumah pula, dapat menguruskan keluarga dan anak anak sepenuh masa menjadi kelebihan yang sangat bermakna bagi mereka. Dapat melihat anak anak membesar di depan mata merupakan suatu nikmat yang tidak dapat dikecapi oleh sebahagian wanita yang bekerjaya. Hubungan ibu dan anak akan menjadi semakin erat sekaligus dapat membina suatu sifat kepercayaan yang tinggi dalam hubungan tersebut. Peranan seorang ibu amat penting dalam sesebuah keluarga bagi menjamin kelangsungan terhadap usaha melahirkan generasi masyarakat yang terdidik dengan roh Islam yang mampu mengamalkan nilai-nilai Rabbani dalam kehidupan mereka (Majid, Saleh Hudin, 2017: 42). 

Oleh yang demikian sangat beruntunglah si ibu yang dapat berpeluang menggalas tanggungjawab sepenuh masa menguruskan rumah tangga berbanding wanita yang bekerjaya. Selain dari itu, peningkatan statistik penderaan kanak kanak dikalangan pengasuh juga menjadikan kelebihan kepada wanita surirumah yang tekad untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sendiri mengasuh dan menjaga anak di rumah. Selain dapat mengurangkan risiko penderaan kanak kanak di rumah pengasuh, ia juga dapat menjimatkan kos pengasuh yang perlu dibayar hampir setiap bulan. Agak ralat bagi seorang ibu sekiranya pengasuh dibayar dengan bayaran yang tinggi tetapi kebajikan dan keselamatan anak anak mereka tidak berada di tempat sepatutnya. Oleh yang demikian, status surirumah sepenuh masa menjadi pilihan utama wanita masa kini dalam menghadapi cabaran membesarkan anak anak. 

Oleh yang demikian, menjadi seorang wanita bekerjaya ataupun menjadi seorang surirumah, kedua duanya mempunya kelebihan dan kebaikan yang tersendiri. Meskipun seorang wanita itu perlu membuat pilihan di atas keduanya, bersyukurlah walau posisi mana kita perlu berada. Kedua duanya mempunyai peranan dan dapat menyumbangkan sesuatu manfaat khususnya kepada ummah. Tiada keperluan untuk masyarakat sekeliling membezakan status atau kedudukan seorang wanita itu samada mereka bekerjaya atau menjadi seorang surirumah. Tidak perlu timbul persoalan mengenai yang manakah yang lebih mulia atau pun tidak kerana,

“ Sesungguhnya orang yang paling mulia dia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu.” [QS 49: 13]. 

Wanita bekerjaya mahupun wanita surirumah kedua duanya dimuliakan Allah sekiranya mereka bertaqwa dalam melakukan tugas masing masing selagi mana ianya memberi manfaat kepada suami, anak anak dan keluarga terutamanya melakukannya ikhlas kerana Allah swt. 


Kredit : 

Nur Hidayah Binti Muhamad Johari 

Pensyarah, 

Jabatan Teknoperniagaan, 

Fakulti Pengajian Teknokorporat Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur.



Balas Budi ? Kawan Baik Tikam Belakang ? Duit ? Hutang ? Pinjam ? Akhirnya .... Sendiri Terduduk

17 Mar 2022


Kawan yang baik adalah kawan yang sanggup bagi kau pinjam duit dan tak kisah pun kau nak bayar balik atau tak. Seronok kan? Senang hidup kau wei! Baiknya kawan kau tu. 

Tapi secara automatik kaulah yang akan jadi kawan paling tak guna, tak guna, tak guna kat atas dunia ni. Suka betul ambil kesempatan atas kebaikan orang lain. 

Saya kongsikan 12 kisah orang ambil kesempatan kat orang lain. Gerammm baca. Kalau iman tak kuat, jangan baca ya. Nanti penuh maki-maki kat komen tu.
Haha!



#KISAH_1
#KAHWIN_PAKAI_DUIT_ORANG

Ini cerita buat personal loan untuk kahwin guna kawan punya nama. Akak kepada member saya terkena. Last-last lepas kahwin tak bayar. Si member ni pula tak pasal-pasal tiap-tiap bulan kena bayar hutang kawin diorang. Memang tak berkat lah kahwin kalau gitu gayanya. Sebab tu jangan mudah kesian atau percaya sangat dengan orang.


