SLIDER

gadis
Showing posts with label gadis. Show all posts

Perasaan Gadis Bermata Juling

24 Sept 2017


Hai, cukup tahu yg nama aku A dan aku seorang gadis yang bermata juling (jenis exotropia) – bukan mata malas. 

Untuk pengetahuan korang, aku juling bukan sejak lahir. Something terjadi pada aku ketika berumur 11 tahun dan menyebabkan mata aku juling sehingga kini (24 tahun). 

Jujurnya, aku rindu dengan penglihatan aku yang lurus. Sampai aku lupa macam mana rasanya nikmat melihat dengan mata yang normal. 

Selepas juling, mata aku beransur2 rabun dan rosak dan aku pun tak tahu kenapa. Masa tu seawal 11 tahun aku terpaksa pakai spek tebal. 

Level confident? Totally down. Masa sekolah rendah xrasa sangat sebab kawan2 aku tahu apa yg terjadi pada aku. But, bila tiba di sekolah menengah macam2 ejekan dan jolokan yang mereka berikan pada aku. Sampai satu tahap, aku jadi pendiam dan jarang bercakap. 

Masuk saja ke zaman universiti aku cuba utk tingkatkan keyakinan diri. Aku cuma fikir satu perkara “kalau aku malu, sampai bila2 aku xkan dapat hidup bahagia’ 

Ya. Aku punya cita-cita. Aku mahu bina kerjaya sendiri. Aku mahu diterima oleh orang sekeliling aku. Aku mahu mereka menghormati aku sebagai seorang makhluk yang punya perasaan. 

Teringat aku kat zaman university. Pernah juga aku kena perli dengan seorang pensyarah sampai satu kelas gelakkan aku. Tak apa aku cuba sabar. Tapi, sekuat mana aku cuba sabar… Jantung berderap sakit juga. Sampai aku lari ke toilet, nangis sepuas2nya. Keluar je toilet, kepala dah berpusing2 rasa nak tumbang. Allah, lemahnya psikologi aku tahan dugaan. 

Tapi, aku cuba bangkit. Bangkit jatuh…. Bangkit lagi dan aku tak tahu sampai bila rotation ni akan terhenti. 

Dilema aku bertambah berat lepas grad. Peluang kerja utk individu istimewa macam aku agak tipis, terutama sekali bagi jawatan yg mementingkan aspek luaran, you know what i mean. 

Mungkin ramai yang cakap aku xreti bersyukur. Lebih baik juling dari buta dan sebagainya. Tapi, derita menjadi seorang gadis bermata juling itu aku yang rasa. Kalau nak dicerita terlalu banyak kisahnya. Aku cuma nak luahkan apa yang aku pendam selama ni. 

Aku xpernah salahkan takdir. Aku percaya ada hikmah disebalik semua ni. Aku percaya Allah dah sediakan sesuatu yang terbaik buat aku. Cuma aku perlu sabar mengusahakannya. 

Buat mereka yang senasib dengan aku. Kalau nak menangis, menangislah sekarang. Bila tiba masanya kau perlu bangkit, bangkit dan berlarilah. Jangan biarkan kesedihan makan hati kau sampai kau tak boleh bangun berdiri lagi. 

Aku pun begitu. Masih mencuba. Semoga kelak ada peluang kerja yang baik menanti aku. Aku harap korang doa2lah yang baik untuk aku…. dan aku doakan (kepada kau yg membaca) semoga Allah ampunkan dosa2 kau, lindungi dan beri rahmat kepada kepada kau dan seluruh keluarga kau. Aminnn. 

Oh, pinta aku cuma satu. Nasihatilah anak2 mu, orang sekeliling mu. Hentikan mengutuk dan mencaci fizikal orang lain. Tak kisahlah apa juga jenis kecacatan dia, pleasee jangan biarkan orang seperti kami menanggung bebanan emosi yang lama kelamaan jadi nanah. 

P/s: Bukan semua orang memiliki hati yang tebal seperti kamu
– A 

Suamiku Si Miang Keladi

12 Sept 2017


Bagaimanakah perasaan seorang isteri sekiranya berhadapan dengan suami yang terkenal dengan sifat ‘nakal’. malah perlakuannya itu kadangkala boleh menimbulkan masalah bukan sahaja pada diri sendiri malah orang sekeliling?  


