SLIDER

mlm
Showing posts with label mlm. Show all posts

Balas Budi ? Kawan Baik Tikam Belakang ? Duit ? Hutang ? Pinjam ? Akhirnya .... Sendiri Terduduk

17 Mar 2022


Kawan yang baik adalah kawan yang sanggup bagi kau pinjam duit dan tak kisah pun kau nak bayar balik atau tak. Seronok kan? Senang hidup kau wei! Baiknya kawan kau tu. 

Tapi secara automatik kaulah yang akan jadi kawan paling tak guna, tak guna, tak guna kat atas dunia ni. Suka betul ambil kesempatan atas kebaikan orang lain. 

Saya kongsikan 12 kisah orang ambil kesempatan kat orang lain. Gerammm baca. Kalau iman tak kuat, jangan baca ya. Nanti penuh maki-maki kat komen tu.
Haha!



#KISAH_1
#KAHWIN_PAKAI_DUIT_ORANG

Ini cerita buat personal loan untuk kahwin guna kawan punya nama. Akak kepada member saya terkena. Last-last lepas kahwin tak bayar. Si member ni pula tak pasal-pasal tiap-tiap bulan kena bayar hutang kawin diorang. Memang tak berkat lah kahwin kalau gitu gayanya. Sebab tu jangan mudah kesian atau percaya sangat dengan orang.


#KISAH_2
#KAWAN_BAIK_BUAT_TAIK

Paling bongok kau buat pinjaman peribadi untuk dia, kawan sejati kononnya. Sudahnya kau gaduh hutang di bank kau dia tak bayar. Kau bajet cun bagi dia duit konon nak pikat hati dia. Sudahnya now kau bayar hutang personal loan (PL) tu 10 tahun. Sadis Betul. 


Cerita daripada seorang rakan tadi yang mengadu tak boleh beli rumah dah banyak komitmen hutang. Salah satunya PL utk "kawan baik" yang berbaki lagi 5 tahun. Serious cannot brain. 


#KISAH_3
#MANGSA_MLM_ABANG

Husband saya pun kena. Abang-abang dia nak join MLM, 8 tahun dulu famous benda ni. Husband kerje gomen. Abang-abang dia minta guna nama dia buat personal loan dan janji bayar balik tiap-tiap bulan. 


Husband buat loan tanpa pengetahuan saya. Sebab abang-abang dia pesan jangan bagitau isteri. Tapi saya tahu jugak. Memang mengamuk la jugak kan. Tapi nak buat macam mana, bende dah jadi. 

Sekarang, bisnes entah ke mana. Pulangan entah ke mana. 1 sen pun tak pernah bayar balik kat husband saya. Sehingga sekarang Husband saya tanggung sorang-sorang hutang tu. Kesian dia dengan gaji yang tak seberapa. 

Yang abang-abang dia, siap boleh beli & tambah rumah kedua. Beli kereta baru. Motor besar dan bila kami tanya, jawapan dia senang je, tunggu lepas dia dapat pergi haji baru dia nak bayar. Ada ke patut. 

Hubungan husband dengan abang-abang dia sekarang? Memang renggang sangat. Saya dengan mereka, lagi lah tak bercakap. Perasaan sakit hati tu tak tau nak cakap. Sebab mereka, saya terpaksa bersusah bantu mencukupkan perbelanjaan rumah. 

Saya tak kisah jika bersusah atas sebab diri sendiri. Tapi terpaksa bersusah, disebabkan orang lain buat taik, hare betul rasenye.


#KISAH_4
#KURANG_ASAM_ENCIK_SAHARUDDIN

Macam ayah saya terkena. Dulu ayah dengan kawan dia buat PL dengan bank rakyat. Memasing jadi penjamin antara satu sama lain. Ayah bayar cantik smpai loan habis. Tup-tup bahagian kawan dia tu, tahun lepas bank call cakap kawan dia tu tak bayar. Dah tertunggak lama dan banyak. Pastu orangnya tak dapat dihubungi. Bila dah dapat cari, boleh pulak cakap tak mampu bayar. 


Sudahnya sebagai penjamin tak pasal-pasal ayah kena kuar duit RM16k bayar hutang dia. Sampai bila-bila takkan halal.Kurang asam sungguh Encik Saharuddin tu.


