SLIDER

kumpulan
Showing posts with label kumpulan. Show all posts

Baik Dan Buruk WhatsApp: 7 Jenis Group WhatsApp Paling Lazim

13 Feb 2023



Di zaman teknologi maklumat ini, kebolehan untuk berkomunikasi dengan pantas dan mudah memang sudah menjadi satu keperluan. Satu aplikasi popular di kalangan pengguna adalah WhatsApp, yang dimiliki oleh Facebook sejak awal 2014. Dianggarkan 1 bilion orang menggunakan aplikasi ini, menjadikannya aplikasi pesanan ringkas paling popular di dunia. Lebih 30 bilion mesej WhatsApp dihantar setiap hari. Pentingnya WhatsApp dalam kehidupan seharian boleh dinilai dari reaksi pengguna apabila operasi aplikasi ini terganggu, walaupun untuk seketika.

Selain daripada komunikasi antara individu, satu kegunaan WhatsApp adalah membentuk kumpulan yang membolehkan kita boleh berbual-bual dengan ramai orang pada waktu yang sama. Memang tidak dinafikan, jika digunakan tanpa sebarang pengawasan, WhatsApp boleh mendatangkan impak yang negatif. Banyak group WhatsApp yang kita ‘mute’ kerana hari-hari membincangkan perkara yang tidak berfaedah, malahan dijadikan ruang untuk menyebarkan fitnah. Namun begitu, kita harus meneliti konteks yang lebih besar di mana WhatsApp ternyata memudahkan hidup kita.
Perniagaan melalui WhatsApp mahupun penyebaran maklumat penting dalam kelompok besar antara contoh terbaik mengapa aplikasi ini begitu popular. Untuk membantu kita menilai kebaikan dan keburukan Whatsapp dari aspek kehidupan seharian, mari kita lihat 7 'group' WhatsApp yang paling lazim.



1) Group Bekas Rakan Sekolah

Pada asalnya group ini diwujudkan atas dasar nostalgia, di mana kita boleh kembali bertemu dengan rakan di sekolah dahulu seperti majlis ’reunion‘.
Di majlis tersebut, topik perbualan yang popular adalah “Kerja di mana?“, “Dah kahwin ke?” mahupun “Eh dah kurus ya awak”. Group ini berbual dengan topik yang serupa setiap hari kerana ada ramai ahli maka kita kena tahu semua pekerjaan mereka.

Apabila dah tahu status perkahwinan semua orang, group ini mula hilang arah. Ahli-ahli mula berkongsi jenaka-jenaka yang diambil daripada Facebook ataupun Twitter.

Kadang-kadang bila isteri kita ternampak gambar gadis yang mendedahkan aurat berat di telefon kita, kita tahu group inilah yang harus dipersalahkan.



2) Group Taska

Selepas kita menghantar anak ke taska mahupun tadika, selalunya kita akan dimasukkan ke dalam satu group bersama ibu bapa yang lain.

Di sini kita boleh melihat guru tadika menghantar gambar aktiviti harian anak-anak sebelum ibu bapa memberi komen-komen bangga terhadap anak mereka.

Selebihnya, group ini dijadikan medium pesanan kepada guru agar tidak lupa beri anak sedut Ventolin, memulangkan botol susu yang tertukar, mahupun memberitahu kita ambil anak lambat sebab jalan sesak.



3) Group Jiran Tetangga

Dulu-dulu terbau aroma nasi goreng yang dimasak jiran boleh terus datang bawa pinggan sambil menyanyi keriangan macam iklan Adabi, tetapi generasi muda-mudi mungkin  perlu pendekatan berbeza dalam membentuk komuniti kejiranan yang sihat.

Group WhatsApp Jiran Tetangga ini memang bermanfaat kerana dapat melangkaui jurang usia dan status sesama jiran.

Antara perkara yang sering dibincangkan di sini adalah berkenaan yuran pengawal keselamatan, jemputan ke kenduri khatan anak, mahupun bagaimana mengatasi masalah denggi yang semakin meruncing di kawasan perumahan.



4) Group Perniagaan

Group Perniagaan ini sebenarnya ada banyak nama, ada juga yang panggil group #2Kerja.

Namun begitu saya ingin fokus kepada salah satu cabang ‘perniagaan‘ iaitu MLM. Kadang-kadang rakan sekolah yang kita jarang bertegur sapa tiba-tiba memberi salam dan menambah kita dalam group ini.

Kadang-kadang kita nak terus keluar group tetapi tak sampai hati kerana nak jaga hati kawan.

Bagi mereka yang membuat keputusan untuk terus kekal di dalam group ini, rakan kita tadi yang selama ini pendiam akan memberi kata-kata semangat seperti "Sampai bila nak makan gaji?" dan "Taknak hantar mak pergi haji?" agar kita terus berusaha mencari mangsa, maksud saya pelabur lain.



