SLIDER

berkat
Showing posts with label berkat. Show all posts

Mak Ayah, Bila Mereka Sudah Tiada Lagi Di Dunia Ini, Hilanglah Sumber Doa Mustajab

16 Jul 2025



Mak ayah, bila mereka sudah tiada lagi di dunia ini, hilanglah sumber doa mustajab. Doa mustajab, itulah doa terbaik mak ayah untuk anak-anak. Sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk anak-anak.

Mak Ayah, Bila Mereka Sudah Tiada Lagi Di Dunia Ini

Tanpa mak dan ayah, siapalah kita. Tanpa mereka kita tak akan ada di dunia ini. Jangan sesekali sombong atau hilang hormat pada mak ayah. Kejayaan kita hari ini adalah doa mustajab daripada mereka yang tidak pernah putus untuk melihat kita gembira dan berjaya.

Ikuti perkongsian daripada Khairul Anuar Basri ini. Sehebat mana kita, tanpa mak ayah dan doa mustajabnya kita tak akan hidup senang. Jangan sesekali derhaka, sayangilah mereka.

Kita ada seorang saja ayah dan seorang ibu. Kalau ada orang yang tak ada ayah sebab dia tak tahu siapa ayah dia pun, dia mesti ada seorang saja ibu.

Pergilah ke mana-mana masa kita hidup ni, kita akan bawa nama ayah kita bersama-sama kita. Bila kita mati, imam yang baca talkin akan sebut nama kita dan ibu kita.

Besar dan hebatnya pengaruh ayah dan ibu pada hidup kita. Tanpa mereka berdua, tak adalah kita.

Tak ada orang yang boleh sayang kita lebih daripada ayah dan ibu kita sayang kita. Walau kita pernah jumpa orang yang sayang kita lebih daripada mereka berdua, hakikatnya tak akan ada orang yang boleh sayang kita macam ayah dan ibu kita sayang kita.

Kita wajib sayang ayah dan ibu kita. Ini perintah Allah dalam Al-Quran. 6 kali Allah sebut suruh kita sayang dan buat baik dekat ayah dan ibu kita.

Masa mereka hidup, kita sayang mereka dengan cara taat dan berbuat baik kepada mereka. Tak boleh mengherdik mereka, meninggi suara dengan mereka, jangan sesekali kata ‘uh’ atau ‘ah’ pun pada mereka, merendah diri dengan mereka dan mesti cakap hanya dengan perkataan yang mulia saja dengan mereka.

Hilanglah Sumber Doa Mustajab

Bila mereka meninggal, kita juga mesti sayang mereka dengan cara kita buat amalan kebaikan demi mereka, cuba kita hubungkan silaturahim dengan kawan-kawan baik mereka dan kita berdoa mohon Allah ampunkan dosa mereka.

Rasulullah SAW sebut, ada ketikanya di dalam syurga, darjat ayah dan ibu ditinggikan oleh Allah sampai mereka pun jadi pelik. Lalu mereka bertanya kepada Allah, kenapa jadi begitu?

Allah SWT beritahu, darjat ayah dan ibu diangkat di dalam syurga setiap kali ada doa minta ampun untuk mereka daripada anak-anak. Jadi jangan jemu berdoa untuk mereka kebaikan di dunia dan keampunan di akhirat.

Jika ayah dan ibu kita masih hidup, selalulah minta mereka doakan kita. Ingat, sekali mereka dah mati, maka tamatlah riwayat sebuah sumber doa yang mustajab.

Sayangilah mak ayah selagi mereka masih ada. Doakan kebaikan mereka dunia akhirat.

Kredit: Khairul Anuar Basri

Kredit : Mingguan Wanita


Umur Dah Masuk 40 Tahun ? Hati-hati Dengan Ujian Yang Lebih Mencabar !

27 Apr 2024


"Berhati-hati di usia 40 tahun"


Umur 40 tahun ialah umur dimana kebanyakan kita mula diuji. Ujian boleh datang dari ibubapa (jatuh sakit, kematian), atau dari pasangan hidup (perceraian, jatuh sakit) atau dari anak-anak yang meningkat remaja.