#KISAH_5
#MAK_NAK_KERETA_OVERSEA

Kawan adik saya kerja nurse swasta ambik Vokswagen sebab mak dia teringin pakai kerete obersea. Serius tak tau apa dalam kepala otak mak dia menyusahkan anak mcm tu. Haihh!


#KISAH_6
#PREBET_ASKAR_HONDA_CITY

Kawan saya prebet askar. Habis training belikan mak dia Honda City sebagai tanda dia dah berjaya. Gaji RM1,800 bayar kerete RM900. 


#KISAH_7
#MAK_BAIK_SANGAT

Ini yang saya takutkan. Alhamdulillah diberi rezeki kerja sebagai penjawat awam. Sebelum kerja lagi dah cakap awal-awal kat family termasuk mak, tak kan buat loan untuk nama orang lain. 


Sebab dah nampak apa yang berlaku dalam keluarga. Mak pesara. Mak saudara bongsu guna nama mak untuk beli kereta Vios. Dah habis bayar, tukar nama dia sendiri. 

Lepas tu mak saudara lain pulak guna nama mak beli kereta Bezza. Mak saudara ni jugak pakai nama mak untuk penjamin pinjaman.
Kakak pulak suruh mak buat pinjaman pencen. Semua atas bahu mak. Bila kereta mak saudara kemalangan, yang susahnya mak. Bila mak saudara lambat bayar kereta, orang bank call mak.  

Ini yang paling saya marah. Dah puas bebel cakap dengan mak, tak yah lah baik hati sangat kasi orang guna nama.  

Effect, baru-baru ni mak terdesak perlukan duit urgent. Nak pinjam bank dah tak boleh sebab terlalu banyak komitmen. Dah tak tahu macam mana nak nasihat lagi.


#KISAH_8
#PENJAMIN_BLACKLISTED
 
Teringat dekat kawan saya jadi penjamin kereta Myvi kawan dia. Last-last kawan dia tak bayar bawa lari kereta sampai sekarang tak nampak bayang. Tak pasal-pasal kawan saya terpaksa pinjam duit dan buat personal loan untuk clearkan nama dari blacklist. 

Setiap bulan terpaksa menanggung hutang benda yang dia tak pakai. Semoga Allah limpahkan rezeki yang banyak dan berkat buat kawan saya dan dipermudahkan segala urusannya.
Aamiin.


#KISAH_9
#ADIK_BIJAK
 
Adik ipar (lelaki) jadi penjamin loan kereta kawan. Lepastu kawan buat taik. Sekarang nama dia blacklisted. Haram nak beli rumah loan semua tak boleh.Mujur lah adik saya pompuan beli rumah masa belum kawen. Merasa lah menumpang rumah isteri.


#KISAH_10
#SURIRUMAH_BLACKLISTED
 
Saya salah seorang mangsa bagi pinjam nama buat personal loan pada ahli keluarga. Akhirnya bulanan tak mampu bayar. Bank kejar saya. Saya dahlah surirumah macam mane nak tolong bayar. Akhirnya nama blacklist masuk CCRIS. Sedih rasa hati. 


#KISAH_11
#UNCLE_CAMRY
 
Saya pun pernah kena black list sebab tolong guna nama saya ke uncle saya. Dia nak beli Toyota Camry. Dia bayar 6 bulan saja lepas tu dia terus senyap. 

Dia sembunyikan kereta tu. Lepas tu bank jumpa and bagitau ke saya. So saya lah yang kena bayar balance nya. 

Masa Camry tu kena tarik. Wife dia fikir saya yang suruh. So saya yang kena maki lagi. Hahah. And uncle tetap diam membisu. (Patut uncle tu yang perlu dimaki). Tu lah ceritanya. 

Moral of the story, siapa pun manusia yg nak pinjam nama kita. JANGAN BAGI 


#KISAH_12
#MANA_KAU_CIKGU_NORDIN
 
Kisah macam ni terjadi juga pada Ayah saya. Ex-jiran merangkap kawan mengajar satu sekolah, merangkap kawan baik (pada ketika itulah!). Swipe credit card Ayah sampai cecah limit. Kononnya waktu tu dia sedang susah dan perlukan duit bantuan kewangan sangat-sangat. 

