SLIDER

malas
Showing posts with label malas. Show all posts

Apa Pun Jadi, Jangan La Tidur Dalam Kereta Masa .....

26 Apr 2022


Apa jadi pun, jangan la tidur dalam kereta masa kereta tgh idle/tak bergerak sebab ianya boleh membunuh. Dah banyak kes sebelum orang mati sebab tidur dalam kereta, tapi masih ramai yang buat jugak.

Macam baru-baru ni area rumah aku black out. Aku tengok ramai orang keluar rumah, start enjin, duduk dalam kereta sebab konon-kononnya panas takde kipas dalam rumah. Alahai, panas ape la sangat. Lain kali standby satu kipas jepun. Paling senang amik suratkhabar buat kipas. 

Sama juga kat RnR highway especially waktu malam. Aku tengok ramai yang tido dalam kereta sambil engine dan aircond on. 

Tidur dalam kereta bahaya kalau:
1. Engine on, aircond on, tingkap fully tutup.
2. Engine off, aircond off, tingkap fully tutup. 

Bila engine on dan kereta idle dalam jangka masa yang panjang, kebocoran gas CO daripada ekzos boleh masuk ke dalam cabin penumpang. Ada dua cara CO membunuh, pertama ianya akan menyerap ke dalam darah bersama oksigen dan dipam ke seluruh badan dan merosakkan organ. Kedua CO akan bergabung dengan Oksigen membentuk CO2 (karbon dioksida).

Maka oksigen yang tinggal akan berkurangan dan penambahan gas CO2 akan menyebabkan keracunan. Lebih teruk orang selalu tutup tingkap rapat bila on aircond dan sebab nak tidur. 

Kalau engine off, tapi tingkap tutup rapat, akan sebabkan kekurangan oksigen. 

Boleh kalau nak tidur dalam kereta tapi tingkap tu kene turunkan sikit. Agak cukup tangan dari luar tak boleh masuk. Aku pun selalu kalau nak tidur aku akan off aircond dan turunkan tingkap sikit. Jangan turun banyak sgt, nnti pencuri boleh bukak dan kalau nak tidur, parking kat tempat yang ramai orang. 

Bila korang terperangkap dalam traffic jem, mesti korang akan rasa pening kan? Mungkin korang ingat sebab kereta yang kerap bergerak dan berhenti tapi sebab sebenarnya ialah keracunan CO. Masa traffic jem, penghasilan gas CO akan lebih banyak bila banyak kenderaan berkumpul bersama. Apa yang korang perlu buat bila rasa pening masa traffic je, ialah bukak tingap sekejap dalam 30 saat. Bagi oksigen masuk sikit dan keluarkan CO dari cabin. 

Kesimpulannya, elakkan la tidur dalam kereta kalau bukan hal emergency. 

# Copy sumber dr slh satu komen dr pengguna facebook 'Nizam Nasir'.





Temuduga , Generasi Sekarang Ramai Yang Biadap , Hanya Tin Kosong

20 Sept 2017



GENERASI muda hari ini perlu sentiasa meletakkan ego mereka pada tempat yang betul dan jangan sesekali bersikap kasar terutamanya ketika menghadiri temuduga pekerjaan.  

Walaupun mereka digalakkan berani mencari peluang dan bersikap lantang, ia tetap ada batasnya. Lantang dan berani tidak bertempat, hanya menimbulkan persepsi buruk dan menyukarkan lagi mereka mencari kerja. 

Pengarah Eksekutif ZY Phyto, Sharifah Ameelia Akma Mohd Ramly mengakui berdasarkan pengalamannya, generasi baru agak biadab, tidak sopan, manja, berkira, meminta-minta dan kurang rasa tanggungjawab. 

Menurutnya, kebanyakan graduan muda yang diambil bekerja juga tidak menunjukkan kesungguhan, semangat, minat, prestasi dan bertanggungjawab  seperti generasi terdahulu. 

“Saya sering menerima permohonan kerja daripada lepasan universiti dan latihan praktikal daripada pelajar tahun akhir, penganggur tapi daripada banyak permohonan, biasanya hanya dua, tiga sahaja yang memuaskan hati dan layak dipanggil temuduga. Yang lain tu boleh saya kategorikan sebagai ‘cakap sampah’ yang layak dibakul sampahkan. 

“Walaupun tidak semua, tapi ramai generasi muda sekarang tidak begitu bersemangat dalam dunia pekerjaan mereka. Baginya kerja itu bukan suatu kerjaya tapi sekadar kerja,” katanya kepada Sinar Harian. 

Katanya, lebih teruk, golongan ini hanya berfikir melakukan kerja mereka tanpa mempedulikan aktiviti pejabat, objektif syarikat dan petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan. 

“Asal cukup bulan dapat gaji cukup. Kalau rasa bosan, lompat cari kerja lain. Kalau tiada kerja pun masih boleh bergantung duduk dengan mak bapak,” katanya. 

Kata Sharifah Ameelia lagi, apa yang menyedihkan, kebanyakan mereka tidak bersedia terutamanya penyediaan resume dan tidak melambangkan sebagai lepasan universiti. 

“Dari segi penulisan pula, ada yang agak memalukan dan tiada mukadimah atau permohonan selayaknya. Surat permohonan rasmi kebanyakan tidak mengikut format yang betul, banyak kesalahan ejaan, penggunaan tatabahasa yang carca-marba. 

“Ayat yang digunakan pun sangat pasar dan kebudak-budakan macam tulis surat kepada kawan, tidak serius malah resume pun ada yang satu muka surat, maklumat tidak lengkap, tiada gambar dan pelbagai lagi kelemahan, dalam erti kata lain, memohon sambil lewa. 

“Ada yang dengan muka kurang sopan terus bertanya berapa gaji boleh bagi dan ‘demand’ melalui talian, WhatsApp atau email walaupun belum lagi ditemuduga!,” katanya. 

Katanya lagi, majoriti majikan mengutamakan sikap, berbanding akademik kerana ia mempengaruhi gaya individu itu bekerja. 

“Zaman teknologi memungkinkan sebahagian pemegang ijazah memiliki sifat dinamik dan berkebolehan secara holistik. Boleh jadi juga ada pemegang ijazah yang hanya boleh berkata-kata apabila ada buku atau manual pekerja di tangan mereka. 