5) Group Saudara Mara

Ini adalah group yang anda tidak boleh keluar sesuka hati, kerana apabila anda balik kampung ketika hari raya nanti, pasti Mak Ngah anda akan mengungkit "Amir Rashidi, kenapa kau keluar daripada group? Kau dah tak sayang Mak Ngah ya?".

Group ini pasti ada ramai ahli kerana semua orang, dari sekecil-kecil sepupu baru darjah satu, hinggalah ke nenek saudara yang sudah veteran, semuanya memiliki telefon pintar.

Perbualan selalunya berkisar tentang perbandingan keputusan peperiksaan, dapat masuk sekolah asrama ataupun tidak, mahupun perkongsian resepi  Ayam Masak Lemak.



6) Group Tazkirah

Semasa di zaman universiti dahulu, apabila ada geng tabligh yang mengetuk pintu, kita dengan berat hati akan memakai seluar panjang dan dengan tabah mendengar ilmu agama yang disampaikan mereka.

Samalah macam group tazkirah, kalau ada orang dah masukkan anda, memang rasa berdosa untuk keluar daripada group.

Maka setiap kali ada orang berkongsi ilmu tajwid ataupun menyuruh anda boikot barangan Yahudi, anda hanya membalas dengan emoji ibu jari sebanyak tiga kali.

Sesekali kakak atau abang tazkirah senior akan berkongsi klip video nasyid ’Kasih Kekasih‘ yang memberi mesej bercinta selepas kahwin.



7) Group Majikan

Group ini selalunya dicipta oleh bos sebagai tempat untuk menyampaikan amanat pengurusan kepada anak buah mereka.

Ahli-ahli di dalam group ini mengamalkan gaya percakapan yang profesional dengan gaya tatabahasa yang betul kerana tidak mahu mengguris hati majikan, sekaligus mempengaruhi KPI mereka.

Namun begitu pasti wujud satu kumpulan berhaluan kiri yang terdiri daripada ahli-ahli Group Majikan, tidak termasuk bos itu sendiri kerana ingin mengumpat dan menyatakan ketidakpuasan hati terhadap pihak pengurusan.



Adakah anda merupakan ahli group WhatsApp yang disebut di atas?

Ataupun anda lebih rindukan zaman sebelum WhatsApp di mana semua orang duduk bersemuka, bebas daripada kekangan telefon pintar untuk membincangkan isu semasa?




*  Faizal Rosly adalah seorang pemerhati media sosial dan juga peminat tegar Liverpool FC. Tweet @ijaicool atau ikuti blog beliau.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

Oleh : Faizal Rosly
Kredit : AstroAwani

Scammer Semakin Melampau, Kini Memperdaya Orang Ramai Dengan Pelaburan Secepat 3 Jam . Silalah Berhati-Hati

24 Mar 2022

 


LANGSUNG TIDAK MASUK AKAL apabila pelabur dijanjikan keuntungan 'luar biasa' 15 kali ganda hanya dalam tempoh masa tiga jam. Malah, sindiket sengaja membuat mangsa gelap mata apabila berkongsi beratus testimoni 'pelabur hantu' serta gambar timbunan wang dan emas setiap hari kononnya hasil pulangan keuntungan pelaburan dianjurkan.Itu antara taktik sindiket penipuan didalangi scammer Indonesia yang dikesan aktif memperdaya warga tempatan melalui aplikasi Telegram. 

Sindiket kononnya mengendalikan pelbagai platfrom pelaburan antarabangsa menggunakan pelbagai nama untuk menipu mangsa melalui kaedah 'pujuk dan labur'. Difahamkan sindiket berjaya memperdaya ribuan mangsa dengan menawarkan pelaburan tidak munasabah membabitkan keuntungan 15 kali ganda hanya dalam tempoh tiga hingga enam jam setiap hari.

Berdasarkan maklumat diperoleh, sindiket penipuan ini menawarkan keuntungan tidak munasabah membabitkan pelbagai pakej pelaburan menggunakan pelbagai nama antaranya XM Tarades Capital, XMo Malaysia Berjaya, Smart Account, komuniti XM, Globel Protrade, C Trading, Trading Sukses, O Forex dan pelbagai nama lain.Pakar perunding kewangan, Burhan Mohd Wahab, 45, yang mendedahkan perkara itu berkata, modus operandi penipuan pelaburan melalui telegram ini sudah berlegar lama di negara jiran sebelum mula merebak ke negara ini.

"Biasanya mangsa dimasukkan secara automatik ke dalam kumpulan Telegram yang kononnya menawarkan pelaburan keuntungan harian."Terdapat pelbagai pakej pelaburan ditawarkan sindiket bermula dengan pakej basic (asas) serendah RM500 membabitkan keuntungan sebanyak RM7,000 diikuti pelaburan RM1,000 dengan pulangan RM15,000 serta pelaburan RM1,500 dan dijanjikan keuntungan RM30,000."Pakej pelaburan silver (perak) pula membabitkan nilai pelaburan asas RM2,000 dan RM2,500 membabitkan keuntungan RM35,000 dan RM45,000," katanya.