Lepas tu dia menghilang. Beberapa tahun kemudian, ayah nak tukar kereta dan baru dapat tahu, hutang kredit kad tu tak pernah langsai malah bertambah-tambah interest! Jadinya nama dah masuk ccris, loan kereta tak lepas. 

Terpaksa pulak gali lubang untuk tutup hutang kredit kad tu. Jumlahnya beribu, of course lah kan. Sampai harini CIKGU NORDIN tu entah hilang ke mana satu family.
MANA KAU CIKGU NORDIN??
GANTI BALIK DUIT AYAH AKU!



Kau dah baca 12 kisah sedih ni, kalau lepas ni jadi kat diri sendiri juga, memang salah kaulah tak ambil pengajaran. Kawan makan kawan, abang tipu adik, pakcik buat taik. 


Hati-hatilah. Dunia ni memang penuh dengan manusia-manusia jahat yang suka ambil kesempatan atas kebaikan kita. Lagi-lagi kalau dorang nampak kita ni macam berduit. 

Sorok-soroklah duit tu ya.
Jangan semua nak tayang kat orang.
Haha! - HF


SHARE supaya orang ramai jadi BIJAK!



Berhati-hati Dengan Scammer Piramid Skim Cepat Kaya

17 Dec 2021

 


SEBUAH kereta sports Nissan Fairlady berhenti di hadapan restoran. Ia tidak diletak di dalam petak tetapi melintang. Bukannya tidak ada kosong, cuma ia sengaja dipamerkan sedemikian rupa. Keluar dua lelaki berusia awal 20-an. Berpakaian kemeja dan seluar hitam dengan tali leher berwarna kuning. Butang lengan dikancing rapi. Janggal sedikit kerana waktu sudah 1 pagi. Kau tidak mahukah kereta sports macam itu? Duit banyak, perempuan pun ramai hendak jadi teman, kata seorang tukang rekrut di meja sebelah kepada dua pemuda dalam suara yang lantang, tanpa mempedulikan penulis dan rakan-rakannya yang turut sama terkesima melihat aksi gaya, mutu dan keunggulan dua model tersebut. 

Mereka itu pemilik kereta atau car-jockey?,kata seorang teman dalam suara perlahan tetapi sudah cukup mencetuskan ketawa di meja kami. Itulah malam bersejarah, rupa-rupanya. Satu acara merekrut besar-besaran untuk satu skim jualan langsung (MLM) sedang berlangsung di sebuah restoran di Shah Alam dan menjadi lebih dramatik dengan aksi pemilik Nissan Fairlady itu. Ia mungkin satu lakonan, mungkin juga benar kereta itu dimiliki dengan sah oleh model MLM berkenaan. 

Mereka ini telah menjadikan restoran itu sebagai pusat merekrut. Calon-calon rekrut disuruh datang ke situ atau dibawa ke situ. Yang sudah menjadi ahli, hadir dalam pakaian serba hitam. Yang belum jadi ahli, kelihatan tekun (atau khayal) mendengar kempen dan propaganda. Ahli-ahli baju hitam ini bersalam pun ala-Hip Hop. Tangan digenggam dan badan dipeluk. Mereka jelas terhutang budi antara satu sama lain, mungkin saling memakmurkan diri masing-masing. Rata-rata mereka ini muda-muda belaka.

Beberapa bulan kemudiannya, kumpulan ini dibongkar oleh pihak berkuasa sebagai skim MLM piramid atau skim cepat kaya. Restoran tersebut kini kembali lengang walaupun beberapa watak dulu dilihat masih minum di situ, tetapi tidak lagi berpakaian serba hitam. Anda mungkin pernah dipelawa menyertai skim MLM seumpamanya. Seorang teman mengaku pernah menyertai hingga tiga skim MLM. 