“Majikan lebih mementingkan karakter pekerja seperti kebolehan kecerdasan minda, keupayaan memimpin, membuat keputusan, bekerja dalam kumpulan, kemahiran komunikasi, membuat perancangan, tahap integriti yang tinggi dan komited,” katanya. 

Ditanya kenapa generasi muda sekarang terlalu lantang, Sharifah Ameelia berkata ia mungkin disebabkan perubahan teknologi, pembelajaran yang lebih kepada maya dan peranti, maka interaksi sesama manusia semakin seperti robot tanpa dilapik dengan perasaan, jiwa dan rasa hormat.. 

“Generasi muda sekarang kurang budi bahasa, nilai murni sama ada dari segi sikap pemikiran dan tanggungjawab serta pembangunan akhlak. Mungkin kerana perubahan teknologi, pembelajaran yang lebih kepada maya, maka interaksi sesama manusia semakin kurang perasaan, jiwa dan rasa hormat," katanya. 

Enam punca gagal temu duga kerja 

1. Penampilan kurang menarik
- Perkara pertama yang dilihat oleh penemu duga terhadap calon adalah penampilan awal. Di sini ia memainkan peranan yang penting untuk menarik minat penemu duga. 

2. Resume tidak menepati kehendak
- Calon gagal menyediakan resume yang mantap dan lengkap. 

3. Tidak dapat meyakinkan penemu duga
- Calon gagal meyakinkan penemu duga mengenai kelebihan atau kebolehan dimiliki. 

4. Tidak mampu berhujah dengan baik
- Calon tidak bijak berbicara dan melontarkan hujah terhadap sesuatu perkara yang dibangkitkan oleh penemu duga 

5. Tidak berpengetahuan dan menipu
- Calon memberi jawapan sesuka hati sedangkan lebih baik jika calon mengakui bahawa tidak tahu untuk memberi jawapan. 

6. Komunikasi
- Cara berkomunikasi kurang berkesan iaitu tidak menggunakan bahasa yang lebih formal.

Semua Saya Tanggung !! Mentua, Kakak Ipar, Adik Ipar, Biras Dan Anak Buah, Tapi Gara-Gara Tak Bagi Pinjam Kereta, Semuanya ....

15 Sept 2017


Di dalam alam bertumahtangga, ramai yang inginkan hubungan dibina bahagia , tetapi bukan semua orang bernasib baik untuk menjalani kehidupan bahagia seperti yang diimpikan itu dan akhirnya berakhir dengan penceraian.

Kadang-kadang hubungan yang dibina dengan suami tiada masalah, tetapi kerana campur tangan keluarga hubungan itu musnah.

Meluahkan perasaannya di dalam iium Confession BM, seorang wanita malang menceritakan kisah hidupnya yang begitu memeritkan.

Bukan kerana sang suami curang atau tidak sayang, tetapi kerana keluarga suami yang terlalu mengambil kesempatan atas kebaikannya sehingga dia hilang sabar menyebabkan dia dipukul dan difitnah.

Jom kita baca luahannya.

Akak Ipar, suaminya & Ibu Mertua yang melampau"

Assalamualaikum. Maaf jika saya gunakan medium ini untuk meluah perasaan, sebelum itu, selamat mennyambut bulan Ramadhan semua. Saya bekas penuntut UIA, graduasi pada tahun 2007.

Saya baru bercerai dengan suami dua minggu sebelum bulan Ramadhan. Saya redha jika dah tertulis jodoh kami hanya setakat itu sahaja. Bukan niat saya nak mengaibkan namun diharap apa yang saya ingin tulis dapat dijadikan iktibar buat diri saya sendiri dan orang lain.

Saya berkahwin dengan suami 3 tahun lepas, di mana ketika itu kami berdua sudah mempunyai kerjaya stabil. Suami saya bekerja sebagai guru di sekolah rendah dan saya di sebuah syarikat swasta, pendapatan saya lebih tinggi daripada suami tapi suami tetap beri duit belanja kepada saya. Jujur saya kata, ex suami saya seorang yang baik dan bertanggungjawab. Bila saya cakap bertanggungjawab, ex suami memang akan melebihkan keluarganya sendiri. Pada mulanya saya sangat bersyukur sebab ex suami tidak lupa tanggungjawab pada ibu dan keluarganya namun semuanya berubah selepas saya kenal sendiri bagaimana perangai mereka.

Sekali lagi, bukan niat mengaibkan. Begini, pada mulanya selepas kami berkahwin, ex suami mengajak saya tinggal di rumah keluarganya atas desakan ibunya. Ex suami merupakan anak kedua daripada 4 orang adik beradik, kakaknya sudah berkahwin dan mempunyai dua org anak (juga tinggal di rumah ibu mertua saya), dan dua adik-adiknya seorang di kolej dan seorang masih bersekolah. W/pun keberatan, namun saya ikutkan juga dan berfikiran ada baiknya boleh mengeratkan hubungan dgn ibu mertua saya.

Long story short, bermulalah satu-satu perkara berbangkit. Pertama, sejak kami masuk di situ, ibu mertua, kakak ipar & abang ipar mula lepas tangan dalam soal belanja rumah. Pada mulanya, saya sangat tidak kisah sebab gaji saya dan suami mencukupi untuk menanggung belanja rumah mertua saya spt barang basah, duit dapur, bil elektrik & air. Mereka juga minta dipasangkan wifi dan astro di rumah tersebut (sebelum ini tiada) Kami berpakat memperuntuk RM1000 untuk kesemua tersebut. Kami juga menanggung adik-adik suami yang masih belajar. Namun, lumrah manusia, tidak menghargai malah tamak.

Konflik pertama apabila kakak ipar & suaminya mula mengharap pada saya dan suami soal biaya anak-anak mereka (9 & 12 tahun). Kakak ipar tidak bekerja, suaminya pula sangat malas bekerja, ex suami saya pernah beritahu abang iparnya selalu bertukar-tukar kerja, sama ada dibuang kerana selalu ponteng dan tidur di rumah. Sekarang suami kakak ipar mengambil upah menolong kawannya menjaga gerai pasar malam.

