SLIDER

scammer
Showing posts with label scammer. Show all posts

Scammer Semakin Melampau, Kini Memperdaya Orang Ramai Dengan Pelaburan Secepat 3 Jam . Silalah Berhati-Hati

24 Mar 2022

 


LANGSUNG TIDAK MASUK AKAL apabila pelabur dijanjikan keuntungan 'luar biasa' 15 kali ganda hanya dalam tempoh masa tiga jam. Malah, sindiket sengaja membuat mangsa gelap mata apabila berkongsi beratus testimoni 'pelabur hantu' serta gambar timbunan wang dan emas setiap hari kononnya hasil pulangan keuntungan pelaburan dianjurkan.Itu antara taktik sindiket penipuan didalangi scammer Indonesia yang dikesan aktif memperdaya warga tempatan melalui aplikasi Telegram. 

Sindiket kononnya mengendalikan pelbagai platfrom pelaburan antarabangsa menggunakan pelbagai nama untuk menipu mangsa melalui kaedah 'pujuk dan labur'. Difahamkan sindiket berjaya memperdaya ribuan mangsa dengan menawarkan pelaburan tidak munasabah membabitkan keuntungan 15 kali ganda hanya dalam tempoh tiga hingga enam jam setiap hari.

Berdasarkan maklumat diperoleh, sindiket penipuan ini menawarkan keuntungan tidak munasabah membabitkan pelbagai pakej pelaburan menggunakan pelbagai nama antaranya XM Tarades Capital, XMo Malaysia Berjaya, Smart Account, komuniti XM, Globel Protrade, C Trading, Trading Sukses, O Forex dan pelbagai nama lain.Pakar perunding kewangan, Burhan Mohd Wahab, 45, yang mendedahkan perkara itu berkata, modus operandi penipuan pelaburan melalui telegram ini sudah berlegar lama di negara jiran sebelum mula merebak ke negara ini.

"Biasanya mangsa dimasukkan secara automatik ke dalam kumpulan Telegram yang kononnya menawarkan pelaburan keuntungan harian."Terdapat pelbagai pakej pelaburan ditawarkan sindiket bermula dengan pakej basic (asas) serendah RM500 membabitkan keuntungan sebanyak RM7,000 diikuti pelaburan RM1,000 dengan pulangan RM15,000 serta pelaburan RM1,500 dan dijanjikan keuntungan RM30,000."Pakej pelaburan silver (perak) pula membabitkan nilai pelaburan asas RM2,000 dan RM2,500 membabitkan keuntungan RM35,000 dan RM45,000," katanya.

Menurutnya, sindiket turut memperkenalkan pakej pelaburan gold (emas) membabitkan nilai pelaburan asas serendah RM3,000 dengan keuntungan lumayan mencecah RM55,000."Pakej pelaburan emas maksimum pula adalah RM10,000 dengan keuntungan menjangkau RM120,000. Memang jumlah tidak masuk akal kerana pelaburan ini didakwa pasti untung tanpa risiko kerugian.

"Penyangak saham tidak wujud ini cuma meyakinkan mangsa bahawa pelaburan dianjurkan itu dijamin selamat, patuh syariah, diuruskan secara profesional dan paling penting keuntungan dibayar dalam tempoh enam jam sahaja," katanya.Menurutnya, golongan 'buta saham' dan tiada pengetahuan berkaitan aktiviti pelaburan biasanya mangsa paling mudah ditipu sindiket ini."Saya pernah cuba dijerat sindiket ini, namun apabila mengajukan pelbagai pertanyaan berhubung ketulenan pelaburan itu, sindiket terus menendang keluar saya daripada kumpulan Telegram itu," katanya.

Sementara itu, seorang mangsa hanya mahu dikenali sebagai Hamdan, 47, mendakwa kerugian RM2,000 selepas membuat pelaburan melalui pakej silver.Menurutnya, dia termakan 'hasutan' untuk melabur selepas pengendali telegram itu turut menghantar gambar 'bukti' puluhan slip transaksi wang keuntungan harian kepada pelabur."Gambar slip bank tempatan itu turut disertakan dengan video testimoni beberapa individu yang meluahkan rasa syukur atas keuntungan diperoleh mereka.

