SLIDER

aniaya
Showing posts with label aniaya. Show all posts

Ganti Rugi Pertunangan, menjamin pihak-pihak yang bertikai

1 Oct 2024



Kemuncak dalam sebuah perhubungan adalah ikatan pernikahan. Pernikahan merupakan satu akad nikah yang mengikat suami isteri untuk menunaikan tanggunjawab dan hak masing-masing bagi satu tempoh masa yang panjang. Oleh itu, sebelum melangkah ke alam perkahwinan kedua-dua bakal pasangan (calon suami atau isteri) mestilah membuat persediaan fzikal dan mental yang mencukupi sebelum akad nikah perkahwinan dalankan. Umum mengetahui, fenomena putus tunang turut melibatkan masyarakat Islam sejak dahulu lagi. Namun tidak semua mengetahui pelanggaran janji dan ikatan ini boleh dibawa ketengah (tuntutan di Mahkamah Syariah) bagi mendapatkan ganti rugi pertunangan. Banyak faktor luaran dan dalaman yang mempengaruhi keputusan salah satu pasangan untuk memutuskan pertunangan, termasuklah kesan daripada sikap individu, persekitaran, sosio-ekonomi dan budaya yang berbeza sesama pasangan. 

Ikatan pertunangan menunjukkan keseriusan sesebuah perhubungan yang memerlukan pengorbanan besar pasangan serta proses mengenali pasangan dan keluarga. Selain itu, pertunangan juga membawa maksud ‘suatu tanda persetujuan kedua-dua belah pihak lelaki dan perempuan dalam merangka untuk hidup bersama sebagai suami isteri.’ Pertunangan dalam Kamus Dewan Edisi keempat berasal dari perkataan ‘tunang’ bermaksud ‘perihal bertunang’ yang membawa maksud yang sama dengan khitbah (dalam Bahasa Arab), juga dikenali dengan istilah ‘meminang’ atau ‘pinangan’. Pertunangan ini adalah permulaan seorang lelaki atau wakilnya menyampaikan hajat kepada ahli keluarga pihak perempuan mengenai perancangan seterusnya.

Hukum pertunangan ini adalah harus serta tidak perlu dihebah-hebahkan dan digalakkan sebagai memberi pemakluman yang terhad kepada jiran tetangga dan masyarakat sekitar kerana ianya adalah wa’d gayr mulzim (atau janji yang tidak mesti disempurnakan/ tidak mengikat) yang merupakan perjanjian untuk berkahwin dan bukan suatu akad (atau kontrak yang mengikat) yang mewajibkan perkahwinan tersebut. Dalam masyarakat Islam di Malaysia, kebiasaanya urusan peminangan akan diadakan oleh kaum keluarga dan sanak saudara terdekat pihak lelaki yang akan menghantar rombongan ke rumah calon isteri yang telah disepakati.

‘Kusangka panas sampai kepetang, rupanya hujan di tengahari’. Ternyata pepatah ini seringkali terpahat dibibir kita semua. Tidak semua ikatan pertunangan berakhir dengan pernikahan. Terdapat juga pasangan yang membatalkan ikatan ini pada saat-saat akhir yang berpunca dari alasan yang kukuh, munasabah, mendesak dan memudaratkan pihak-pihak jika perkahwinan diteruskan. Dalam situasi ini, pihak yang dimungkiri dan yang terkilan boleh membuat tuntutan ganti rugi akibat pembatalan pertunangan tersebut ke Mahkamah Syariah.

Berdasarkan peruntukan seksyen 15, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 secara jelas memperuntukkan dan membenarkan tuntutan sepertimana berikut :

"jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan mengikut Hukum Syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi itu tanpa apa–apa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan untuk memulangkan pemberian-pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi sebagai persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian itu boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah.”

