SLIDER

Allah
Showing posts with label Allah. Show all posts

Mak Ayah, Bila Mereka Sudah Tiada Lagi Di Dunia Ini, Hilanglah Sumber Doa Mustajab

16 Jul 2025



Mak ayah, bila mereka sudah tiada lagi di dunia ini, hilanglah sumber doa mustajab. Doa mustajab, itulah doa terbaik mak ayah untuk anak-anak. Sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk anak-anak.

Mak Ayah, Bila Mereka Sudah Tiada Lagi Di Dunia Ini

Tanpa mak dan ayah, siapalah kita. Tanpa mereka kita tak akan ada di dunia ini. Jangan sesekali sombong atau hilang hormat pada mak ayah. Kejayaan kita hari ini adalah doa mustajab daripada mereka yang tidak pernah putus untuk melihat kita gembira dan berjaya.

Ikuti perkongsian daripada Khairul Anuar Basri ini. Sehebat mana kita, tanpa mak ayah dan doa mustajabnya kita tak akan hidup senang. Jangan sesekali derhaka, sayangilah mereka.

Kita ada seorang saja ayah dan seorang ibu. Kalau ada orang yang tak ada ayah sebab dia tak tahu siapa ayah dia pun, dia mesti ada seorang saja ibu.

Pergilah ke mana-mana masa kita hidup ni, kita akan bawa nama ayah kita bersama-sama kita. Bila kita mati, imam yang baca talkin akan sebut nama kita dan ibu kita.

Besar dan hebatnya pengaruh ayah dan ibu pada hidup kita. Tanpa mereka berdua, tak adalah kita.

Tak ada orang yang boleh sayang kita lebih daripada ayah dan ibu kita sayang kita. Walau kita pernah jumpa orang yang sayang kita lebih daripada mereka berdua, hakikatnya tak akan ada orang yang boleh sayang kita macam ayah dan ibu kita sayang kita.

Kita wajib sayang ayah dan ibu kita. Ini perintah Allah dalam Al-Quran. 6 kali Allah sebut suruh kita sayang dan buat baik dekat ayah dan ibu kita.

Masa mereka hidup, kita sayang mereka dengan cara taat dan berbuat baik kepada mereka. Tak boleh mengherdik mereka, meninggi suara dengan mereka, jangan sesekali kata ‘uh’ atau ‘ah’ pun pada mereka, merendah diri dengan mereka dan mesti cakap hanya dengan perkataan yang mulia saja dengan mereka.

Hilanglah Sumber Doa Mustajab

Bila mereka meninggal, kita juga mesti sayang mereka dengan cara kita buat amalan kebaikan demi mereka, cuba kita hubungkan silaturahim dengan kawan-kawan baik mereka dan kita berdoa mohon Allah ampunkan dosa mereka.

Rasulullah SAW sebut, ada ketikanya di dalam syurga, darjat ayah dan ibu ditinggikan oleh Allah sampai mereka pun jadi pelik. Lalu mereka bertanya kepada Allah, kenapa jadi begitu?

Allah SWT beritahu, darjat ayah dan ibu diangkat di dalam syurga setiap kali ada doa minta ampun untuk mereka daripada anak-anak. Jadi jangan jemu berdoa untuk mereka kebaikan di dunia dan keampunan di akhirat.

Jika ayah dan ibu kita masih hidup, selalulah minta mereka doakan kita. Ingat, sekali mereka dah mati, maka tamatlah riwayat sebuah sumber doa yang mustajab.

Sayangilah mak ayah selagi mereka masih ada. Doakan kebaikan mereka dunia akhirat.

Kredit: Khairul Anuar Basri

Kredit : Mingguan Wanita


Garis Panduan Ber`Iddah Bagi Wanita Yang Bercerai Atau Kematian Suami

20 Oct 2024


TUJUAN

 
Garis Panduan Ber`iddah Bagi Wanita Yang Bercerai atau Kematian Suami disediakan sebagai panduan dan rujukan kepada masyarakat Islam di Malaysia khususnya dalam kalangan wanita berkaitan batas hukum dan adab semasa berada dalam tempoh `iddah menurut tuntutan syarak.


PENDAHULUAN

           
2.         Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap telah menyusun secara terperinci perkara-perkara yang berkaitan dengan nikah, cerai dan rujuk sebagai satu panduan hukum yang wajib dipatuhi oleh umat Islam.Bagi isu yang melibatkan perceraian, terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian seperti nafkah `iddah, mut`ah, hak penjagaan anak dan pembahagian harta sepencarian.  Selain daripada itu, satu lagi perkara penting bagi seorang isteri yang diceraikan ialah tempoh `iddah yang wajib ditempuh oleh mereka. 
 