Isunya, mungkin bagi mereka kami bergaji tinggi jadi tidak salah meminta tolong, saya pun pada mulanya kesian memikirkan kesusahan mereka namun makin lama makin naik lemak sampaikan suami abang ipar mula minta duit setiap minggu daripada kami termasuk duit rokok, minyak, topup dan pernah minta juga dibelikan telefon baru. Suami mula tidak gemar dan pernah 'sound' abg iparnya namun kakaknya marah dan cakap suami kedekut, ibu mertua juga mula berkata suami berkira dengan adik beradik dan pernah menuduh saya yang menghasut suami.

Demi Tuhan, saya tidak pernah melarang suami menolong adik-beradiknya namun saya perasan kakak ipar dan suaminya suka mengambil kesempatan. Sudahlah menumpang di rumah ibu, tidak keluarkan satu sen pun untuk apa-apa sejak kami pindah masuk (sebelum ini pun mengharap pada duit pencen arwah ayah suami). Kemuncaknya apabila seperti mereka mengajar anak-anak mereka meminta duit sekolah pada saya. Saya akan berikan namun semakin lama anak-anak mereka juga berharap pada saya untuk duit sekolah mereka, duit tuisyen, buku, yuran, baju sekolah dan semua.

Pernah satu hari, anak mereka yang darjah 6 pulang sekolah dan cakap sekolahnya buat lawatan ke Langkawi dan perlu bayar RM120 untuk menyertai.

Dengan selamba mak ayah dia cakap

"mintak dengan cikngah (saya), mintak RM500 sekali duit belanja and mak nak pesan barang jugak alang-alang pergi sana" 

Saya yang mendengar di dapur mula rasa menyirap, kerana senang-senang kakak ipar saya cakap macam tu.

Anaknya datang dan cakap

"cikngah, nak RM500 esok, ada lawatan." 

Kemudian terus berlalu. Suami saya ada masa tu and cakap pada kakaknya kalau anak dia nak pergi mana-mana, dia dan suami la bertanggungjawab, jangan mengharap kat orang. Kakak ipar tarik muka, bila suaminya balik, dia mengadu dan terus jadi bertekak dan dikatakan kami berkira. Saya taknak suami saya bergaduh jadi saya berikan juga RM500 pada anak buah saya tu.

Sebenarnya banyak lagi, terlalu panjang. Ibu mertua saya juga sangat suka dibelikan macam-macam, saya tak pernah menghalang suami saya berbelanja pada ibunya namun mertua tidak pernah puas. Pernah sekali saya beli beg tangan untuk diri saya dengan duit saya sendiri, bila mertua nampak dia cakap dengan suami saya kenapa belikan kat saya dan tak belikan pada dia juga, suami terangkan yang saya beli dengan duit saya sendiri dan mertua terus marah saya dan cakap saya membazir, lebih baik beri pada dia buat beli barang rumah, sedangkan apa yang kami beri lebih pada cukup. 
Paling saya marah, syarikat saya berikan saya bonus dalam bentuk percutian atas prestasi kerja beberapa bulan lepas atas tender yang berjaya. percutian 4 orang ke Korea, jadi saya decided untuk bawa suami, ibu saya dan adik saya.

Mertua sangat marah sebab tidak bawa dia (mertua suka tengok drama), marah yang melampau sangat sampai cakap saya menantu tak sedar diri, berkira dengan dia, pergi bercuti tak ingat mak dah macam-macam lagi.

Ditambah lagi dengan batu api kakak ipar yang turut tidak puas hati pada kami. Tapi masa tu saya dah tawar hati dengan mertua and kakak ipar jadi saya terus je pergi bercuti dua minggu dengan suami, ibu dan adik saya. Tapi apabila balik, saya tetap belikan macam-macam buah tangan untuk mereka. Mereka masih lagi perli saya dan cakap macam-macam di belakang saya.

Kemuncak semua perkara ini adalah perangai kakak ipar & suaminya. Mereka ada sebuah motor sahaja untuk urusan transport, itupun sebenarnya ihsan arwah ayah mertua. Digunakan suami kakak ipar untuk pergi kerja. Saya dan suami mempunyai 3 kereta, 1 milik suami dan 2 milik saya. Saya beli viva second hand ketika masih menuntut di UIA ketika itu menggunakan duit hasil kerja part time dan sebahagian duit biasiswa untuk memudahkan saya belajar ketika itu.

Tahun kedua kerja, saya beli kereta baru yang lebih selesa. Saya bercadang memberikan kereta viva tu kepada adik perempuan saya (18 tahun) selepas dia siapkan lesen dan masuk universiti. Kakak ipar dan abang memang selalu pinjam kereta viva tu untuk mereka anak beranak dan saya tidak kisah pun, cuma lama-lama mereka buat seolah-olah harta sendiri pula. road tax, minyak masih harap saya yang bayar.

Kakak ipar suruh ibu mertua cakap dengan saya supaya berikan kereta tersebut pada dia dan suami. Ibu mertua juga suruh begitu, namun saya cakap baik-baik tidak boleh sebab dah janji dengan adik. Ibu mertua dan kakak ipar cakap saya tidak mahu menolong sesama ipar.

Bagi saya, kalau nak, usaha lah, jangan nak semua benda free, lainla mereka cakap mereka nak beli daripada saya. Bukanlah saya kedekut, tapi hasil penat saya ikat perut zaman universiti untuk beli kereta tu supaya memudahkan saya bergerak, saya taknak adik saya rasa susah macam saya, sebab tu saya janji nak beri pada dia.

Kemuncaknya, saya dah beritahu mereka saya akan balik ke rumah saya dah akan bawa kereta viva tersebut untuk beri pada adik saya. Mereka cuma diam jadi saya rasa tiada masalah. Saya nak balik pada hari jumaat, pada hari rabu itu, bila saya balik kerja, saya tengok kereta viva saya tiada, saya assumed kakak ipar dan abang pinjam la kot untuk pergi mana-mana. Saya tak kisah.

Esok pagi nak pergi kerja, kereta masih tiada, saya dah tak sedap hati, balik kerja tu, saya tengok masih tiada.

Saya tanya ibu mertua saya, mana kakak ipar dan abang? Pinjam kereta ke? Ibu mertua dengan selamba cakap

"oh diorang dah balik kampung abang ko kat kelantan, tak tahu balik bila. ko pun bagi-bagi je la kereta tu kat diorang, kesian diorang takde kereta, jangan berkira sangat, ko banyak duit tak berkat hidup ko kedekut."