Menurutnya, sindiket turut memperkenalkan pakej pelaburan gold (emas) membabitkan nilai pelaburan asas serendah RM3,000 dengan keuntungan lumayan mencecah RM55,000."Pakej pelaburan emas maksimum pula adalah RM10,000 dengan keuntungan menjangkau RM120,000. Memang jumlah tidak masuk akal kerana pelaburan ini didakwa pasti untung tanpa risiko kerugian.

"Penyangak saham tidak wujud ini cuma meyakinkan mangsa bahawa pelaburan dianjurkan itu dijamin selamat, patuh syariah, diuruskan secara profesional dan paling penting keuntungan dibayar dalam tempoh enam jam sahaja," katanya.Menurutnya, golongan 'buta saham' dan tiada pengetahuan berkaitan aktiviti pelaburan biasanya mangsa paling mudah ditipu sindiket ini."Saya pernah cuba dijerat sindiket ini, namun apabila mengajukan pelbagai pertanyaan berhubung ketulenan pelaburan itu, sindiket terus menendang keluar saya daripada kumpulan Telegram itu," katanya.

Sementara itu, seorang mangsa hanya mahu dikenali sebagai Hamdan, 47, mendakwa kerugian RM2,000 selepas membuat pelaburan melalui pakej silver.Menurutnya, dia termakan 'hasutan' untuk melabur selepas pengendali telegram itu turut menghantar gambar 'bukti' puluhan slip transaksi wang keuntungan harian kepada pelabur."Gambar slip bank tempatan itu turut disertakan dengan video testimoni beberapa individu yang meluahkan rasa syukur atas keuntungan diperoleh mereka.

"Malah, terdapat ramai ahli kumpulan di dalam telegram itu saling menghantar mesej memuji dan keyakinan atas keuntungan diperoleh.

"Bermula dari situ, saya termakan 'umpan' dipasang apabila bertindak menghantar butiran peribadi kepada individu dikenali sebagai Alex yang mendakwa menguruskan pelaburan harian itu," katanya.Menurutnya, dia kemudian diarahkan memilih pakej pelaburan diinginkan dan memindahkan sejumlah wang mahu dilaburkan ke akaun bank diberikan.

"Namun saya terkejut apabila tiba-tiba 'ditendang' keluar daripada kumpulan telegram berkenaan. Malah 'admin' yang menguruskan pelaburan itu tidak dapat dihubungi."Apabila difikirkan semula, saya yakin semua ahli kumpulan dalam telegram itu adalah penjenayah sama yang menyamar 'beratus' watak untuk menjerat mangsa," katanya.


SC terima 47 aduan skim pelaburan haram sejak Januari

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerima 47 aduan dan pertanyaan berhubung skim pelaburan haram yang dipromosikan melalui aplikasi Telegram sejak Januari lalu.SC dalam satu kenyataannya semalam memaklumkan sindiket penipuan itu menawarkan peluang pelaburan tidak wujud serta menjanjikan pulangan menarik dan bebas risiko dalam jangka masa singkat.

"Skim ini biasanya menawarkan pulangan yang tidak realistik sehingga 1,000 peratus dalam masa 24 jam atau beberapa jam."Sindiket ini menggunakan pelbagai nama untuk menjalankan aktiviti penipuan pelaburan," katanya.Menurutnya, sindiket itu juga boleh menyamar atau mengklon perantara pasaran modal berlesen menggunakan nama, logo, kelayakan, laman web dan butiran lain daripada entiti yang sah bagi mempromosikan skim haram itu.

"Mereka juga mewujudkan kumpulan awam di Telegram bagi mempromosikan pakej pelaburan yang kebiasaannya disertakan dengan testimoni palsu dan juga diiklankan sebagai patuh syariah."Pelabur yang berminat akan diminta untuk menghantar mesej terus kepada wakil untuk memulakan pelaburan dalam pelbagai pakej ditawarkan," katanya.

Katanya, pelabur juga sering diarahkan mendepositkan wang ke dalam akaun bank peribadi individu yang mendakwa mewakili entiti sah atau ke dalam akaun korporat tidak berkaitan."Bagi mendapatkan kepercayaan dan menarik mangsa untuk tidak curiga, pelaku akan mendakwa bahawa entiti mereka atau skim pelaburan terbabit sudah diluluskan oleh pihak berkuasa kewangan.

"Justeru, SC mengingatkan pelabur supaya sentiasa berhati-hati dalam menilai peluang pelaburan terutama yang menjanjikan pulangan tinggi tidak realistik dengan risiko sedikit atau tiada," katanya.Kenyataan itu turut memaklumkan pelabur tidak seharusnya memindahkan wang ke dalam akaun bank peribadi seseorang jika diarahkan.

"Orang ramai dinasihatkan merujuk kepada Senarai Peringatan Pelabur SC sebelum melabur. Senarai itu mengandungi butiran laman sesawang, produk pelaburan, syarikat dan individu beroperasi tanpa kebenaran," katanya.


Kredit : Harian Metro


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.