3.         Dalam perkara ini, `iddah turut tidak terkecuali bagi seorang wanita yang kematian suami dan Islam menetapkan bahawa mereka wajib menempuh tempoh `iddah tertentu dan berkabung atas kematian tersebut. 
 
4.         Dengan berlakunya peredaran masa dan zaman, wanita Islam yang berada dalam tempoh `iddah sering berhadapan dengan pelbagai persoalan yang memerlukan penjelasan terperinci khususnya dalam hal yang melibatkan batas hukum dan adab bagi seorang wanita ber`iddah atau berkabung.  Tambahan pula, dengan tuntutan kerjaya, kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi hari ini, ia turut memberi impak dan cabaran terhadap cara dan gaya hidup masyarakat. Dibimbangi, sekiranya tidak dibimbing dan dipandu dengan sebaiknya, masyarakat Islam khususnya dalam kalangan wanita tidak dapat memahami dan menghayati konsep `iddah dan berkabung yang sebenar seperti yang dituntut oleh Islam, bahkan menganggapnya sebagai perkara remeh dan menyusahkan.
 
 
KANDUNGAN GARIS PANDUAN
 
5.            Garis panduan ini memberi penjelasan mengenai batas hukum yang perlu dipatuhi oleh seorang wanita yang sedang berada dalam tempoh `iddah supaya kehidupan mereka sepanjang tempoh tersebut selari dengan tuntutan Islam dan mengelakkan berlakunya sebarang fitnah serta tohmahan yang tidak diingini.   Garis panduan ini mengandungi perkara-perkara seperti yang berikut:
 

a.         Tafsiran.

b.         Hukum `iddah dan berkabung.

c.         Dalil-dalil pensyariatan `iddah.

d.         Dalil-dalil pensyariatan berkabung.

e.         Hikmah `iddah.

f.          Jenis dan tempoh `iddah.

g.         Batasan hukum semasa dalam tempoh `iddah talak raj`ie.

h.         Batasan hukum semasa dalam tempoh `iddah talak ba’in.

i.           Batasan hukum semasa dalam tempoh `iddah kematian suami.

j.          Kesimpulan.

Tafsiran

Tafsiran bagi beberapa istilah yang berkaitan dengan garis panduan ini ialah seperti yang berikut:
 
i.              Ajnabi
Tidak mempunyai hubungan kerabat. Orang asing.
 
ii.            Berkabung (Ihdad)
Meninggalkan perhiasan dan seumpamanya bagi wanita yang sedang ber`iddah kerana kematian suami.
 
iii.           Fasakh         
Pembubaran perkahwinandengan kuasa pihak pemerintah.
 
iv.           `Iddah
Tempoh tertentu yang ditetapkan ke atas seorang wanita selepas diceraikan atau selepas kematian suami.
                                               
v.            Istihadhah
Darah yang mengalir daripada faraj wanita dan ia bukan darah haid atau nifas.
 
vi.           Mut`ah
Pemberian sagu hati oleh suami kepada isteri yang diceraikan.
 
vii.          Rujuk
Suami kembali semula kepada isteri yang diceraikan bukan secara talak ba’in, tanpa memerlukan kepada akad baharu.
 
viii.        Suami Hilang (Mafqud)
Terputus hubungan dengan suami dan tidak diketahui sama ada masih hidup atau mati.
ix.           Talak Raj`ie
Talak yang memberi hak kepada suami untuk kembali rujuk kepada isterinya selagi dalam tempoh `iddah.
 
x.            Talak Ba’in
Talak yang tidak memberi hak kepada suami untuk kembali rujuk kepada isteri yang diceraikan kecuali dengan mahar dan akad yang baharu. Talak ba’in terbahagi kepada dua iaitu ba’in baynunah sughra dan ba’in baynunah kubra.
Ba’in baynunah sughraialah perceraian yang berlaku sebelum berlaku persetubuhan sama ada secara talak satu atau dua.   
Ba̢۪in baynunah kubraialah perceraian secara talak tiga dan suami tidak boleh kembali rujuk kepada isteri yang diceraikan kecuali selepas isteri tersebut berkahwin dengan lelaki lain.
 
 
Hukum `Iddah dan Berkabung
 
i.              Hukum `iddah menurut syarak adalah wajib ke atas wanita yang bercerai atau kematian suami.
 
ii.            Hukum berkabung menurut syarak adalah wajib ke atas wanita yang kematian suami.
 