Darah saya menyirap, dan masa itulah saya terlalu marah. Rasa dipergunakan jadi saya marah ibu mertua saya dan kami berperang besar. Saya cakap ibu mertua saya ambil kesempatan, rumah ni pakai duit saya, dengan nak membela anak-beranak kakak ipar dan abang macam biawak hidup, dan saya terus ditampar ibu mertua. 
Saya dah tak tahan, saya kemas barang saya, saya cabut semua wifi rumah dan panel astro. Bukan saya berkira, namun saya dah tak tahan sangat. Masa pergi bercuti di Korea baru ini pun, ibu mertua perli ibu saya cakap ibu saya kolot, buat malu je bawak pergi luar negara, selekeh dan macam-macam, namun saya sabar.

Kali ini mereka melampau sangat buat lari kereta yang saya nak bagi pada adik saya. Saya call kakak ipar banyak kali namun tak berjawab, message berpuluh-puluh kali tak reply, whatsapp dia bagi saya bluetick.

Last-last saya message kalau esok diorang tak balik bawak kereta saya, saya akan report polis mereka curi. Terus kakak ipar saya call and marah-marah cakap diorang pinjam je and macam-macam.

Tapi saya dah sakit hati dah dengan keluarga suami saya. Masa ini, suami saya takde, dia pergi ikut lawatan sekolah 3 hari jadi guru iringan. Sebab itu mertua and kakaknya berani sangat, sebab suami saya takde.

Esoknya, kakak ipar, abang dan anak-anak diorang balik and kakak ipar serang saya, tampar saya tarik-tarik saya dengan suaminya tengok je dan cakap

"bagus, bagi je penampar, sepak je betina macam ni"

Mertua pun takde langsung nak meleraikan. Mujurlah masa itu, sempat-sempat suami saya balik dan bila dia tengok keadaan macam tu, dia dah naik gila and tarik kakak dia and bertumbuk dengan abang iparnya. Mertua pegang suami and cakap saya punca semua benda and macam-macam fitnah keluar seolah-olah saya ah paling jahat, berkira dan semua benda.

Suami tarik saya masuk bilik and masa itu suami cakap dia ikut saya pindah. Saya masa itu dah tawar hati dengan semua perkara dan selepas dua minggu saya fikir masak-masak di apartment baru saya, saya called suami and minta dia lepaskan saya cara baik, sebab saya dah tidak mahu ada kena mengena dengan mertua, kakak ipar dan abang ipar saya lagi.

Dah tak sanggup. Suami pujuk namun akhirnya dia juga terpaksa lepaskan. Kami bercerai secara baik, tanpa anak. Ex suami lepas kejadian itu pindah keluar dari rumah ibunya dan menyewa di tempat dekat dengan sekolah tempat dia kerja. S

Saya pun dah ada apartment (sewa beli) sendiri dan sedang cuba bina hidup baru. Tolong doakan saya semua, semoga saya kuat.

Pesanan saya, sebelum berkahwin selidiklah juga keadaan keluarga bakal pasangan kita, berkenalan la juga dengan adik-beradik mereka, tahu latar belakang mereka sedikit. Salam Ramadhan semua, maaf post ini terlalu panjang, ini pertama kali saya meluahkan. Harap dimaafkan.


Kredit : siakapkeli



Suamiku Si Miang Keladi

12 Sept 2017


Bagaimanakah perasaan seorang isteri sekiranya berhadapan dengan suami yang terkenal dengan sifat ‘nakal’. malah perlakuannya itu kadangkala boleh menimbulkan masalah bukan sahaja pada diri sendiri malah orang sekeliling?  


Ini yang terjadi terhadap Salmah, 49, yang rata-rata ramai mengenali sikap suaminya, bukan kerana jasa-jasa atau sikap tawaduk lelaki itu, sebalikya kerana perangai ‘miang-miang keladi’ sehingga boleh menimbulkan kemarahan orang.

Salmah sendiri tidak tahu bila perangai suaminya itu akan berubah kerana semakin umur meningkat, semakin menjadi-jadi pula perangai miangnya.

Kalau hendak diperkatakan tentang rasa malu, sudah tebal muka Salmah menahan rasa malu dengan jiran sekeliling apabila sering dikaitkan dengan perangai suaminya. Malah dia pernah mengurung diri dalam rumah bagi mengelak dicemuh masyarakat setempat.

Bukan sekali dua dia mendengar aduan dan umpatan jiran-jiran mengenai tingkah laku suaminya yang ‘mencolok’ rasa itu, tetapi apa lagi yang dia dapat buat, nasihat semua sudah diberi. 

Kalau hendak ikutkan rasa merajuk, memang sudah puas dia lakukan tetapi suaminya masih juga dengan dengan sikapnya. Hendak merajuk lama-lama fikir Salmah, akhirnya tiada siapa hendak memujuk,  

“Dahulu, ketika dia muda, tidaklah ketara sangat perangai miangnya itu. Paling ‘busuk’ pun dia hanya mengenyit mata kepada gadis-gadis cantik yang lalu lalang di pejabatnya. 

“Sesekali, kalau kami keluar makan berdua, memang bola matanya ligat mengerling gadis-gadis cantik yang lalu-lalang. Apabila aku merajuk kerana cemburu, dia berhenti sekejap tetapi di belakang aku dia buat lagi. 

“Sekarang, bukan sahaja setakat mengenyit mata, siap bersiul dan mengajak anak-anak dara di kawasan itu minum di kedai kopi. Ada juga anak dara yang melayan dan mulalah mereka berbual berjam-jam lamanya. 

“Entah anak siapa yang diajak dia tidak kisah, yang pelik anak-anak gadis ini menurut pula. Mahu pula mereka duduk bersama suami aku itu di kedai kopi sambil menjamu selera, ramai-ramai satu meja. 

“Aku tahu, anak-anak gadis tersebut orang luar bukan dari kawasan tempat tinggal kami. Mereka mungkin seronok apabila dipelawa suami aku, masakan tidak makan dan minum percuma.  