Tiga-tiga wang mukanya hangus. Sampai tiga baru hendak insaf? Ada pula seorang kenalan kini renggang dengan temannya, gara-gara hangus beratus ribu dalam skim cepat kaya seumpamanya. Penulis sendiri pernah dipelawa, malah diperdaya kononnya untuk mengadakan temuramah. Rupa-rupanya kena duduk dengar ceramah MLM. Tidak mengapa, orang itu sendiri sedar kesilapannya dan tidak lagi berani tunjuk muka.

Oleh kerana pengalaman sebegini, perniagaan MLM lebih banyak mendatangkan persepsi negatif pada kebanyakan kita. Namun, kita harus terbuka minda yakni memang wujud syarikat MLM yang sahih dan fokus terhadap penjualan produk atau perkhidmatan, malah memiliki banyak produk serta sering dipertingkatkan menerusi inovasi atau penyelidikan dan pembangunan (R&D). 

Industri MLM ini turut diiktiraf oleh kerajaan sebagai antara penyumbang kepada ekonomi negara. Jumlah dagangan dalam MLM dijangka mencecah RM10 bilion pada penghujung Rancangan Malaysia Ke-10, setelah tahun lalu mencatat RM5 bilion. 

MLM yang tidak baik ialah yang memfokuskan semata-mata kepada pelantikan ahli baru yang diistilahkan sebagai downline. Calon-calon dijanjikan dengan pelbagai tahap komisen lumayan jika dapat melantik tiga orang, kemudian bantu tiga orang itu untuk dapatkan tiga orang lain dengan anda di atas. Produk? Tidak mengapa. Itu soal kedua. Lagi pun, siapalah berminat hendak menjual produk seperti kopi 50 dalam satuminyak lintah penambah nikmat dan lain-lain, yang kelakar bunyinya dan mendatangkan rasa segan pula hendak menjualnya.

Mengawal selia

Dalam konteks ini, kerajaan dilihat proaktif dalam mengawal selia industri yang popular ini daripada terus menerus disalah guna menjadi skim piramid cepat kaya. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bakal membentangkan pindaan Akta Jualan Langsung 1993 pada sidang Parlimen sekarang. Harap sempat dan tidak dihambat dek isu politik yang hanya menguntungkan individu tertentu, bukan rakyat jelata. 

Fenomena MLM piramid cepat kaya ini bukan eksklusif di Malaysia semata-mata. Ia bukan dicipta oleh Pak Man Telo, walaupun namanya akan selama-lamanya dikaitkan dengan skim itu. Sebaliknya ia adalah fenomena global. Malah di Amerika Syarikat, skim piramid diistilahkan oleh Suruhanjaya Sekuriti & Bursa (SEC) sebagai skim Ponzi.

Skim Ponzi diambil dari nama Charles Ponzi yang menipu ribuan penduduk New England supaya melabur dalam skim spekulasi setem pos pada 1920-an. Ketika itu, kadar faedah tahunan bank adalah sebanyak 5 peratus. Ponzi menjanjikan para pelabur bahawa dia boleh menyediakan pulangan sebanyak 50 peratus dalam tempoh hanya 90 hari. Pada awalnya, Ponzi membeli kupon pos antarabangsa bagi mengabui mata orang ramai untuk mempercayai skimnya itu. Dengan dana baru diperolehi dari pelabur baru, ia digunakan bagi membayar pelabur awalnya. 

Ponzi menerima publisiti tambahan bila berita keuntungan itu tersebar. Pelabur pertama tadi menggandakan pelaburannya. Kesudahannya sama seperti kes Pak Man Telo. Tidaklah diketahui jika Pak Man Telo ada mengkaji formula Ponzi berkenaan semasa hayatnya.

Namun apa yang nyata, walaupun kes itu sudah berlaku 80 tahun dulu (30 tahun di Malaysia), masih ramai yang terpedaya. Semuanya gara-gara mahu cari jalan pintas ke arah kesenangan dan kekayaaan. Duit banyak tetapi dungu. Mana ada perniagaan di dunia ini yang menjamin pulangan luar biasa sebegitu besar dalam tempoh singkat. (Jual dadah atau perempuan bukan perdagangan sah atau halal. Kedunguan orang mahu kaya cepat dengan cara singkat itu pun bukan eksklusif di Malaysia. Di AS pada tahun lalu, SEC memfailkan 60 tindakan perundangan membabitkan skim Ponzi atau yang berbentuk pembayaran Ponzi, termasuk mendakwa Robert Allen Stanford yang dituduh mengendalikan skim Ponzi bernilai AS$8 bilion serta Bernard L. Madoff yang kini menjalani hukuman penjara 150 tahun setelah didapati bersalah atas tuduhan yang serupa.