"Malah, terdapat ramai ahli kumpulan di dalam telegram itu saling menghantar mesej memuji dan keyakinan atas keuntungan diperoleh.

"Bermula dari situ, saya termakan 'umpan' dipasang apabila bertindak menghantar butiran peribadi kepada individu dikenali sebagai Alex yang mendakwa menguruskan pelaburan harian itu," katanya.Menurutnya, dia kemudian diarahkan memilih pakej pelaburan diinginkan dan memindahkan sejumlah wang mahu dilaburkan ke akaun bank diberikan.

"Namun saya terkejut apabila tiba-tiba 'ditendang' keluar daripada kumpulan telegram berkenaan. Malah 'admin' yang menguruskan pelaburan itu tidak dapat dihubungi."Apabila difikirkan semula, saya yakin semua ahli kumpulan dalam telegram itu adalah penjenayah sama yang menyamar 'beratus' watak untuk menjerat mangsa," katanya.


SC terima 47 aduan skim pelaburan haram sejak Januari

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerima 47 aduan dan pertanyaan berhubung skim pelaburan haram yang dipromosikan melalui aplikasi Telegram sejak Januari lalu.SC dalam satu kenyataannya semalam memaklumkan sindiket penipuan itu menawarkan peluang pelaburan tidak wujud serta menjanjikan pulangan menarik dan bebas risiko dalam jangka masa singkat.

"Skim ini biasanya menawarkan pulangan yang tidak realistik sehingga 1,000 peratus dalam masa 24 jam atau beberapa jam."Sindiket ini menggunakan pelbagai nama untuk menjalankan aktiviti penipuan pelaburan," katanya.Menurutnya, sindiket itu juga boleh menyamar atau mengklon perantara pasaran modal berlesen menggunakan nama, logo, kelayakan, laman web dan butiran lain daripada entiti yang sah bagi mempromosikan skim haram itu.

"Mereka juga mewujudkan kumpulan awam di Telegram bagi mempromosikan pakej pelaburan yang kebiasaannya disertakan dengan testimoni palsu dan juga diiklankan sebagai patuh syariah."Pelabur yang berminat akan diminta untuk menghantar mesej terus kepada wakil untuk memulakan pelaburan dalam pelbagai pakej ditawarkan," katanya.

Katanya, pelabur juga sering diarahkan mendepositkan wang ke dalam akaun bank peribadi individu yang mendakwa mewakili entiti sah atau ke dalam akaun korporat tidak berkaitan."Bagi mendapatkan kepercayaan dan menarik mangsa untuk tidak curiga, pelaku akan mendakwa bahawa entiti mereka atau skim pelaburan terbabit sudah diluluskan oleh pihak berkuasa kewangan.

"Justeru, SC mengingatkan pelabur supaya sentiasa berhati-hati dalam menilai peluang pelaburan terutama yang menjanjikan pulangan tinggi tidak realistik dengan risiko sedikit atau tiada," katanya.Kenyataan itu turut memaklumkan pelabur tidak seharusnya memindahkan wang ke dalam akaun bank peribadi seseorang jika diarahkan.

"Orang ramai dinasihatkan merujuk kepada Senarai Peringatan Pelabur SC sebelum melabur. Senarai itu mengandungi butiran laman sesawang, produk pelaburan, syarikat dan individu beroperasi tanpa kebenaran," katanya.


Kredit : Harian Metro


Berhati-hati Dengan Scammer Piramid Skim Cepat Kaya

17 Dec 2021

 


SEBUAH kereta sports Nissan Fairlady berhenti di hadapan restoran. Ia tidak diletak di dalam petak tetapi melintang. Bukannya tidak ada kosong, cuma ia sengaja dipamerkan sedemikian rupa. Keluar dua lelaki berusia awal 20-an. Berpakaian kemeja dan seluar hitam dengan tali leher berwarna kuning. Butang lengan dikancing rapi. Janggal sedikit kerana waktu sudah 1 pagi. Kau tidak mahukah kereta sports macam itu? Duit banyak, perempuan pun ramai hendak jadi teman, kata seorang tukang rekrut di meja sebelah kepada dua pemuda dalam suara yang lantang, tanpa mempedulikan penulis dan rakan-rakannya yang turut sama terkesima melihat aksi gaya, mutu dan keunggulan dua model tersebut. 