“Setahu aku, dalam ramai lelaki di kawasan kami, dia seorang sahaja yang sudah berumur berperangai begitu. Selalu aku kata, rambut sudah beruban, perut pun sudah membuncit, sepatutnya dalam usia-usia selepas bersara ini semakin rajin ke masjid, tingkatkan amalan, bukannya berpeleseran macam lelaki muda.  

“Ini tidak, asyik bermotosikal ke sana sini, hon sana sini, menyakat anak dara orang sana sini. Apabila perut lapar tahu pula balik ke rumah.  

“Yang paling aku rasa menyampah apabila mengetahui, suamiku dicop sebagai muka tembok oleh masyarakat setempat kerana sentiasa berada di simpang jalan, duduk di situ memetik gitar sambil memanggil nama-nama gadis yang dikenali ketika mereka turun dari bas.  

“Apabila aku tanya mengapa perangainya masih suka menyakat anak-anak dara yang boleh dianggap anak sendiri, mudah sahaja dia menjawab, sekadar suka-suka dan tidak menganggap sebagai satu perkara yang membawa kepada mudarat besar,” kata Salmah panjang lebar. 

Salmah berkata, suaminya memberitahu dia hanya mahu seronok-seronok sahaja dan tidak pernah terlintas di fikiran hendak menjadikan anak-anak gadis itu sebagai kekasih hati.

Apa yang dia lakukan umpama hobi kerana gemar berpeleseran sebagaimana dia waktu muda dahulu. Salmah pula memberitahu, biarpun suaminya bersikap begitu, pada malam hari dia tidak pula keluar dari rumah. Kalau tidak, sekiranya ada kejadian rogol, pasti suaminya akan dilibatkan sama. 


Masalahnya, menurut Salmah, dia tidak mahu satu hari nanti orang di kawasan itu jelak dengan sikap suaminya dan membuat aduan kepada polis atas dasar gangguan seksual. Setakat ini Salmah hanya mampu berdoa agar suaminya tidaklah sampai difitnah atas kesalahan mengganggu anak-anak gadis tersebut keterlaluan. 

Mendengar luahan daripada Salmah, seperti rasa tidak percaya suaminya bersikap begitu. Hendak ketawa juga ada kerana terasa lucu dengan kisah berkenaan.  

Namun kesimpulannya, mungkin ini disebabkan faktor usia dan hormon dalam diri seseorang lelaki itu apabila sudah semakin tua, perangai tetap tidak berubah. Mungkin juga dia bosan kerana tiada anak melayaninya. Apa pun itu bukan satu alasan untuk dia bersikap demikian.

Peniaga Yang Tidak Solat

5 Sept 2017


Assalamualaikum..syukur kalau admin post cerita aku ni sebab aku nak kongsi pengalaman aku pasal solat. aku berumur 26 tahun dan baru menimang cahaya mata. hihi 

Aku tertarik dengan isu solat yang baru-baru ni bersiaran di page ni. Aku pun nak cerita pengalaman bertemu dengan orang yang tak solat. 

Lepas aku tamat belajar, aku kahwin, dan beberapa bulan lepas tu aku disahkan mengandung. Alhamdulillah rezeki. Suami aku suruh aku berehat je dekat rumah sebab alah. Lepas beberapa bulan, aku dah sihat dan minta izin untuk cari kerja, suami aku kata ok sebab tahu aku bosan duduk rumah je. Aku tak kisah kerja apa,janji tak duduk sorang sorang dekat rumah. Dalam banyak banyak tempat aku p minta, satu kedai makan ni je yang nak ambil aku kerja sebab dia tak cukup pekerja. Ada dua pekerja tetap, campur aku jadi 3 orang lah pekerja. 

Jadi aku pun kerja lah dengan riang nya dan seronok sebab dapat kerja. Kedai makan ni jual mee kari, mee rebus, laksa, bihun sup, ABC, cendol. Haaa..memang menyelerakan. Lokasi di tepi jalan dan merupakan laluan orang ramai yang nak pergi bercuti. Suasana memang best sebab angin tiup sepoi sepoi bahasa je dekat sini. 

Suami pemilik kedai ni dah buat kedai tu macam rumah kedua diorang, sebab ada satu bilik untuk dia dan anak anak berehat lepas balik kerja dan sekolah. 

Ok, tu semua latar belakang kedai tu. Masa kerja aku kerja dan tiba waktu solat aku kata nak solat. Aku tanya makcik Ani, nak tumpang solat boleh ke? Makcik Ani macam tercengang dan p tanya bos, ‘zu dia nak tumpang solat dalam bilik ni boleh tak?’. Bos tu aku panggil dia kak zu. Kak zu masuk bilik tu bagi aku sejadah dan telekung. Dalam bilik tu penuh baju dan anak anak dia tengok tv. Bilik tu sempit ja, aku kena solat celah celah tempat yang anak dia tak duduk. Bersyukur juga la,kerja kedai makan tepi jalan yang ada tempat boleh solat. 

Seminggu aku kerja, aku perhati je semua pekerja termasuk kak zu tu. Tak pernah pun diorang ni solat. Makcik Ani yang umur dah nak 50 tahun pun tak solat, tapi aku bersangka baik,mungkin diorang solat masa aku tengah ambil order, aku yang tak perasan kot. 

Bila dengar azan, kak zu akan cakap, ‘ha dah azan, p lekaih solat, satgi bila ramai orang kami pening kepala’. Aku kata dalam hati bagusnya dia suruh aku solat awal. 

Dua tiga minggu kerja, aku tak pernah langsung nampak diorang ni p solat tapi selalu suruh aku p solat. Kadang kadang tanya aku ‘hang dah solat ka?’ 

Satu hari tu aku sembang dengan kak zu, kak zu kata ‘dulu kak macam hang la, solat tak tinggai, pakai baju labuh, stokin tangan, stokin kaki semua. Tapi lepas kahwin dengan abang semua hilang’.
Jadi aku tau la diorang ni tak solat tapi jual makanan bagi orang makan dan kak zu ni rajin bagi diskaun pada customer katanya kak sedekah. 

Aku pernah baca air tangan orang tak solat ni tak boleh makan. betul ke? Aku tak pasti sumber yang aku baca tu boleh dipercayai ke tidak. huhu tapi aku tiap tiap hari dok makan macam macam dalam kedai ni,macam mana ni??. 

Aku dapat tahu pula yang kak ni punya supplier bahan mentah dari orang cina. Ayam pun dari kedai cina dan aku mula ada keraguan dengan status halal ayam tu. 