Skim piramid cepat kaya ini ada pelbagai. Sang penipu akan terus mengambil kesempatan atas kedunguan dan ketamakan orang dengan mencipta pelbagai nama baru serta atas bermacam platform perniagaan, seperti MLM ini. Jika anda ditawarkan skim MLM, siasatlah dulu dengan pihak berkuasa mengenai kesahihannya. Paling mudah ialah dengan menolak selamba bila tukang rekrut menekankan soal downline berbanding jualan produk atau muncul kereta sports diletak melintang di hadapan anda.

Kredit : UtusanMalaysia

Kerana MLM, Semuanya Musnah Di Kala Usia Masih Muda

5 Jul 2016


Dibawah admin sekadar berkongsikan kisah daripada seorang siswazah yang telah di tipu MLM. Kisah dibawah boleh dijadikan teladan dan diambil iktibar, supaya kita sentiasa perlu berhati-hati dengan skim seumpama ini yg tumbuh bagai cendawan. Sikap peka dan berwaspada perlu sentiasa diamalkan, supaya tiada masalah-masalah yg lebih besar timbul. Rujuklah dan berbincanglah dengan kawan-kawan, sahabat-handai atau saudara-mara sebelum membuat keputusan drastik. Masa depan terletak di tangan kita sendiri. Tentukan dengan keputusan dan fikiran yang rasional.

-Admin-


"
Kredit : IIUMC

Assalamualaikum terima kasih kerana menyiarkan kisah ini,
Kisah benar mengenai ujian yang menimpa hidup aku, Kebiasaannya kita selalu mendengar ayat hikmah yang berbunyi

Allah tidak akan menguji hambanya, mengikut kemampuan hambanya.
Pada tahun 2013 aku menamatkan pengajian di sebuah universiti tempatan, sebaik 5 bulan tamat kursus kerjaya aku diterima bekerja di sebuah syarikat jepun. Kisahnya bermula pada hujung akhir tahun 2013 sahabat lama aku secara tiba-tiba menghubungi aku , Biasalah kawan lama hubungi aku untuk bertanya khabar, pada mulanya aku tidak berperasangka buruk pun pada dia walaupun kami bukan kawan rapat masa zaman universiti dulu. Apabila ditanya mengenai kerjaya dia, kawan aku tu kata dia dah berjaya buka sebuah spa kecantikan hasil usahanya sendiri di KLCC , siap pelawa aku lagi join kursus keusahawanan dia, dia pun bangga sebab tak perlu hidup makan gaji lagi lepas universiti. Dia ajak aku join ke program tersebut tapi aku tak nak sebab masa tu aku sangat sibuk dengan presentation kerja.

Dari hujung tahun 2013 hinggalah ke tahun 2014 aku masih lagi bekerja di syarikat yang sama , baru sahaja genap 8 bulan bekerja kawan aku tadi tiba-tiba contact semula aku, Kali ni betul-betul ajak jumpa dan dia siap tanya bila hari yang aku cuti? sebab dia nak jumpa, pendekkan cerita dia datang kerumah aku pelawa aku ke spa dia dan tunjuk dekat aku bisnes yang dia tengah buat sekarang, Mula2 kata nak bawak pergi spa lepas tu aku dibwa pergi ke dalam sebuah tempat, tempat tu ramai orang pakai baju yang smart semua macam sibuk buat sesi sharing prospek. Masa tu hati tak terlintas pun nak cakap benda tu bisnes MLM, sebab kawan aku kata itu semua partner dia yang buka spa secara franchise, aku pun percaya bulat – bulat kata dia, dia bawak aku tour dalam tempat tu dari start bertemu dengan orang baru sampailah kepada produk2. Aku cuma ikut je dia tak banyak cakap, lepas tu depan kawan2 dia ajak terus letak satu borang ahli surat aku isi yuran ahli dalam RM80 aku masa tu dah terkebil2 masa tu dalam purse tak bawak duit, dia cakap tak apa isi jer..

