SLIDER

hukuman
Showing posts with label hukuman. Show all posts

Hukum Nikah Wanita Hamil Anak Luar Nikah. Ustaz Zaharuddin Merungkai Persoalan

5 Mar 2022





Soalan: 
Sesungguhnya permasalahan ini amat berat. Perkahwinan seumpama ini pada hari ini sememangnya amat biasa kerana keluarga biasanya memilih jalan ini untuk menutup malu. Bila dapat tahu anak mengandung anak luar nikah, cepat-cepat dikahwinkan. Berdasarkan kenyataan ini , perkahwinan ini adalah tidak sah! Maka pasangan tersebut akan hidup dalam zina sepanjang hayat. Mohon ustaz huraikan jawapan tuan imam dan tulisan ini.
 

 
Jawapan UZAR
Telah agak lama saya terima soalan sebegini dan agak kerap juga. Jika ia hanya sekadar soalan ilmu yang bersifat amat jarang berlaku, ia tidaklah mengapa tetapi yang amat saya bimbangi adalah berdasarkan kekerapan soalan ini diajukan menimbulkan andaian bahawa kes begini sering berlaku dalam masyarakat kita. 

Ini bermakna, agak ramai wanita dan lelaki yang telah terlanjur sebegini dan kemudian baru terfikir hukum bagi menyelesaikannya.Sebagai manusia biasa, saya agak geram bila diajukan soalan ini. Hinggakan agak kerap juga saya menjawab dengan mudah iaitu."Hukumnya sememangnya menyukarkan, jadinya lain kali jangan berzina" demikian jawapan semasa geram saya. 

"Ini kerana jika sememangnya tiada "manual panduan yang normal" hukum yang mudah bagi menjawab keadaan sedemikian, sama seperti seorang yang datang mengadu kepada seorang mekanik kereta  apabila kerosakan enjin keretanya" . Setelah diselidiki , didapati enjin rosak dengan amat fatal, apabila ditanya apa sebab enjinnya seteruk ini rosaknya, maka si  empunya kereta memberitahu :- 
"Kerana saya letak minyak tar dalam tangki petrol" 

Saya kira sudah tentu mekanik itu juga merasa ‘bengang' dengan perangai ‘kurang cerdik' tuan punya kereta. Kemudian apabila diberitahu kos untuk membaiki enjin itu adalah mahal dan sukar,tuan punya kereta mulalah membebel dan marah-marah serta menuntut kos pembaikan yang mudah dan murah."mana boleh murah dan senang kalau gini, dah hang yang teruk sangat jaga dan guna kereta. Kalau nak murah..LAIN KALI JANGANLAH MASUKKAN MINYAK TAR DALAM TANGKI PETROL NI OK !" kata mekanik meradang apabila diminta membaiki kerosakan berat itu dengan kos murah.  

Inilah seolah-olahnya radangan saya juga di peringkat awal dulu. Dah berzina hingga mengandung, barulah sibuk ingin memikirkan hukum halal haram dan kesannya. Maka sudah tentu penyelesaiannya juga agak sukar sebenarnya.

Bagaimanapun, bagi memberikan penghargaan kepada pasangan yang telah bertawbat, maka inilah jawapannya:-  

Apabila seorang lelaki dan wanita itu telah bertawbat dengan tawbat yang benar, dan berkahwin semasa si wanita itu sedang mengandungkan anaknya secara pasti. Perkahwinan itu adalah sah menurut Mazhab Syafie dan perlulah didaftarkan sebaiknya.Mazhab Hanbali menjadikan tawbat sebagai syarat untuk diterima pernikahan tersebut. Ia berdasarkan tafsiran mereka dari surah an-Nur ayat ke 3. Bagaimanapun majority ulama tidak menjadikan tawbat sebagai syarat sah pernikahan penzina tersebut.  