Memang bermula 40 tahun, Tuhan akan memanggil kita pulang bertaubat kepadaNya. Panggilan dari Tuhan selalunya berbentuk ujian. Kerana hanya dengan itu kita akan kembali bersimpuh dan bersujud mengadu dan memohon pertolonganNya.

Orang yang bijak akan memperbaiki diri dan amalannya, memperbaiki hubungan dengan ahli keluarganya, berjimat menyimpan untuk hari tuanya. Semua dengan niat mahu berkumpul bersama di syurga nanti.

Orang yang kurang bijak tetap leka dan langsung tak membuka deria terhadap panggilan Tuhan. Malah dikala orang lain semua bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan, dia pula mencari masalah baru.

Usia 40 ini menjadi lebih menarik apabila al-Quran di dalam surah "al-Ahqaaf ayat 15" ada menyebut tentang itu. Allah berfirman yang bermaksud,

"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhan ku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal salih yang Engkau redhai dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepada Mu)."

Ada segelintir golongan yang sudah berumur 50 tahun, 60 tahun, malah 70 tahun, masih memikirkan kereta Sportnya, tanaman Duriannya, ternakan kerbaunya, harta2nya, anak2 dan cucu2nya. Alangkah baiknya jika apabila sudah berumur, masa diisi untuk mendengar Kuliah Agama, ibadat di Masjid, Umrah, Haji dan sebagainya.

Ada yang masih merasakan diri muda belia. Melayan nafsu yang marak menyala padahal kedut dan uban dah tumbuh merata. Sibuk mencari cinta diluar, sedangkan rumahtangga yang halal dibiar berantakan.

Ada yang rasa macam masih sihat, walaupun sahabat2, sedara-mara ramai yg sudah meninggal, kadangkala tanpa disangka. Itu semua hanya menjadi bahan cerita "ehh, tak sangkaaa...muda lagi, sihat je nampak, boleh meninggal..."

Amatlah menyedihkan tatkala orang lain bersiap bertemu Tuhan, kita masih ralit dibuai perasaan akibat tertipu dengan nafsu sendiri.

Nafsu memang tak pernah tua. Ia sentiasa muda dan galak. Yang semakin lelah dan tua adalah tubuh dan kudrat kita.

Rasanya jika Tuhan menghalang tubuh manusia mengalami penuaan, pasti kita semua lebih leka, lebih degil untuk menyahut panggilan pulang. 

Sehinggalah tiba saat roh kita diheret dan diseret kembali merengkuk di hadapan Tuhan.

Kita hidup di dunia, tidak lama.. Rasulullah, Sallallaahu alaihu wasallam, telah bersabda:

“Umur-umur umatku antara 60 hingga 70 tahun, dan sedikit orang yang bisa melampaui umur tersebut”. [HR. Ibnu Majah: 4236].

Kalau sekarang kita rasa 40 tahun atau 70 tahun itu lama, bagaimana setelah alam barzakh atau akhirat juga kita dibangkitkan dan hidup dalam waktu yang sangat lama, SATU HARINYA = RIBUAN TAHUN…

Ingat, ketika itu tak ada yang berguna kecuali amal baik kita..

Oleh karena itu, lihatlah diri Anda, sudahkah dia mempersiapkannya…?!

Allah ta’ala berfirman (yang artinya):

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kalian kepada Allah, dan LIHATLAH DIRI MASING-MASING apakah yang sudah ia PERSIAPKAN untuk KEHIDUPAN ESOKNYA”. [Al-Hasyr:18]

Mari kita dekatkan diri dgn Allah, rajin2 Solat Jemaah, tunaikan Zakat, Haji, Umrah, puasa dan sebagainya. Tunaikan yg Wajib dahulu, dan tingalkan larangan insyaAllah.