Orang selalu pesan kalau ada masalah tak patut cerita dekat orang yang salah, aku memang tak berminat nak cerita tapi hari kejadian tu aku adalah cerita sikit2 masalah biasa, okla mula-mula macam banyak bagi support pura-pura caring tapi tak sangka pula kawan aku ni ada udang di sebalik mee !! sejak jumpa kunjungan aku ke spa tu kawan aku setiap hari whassap aku, ajak join buka spa macam dia dan berjaya macam dia, dia siap tunjuk slip gaji lagi adalah angka 5k-8k katanya hasil dia buat bisnes join spa ni.Tempat ni agak femes orang panggil segitiga emas tempat di area KLCC, bole je naik train nak ke tempat ni senang jumpa tapi ramai orang tak tahu disebalik bangunan yang gah di tengah2 bandar KL tu ada tempat puaka ni. Minggu pertama ajak aku keluar modal RM 2500 siap tanya bila gaji aku bulan ni nak masuk? simpanan asb ada berapa? ada emas simpanan tak? so aku yang luus bendul ni ceritalah kat dia semua, kebetulandah hujung bulan 3 gaji aku keluar dia suruh kumpulkan semua modal cukupkan jumlah RM 2500 tu, aku ikut semua cerita dia sebab masa tu fikir nak belajar bisnes. Kemudian tak sampai seminggu aku labur 2.5k tu dia sekali lagi mintak aku buat loan??? aku memang teragak-agak sebab aku tak nak berhutang.

Kali ni dia wahssap aku dan masukkn aku dalam group chat whassap dalam tu ramai partner2 baru dapat whssap selamat datang dan ucap tahniah dan minta aku fight cash untuk level seterusnya, nak tau fight untuk ape? fight modal cash atau Loan 30k, sebelum fight tu kawan aku dan geng dia bawak aku pergi ceramah keusahawan yang kononnya anjuran 1 malaysia. Dalam tu ramai bekas jurutera dan penjawat awam yang berhenti kerja untuk join bisnes ni, pakai baju smart dan kereta sport yang tak kalahnya jutawan2 kat malaysia ni! lepas balik dari ceramah tu terus kawan aku bawak aku dan team dia lepak kedai mamak area berdekatan katanya nak buat sesi sharing, pendekkan cerita kawan aku terus letak 3 kertas loan untuk aku tulis dan bagi tahu bertapa hebatnya bisnes ni, sampailah pukul 3 pagi aku still di KL sesi sharing balik rumah kawan aku hantar dalam pukul 6 pagi baru aku sampai rumah, dahla waktu tu aku masuk kerja pagi pergi kerja pun dah mengantuk sangat2 memang tak ada kualiti sejak terjebak dengan benda ni.

Kali ni terus whassap aku minta semua dokumen, memang tujuan aku nak tolong family aku dalam bisnes, tapi aku ikutkan aja kawan aku ni.. dia memang bijak manipulasi minda bawah sedar aku, kali ni macam memaksa minta aku sediakan borang untuk apply semua personal loan, pendekkn cerita aku diminta ambil cuti untuk settlekan hal urusan personal loan aku, aku ingat lagi hari tu aku dengan kawan aku pergi semua bank di area KL untuk submit loan, kawan aku tu suruh aku fight koan 30k!! bila aku tak nak dia memaksa dan bawa aku pergi jumpa kawan2 dia untuk brainwash aku sampai lembik dibuatnya aku, otak aku disuruh aku berfikiran positif sebab masa tu aku dah sangat negatif sebab banyak terbaca artikel pasal ppenipuan bisnes ni,Mereka minta aku rahsiakan benda ni dari mak dan ayah katanya dah berjaya buat income baru bagi tahu Mak ayah.. musykil betul.. tapi masa tu tak fikir lagi akibat dia.