HUKUM KAHWIN SEMASA ‘IDDAH DAN HAMIL
Adapun berkenaan hal ‘iddah' dan bolehkah berkahwin semasa tempoh ‘iddah. Hukum asal bagi perkahwinan dan perceraian normal, adalah diwajibkan menunggu tamatnya ‘iddah wanita sebelum diizinkan untuk berkahwin baru.( Al-Ikthiyar li Ta'lil al-Mukhtar, 3/78).  

a) Tempoh Iddah Wanita Dicerai Dalam Keadaan Suami Masih Hidup
Tempoh iddah bagi wanita yang diceraikan (jika tidak mengandung) adalah tiga kali suci berdasarkan firman Allah SWT :-
Ertinya : "Dan wanita-wanita yang tercerai ( iddahnya ) adalah tiga kali suci " ( al-baqarah : 228 )   



b) Tempoh Iddah Wanita Mengandung
Tempoh ‘iddah bagi wanita mengandung, adalah sehingga ia selesai bersalin. Ia berdasarkan firman Allah SWT :-
وأولات الأحمال أجلهنّ أن يضعن حملهنّ
Ertinya : " Wanita-wanita yang hamil tempoh iddahnya adalah sehingga melahirkan kandungannya" ( At-Talaq : 3)
 

c) Tempoh Iddah Wanita Yang Bercerai Kerana Suami Mati

Tempohnya adalah 4 bulan sepuluh hari, jika tidak mengandung. Ia berdasarkan firman Allah :-
والذين يتوفون منكم ويذرون أزواجاً يتربصن بأنفسهنّ أربعة أشهر وعشراً
Ertinya : Dan bagi mereka yang meninggal dari kalangan kamu dan meninggalkan pasangan (isteri-isteri) hendaklah menunggu (tempoh iddah) nya 4 bulan sepuluh hari" ( Al-Baqarah : 234 ) 

Ulama telah bersepakat bahawa perkahwinan semasa iddah adalah dilarang dalam Islam ( Nizam al-Usrah Fil Islam, Dr Md Uqlah, 1/ 287), Ia berdasarkan firman Allah :
ولا تعزموا عقدة النكاح حتى يبلغ الكتاب أجله
Ertinya : "Dan jangan kamu melangsungkan aqad nikah sehinggalah sampai tempoh yang ditetapkan al-Kitab ( tempoh iddah) " (Al-Baqarah : 235 )


Bukan saja nikah, malah meminang seorang wanita semasa dalam tempoh ‘iddahnya juga adalah haram. Jika meminang pun tidak dibenarkan semasa iddah apatah lagi bernikah, sudah tentu lebih besar larangannya. Ia berdasarkan firman Allah.  

Demikian tadi hukum yang standard bagi seluruh umat Islam. Secara mudahnya, inilah hukum normal bagi keadaan normal. Sebagaimana manual dan panduan bagi sesebuah kereta yang rosak normal. Dengan mudah boleh dijumpai penyelesaiannya oleh si mekanik.  

Kes Zina Bermasalah
Bagaimanapun dalam kes ‘iddah bagi individu yang ‘termengandung' akibat zina dan hukum si wanita ini berkahwin dengan lelaki samaada pasangan zinanya atau lelaki lain bagi menutup malunya dengan segera atau apa jua sebab lain. 

Ulama berbeza pandangan dalam hal ini. 
Mazhab Maliki, Syafie dan At-Thawry berpendapat bahawa tiada hukum ‘IDDAH bagi wanita berzina. Menurut aliran mazhab ini, perbuatan berdosa dan haram seperti zina tidak akan diiktiraf, Hasilnya, tiada hukum boleh terbina di atas sesuatu yang tidak sah seperti zina. ( Rawdah at-Tolibin, 7/113 ; Bidayatul Mujtahid, ibn Rusyd, 2/21) 

Pandangan ini juga diriwayatkan telah dipegang sebelumnya oleh beberapa sahabat Nabi yang utama seperti Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a , Umar Al-Khattab r.a dan Ali Bin Abi Talib r.a.  