Mereka itu pemilik kereta atau car-jockey?,kata seorang teman dalam suara perlahan tetapi sudah cukup mencetuskan ketawa di meja kami. Itulah malam bersejarah, rupa-rupanya. Satu acara merekrut besar-besaran untuk satu skim jualan langsung (MLM) sedang berlangsung di sebuah restoran di Shah Alam dan menjadi lebih dramatik dengan aksi pemilik Nissan Fairlady itu. Ia mungkin satu lakonan, mungkin juga benar kereta itu dimiliki dengan sah oleh model MLM berkenaan. 

Mereka ini telah menjadikan restoran itu sebagai pusat merekrut. Calon-calon rekrut disuruh datang ke situ atau dibawa ke situ. Yang sudah menjadi ahli, hadir dalam pakaian serba hitam. Yang belum jadi ahli, kelihatan tekun (atau khayal) mendengar kempen dan propaganda. Ahli-ahli baju hitam ini bersalam pun ala-Hip Hop. Tangan digenggam dan badan dipeluk. Mereka jelas terhutang budi antara satu sama lain, mungkin saling memakmurkan diri masing-masing. Rata-rata mereka ini muda-muda belaka.

Beberapa bulan kemudiannya, kumpulan ini dibongkar oleh pihak berkuasa sebagai skim MLM piramid atau skim cepat kaya. Restoran tersebut kini kembali lengang walaupun beberapa watak dulu dilihat masih minum di situ, tetapi tidak lagi berpakaian serba hitam. Anda mungkin pernah dipelawa menyertai skim MLM seumpamanya. Seorang teman mengaku pernah menyertai hingga tiga skim MLM. 

Tiga-tiga wang mukanya hangus. Sampai tiga baru hendak insaf? Ada pula seorang kenalan kini renggang dengan temannya, gara-gara hangus beratus ribu dalam skim cepat kaya seumpamanya. Penulis sendiri pernah dipelawa, malah diperdaya kononnya untuk mengadakan temuramah. Rupa-rupanya kena duduk dengar ceramah MLM. Tidak mengapa, orang itu sendiri sedar kesilapannya dan tidak lagi berani tunjuk muka.

Oleh kerana pengalaman sebegini, perniagaan MLM lebih banyak mendatangkan persepsi negatif pada kebanyakan kita. Namun, kita harus terbuka minda yakni memang wujud syarikat MLM yang sahih dan fokus terhadap penjualan produk atau perkhidmatan, malah memiliki banyak produk serta sering dipertingkatkan menerusi inovasi atau penyelidikan dan pembangunan (R&D). 

Industri MLM ini turut diiktiraf oleh kerajaan sebagai antara penyumbang kepada ekonomi negara. Jumlah dagangan dalam MLM dijangka mencecah RM10 bilion pada penghujung Rancangan Malaysia Ke-10, setelah tahun lalu mencatat RM5 bilion. 

MLM yang tidak baik ialah yang memfokuskan semata-mata kepada pelantikan ahli baru yang diistilahkan sebagai downline. Calon-calon dijanjikan dengan pelbagai tahap komisen lumayan jika dapat melantik tiga orang, kemudian bantu tiga orang itu untuk dapatkan tiga orang lain dengan anda di atas. Produk? Tidak mengapa. Itu soal kedua. Lagi pun, siapalah berminat hendak menjual produk seperti kopi 50 dalam satuminyak lintah penambah nikmat dan lain-lain, yang kelakar bunyinya dan mendatangkan rasa segan pula hendak menjualnya.

Mengawal selia

Dalam konteks ini, kerajaan dilihat proaktif dalam mengawal selia industri yang popular ini daripada terus menerus disalah guna menjadi skim piramid cepat kaya. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bakal membentangkan pindaan Akta Jualan Langsung 1993 pada sidang Parlimen sekarang. Harap sempat dan tidak dihambat dek isu politik yang hanya menguntungkan individu tertentu, bukan rakyat jelata. 