Lepas banyak keraguan dan rasa tak berapa suka dengan situasi bekerja tu,aku buat keputusan nak berhenti lepas dah 5minggu aku kerja, aku rasa sebagai wanita mengandung aku tak larat nak kerja dekat kedai makan, dan aku tak mau makan makanan yang aku ragu ragu. 

Lepas berhenti kerja aku duduk rumah ja buat bisnes online. Hampir sebulan aku berhenti kerja kedai makan tu, kak zu mesej tanya aku dah dapat keja lain ke? Kalau tak kerja lagi dia minta aku tolong datang kerja seminggu sebab pekerja dia cuti. Banyak kali minta tolong, aku memang dah berat hati nak p kerja kedai dia. 

Aku pun p la kerja untuk seminggu. Masa solat aku cari telekung dengan sejadah dan aku nampak lipatan telekung dan sejadah sama macam aku lipat sebulan yang lepas. Aku rasa sedih dan tak tahu macam mana nak tegur, sebab dari pemerhatian aku kak zu dengan makcik ani ni baik tapi tak solat dan tak jaga aurat. 

Dari segi pemakaian pula, baju tangan pendek,tudung pendek, seluar ketat. Aku pula yang malu. Aku nak tanya, wanita Islam yang berpakaian macam tu, tak rasa malu ke? 

Aku pelik, kenapa ada sesetangah orang macam tak kisah je pasal solat? Mungkin dunia akhir zaman, orang yang nak solat pula rasa malu bila nak p solat, yang tak solat relaks ja. huhu dunia akhir zaman. 

Aku harap aku tidak mengata orang dan jika ada salah boleh beri teguran. 

Terima kasih 

– nur

Wajib Baca Kalau Ada 'Sindrom Malas Berhias', 4 Saranan Ustaz Ini Akan 'Buka Mata' Para Isteri!

14 Jul 2017


Dah masuk jam 11 pagi, Nina belum rasa nak mandi.
'selesaikan kerja rumah dululah...'
Dia memasak, menghidang sampailah selesai memberi makan anak-anak, jam pun dah masuk 1 tengah hari. Dia masih juga belum mandi.


'Nantilah nak masuk Zohor baru mandi'
Dan selepas selesai solat Zohor, Nina masih juga belum mandi. Mentang-mentang hari itu suaminya tiada di rumah seharian. Dia berleka-leka. Dan sejak akhir-akhir ini dia sudah diserang sindrom malas berhias.

Ini Sebab Penting Isteri Kena Rajin Berhias

1.    Bila kita cantik, kita bahagiakan suami. Insya-Allah kasih sayang suami akan lebih kukuh dan kekal.

2.    Untuk memenangi hati suami, menjaga kecantikan diri adalah kuncinya. Kita cantik, suami gembira dan lebih sayang kita. Apa yang kita perlukan lebih mudah dipenuhi oleh suami.

3.    Sentiasa ingatkan diri kita, usaha kita berias mencantikkan diri untuk suami adalah suatu ibadah dan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah.

4.    Jangan kita cemburu atau marahkan suami yang suka melihat wanita cantik dan seksi, tetapi kita ambilnya sebagai cabaran untuk kita berias lebih cantik dan seksi daripada wanita lain. Insya-Allah kita lebih berpotensi memnangi cabaran tersebut.

Apa Agama Kata Tentang Isteri Yang Merias

Salah satu peranan isteri kepada suami adalah berhias dan memakai cantik-cantik untuk suaminya. Ini kerana fitrah suami inginkan isterinya cantik dan menyejukkan pandangan.

Merias itu bermakna memakai cantik-cantik mengikut kesukaan suami, untuk meghiburkan dan melayan suami. Apatah lagi dalam hubungan suami isteri, tiada aurat dibataskan dan ini membolehkan isteri menggayakan apa-apa fesyen yang menjadi kesukaan suami tanpa perlu terikat dengan menutup aurat.

Kenapa Kena Cantik Untuk Suami

Ini kerana, fitrah suami sukakan wanita cantik dan berias. Disebut dalam hadis nabi SAW, dikahwini seseorang wanita itu disebabkan empat faktor iaitu kerana kecantikan, kekayaan (kemampuan berias dan bergaya), kedudukan atau keturunan dan agamanya.

Kalau Mood Sindrom Malas Berhias Dah Datang

Sebenarnya sepanjang masa perlukan isteri kelihatan cantik dan berias untuk suami. Sebagaimana kita nakkan suami kita romantik setiap masa, begitulah juga suami kita nakkan kita sentiasa cantik dan berias setiap masa.

Lebih-lebih lagi bila dah semakin berusia, agar suami terikat dan terpaut dengan kita selamanya.

Boleh jadi mudah untuk suami berasa bosan dengan kita yang comot dan menyakitkan pandangannya, berbanding dengan ramai wanita lain di luar yang kelihatan cantik dan menarik perhatian. Di samping ketinggian budi pekerti dan akhlak, kecantikan jadi tarikan utama juga.

Siti Aisyah&Siti Fatimah Juga Berhias Untuk Suami

Pada zaman Rasulullah SAW, Siti Aisyah dikatakan sangat menjaga diri dengan berias cantik dan memakai pakaian menarik yang berwarna warni di dalam rumah. Begitu juga Siti Fatimah yang sentiasa kemas dan menarik berias untuk menyambut kepulangan Sayyidina Ali setiap hari. Wallahua'lam



Kredit :  Mingguan Wanita



PHD, 17 Kesalahan Dan Kesilapan Pelajar Sebagai Panduan

16 Jun 2017


Ijazah PhD bukanlah suatu ijazah yang mudah diperoleh. Ia melalui satu proses pembelajaran dan penyelidikan yang tinggi mutunya sesuai dengan status ketinggian ijazah tersebut. 
Nota Editor: Artikel ini dikongsikan oleh saudara Norshahkang Shuaib Sekadar yang menceritakan tentang pengalaman dan pandangan mengenai kesalahan pelajar PhD.