 

Dalil-Dalil Pensyariatan `Iddah

 
Terdapat beberapa dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah yang mensyariatkan kewajipan `iddah.  Antara dalil-dalil tersebut ialah:
 
i.              Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 228 yang bermaksud:
 
Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan  menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa `iddah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dan suami mempunyai satu darjat kelebihan atas isterinya. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
 
 
ii.            Dalam Surah al-Talaq ayat 1, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
 
Wahai Nabi! Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan `iddahnya, dan hitunglah masa `iddah itu (dengan betul), serta bertakwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai `iddahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan sesudah itu sesuatu perkara (yang lain).
 
iii.           Firman Allah SWT dalam Surah al-Talaq ayat 4 yang bermaksud:
 
Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh `iddah mereka) maka `iddahnya ialah tiga bulan; dan (demikian) juga `iddah perempuan-perempuan yang tidak berhaid. Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh `iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. Dan (ingatlah) sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.
 
iv.           Hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, daripada Aisyah r.a., katanya yang bermaksud:
 
Rasululah SAW telah memerintahkan Barirah untuk ber`iddah dengan tiga kali haid.
 
 
 

Dalil-Dalil Pensyariatan Berkabung

 
Terdapat beberapa dalil daripada hadith Nabi SAW yang mensyariatkan kewajipan berkabung.  Antara dalil-dalil tersebut ialah:
 
 
i.              Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari bermaksud:
 
Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat berkabung lebih daripada tiga hari, kecuali berkabung kerana kematian suaminya selama empat bulan sepuluh hari.
 
 
ii.            Hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, daripada Ummu `Atiyyah r.a., katanya yang bermaksud:
 
Kami dilarang berkabung atas kematian seseorang melebihi tiga hari kecuali berkabung atas kematian suami selama empat bulan sepuluh hari.  Kami dilarang bercelak mata, dilarang memakai wangi-wangian dan memakai pakaian berwarna-warni...
 
 
iii.           Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Nasa’ie bermaksud:
 
Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat berkabung kerana kematian lebih daripada tiga hari, kecuali berkabung kerana kematian suami, mereka tidak boleh bercelak mata, tidak boleh berinai dan memakai pakaian berwarna-warni.
 
 

Hikmah `Iddah

 
Terdapat beberapa hikmah pensyariatan `iddah kepada wanita Islam.  Antara hikmah tersebut ialah:
 
i.              Untuk memastikan kekosongan rahim daripada benih suami terdahulu.  Ia bertujuan untuk mengelakkan percampuran benih antara suami dahulu dengan suami yang baharu dikahwininya. 
 
ii.            Bagi `iddah talak raj`ie, ia sebagai ruang kepada suami dan isteri untuk berfikir dan menilai semula segala tindakan dan kesilapan yang telah dilakukan termasuk kesan daripada perceraian yang berlaku.  Di samping itu, ia juga dapat memberi peluang kepada suami untuk kembali rujuk kepadaisterinya.
 
iii.           Bagi perempuan yang kematian suami, tempoh `iddah juga sebagai tempoh berkabung bagi menghormati dan mengingati nikmat perkahwinan terdahulu.  Ia juga sebagai tanda menjaga hak suami dan  tanda menzahirkan kesetiaan isteri kepada suaminya.  Selain itu, berkabung juga sebagai lambang pengabdian diri terhadap perintah Allah SWT.
 
 

Jenis dan Tempoh `Iddah

 
Secara keseluruhannya, sebab wajib `iddah terbahagi kepada dua bahagian iaitu `iddah disebabkan perceraian semasa hidup dan `iddah dengan sebab kematian suami.   Setiap bahagian `iddah tersebut mempunyai pengiraan tersendiri yang akan menentukan tempoh `iddah yang perlu ditempoh sama ada panjang atau pendek. Pengiraan `iddah terbahagi kepada tiga iaitu:
 
i.             `Iddah dengan kiraan suci (quru’);
ii.            `Iddah dengan kiraan bulan; dan
iii.           `Iddah dengan kelahiran atau keguguran kandungan.
 
 
Perincian berhubung jenis dan tempoh `iddah adalah seperti dalam Jadual 1.
 
  Jadual 1: Jenis dan Tempoh `Iddah
BIL
 
JENIS `IDDAH
ADA HAID / TIADA HAID/
SEDANG MENGANDUNG
TEMPOH `IDDAH[1]
KETERANGAN
i.
Bercerai talak raj`ie/ba’in
Ada haid
Tiga kali suci
a.    Jika ditalaq semasa dalam keadaan suci, `iddahnya tamat apabila datang haid yang ketiga.
b.    Jika ditalaq semasa dalam keadaan haid, `iddahnya tamat apabila datang haid yang keempat.
c.    Jika ditalaq semasa dalam keadaan nifas, hendaklah menunggu sehingga tiga kali suci selepas nifas. `Iddah tamat  apabila datang haid yang keempat.
ii.
Bercerai talak raj`ie/ba’in
Tiada haid (sama ada kerana penyakit, telah dibuang rahim, telah putus haid, belum pernah haid atau lain-lain)
Tiga bulan
 
iii.
Bercerai talak raj`ie/ba’in
Sedang mengandung
Sehingga bersalin atau kandungan gugur
Selesai `iddah apabila melahirkan anak sama ada hidup atau mati, atau gugur kandungan yang telah membentuk janin yang sempurna atau hanya berbentuk segumpal daging yang  menurut pakar perubatan itulah kandungan yang sebenar.
iv.
Bercerai talak raj`ie/ba’in dan belum pernah disetubuhi
 