Apabila kes tuntutan ganti rugi ini difailkan di Mahkamah Syariah, pihak yang bertikai akan dirujuk ke Bahagian Penyelesaian Alternatif (ADR) bagi sesi pertemuan Majlis Sulh terlebih dahulu yang dikendalikan oleh seorang pegawai Sulh. Pegawai Sulh akan menjalankan perbincangan terpimpin dalam mengenalpasti masalah dan isu-isu berbangkit sebelum diselesaikan. Pihak yang terkilan juga boleh mendapatkan maklumat dan mengetahui hak-hak yang berkaitan dengan merujuk Jabatan Kehakiman Syariah Selangor di www.jakess.gov.my atau mendapatkan pandangan peguam syarie, pengamal undang-undang.


Kredit : https://mais.gov.my/

Doa Orang Yang Teraniaya Makbul Dan Tiada Hijab, Takutlah Balasan Allah

9 Dec 2021

 




Kita mesti sering tertanya mengapakah doa orang-orang yang dizalimi makbul dan tiada hijabnya? Ini kerana ianya satu bentuk pertolongan Allah kepada hamba-Nya yang teraniaya dan padanya hanya Allah akan menjadi penolong baginya, cepat atau lambat ia pasti akan dimakbulkan. Lagi-lagi orang yang teraniaya dan dizalimi sedang  mengalami kesusahan dan kesedihan hatinya akan sentiasa berdoa berulang-kali memohon pertolongan yang Maha Esa. Pada saat ini  doa dipanjatkan dengan penuh keikhlasan, meruntun, merayu dan khusyuk dalam hati sepenuhnya. Sebab itulah doa orang teraniaya sangat mustajab. 


PESANAN BUAT YANG MENZALIMI

Jadi, janganlah sesekali kita ada niat untuk menzalimi orang lain. Ada perkara yang perlu kita risau akan menimpa ke atas diri kita sekiranya kita menzalimi orang lain yakni termakbul doa orang yang kita aniaya, fitnah dan zaliminya. Ini kerana doa mereka tiada hijab dan akan terus dimakbulkan oleh Allah SWT.

Zalim atau aniaya, dengan apapun tujuan sekalipun amat dilarang di dalam Islam. Malah Allah swt telah berfirman akan menempatkan perbuatan tersebut (zalim) ke dalam dosa besar yang akan mendapat balasan pedih di kekalnya akhirat. Firman Allah yang berbunyi,

إِنَّمَا السَّبِيلُ عَلَى الَّذِينَ يَظْلِمُونَ النَّاسَ وَيَبْغُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“Sesungguhnya dosa besar itu atas orang-orang yang telah berbuat zalim kepada manusia dan telah melampaui batas di muka bumi tanpa hak. Mereka akan mendapat azab yang pedih”. (QS. Asy-Syura :42)

Oleh itu, sepanjang perjalanan hidup kita janganlah kita terdetik untuk menganiaya orang lain. Allah SWT  mengharamkan hambaNya melakukan kezaliman. Dalam satu hadis qudsi Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai hamba-hamba Aku, sesungguhnya Aku mengharamkan melakukan kezaliman.” 

Dalam Surah an-Nisaa’, ayat 148 , bermaksud: “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus terang (untuk mendedahkan kejahatan orang), kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” 

PESANAN BUAT YANG DIZALIMI

Apabila kita dizalimi dan dianiaya, kita ada dua pilihan iaitu kita berdoa supaya si penganiaya mendapat pembalasan dalam bentuk kecelakaan yang berat atau kita berdoa pada Allah agar diberikan petunjuk jalan keluar dari masalah dan musibah yang telah menimpa kita. Biasanya pilihan kedua adalah yang lebih afdhal kerana Allah telah mengajar hambaNya supaya Redha dan Sabar dan berterusan meminta tolong dari Allah agar dikeluarkan dari permasalahan ini dengan mengambil tindakan yang sewajarnya. Bukan mengikut emosi.

Kebergantungan kepada Allah yang mencipta kita dan si penganiaya, berdoalah supaya kita dipermudahkan segala urusan , diberikan petunjuk apa yang perlu dilakukan bagi menyelesaikan permasalahan yang menimpa. Biar Allah sahaja yang membalas segala perbuatan mereka kerana Allah Maha Mendengar , Adil dan Saksama. Cukup Allah untuk segalanya. Amalkan doa ini dan berserah kepadaNya.


Admin

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.