17 KESALAHAN PELAJAR PHD

Semasa dalam fasa terakhir pengajian PhD, saya tersedar kesilapan-kesilapan yang pernah saya buat dari hari mula pengajian. Waktu ini baru sedar betapa serabutnya pengurusan fail, betapa ruginya masa-masa terluang sewaktu tahun pertama, betapa silapnya mentaliti ‘suka membandingkan’ dan sebagainya.
Apabila bersembang dengan rakan-rakan lain, mereka juga buat kesilapan yang hampir sama. Bersembang dengan pelajar PhD dari tempat lain juga, sama! Nampaknya memang kesilapan-kesilapan ini adalah sesuatu yang general dan berlaku kepada ramai orang.
Jadi saya fikir, elok dihimpunkan semua kesilapan yang saya dan rakan-rakan pernah buat untuk pedoman bukan sahaja pelajar PhD, tetapi semua orang terutamanya mereka yang berkecimpung dalam bidang akademik/research.
Saya sertakan juga solusi untuk setiap kesalahan ini.

1. Suka membuat perbandingan kehidupan

Bila jumpa pelajar lain, asyik membandingkan susah senang anda dan mereka – lalu menyebabkan motivasi diri sendiri jatuh. Contohnya tengok kajian orang lain nampak senang dan mula berfikir “Kenapalah aku punya kajian susah!” – padahal setiap cabaran pelajar itu berlainan. Ada yang pening kerana eksperimen tak menjadi, ada yang pening dengan perangai supervisor dan lain-lain.
Solusi: Lain orang lain cabaran jadi jangan buat diri sendiri rasa lemah/loser melalui perbandingan. Seperkara lagi, tak semua orang tunjuk kesusahan hidup mereka di media sosial sebab itu kita seolah-olah nampak orang lain hidup senang. Semua orang ada kesusahan sendiri.

2. Takut untuk berfikir luar kotak

Ada yang takut untuk berfikir idea (untuk eksperimen, hala tuju kajian, hujah dan sebagainya) lain daripada yang lain sebab takut dikatakan merapu/bodoh oleh supervisor. Padahal, sesetengah idea yang lain ini boleh membawa kepada penemuan yang menarik.
Solusi: Jangan takut untuk mencadangkan idea yang anda terdetik dalam kepala kepada supervisor. Saya sendiri pernah mencadangkan berpuluh-puluh idea kepada supervisor – ada yang diterima, ada yang ditolak, ada yang ditertawakan dan sebagainya. Biasalah tu, nama pun ‘lontaran idea’ yang datang secara random.

3. Tiada rancangan alternatif

Hanya ada satu rancangan dan tak pernah ada backup plan kalau-kalau eksperimen, survey atau data collection tak menjadi/rosak dan sebagainya. Akibatnya, bila segala rancangan asal tidak menjadi, terkapai-kapai tak tahu nak buat apa. Kemudian, mulalah nak gelabah.
Solusi: Pastikan fikir backup plan untuk kecemasan. Kalau eksperimen A tak boleh, cuba eksperimen B. Kalau orang A tak boleh bantu, pastikan ada orang B.

4. Tidak menulis dari awal

Proses penulisan sepatutnya bermula awal untuk memastikan anda sentiasa memperbaiki tulisan dari masa ke masa. Bila tak mula awal, proses penulisan jadi sangkut sebab kualiti tak sampai. Hujah lemah. Struktur hancur.
Solusi: Mula tulis tesis seawal mungkin, kalau boleh waktu tahun pertama. Boleh mula dengan perkara asas seperti literature review atau methodology. Saya cuba menulis kertas jurnal hanya selepas dua bulan mula PhD, tetapi ternyata gagal kerana kualiti sangat hancur. Tetapi kertas jurnal yang hancur ini dibaiki hampir setahun lamanya dan akhirnya diterbitkan di proceeding yang diiktiraf Scopus (menjadi sebahagian daripada tesis). Menulis dari awal juga adalah strategi saya habiskan PhD kurang dari 3 tahun.

5. Pengurusan fail tidak efisen

Komputer penuh fail dengan pelbagai nama, folder bersepah-sepah, tidak disusun dengan baik. Kalau fail dinamakan dengan baik sekalipun, ia tidak konsisten. Perkara ini menyebabkan anda susah mencari dokumen, terutamanya untuk proses penulisan tesis akhir.
Solusi: Gunakan penamaan fail secara konsisten. Jangan malas untuk namakan fail dengan betul dan taip ‘fhwsdsf.doc’ sebab nak cepat. Anda akan menyesal di kemudian hari.
(Sampai habis PhD pun ada nama fail-fail saya yang masih serabut dan susah nak dicari untuk rujukan sekarang. Menyesal tak tulis dengan elok).

6. Mentaliti bangku universiti

Mentaliti dibawa dari zaman degree atau masters. Mengharapkan orang suap maklumat dan buat kerja saat akhir.
Solusi: Sebelum bermula PhD, harus faham bahawa pengajian PhD kaedahnya berlainan degree. Anda harus pandai berdikari. Tugasan waktu zaman degree banyak yang ‘asalkan siap’ tetapi dalam tugasan dalam PhD sangat mementingkan kualiti. Jika kualiti tak sampai, anda akan gagal. Oleh itu, mula kerja awal supaya anda ada masa untuk baiki tugasan (tesis).

7. Berlengah-lengah

Waktu first year dianggap honeymoon. Yang di luar negara, jalan-jalan terlalu banyak.
Solusi: Mula kerja awal dan istiqamah (tak selalu sangat ambil cuti panjang). InsyaAllah akan ada masa kosong di antaranya yang membolehkan anda bercuti dan berehat.

8. Lari dari supervisor

Disebabkan kerja banyak tak siap, asyik lari dari supervisor. Bila supervisor ajak jumpa dan minta hasil kerja (tulisan tesis dll), beri banyak alasan. Akibatnya, diri sendiri rugi.
Solusi: Supervisor (terutamanya yang berpangkat Profesor) sangat sibuk dan kadang-kala tak boleh jumpa selalu. Kalau mereka ajak jumpa, manfaatkan dengan minta feedback dan bincang masalah yang anda ada.