Ada haid atau tiada haid
Tiada `iddah
 
 
 
 
 
v.
Bercerai talak raj`ie/ba’in dan menghidap istihadhah
a.  Haid tidak menentu tetapi masih dapat mengetahui kebiasaan perjalanan darah haidnya.
 
b.  Haid tidak menentu dan tidak  mengetahui kebiasaan perjalanan haidnya atau tidak dapat membezakan antara darah haid dan istihadhah.
Tiga kali suci
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiga bulan
 
 
 
 
 
 
 
 
 
vi.
Berlaku kematian suami semasa berada dalam tempoh `iddah talak raj`ie dan tidak mengandung
Ada haid atau tiada haid
Empat bulan sepuluh hari
Kiraan `iddah baru bermula pada tarikh atau hari kematian suami walaupun sebelum itu `iddah isteri sama ada dengan tiga kali suci atau tiga bulan telah hampir tamat.
 
vii.
Berlaku kematian suami semasa berada dalam tempoh `iddah talak ba’in dan tidak mengandung
Ada haid atau tiada haid
Tiga kali suci atau tiga bulan
Kekal `iddah talak ba’in sama ada dengan kiraan tiga kali suci atau tiga bulan dan `iddah tidak bertukar kepada `iddah kematian suami.
viii.
Kematian suami sama ada                                                    telah disetubuhi atau belum disetubuhi dan tidak mengandung
Ada haid atau tiada haid
 
 
Empat bulan sepuluh hari
Wanita yang kematian suami bukan sahaja wajib ber`iddah, tetapi juga wajib berkabung.
 
 
 
ix.
Kematian suami
Sedang mengandung
Sehingga melahirkan anak atau kandungan gugur
Selesai `iddah apabila melahirkan anak sama ada hidup atau mati, atau gugur kandungan yang telah membentuk janin yang sempurna atau hanya berbentuk segumpal daging yang  menurut pakar perubatan itulah kandungan yang sebenar.
x.
Suami hilang
Ada haid, tiada haid atau sedang mengandung
Isteri wajib menunggu selama empat tahun. Selepas tempoh tersebut, isteri  wajib pula ber`iddah dengan `iddah kematian suami selama empat bulan sepuluh hari.
Bagi kes suami hilang, isteri boleh mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Syariah bagi mendapatkan pengesahan kematian suami atau membuat tuntutan fasakh.
 
 

Batasan Hukum Semasa Dalam Tempoh `Iddah Talak Raj`ie

 
Wanita yang sedang menjalani `iddah talak raj`ie mempunyai batas hukum yang perlu dipatuhi sepanjang berada dalam tempoh tersebut.  Ini kerana hubungan atau pertalian perkahwinan antara suami isteri yang bercerai secara talak raj`ie masih wujud. Antara perkara-perkara yang perlu dipatuhi ialah:
 
i.          Haram menerima pinangan lelaki ajnai.
 
ii.         Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan semasa dalam tempoh tersebut pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan. 
 
iii.       Tidak dibenarkan keluar rumah kecuali dengan keizinan suami.       
 
iv.        Tidak dibenarkan berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal semasa masih dalam ikatan perkahwinan. Dalam hal ini suami dilarang menghalau keluar isteri yang diceraikan bahkan mereka wajib menanggung seluruh nafkahnya termasuk nafkah tempat tinggal.  Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Talak ayat 1 yang bermaksud:
 
…Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai `iddahnya) dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ) kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata…
 
Namun mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda. 
 
v.            Tidak boleh berkabung.  Bahkan mereka dituntut untuk bersolek dan berhias kepada suaminya sebagai dorongan bagi membangkitkan keinginannya untuk rujuk semula.
     