By:Miracle sidrah protection

Peniaga Yang Tidak Solat

5 Sept 2017


Assalamualaikum..syukur kalau admin post cerita aku ni sebab aku nak kongsi pengalaman aku pasal solat. aku berumur 26 tahun dan baru menimang cahaya mata. hihi 

Aku tertarik dengan isu solat yang baru-baru ni bersiaran di page ni. Aku pun nak cerita pengalaman bertemu dengan orang yang tak solat. 

Lepas aku tamat belajar, aku kahwin, dan beberapa bulan lepas tu aku disahkan mengandung. Alhamdulillah rezeki. Suami aku suruh aku berehat je dekat rumah sebab alah. Lepas beberapa bulan, aku dah sihat dan minta izin untuk cari kerja, suami aku kata ok sebab tahu aku bosan duduk rumah je. Aku tak kisah kerja apa,janji tak duduk sorang sorang dekat rumah. Dalam banyak banyak tempat aku p minta, satu kedai makan ni je yang nak ambil aku kerja sebab dia tak cukup pekerja. Ada dua pekerja tetap, campur aku jadi 3 orang lah pekerja. 

Jadi aku pun kerja lah dengan riang nya dan seronok sebab dapat kerja. Kedai makan ni jual mee kari, mee rebus, laksa, bihun sup, ABC, cendol. Haaa..memang menyelerakan. Lokasi di tepi jalan dan merupakan laluan orang ramai yang nak pergi bercuti. Suasana memang best sebab angin tiup sepoi sepoi bahasa je dekat sini. 

Suami pemilik kedai ni dah buat kedai tu macam rumah kedua diorang, sebab ada satu bilik untuk dia dan anak anak berehat lepas balik kerja dan sekolah. 

Ok, tu semua latar belakang kedai tu. Masa kerja aku kerja dan tiba waktu solat aku kata nak solat. Aku tanya makcik Ani, nak tumpang solat boleh ke? Makcik Ani macam tercengang dan p tanya bos, ‘zu dia nak tumpang solat dalam bilik ni boleh tak?’. Bos tu aku panggil dia kak zu. Kak zu masuk bilik tu bagi aku sejadah dan telekung. Dalam bilik tu penuh baju dan anak anak dia tengok tv. Bilik tu sempit ja, aku kena solat celah celah tempat yang anak dia tak duduk. Bersyukur juga la,kerja kedai makan tepi jalan yang ada tempat boleh solat. 

Seminggu aku kerja, aku perhati je semua pekerja termasuk kak zu tu. Tak pernah pun diorang ni solat. Makcik Ani yang umur dah nak 50 tahun pun tak solat, tapi aku bersangka baik,mungkin diorang solat masa aku tengah ambil order, aku yang tak perasan kot. 

Bila dengar azan, kak zu akan cakap, ‘ha dah azan, p lekaih solat, satgi bila ramai orang kami pening kepala’. Aku kata dalam hati bagusnya dia suruh aku solat awal. 

Dua tiga minggu kerja, aku tak pernah langsung nampak diorang ni p solat tapi selalu suruh aku p solat. Kadang kadang tanya aku ‘hang dah solat ka?’ 

Satu hari tu aku sembang dengan kak zu, kak zu kata ‘dulu kak macam hang la, solat tak tinggai, pakai baju labuh, stokin tangan, stokin kaki semua. Tapi lepas kahwin dengan abang semua hilang’.
Jadi aku tau la diorang ni tak solat tapi jual makanan bagi orang makan dan kak zu ni rajin bagi diskaun pada customer katanya kak sedekah. 

Aku pernah baca air tangan orang tak solat ni tak boleh makan. betul ke? Aku tak pasti sumber yang aku baca tu boleh dipercayai ke tidak. huhu tapi aku tiap tiap hari dok makan macam macam dalam kedai ni,macam mana ni??. 

Aku dapat tahu pula yang kak ni punya supplier bahan mentah dari orang cina. Ayam pun dari kedai cina dan aku mula ada keraguan dengan status halal ayam tu. 

Lepas banyak keraguan dan rasa tak berapa suka dengan situasi bekerja tu,aku buat keputusan nak berhenti lepas dah 5minggu aku kerja, aku rasa sebagai wanita mengandung aku tak larat nak kerja dekat kedai makan, dan aku tak mau makan makanan yang aku ragu ragu. 