Fenomena MLM piramid cepat kaya ini bukan eksklusif di Malaysia semata-mata. Ia bukan dicipta oleh Pak Man Telo, walaupun namanya akan selama-lamanya dikaitkan dengan skim itu. Sebaliknya ia adalah fenomena global. Malah di Amerika Syarikat, skim piramid diistilahkan oleh Suruhanjaya Sekuriti & Bursa (SEC) sebagai skim Ponzi.

Skim Ponzi diambil dari nama Charles Ponzi yang menipu ribuan penduduk New England supaya melabur dalam skim spekulasi setem pos pada 1920-an. Ketika itu, kadar faedah tahunan bank adalah sebanyak 5 peratus. Ponzi menjanjikan para pelabur bahawa dia boleh menyediakan pulangan sebanyak 50 peratus dalam tempoh hanya 90 hari. Pada awalnya, Ponzi membeli kupon pos antarabangsa bagi mengabui mata orang ramai untuk mempercayai skimnya itu. Dengan dana baru diperolehi dari pelabur baru, ia digunakan bagi membayar pelabur awalnya. 

Ponzi menerima publisiti tambahan bila berita keuntungan itu tersebar. Pelabur pertama tadi menggandakan pelaburannya. Kesudahannya sama seperti kes Pak Man Telo. Tidaklah diketahui jika Pak Man Telo ada mengkaji formula Ponzi berkenaan semasa hayatnya.

Namun apa yang nyata, walaupun kes itu sudah berlaku 80 tahun dulu (30 tahun di Malaysia), masih ramai yang terpedaya. Semuanya gara-gara mahu cari jalan pintas ke arah kesenangan dan kekayaaan. Duit banyak tetapi dungu. Mana ada perniagaan di dunia ini yang menjamin pulangan luar biasa sebegitu besar dalam tempoh singkat. (Jual dadah atau perempuan bukan perdagangan sah atau halal. Kedunguan orang mahu kaya cepat dengan cara singkat itu pun bukan eksklusif di Malaysia. Di AS pada tahun lalu, SEC memfailkan 60 tindakan perundangan membabitkan skim Ponzi atau yang berbentuk pembayaran Ponzi, termasuk mendakwa Robert Allen Stanford yang dituduh mengendalikan skim Ponzi bernilai AS$8 bilion serta Bernard L. Madoff yang kini menjalani hukuman penjara 150 tahun setelah didapati bersalah atas tuduhan yang serupa.

Skim piramid cepat kaya ini ada pelbagai. Sang penipu akan terus mengambil kesempatan atas kedunguan dan ketamakan orang dengan mencipta pelbagai nama baru serta atas bermacam platform perniagaan, seperti MLM ini. Jika anda ditawarkan skim MLM, siasatlah dulu dengan pihak berkuasa mengenai kesahihannya. Paling mudah ialah dengan menolak selamba bila tukang rekrut menekankan soal downline berbanding jualan produk atau muncul kereta sports diletak melintang di hadapan anda.

Kredit : UtusanMalaysia

SCAM !! Menyamar Sebagai Mahkamah Dan Polis Dengan Niat Menipu Untuk Mendapatkan Wang Orang Ramai

14 Aug 2017


Susulan kes report polis haritu ramai sangat wasap tanya kenapa...Ok harini nak cerita penuh ye supaya xde org lain terkena..

TOLONG VIRALKAN!!

HARAP SANGAT TAK ADA SAUDARA MARA KITA YANG TERKENA!!

Ceritanya 2 hari lepas dalam pkul 11 pagi cmtu tengah feeling2 tidurkan Hamka,dapat 1 panggilan dari 07-2212022 & diberitahu dari Mahkamah Tinggi Johor Bharu namanya MOHD SYAFIQ BIN MUSA selaku Admin mahkamah katanya.Dia tanya kenapa saya x datang mahkamah untuk bicara harini...Dah 2 kali surat mahkamah hantar kerumah tp x hadir. Tengah atas katil kot cakap pasal bicara..Mau x terperanjat mak..😱


Katanya sebab kes hutang kredit card Public Bank berjumlah Rm32,800..OMG😱 ...Memang x pernah terfikir langsung lah nk bukak kredit card sejak dari baby lagi...& memang 100% saya nafikan lah...Tambahan lagi bukak kat JB..Rasanya last dulu 3 tahun lepas ada lah pergi JB tu pon trip kolej ke Singapore...Takde pulak nyempat nk ke bank bagai.Pastu dia syak ada pihak pihak ketiga yang dah gunakan maklumat peribadi saya.