 

Batasan Hukum Semasa Dalam Tempoh `Iddah Talak Ba’in

 
Bagi wanita yang sedang menjalani `iddah talak ba’in mereka juga mempunyai batas hukum tertentu sepanjang berada dalam tempoh tersebut.  Antara perkara-perkara yang perlu dipatuhi oleh mereka ialah:
 
i.              Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.
 
ii.            Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan semasa dalam tempoh tersebut pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.
 
iii.           Tidak dibenarkan keluar rumah kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja.  Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja mendapatkan rawatan perubatan dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam.  Termasuk dalam larangan keluar rumah juga ialah keluar untuk bermusafir walaupun untuk menunaikan ibadat fardu haji. Justeru dalam hal ini keluar rumah tanpa keperluan yang penting dan mendesak adalah tidak dibenarkan sama sekali.
 
iv.           Tidak dibenarkan berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal semasa masih dalam ikatan perkahwinan.  Ini kerana sepanjang tempoh `iddah dengan talak ba’in bekas suami masih berkewajipan menyediakan tempat tinggalnya dandilarang daripada menghalau keluar isteri yang diceraikan.  Namun sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir tanah runtuh gempa bumi dan sebagainya mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang atau dapat diatasi.    
 
v.            Disunatkan berkabung dan meninggalkan amalan berhias kerana dibimbangi dengan berhias itu boleh mendorong kepada maksiatdan kerosakan serta membawa kepada fitnah.
 

Batasan Hukum Semasa Dalam Tempoh `Iddah Kematian Suami

 
i.       Bagi wanita yang ber`iddah kerana kematian suami Islam telah menggariskan cara-cara tertentu sepanjangmereka berada dalam tempoh tersebut.  Antara perkara-perkara yang mesti dipatuhi oleh mereka ialah:
 
a)            Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.  
 
b)            Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan juga semasa dalam tempoh tersebut pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan. 
 
c)            Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja.  Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja mendapatkan rawatan perubatan membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam.  Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam.  Namun pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor jururawatdan sebagainya. Bagi larangan bermusafir ia termasuk larangan untuk  menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.
 
d)            Berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal sepanjang tempoh perkahwinan. Namun sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir tanah runtuh gempa bumi dan sebagainya mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang atau dapat diatasi.
 
e)            Wajib berkabung sepanjang tempoh `iddah.  Oleh itu sepanjang dalam tempoh tersebut mereka wajib meninggalkan semua perkara yang mempunyai unsur-unsur berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan.  Termasuk dalam larangan berhias ini ialah:
 
i)         Memakai pakaian berwarna terang atau berwarna-warni yang boleh menarik perhatian orang yang memandang; 
 
ii)        Memakai barang-barang kemas walaupun sebentuk cincin gelang rantai dan barang-barang perhiasan lain yang diperbuat daripada emas perak dan permata;
 
iii)       Memakai wangi-wangian pada anggota badan rambut dan pakaian; dan
 
iv)       Bersolek memakai celak berinai dan memakai minyak rambut serta perbuatan-perbuatan lain yang dianggap sebagai berhias pada pandangan masyarakat setempat.
 
ii.            Perintah berkabung ini hanya dikhususkan kepada suruhan meninggalkan hiasan tubuh badan dan pakaian sahaja tidak termasuk hiasan tempat tinggal bilik tidur dan sebagainya.
 
iii.           Justeru walaupun wanita berkabung dilarang daripada berhias  ini tidak bermakna mereka perlu mengabaikan aspek kebersihan dan kesihatan diri serta ahli keluarga. Malah mereka wajib menjaga kebersihandan kekemasan diri pakaian dan tempat tinggal sepanjang tempoh `iddah dan berkabung itu.
 
 
KESIMPULAN
 
Islam bukan hanya menjaga dan memelihara kebajikan dan hak-hak wanita semasa mereka masih berada dalam tempoh perkahwinan malah berterusan sehingga terbubarnya perkahwinan tersebut sama ada kerana perceraian hidup mahupun perceraian mati. Sudah pasti terdapat hikmah yang besar disebaliksetiap perkara yang disyariatkan oleh Islam yang mungkin tidak mampu dijangkau oleh akal manusia.  Begitu juga dengan pensyariatan `iddah dan berkabung oleh Allah SWT ke atas kaum wanita.  Justeru sebagai hamba-Nya yang beriman kita wajib patuh dan taat serta mengambil berat terhadap tuntutan tersebut tanpa sebarang persoalan atau menghadapinya dengan perasaan dan jiwa yang berkeluh-kesah.  Bahkan kepatuhan kepada perintah Allah SWT itu merupakan satu tanda pengabdian diri dan kepatuhan hamba-Nya terhadap Pencipta Yang Maha Agung. 
 
            Dalam era wanita Malaysia yang berkerjaya peranan ahli keluarga dan anggota masyarakat juga tidak kurang pentingnya.  Mereka perlu sentiasa dididik dan diberi kesedaran supaya  dapat menghayati dan menghormati situasi wanita yang sedang ber`iddah dan berkabung serta membantu mereka agar dapat menjalani tempoh tersebut mengikut landasan syarak. Ini penting kerana dengan pemahaman yang jelas berhubung hal ini perkara-perkara yang ditegah oleh Islam dapat dihindari seterusnya mengelakkan berlakunya fitnah tohmahan dan unsur-unsur yang kurang menyenangkan terhadap wanita yang sedang ber`iddah dan berkabung.
 