Ia berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a :
Ertinya : "..penzina (muhsan) tidak lagi layak kepada sesuatu kecuali rejaman batu sehingga mati"
Dan juga sebuah lagi dalil iaitu :
لا يحرم الحرام الحلال , إنما يحرم ما كان من نكاح

Ertinya  : Sesungguhnya perbuatan yang haram tidak akan mengharamkan yang halal ( iaitu perhubungan hasil zina tidak akan membawa sebarang kesan kepada hubungan semendaan) , sesungguhnya hanya akan menjadi haram kerana persemendaan jika dari nikah yang sah" ( Riwayat Ibn Majah, Al-Bayhaqi : As-Sayuti : Dhoif) 
 
Hasil dari dalil-dalil itu, jelas bahawa zina yang haram tidak membawa sebarang hukum ‘iddah, hanya nikah yang sah terdapat ‘iddah. Justeru, perkahwinan penzina wanita yang sedang mengandung itu dengan pasangannya adalah sah menurut mazhab ini dan juga disepakati oleh Imam Abu Hanifah. 

Lagi Displin Khas
Bagaimanapun, jika wanita penzina melakukan zina dengan ramai lelaki sehingga ia tidak pasti yang berada di dalam kandungannya adalah dari lelaki tertentu. Pernikahannya itu masih sah menurut seluruh mazhab yang telah disebutkan di atas tetapi dengan SYARAT : MEREKA TIDAK BOLEH BERSETUBUH SEHINGGALAH SI WANITA ITU TELAH BERSALIN!. Jika mereka bersetubuh, maka berdosalah mereka walaupun perkahwinan telah sah. 

Ia berdasarkan sebuah hadith yang ertinya :
"Tidaklah halal bagi sesiapa yang beriman dengan Allah dan RasulNya, untuk menyiram benih kepada tanaman lelaki lain ( iaitu jika wanita sedang mengandungkan benih lelaki lain)" ( Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi : Hadith Hasan) 
 
Sekiranya wanita itu berkahwin dengan satu-satunya lelaki dan pasti pula ia adalah benih lelaki tersebut. Di ketika itu, ia dibenarkan untuk bersama selepas pernikahan dan pernikahan itu juga sah. 

Adapun berkenaan jawapan seorang imam yang disebar luaskan oleh orang ramai berikut :-
 
Jawapan di atas juga ada benar sebahagiannya jika dilihat dari perspektif mazhab Hanbali dan beberapa ulama kontemporari, yang mana mereka mengiktiraf mengandung hasil zina boleh membawa hukum ‘iddah, hasilnya, haram bernikah dengan wanita yang sedang ‘iddah dan berlakulah segala satu macam kerumitan sebagaimana yang digambarkan dalam jawapan tuan imam ini. 


Kesimpulan
Bagi saya jawapan yang lebih utuh dalam keadaan masyarakat yang amat bermasalah hari ini adalah sah pernikahan dengan syarat si pasangan bertawbat dan jika wanita itu berkahwin dengan pasangan yang bukannya pemilik benih kandungannya, wajiblah ia menjauhi wanita itu sehinggalah ia bersalin. 

Sekian
Ust Zaharuddin Abd Rahman


Kredit : zaharuddin.net


Berhati-hati Dengan Scammer Piramid Skim Cepat Kaya

17 Dec 2021

 


SEBUAH kereta sports Nissan Fairlady berhenti di hadapan restoran. Ia tidak diletak di dalam petak tetapi melintang. Bukannya tidak ada kosong, cuma ia sengaja dipamerkan sedemikian rupa. Keluar dua lelaki berusia awal 20-an. Berpakaian kemeja dan seluar hitam dengan tali leher berwarna kuning. Butang lengan dikancing rapi. Janggal sedikit kerana waktu sudah 1 pagi. Kau tidak mahukah kereta sports macam itu? Duit banyak, perempuan pun ramai hendak jadi teman, kata seorang tukang rekrut di meja sebelah kepada dua pemuda dalam suara yang lantang, tanpa mempedulikan penulis dan rakan-rakannya yang turut sama terkesima melihat aksi gaya, mutu dan keunggulan dua model tersebut. 