Ini yang terjadi terhadap Salmah, 49, yang rata-rata ramai mengenali sikap suaminya, bukan kerana jasa-jasa atau sikap tawaduk lelaki itu, sebalikya kerana perangai ‘miang-miang keladi’ sehingga boleh menimbulkan kemarahan orang.

Salmah sendiri tidak tahu bila perangai suaminya itu akan berubah kerana semakin umur meningkat, semakin menjadi-jadi pula perangai miangnya.

Kalau hendak diperkatakan tentang rasa malu, sudah tebal muka Salmah menahan rasa malu dengan jiran sekeliling apabila sering dikaitkan dengan perangai suaminya. Malah dia pernah mengurung diri dalam rumah bagi mengelak dicemuh masyarakat setempat.

Bukan sekali dua dia mendengar aduan dan umpatan jiran-jiran mengenai tingkah laku suaminya yang ‘mencolok’ rasa itu, tetapi apa lagi yang dia dapat buat, nasihat semua sudah diberi. 

Kalau hendak ikutkan rasa merajuk, memang sudah puas dia lakukan tetapi suaminya masih juga dengan dengan sikapnya. Hendak merajuk lama-lama fikir Salmah, akhirnya tiada siapa hendak memujuk,  

“Dahulu, ketika dia muda, tidaklah ketara sangat perangai miangnya itu. Paling ‘busuk’ pun dia hanya mengenyit mata kepada gadis-gadis cantik yang lalu lalang di pejabatnya. 

“Sesekali, kalau kami keluar makan berdua, memang bola matanya ligat mengerling gadis-gadis cantik yang lalu-lalang. Apabila aku merajuk kerana cemburu, dia berhenti sekejap tetapi di belakang aku dia buat lagi. 

“Sekarang, bukan sahaja setakat mengenyit mata, siap bersiul dan mengajak anak-anak dara di kawasan itu minum di kedai kopi. Ada juga anak dara yang melayan dan mulalah mereka berbual berjam-jam lamanya. 

“Entah anak siapa yang diajak dia tidak kisah, yang pelik anak-anak gadis ini menurut pula. Mahu pula mereka duduk bersama suami aku itu di kedai kopi sambil menjamu selera, ramai-ramai satu meja. 

“Aku tahu, anak-anak gadis tersebut orang luar bukan dari kawasan tempat tinggal kami. Mereka mungkin seronok apabila dipelawa suami aku, masakan tidak makan dan minum percuma.  

“Setahu aku, dalam ramai lelaki di kawasan kami, dia seorang sahaja yang sudah berumur berperangai begitu. Selalu aku kata, rambut sudah beruban, perut pun sudah membuncit, sepatutnya dalam usia-usia selepas bersara ini semakin rajin ke masjid, tingkatkan amalan, bukannya berpeleseran macam lelaki muda.  

“Ini tidak, asyik bermotosikal ke sana sini, hon sana sini, menyakat anak dara orang sana sini. Apabila perut lapar tahu pula balik ke rumah.  

“Yang paling aku rasa menyampah apabila mengetahui, suamiku dicop sebagai muka tembok oleh masyarakat setempat kerana sentiasa berada di simpang jalan, duduk di situ memetik gitar sambil memanggil nama-nama gadis yang dikenali ketika mereka turun dari bas.  

“Apabila aku tanya mengapa perangainya masih suka menyakat anak-anak dara yang boleh dianggap anak sendiri, mudah sahaja dia menjawab, sekadar suka-suka dan tidak menganggap sebagai satu perkara yang membawa kepada mudarat besar,” kata Salmah panjang lebar. 

Salmah berkata, suaminya memberitahu dia hanya mahu seronok-seronok sahaja dan tidak pernah terlintas di fikiran hendak menjadikan anak-anak gadis itu sebagai kekasih hati.

Apa yang dia lakukan umpama hobi kerana gemar berpeleseran sebagaimana dia waktu muda dahulu. Salmah pula memberitahu, biarpun suaminya bersikap begitu, pada malam hari dia tidak pula keluar dari rumah. Kalau tidak, sekiranya ada kejadian rogol, pasti suaminya akan dilibatkan sama. 