#KISAH_2
#KAWAN_BAIK_BUAT_TAIK

Paling bongok kau buat pinjaman peribadi untuk dia, kawan sejati kononnya. Sudahnya kau gaduh hutang di bank kau dia tak bayar. Kau bajet cun bagi dia duit konon nak pikat hati dia. Sudahnya now kau bayar hutang personal loan (PL) tu 10 tahun. Sadis Betul. 


Cerita daripada seorang rakan tadi yang mengadu tak boleh beli rumah dah banyak komitmen hutang. Salah satunya PL utk "kawan baik" yang berbaki lagi 5 tahun. Serious cannot brain. 


#KISAH_3
#MANGSA_MLM_ABANG

Husband saya pun kena. Abang-abang dia nak join MLM, 8 tahun dulu famous benda ni. Husband kerje gomen. Abang-abang dia minta guna nama dia buat personal loan dan janji bayar balik tiap-tiap bulan. 


Husband buat loan tanpa pengetahuan saya. Sebab abang-abang dia pesan jangan bagitau isteri. Tapi saya tahu jugak. Memang mengamuk la jugak kan. Tapi nak buat macam mana, bende dah jadi. 

Sekarang, bisnes entah ke mana. Pulangan entah ke mana. 1 sen pun tak pernah bayar balik kat husband saya. Sehingga sekarang Husband saya tanggung sorang-sorang hutang tu. Kesian dia dengan gaji yang tak seberapa. 

Yang abang-abang dia, siap boleh beli & tambah rumah kedua. Beli kereta baru. Motor besar dan bila kami tanya, jawapan dia senang je, tunggu lepas dia dapat pergi haji baru dia nak bayar. Ada ke patut. 

Hubungan husband dengan abang-abang dia sekarang? Memang renggang sangat. Saya dengan mereka, lagi lah tak bercakap. Perasaan sakit hati tu tak tau nak cakap. Sebab mereka, saya terpaksa bersusah bantu mencukupkan perbelanjaan rumah. 

Saya tak kisah jika bersusah atas sebab diri sendiri. Tapi terpaksa bersusah, disebabkan orang lain buat taik, hare betul rasenye.


#KISAH_4
#KURANG_ASAM_ENCIK_SAHARUDDIN

Macam ayah saya terkena. Dulu ayah dengan kawan dia buat PL dengan bank rakyat. Memasing jadi penjamin antara satu sama lain. Ayah bayar cantik smpai loan habis. Tup-tup bahagian kawan dia tu, tahun lepas bank call cakap kawan dia tu tak bayar. Dah tertunggak lama dan banyak. Pastu orangnya tak dapat dihubungi. Bila dah dapat cari, boleh pulak cakap tak mampu bayar. 


Sudahnya sebagai penjamin tak pasal-pasal ayah kena kuar duit RM16k bayar hutang dia. Sampai bila-bila takkan halal.Kurang asam sungguh Encik Saharuddin tu.


#KISAH_5
#MAK_NAK_KERETA_OVERSEA

Kawan adik saya kerja nurse swasta ambik Vokswagen sebab mak dia teringin pakai kerete obersea. Serius tak tau apa dalam kepala otak mak dia menyusahkan anak mcm tu. Haihh!


#KISAH_6
#PREBET_ASKAR_HONDA_CITY

Kawan saya prebet askar. Habis training belikan mak dia Honda City sebagai tanda dia dah berjaya. Gaji RM1,800 bayar kerete RM900. 


#KISAH_7
#MAK_BAIK_SANGAT

Ini yang saya takutkan. Alhamdulillah diberi rezeki kerja sebagai penjawat awam. Sebelum kerja lagi dah cakap awal-awal kat family termasuk mak, tak kan buat loan untuk nama orang lain. 


Sebab dah nampak apa yang berlaku dalam keluarga. Mak pesara. Mak saudara bongsu guna nama mak untuk beli kereta Vios. Dah habis bayar, tukar nama dia sendiri. 