Mereka itu pemilik kereta atau car-jockey?,kata seorang teman dalam suara perlahan tetapi sudah cukup mencetuskan ketawa di meja kami. Itulah malam bersejarah, rupa-rupanya. Satu acara merekrut besar-besaran untuk satu skim jualan langsung (MLM) sedang berlangsung di sebuah restoran di Shah Alam dan menjadi lebih dramatik dengan aksi pemilik Nissan Fairlady itu. Ia mungkin satu lakonan, mungkin juga benar kereta itu dimiliki dengan sah oleh model MLM berkenaan. 

Mereka ini telah menjadikan restoran itu sebagai pusat merekrut. Calon-calon rekrut disuruh datang ke situ atau dibawa ke situ. Yang sudah menjadi ahli, hadir dalam pakaian serba hitam. Yang belum jadi ahli, kelihatan tekun (atau khayal) mendengar kempen dan propaganda. Ahli-ahli baju hitam ini bersalam pun ala-Hip Hop. Tangan digenggam dan badan dipeluk. Mereka jelas terhutang budi antara satu sama lain, mungkin saling memakmurkan diri masing-masing. Rata-rata mereka ini muda-muda belaka.

Beberapa bulan kemudiannya, kumpulan ini dibongkar oleh pihak berkuasa sebagai skim MLM piramid atau skim cepat kaya. Restoran tersebut kini kembali lengang walaupun beberapa watak dulu dilihat masih minum di situ, tetapi tidak lagi berpakaian serba hitam. Anda mungkin pernah dipelawa menyertai skim MLM seumpamanya. Seorang teman mengaku pernah menyertai hingga tiga skim MLM. 

Tiga-tiga wang mukanya hangus. Sampai tiga baru hendak insaf? Ada pula seorang kenalan kini renggang dengan temannya, gara-gara hangus beratus ribu dalam skim cepat kaya seumpamanya. Penulis sendiri pernah dipelawa, malah diperdaya kononnya untuk mengadakan temuramah. Rupa-rupanya kena duduk dengar ceramah MLM. Tidak mengapa, orang itu sendiri sedar kesilapannya dan tidak lagi berani tunjuk muka.

Oleh kerana pengalaman sebegini, perniagaan MLM lebih banyak mendatangkan persepsi negatif pada kebanyakan kita. Namun, kita harus terbuka minda yakni memang wujud syarikat MLM yang sahih dan fokus terhadap penjualan produk atau perkhidmatan, malah memiliki banyak produk serta sering dipertingkatkan menerusi inovasi atau penyelidikan dan pembangunan (R&D). 

Industri MLM ini turut diiktiraf oleh kerajaan sebagai antara penyumbang kepada ekonomi negara. Jumlah dagangan dalam MLM dijangka mencecah RM10 bilion pada penghujung Rancangan Malaysia Ke-10, setelah tahun lalu mencatat RM5 bilion. 

MLM yang tidak baik ialah yang memfokuskan semata-mata kepada pelantikan ahli baru yang diistilahkan sebagai downline. Calon-calon dijanjikan dengan pelbagai tahap komisen lumayan jika dapat melantik tiga orang, kemudian bantu tiga orang itu untuk dapatkan tiga orang lain dengan anda di atas. Produk? Tidak mengapa. Itu soal kedua. Lagi pun, siapalah berminat hendak menjual produk seperti kopi 50 dalam satuminyak lintah penambah nikmat dan lain-lain, yang kelakar bunyinya dan mendatangkan rasa segan pula hendak menjualnya.