Masalahnya, menurut Salmah, dia tidak mahu satu hari nanti orang di kawasan itu jelak dengan sikap suaminya dan membuat aduan kepada polis atas dasar gangguan seksual. Setakat ini Salmah hanya mampu berdoa agar suaminya tidaklah sampai difitnah atas kesalahan mengganggu anak-anak gadis tersebut keterlaluan. 

Mendengar luahan daripada Salmah, seperti rasa tidak percaya suaminya bersikap begitu. Hendak ketawa juga ada kerana terasa lucu dengan kisah berkenaan.  

Namun kesimpulannya, mungkin ini disebabkan faktor usia dan hormon dalam diri seseorang lelaki itu apabila sudah semakin tua, perangai tetap tidak berubah. Mungkin juga dia bosan kerana tiada anak melayaninya. Apa pun itu bukan satu alasan untuk dia bersikap demikian.

4 Tahun Menyulam Cinta, Facebook Bukti Si Dia Bermain Kayu Tiga

5 Jun 2017



Saya perkenalkan diri saya sebagai Shila (bukan nama sebenar).Berusia 29 tahun, eksekutif sebuah bank dan lulusan universiti luar negara. Saya anak kedua dalam adik beradik seramai lima orang, tiga perempuan dan dua lelaki. Abang sulung telah berkahwin dan mempunyai sepasang cahayamata. Adik-adik masih menuntut di kolej. Ayah pesara kerajaan dan ibu, suri rumah sepenuh masa.

Semasa di universiti, saya berkenalan dengan seorang lelaki, Mirza (bukan nama sebenar). Kami berkawan, menjadi rapat dan akhirnya jatuh cinta. Biasa bagi pasangan kekasih untuk berjanji sehidup semati apabila telah bekerja. Begitu juga dengan kami. Saya dan Mirza juga ingin hidup bersama secara sah. Dan hajat itu akan kami tunaikan setelah masing-masing bekerja. Alhamdulillah, habis belajar kami mendapat tawaran kerja. Murah rezeki kami, dan tentunya jodoh kami juga akan sampai, itulah doa saya setiap hari.

Saya mula himpun duit untuk kahwin. Hubungan kami macam biasa, keluarga kedua-dua pihak juga sudah maklum akan hajat kami. Ada kelapangan Mirza datang ke rumah. Bagitu juga saya, tetapi tidaklah selalu ke rumahnya. Setelah dua tahun bekerja, saya bertanya Mirza tentang hubungan kami. Sampai bila saya harus tunggu sedangkan kami telah bekerja. Jawabnya, dia belum bersedia dan tidak cukup duit. Dia minta saya bersabar.

Saya faham dan bagi masa setahun lagi. Sampai tempoh setahun, saya masih tidak nampak jalan ke arah itu, bila diajukan soalan, jawapannya tetap sama. Saya pelik, ke mana pergi duit gajinya semua? Bila sesak duit, dia cari saya. Sebagai kekasih, tentu saya akan tolong, sebab sayang. Keadaan makin tidak nampak cahayanya apabila masuk tahun keempat. Mirza masih gagal memenuhi kata-katanya. Dia buat selamba sahaja bila saya tanya tentang janjinya untuk melamar saya.

Sejak itu, saya tidak bertanya lagi. Dia tetap datang ke rumah, macam biasa walaupun saya mula dingin terhadapnya. Ayah dan mak selalu tanya, tapi saya diamkan diri. Saya beritahu, Mirza tak cukup duit lagi. Dia belum bersedia. Akhirnya mak dan ayah terus diam. Dan Mirza macam tidak bersalah, terus datang ke rumah saya walaupun saya sudah mula bosan dan letih dengan gelagatnya. Allah Maha Kaya, Dia tahu apa yang terbaik untuk saya. Oleh kerana tidak tahan dengan sikapnya dan malas lagi hendak menunggu, saya minta hubungan kami diputuskan. Dia tidak kata setuju dan tidak pula kata tidak.

Tetapi sebagai perempuan, saya anggap sudah putus. Saya mula jemu untuk berjumpa dengan dia. Tidak sampai tiga minggu hubungan kami putus, seorang kawan menelefon saya dan memaklumkan Mirza sudah berkahwin. Kata kawan saya itu, gambar persandingannya ada dalam FB (Facebook). Kawan-kawan sama universiti yang tahu hubungan kami mengirim mesej dan WhatsApp memaklumkan pernikahan Mirza. Saya tidak melatah. Saya tidak tahu apa nak kata, sama ada hendak menangis atau tidak.