Dalam masa 2 minggu join aku lulus semua loan, bukan satu bank! tapi tiga bank!! banyak betul, yang paling best aku ada bagi tahu kawan aku yang aku nak quick tapi ditahan, masa tu aku tak boleh nak cakap apa sebab kad bank aku semua ada pada dia!! dia call aku ajak jumpa untuk aku saksikan duit 3ok keluar untuk masuk bisnes tu!lepas aku masuk aku dapat barabg yang aku sendiri tak pilih! tetiba jer dah sampai depan rumah, lepas jer aku masuk kawan aku sibuk nak kawin so memang dia tinggal aku macam tu jer.. kawan2 dia tu plak xdelah rapat sangat, tapi bila dah masuk semua macam sangat busy cari partner baru memang masa tu aku rasa kene game! sebab ni bukan bisnes tapi ni MONEY GAME!!!! barang-barang pulak harga rm 600 satu barang.. logik ke harga tu?? dia cakap dia sangat busy ko pergilah cari orang buat teknik yang macam mana aku buat.. Ya Allah bertapa geramnya aku! kata bisnes tak cari orang tapi kenapa sekarang cari orang? awal2 lagi dah putar belit cerita.

Kesan daripada join bisnes MLM Tu aku terus dilanda kemurungan yang teruk sampai aku terpaksa berhenti kerja!! ada seketika aku nak bunuh diri rasa diri nak sewel, sebab aku tanggung hutang yang banyak, sejak tak kerja aku da mampu bayar sampailah rahsia aku pada parents aku terbongkar.. sebab aku selalu stress dan jatuh sakit akhirnya satu family tahu yang aku kene game, aku ada buat report polis tapi polis tak layan sebab kes atas kerelaan aku dan diorang ada resit jual beli dengan syarikat yang berlesen.. aku sedar nasi dah jadi bubur masa tu memang tak boleh buat apa, komitment bayarann bank pula rm1000 sebulan itu belum termasuk kereta aku, so memang gaji aku rm 2k lebih dah tak cukup nak tampung hutang ni… dah nak dekat 100k dengan bunga3 dia! aku memang buntu diam terduduk menangis!! dahla lepas berhenti kerja nak dapat kerja balik susah sangat sampailah aku cuba bangkit akhirnya awal 2015 aku dapat kerja secara kontak selama 8 bulan di sebuah company ni.. masa tu memang kerja gaji untuk bayar hutang, setiap hari bank call minta bayaran sehinggakan aku tak mampu bayar lagi semua hutang2 MLM tu… bertapa stressnya aku dengan gaji yang kecil aku nak bayar hutang2 tu..Tuhan je tahu perasaan aku macam mana! kawan aku dah lari dia pun dah block semua facebook dan no phone aku jadi tinggalla aku seorang diri menanggung hutang!!

Dalam kita susah hanya family jer yang dapat bantu kita bukan orang lain, aku bersyukur aku ada tempat nak pergi dan sekarang ni setiap hari bank call minta semua bayaran tertunggak samapi aku jadi seorang yang paranoid dengan setiap panggilan telefon. Sekarang ni aku menunggu tindakan mahkamah untuk aku bankrupsi.. sebab aku betul2 tak mampu bayar dengan gaji sekecil ni.. baru sekarang aku tahu erti syukur dengan kehidupan yang lama, slah aku juga sebab buat dosa tak cerita perkara ni sebelum terjebak! Jadi adik2 siswazah semua janganlah terjebak dengan money game kelak diri sendiri yang merana, dah macam2 kerja aku buat cari duit extra dari kerja jaga anak orang sampailah ambil upah isi cecair dalam botol, 1 hari 200 – 300 botol dengan bayaran 20 sen 1 botol.. sekarang kereta aku tak mampu bayar tunggu hari kene tarik!

Kawan-kawan aku yang tak terkene money game happy jer hidup diorang, jadi adik2 kalau tak nak rasa azab bertahun- tahun susah janganlah buat sesuatu yang merosakkan masa depan!! kalau betul minat nak buat bisnes mulala dengan bisnes yang modalnya kecil.. insyallah selamat kehidupan adik dari berhutang azab seumur hidup!!! yang penting berhati-hatila dengan siapa yang adik kawan sebab tak semua ada niat yang baik nak berkawan dengan kita..

JAUHKAN DIRI DARI MLM,
sekian terima kasih,

siswazah Malang

– NHB "
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.