 
PENUTUP
 
Garis panduan ini diharap dapat memberikan panduan kepada masyarakat Islam khususnya dalam kalangan wanita Islam yang sedang menjalani tempoh `iddah dan berkabung supaya dapat melalui detik-detik tersebut dengan lebih mudah dan tenang. Ia juga diharap dapat membantu masyarakat untuk lebih memahami dan menghayati konsep `iddah dan berkabung menurut tuntutan Islam  yang sebenar.
 
 
RUJUKAN
 
TERJEMAHAN AL-QURAN
 
Abdullah Basmeih. 2001. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian al-Qur’an. Cet. 12. Kuala Lumpur: Darul Fikir.
 
 
KAMUS
 
Muhammad  Rawas QalÑah Ji.2006. MuÑjam Lughah al-Fuqaha’.Cet. 1. Beirut: Dar al-Nafa’is.  
 
 
BAHASA ARAB
 
`Abd al-Karim Zaidan. 2000.  Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim fi al-Shari`ah al-Islamiyyah. Juz. 9. Beirut: Mu’assasah al-Risalah.
 
Ibn al-Jauzi Imam Jalal al-Din Abi al-Farj. 1998. Ahkam al-Nisa’. Beirut: Dar al-Ma‘rifah.
 
Saleh bin ÑAbd al-ÑAziz bin Muhammad bin Ibrahim. 2000.MawsuÑah al-Hadith al-Sharif al-Kutub al-Sittah. Cet. 3.  Arab Saudi: Dar al-Salam.
 
 
Wahbah al-Zuhaily. 1997.Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh Juz. 9. Beirut: Dar al-Fikr.
 
Wazarah al-Awqaf  wa al-Syu’un al-Islamiyyah.1993.  Al-Mawsu‘ah al-Fiqhiyyah.Juz. 2. Kuwait: Wazarah al-Awqaf  wa al-Syu`un al-Islamiyyah.
 
__________________________________________.  Al-Mawsu‘ah al-Fiqhiyyah.Juz. 29. Kuwait: Wazarah al-Awqaf  wa al-Syu`un al-Islamiyyah.
 
 
AKTA
 
Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303). 2005. Petaling Jaya: International Book Services.
 
 
 

[1]Bagi `iddah dengan kiraan bulan pengiraannya adalah berdasarkan kalendar hijrah dan bukannya mengikut kalendar masihi. 


Kredit : 
https://www.islam.gov.my/

Umur Dah Masuk 40 Tahun ? Hati-hati Dengan Ujian Yang Lebih Mencabar !

27 Apr 2024


"Berhati-hati di usia 40 tahun"


Umur 40 tahun ialah umur dimana kebanyakan kita mula diuji. Ujian boleh datang dari ibubapa (jatuh sakit, kematian), atau dari pasangan hidup (perceraian, jatuh sakit) atau dari anak-anak yang meningkat remaja.

Memang bermula 40 tahun, Tuhan akan memanggil kita pulang bertaubat kepadaNya. Panggilan dari Tuhan selalunya berbentuk ujian. Kerana hanya dengan itu kita akan kembali bersimpuh dan bersujud mengadu dan memohon pertolonganNya.

Orang yang bijak akan memperbaiki diri dan amalannya, memperbaiki hubungan dengan ahli keluarganya, berjimat menyimpan untuk hari tuanya. Semua dengan niat mahu berkumpul bersama di syurga nanti.

Orang yang kurang bijak tetap leka dan langsung tak membuka deria terhadap panggilan Tuhan. Malah dikala orang lain semua bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan, dia pula mencari masalah baru.

Usia 40 ini menjadi lebih menarik apabila al-Quran di dalam surah "al-Ahqaaf ayat 15" ada menyebut tentang itu. Allah berfirman yang bermaksud,

"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhan ku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal salih yang Engkau redhai dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepada Mu)."

Ada segelintir golongan yang sudah berumur 50 tahun, 60 tahun, malah 70 tahun, masih memikirkan kereta Sportnya, tanaman Duriannya, ternakan kerbaunya, harta2nya, anak2 dan cucu2nya. Alangkah baiknya jika apabila sudah berumur, masa diisi untuk mendengar Kuliah Agama, ibadat di Masjid, Umrah, Haji dan sebagainya.

Ada yang masih merasakan diri muda belia. Melayan nafsu yang marak menyala padahal kedut dan uban dah tumbuh merata. Sibuk mencari cinta diluar, sedangkan rumahtangga yang halal dibiar berantakan.