Lepas berhenti kerja aku duduk rumah ja buat bisnes online. Hampir sebulan aku berhenti kerja kedai makan tu, kak zu mesej tanya aku dah dapat keja lain ke? Kalau tak kerja lagi dia minta aku tolong datang kerja seminggu sebab pekerja dia cuti. Banyak kali minta tolong, aku memang dah berat hati nak p kerja kedai dia. 

Aku pun p la kerja untuk seminggu. Masa solat aku cari telekung dengan sejadah dan aku nampak lipatan telekung dan sejadah sama macam aku lipat sebulan yang lepas. Aku rasa sedih dan tak tahu macam mana nak tegur, sebab dari pemerhatian aku kak zu dengan makcik ani ni baik tapi tak solat dan tak jaga aurat. 

Dari segi pemakaian pula, baju tangan pendek,tudung pendek, seluar ketat. Aku pula yang malu. Aku nak tanya, wanita Islam yang berpakaian macam tu, tak rasa malu ke? 

Aku pelik, kenapa ada sesetangah orang macam tak kisah je pasal solat? Mungkin dunia akhir zaman, orang yang nak solat pula rasa malu bila nak p solat, yang tak solat relaks ja. huhu dunia akhir zaman. 

Aku harap aku tidak mengata orang dan jika ada salah boleh beri teguran. 

Terima kasih 

– nur

Berkat ? Rezeki Tanpa Di Sangka ...

25 Aug 2017


Isnin lepas, saya buat keputusan untuk balik ke Bangi awal pagi selasa. Isteri pun minta saya rehat secukupnya sebelum balik nanti. Saya pun tulislah dalam grup WhatsApp keluarga yang saya akan balik ke-esokkan harinya dan selang beberapa minit abang saya menjawab, “bolehlah masak lagi,”

Saya ok sahaja.

Dari Temerloh nak ke Mentakab, saya duk berkira-kira nak masak apa. Duit sudah tinggal RM30 di dalam dompet. Saya pun kenyit-kenyit mata ke orang rumah, dan dia pinjamkan RM100. Saya melenggang sahaja masuk ke pasar dan cari apa yang sesuai untuk dimakan bersama sekeluarga. Ya, kali ini tujuh-tujuh beradik balik. Campur tolak lebih kurang ada 20 orang tidak termasuk yang dalam perut. Kikikiki.

Sudah semalamnya makan rendang ayam, ikan patin tempoyak, udang masak lemak bagai, jadi saya pun belilah tulang lembu dalam empat kilo campur sedikit ekor dan dapatlah sedikit daging tak sampai satu kilo. Dalam kepala saya, adik-beradik saya tak adalah suka bebenor makan malam. Semua kaki TV dan kaki sembang kalau malam-malam buta ni. Jadi, duit yang ada tu bolehlah cukup-cukup. Alhamdulillah.

Dalam perjalanan balik ke rumah emak, isteri saya memberi penerangan luar biasa. Katanya macam tak cukup jumlah tulang dan daging yang saya beli. Dia kata kalau keluarga dia, itu memang tak cukup. Ok saya sudah tak keruan.

Sampai sahaja di rumah, saya buat-buat tak beli kentang. Ha ha ha, jadi pesanlah kata Abang yang kurang kacak dari saya belikan. Kemudiannya beliau belikan roti. Oh hoi, masa tu saya sudah berdebar-debar. Lain macam aura nak masak sup malam ini. Cukup ke idak ni?

Saya pun punggahlah periuk emak yang paling besar. Didihkan air. Siapkan semua bahan dan masukkan dalam periuk. Ya Tuhan, hanya ada ¼ sahaja isi di dalam periuk tersebut. Tambah dengan kentang pun masih nampak sedikit. Saya kool sahaja masak sampai siap, terkumat kamit baca selawat bagai, ha ha dalam hati ini duk berdoa yang penting semua dapat merasa seorang sedikit pun oklah.