Lepas tu mak saudara lain pulak guna nama mak beli kereta Bezza. Mak saudara ni jugak pakai nama mak untuk penjamin pinjaman.
Kakak pulak suruh mak buat pinjaman pencen. Semua atas bahu mak. Bila kereta mak saudara kemalangan, yang susahnya mak. Bila mak saudara lambat bayar kereta, orang bank call mak.  

Ini yang paling saya marah. Dah puas bebel cakap dengan mak, tak yah lah baik hati sangat kasi orang guna nama.  

Effect, baru-baru ni mak terdesak perlukan duit urgent. Nak pinjam bank dah tak boleh sebab terlalu banyak komitmen. Dah tak tahu macam mana nak nasihat lagi.


#KISAH_8
#PENJAMIN_BLACKLISTED
 
Teringat dekat kawan saya jadi penjamin kereta Myvi kawan dia. Last-last kawan dia tak bayar bawa lari kereta sampai sekarang tak nampak bayang. Tak pasal-pasal kawan saya terpaksa pinjam duit dan buat personal loan untuk clearkan nama dari blacklist. 

Setiap bulan terpaksa menanggung hutang benda yang dia tak pakai. Semoga Allah limpahkan rezeki yang banyak dan berkat buat kawan saya dan dipermudahkan segala urusannya.
Aamiin.


#KISAH_9
#ADIK_BIJAK
 
Adik ipar (lelaki) jadi penjamin loan kereta kawan. Lepastu kawan buat taik. Sekarang nama dia blacklisted. Haram nak beli rumah loan semua tak boleh.Mujur lah adik saya pompuan beli rumah masa belum kawen. Merasa lah menumpang rumah isteri.


#KISAH_10
#SURIRUMAH_BLACKLISTED
 
Saya salah seorang mangsa bagi pinjam nama buat personal loan pada ahli keluarga. Akhirnya bulanan tak mampu bayar. Bank kejar saya. Saya dahlah surirumah macam mane nak tolong bayar. Akhirnya nama blacklist masuk CCRIS. Sedih rasa hati. 


#KISAH_11
#UNCLE_CAMRY
 
Saya pun pernah kena black list sebab tolong guna nama saya ke uncle saya. Dia nak beli Toyota Camry. Dia bayar 6 bulan saja lepas tu dia terus senyap. 

Dia sembunyikan kereta tu. Lepas tu bank jumpa and bagitau ke saya. So saya lah yang kena bayar balance nya. 

Masa Camry tu kena tarik. Wife dia fikir saya yang suruh. So saya yang kena maki lagi. Hahah. And uncle tetap diam membisu. (Patut uncle tu yang perlu dimaki). Tu lah ceritanya. 

Moral of the story, siapa pun manusia yg nak pinjam nama kita. JANGAN BAGI 


#KISAH_12
#MANA_KAU_CIKGU_NORDIN
 
Kisah macam ni terjadi juga pada Ayah saya. Ex-jiran merangkap kawan mengajar satu sekolah, merangkap kawan baik (pada ketika itulah!). Swipe credit card Ayah sampai cecah limit. Kononnya waktu tu dia sedang susah dan perlukan duit bantuan kewangan sangat-sangat. 

Lepas tu dia menghilang. Beberapa tahun kemudian, ayah nak tukar kereta dan baru dapat tahu, hutang kredit kad tu tak pernah langsai malah bertambah-tambah interest! Jadinya nama dah masuk ccris, loan kereta tak lepas. 

Terpaksa pulak gali lubang untuk tutup hutang kredit kad tu. Jumlahnya beribu, of course lah kan. Sampai harini CIKGU NORDIN tu entah hilang ke mana satu family.
MANA KAU CIKGU NORDIN??
GANTI BALIK DUIT AYAH AKU!



Kau dah baca 12 kisah sedih ni, kalau lepas ni jadi kat diri sendiri juga, memang salah kaulah tak ambil pengajaran. Kawan makan kawan, abang tipu adik, pakcik buat taik. 


Hati-hatilah. Dunia ni memang penuh dengan manusia-manusia jahat yang suka ambil kesempatan atas kebaikan kita. Lagi-lagi kalau dorang nampak kita ni macam berduit. 

Sorok-soroklah duit tu ya.
Jangan semua nak tayang kat orang.
Haha! - HF


SHARE supaya orang ramai jadi BIJAK!



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.