Setelah melihat FB dan membelek-belek WhatsApp dan mesej yang dikirim kawan-kawan, memang sah Mirza sudah berkahwin. Tidak salah lagi. Dia nampak ceria, bahagia dengan isterinya. Langsung tidak ada perasaan bersalah. Pada hal dia tahu saya, kawan-kawan dan keluarga saya akan melihat gambar persandingannya itu. Saya tidak menangis, sebab kalau menangis air mata darah sekalipun, semuanya sudah terjadi. Dia sudah jadi suami orang. Dia mungkir janji.

Dia lelaki tidak berhati perut. Dia biarkan saya tunggu selama empat tahun, tetapi akhirnya dia bernikah dengan orang lain. Maknanya semasa masih bersama saya, dia sudah bermain kayu tiga dengan perempuan lain tanpa pengetahuan saya. Tergamak dia hancurkan harapan saya, kecewakan orang tua saya serta musnahkan janji kami untuk hidup bersama. Empat tahun saya dipermainkan lelaki ini. 

Tetapi saya reda, sebab saya sudah nampak pengakhirannya untuk kami dengan sikap Mirza yang tidak ikhlas dalam perhubungan kami. Mak dan ayah terdiam apabila saya maklumkan Mirza sudah bernikah. Mak menangis kerana kasihankan saya yang sangat setia dengan Mirza dan menolak pinangan orang lain. Ayah juga marah. Saya sangat sedih kerana Mirza telah menggunakan kebaikan saya dan keluarga untuk kepentingan dirinya sebelum ini. Saya tidak akan jadi bodoh untuk menangis dan meratapi nasib saya. Saya bersyukur kerana Allah tunjukkan warna sebenar lelaki yang pernah saya cintai ini. 

Saya doakan dia bahagia.

Saya berpegang kepada kata-kata mak, Allah akan hadiahkan saya lelaki yang lebih baik daripada Mirza, doa selalu kata mak. Mintalah kepada Allah, insya-Allah Dia akan makbulkan. Semoga Allah bagi kekuatan kepada saya untuk terus bangkit dan melupakan apa yang telah berlaku.

Kredit : UtusanMalaysia



Gadis Malu Susuk Tubuh Bidang Dan Sasa

9 Jan 2017



Saya gadis berusia 30 tahun dan masih belum berkahwin, masih belum ada teman istimewa. Saya mempunyai susuk tubuh badan bidang dan besar. Ketinggian saya 172cm, berat 80kg. Bila dilihat secara luaran, memang nampak saya tinggi tapi bentuk badan besar, seolah-olah badan saya nampak sasa persis seorang lelaki. Bila berjalan-jalan bersama kawan-kawan sebaya, sayalah yg paling nampak menonjol dan berbeza saiz. Kawan-kawan saya semuanya nampak biasa dan cute je.

Macam – macam cara saya dah cuba buat untuk dapatkan badan yang cantik. Saya pernah sign-up spa pelangsingan badan. Bayar beribu-ribu, tapi hasilnya mengecewakan. Saya ada juga mencuba pelbagai produk pelansingan. Pil, Serbuk, Cecair, semua saya telan, semuanya saya cuba namun tetap tidak berhasil.
Selain daripada itu, saya ada juga ikut nasihat rakan supaya mencuba program-program diet pemakanan yang selalu nampak viral di fb, namun terhenti sekejap je. Tak mampu bertahan lama kerana syarat program tu sangat ketat. Dan saya kerap pengsan, kerana selalu kelaparan.

Saya belum patah semangat, saya ada mencuba sign-up program gimnasium, yang mana diorang ada sediakan coach untuk memantau aktiviti latihan yang dijalankan. Lebih 6 bulan macam tu, resultnya sedikit sahaja ada perubahan. Berat badan memang ada turun sikit, tapi kesasaan bentuk tubuh saya tetap nampak besar dan bidang.
Bohonglah kalau kata saya tak cemburu melihat rakan-rakan dan saudara-mara , apabila mereka bergaya dengan pakaian yg cantik-cantik. Selalunya kalau saya hendak membeli baju seperti mereka, confirm tak muat, takde saiz, dan kalau saya teringin sangat nak pakai, saya terpaksa tempah je di kedai jahit.  Jadi selalunya saya akan pakai tshirt dan seluar jeans sahaja. Itu sahaja pakaian yg ngam kat badan saya.Saya rasa rendah diri.  