Sambil tunggu sup masak, Abang saya ajak solat sama-sama. Kami pun solatlah Jemaah beramai-ramai. Waktu ini Tuhan sahajalah yang tahu saya berdoa bagaimana. Macam nak ambil keputusan SPM, setiap sujud saya duk mohon Ya Tuhan, cukupkanlah sup aku malam ini. Ha ha ha.

Siap sahaja masak, Abah saya ambil semangkuk besar. Menggunung tinggi. Katanya dia dah lama mengidam. Saya telan air liur. Anak-anak saudara yang dah besar panjang pun mengulang-ulang ambil. Isteri juga boleh tahan menambah-nambah, abang kakak yang dah berkahwin kemain kongsi mangkuk cicah roti sama-sama. Saya sudah berdebar-debar. Takkan nak sound yang tulang tu sikit je?

Kakak ipar saya yang berbadan dua juga ambil, bertambah-tambah. Makan pula dengan kicap cili, fuh meletup. Saya relak dan kool bertahan jangan ambil lagi. Konon-konon badi orang masak tak berapa lalu nak makan. Saya perhati sahaja semua dah ambil dan siap tanya semua dah makan ke belum.

Saya pun ke dapur. Ambil senduk dan ceduk. Eh kenapa banyak lagi? Saya pun tanya dua tiga kali pada semua orang, betul ke semua dah makan? Ya semua angguk.

Saya pun cakap dengan emak, satu-satunya yang duk tengok jumlah yang saya beli masa saya membasuh tulang dan daging tadi. “Kenapa banyak lagi eh mak? Macam pelik pulak, Kan semua orang ambil banyak-banyak.”

Emak jawab relak je macam tak ada apa-apa,

“Berkat,”

Saya pun terdiam. Hirup sup perlahan-lahan, jadi orang terakhir yang menjamah masakan sendiri. Tuhan tolong saya dengan cukup bergaya malam itu. Cukup sekadar memberi gembira kepada perut sekeluarga. Jika pada malam itu mereka tidak tahu cerita ini, hari ini mereka bakal tahu.

Saya tidaklah banyak wang ringgit nak bantu keluarga dengan menabur-nabur kekayaan, tetapi ada sedikit kemahiran memasak bolehlah untuk beri gembira emak abah melihat anak-anaknya berkumpul makan sama-sama.

Dalam dunia ni, kalau dapat kau kongsi kemahiran yang kau ada dengan adik beradik dan keluarga, itulah syurga yang kau dapat semasa kau hidup. Mereka ini adalah manusia yang pernah berkongsi rahim dalam perut emak. Mendapat segala zat dan makanan dari mulut emak dan kemudiannya dapat didikan dan asuhan dari tangan emak bapak kita sendiri. Itulah namanya adik beradik.

Walau Tuhan beri seribu kepelikan dan banyak perbezaan kita sesudah kita dewasa, adik beradik tetap adik beradik. Keluarga tetap keluarga.

Malam itu Tuhan tolong saya, mungkin sebab saya tolong emak gembirakan semua anak-anaknya.

Kawan-kawan,
Bila balik kampung, boleh sahaja kita tolong mana yang kita tahu. Jika hanya tahu masak air, boleh tengok-tengokkan air dalam peti ais, boleh juga perhatikan ada air panas ke tidak. Jika kita hanya tahu mengemas, boleh sahaja kita ringan-ringankan tulang mengemas sana sini. Semua itu akan jadi kesayangan dalam pandangan Tuhan.

Jika nampak ada pinggan di dalam singki belum berbasuh, lalu sekejap basuhlah sebentar.

Tolong emak, tolong bapak banyak-banyak. Tuhan pula akan tolong kita banyak-banyak. Tak secara cash, mungkin Tuhan akan beri kita anak-anak yang rajin, atau Tuhan beri kita rezeki yang kita tak sangka-sangka.

Khairul Hakimin. Muhammad
Anak ke-lima, paling kacak. Nak jugak tak kira.


Kredit : Fb Khairul Hakimin Muhammad




Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.