Ada yang rasa macam masih sihat, walaupun sahabat2, sedara-mara ramai yg sudah meninggal, kadangkala tanpa disangka. Itu semua hanya menjadi bahan cerita "ehh, tak sangkaaa...muda lagi, sihat je nampak, boleh meninggal..."

Amatlah menyedihkan tatkala orang lain bersiap bertemu Tuhan, kita masih ralit dibuai perasaan akibat tertipu dengan nafsu sendiri.

Nafsu memang tak pernah tua. Ia sentiasa muda dan galak. Yang semakin lelah dan tua adalah tubuh dan kudrat kita.

Rasanya jika Tuhan menghalang tubuh manusia mengalami penuaan, pasti kita semua lebih leka, lebih degil untuk menyahut panggilan pulang. 

Sehinggalah tiba saat roh kita diheret dan diseret kembali merengkuk di hadapan Tuhan.

Kita hidup di dunia, tidak lama.. Rasulullah, Sallallaahu alaihu wasallam, telah bersabda:

“Umur-umur umatku antara 60 hingga 70 tahun, dan sedikit orang yang bisa melampaui umur tersebut”. [HR. Ibnu Majah: 4236].

Kalau sekarang kita rasa 40 tahun atau 70 tahun itu lama, bagaimana setelah alam barzakh atau akhirat juga kita dibangkitkan dan hidup dalam waktu yang sangat lama, SATU HARINYA = RIBUAN TAHUN…

Ingat, ketika itu tak ada yang berguna kecuali amal baik kita..

Oleh karena itu, lihatlah diri Anda, sudahkah dia mempersiapkannya…?!

Allah ta’ala berfirman (yang artinya):

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kalian kepada Allah, dan LIHATLAH DIRI MASING-MASING apakah yang sudah ia PERSIAPKAN untuk KEHIDUPAN ESOKNYA”. [Al-Hasyr:18]

Mari kita dekatkan diri dgn Allah, rajin2 Solat Jemaah, tunaikan Zakat, Haji, Umrah, puasa dan sebagainya. Tunaikan yg Wajib dahulu, dan tingalkan larangan insyaAllah.

By:Miracle sidrah protection

Perkongsian Terbaik Untuk Mereka Yang Ingin Menunaikan Ibadah haji

7 Jul 2022


Perkongsian yang sangat baik oleh Zainuddin Omar di Laman facebook beliau. Jom ikuti tips-tips beliau . Semoga dapat memudahkan urusan kepada mereka yang ingin menunaikan ibadah haji.

Saja nak kongsi tips haji:

1. Bawak berus & sabun cap buruh/buku untuk basuh baju dll. Sebab dia tahan kena air. Sabun serbuk di sana kuat boleh reput kain. Di hotel ada servis dobi kena bayar.


2. Bawa extension cord. Banyak jasanya berkongsi dgn kawan sebilik untuk caj telefon. Banyak jasanya nanti di Mina. Bawak juga Internasional adapter two pin.


3. Bawa tali ampai & kepit baju. Buat gantung baju dalam bilik. Keringkan baju di bumbung hotel. Ada juga buat ampaian di tangga.

4. Bawa ubat panadol dll . Banyak gunanya untuk diri sendiri dan kawan-kawan. Terutama di kem Mina.

5. Bawa Quran kecik yg sendiri punya. Senang nak baca di mana-mana. Niat nak khatam di Mekah.

6. Makanan di sana tak pedas, banyak guna sos tomato. Bawa cili sos, kicap, sambal dah siap dibotolkan/diplastikkan.

7. Masa ke Muzdalifah bawa sudu untuk korek tanah cari batu kecil (untuk melontar) dan jangan cari di Mina. Ada yg cari di Mina tapi sukar sebab ramai orang. Kumpul batu bagi lebih sikit masuk siap2 dlm uncang. Lampu suluh kecil jangan lupa. Siap melontar, batu yang lebih dibuang. Haram bawa balik ke Malaysia.

8. Di dalam Masjidil Haram tidak boleh duduk dekat suami isteri waktu solat. Polis dan pegawai masjid akan arah isteri ke saf lain, jadi jika takut terpisah bila isteri di suruh ke saf lain, janji dgn isteri di luar masjid di satu tempat yg dijanjikan (pilih satu mercu tanda). Jika nak iktikaf bukan waktu solat boleh bersama suami isteri. Elok pergi dalam kumpulan rakan sebilik. Jika terpisah pun tak risau.

9. Ingat mercu tanda dan bangunan semasa ke masjid, supaya tak sesat. Jika ada telefon lagi baik. Senang nak hubungi.

10. Pilih rangkaian telefon yg senang nak top up saperti Zain dan Mobily tetapi STC agak susah sikit. Biasanya TH akan bagi simkad Mobile, kena top up. Jika top up 100Riyal boleh guna Whatsapp untuk whatsapp ahli keluarga. Pakej Mobily dan Zain ada yang 10GB data berharga SR120. Boleh topup di kaunter Mobily/Zain di dalam Zam Zam tower.