Mengawal selia

Dalam konteks ini, kerajaan dilihat proaktif dalam mengawal selia industri yang popular ini daripada terus menerus disalah guna menjadi skim piramid cepat kaya. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bakal membentangkan pindaan Akta Jualan Langsung 1993 pada sidang Parlimen sekarang. Harap sempat dan tidak dihambat dek isu politik yang hanya menguntungkan individu tertentu, bukan rakyat jelata. 

Fenomena MLM piramid cepat kaya ini bukan eksklusif di Malaysia semata-mata. Ia bukan dicipta oleh Pak Man Telo, walaupun namanya akan selama-lamanya dikaitkan dengan skim itu. Sebaliknya ia adalah fenomena global. Malah di Amerika Syarikat, skim piramid diistilahkan oleh Suruhanjaya Sekuriti & Bursa (SEC) sebagai skim Ponzi.

Skim Ponzi diambil dari nama Charles Ponzi yang menipu ribuan penduduk New England supaya melabur dalam skim spekulasi setem pos pada 1920-an. Ketika itu, kadar faedah tahunan bank adalah sebanyak 5 peratus. Ponzi menjanjikan para pelabur bahawa dia boleh menyediakan pulangan sebanyak 50 peratus dalam tempoh hanya 90 hari. Pada awalnya, Ponzi membeli kupon pos antarabangsa bagi mengabui mata orang ramai untuk mempercayai skimnya itu. Dengan dana baru diperolehi dari pelabur baru, ia digunakan bagi membayar pelabur awalnya. 

Ponzi menerima publisiti tambahan bila berita keuntungan itu tersebar. Pelabur pertama tadi menggandakan pelaburannya. Kesudahannya sama seperti kes Pak Man Telo. Tidaklah diketahui jika Pak Man Telo ada mengkaji formula Ponzi berkenaan semasa hayatnya.

Namun apa yang nyata, walaupun kes itu sudah berlaku 80 tahun dulu (30 tahun di Malaysia), masih ramai yang terpedaya. Semuanya gara-gara mahu cari jalan pintas ke arah kesenangan dan kekayaaan. Duit banyak tetapi dungu. Mana ada perniagaan di dunia ini yang menjamin pulangan luar biasa sebegitu besar dalam tempoh singkat. (Jual dadah atau perempuan bukan perdagangan sah atau halal. Kedunguan orang mahu kaya cepat dengan cara singkat itu pun bukan eksklusif di Malaysia. Di AS pada tahun lalu, SEC memfailkan 60 tindakan perundangan membabitkan skim Ponzi atau yang berbentuk pembayaran Ponzi, termasuk mendakwa Robert Allen Stanford yang dituduh mengendalikan skim Ponzi bernilai AS$8 bilion serta Bernard L. Madoff yang kini menjalani hukuman penjara 150 tahun setelah didapati bersalah atas tuduhan yang serupa.

Skim piramid cepat kaya ini ada pelbagai. Sang penipu akan terus mengambil kesempatan atas kedunguan dan ketamakan orang dengan mencipta pelbagai nama baru serta atas bermacam platform perniagaan, seperti MLM ini. Jika anda ditawarkan skim MLM, siasatlah dulu dengan pihak berkuasa mengenai kesahihannya. Paling mudah ialah dengan menolak selamba bila tukang rekrut menekankan soal downline berbanding jualan produk atau muncul kereta sports diletak melintang di hadapan anda.

Kredit : UtusanMalaysia

Doa Orang Yang Teraniaya Makbul Dan Tiada Hijab, Takutlah Balasan Allah

9 Dec 2021

 




Kita mesti sering tertanya mengapakah doa orang-orang yang dizalimi makbul dan tiada hijabnya? Ini kerana ianya satu bentuk pertolongan Allah kepada hamba-Nya yang teraniaya dan padanya hanya Allah akan menjadi penolong baginya, cepat atau lambat ia pasti akan dimakbulkan. Lagi-lagi orang yang teraniaya dan dizalimi sedang  mengalami kesusahan dan kesedihan hatinya akan sentiasa berdoa berulang-kali memohon pertolongan yang Maha Esa. Pada saat ini  doa dipanjatkan dengan penuh keikhlasan, meruntun, merayu dan khusyuk dalam hati sepenuhnya. Sebab itulah doa orang teraniaya sangat mustajab. 