9. Terlalu rendah diri

Selalu rasa tak pandai dan takut untuk bersuara kalau ada group meeting atau berhadapan dengan supervisor. Bila menulis, rasa takut nak bagi orang baca sebab rasa malu. Akibatnya, tak ada orang boleh bantu dan merana seorang diri.
Solusi: Tak ada orang yang terus jadi pandai dalam sesuatu bidang. Menjadi bodoh itu biasa dan jangan takut untuk jadi bodoh. Yang penting, kerap diri baiki dan bergerak ke hadapan. Bersedia untuk dedahkan kelemahan diri kepada supervisor dan rakan PhD supaya mereka boleh beri nasihat.

10. Kurang pemahaman tentang aspek teknikal

Tak faham perkara-perkara asas dalam PhD – contohnya apa itu abstract? apa itu research methodology? apa itu novelty dan sebagainya. Apabila masuk ke proposal defence atau viva, jadi gelabah bila examiner tanya.
Solusi: Pastikan aspek teknikal PhD boleh difahami secara asas. Ada banyak buku yang bercerita tentang hal-hal sebegini. Rakan-rakan senior PhD juga boleh bantu untuk terangkan.

11. Menjadi terlalu teknikal

Menjadi robot kerana buat PhD berdasarkan panduan/software tertentu yang bersifat ‘rigid’. Akibatnya menyusahkan diri sendiri. Contohnya tak boleh buat kerja sehari sebab software Endnote (untuk referencing) rosak. Jadi sehari duduk sahaja sebab terlalu bergantung kepada Endnote. Padahal Endnote sekadar pemudah cara dan tanpa ia, kerja PhD masih boleh berjalan sebenarnya
Solusi: Jangan bergantung kepada teknik atau software tertentu sahaja. PhD itu bersifat unik. Tak semua orang buat PhD gunakan teknik yang anda pelajar dari bengkel, buku dan sebagainya. Be flexible!

12. Lemah penguasaan asas komputer

Tak tahu perkara asas dalam software penting seperti Microsoft Word. Contohnya tak pernah tahu kewujudan page break dan navigation.
Solusi: Cuba kuasai perkara asas dalam software asas yang anda pakai supaya melancarkan urusan kerja tanpa perlu nak rujuk buku panduan. Merujuk buku panduan dengan kerap akan membuang masa dan membuatkan kerja menjadi kurang lancar.

13. Kosakata penulisan yang lemah

Ada idea nak menulis tetapi ayat tak mencapai kualiti seorang pelajar PhD. Salah satu sebab kerana pengetahuan kosakata berkenaan bidang kajian agak lemah.
Solusi: Wujudkan satu kamus untuk catat kosakata penting dalam bidang kajian. Kosakata ini adalah perkataan yang selalu digunakan dalam bidang tersebut. Anda juga boleh juga catat ayat-ayat yang ‘cantik’ untuk dirujuk semasa proses penulisan.

14. Takut mendapat feedback tentang penulisan

Satu perkara yang paling ditakuti oleh pelajar PhD adalah apabila orang mengkritik. Memang itu sesuatu yang normal. Malangnya, ketakutan ini mematikan semangat untuk menulis.
Solusi: Anggaplah menjadi tak pandai menulis merupakan salah satu proses dalam belajar menulis tesis.

15. Terlalu berharap kepada supervisor

Ada pelajar yang hanya mengharapkan idea dari supervisor. Harus diingat, pelajar PhD ibarat pintu maklumat kepada supervisor. Anda yang melaporkan apa yang anda dapat dan supervisor hanya akan memberikan panduan/nasihat. Kalau anda asyik tanya supervisor ‘lepas ni nak buat apa’, dia pun pening.
Solusi: Setiap kali jumpa supervisor, laporkan perkara baru (keputusan eksperimen, bacaan) supaya dia boleh beri cadangan ke mana hala tuju kajian. Saya selalu ringkaskan maklumat dan letak dalam Powerpoint – mudah untuk supervisor saya baca dan fahami. Jangan bawa kertas jurnal berjela-jela nanti dia tengok, dia pun pening.

16. Kurang membaca hal-hal umum

Pelajar memang banyak membaca jurnal, tapi kurang membaca hal umum berkenaan topik kajian. Contoh jika kajian berkenaan dengan tenaga solar – pelajar tidak tahu apa perkembangan terbaru mengenai tenaga solar di dunia. Hal ini akan menjadi masalah apabila anda menghadapi viva atau ke conference.
Solusi: Waktu sedang berehat / bosan, cuba ke Google dan taip nama kajian anda (contoh: solar energy) dan baca berita/blog/wikipedia untuk menambah kefahaman secara umum. Harus diingat kadang-kala di conference, ada orang yang tak faham langsung bidang anda. Anda harus tahu bagaimana untuk bercerita kajian anda secara umum dan menggunakan maklumat-maklumat terkini. Harus diingat juga, bacaan umum ini bukan untuk cite dalam thesis, tapi sekadar untuk kefahaman.

17. Tidak faham kajian sendiri dalam skop yang lebih besar

Apabila terlalu lama buat research, lupa kepentingan kajian dalam skop yang lebih besar. Contohnya buat kajian dalam composite materials. Tapi bila examiner tanya, apa kepentingan kajian awak kepada dunia – terus pening. Sebabnya, tak lihat kajian dalam konteks yang lebih besar.
Solusi: Pastikan problem statement atau background jelas – kenapa nak buat kajian, apa masalah yang nak dikaji, kenapa penting dan sebagainya. Contohnya nak buat berkenaan carbon fibre composites kerana material ini banyak digunakan dalam kapal terbang menggantikan aluminium. Bila anda ada pendirian tegas, examiner akan lebih yakin.
Sebenarnya boleh hurai panjang lagi setiap satu poin di atas, tapi buat masa ini – ringkas dahulu.
Apa yang perlu diingati – pengajian PhD adalah waktu untuk kita melihat banyak kesalahan diri untuk diperbaiki.
Setiap kesalahan adalah guru. Benda-benda yang kita buat salah lebih senang untuk diingati berbanding benda-benda yang kita buat dengan betul.
Hidup sebagai seorang ahli akademik tak habis di PhD sahaja, ianya sepanjang hayat. Pengajian PhD hanya satu permulaan. Tentunya dalam satu permulaan, kita banyak buat salah.
Jadi, usah risau kalau buat salah sekarang. Yang penting jangan ulang.
Selamat bermuhasabah dan memperbaiki diri!
Silakan kongsi untuk manfaat bersama.
Shahkang
Kredit : Fb NorShahKang
             MadeinUitm


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.