Diberitahu lagi kalau kes ni x selesai secepat mungkin saya boleh terima waran tangkap & boleh dpenjara 5 tahun.Nak x nk dia suruh saya pergi report di IPK JB harini juga. Sekarang ada kat Selangor memang tak boleh nak kesana lah..Nak cek kat Public Bank pon x boleh sebab harini Ahad bank sini cuti..Dan lg 1 option dia suruh sy bercakap dengan polis di IPK JB minta diorang faxkan keterangan ke mahkamah sekarang juga...

Terus panggilan tu disambungkan ke IPK JB.. Pelik jugak boleh ke dari Mahkamah sambung ke IPK ..Dia ckp dia ada kuasa untuk sambungkan kesana..Ok Baiklah... 

Lepas tu ada seorang lelaki jawab telefon & mendakwa dia Sarjan Chia no badan (RN14136).Dia minta sy beri keterangan tanpa ada sebarang selindung . Saya pon terangkan semua kat Sarjan tu apa yang admin mahkamah tu beritahu tadi.Dia pon semak akaun saya & mengesahkan memang ada pihak ketiga yg pakai maklumat peribadi saya..

Dan lebih terperanjat lagi dia kata saya ada jual debit card saya pada 1 orang lelaki Cina & dah terima habuan sebanyak 10% iaitu RM228.000.Dan sarjan tu cakap dalam akaun saya sekarang ada RM2.28juta dalam masa 2 bulan & dakwa ada berkomplot dalam sindiket dadah & sindiket kongsi gelap. 😱😱

Sarjan tu pesan lagi jangan bocorkan apa2 maklumat pd sesiapa semasa siasatan dijalankan termasuk keluarga,kawan,adik beradik @ sesiapapon sebb boleh disabitkan bawah seksyen 8 1972 akta rasmi.Dia pesan lagi tolong bagi kerjasama untuk cari bukti lebih dalam lagi... & dia tanya ada tak pakai apa2 bank lain & beritahu dengan jujur..Baru nak jawab "ada"suami terus rampas telefon dan secara merta mertanya panggilan dari sana terus diletakkan..Tuttttttttt.....

Bermakna terbongkarlah disitu dari mahkamah lah,sarjan lah,IPK lah,semua cubaan nak mencuri duit dalam bank den...HAMPEH!! Teknik scammer terbaru. 

Jangan tanya kenapa saya layan & kenapa saya percaya sebb kata2 diorang buatkan kita akan percaya..Korang tak kena lagi jadi sentiasa beringat.Tambah lagi mmg tak dinafikan saya memang mudah percaya cakap orang a.k.a lurus..Dah jangan ditanya lagi.

Suami pon dah telefon no yang diorang buat panggilan tu,& memang betul tu no fon mahkamah tinggi Johor.Diorang pon cakap dalam 2 minggu ni ramai yang report kes yang sama jalan cerita yang sama cuma amount nya berbeza.Scammer curi line mahkamah.

Dan report polis dah dibuat,polis pon dakwa bukan perempuan je yang kena ,lelaki sado,driver lori,ejen hartanah,tauke kedai pon dah terkena sampai semua duit dalam bank 0..No tel Bukit Aman pon dah diorang berjaya curi.Ayat2 diorang mmg power & lakonan menjadi. (Padahal no badan polis,segala akta2 tu habis diklentongnya.)

Harap tak ada sapa lagi yang jadi mangsa.
Sentiasa hati2 dengan manusia tamak nak cari duit cepat ni.Yang wanita bekerjaya tu ckp je surirumahtangga jgn dedahkan maklumat peribadi pada org yg kol kita x kenal..Tambahan dia dah ada alamat lengkap kita semua...Pesan juga pada mak ayah kita kat kampung jangan nnti duit tabung haji pon dikautnya...

Boleh tgok video bawah ni antara perbualan saya dengan sarjan pembongak ni.

Mungkin tektik lain @ jalan cerita lain lepasni,please be aware..






Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.