PESANAN BUAT YANG MENZALIMI

Jadi, janganlah sesekali kita ada niat untuk menzalimi orang lain. Ada perkara yang perlu kita risau akan menimpa ke atas diri kita sekiranya kita menzalimi orang lain yakni termakbul doa orang yang kita aniaya, fitnah dan zaliminya. Ini kerana doa mereka tiada hijab dan akan terus dimakbulkan oleh Allah SWT.

Zalim atau aniaya, dengan apapun tujuan sekalipun amat dilarang di dalam Islam. Malah Allah swt telah berfirman akan menempatkan perbuatan tersebut (zalim) ke dalam dosa besar yang akan mendapat balasan pedih di kekalnya akhirat. Firman Allah yang berbunyi,

إِنَّمَا السَّبِيلُ عَلَى الَّذِينَ يَظْلِمُونَ النَّاسَ وَيَبْغُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“Sesungguhnya dosa besar itu atas orang-orang yang telah berbuat zalim kepada manusia dan telah melampaui batas di muka bumi tanpa hak. Mereka akan mendapat azab yang pedih”. (QS. Asy-Syura :42)

Oleh itu, sepanjang perjalanan hidup kita janganlah kita terdetik untuk menganiaya orang lain. Allah SWT  mengharamkan hambaNya melakukan kezaliman. Dalam satu hadis qudsi Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai hamba-hamba Aku, sesungguhnya Aku mengharamkan melakukan kezaliman.” 

Dalam Surah an-Nisaa’, ayat 148 , bermaksud: “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus terang (untuk mendedahkan kejahatan orang), kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” 

PESANAN BUAT YANG DIZALIMI

Apabila kita dizalimi dan dianiaya, kita ada dua pilihan iaitu kita berdoa supaya si penganiaya mendapat pembalasan dalam bentuk kecelakaan yang berat atau kita berdoa pada Allah agar diberikan petunjuk jalan keluar dari masalah dan musibah yang telah menimpa kita. Biasanya pilihan kedua adalah yang lebih afdhal kerana Allah telah mengajar hambaNya supaya Redha dan Sabar dan berterusan meminta tolong dari Allah agar dikeluarkan dari permasalahan ini dengan mengambil tindakan yang sewajarnya. Bukan mengikut emosi.

Kebergantungan kepada Allah yang mencipta kita dan si penganiaya, berdoalah supaya kita dipermudahkan segala urusan , diberikan petunjuk apa yang perlu dilakukan bagi menyelesaikan permasalahan yang menimpa. Biar Allah sahaja yang membalas segala perbuatan mereka kerana Allah Maha Mendengar , Adil dan Saksama. Cukup Allah untuk segalanya. Amalkan doa ini dan berserah kepadaNya.


Admin

Selagi Kita Membandingkan Hidup Kita Dengan Hidup Orang Lain, Kita Akan Terlepas Kebahagiaan Kita Sendiri

6 Dec 2021

 

Perkara yang paling sukar dan pelik dalam hidup adalah mencari kebahagiaan dengan membandingkan kebahagiaan orang lain sebagai kayu ukuran.