11. Di hotel ada perkhidmatan tel guna kad iTalk lagi jimat jika nak call keluarga di Malaysia. Jika pandai guna line internet hotel buat panggilan video dll.

12. Di hotel ada klinik dan perkhidmatan keluar duit TH, boleh keluar duit hari hari yg mampu nak shopping. Kalau lebih boleh simpan balik.

13. Masa Taklimat sebelum flight ada kaunter utk tukar duit Saudi Riyal di TH untuk duit poket.


14. Bila ke masjid pakat kawan-kawan sebilik siapa gilir gilir boleh ambil nasi makanan tengah hari dan malam ikut bilangan kawan-kawan sebilik. Ambil letak di bilik.

15. Tok Arab di sana ramai pandai cakap melayu tak perlu risau jika nak beli apa apa, jgn takut minta tawar.

16. Patuh pada arahan TH. Masa pergi melontar jangan ikut jalan lain atau turun tangga. Nanti sesat.

17. Jika nak beli Al Quran untuk wakaf di Masjid pastikan yg ada tali kuning dicetak di Madinah. Jangan beli yang tali biru dan hijau. Jika diletak di masjid akan diambil oleh pekerja masjid. Hanya Al Quran cetakan Madinah dibenarkan diletak didalam masjid.

18. Sebelum pergi kena banyak buat solat hajat, solat sunat taubat dll dan minta juga dipermudahkan segala urusan. Mudah mudahan dimaqbulkan.

19. Seelok nya sepanjang masa menunaikan Haji, jangan banyak bercakap dan cuba 'vow of silence', bercakap jika perlu sahaja.

20. Sabar, sabar dan sabar. Kesabaran setiap jemaah Haji akan diuji di tanah suci.

21. Semasa di Mina tentu ada jemaah degil yang akan melaksanakan lontaran dahulu dan tidak mengikut nasihat TH. Jangan ikut mereka ini dan tunggu arahan TH bila masa sesuai untuk melontar.

22. Bawa botol spray air kecil jika selalu terbatal wudu dalam masjid. Belajar cara mengambil wudu menggunakan sapuan air dari botol spray.

23. Jangan menolak jemaah lain dengan sengaja walaupun ditolak. Setiap niat buruk, Allah akan balas secara cash.

24. Jangan terlalu gigih melaksanakan umrah sunat sebelum wuquf kerana dikhuatiri demam urat semasa wuquf. Selepas haji, buatlah seberapa banyak umrah yang boleh.

25. Ada makanan/minuman 'diuretic' yang menyebabkan kerap untuk buang air kecil dan menyusahkan semasa didalam masjid saperti teh, tembikai, limau dll. Cuba elakkan.

26. Belajar berkompromi dengan rakan satu bilik selama lebih sebulan bersama. Ada yang tak tahan sejuk aircon dan ada yang tak tahan panas.

27. Semasa wuquf di Arafah jangan buang masa bersembang kerana waktu sangat suntuk untuk beribadah/berdoa/berzikir antara gelincir dan terbenam matahari.

28. TH ada menyediakan bilik baraqah untuk jemaah yang berkelamin tetapi queue nya panjang.

29. Kedai money changer yang paling bagus rate adalah di GF Safwa tower bersebelahan pintu masuk ruang parking.

30. Datang awal ke masjid sebelum masuk waktu untuk elakkan kesesakan.

31. Kalau nak ubah selera ada food court di Hilton tower menjual ikan yang digoreng bersama bawang, lada dan spices atas hot plate bersesuaian dengan selera kita dengan harga SR25.

32. Selipar jepun adalah selipar yang paling tidak comfy dan orang jepun sendiri tidak memakainya. Cari selipar yang comfy di Malaysia kerana akan memakainya setiap masa ditanah suci. Lagi pun 50% jemaah Haji serata dunia (1 juta orang) akan memakai flip flop serupa dan akan senang hilang atau bertukar.

33. Sekarang pendaftaran simcard perlukan nombor visa dan pengimbasan cap jari. Sila ambil gambar visa dengan hp sebagai rekod kerana paspot akan disimpan oleh muassasah. Ada pekerja bangla menjual simcard 'Libera' telco tanpa perlu pendaftaran. Celcom ada pakej Haji unlimited data (bersama Mobily) dengan rate yang berpatutan.

Selamat berangkat dan semoga Allah permudahkan semua urusan mendapat Umrah dan Haji yang Mabrur. Aamiin.

*tambah lah lagi tip yang berguna dari kekawan yang pernah menunaikan Haji.

Sila share untuk panduan semua.




Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.