Kadang­kala saya tertekan berdepan dengan orang ramai kerana berasa diri tidak menarik. Saya juga seperti rakan-rakan lain, ingin juga menjadi perhatian lelaki. Masing-masing sudah berteman, namun saya masih berseorangan.

Disebabkan perasaan rendah diri sangat menebal dalam diri, sekarang saya langsung tidak mahu keluar bersama rakan-rakan. Saya akan duduk dirumah sahaja , ataupun saya akan keluar seorang diri. Saya cuba meluahkan perasaan saya pada saudara rapat, dia mengatakan tubuh badan saya ni memang ikut keturunan, bidang dan sasa. Baik lelaki mahupun perempuan. Kalau berat turun sekalipun , badan tetap nampak besar sebab rangka tubuh badan saya memang besar.

Bagaimana caranya untuk  berketrampilan menarik untuk gadis seperti saya yg mempunyai tubuh badan bidang dan sasa? Bagaimana untuk berasa lebih yakin di depan orang ramai? Kalau ada antara pembaca yang mahir dalam bidang fesyen dan kecantikan, boleh tak sharekan tips kat sini.

-gadis rendah diri -

Umur Dah Nak Bersara, Bercinta Dengan Gadis Lebih Muda Dari Anak

14 May 2013

CERITA isteri kena tipu memang biasa, tetapi kisah saya lain sikit sebab suami saya Faiz punyalah muka alim tunjuk baik, tak akan ada siapa percaya dia ada kekasih, hinggakan emak mertua dan adik-beradiknya tuduh saya gila, cemburu buta, garang, suka burukkan suami.

''Saya dah kahwin lebih 26 tahun, selama ini tak pernah saya tuduh Faiz gatal depan orang, tetapi sejak tiga tahun lalu, bila kesnya terbongkar saya beritahu emaknya minta nasihatkan anaknya, mereka pulak tuduh saya mereka-reka cerita burukkan suami, adake patut?'' demikian cerita Salimah ketika kami berbual di telefon awal minggu lalu.

''Saya rasa mereka tahu kes Faiz, sebab kami duduk di pekan kecil, tetapi saya ini yang bodoh terlalu sayang dan percayakan cakap suami. Emaknya tuduh saya tak layan makan minum Faiz, tapi Faiz tak suka sarapan kat rumah, katanya dah sejuk bila dia bangun. Sebab saya buat sarapan jam 5.30 pagi, keluar rumah jam 6.15 pagi, terkejar-kejar hantar anak-anak sekolah dan terus ke tempat kerja yang jauhnya 75 km dari rumah.

''Faiz masuk kerja 9 pagi dia sarapan kat pejabat dengan kawan. Begitu juga makan tengah hari, kecuali makan malam. Saya rasa itulah gaya hidup orang bekerja. Malam pulak kadang makan, kadang tidak sebab jumpa kawan. Saya jam 10 atau 11 malam dah tidur, dia jam 1 baru balik. Itulah rutin hidupnya selain mengadap komputer hingga 2 pagi .

''Di sebabkan sibuk dengan rumah, anak sekolah dan bekerja, Faiz ambil kesempatan. Skandal dia dengan gadis di pejabat satu pejabat dah tau. Cuma saya tak tahu. Sebab itu Faiz tak suka bawa saya ke sebarang majlis pejabatnya. ''Saya tak bantah jika tak diajak, tetapi setelah rahsianya pecah, saya beranikan diri pergi ke pejabat jumpa ketuanya di situlah tembelangnya terlondeh. Rupanya setiap pagi dia sarapan dan makan dengan kekasihnya berusia 21 lebih muda dari anaknya. Mereka bersuap-suapan, makan sepinggan, minum segelas.

''Bila saya buat kecoh gadis itu ditukarkan ke tempat lain. Itulah punca dia bencikan saya. Dia lancarkan perang dingin tak mahu cakap dengan saya. Kalau dulu dalam seminggu adalah sehari dua dia bercakap dengan saya, sekarang sebulan sekali pun susah nak bertegur.''Kisah cintanya mula terbongkar bila dia sering dapat panggilan telefon dan SMS yang datang tak tentu masa, jam 4 pagi pun ada. Itu membuatkan saya ingin tahu. Satu hari bulan Disember tahun lepas saya beranikan diri buka telefonnya, apa lagi berderet SMS nya saya jumpa. 