Telah menjadi lumrah manusia dizaman sekarang sentiasa membandingkan hidup kita dengan orang lain, lebih-lebih lagi di zaman media sosial yang tengah rancak.
Perbuatan yang pelik tapi sukar dielak.
Sikap dan perbuatan ini akhirnya akan memakan diri sendiri ,yang mana emosi  akan terganggu tatkala melihat kebahagiaan orang lain. Hati mula berbisik rasa tidak adil dan mula mempersoalkan apa yang anda belum miliki, dan perasaan sedih akan mula menguasai diri. Sedangkan tanpa sedar anda sebenarnya telah mempunyai kehidupan yang sangat sempurna.
Biasanya anda akan ternampak mengapa bunga ditaman orang lain lebih berwarna berbanding bunga di taman sendiri. 
Kita Takkan Bahagia Selagi..
Selagi kita silap membuat perbandingan. Kita sering membandingkan keadaan kita yang terburuk pada masa itu, dengan keadaan orang luar yang kita anggap terbaik pada pandangan kita pada masa itu.  Kita hanya melihat pada kelebihannya sahaja tanpa kita mengetahui kekurangan yang dihadapi disebaliknya.
Pernah tak hati anda berbisik :
Kenapa orang lain lebih cantik? Kenapa orang cantik sentiasa mendapat perhatian dalam berkawan berbanding yang kurang rupawan?
Kenapa orang lain cepat bertemu jodoh berbanding anda yang masih menunggu jodoh?
Kenapa suami/isteri orang lain sangat baik dan penyayang, tetapi pasangan anda seorang yang panas baran dan kasar?
Kenapa orang lain bijak dalam pelajaran sedangkaan kita sukar untuk belajar?
Dan banyak lagi situasi lain dan anda akan mula berasa sakit hati dan merasa dunia ini tidak adil.
Jangan Terpedaya
Sebenarnya, kebanyakan perkara yang kita nampak dari luaran kadangkala kita tidak tahu bagaimana perit mereka lalui untuk mencapainya. Perbandingan akan meletakkan fokus anda kepada orang yang salah. Anda terlalu fokus kepada kehidupan orang lain, bukannya fokus terhadap hidup anda sendiri. Kita sentiasa terlupa bahawa setiap orang mempunyai jalan kehidupan tersendiri dan cara tersendiri untuk melaluinya. Allah telah menetapkan garis masa yang berbeza pada setiap hambaNya. Allah akan mengurniakan  kebahagiaan yang selayaknya kepada setiap hambaNya dengan cara berbeza. Jadi bagaimana anda ingin mencapai kebahagiaan jika anda cemburu dengan kehidupan orang lain yang Allah telah tetapkan pada setiap hambaNya
Fokus Perjalanan Hidup Sendiri
Oleh itu, kita perlu hanya fokuskan terhadap perjalanan hidup kita sendiri. Hidup bukanlah pentas perlumbaan tetapi adalah perjalanan menuju yang kekal. Hanya kita yang dapat menentukan kebahagiaan kita sendiri.
Adalah lebih afdhal, kita memperbaiki kehidupan kita ke arah yang lebih baik  berbanding masa dahulu. Apa yang kita perlu perbaiki dan tingkatkan untuk mencapai matlamat hidup kita. Setiap hari, perjalanan hidup adalah satu  proses pembelajaran dan pengalaman untuk kita jadi lebih matang. Kehidupan akan datang akan lebih mencabar. Belajar dari kesilapan, kembangkan perjalanan dengan penuh ikhlas dan niat yang baik . Insyaallah kebahagiaan akan hadir dengan sendirinya dan kita akan jadi lebih bersyukur.
Its OK not TO BE OKAY
Semua orang tidak sempurna. Dalam kelebihan ada kekurangan. Cuma kita terlampau fokus pada kelebihan orang lain dan kekurangan sendiri. Sedangkan tanpa sedar apa yang kita rasa kurang dalam diri kita itu boleh  menjadi impian orang lain diluar sana. 
Dunia terbalik. Jadi jangan terperangkap. Hargai apa yang kita miliki. Tidak ada orang yang sempurna . Belajar menerima. ITs OK.

Istimewa Dari Allah
“janganlah kamu berasa lemah dan jangan pula kamu bersedih hati kerana kamulah orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu oarng orang yang beriman”. [ surah ali-imran ayat 139 ]
Akan tiba satu masa nanti kita akan tersenyum memikirkan kembali hikmah yang Allah tunjukkan. Kita semua istimewa dipandanganNya. 

Admin


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.