''Bila Faiz buat hal dua bulan saya jadi macam orang gila, hingga terlibat dalam kemalangan kereta dan sakit terlantar di hospital, tapi Faiz tak pedulikan pun. Saya pernah larikan keretanya ugut nak tolak masuk gaung, tapi Faiz kata kalau saya nak mati pun matilah, tapi pulangkan keretanya, sebab keretanya masih baru, dalam kereta ada duit RM3,000 jadi tolong pulangkan. Dia tak kisah kalau saya mati, emak dia boleh jaga anak-anak. 

''Mei lalu kerana dah tak tahan dengan perangai Faiz saya telefon kekasihnya ajak jumpa. Saya tak marah, saya suruh dia kahwin dengan Faiz biar mertua saya percaya cerita saya. Lagi pun dia banyak habiskan duit Faiz. ''Tapi dia tolak katanya, ''Saya tak ingin kahwin suami makcik, dah tua buat apa. Bukan saya gilakan dia, dia yang gilakan saya, saya tak minta hadiah dia yang beri macam-macam. Dia banyak duit, sebab dapat keluar duit EPF lebih RM60,000 lepas umur 50 tahun.'' Sakitnya hati saya.

''Kerana kurang yakin, dia bagi saya dengar panggilan telefon dari Faiz yang kebetulan memanggilnya ketika kami berbual. ''Hah! makcik dengarlah siapa yang pujuk siapa, siapa yang goda siapa? Saya tak goda dia, saya cuma balas panggilan telefon atau SMS yang dia hantar. Kalau tak jawab, dia ganggu saya sampai tak boleh tidur.'' ''Dalam kes ini memang Faiz gatal menggoda gadis lebih muda dari anaknya. Tapi gadis itu pun suka layan Faiz sebab dapat hadiah dan duit untuk membiayai hidupnya. Dia baru bekerja tapi ingin hidup mewah dan bergaya, sedangkan gaji tak sebanyak mana, jadi dia layan godaan Faiz untuk mengejar cita-citanya.

''Sebenarnya sejak 26 tahun kahwin sudah empat kali saya kena tipu. Kali pertama ketika dalam pantang anak sulung, tapi hubungan mereka putus setelah gadis tu kahwin. Kekasihnya yang ketiga lebih hebat. Ketika itu dia pergi kursus enam bulan ke Terengganu. Bila balik dia usung kekasih ke hulu ke hilir. Sibuk nak kahwin. ''Nak jadikan cerita lima orang kawannya yang sama pergi kursus semuanya kahwin dua setelah balik. Cuma Faiz terlambat. Sebab kawan-kawannya ramai kena serang dengan isteri masing-masing bila rahsia terbongkar. Entah macam mana Faiz tak jadi kahwin. Kini bila saya suruh kahwin dengan gadis tersebut dia marah-marah, agaknya termalu sebab gadis itu lebih muda dari anak sulung kami. Kini walaupun berjauhan, tapi mereka masih berjumpa dan Faiz sanggup sponsor hidup gadis itu.

''Saya lebih suka mereka cepat kahwin, tahulah saya apa nak buat, tetapi Faiz yang tangguh, agaknya dia fikir dia dekat nak bersara. Sanggupkah dia kahwin lari kalau pinangan di tolak. Dan nak bagi makan apa bila berhenti kerja nanti, dia tak ada pencen, duit EPF tak banyak mana, tambah teruk bila dapat anak. Kalau sakit pening nanti sapa nak jaga, isteri muda mahu ke jaga kerana dia sibuk bekerja? ''Sebenarnya dalam kes ini saya yang bersalah, terlalu sayang suami, percaya cakap dan janji suami, sanggup berhabis bantu suami, dengan keyakinan suami simpan duit untuk hari tua kami. Akhirnya ditipu. Saya yakin ramai wanita di luar sana senasib dengan saya. '' Demikian cerita dan nasihat Salimah panjang lebar. Malangnya wanita kalau sayang suami, nasihat ibu ayah atau siapa pun mereka tolak tepi.

Kredit : UtusanMalaysia

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.